NEGARA
Nenek harap cucu insaf, bertaubat
JEMPOL - Walaupun suaminya mati di tangan sekumpulan penjenayah remaja yang melibatkan cucu sendiri pada malam Khamis lalu, pertalian darah mendorong seorang nenek sanggup menjadi pemaaf dengan menganggap peristiwa hitam itu sebagai satu ujian tuhan.
Halimah Yasin, 57, berkata, dia reda dengan kematian suaminya, Mohtar Yusof, 71, yang diserang dan ditikam dengan pisau dari belakang dalam kejadian di Felda Palong Dua di sini.
"Peristiwa itu sudah berlaku. Walaupun dia (cucu) terlibat, saya sudah memaafkan serta ampun kesalahannya.
"Saya harap dia insaf dan bertaubat,'' kata Halimah ketika ditemui di rumahnya semalam.
Pasangan warga emas itu pulang daripada satu kenduri tahlil pada malam kejadian sebelum mendapati bilik tidur mereka sedang digeledah.
Mohtar yang bergelut dengan kumpulan penjenayah remaja berusia 15 hingga 18 tahun itu akhirnya ditikam dengan pisau dari belakang sebelum kesemua suspek lari bersama wang dan barang kemas bernilai RM10,000.
Halimah yang tidak berupaya menyelamatkan suaminya sempat melihat kelibat cucunya itu yang berusia 17 tahun dan menetap di Melaka.
NEGARA
Remaja ditahan kes cabul 10 penghuni St. Joseph
GEORGE TOWN - Polis negeri Pulau Pinang telah menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes melibatkan sekumpulan kanak-kanak di rumah kebajikan St. Joseph di sini yang didakwa diliwat, dicabul dan dirogol oleh pekerja sukarela beberapa tahun lalu.
Penahanan remaja berusia 15 tahun itu dilakukan di sebuah rumah kebajikan yang beroperasi di Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 1 pagi semalam.
Remaja tersebut kini ditahan reman sehingga 18 Januari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Ia tangkapan pertama polis sejak seorang usahawan wanita berusia 41 tahun yang hanya dikenali dengan Lim membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada 12 Januari lalu.
NEGARA
Protes nasi lemak ada logo halal asing
GEORGE TOWN – Kira-kira 100 ahli Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) mengadakan demonstrasi sambil memegang bungkusan nasi lemak yang menggunakan logo halal yang bukan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Pewaris, nasi lemak berharga RM1 itu disediakan oleh pengusaha bukan Islam di Bukit Mertajam tetapi menggunakan khidmat penghantar beragama Islam untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.
Presidennya, Sabaruddin Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga nasi lemak di sekitar Bayan Baru, Jalan Tengah, Bayan Lepas, Bukit Jambul dan sekitar pusat bandar sejak beberapa minggu lalu mengenai kegiatan pengusaha terbabit.
“Kami tidak kisah kalau pengusaha itu ada sijil halal Jakim tetapi apa yang meragukan ialah mereka menggunakan logo pengiktirafan antarabangsa,’’ katanya selepas demonstrasi selama sejam di hadapan pintu masuk Balai Polis Bayan Baru di sini semalam.
NEGARA
Teksi khas untuk wanita dikaji
KUANTAN - Selepas berjaya melaksanakan perkhidmatan bas dan koc komuter khas untuk wanita, kini teksi untuk kaum Hawa pula bakal diperkenalkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ada cadangan supaya ia diwujudkan dan pihaknya akan mengkaji saranan itu terlebih dahulu.
Jika menjadi realiti, teksi itu akan dipandu oleh wanita dan ia hanya dikhususkan kepada penumpang wanita.
"Kalau ia mampu dilaksanakan, ia merupakan satu lagi penambahbaikan terutama dalam aspek keselamatan kepada golongan wanita di negara ini," katanya.
Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini semalam.
No comments:
Post a Comment