Wednesday, September 5, 2012

ROMPAK..SAMUN....BUNUH..MENJADI2...DADAH MEMAIN PERANAN..SEBAGAI SEBAB..MATI ITU TAKDIR YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH SWT

Pakej jalur lebar serendah RM20





KUALA LUMPUR - Penduduk luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang, Terengganu dan Kelantan bakal menikmati kemudahan melanggan Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia dari harga serendah RM20 sebulan bermula 16 September ini.
Menerusi pakej tersebut, mereka boleh memilih untuk mendapatkan perkhidmatan tanpa wayar dengan caj RM20 hingga RM25 sebulan bagi kelajuan 512 kilobait sesaat (kbps) hingga 1 megabait sesaat (mbps) manakala perkhidmatan berwayar pula RM38 dengan kelajuan minimum 384kbps dengan kapasiti tanpa had.
Pakej asas tersebut akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi tidak lama lagi dengan syarat-syarat kelayakannya bakal diumumkan kelak.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pakej tersebut diperkenalkan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar selain meningkatkan kadar penembusan jalur lebar.
"Kita cuba dulu di lima negeri itu kerana kadar penembusan jalur lebar mereka masih di bawah kadar negara iaitu 64 peratus.
"Jika pakej yang ditawarkan mendapat sambutan, kita akan perluaskan ke negeri-negeri lain," jelasnya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pakej tersebut di sini semalam.

Gadai nyawa demi sesuap nasi



Dua kanak-kanak dipercayai warga Filipina yang ditahan dalam operasi mencegah pengemis di Kota Kinabalu kelmarin.



KOTA KINABALU - Sekumpulan 20 kanak-kanak dipercayai warga Filipina sanggup bergadai nyawa meredah Laut China Selatan dengan menaiki bot penambang dari Pulau Gaya di sini semata-mata untuk mengemis di pusat bandar raya ini sejak dua bulan lalu.
Kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun itu dipercayai diperalat satu sindiket yang akan mengutip RM10 daripada mereka jika berjaya memperoleh pendapatan RM50.
Jarak di antara Pulau Gaya dan bandar Raya Kota Kinabalu ialah kira-kira 1.5 kilometer.
Difahamkan, kadar tambang bot penambang serendah 40 sen bagi satu perjalanan menjadi pendorong kepada kanak-kanak terbabit untuk mengemis meskipun menyedari diri mereka dipergunakan sindiket tertentu.
Bagaimanapun tembelang sindiket tersebut terbongkar hasil operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sekitar bandar raya ini selama dua jam bermula 7.30 malam kelmarin.
Ketika operasi dijalankan, ada kanak-kanak yang sanggup berlari berkaki ayam sejauh 100 meter serta mempertaruhkan nyawa merempuh kesesakan lalu lintas bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Aren, 11, mendakwa, dia menaiki bot bersama rakan-rakan lain termasuk pengemis dewasa ke pusat bandar raya ini setiap hari.
Katanya, mereka akan bertolak dari Pulau Gaya pada pukul 6.45 petang dan tiba di pusat bandar raya pada pukul 7 malam dan terus mengemis.


LOKASI Pulau Gaya di Sabah.



"Kami boleh dapat sehingga RM50 setiap hari dengan menadah tangan dan pakai baju buruk sahaja.
"Apabila pulang semula ke Pulau Gaya, kami perlu beri RM10 kepada abang sindiket," katanya ketika ditemui di pekarangan lobi DBKK selepas ditahan kelmarin.
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Kanan DBKK, Superintendan Ernest Majikon berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam termasuk pelancong yang tidak selesa dengan kegiatan mengemis itu.
Ujarnya, modus operandi mereka adalah dengan mengetuk pintu kenderaan di kawasan yang sesak dengan lalu lintas di beberapa kawasan tertentu bagi meminta sedekah.
"Sebanyak enam tangkapan berjaya dilakukan termasuk dua kanak-kanak perempuan yang bertindak mengemis dan menjual rokok haram di bandar raya ini.
"Turut ditahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang secara tiba-tiba memasuki lobi DBKK bagi melihat kesemua kanak-kanak ditangkap selain memiliki kad pengenalan tentera palsu," kata beliau.

