Wednesday, September 5, 2012

ADA PERKARA YANG TAK BOLEH JANGKA...MAKA BERALAH TENTU ADA BAIKNYA

Mati dilanggar dalam rumah

Oleh Adnan Mohamad dan Rohaiza Ab Rahman
am@hmetro.com.my

INI YANG TINGGAL...Abdullah menunjukkan kesan darah pada bendera yang dilukis cucunya, Adam Firdaus.
INI YANG TINGGAL...Abdullah menunjukkan kesan darah pada bendera yang dilukis cucunya, Adam Firdaus.
TUMPAT: Seorang budak lelaki berusia dua tahun yang sejak beberapa hari lalu sering bermain sambil mengibar Jalur Gemilang, maut dalam keadaan masih memegang bendera kebanggaan negara itu selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas sebelum merempuh rumah kedai milik datuknya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang di Kampung Dalam Rhu, di sini, mangsa, Adam Firdaus Mohd Shukri meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat akibat parah di kepala, badan serta patah tulang rusuk.
Sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu bermain sambil memegang Jalur Gemilang di ruang tamu dengan diawasi ibunya, Nik Salwani Abdullah, 26, yang ketika itu menemani dua lagi anaknya, Shahrul Yuzy Faizal, 10, dan Mohd Ikhwan, 5, yang membuat kerja sekolah.

Tiba-tiba, sebuah Mercedes Benz 190E dipandu seorang lelaki berusia 60-an merempuh bahagian depan rumah kedai dan mangsa terseret bersama runtuhan konkrit dinding sebelum terbaring berlumuran darah di satu sudut ruang tamu.

Kanak-kanak itu diangkat neneknya, Aisyah Seberang, 55, ke luar rumah dan dibawa jiran ke Hospital Tumpat, tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Tembak ipar enggan kerja



PARAH...mangsa yang cedera di perut kini menerima rawatan di Hospital Keningau.
PARAH...mangsa yang cedera di perut kini menerima rawatan di Hospital Keningau.
KENINGAU: Berang sebaik menyedari adik iparnya enggan keluar bekerja, seorang lelaki bertindak ‘ala koboi’ apabila melepaskan dua das tembakan yang mengenai perut lelaki itu dalam kejadian di Kampung Samuran, dekat sini, Isnin lalu.
Mangsa dikenali sebagai Jojo, 32, kini menerima rawatan di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil selepas ditembak dari jarak dekat oleh abang iparnya dipercayai menggunakan sepucuk pistol.

Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mereka dipercayai bertengkar termasuk mangsa ada menegur abang iparnya berusia 50 tahun yang juga tidak keluar bekerja di ladang kepala sawit.
Sumber berkata, suspek kemudian mengambil sepucuk pistol lalu menuju ke bilik mangsa dan melepaskan dua das tembakan, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, suspek yang panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah kemudian melarikan diri.

“Beberapa anggota keluarga yang terkejut dengan tembakan itu mendapati mangsa terbaring sambil menekap perutnya yang berlumuran darah.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila kedua-dua bertengkar sebelum suspek menembak mangsa.

“Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru dipercayai pistol digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, polis sedang giat memburu suspek yang melarikan diri sebaik kejadian itu, manakala mangsa masih menerima rawatan di hospital.

“Polis meminta orang ramai yang mengetahui lokasi suspek menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau di talian 087-332 222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Dakap erat mayat

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

KASIH SAMPAI MATI...mayat mangsa dipeluk ibunya.
KASIH SAMPAI MATI...mayat mangsa dipeluk ibunya.
KUALA LUMPUR: Seorang ibu terpaksa dipujuk berulang kali supaya melepaskan dakapan mayat anak lelakinya yang maut selepas digilis lori dipandunya sendiri di Taman Taynton Harmoni, Cheras, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, S Thiayagarajan, 23, cuba menahan lorinya yang bergerak menuruni tebing bukit sejurus dia turun dari kenderaan itu, dipercayai akibat masalah brek.

