Harga barangan tidak dikawal sepanjang masa
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, selain produk yang terdapat dalam senarai subsidi, kerajaan tidak mengawal harga barangan keperluan pengguna sepanjang masa.
Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan pasaran bebas, harga barangan pengguna adalah berdasarkan permintaan dan penawaran yang berlaku dalam sesebuah pasaran.
"Ini yang rakyat perlu faham, kerajaan hanya kawal harga produk subsidi dan barangan keperluan sewaktu musim tertentu serta untuk tempoh yang telah ditetapkan sahaja.
"Itu pun terhad kepada beberapa barangan sahaja. Contohnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas terdapat 20 barangan dimasukkan di bawah skim kawalan harga musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini semalam.
Beliau yang diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan harga barangan keperluan naik selepas sambutan Aidilfitri baru-baru ini berkata, sehingga hari ini kementeriannya tidak menerima laporan mengenai perbezaan harga barang yang tinggi daripada pengguna.
Bagaimanapun, Ismail Sabri mengingatkan bahawa pihak kementerian sentiasa mengadakan pemantauan bagi mengelakkan kenaikan mendadak harga sesuatu barangan tanpa alasan yang munasabah sehingga boleh membebankan rakyat sebagai pengguna. - Bernama
Felda tampung kos pinjaman PTPTN
BESUT – Felda akan menampung sebahagian kos pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan kepada anak-anak peneroka Felda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan tersebut adalah sebahagian langkah Felda untuk memperluaskan peranan agensi berkenaan sesuai dengan prinsip berkongsi kekayaan.
Beliau berkata, Felda dijangka memperuntukkan RM15 juta bagi menampung kos berkenaan untuk tahun pertama.
“Felda bersetuju untuk berkongsi beban pembiayaan PTPTN dengan menampung sebahagian kos pinjaman yang diberikan khusus untuk anak-anak Felda dan sebahagian lagi dibiayai PTPTN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tasik Tok Lebai di sini semalam.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Najib, keputusan Felda itu juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan selain mencerminkan kejayaan Felda khususnya dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) dalam Bursa Malaysia.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan Felda untuk memperluaskan skim latihan kemahiran yang dianjurkan oleh agensi itu kepada anak-anak bukan peneroka Felda.
Katanya, seramai 2,000 peserta akan diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus latihan dan kemahiran seperti program di bawah skim Malaysia Airlines (MAS) yang menawarkan kursus kejuruteraan penyenggaraan pesawat serta institusi-institusi lain.
Buang mayat bayi di tandas hospital
KUANTAN – Seorang remaja yang telah terlanjur bertindak kejam apabila cuba mengepam mayat bayi yang baru dilahirkannya ke dalam mangkuk tandas di Wad Teratai 2C di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.
Namun, perbuatan jahat itu terbongkar akhirnya apabila mayat bayi berkenaan tersekat di dalam mangkuk tandas sebelum ia ditemui oleh seorang kakitangan hospital pada pukul 4.45 pagi.
Difahamkan, sebelum kejadian, remaja berusia 16 tahun tersebut pergi ke hospital berkenaan untuk menemui ibunya yang sedang dirawat.
Dia kemudian telah pergi ke wad tersebut untuk melahirkan bayi di dalam tandas kerana kawasan tersebut dipenuhi dengan ibu bersalin dan tangisan bayi yang disangka dapat menutup kelakuan tidak berhati perutnya itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kakitangan hospital berkenaan yang terkejut kemudian memaklumkan penemuan itu kepada ketuanya sebelum menghubungi polis.
“Siasatan mendapati kepala dan badan bayi malang itu tersumbat di dalam lubang mangkuk tandas sebelum kita mendapatkan bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa.
“Selepas menjalankan siasatan, kita kemudian dapat menahan remaja berkenaan di dalam kawasan hospital. Soal siasat kemudian mendapati remaja itu mengaku melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, pemeriksaan terhadap suspek menemui kesan yang dia baharu sahaja melahirkan anak. Suspek juga bertindak meninggalkan bayinya selepas mendapati ia tersumbat di dalam mangkuk tandas tersebut.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Rugi besar ditipu penjual mesin
MUAR - Seorang pekerja kilang kerugian hampir RM110,000 selepas diperdaya satu sindiket yang kononnya mampu membuat mangsa kaya dengan hanya membeli mesin penapis air dan mesin terapi kaki berharga RM1,500 pada September tahun lalu.
