Suami main cinta di Facebook
Wanita berkenaan memuat turun beberapa gambar seksinya untuk tatapan suami saya.
Saya juga dapat mengesan hubungan mereka melalui telefon bimbit.
Sehingga kini saya masih dihantui kandungan e-emel dan gambar perempuan itu. Macam mana saya hendak lupakan semua itu dan mengembalikan kasih sayang suami saya demi anak saya yang masih kecil?
FARHANA
Kuala Lumpur
FACEBOOK adalah salah satu khidmat jaringan sosial dan laman web yang menduduki tempat pertama selepas dilancarkan pada Februari 2004.
Sekarang ini ia sudah mempunyai lebih 500 juta pengguna seluruh dunia yang begitu aktif bertukar-tukar maklumat. Setiap pengguna Facebook akan membentuk profil peribadi sendiri dan pengguna lain sebagai kawan dan seterusnya akan bertukar mesej (http://en.wikipedia.org/wiki/Facebook).
Walaupun laman web ini sangat berguna dalam konteks perhubungan sosial, ia juga mengundang perkara negatif dan penyalahgunaan seperti pembaziran waktu kerja, menggalakkan perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan, mendedahkan rahsia peribadi dan rumah tangga kepada umum dan berlaku penipuan.
Ada juga rumah tangga yang hancur akibat hubungan berkenaan. Begitulah antara cabaran dalam dunia siber sekarang.
Hanya keimanan dapat menangkis pengaruh negatif daripada menyerap masuk dalam dada umat Islam.
Hal yang sama berlaku kepada anda suami isteri apabila suami terbabit dalam hubungan dengan isteri orang.
Perbuatannya adalah salah di sisi agama dan undang-undang. Ia tentu sekali mengganggu ketenteraman jiwa seorang isteri dan keharmonian rumah tangga yang dibina.
Jika ia berterusan maka rumah tangga akan terus berantakan dan musnah.
Oleh itu, anda sepatutnya bertindak bijak dengan berbincang dengan suami dan sekiranya perlu, bawa perkara berkenaan ke pengetahuan keluarga masing-masing.
Suami perlu bertaubat kepada Allah kerana melanggar larangan Allah s.w.t sehingga terbabit dalam dosa zina. Sekiranya dia masih berdegil, ambillah 'tindakan' yang lain walaupun ia sangat pahit.
Allah berfirman: "(Lazimnya) perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik..." (Surah al-Nur ayat 26)
Rakan serumah bernafsu songsang
Setiap hujung minggu dia akan tidur di rumah pasangannya.
Saya pernah meminjam komputer riba dia dan apa yang ditemui di dalamnya amat memalukan.
Saya merasakan dia terjebak dengan hubungan songsang berkenaan.
Bagaimanakah caranya saya menolong dia supaya tidak terpengaruh dengan perkara terkutuk itu?
Saya pernah menasihatinya namun dia memarahi saya.
FARHAN
Kuala Lumpur
HUBUNGAN sejenis memang dilarang mana-mana agama termasuk Islam.
Ini kerana ia bukan tabiat semula jadi manusia dan juga binatang.
Itu sebab ia dipanggil sebagai hubungan songsang. Mereka yang terbabit dalam aktiviti sedemikian dilaknat oleh Allah dan Rasul kerana melanggar larangan agama.
Contohnya keterlanjuran kaum Luth yang membawa kehancuran mereka.
Bagi menangani isu moral dan akhlak sebegini, Islam mengajak kita supaya memikirkan tujuan kita berada di dunia.
Seorang manusia yang diberi akal fikiran hendaklah berfikir buruk baik setiap perbuatannya.
Apabila suatu perbuatan melanggar tata susila agama dan akhlak, dia hendaklah segera dihentikan.
Setiap Muslim hendaklah berusaha mencegah diri sendiri, keluarga dan masyarakat daripada terjerumus dalam lembah maksiat.
Justeru, anda perlu berusaha sedaya mungkin mencegah kemungkaran berkenaan sama ada melalui kuasa, kata-kata atau rasa benci dalam hati.
Mencegah diri daripada terpengaruh dan terbabit dalam perhubungan sejenis lebih mudah daripada cubaan untuk mengubah atau mengubatinya apabila sudah berlaku.
Ini yang berlaku kepada rakan anda yang sudah dinasihati, tetapi menjadi marah kerana sudah jauh tersasar dalam kemaruk nafsu.
Hubungan songsang hanya membawa kehancuran semata-mata. Kita boleh katakan mungkin manusia dapat memaafkan kesalahan sesama sendiri, begitu juga Allah yang sentiasa mengampunkan dosa hamba-Nya.
Tetapi undang-undang alam tidak ada belas kasihan. Penyakit akan terjadi apabila manusia melanggar undang-undang alam. Anda mungkin sudah melakukan apa yang terdaya untuk mengubah sahabat sendiri. Tetapi perubahan hendaklah datang dari dirinya sendiri.