Peragut masuk wad kena belasah


orang ramai dan polis melihat peragut yang ditangkap ketika cuba menyamun seorang wanita di Seksyen 5, Wangsa Maju semalam.



KUALA LUMPUR – Cubaan tiga pemuda untuk menyamun seorang wanita yang berhenti di persimpangan lampu isyarat semalam bukan sahaja tidak berhasil malah salah seorang daripada mereka cedera parah dibelasah selepas diberkas oleh orang awam.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, tiga suspek tersebut menunggang dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z manakala mangsa pula menaiki kereta Honda Insight seorang diri.
Sebaik mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, salah seorang suspek terus memecah cermin kereta mangsa yang berusia 30-an.
Malangnya perbuatan suspek itu dilihat oleh seorang pemandu van jenis Nissan Vannete yang kemudian berhenti di belakang kereta mangsa.
Difahamkan, pemandu van tersebut kemudian bertindak nekad merempuh sebuah motosikal dinaiki dua suspek dengan salah seorang sedang menarik beg tangan mangsa dari dalam keretanya.
Akibat rempuhan itu, kedua-dua suspek berkenaan terjatuh ke atas jalan tetapi salah seorang suspek itu kemudian sempat bangun dan melarikan diri.
Seorang lagi suspek yang menunggang sebuah motosikal lain turut meninggalkan tempat kejadian.
Orang awam yang melihat seorang suspek yang berbadan agak gempal yang tidak sempat melarikan diri terus menangkap suspek itu.
Berikutan itu, suspek berusia 20-an itu yang difahamkan baru dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam, Johor dibelasah sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang cedera parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan ditempatkan di wad separa kritikal.
Keadaannya dilaporkan stabil.

Didakwa palsukan dokumen niaga



KAMARULZAMAN (kiri) meninggalkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas menghadapi tuduhan memalsukan dokumen lesen niaga bazar Ramadan.



KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan syarikat pengiklanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 pertuduhan memalsukan dokumen berhubung jualan tapak perniagaan bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tujuh tahun lepas.
Kamarullizam Misran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Pengarah Urusan ADPartners Media Sdn. Bhd. itu didakwa memalsukan dokumen iaitu surat memohon tapak berniaga di Jalan TAR di sini bertarikh 6 September 2005 dan borang permohonan lesen penjaja sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas nama Rita Juliana Mohd. Ali, 32.
Tertuduh didakwa telah menandatangani dokumen itu sebagai tandatangan pemohon sedangkan Rita Juliana adalah pemohon yang sah untuk permohonan tersebut.
Kamarullizam kemudian menggunakan dokumen tersebut untuk tujuan mendapatkan lesen penjaja DBKL dan daripada pemalsuan dokumen itu menyebabkan wang RM11,000 diserahkan kepadanya oleh seorang penjaja Ahmad Adris, 48, dengan maksud supaya dokumen-dokumen palsu itu digunakan untuk menipu.
Bagi 11 lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen berupa surat memohon berniaga di Jalan TAR dan juga di Jalan Masjid India di sini sempena bulan Ramadan serta borang permohonan lesen penjaja sementara DBKL atas nama 11 penjaja lain sebagai tulen sedangkan dokumen itu adalah palsu.
Lelaki itu dituduh melakukan kesemua kesalahan tersebut di pejabat Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil DBKL antara 6 September dan 11 Oktober 2005.
Bagi tuduhan memalsukan dokumen permohonan, Kamarullizam didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Budak maut kepala ditusuk buluh



ALIAS maut tertusuk buluh yang dijadikan penyidai kain. Gambar di sebelah ialah contoh batang buluh.



JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam selepas tiga hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di kepala kerana tertusuk buluh penyidai pakaian yang terjatuh dari sebuah rumah di Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai di sini.
Sebelum kejadian pada pukul 10.30 malam Ahad lalu, mangsa Muhammad Alias Che Samad, 4, bersama bapanya, Che Samad Che Omar (gambar kecil), 51, turun dari rumahnya di tingkat dua untuk pergi memanggil kakaknya yang berusia lapan tahun yang dikatakan bermain di taman permainan berdekatan rumah supaya pulang.
Bagaimanapun, ketika berada di tempat letak motosikal di tingkat bawah flat setinggi 17 tingkat berkenaan, secara tiba-tiba sebatang buluh penyidai pakaian milik sebuah keluarga yang tinggal di flat itu jatuh menimpa kepala Alias.
Buluh sepanjang dua meter tersebut tertusuk kepala mangsa. Tusukan itu sedalam kira-kira lima sentimeter.
Akibat tusukan itu Alias cedera parah dan koma sebelum anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia pada pukul 3 petang semalam di HSA di sini.
Difahamkan buluh tersebut terjatuh dari tingkat 12.
Mengimbas kejadian itu, Che Samad berkata, sebelum kejadian arwah berjalan di depan manakala dia mengekori kira-kira satu meter dari belakang anaknya itu.
“Entah bagaimana, secara tiba-tiba sebatang buluh terjatuh mengenai anak saya sebelum buluh tersebut tertusuk kira-kira lima sentimeter di belakang kepala arwah.
“Alias yang berlumuran darah terus pengsan menyebabkan saya yang panik terus membawa arwah ke hospital dengan menaiki motosikal,” kata Che Samad ketika ditemui di Rumah Mayat HSA.
Che Samad berkata, arwah terpaksa dibedah sejurus dimasukkan ke hospital sebelum ditempatkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga dia menghembuskan nafasnya semalam.

Warga emas mati disamun, bunuh



ANGGOTA polis mengusung mayat Wan Kelthom yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Jeram, Pasir Puteh semalam.



PASIR PUTEH - Tanda tanya seorang anak mengenai ibunya yang tidak kembali semula ke majlis rumah terbukanya setelah pulang mengambil senduk dan sudip di rumahnya terjawab apabila warga emas itu ditemui mati dibunuh dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di Kampung Jeram di sini petang semalam.
Mayat mangsa, Wan Kelthom Wan Husin (gambar kecil), 68, ditemui cucunya, Nik Mohamad Irham Razali, 13, kira-kira pukul 1 petang selepas diarahkan oleh ibunya, Raja Zailah Raja Hussin, 40, supaya ke rumah mangsa setelah warga emas itu pulang ke rumahnya pada pukul 10 pagi. Jarak antara rumah Raja Zailah dari rumah mangsa kira-kira 100 meter.
Mangsa, guru al-Quran yang tinggal berseorangan dipercayai mati dipukul dengan objek keras di kepala dan turut disamun apabila gelang bernilai RM4,000 yang dipakai mangsa dilarikan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa sebelum itu menghadiri majlis rumah terbuka di rumah Raja Zailah sebelum pulang ke rumahnya kira-kira pukul 10 pagi.
Menurutnya, kejadian tersebut disedari keluarga mangsa setelah Raja Zailah menyuruh cucunya, Nik Mohamad Irham mencari neneknya.
"Nik Mohamad Irham bergegas ke rumah neneknya tetapi mendapati tingkap serta pintu depan rumah neneknya itu berkunci.
"Bagaimanapun, pintu belakang rumah dalam keadaan terbuka lalu dia menuju ke bilik neneknya.
"Sebaik membuka pintu bilik, Irham mendapati neneknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai dengan kepalanya berlumuran darah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Jongkong aluminium RM1 juta disamun



MOHD. MOKHTAR menunjukkan jongkong aluminium yang ditemui semula selepas disamun pada sidang akhbar di IPK Johor semalam.