Wanita berusia 58 tahun dari Tanjung Agas di sini menyedari dia ditipu pada awal bulan ini apabila mendapati hadiah wang sebanyak RM155,000 yang dijanjikan penjual lelaki dan wanita tersebut tidak diterima hingga kini.
Modus operandi suspek ialah menjanjikan pulangan yang lumayan sekiranya mangsa membuat banyak pelaburan dalam tempoh yang ditetapkan.
Suspek akan memberikan pelbagai alasan sekiranya mangsa bertanya mengenai hadiah tersebut hingga mangsa sendiri akhirnya tersedar yang dia telah diperdaya.
Sepanjang tempoh itu, mangsa telah melakukan 13 transaksi untuk memasukkan wang ke dalam sebuah akaun sebelum merasa curiga lalu memberitahu hal berkenaan kepada anak saudaranya.
Anak saudara mangsa yang curiga telah membuat pemeriksaan di syarikat yang didakwa tempat suspek bekerja sebelum mendapati identiti lelaki dan wanita itu tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek kemudian berhenti menghubungi mangsa selepas menyedari tembelangnya pecah.
"Suspek berusia lingkungan 30-an. Mangsa kerugian RM109,570. Sindiket bijak memperdaya dengan menggunakan beberapa taktik tertentu termasuk memakai nama Bank Negara," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohamad Nasir memberitahu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 16 dan 17 tahun di Parit Punggor dan Parit Unas di sini pada pukul 1.30 pagi, 28 Ogos lalu kerana terlibat dalam kes mencuri motosikal.
Katanya, salah seorang suspek menjadikan belakang rumahnya sebagai bengkel untuk meleraikan motosikal curi untuk menjual komponennya seperti enjin, ekzos dan brek cakera.
Bayi 17 hari mati tersedak susu
|
GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki yang baru 17 hari dilahirkan maut selepas tersedak susu yang dipercayai diberi ibunya sendiri di kediaman mereka di Desa Indah Relau, Sungai Nibong di sini semalam.
Bayi berkenaan, Ng Kian Weng disahkan mati di rumah itu selepas anak bongsu daripada dua beradik tersebut dikatakan tidak lagi bergerak dengan mukanya pucat selepas diberi minum susu pada pukul 6 pagi.
Ibu bapa mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian bergegas mengejarkan bayi mereka ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Namun mangsa disahkan telah mati sebelum dibawa ke situ.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mayat bayi lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar forensik, Dr. Ariza Kamaruddin mendapati, punca kematiannya adalah disebabkan tersedak susu di saluran pernafasan.
“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ahli keluarga bayi itu bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kematian Kian Weng yang dilahirkan pada 20 Ogos lalu.
Elak banjir kilat berulang
SERDANG - Kira-kira 1,000 penduduk Taman Sri Serdang (TSS) di sini yang terjejas teruk akibat kejadian banjir kilat baru-baru ini meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian segera bagi mengelakkan peristiwa tersebut berulang.Pengerusi Rukun Tetangga TSS, Khalid Lambak berkata, kerajaan seharusnya tampil membantu menyediakan sistem perparitan yang lebih sempurna, di samping mendalamkan longkang sedia ada.
"Penduduk telah kerugian ratusan ribu ringgit disebabkan kejadian baru-baru ini yang disifatkan terburuk pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun sejak kawasan ini dibuka.
"Salah satu punca berlaku banjir kilat ialah kesan daripada pembangunan pesat yang tidak terancang di kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang penduduk, Nahariah Yusof, 59, berkata, pihak berkuasa seolah-olah tidak mengambil iktibar dengan kejadian banjir yang pernah melanda kawasan tersebut pada tahun 2006.
"Saya telah mengalami kerugian mencecah hampir RM100,000 melibatkan barangan elektronik dan perabot rumah," katanya yang mengakui tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana berseorangan di rumah ketika kejadian.
