NEGARA
Penangan kekejaman ibu tiri
JOHOR BAHRU – Kesengsaraan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terpaksa menanggung pedih didera dipercayai oleh ibu tirinya sejak tiga bulan lalu berakhir dengan tragedi apabila dia disahkan mati di Kampung Sungai Tiram di sini kelmarin.
Lebih memilukan, kematian Nur Dania Qistina Nurafizan didakwa cuba disembunyikan oleh bapanya yang menghubungi bekas isterinya, Nur Aquilla Razali, 27, mengatakan mangsa mati kerana lemas selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air.
Lelaki itu yang cemas sebaik melihat anaknya tidak bernafas kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 8.25 pagi sebelum Nur Dania Qistina disahkan mati 35 minit kemudian.
Namun, bedah siasat mendapati terdapat 73 kesan lebam di seluruh badan Nur Dania termasuk muka, kaki dan badan dipercayai dipukul dengan benda keras atau tangan.
Difahamkan, Nur Dania Qistina bersama kakak, Nur Dania Batrisyah, 5, dan adiknya, Danish Irsyad, 1, dibawa tinggal bersama bapa dan ibu tirinya sejak tiga bulan lalu. Sebelum ini ketiga-tiga beradik itu menetap di rumah datuknya, Razali Ismail, 56, di Mersing, Johor.
Ibu tiri dusta
Oleh Mary Victoria Dass dan Sahlina Sahkirin
SAYU...jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 6, semalam.
PILU...Nur Aquilla (tengah) tidak dapat menahan kesedihan.
Nur Dania Qistina Nurafizan yang tinggal bersama bapa dan ibu tirinya yang berusia 25 tahun di Kampung Sungai Tiram di sini, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pagi kelmarin, selepas dibawa ke hospital oleh bapanya yang memberitahu dia lemas dalam baldi.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat dilakukan, pihak hospital mengesyaki punca kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan kejam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima polis, tengah hari semalam.
Menurutnya, laporan menunjukkan mangsa mempunyai 73 kesan penderaan fizikal selain lebam di dada.
“Doktor juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalaman di paru-paru dan menolak dakwaan ibu tiri mangsa yang menyatakan kanak-kanak itu lemas.
“Dalam laporan, bapa mangsa mendakwa menerima panggilan daripada isterinya pada jam 8.30 pagi ketika berada di tempat kerja dan wanita itu menyatakan anak kedua suaminya hasil perkahwinan pertama lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dan lemas di dalam baldi.
“Lelaki terbabit membawa mangsa dari rumah mereka di Kampung Sungai Tiram di sini ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, lelaki itu menyatakan anaknya tidak dapat diselamatkan dan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Roslan berkata, mengikut laporan bedah siasat, dakwaan ibu tiri mangsa bahawa mangsa lemas tidak benar kerana tiada tanda lemas dikenal pasti sebaliknya ada 73 kesan penderaan dan pendarahan dalaman di paru-paru.
Menurutnya, polis sudah menahan ibu tiri terbabit bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ibu luluh dapat peluk jasad selepas 3 bulan tak bertemu
JOHOR BAHRU: Kerinduan seorang kerani akaun untuk menemui anak perempuannya berusia tiga tahun sejak tiga bulan lalu, luluh apabila hanya dapat memeluk jasad kanak-kanak itu yang meninggal dunia dengan 73 kesan kecederaan di badannya dipercayai akibat didera.
Nur Aquilla Razali, 27, hanya mampu meratap pemergian anak keduanya itu, Nur Dania Qistina Nurafizan, serta pengsan beberapa kali selepas menuntut jenazah kanak-kanak itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, tengah hari semalam.
Tidak mampu menahan sebak, wanita itu turut pengsan beberapa kali menyebabkan beliau gagal ditemubual sehingga kanak-kanak itu dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenggaroh 6, dekat Mersing kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Adik Nur Aquilla, Mohd Kamaruzzaman, 25, berkata kakak sulungnya itu merindui Nur Dania serta dua lagi anaknya masing-masing perempuan berusia lima tahun dan lelaki berusia setahun, selepas mereka menetap dengan bapa mereka sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, kakaknya pernah cuba mencari mangsa dan dua anaknya itu namun menemui jalan buntu apabila dimaklumkan keluarga suaminya mereka tidak tahu di mana kanak-kanak itu berada.
“Namun semalam, abang ipar menghubungi saya dan memaklumkan Nur Dania sudah tiada. Saya sendiri memberitahu Nur Aquilla kejadian menimpa anaknya menyebabkan beliau agak sebak.
“Nur Aquilla sudah lama cari anak beliau, tahu-tahu saja anak keduanya, Nur Dania sudah menjadi arwah,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di FELDA Tenggaroh 6, semalam.