Sumber polis trafik berkata, mangsa dan kelindannya ketika itu baru tiba di lokasi berkenaan untuk menghantar 50 kampit simen bagi kerja ubah suai sebuah banglo.

Menurutnya, apabila mendapati lori tiga tan dipandunya bergerak menuruni tebing, mangsa berlari ke bahagian depan lori untuk menahan, namun tindakannya itu mengundang padah apabila dia digilis dan diseret kira-kira lima meter.

“Mangsa yang cedera parah di badan, mati di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Pensyarah pitam rempuh tembok



ALOR GAJAH: “Tiba-tiba saya pitam dan kereta merempuh tembok jambatan,” kata pensyarah Kolej Risda, Mahfuzah Jamaluddin, 28, selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Jalan Lendu-Alor Gajah, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.50 petang, mangsa memandu Produa Myvi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kelemak, di sini, selepas makan bersama dua rakan.

Mahfuzah berkata, dia yang mengalami penyakit migrain tidak menyangka ia berlaku ketika memandu.
Dakwanya, dia pitam ketika memandu sebelum tersedar selepas bunyi dentuman akibat merempuh tembok jambatan di kiri jalan dan cedera di betis kiri.

“Ketika buka mata, saya lihat kereta melintang atas jambatan, cepat-cepat saya keluar dari kereta bimbang dirempuh kenderaan lain. Pengguna jalan raya berhenti lalu menghulurkan bantuan sambil menenangkan saya sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

“Orang ramai minta saya bertenang dan berinteraksi kerana bimbang saya pengsan,” katanya yang juga pensyarah jurusan pengurusan perniagaan itu di sini, kelmarin. Jurucakap Paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan kecemasan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan berkenaan.

Tragedi tinggal anak dalam kereta



DUNGUN: Tindakan seorang bapa meninggalkan anaknya berusia lima tahun dalam kenderaan ketika menunggu bantuan mekanik di seberang jalan mengundang tragedi apabila anaknya yang terjaga daripada tidur terus keluar dari kereta sebelum dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 81.5, Jalan Jerangau-Jabor, dekat Bukit Besi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Nur Anis Nabila Abdul Ghani, 5, meninggal dunia selepas dilanggar kereta terbabit ketika menuju ke arah bapanya yang berada dalam sebuah kedai makan di seberang jalan.

Bapa mangsa, Abdul Ghani Abdul Rahman, 45, berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, di sini untuk ke rumah ibunya di Manir, Kuala Terengganu.
“Saya bertolak dari rumah jam 9 malam dan setibanya di tempat kejadian 30 minit kemudian, kereta mengalami kerosakan enjin menyebabkan terpaksa berhenti di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia cuba menghubungi mekanik membaiki keretanya, tetapi gagal berikutan liputan isyarat telefon bimbit di sekitar Bukit Besi mengalami masalah.

“Selepas dua jam berusaha mendapatkan bantuan termasuk melihat jika ada rakan lalu di kawasan itu, saya yang lapar menyeberangi jalan untuk makan di sebuah kedai berdepan tempat saya meletakkan kereta,” katanya.
Menurutnya, ketika itu, arwah nyenyak tidur dalam kereta dan tidak sampai hati untuk mengejutkannya.

Katanya, selepas membayar harga makanan dan minuman, dia berjalan keluar dari kedai untuk pergi semula ke keretanya.
“Dalam suasana jalan gelap, saya ternampak kelibat arwah berlari dari arah depan kereta untuk melintas dan belum sempat saya menjerit, sebuah kereta dari arah Kuantan melanggarnya,” katanya.

Menurutnya, dia berlari mendapatkan anaknya itu yang terbaring atas jalan raya ketika itu arwah sudah tidak sedarkan diri manakala kepala, mulut dan telinganya berdarah.