Seorang guru, Zurita Yeh, 29, berkata, kejadian banjir kilat itu disebabkan oleh kemudahan infrastruktur yang tidak seimbang dengan pembangunan yang dijalankan berdekatan kawasan itu.
"Pembangunan tidak menjadi masalah sekiranya ia dapat diselaraskan dengan infrastruktur yang baik seperti menyediakan sistem perparitan yang dapat menampung aliran air ketika hujan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Sementara itu, seramai 200 orang pelajar dan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu membersihkan rumah penduduk setempat dan bangunan sekolah yang terjejas akibat banjir kilat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan turut hadir bagi menyampaikan sumbangan wang tunai RM400 kepada pelajar UPM yang terjejas akibat banjir tersebut.
Penduduk hilang pendapatan
PASIR PUTEH – Lebih 50 pemilik kebun buah-buahan di Kampung Cheker dan Kampung Kandis, dekat sini dilanda kebimbangan ekoran kehadiran seekor gajah liar di kawasan itu hingga menyebabkan mereka hilang punca pendapatan sejak dua bulan lalu.Penduduk mendakwa, gajah berkenaan yang berketinggian kira-kira empat meter dan dianggar mempunyai berat lima tan itu turut rakus mencari makanan sehingga memusnahkan hampir keseluruhan tanaman pisang dan pokok getah.
Haiwan tersebut turut dilihat berlegar di atas jalan ladang kira-kira 500 meter dari rumah penduduk pada waktu malam.
Seorang pemilik kebun di Kampung Cheker, Mat Taib Mat Harun, 49, berkata, sepanjang bulan Ramadan lalu, kebanyakan pemilik kebun terpaksa membiarkan durian milik mereka gugur begitu sahaja dan tidak dipungut kerana takutkan gajah liar itu yang sering berehat pada awal pagi di kawasan kebun durian.
“Durian yang gugur sering menjadi habuan gajah sekiranya lewat dipungut.
“Saya sering menemui gajah yang berada kira-kira 20 meter dari kawasan kebun durian. Saya memberanikan diri masuk ke kebun untuk memungut hasil kerana itu antara punca pendapatan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mat Taib memberitahu, beberapa hari lalu, kebun pisang miliknya menjadi mangsa kerakusan gajah liar tersebut.
Dia mendakwa, mengalami kerugian sebanyak lebih RM1,000 dan sebahagian pokok pisang kebatu dan jelar berangan yang baru mengeluarkan putik musnah dimakan gajah.
Seorang lagi penduduk, Abdul Hadi Sulaiman, 48, dari Kampung Kandis pula mendakwa, lebih 20 hektar tanaman pisang dan getah yang diusahakannya turut musnah.
“Pemilik kebun terbabit sudah melaporkan kemunculan gajah liar ini pada pertengahan bulan puasa lalu kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun hingga kini, haiwan tersebut masih bebas,” katanya.
Justeru, dia berharap agar pihak terbabit seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera untuk menangkap gajah berkenaan yang menakutkan penduduk untuk ke kebun mereka.
Penduduk Pangsapuri Aman menderita
PUCHONG - Kira-kira 4,000 penduduk di Pangsapuri Aman, Taman Puchong Prima di sini merayu pihak bertanggungjawab agar segera menyelesaikan masalah mereka yang sentiasa berhadapan dengan kerosakan lif, bekalan air yang dipotong dan sampah yang tidak dikutip.
Menurut penghuni, mereka kini hidup dalam keadaan tertekan apabila pemaju, pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) hanya saling menuding jari tanpa sebarang jalan penyelesaian.
Wakil penduduk E. Suresh mendakwa, sejak tinggal di situ pada 2008 sehingga kini, lebih enam kali empat buah lif yang ada di pangsapuri sembilan tingkat itu rosak.
Katanya, kes terbaharu berlaku sejak Mei lalu apabila semua lif di situ rosak tanpa sebarang tindakan daripada mana-mana pihak.
"Kami tidak pernah gagal membayar wang penyelenggaraan RM80 sebulan tetapi JMB yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak menyelesaikan masalah ini.