JOHOR BAHRU - Polis berjaya mematahkan cubaan samun dua buah treler yang membawa muatan berisi jongkong aluminium yang kesemuanya bernilai RM1 juta dalam tempoh 45 minit ekoran penahanan lima lelaki di sekitar kawasan Pasir Gudang di sini Rabu lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Shariff berkata, kelima-lima suspek yang diberkas membabitkan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang berusia antara 23 hingga 61 tahun.
Suspek-suspek itu diberkas selepas mereka menyamun dua buah treler berisi jongkong aluminium di Jalan Prima 1, Taman Perindustrian Tebrau 1, Bandar Dato On.
Menurut beliau, sebelum itu, polis pada pukul 10.26 malam, 29 Ogos lalu menerima maklumat mengenai sebuah treler yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Taman Perindustrian Tebrau di sini.
"Hasil maklumat tersebut, polis dalam masa 45 minit berjaya mengesan treler tersebut di kawasan Setia Indah. Treler tersebut dipandu laju sebaik menyedari kereta peronda polis," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.
Mohd. Mokhtar berkata, treler tersebut terus dikejar polis sehingga sampai di satu kawasan di Pasir Gudang sebelum kenderaan tersebut terbabas dan terbalik.
"Polis kemudian dapat menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang menaiki treler yang penuh dengan muatan jongkong aluminium," kata beliau.

Dipaksa bayar RM20,000 elak gambar bogel disebar



MICHAEL CHONG (dua dari kiri) dan Ku Chin Wah (kanan) bertanyakan sesuatu kepada dua wanita yang menjadi mangsa ugut gambar bogel di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Seorang wanita kini terpaksa hidup dalam ketakutan apabila bekas teman lelakinya mengugut akan menyebarkan gambar bogelnya jika dia gagal membayar RM20,000 dalam tempoh terdekat ini.
Teman lelaki itu menuntut bayaran tersebut sebagai habuan untuk dia menghentikan tindakannya itu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chow, 29, berkata, gambar bogelnya yang diambil ketika mandi tanpa disedari itu dihantar oleh lelaki berkenaan melalui laman sosial Facebook minggu lalu.
“Dia meminta saya membayar RM60,000 untuk menyelesaikan perkara tersebut namun disebabkan saya tidak mempunyai wang yang mencukupi, dia kemudiannya mengurangkan permintaannya kepada RM40,000.
“Saya memberitahunya bahawa saya masih tidak mampu membayar wang tersebut, akhirnya dia meminta saya membayar RM20,000 sahaja tetapi dengan syarat saya perlu menghantar tiga keping gambar bogel saya yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di sini semalam.
Chow menambah, dia mengenali lelaki tersebut dua tahun lalu sebelum menjalin hubungan dengannya selama empat bulan namun disebabkan lelaki berusia 31 tahun itu sering bertindak ganas, mereka telah berpisah pada awal tahun ini.
“Bagaimanapun, saya tidak sangka dia sanggup berbuat demikian malah turut mengugut akan menghantar gambar bogel tersebut kepada mana-mana bakal suami apabila saya berkahwin kelak, selain meminta wang sebanyak RM120,000.
“Kini hidup saya tidak tenteram dan dalam ketakutan serta tertekan setiap hari. Saya mohon pihak polis mengambil tindakan segera ke atas lelaki itu kerana tindakannya akan memusnahkan kehidupan saya,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul sejurus kejadian tersebut.
Di samping itu, seorang lagi mangsa yang ditimpa nasib malang yang sama, Jenny, 30, kini terpaksa menanggung malu selepas bekas teman lelakinya memuat naik gambar bogelnya di laman sosial Facebook.
“Dia memuat naik gambar bogel saya yang diambil ketika saya menyalin baju tanpa disedari selepas kami berpisah April lalu.
“Malah, dia berkata akan menjadikan saya ‘terkenal’ kerana mahu membalas dendam terhadap tindakan saya yang memutuskan hubungan dengannya,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Mei lalu.
Tambahnya, dia mengenali lelaki yang berasal dari Seremban itu ketika belajar di sekolah menengah dan mereka kemudiannya bersama tahun lalu.
“Saya memilih untuk meninggalkannya disebabkan sikapnya yang panas baran malah pernah memukul saya sehingga berdarah hidung.
“Namun, tidak sangka dia sanggup berbuat demikian sehingga menyebabkan saya terpaksa menanggung malu dengan rakan dan keluarga saya,” ujarnya.