Difahamkan, anak lelaki Nur Aquilla turut mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berikutan kesan lebam pada muka, belakang telinga dan punggung selain mengidap demam sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan yang dibuat di Balai Polis Tiram, bapa mangsa Nurafizan Ludin, 30, menyatakan beliau menerima panggilan daripada isterinya, iaitu ibu tiri Nur Dania, mangsa tidak sedarkan diri selepas lemas dalam baldi di rumah pada kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.
Katanya, bapa mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang kemudian membawa Nur Dania ke hospital sebelum kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh doktor di HSI kira-kira sejam kemudian.
Roslan berkata, laporan bedah siasat ke atas mangsa mendapati ada 73 kesan kecederaan di seluruh badannya dan doktor mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan dalam paru-parunya dipercayai akibat penderaan fizikal.
“Polis akan menahan bapa dan ibu tiri mangsa dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Kanak-kanak 3 tahun mati didera
JOHOR BAHRU 10 Jan. – Sukar untuk digambarkan betapa seksanya penderitaan ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menjadi mangsa dera di Kampung Sungai Tiram di sini.
Hampir keseluruhan tubuhnya penuh dengan 73 kesan lebam dan luka.
Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja sanggup melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu.
Berikutan kecederaan itu, kanak- kanak tersebut, Nordiana Qistina Nurafizan, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi semalam di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun, turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh ibu tirinya. Kanak-kanak itu ini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama bapanya, Nurafizan Ludin, 29, seorang pekerja kilang manakala ibu tirinya pula seorang suri rumah.
Ibu kandung mangsa, Nor Aquilla Razali, 27, menetap di Pasir Gudang dan bercerai dengan Norafizan sejak setahun lalu.
Nor Aquilla ketika ditemui memberitahu, bekas suaminya itu menghubunginya untuk memaklumkan kematian Nordiana Qistina kira-kira pukul 11 pagi ini.
Wanita itu yang tidak dapat menahan perasaan setelah melihat keadaan mayat anaknya di Bilik Mayat HSI pengsan tiga kali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius.
“Punca kematian Nordiana Qistina adalah kerana 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya.
“Melalui bedah siasat, organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Roslan berkata, mangsa dihantar oleh bapanya ke HSI kira-kira pukul 8.25 pagi semalam namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Beliau memberitahu, ibu tiri mangsa sedang dicari dan dia berkemungkinan akan ditahan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia difahamkan, bapa mangsa membuat laporan polis mengatakan anaknya itu meninggal dunia kerana lemas ketika mandi dalam sebuah besen di rumahnya.
Jenazah Nordiana Qistina selamat dikebumikan di kampung datuknya di Felda Tenggaroh, Mersing, kira-kira pukul 5 petang tadi.
Dilarikan bapa
MERSING: Nur Dania Qistina Nurafizan, 3, yang dipercayai mati akibat didera ibu tirinya, didakwa dilarikan bapanya hampir tiga bulan lalu dan ibu kandungnya juga tidak dibenarkan bertemu mangsa serta dua adiknya yang lain.
“Siapa sangka selepas hampir tiga bulan bekas abang ipar melarang kakak bertemu ketiga-tiga anak kerana masalah rumah tangga, akhirnya kakak (Nur Aquilla, 27) kehilangan seorang cahaya matanya.
“Hatinya luluh kerana meratap jasad kaku Nur Dania dalam keadaan menyayat hati termasuk luka dan lebam di seluruh badan,” kata bapa saudara Nur Dania, Mohd Kamaruzzaman Razali, 25, ketika ditemui di Felda Tenggaroh 6, di sini, semalam.
Kamaruzzaman berkata, keluarganya terkilan dengan nasib menimpa anak kedua daripada tiga beradik selepas dilarikan bapa mereka pada Oktober lalu.
Menurutnya, kakak sulungnya itu terlalu merindui Nur Dania serta kakak mangsa berusia lima tahun dan adik lelaki berusia setahun, selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dilarikan bekas abang iparnya.
“Siapa sangka selepas hampir tiga bulan bekas abang ipar melarang kakak bertemu ketiga-tiga anak kerana masalah rumah tangga, akhirnya kakak (Nur Aquilla, 27) kehilangan seorang cahaya matanya.
“Hatinya luluh kerana meratap jasad kaku Nur Dania dalam keadaan menyayat hati termasuk luka dan lebam di seluruh badan,” kata bapa saudara Nur Dania, Mohd Kamaruzzaman Razali, 25, ketika ditemui di Felda Tenggaroh 6, di sini, semalam.
Kamaruzzaman berkata, keluarganya terkilan dengan nasib menimpa anak kedua daripada tiga beradik selepas dilarikan bapa mereka pada Oktober lalu.
Menurutnya, kakak sulungnya itu terlalu merindui Nur Dania serta kakak mangsa berusia lima tahun dan adik lelaki berusia setahun, selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dilarikan bekas abang iparnya.
No comments:
Post a Comment