"Masalah paling besar ialah kepada wanita mengandung dan orang tua yang sakit kerana mereka terpaksa turun naik tangga setiap hari untuk urusan harian," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Suresh berkata, dalam kejadian baru-baru ini, seorang penduduk yang diserang sakit jantung meninggal dunia sebelum sempat dibawa hospital kerana sukar untuk turun dari rumahnya di tingkat sembilan.
M. Paanjalee, 45, pula mendakwa dia turut berdepan masalah mendapatkan rawatan susulan untuk suaminya yang lumpuh ekoran kerosakan lif.
Selain itu, katanya, bekalan air yang kerap dipotong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga telah menyukarkan mereka untuk menguruskan aktiviti harian.
"Pada 31 Ogos lalu, bekalan air dipotong selama empat hari ekoran hutang JMB kepada Syabas berjumlah RM196,000," keluhnya.
Sementara itu, E. Vikneswary, 28, bimbang dengan longgokan sampah yang melimpah dan bersepah kerana kegagalan pengurusan membersihkan sampah di kawasan itu.
Kereta elektrik sudah ada pada tahun 1906
SYDNEY, Australia - Seorang jurutera mekanikal yang telah bersara, Bill Lloyd memiliki sebuah kereta elektrik keluaran tahun 1915 buatan sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS).
Lloyd, 61, menganggap kereta tersebut sebagai koleksi antik yang paling terkenal pernah dimilikinya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 40,000 buah kereta elektrik itu dikeluarkan oleh Syarikat Kereta Elektrik Anderson di Detroit, AS dari tahun 1906 hingga 1940.
Bagaimanapun, hanya terdapat empat buah kereta tersebut yang masih boleh digunakan di Australia.
Kereta itu mempunyai kelajuan maksimum kira-kira 40 kilometer sejam.
Bateri kenderaan tersebut perlu dicas selepas bergerak sejauh 80 kilometer. - AFP
Wanita berbogel bersama Putera Harry ditangkap
NEW YORK - Seorang wanita yang mendakwa telah berbogel bersama pewaris ketiga takhta Britain, Putera Harry telah ditangkap pada 24 Ogos lalu, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.Wanita itu, Carrie Lynn Reichert yang berusia 40 tahun ditangkap di San Diego, Amerika Syarikat ketika dia cuba untuk menaiki sebuah pesawat ke Mexico.
Menurut sumber penguat kuasa undang-undang, Reichert dikehendaki di daerah Harrison, Mississippi kerana menulis cek tendang bernilai AS$21,672 (RM67,474.0) bermula pada Ogos 2003.
"Pegawai-pegawai kastam mengesannya di lapangan terbang. Dia bercadang mahu keluar negara tetapi kami dapat menangkapnya," kata sumber tersebut.
Sumber itu memberitahu, dia boleh dikenakan hukuman penjara lebih setahun jika disabitkan kesalahan melakukan penipuan.
"Kenapa anda boleh menjadi terlalu bodoh?Anda mengetahui kami mempunyai waran berhubung cek tendang yang ada tulis.
"Selepas 9/11 (serangan pengganas di New York pada 11 September 2001), anda tahu kami memeriksa setiap orang di dalam pesawat," kata sumber berkenaan.
Reichert kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Santee, California.
Pada bulan lalu, Reichert memberitahu majalah People bahawa dia bercium dan berbogel dengan Putera Harry semasa parti diadakan di sebuah hotel di Las Vegas pada bulan lalu.
Gambar bogel putera itu turut disiarkan di muka depan akhbar The Sun di Britain pada 24 Ogos lalu.
Putera Harry merupakan cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.
Beliau merupakan anak Putera Charles dengan mendiang Lady Diana.
Putera Charles merupakan pewaris pertama takhta Britain diikuti Putera William yang juga abang Putera Harry. - Agensi
Cucu pengasas Red Bull didakwa mabuk ketika memandu
BANGKOK – Polis Thailand semalam menyatakan, pihaknya telah mendakwa pewaris empayar minuman tenaga Red Bull kerana memandu dalam keadaan mabuk selepas dia dituduh membunuh seorang anggota polis semasa memecut kereta Ferrarinya dari lokasi kejadian.
Seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Wiradon Tubtimdee berkata, ujian yang dilakukan beberapa jam selepas kemalangan pada Isnin lalu menunjukkan kandungan alkohol dalam darah pewaris berusia 27 tahun itu, Vorayuth Yoovidhya berjumlah 0.063 peratus.
Menurutnya, kandungan alkohol tersebut melebihi had yang dibenarkan iaitu 0.05 peratus.
Vorayuth diperintahkan hadir untuk mendengar dakwaan baharu itu dengan dia boleh dikenakan hukuman lebih berat jika didapati bersalah.
Pemuda itu telah didakwa kerana memandu dalam keadaan berbahaya dan mengelakkan diri daripada ditangkap.
Menurut Wiradon, lelaki itu belum melaporkan diri kepada polis untuk mendengar tuduhan baharu tersebut.
Peguam Vorayuth bagaimanapun mendakwa, anak guamnya tidak minum arak sebelum kemalangan itu berlaku.
Polis menyatakan, Vorayuth mengaku dia memandu kereta Ferrari yang melanggar motosikal anggota polis berkenaan tetapi memberitahu bahawa anggota polis terbabit membelok di hadapan keretanya.
Beberapa saksi memberitahu, anggota polis itu diseret kereta Ferrari itu sebelum kenderaan tersebut meninggalkan lokasi kejadian dengan dipandu laju.
Namun, polis mengekori tumpahan minyak di lokasi kemalangan menuju ke rumah yang menjadi tempat tinggal Vorayuth.
Rumah itu milik pengasas Red Bull, mendiang Chaleo Yoovidhya.
Chaleo yang merupakan antara orang terkaya di Thailand, meninggal dunia pada tahun ini. – AP
Kanak-kanak ditemui di bawah mayat
|
PARIS – Seorang kanak-kanak perempuan warga Britain berusia empat tahun bersembunyi selama lapan jam di bawah dua mayat ahli keluarganya yang mati ditembak di tempat duduk belakang sebuah kereta BMW di kawasan pergunungan Alps di Perancis kelmarin.
Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline.
Pendakwa raya bandar Annecy, Eric Maillaud berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh beberapa anggota polis.
Mayat seorang lelaki yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan ditemui di tempat duduk depan kereta tersebut.
Seorang penunggang basikal warga tempatan turut ditemui mati berhampiran tempat kejadian.
Turut ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah seorang lagi budak perempuan berusia sekitar tujuh tahun yang merupakan kakak budak kanak-kanak tersebut.
Budak itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan kerana cedera ditembak manakala tengkoraknya retak.
Menurut Maillaud, kereta BMW berkenaan milik sebuah keluarga Britain yang bercuti di kem perkhemahan di tepi Tasik Annecy.
Tasik itu yang terletak di banjaran Alps merupakan kawasan percutian popular di Perancis.
Pemilik kem perkhemahan tersebut memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka yang maut terdiri daripada ibu, bapa dan nenek kanak-kanak itu.
Seorang individu yang lalu di lokasi kejadian menghubungi polis sekitar pukul 4 petang waktu tempatan kelmarin selepas dia menemui penunggang basikal dan kakak kanak-kanak tersebut.
Kereta itu dikawal hingga tengah malam apabila beberapa penyiasat khas dari sini tiba di lokasi kejadian.
Stesen televisyen tempatan, BFM-TV memetik seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Benoit Vinnemann sebagai berkata, kanak-kanak perempuan yang selamat itu bersembunyi di bawah kaki ibunya.
Maillaud pula memberitahu, sebaik sahaja pasukan penyiasat membuka pintu kenderaan, budak perempuan itu muncul sambil tersenyum dan mendepakan tangannya.
Dia bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi tidak dapat menceritakan apa yang berlaku.
Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah penjagaan polis.
Penunggang basikal tempatan yang ditemui berhampiran kereta berkenaan pula didapati tidak mempunyai hubungan dengan keluarga Britain itu.
Identiti lelaki tersebut hanya dikenal pasti selepas kehilangannya dilaporkan oleh isterinya.
Kata Maillaud, sekitar 15 kelongsong peluru turut ditemui berdekatan kereta tersebut.
Polis masih belum mengetahui punca kejadian itu. – Agensi
No comments:
Post a Comment