Dosa yang dilakukan itu adalah atas pilihan diri sendiri dan bukan atas sebab genetik atau persekitaran lagi. Semuanya boleh diubah apabila ada kemahuan untuk insaf dan bertaubat.
Berubah untuk menjadi baik tidak ada salahnya. Kegilaan menurut hawa nafsu boleh dicegah dengan usaha sendiri dan nasihat kawan-kawan seperti anda.
Teruslah berusaha semoga kawan akan berubah menjadi baik
Pasangan bercinta bergelut dengan nafsu
Kini saya cukup tertekan kerana tidak dapat mengawal nafsu saya.
Kami merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun depan, tetapi tidak mendapat restu keluarga.
Salahkah kami berkahwin pada usia muda untuk mengelak maksiat berlaku
Kami sering berhubung dan bercakap berkenaan masa depan.
Kadang kala percakapan kami gagal dikawal dan sering bernafsu.
Apabila sedar, kami mohon maaf dan minta ampun daripada Allah.
Kami tidak sanggup menanggung keadaan ini dan sampai bila ia akan berlarutan. Apa perlu kami lakukan?
JEZRIN
Negeri Sembilan
ISLAM sangat menggalakkan umatnya supaya membangunkan institusi keluarga melalui perkahwinan. Alangkah baiknya sekiranya setiap keluarga yang mempunyai anak dewasa merancang perkahwinan untuk anak mereka.
Dengan berbuat demikian, keluarga baru akan terbentuk dan tata susila dapat dijaga.
Apabila keluarga tidak memandang soal pembentukan keluarga dan akhlak dan hanya menumpukan kepada pencapaian ekonomi dan material semata-mata, tentu akan berlaku kerosakan kepada individu dan masyarakat.
Maka akan timbul pergaulan bebas dan berlakunya zina. Ibu bapa perlu mengambil berat peralihan usia anak ke alam remaja dan dewasa.
Mereka perlu dididik supaya tidak bergaul secara bebas. Islam menyarankan supaya perkahwinan dipermudahkan dan dititikberatkan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan.
"Dan sesiapa antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai."
Begitu juga al-Quran menyarankan supaya perkahwinan digalakkan dalam semua peringkat umur dan status seseorang dalam Firman Allah s.w.t: "Dan kahwinkanlah orang bujang dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya, lagi Maha Mengetahui. Dan orang yang tidak mampu berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, ..." (Surah al-Nur ayat 32-33)
Al-Quran juga menyarankan supaya setiap umat Islam perlu menjaga kehormatan diri sekiranya tidak mampu untuk berkahwin atau ada halangan tertentu.
Begitu juga dengan anda berdua, kehormatan diri perlu dijaga supaya tidak terjerumus dalam noda dan maksiat. Bawalah berbincang dengan keluarga masalah anda berdua.
Tentu mereka memahami jiwa anak muda yang sedang asyik bercinta. Mudah-mudah mereka merestui hasrat untuk berumahtangga walaupun masih muda.
Gigitan cinta tidak jejas solat
SHAHRIZAL
Kedah
KESAN gigitan berkenaan pada tubuh tidak menjejaskan solat anda.
Terdapat syarat tertentu sahnya solat iaitu (1) Suci daripada hadas kecil dan besar, (2) Suci daripada najis yang tidak boleh dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat dan (3) menutup aurat.
Berkenaan dengan soalan di atas juga apabila seseorang bersetubuh maka akan dia berhadas besar.
Untuk bersolat, seseorang perlu mandi wajib atau mandi hadas besar bagi menghilangkan hadas.
Apabila sudah mandi dengan sempurna, maka boleh menunaikan solat.
Beza harta sepencarian, nafkah
Adakah harta sepencarian boleh dikira sebagai nafkah?
HAMIZA
Selangor
MEMANG terdapat perbezaan antara harta sepencarian dan nafkah. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh hasil daripada usaha suami isteri dan termasuk pendapatan yang diperoleh daripada modal sendiri hasil kerjasama mereka.
Jika berlaku perceraian, harta yang diperoleh boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian dengan persetujuan kedua-dua pihak.
Harta berkenaan dapat dibahagikan bersama antara mereka dengan persetujuan mahkamah.
Manakala nafkah pula merujuk kepada tanggungjawab suami kepada isteri iaitu dalam masa perkahwinan isteri berhak mendapat nafkah daripada suaminya.
Ini termasuk nafkah makanan, tempat tinggal, pakaian dan perubatan.
Kadar nafkah diambil kira dengan kemampuan suami berdasarkan pendapatannya.
Allah berfirman yang bermaksud: "...dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah ayat 233)
Apabila dicerai, isteri berhak mendapat nafkah untuk masa idah (Surah at-Talaq: 6).
No comments:
Post a Comment