Tradisi merampas pengantin perempuan di Romania



DUA penculik yang berpakaian Taliban bergambar bersama seorang pengantin perempuan di Arch of Triump, Bucharest pada Ahad lalu.





SEORANG pengantin perempuan berjalan menaiki sebuah limousin dengan seorang lelaki yang memegang senjata palsu berdiri di pintu kenderaan itu pada 26 Ogos lalu.



BUCHAREST, Romania - Tradisi merampas pengantin perempuan dari majlis perkahwinan untuk dijadikan tebusan semakin mendapat sambutan pada setiap Sabtu di sini.
Tradisi tersebut melibatkan pengantin perempuan dibawa lari oleh rakan-rakannya menuju ke monumen Arch of Triumph yang menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Pengantin perempuan itu dan penculik-penculiknya menari dan bergaya seksi di hadapan kamera.
Wang tebusan untuk kes penculikan olok-olok itu merupakan beberapa botol arak atau sesuatu yang dianggap lebih romantik seperti deklarasi cinta di tempat awam oleh pengantin lelaki.
Seorang pengantin perempuan berusia 25 tahun, Alisar Dragne berkata, penculikannya dirancang dengan teliti.
"Semuanya dirancang rapi. Sebuah kereta limousin menunggu untuk membawa saya di hadapan sebuah restoran di sini. Saya diberikan isyarat supaya meninggalkan pengantin lelaki dan kami pergi ke Arch of Triumph untuk berseronok," kata Dragne.
Menurutnya, tradisi tersebut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan.
Di Romania, ia bermula beberapa tahun lalu apabila seorang bintang bola sepak tempatan menyewa Arch of Triumph untuk melamar teman wanitanya.
Sejak itu, pelbagai taktik digunakan untuk menjadikan majlis perkahwinan di negara berkenaan lebih meriah termasuk perbuatan menculik pengantin perempuan.
Pada Sabtu lalu, kira-kira 20 pengantin perempuan menjadi tebusan di monumen tersebut yang dibina pada tahun 1922 bagi memperingati askar-askar Romania yang mati ketika Perang Dunia Pertama.
Seorang pengantin perempuan dibawa dengan kereta dari majlis perkahwinannya di sebuah bandar yang terletak sejam dari timur Bucharest.
Seorang lagi pengantin perempuan memegang senjata palsu yang dirampas daripada penculiknya dan berpura-pura untuk menembak di monumen tersebut.
Para penculiknya pula memakai pakaian jubah seperti anggota Taliban di Afghanistan.
Para pengguna kenderaan membunyikan hon, melambaikan tangan dan bersorak ke arah kumpulan pengantin tersebut.
Pihak berkuasa hanya menutup mata dengan tidak mengambil tindakan terhadap parti yang diadakan di monumen tersebut.
Mengadakan parti di monumen tersebut sebenarnya dilarang kerana ia merupakan tempat yang bersejarah. - AP

India dapat semula beg dipos 46 tahun lalu



BEG milik pemerintah India ditemui semula selepas 46 tahun hilang.



CHAMONIX, Perancis - India semalam memperoleh semula sebuah beg diplomatik yang dihantar dari Mumbai ke New York 46 tahun lalu.
Beg diplomatik itu mengandungi beberapa surat khabar ditemui di kawasan pergunungan Alps dekat lokasi sebuah pesawat Air India yang terhempas pada Januari 1966.
Ia ditemui oleh seorang pekerja penyelamat di kawasan pergunungan itu, Arnaud Christmann dan anak perempuannya, Jules Berger pada 21 Ogos lalu.
Seramai 117 orang mati dalam pesawat itu termasuk arkitek program nuklear India, Homi Jehangir Bhabha.
Setiausaha Kedua Kedutaan India di Paris, Satwant Khanalia mengambil beg tersebut bagi pihak pemerintah India di bandar ini dekat kawasan pergunungan tersebut.
Beg itu tertera perkataan Kementerian Hal Ehwal Luar India. - AFP

Remaja wanita dihukum rotan kerana berzina

MALE, Maldives - Sebuah mahkamah di Maldives menjatuhkan hukuman rotan di khalayak ramai ke atas seorang remaja wanita berusia 16 tahun selepas dia mengaku berzina, kata beberapa pegawai semalam.
Remaja yang tidak dinamakan itu didapati bersalah selepas dia membuat pengakuan menerusi undang-undang syariah.
Pengakuan itu dibuat selepas keluarganya mengadu bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki berusia 29 tahun pada Julai lalu.
Lelaki tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun berdasarkan peruntukan undang-undang sivil di sebuah mahkamah di daerah Raa atoll pada Ahad lalu kerana melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur.
Seorang pegawai mahkamah berkata, gadis itu boleh menolak untuk melakukan hukuman sebat di khalayak ramai untuk digantikan dengan hukuman tahanan rumah selama lapan bulan di bawah undang-undang tempatan.
Mahkamah mengarahkan hukuman rotan itu dilakukan apabila gadis itu berusia 18 tahun. - AFP

Pelakon The Green Mile mati



DUNCAN



LOS ANGELES - Pelakon filem The Green Mile, Michael Clarke Duncan mati kerana sakit jantung di Pusat Perubatan Sinai-Cedars di sini pada pagi Isnin lalu.
Duncan yang berusia 54 tahun itu merupakan bekas pengawal peribadi sebelum menjadi pelakon ketika berusia 30-an.
Tunangnya yang merupakan personaliti televisyen, Omarosa Manigault membuat kenyataan tentang kematiannya.
Duncan berlakon dalam filem itu bersama Tom Hanks.
Dia menjadi seorang banduan yang menjalani hukuman mati di sebuah penjara. - Agensi

Israel mahu kedai pakaian Hitler di India ditutup

GAMBAR fail menunjukkan salah seorang pemilik berada di depan kedai Hitler miliknya di Ahmedabad, India pada 28 Ogos lalu.


NEW DELHI - Israel mengadu kepada pentadbiran tempatan negeri Gujarat berhubung sebuah kedai pakaian lelaki yang menggunakan nama Hitler. Konsul Jeneral Israel di bandar Mumbai, Orna Sagiv berkata, beliau meminta para pegawai negeri itu kelmarin untuk campur tangan bagi membolehkan nama kedai tersebut diubah.
Menurutnya, beliau cuba menjelaskan betapa seriusnya isu penggunaan nama tersebut. Kedai itu dibuka pada bulan lalu. Papan perniagaan kedai tersebut tertera nama Hitler. Pemilik kedai tersebut menyatakan beliau tidak mengetahui sejarah Hitler apabila nama itu dicadangkan oleh seornag rakannya. Datuk rakannya itu mempunyai nama jolokan Hitler. Hitler yang nama penuhnya Adolf Hitler merupakan pemimpin Nazi Jerman yang mengarahkan pembunuhan ramai kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Bashar temui Ketua Palang Merah


BASHAR (kiri) menemui Maurer di Damsyik semalam.



