DUNIA
Masjid Al-Aqsa didakwa akan runtuh
BAITULMUQADDIS - Ketua Angkatan Pertahanan Daerah Baitumuqaddis, Yoram Lev-Ran memberi amaran bahawa satu bencana akan meruntuhkan Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita Ahlu Bayt News pada Jumaat lalu.
Menurutnya, masjid itu akan runtuh namun bila ia akan berlaku setakat ini masih belum diketahui.
Lev-Ran menyatakan satu pelan kecemasan telah disediakan setiap kali solat diadakan di masjid itu pada bulan Ramadan.
Menurutnya, pihaknya dan polis sentiasa berada dalam keada berjaga-jaga bagi menghadapi segala kemungkinan.
Namun, para pemerhati percaya kenyataan Lev-Ran itu merupakan satu ujian bagi mendapatkan reaksi penduduk Arab.
Rancangan untuk memusnahkan masjid itu sudah dilakukan oleh pembuat-pembuat keputusan Israel.
Bagaimanapun, masa yang sesuai sedang dicari untuk melaksanakannnya.
Kenyataan runtuhan masjid itu dibuat selepas kerja-kerja penggalian dilakukan di bawah tapak masjid berkenaan oleh pihak berkuasa dan arkeologi Israel. - Agensi
DUNIA
Pengasas WikiLeaks mahu dedah fail UFO
LONDON - Pengasas laman WikiLeaks, Julian Assange (gambar) memberitahu bahawa satu kabel diplomatik yang akan didedahkannya adalah berkaitan dengan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Assange yang berasal dari Australia yang dikehendaki oleh polis Interpol berhubung dakwaan rogol dan serangan seksual di Sweden menyatakan terdapat rujukan mengenai kehidupan makhluk asing yang belum disiarkan.
Menurutnya, fail itu diperoleh daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
Beliau sebelum ini menggegarkan dunia diplomatik apabila mendedahkan lebih 200,000 maklumat rahsia kedutaan AS.
Maklumat itu turut mengandungi penilaian oleh pegawai-pegawai AS terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan dunia.
Rahsia itu turut mendedahkan senjata nuklear AS selain menyebabkan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton membuat penjelasan bahawa pendedahan maklumat tersebut tidak akan menjejaskan hubungan AS dengan negara-negara di dunia.
Sementara itu, peguam Assange, Mark Stephens memberitahu bahawa usaha untuk menangkap anak guamnya itu atas dakwaan serangan seksual sebenarnya bermotifkan politik.
Pada Jumaat lalu, Assange mendedahkan dalam satu sembang di Internet bahawa beliau telah meningkatkan kawalan keselamatan selepas menerima ancaman bunuh. - Agensi
DUNIA
Ikan jerung mengganas lagi di Mesir
KAHERAH - Seekor ikan jerung semalam menyerang seorang pelancong wanita Jerman yang sedang menyelam dekat sebuah resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah, Mesir.
Ia merupakan kejadian yang ketiga dalam tempoh seminggu.
Pengarah Konservasi Sinai Selatan, Mohammed Salem berkata, wanita itu mati selepas diserang di Naama Bay.
Serangan itu berlaku sehari selepas Sharm el-Sheikh dibuka semula kepada orang ramai selepas ia ditutup sebelum ini kerana dua kejadian sama yang mengorbankan warga Rusia.
Menurut beberapa pegawai perubatan, wanita itu ditarik dari laut mati selepas jerung itu membaham paha dan lengannya.
Pada Jumaat lalu, pakar-pakar pemuliharaan berkata, mereka telah menangkap dua ikan jerung yang dipercayai telah membunuh dua perenang Rusia pada Selasa dan Rabu sebelumnya.
Sementara itu, Datuk Bandar, Gamal al-Mahdi berkata pantai tersebut dibuka semula selepas pihak berkuasa menganggap tidak ada lagi ancaman di pantai tersebut.
Pantai itu dikunjungi di antara tiga hingga empat juta pelancong setahun.
Satu siri serangan di Sharm el-Sheikh itu tidak dijangka, kata seorang pakar ikan jerung, Samuel Gruber yang mengetuai Stesen Kajian Biologi Bimini, Miami, Amerika Syarikat.
"Dalam satu hari, ikan jerung menggigit lebih seorang individu. berdasarkan kajian saya yang membaca mengenai serangan ikan jerung dan menulis mengenainya, anda tidak pernah mendengar ada ikan jerung yang menggigit lebih daripada seorang manusia," katanya. - AFP
DUNIA
Wanita disyaki perisik Rusia ditangkap
LONDON - Seorang wanita Rusia, Katia Zatuliveter, 25 yang bekerja dengan ahli Parlimen Britain, Mike Hancock berdepan dengan tindakan diusir keluar dari negara itu oleh pihak berkuasa selepas perkhidmatan keselamatan menahannya kerana disyaki menjadi perisik Rusia.
Dia yang bekerja dengan Hancock yang merupakan ahli parti Liberal Demokrat.
Namun, Hancock menyangkal pembantunya telah melakukan sesuatu yang salah.
"Dia bukanlah perisik Rusia. Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara ini tetapi dia menjadi subjek pengusiran," kata Hancock dalam satu kenyataan.
Menurutnya, wanita itu akan membuat rayuan.
Sementara itu, jurucakap Parti Liberal Demokrat berkata, Zatuliveter kini dalam penahanan.
Parti itu merupakan rakan dalam kerajaan campuran dipimpin Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, David Cameron.
Jabatan Dalam Negeri Britain enggan memberi komen mengenai kes itu atau mengesahkan arahan pengusiran tersebut.
Sementara itu, Kedutaan Rusia di sini pula gagal dihubungi.
Satu sumber keselamatan berkata Zatuliveter tidak memberi kesan ke atas keselamatan negara. - Agensi
DUNIA
Pengasas Facebook pindah rumah
LOS ANGELES - Pengasas laman sosial Facebook yang bertaraf bilionair, Mark Zuckerberg, 26, berpindah dari rumah yang terletak di Palo Alto, California, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia keluar dari kediaman dua tingkat yang dilengkapi empat bilik tidur, perabot termasuk ruang belajar yang mempunyai satu komputer riba itu.
Setakat ini, lokasi rumah baru pengasas Facebook itu tidak diketahui.
Zuckerberg sebelum ini tinggal di rumah tersebut bersama teman wanitanya, Priscilla Chan yang juga merupakan bekas guru dan kini sedang mengikuti latihan sebagai pakar pediatrik.
Billionair itu pernah membenarkan kru-kru rancangan televisyen, Oprah Winfrey Show pada September lalu untuk merakamkan kediamannya.
Dia memilih untuk tinggal di rumah tersebut sejak dua tahun lalu kerana berdekatan dengan ibu pejabat Facebook untuk memudahkannya bekerja.
Zuckerberg dikatakan bekerja hampir 24 jam sehari.
Kediaman tersebut kini sedang disenaraikan di laman web untuk disewa dengan harga AS$7,850 (RM24,783).
Semasa menyewa, dia membuat perjanjian dengan tuan rumah dari sebulan ke sebulan.
Namun, pemilik rumahnya kini mencari penyewa yang menyewa rumah selama 12 bulan.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, rumah tersebut mempunyai ciri-ciri menarik seperti dapur yang dilengkapi ruangan, ruang tamu yang luas dan menghadap dapur serta tempat pemanasan badan. -
Agensi
DUNIA
Priyanka Chopra tolak tawaran menari
MUMBAI - Pelakon Bollywood, Priyanka Chopra (gambar) menolak untuk menari pada sambutan Tahun Baru di sebuah hotel lima bintang, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurutnya, dia menolak sebarang tawaran menari di hadapan penonton dalam majlis tertutup tersebut walaupun ditawarkan bayaran tinggi.
Baru-baru ini, dia ditawarkan untuk menari dengan bayaran lebih tinggi daripada lakonannya dalam sebuah filem.
"Chopra berasa amat tidak selesa untuk menari di hotel di depan penonton secara langsung. Dia tidak mempunyai perasaan yang selesa semasa melakukan persembahan seperti itu," kata satu sumber.
Selain Priyanka, pelakon Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan juga pernah menolak untuk menari dalam majlis perkahwinan.
Namun, terdapat pelakon lain yang akan memenuhi undangan menari.
Pelakon Bipasha Basu dan Mallika Sherawat dikatakan akan menari dalam sambutan tahun baru 2011. - Agensi
No comments:
Post a Comment