“Dengan bantuan pemandu yang melanggar anak, saya membawa arwah ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan, tetapi arwah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Dungun, kira-kira jam 12.30 tengah malam,” katanya.

Ibu arwah, Mahani Mamat, 35, berkata, sebelum kejadian, arwah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik ada mengajaknya ke rumah nenek tidak jauh dari kediaman mereka.

“Selepas pulang sekolah, arwah bersungguh-sungguh mengajak saya ke rumah ibu saya selepas gurunya memaklumkan ada orang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan berhampiran rumah neneknya,” katanya yang hamil lima bulan.

Katanya, dia bagaimanapun tidak memenuhi permintaan anaknya kerana sibuk dengan kerja rumah selain tiada orang meninggal dunia seperti dinyatakan.

Mahani berkata, dia pelik apabila arwah memberitahunya terdengar orang membaca surah Yasin dalam rumah sedangkan ketika itu tiada sesiapa berbuat demikian.

“Malam itu selepas mendapat tahu bapanya mahu pulang ke rumah nenek sebelah bapa di Manir, arwah hendak ikut sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian jika saya tidak turut-serta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Remaja kejar penyamun ditembak lima kali



AMPANG JAYA: Seorang pemuda berusia 18 tahun nyaris maut selepas ditembak lima das ketika mengejar dua penyamun yang merompaknya dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Perdana, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa tidak cedera sebaliknya cermin keretanya terkena satu daripada tembakan yang dilepaskan seorang daripada suspek.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila kedai tempat mangsa bekerja di Pandan Perdana dimasuki dua lelaki berusia 20-an yang bersenjatakan pistol.
“Dua suspek itu mengarahkan mangsa menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai. Sebaik memperoleh barangan berkenaan, suspek melarikan diri menggunakan Proton Gen.2 merah yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

Sumber itu berkata, mangsa merempuh kereta dinaiki dua suspek itu dari belakang ketika berada di MRR2 berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Perdana.

“Seorang daripada suspek melepaskan lima das tembakan menyebabkan mangsa menghentikan kenderaannya manakala suspek meloloskan diri.
“Satu daripada tembakan mengenai cermin hadapan kereta mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Nyawa melayang di tangan abang

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

KEMAMAN: Berpunca daripada masalah tayar motosikal pancit, nyawa seorang lelaki melayang di tangan abang kandungnya sendiri selepas dua beradik itu bergaduh di rumah ibu bapa mereka di Kampung Telaga Papan, Kerteh, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, Abdul Hisham Ahmad, 23, yang cedera di perut dipercayai akibat tikaman satu objek tajam rebah di ruang tamu rumah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kerteh, setengah jam selepas itu.

Kejadian berlaku apabila mangsa bertengkar dengan abangnya yang berusia 37 tahun selepas abangnya itu tidak puas hati kerana mangsa yang juga adik bongsunya tidak membaiki tayar motosikal ibu mereka yang pancit.

Bapa mangsa, Ahmad Din, 59, berkata ketika kejadian, dia menonton televisyen di ruang tamu bersama dua beradik itu dan pada mulanya tidak mempedulikan pertengkaran kedua-dua anaknya itu kerana menganggap ia hanya perkara kecil.

“Bagaimanapun, pertengkaran itu semakin memuncak sehingga berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan saya bertindak menghalau si abang keluar dari rumah,” katanya.

Parang majikan

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KENINGAU: Berang kerana lewat menerima gaji, seorang pekerja lelaki ‘naik hantu’ sebelum menetak kepala majikannya menggunakan parang menyebabkan mangsa menerima 10 jahitan dalam kejadian di sebuah stesen pencawang elektrik di Jalan Kampung Mottou, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Lawrence Yong King, 36, turut menerima tiga jahitan di lengan kiri ketika cuba mempertahankan diri daripada ditetak pekerjanya itu.

Sumber berkata, ketika kejadian, suspek yang juga juruteknik berusia 30-an dipercayai menemui mangsa, yang juga majikannya kerana mahu menuntut gaji awal berikutan mengalami masalah kewangan.
“Bagaimanapun, majikan suspek dikatakan enggan memenuhi permintaan suspek, malah menegaskan gaji hanya akan dibayar pada 7 September menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Suspek mengambil parang dan menetak Lawrence sehingga mangsa rebah. Serangan kali kedua suspek mengenai lengan kiri mangsa cuba mempertahankan diri,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendapatkan bantuan pekerja lain manakala suspek melarikan diri.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan dan menerima 10 jahitan di kepala dan tiga jahitan di lengan, namun keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Robert Solisip@David berkata, polis memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Ratap mayat ibu

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Tangisan luar biasa seorang kanak-kanak lelaki di sebuah flat di Taman Bukit Belian, dekat sini, membawa kepada penemuan mayat ibunya di bahagian dapur rumah, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kejadian disedari seorang jiran yang terdengar kanak-kanak berusia lima tahun itu menangis dengan kuat.

Difahamkan, katanya, kanak-kanak terbabit menangis selepas mencari ibunya, Umi Nadia Izhar, 31, yang terbaring di ruang dapur dan tidak memberikan tindak balas apabila cuba dikejutkan bangun.
Difahamkan, ketika kejadian, hanya dua beranak itu yang berada di rumah manakala suaminya keluar bekerja sebagai pemandu lori.

“Curiga dengan tangisan kanak-kanak itu, jiran mangsa datang memeriksa sebelum menjumpai mayat mangsa di bahagian dapur rumah.

“Dia kemudian menghubungi pihak polis pada jam 9.20 pagi memaklumkan penemuan itu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Saiful Azly berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa menghidap penyakit barah pangkal rahim dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca suri rumah berkenaan meninggal dunia kerana komplikasi paru-parunya berair dengan teruk,” katanya.

Samun lepas main komputer



KUALA LUMPUR: Main dulu kemudian samun. Itu dilakukan dua lelaki yang menyamar sebagai pelanggan sebuah kafe siber di Setapak, dekat sini, sebelum mereka bertindak melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa dianggarkan bernilai RM5,000, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua lelaki terbabit masuk ke dalam premis itu kononnya ingin bermain permainan komputer manakala pekerja di premis terbabit tidak mengesyaki apa-apa.

Menurut sumber, bagaimanapun selepas setengah jam berada di dalam premis itu, kedua-dua suspek menuju ke kaunter seolah-olah ingin membuat bayaran.
“Pekerja itu kemudian memberitahu caj yang dikenakan sebelum salah seorang suspek tiba-tiba mencekik leher mangsa dan meminta dia menyerahkan semua wang yang ada di dalam laci kaunter.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa cuba meronta namun gagal malah diugut akan dicederakan jika enggan menyerahkan wang terbabit menyebabkan dia yang ketakutan terpaksa akur dan membuka laci mengandungi wang hasil perniagaan pada hari berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek terus merampas sejumlah wang tunai dan mengambil tiga telefon bimbit yang turut berada di atas kaunter berkenaan.
“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa dan kebetulan ketika kejadian tiada pelanggan lain di dalam premis berkenaan.

“Sebaik memperoleh hasil samun itu, kedua-dua suspek terus melarikan diri menaiki kereta Proton Wira,” katanya.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Al-Aqsa dalam bahaya

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Mereka terus menggali dan Masjid al-Aqsa di Palestin kini dalam bahaya dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” kata Sheikh Raed Salah, 54, pemimpin pergerakan Islam terkenal Palestin yang mendedahkan usaha Pihak Berkuasa Antikuiti Israel menggali terowong di bawah tapak masjid berkenaan sejak 40 tahun lalu kononnya untuk mencari bukti peninggalan warisan Yahudi.
Beliau berkata, penggalian itu diteruskan sebagai usaha Yahudi untuk meruntuhkan masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam dan membina kuil mereka di tapak masjid yang terletak di Baitulmaqdis itu.

