Monday, January 10, 2011

PERKARA INI TAK SELESAI SELAGI UNDANG2 ALLAH DINAFIKAN SERTA ABAIKAN...

3 remaja hamil lepas lari ikut kekasih



KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila tiga gadis termasuk dua antaranya masih di bawah umur dikesan mengandung selepas melarikan diri kerana mengikut teman lelaki masing-masing.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 16 kes aduan membabitkan remaja perempuan meninggalkan rumah selepas terpedaya dengan ajakan teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sembang, sepanjang tahun lalu.

“Sebaik ibu bapa gadis terbabit membuat aduan di pejabat kami dan kemudian disiarkan akhbar, sebahagian gadis berusia antara 14 hingga 19 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.
“Namun, tiga daripada gadis itu disahkan mengandung menyebabkan ibu bapa mereka terpaksa melaporkan kejadian itu kepada polis. Lebih mengejutkan lagi, dua daripadanya masih bawah umur begitu juga teman lelaki mereka,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit mudah terpedaya dengan pujukan lelaki walaupun baru dikenali melalui laman sembang.

Dalam kes terbaru, pihaknya menerima dua lagi aduan membabitkan kehilangan gadis berusia 17 dan 23 tahun berasal dari Perak dan Johor.

Menurutnya, seorang remaja berusia 17 tahun dikatakan hilang di Tapah, Perak, dekat sini, 30 Disember lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui sebuah laman sembang.

Mangsa, dipercayai keluar rumah selepas menerima kunjungan seorang lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada hari berkenaan.
Ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Bee Poh, 48, berkata anaknya ada menelefon memaklumkan lelaki terbabit yang berasal dari Johor hendak datang ke rumahnya untuk berjumpa anak bongsunya itu.

“Saya tidak kisah dan membenarkan lelaki itu berjumpa dengan anak saya. Bagaimanapun, selepas anak saya menghantar lelaki itu ke sebuah perhentian bas berhampiran, anak saya itu kemudian bertindak mengambil beg pakaiannya sebelum bergegas keluar rumah,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, dia yang menjalankan perniagaan keranda tiada di rumah dan hanya mengetahui kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu sebaik dimaklumkan anak keduanya.

“Saya segera pulang ke rumah dan mendapati satu nota ditinggalkan anak saya memberitahu mahu keluar bercuti untuk beberapa hari dan akan pulang semula ke rumah. “Selepas membaca nota berkenaan, saya segera menghubungi anak saya itu namun gagal dan masih tidak pulang sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Ulu Bernam, di sini kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.

Dalam kes berasingan, seorang lagi gadis, Tan Mei She,23, dirayu pulang selepas dipercayai hilang sejak tiga tahun lalu.

Michael berkata, mangsa dipercayai mendapat pekerjaan di Melaka, namun masih tidak pulang sehingga kini dan ibu bapa mangsa sudah membuat laporan di sebuah balai polis di Skudai, Johor pada 10 November lalu.




12 pelacur asing dicekup

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama berpeleseran sebagai pelacur dan perempuan simpanan, sekumpulan 12 wanita warga asing dicekup sepasukan anggota polis menyerbu lokasi mereka mencari pelanggan di sebuah bangunan di Jalan Pudu, di sini.
Tindakan tegas terbabit diambil selepas akhbar Harian Metro membuat pendedahan Sabtu lalu berhubung aktiviti tidak bermoral sekumpulan gadis warga asing yang tidak segan silu menawarkan khidmat seks kepada orang ramai dengan bayaran semurah RM30.

Susulan pendedahan itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bertindak melakukan risikan sebelum menyerbu lokasi berkenaan, kira-kira jam 3 petang kelmarin. Sumber polis berkata, dalam operasi itu, anggota polis yang menyamar sebagai orang awam melakukan pemantauan sebelum melihat kumpulan gadis warga asing terbabit berkeliaran di bawah sebuah bangunan berhampiran Pasar Pudu, di sini.
“Kebanyakan wanita warga asing berasal dari China itu tanpa segan silu menyapa setiap lelaki yang lalu-lalang sambil menggoda untuk melakukan hubungan seks di bilik disewa mereka di kawasan sama.

“Berdasarkan risikan, gadis warga China terbabit yang berpakaian menjolok mata dikesan melakukan tawar-menawar menggunakan bilangan jari tangan bagi mewakili jumlah bayaran ditetapkan,” katanya.

Selain itu, suspek turut dikesan menggunakan telefon bimbit bagi menetapkan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan pelanggan lelaki yang berminat mendapatkan khidmat mereka.

“Gadis terbabit turut didapati menjalankan kegiatan sebagai gadis teman sosial atau perempuan simpanan kepada lelaki tempatan dengan berpeleseran di medan selera di tingkat dua bangunan berkenaan,” katanya.



Serah wang elak diperkosa

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 27 tahun terpaksa menyerahkan wang tunai lebih RM100 dan telefon bimbitnya selepas diugut seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa mahu merogolnya jika enggan berbuat demikian, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Persiaran Titiwangsa, di sini, mangsa yang bersendirian selain bimbang dengan keselamatannya terpaksa akur dengan permintaan suspek berusia awal 30-an itu.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya berjalan bersendirian di laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan apabila tiba-tiba dihalang sebuah motosikal.

“Suspek kemudian turun daripada kenderaannya sebelum meminta wang mangsa. Pada mulanya mangsa enggan, namun selepas diugut mangsa akhirnya akur,” katanya.




Tiga lelaki dituduh culik, rogol gadis

KUALA TERENGGANU- Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Se-syen di sini, semalam atas dua tuduhan menculik dan merogol seorang gadis bawah umur pada Disember tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Sabri Rosli, 27 dari Bachok, Kelantan, Norizal Mamat, 28, dari Pasir Mas, Ke-lantan dan Wan Hafiz Wan Omar, 21, dari Kuala Lipis, Pahang, dituduh secara bersama bagi pertuduhan menculik dan secara berasingan bagi pertuduhan merogol.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak mengaku bersalah dan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut fakta kes, mereka dituduh mencapai niat bersama melarikan seorang gadis berumur 17 tahun dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan dengan salah di sebuah rumah kosong di Kampung Belukar Gorek, Bukit Payung, Marang pada 27 Disember tahun lalu kira-kira jam empat pagi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fazliah Mahmud mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh merogol gadis sama di sebuah rumah di Kampung Gelong Gajah, Pasir Panjang, di sini pada 27 Disember tahun lalu antara jam 5.40 pagi hingga 6.40 pagi.

Mereka didakwa mengikut Sek-syen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wan Hafiz turut dikenakan satu lagi pertuduhan iaitu meliwat mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 377 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat serta didenda jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 10 Febuari ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment