Monday, January 10, 2011

MENANGIS BERTAUBAT LEBIH BAIK....BUKAN TUTUP AURAT@BERTUDUNG TAPI BUNGKUS AURAT....BAGAIMANA TABARUJ@BERSOLEK TETAP HARAM....BERCAMPUR GAUL BUKAN MUHRAM PUN HARAM.....

Jemaah khurafat tarik emas

Oleh Asmah Rusman dan Hamizah Badiran

TERTIPU...Ramli menunjukkan emas sadur dan dua botol air mawar.
TERTIPU...Ramli menunjukkan emas sadur dan dua botol air mawar.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an untuk dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat menarik emas dari alam ghaib.
Wanita berkenaan yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, jumlah pemuda tampan yang menjadi pengikutnya mencecah 20 orang.
Mendedahkan kegiatan wanita terbabit, pemuda mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia menjadi pengikut jemaah tarik emas itu selama lebih enam bulan sebelum melarikan diri.

Ramli, 24, berkata, selepas termasuk dalam perangkap Ibu, amat sukar melepaskan diri kerana dia bukan saja mengumpan pengikutnya dengan wang ringgit serta seks, tapi turut bersikap agresif kepada sesiapa yang cuba berpaling tadah.


“Sesiapa bersetuju menjadi pengikutnya, disyaratkan mentaati dan menyayanginya dengan cara bersalam dan mencium kedua-dua pipinya setiap kali berjumpa.

“Lebih menjelekkan, selepas menjadi pengikut, kami dikehendaki tinggal di rumah ibu dan setiap malam kami tidur beramai-ramai di ruang tamu bersama-sama dengannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menceritakan pengalamannya pada beberapa malam pertama tidur di rumah Ibu, Ramli berkata, dia terperanjat apabila melihat bomoh wanita itu dengan selamba memeluk rakannya secara bergilir-gilir sepanjang malam.

“Saya lihat dia peluk rakan di sebelah saya ketika saya terjaga di tengah malam untuk membuang air. Esoknya, saya bertanya kepada Ibu mengenai perbuatannya itu.

“Ibu menjelaskan dia perlu tidur bersama-sama kami semua kerana bilik tidurnya digunakan Tuan Puteri untuk beradu. Kata ibu, Tuan Puteri itulah yang membantu usaha kami untuk menarik emas,” katanya.

Menurut Ramli, dia mengesyaki rakannya yang sudah lama menjadi pengikut jemaah khurafat itu turut melakukan hubungan seks dengan wanita berkenaan.

“Apabila ada antara kami yang minta izin untuk pulang ke rumah, Ibu akan jatuh sakit secara tiba-tiba dan memberi pelbagai alasan termasuk dia sakit dada, pening kepala dan demam, sambil menagih simpati,” katanya.

Menceritakan tugas sebagai ejen menarik emas, Ramli berkata, setiap pemuda yang tinggal bersama dan menjadi pengikut Ibu dikehendaki mencari pelanggan yang berminat dengan khidmat mereka.

Menurutnya, setiap pelanggan perlu membayar RM1,350 sebagai kos perbelanjaan membeli keperluan pemujaan termasuk satu kotak kayu berukir, sebotol minyak candu hitam, dua botol air mawar dan satu bilik khas di rumah masing-masing.

“Kotak kayu itu akan disiram dengan minyak candu hitam dan dua botol air mawar akan disimpan di dalam kotak sebelum diletakkan dalam bilik khas yang dihiasi dengan taburan bunga melur dan bunga mawar.

“Kotak kayu perlu itu disimpan dalam bilik khas selama sekurang-kurangnya 40 hari sebelum boleh dibuka. Sepanjang tempoh itulah, Tuan Puteri kononnya turun menarik emas,” katanya.

Ramli berkata, dia sempat menyediakan seorang pelanggan untuk Ibu menjalankan khidmat menarik emas, namun selepas hampir dua bulan, barulah dia menyedari semua yang dijanjikan wanita itu hanya pembohongan belaka.

“Selepas kira-kira 40 hari, Ibu masuk ke bilik seorang diri mengambil kotak kayu yang disimpan di situ dan dia keluar semula dengan memegang enam uncang pelbagai jenis barang,” katanya.


Anak bertindak agresif


KUALA LUMPUR: “Sehingga kini usaha saya untuk mengeluarkan anak saya daripada menjadi pengikut wanita itu gagal kerana dia begitu agresif dengan menyerang saya di rumah selepas saya melarang anak saya mengikutnya.”
Demikian kata wanita yang mahu dikenali Maimunah, ibu kepada seorang pemuda berusia 20-an yang menjadi anggota jemaah atau pengikut Ibu.

Maimunah, berkata, anaknya, Ashraf, memberitahu dia bekerja bersama seorang bomoh wanita yang handal dalam kerja menarik emas sambil mendalami ilmu agama.
“Bila saya halang anak saya daripada menyertai kumpulan itu, wanita berkenaan menyerang saya di rumah. Dia mengugut dan mengancam keselamatan kami sekeluarga,” katanya.