“Masjid al-Aqsa boleh roboh kerana mengalami banyak rekahan dan retakan berpunca daripada kegiatan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel itu.
“Malah, menurut laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Israel menggunakan sejenis cecair kimia untuk menggali terowong berkenaan,” katanya ketika berucap di sebuah hotel, di sini, semalam.

Sheikh Raed yang juga pengasas Harakah Islamiah di Palestin dan Pengerusi Majlis Tertinggi untuk Dakwah dan Bantuan Baitulmaqdis dibawa ke negara ini oleh Aman Palestin.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Umn al-Fahm di Palestin pada 1993 dan berjaya menentang pencerobohan tentera Israel dalam peristiwa ar-Rahan yang menyaksikan tentera Israel menceroboh bandar Umn al-Fahm serta menembak dan mencederakan hampir 600 penduduk bandar itu.
Katanya, sebagai rakyat Palestin apa yang ingin ditekankan ialah isu Masjid al-Aqsa dan bukannya isu Palestin semata-mata.

“Masjid al-Aqsa disebut dalam al-Quran dan ia kiblat pertama umat Islam sebelum ia diubah ke Kaabah di Masjidil Haram, Makkah. Jadi, ia adalah isu agama Islam yang perlu dipertahankan kita semua,” katanya yang juga pejuang nasib rakyat Palestin yang digeruni Israel.
Sheikh Raed yang turut mendapat gelaran Sheikh Al-Aqsa di kalangan media antarabangsa berkata, beliau menjadi benteng manusia di hadapan Masjid al-Aqsa, baru-baru ini ketika Israel cuba untuk merobohkan masjid berkenaan.

Katanya, bukan saja Masjid al-Aqsa dijadikan sasaran, malah puluhan masjid yang masih teguh berdiri di Palestin diubah suai kepada kandang ternakan, tempat hiburan dan pameran minuman keras.

“Sehingga ke hari ini sudah 40 tahun Israel menggali terowong di bawah Masjid al-Aqsa, tetapi gagal menemui sebarang peninggalan warisan Yahudi seperti yang didakwa mereka,” katanya.

Menurut beliau, di Palestin kebanyakan tanah perkuburan umat Islam digali semula dan tengkorak mereka dibuang di kawasan laut sebelum tapak kubur berkenaan dibangunkan sebagai kawasan perumahan dan komersial oleh Israel.

“Sebanyak mana pun usaha mereka melenyapkan umat Islam kami tidak akan pernah mengalah kerana kami hanya mempunyai dua pilihan sama ada berjuang untuk hidup di bumi kami atau mati di bumi kami sebagai syuhada,” katanya.

Cucu ugut bunuh datuk tegur bawa pulang wanita



GEORGETOWN: Berang dengan teguran kerana membawa pulang teman wanita ke rumah, seorang cucu lelaki sanggup bertindak ‘samseng’ apabila mengugut mahu membunuh datuknya di sebuah rumah di Sungai Dua, Gelugor di sini, pagi Selasa lalu.
Kejadian berlaku jam 2.30 pagi apabila suspek berusia 24 tahun pulang ke rumah keluarganya bersama teman wanita berusia 20-an sebelum disedari datuknya berusia 71 tahun turut tinggal di rumah berkenaan.

Jurucakap polis berkata, berlaku pertengkaran kecil antara datuk dan cucu lelakinya sehingga menyebabkan suasana kecoh.
Katanya, pertengkaran itu menyebabkan ibu suspek campur tangan dan masing-masing menyalahkan satu sama lain sebelum suspek mengancam membunuh datuknya.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Desa Permai Indah, Sungai Dua, jam 4.05 pagi dan sepasukan anggota polis menahan suspek di rumahnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment