NEGARA
Khir Toyo diheret ke mahkamah
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam berhubung tuduhan mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini pada harga yang meragukan pada 29 Mei 2007.
Dia didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang dia ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam.
Hartanah itu dibeli daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam. Mohamad Khir dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah yang sama, Shamsuddin turut didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 165 kanun yang sama kerana bersubahat dengan Mohamad Khir. Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM750,000 setiap seorang dengan seorang penjamin
DUNIA
Selat Melaka dalam senarai terbaru WikiLeaks
WASHINGTON - Laman web WikiLeaks semalam mendedahkan satu senarai rahsia Washington mengenai lokasi-lokasi infrastruktur di seluruh dunia yang boleh mengancam keselamatan Amerika Syarikat (AS) sekiranya diserang pengganas.
Semua prasarana itu melibatkan sejumlah kabel dasar laut, pos komunikasi, pelabuhan, sumber galian firma strategik, laluan perkapalan dan lombong di negara-negara bermula dari Britain hingga ke New Zealand dan merentasi rantau Afrika, Asia Barat serta China.
Senarai itu bermula dengan sebuah janakuasa hidroelektrik di Quebec, Kanada yang dianggap sumber kuasa utama rantau timur laut AS manakala sebuah kilang Siemens di Jerman penting kerana menjadi pembekal bahan kimia utama bagi AS.
Turut dianggap penting oleh Washington dalam senarai WikiLeaks itu termasuk beberapa kilang vaksin penyakit cacar dan anjing gila di Eropah, sebuah kilang penawar bagi bisa ular di Itali dan sebuah firma Jerman yang menghasilkan produk rawatan untuk keracunan plutonium.
Selain itu, AS mengawasi kabel bawah laut, sistem satelit dan loji pertahanan di Britain yang dianggap boleh mempengaruhi keselamatan negara kuasa besar itu sekiranya ia diserang.
Tidak ketinggalan dalam senarai berkenaan adalah beberapa lombong kobalt di Congo, transformer elektrik besar Hitachi di Korea Selatan di samping laluan perkapalan utama dunia seperti Selat Melaka dan Selat Gibraltar.
Pentadbiran AS menyifatkan Persimpangan Paip Gas Nadym di Rusia yang merupakan kemudahan gas paling utama di dunia dan Pusat Industri Ras Laffan di Qatar sebagai kritikal dan tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan pengganas.
Menjelang 2012, Qatar merupakan import terbesar gas petroleum cecair AS.
Pendedahan terbaru itu dijangka meningkatkan lagi tekanan politik ke atas WikiLeaks dan pengasasnya yang berusia 39 tahun, Julian Assange.
Pada Jumaat lepas, Assange mengumumkan di Internet bahawa dia telah meningkatkan kawalan keselamatan dirinya selepas menerima beberapa ugutan bunuh. - Agensi
NEGARA
Pengedar dadah mati ditembak
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki Myanmar mengedar dadah membawa padah apabila dia mati ditembak dalam satu kejadian di tingkat tiga sebuah bangunan dekat kawasan Pasar Borong Selayang di sini semalam.Kejadian pukul 4 pagi itu mengakibatkan lelaki pekerja pasar berusia 38 tahun itu mati di situ selepas terkena tiga das tembakan iaitu satu di kepala dan dua di dada oleh polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis yang mengepung rumah suspek kemudian telah memecahkan pintu utama rumahnya apabila lelaki itu enggan membukanya.
“Suspek yang sedang bersembunyi di dalam bilik ketika itu terus melepaskan satu das tembakan ke arah polis tetapi tersasar. Untuk mempertahankan diri, polis kemudian membalas tembakan itu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Tambahnya, pemeriksaan di dalam bilik itu menemui sepucuk pistol jenis Walter P99 silver berisi empat butir peluru, 450 gram heroin dan 21 gram ketamin yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM25,000
NEGARA
Pendidikan seks diajar berasingan mulai 2011
KUALA LUMPUR - Pendidikan seks yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di sekolah menengah dan 30 minit setiap minggu di sekolah rendah.
"PEERS sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di sekolah menengah dan sejak 1994 di sekolah rendah, cuma di sekolah rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.
"Bermula tahun 2011 di bawah transformasi KSSR, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada di dalamnya, PEERS akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain," katanya di lobi Parlimen di sini semalam
NEGARA
Warkah Sultan Ismail kepada dunia
|
|
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.
Beliau juga mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.
Kenyataan bertarikh 27 November lepas diedarkan oleh Tengku Razaleigh di pejabatnya di sini supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismail Petra.
"Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh dunia.
"Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.
"Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hayat beta," kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.
DUNIA
Zuckerberg nafi Facebook dihasilkan kerana wanita
LOS ANGELES - Bilionair muda dan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg menjelaskan bahawa beliau tidak menggunakan laman web yang diasaskannya itu untuk berkenalan dengan wanita.
Menurutnya, dia berkenalan dengan kekasihnya, Priscilla Chan yang kini merupakan bekas guru dan sedang mengikuti latihan sebagai pakar pediatrik sebelum rangkaian itu diwujudkan.
"Mereka mengatakan bahawa saya membina Facebook adalah untuk mendapatkan teman wanita. Mereka sebenarnya salah kerana saya lebih dahulu berkenalan dengan teman wanita saya itu," katanya.
Zuckerberg mengulas mengenai perkara tersebut ketika rakaman temu bual dengannya disiarkan dalam sebuah rancangan televisyen, 60 Minutes, kelmarin.
Dalam program itu dia memberikan komen mengenai filem arahan David Fincher yang yang adaptasi daripada kisah hidupnya yang berjudul The Social Network.
Menurut Zuckerberg, filam itu yang lakon layarnya dihasilkan oleh Aaron Sorkin itu seronok ditonton kerana ia mengandungi banyak babak yang menunjukkan persamaan dengan dirinya namun terdapat juga bahagian yang diubah.
Menurutnya, dia melihat filem itu bersama beberapa kakitangannya. "Saya teruja menontonnya kerana terdapat banyak perkara yang mempunyai persamaan dan ada juga bahagian yang silap.
"Setiap baju T yang dipakai oleh pelakonnya adalah sama seperti yang pernah saya pakai. Selipar yang dipakai juga adalah sama," kata Zuckerberg kepada pengacara rancangan itu, Lesley Stahl.
Di dalam wawancara itu, Zuckerberg memberitahu bahawa beliau tidak faham mengapa rakannya yang merupakan sepasang kembar, Cameron Winkloevoss dan Tyler Winklevoss masih marah kepadanya.
Sebelum ini, kembar itu mendakwa Zuckerberg telah mencuri idea mereka untuk membina laman sosial itu.
Kembar itu dikatakan telah menerima AS$65 juta (RM204.5 juta) daripada Zuckerberg sebagai penyelesaian dalam tuntutan itu.
"Ia bukannya satu pekerjaan. Mereka tidak mengupah saya. Saya tidak diupah oleh mereka atau apa pun sepertinya," kata Zuckerberg.
"Mereka (Cameron dan Tyler) yang berasa kecewa mengenai semua ini selama beberapa tahun merupakan sesuatu yang sukar untuk saya bayangkan," tambahnya.
Cameron dan Tyler merupakan rakan belajar Zuckerberg di Universiti Harvard. - Agensi
DUNIA
Kalendar bernilai RM8.38 juta
LONDON - Kalendar yang dihasilkan menerusi kaca dan dihiasi dengan berlian dan emas dianggarkan bernilai £1.7 juta (RM8.38 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut pengeluar kalendar itu, syarikat Octagon Blue GVC dari Belgium, seramai 50 kakitangan bekerja untuk memastikan ia akan siap menjelang Krismas.
Kalendar itu mengandungi 24 berlian berharga dan nombor-nombor diukir bagi mewakili hari.
"Kami berasa gembira dengan kalendar ini dan saya pasti ia akan membuatkan seseorang berasa gembira," kata Pengarah Octagon Blue GCV, Oscar Brethouwer.
Kalendar itu dibenarkan untuk tujuan pengiklanan dan hasil jualannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. - Agensi
DUNIA
Sarung tangan Jacko dilelong RM1.03 juta
BEVERLY HILLS, CALIFORNIA - Satu sarung tangan terkenal milik Raja Pop, mendiang Michael Jackson yang merupakan salah satu barangan dilelong pada harga AS$330,000 (RM1.03 juta) kelmarin.
Sarung tangan itu dipakai oleh Michael yang popular dengan panggilan Jacko semasa melakukan konsert jelajah, Bad.
Jaket milik Jacko yang memiliki tandatangannya pula dilelong pada harga AS$96,000 (RM302,256) dan topi dilelong pada harga AS$72,000 (RM226,692).
Barangan menarik lain yang dilelong itu adalah x-ray otak saintis terkenal, mendiang Albert Einstein yang dilelong AS$38,750 (RM122,004).
Botol ubat milik selebriti mendiang Marilyn Monroe turut dilelong pada harga AS$18,750 (RM59,034). - Agensi
DUNIA
Didenda sebabkan Concorde terhempas
PONTOISE, Perancis - Sebuah mahkamah memutuskan bahawa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Continental Airlines dan seorang mekaniknya didapati bersalah membunuh 113 orang dalam nahas pesawat supersonik Concorde yang terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di sini.
Pesawat Air France menuju ke New York itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada 25 Julai 2000 mengorbankan 109 orang yang menaikinya, kebanyakannya warga Jerman dan empat orang di darat.
Mahkamah di bandar Ponoise di sini mengarahkan syarikat penerbangan Continental membayar denda AS$265,000 (RM833,716) manakala mekaniknya, John Taylor didenda sebanyak AS$2,650 (RM8,335).
Taylor juga dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan manakala semua tertuduh lain termasuk bekas penyelia Taylor yang kini sudah bersara, Stanley Ford dibebaskan daripada sebarang tuduhan.
Hakim mengesahkan hujah para penyiasat bahawa nahas tersebut berpunca daripada sekeping logam titanium milik pesawat DC-10 syarikat penerbangan Continental yang terjatuh di atas landasan.
Pesawat itu lebih awal berlepas dari pesawat Concorde.
Menurut siasatan lagi, satu tayar pesawat Concorde tersebut koyak apabila ia melanggar kepingan titanium itu.
Tayar itu meletup dan serpihannya mengenai enjin dan tangki minyak pesawat Concorde sehingga menyebabkannya terbakar sebelum ia terhempas. - AP
No comments:
Post a Comment