BEIRUT - Ketua pertubuhan Palang Merah Antarabangsa, Peter Maurer semalam menemui Presiden Syria, Bashar Al-Assad di Damsyik.
Mereka membincangkan situasi kemanusiaan yang semakin merosot ekoran pergolakan yang berlaku di negara tersebut.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Maurer meminta Bashar untuk menunjukkan sikap menghormati undang-undang kemanusiaan.
Maurer juga meminta Bashar membantu pertubuhannya menghulurkan bantuan penduduk yang memerlukan bantuan di Syria.
"Pertemuan itu menumpukan semua isu-isu kemanusiaan dan perlindungan ke atas orang awam," kata jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Rabab Rifai kepada agensi berita dpa.
Selepas pertemuan itu, Maurer melawat kawasan Mazamiyeh di Damsyik.
Beliau turut melawat stesen perubatan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria.
Maurer juga mengunjungi sebuah sekolah yang menempatkan penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal.
Stesen televisyen negara itu menyatakan, Bashar memberitahu Maurer bahawa beliau menyokong kerja-kerja ICRC di Syria.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan ICRC telah menyediakan bantuan kepada lebih 800,000 orang dan membantu satu juta penduduk memperoleh air bersih.
Pertempuran di negara itu masih berterusan di kawasan utara dan dekat sempadan Syria di Lebanon.
Para aktivis yang menentang kepimpinan Bashar dan berpangkalan di Lebanon melaporkan 40 orang mati di seluruh negara semalam.
Mereka menyatakan, bunyi bedilan boleh didengar di sempadan manakala asap hitam meliputi kawasan Zabadani di Syria.
Di Aleppo, para pemberontak yang menentang tentera Bashar mendakwa mereka berjaya merampas beberapa pelancar roket daripada askar-askar.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar yang didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan hak asasi manusia.
Sebahagian penduduk turut menuntut Bashar meletakkan jawatan.
Lebih 20,000 orang dilaporkan mati dalam pergolakan di negara berkenaan.
Sementara itu, kira-kira 100,000 pelarian melarikan diri dari Syria pada Ogos lalu, kata sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam. - Agensi

Impian Pak Man tunai umrah

PAK MAN (kiri) membelek kad ucapan hari raya bersama rakan penghuni lain pada majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri di Penjara Pokok Sena, Kedah semalam.


POKOK SENA – Seorang banduan yang sudah 32 tahun menjadi penghuni Penjara Pokok Sena di sini masih berharap dia mendapat keampunan Sultan Kedah pada suatu hari nanti.
Banduan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Man, 57, itu berkata, jika dibebaskan, dia mahu menjejak kaki ke Masjidil Haram di Mekah dan di Masjid Nabawi di Madinah.
Pak Man berkata, dia sudah sedar serta insaf dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan mahu kembali ke pangkuan keluarga serta berbakti kepada masyarakat.
“Saya berdoa pada setiap kali selepas solat agar diampunkan dan dibebaskan. Saya kini benar-benar insaf,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri penghuni Penjara Pokok Sena di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, Jamaluddin Awang Kechik.
Menurut Pak Man, dia merayu kepada Lembaga Pengampunan Negeri Kedah setiap empat tahun sekali namun setakat ini masih belum diluluskan.
Bagaimanapun, katanya, dia reda jika permohonannya tidak diluluskan tetapi tidak akan berhenti membuat rayuan.
Selain mahu menunaikan umrah, dia juga berhasrat mahu mendirikan rumahtangga.
Mengimbas kesalahan yang dilakukan, Pak Man memberitahu, dia bersama seorang rakan melakukan samun bersenjata menggunakan pistol jenis .38 ke atas sebuah kilang padi di Sungai Korok, Alor Setar pada tahun 1979.
Katanya, ketika itu dia berumur 24 tahun.

No comments:

Post a Comment