Maimunah berkata, dia bimbang anaknya terjebak dengan aktiviti khurafat dan terpesong daripada ajaran Islam jika terus menjadi pengikut wanita itu.

“Ini kerana saya difahamkan, wanita itu membawa anak saya melawat ke tanah perkuburan lama untuk menghantar minyak mawar kepada ‘jin’ kubur yang kononnya tahu lokasi emas tertanam,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata aktiviti ‘tarik emas’ atau ‘tarik duit’ dari alam ghaib sebenarnya satu perbuatan mustahil.



Sheila menangis

Oleh Ramlah Zainal

KECEWA...Sheila terkejut dengan arahan LPF.
KECEWA...Sheila terkejut dengan arahan LPF. 
KUALA LUMPUR: Baru empat episod ke udara di TV3, drama bersiri 20 episod, Sakti Delima terbitan JS Pictures Sdn Bhd terpaksa dihentikan siarannya, berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Produser drama itu, Sheila Rusly mengesahkan, perkara ini atas arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mendakwa drama arahan Azman Yahya atau Jinggo itu mengandungi unsur syirik dan tahyul ketara yang boleh memesongkan akidah Islam.

Sambil menangis, Sheila ketika menghubungi Harian Metro, petang semalam sangat kecewa dan kesal dengan arahan mengejut daripada LPF itu.

“Saya baru dapat tahu arahan ini dari TV3 yang memaklumkan perkara ini semalam. Saya difahamkan, LPF berkata, Sakti Delima boleh mengelirukan penonton kerana kalung Sakti Delima yang ditonjolkan berbaur syirik. Saya juga diberitahu, wakil LPF bertanya kepada pihak TV3, adakah orang bunian dalam cerita ini Islam ke tidak?” katanya.


Sheila berkata kisah Sakti Delima sebenarnya adalah adaptasi kira-kira 30 peratus dari filem klasik, Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Pancha Delima lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin.

“Ia menceritakan mengenai kesaktian seutas kalung yang jadi rebutan ramai. Ia cerita epik berdasarkan fantasi dan khayalan penulis Sofia J Rhyland dan 'team' produksi kami.

“Saya tertanya-tanya juga, apa bezanya cerita Sakti Delima dengan filem Pancha Delima yang banyak kali diulang tayang siarannya di TV? Bezanya, cerita Sakti Delima dihasilkan pada zaman ini tapi kita sendiri tidak tahu zaman berlakunya kisah fantasi itu,” katanya.

Dengan apa yang berlaku, Sheila melihat pihak LPF seolah-olah bersikap 'double standard' terhadap syarikatnya.

“Bagaimana LPF menilai Sakti Delima cerita syirik sedangkan ia baru disiarkan empat episod? Mereka belum tahu bagaimana penghujung cerita ini yang terselit pengajaran. Justeru, saya merayu kepada pihak LPF agar mempertimbang semula arahan menghentikan siaran Sakti Delima,” kata Shiela.

Dia berkata, pihaknya menghasilkan cerita Sakti Delima kerana ingin beri peluang kepada pelakon wanita bertudung di luar sana.

“Kalau LPF menghentikan siaran Sakti Delima, hasrat kami ingin membantu pelakon bertudung yang kurang tawaran berlakon, tidak kesampaian.

“Sebenarnya, ramai pelakon bertudung mengeluh kerana susah mendapat tawaran berlakon dan watak mencabar kredibiliti mereka. Peluang yang saya buka kepada pelakon bertudung untuk beraksi dalam produksi saya itu atas rasa tanggungjawab sebagai produser, sekali gus menyemarakkan bidang seni tanah air,” katanya.

Sheila berkata, pihaknya tetap menyelitkan nilai-nilai keislaman dan keindahan bahasa Melayu klasik dalam siri itu

“Kalau orang kata cerita ini tahyul banyak lagi cerita legenda yang lain yang buat cerita yang sama dan lulus tapisan LPF,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang mahu sabotaj Sakti Delima, Sheila tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Entahlah, itu saya tak pasti,” katanya.

Drama bersiri Sakti Delima menceritakan mengenai pengusaha chalet, Talib di pusat peranginan di tanah tinggi yang juga ayah tunggal kepada tiga anak perempuan iaitu Siti Anggerik, Siti Tanjung dan Siti Melur.

Siti Melur adalah anak bongsu yang kerap dibuli dua kakaknya (hasil perkahwinan pertama ayahnya). Taib juga sedih melihat sikap Siti Anggerik dan Siti Tanjung yang bukan saja asyik bertelagah sesama sendiri tapi sering membuli adik mereka, Siti Melur.

Satu malam, Siti Melur bermimpi berjumpa arwah ibunya yang memberitahu mengenai kehebatan kalung di lehernya yang digelar Sakti Delima yang mampu membawa tuah.

Barisan pelakon yang menjayakan Sakti Delima adalah Bienda, Safura, Aida Khalida, Catriona Ross, Ungku Ismail, Iqram Dinzly, Yalal Murai dan Sheila sendiri.

Ia menelan kos kira-kira RM500,000 dan sepatutnya ke udara di slot Lagenda TV3, jam 4.30 petang, mulai 3 Januari lalu

No comments:

Post a Comment