Wednesday, September 5, 2012

KEBERSIHAN MEMANG DITUNTUT DALAM ISLAM

Masak di atas dapur kayu api

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


SEBAGAI penggemar serunding daging, Wan Noorhazlinda Abd. Halim, 26, memastikan setiap kali menjelang perayaan juadah kegemarannya itu sudah tersedia.
Sejak kecil, ibu Hazlinda memasak serunding daging pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Paduan ketupat daun palas dan nasi himpit bersama serunding ibarat menu wajib bagi Hazlinda sekeluarga.
"Serunding daging yang ibu saya buat lebih tebal dan puas dimakan. Dagingnya dicarik besar-besar agar daging lebih tebal.
"Ia merupakan resipi turun-temurun yang amat kami gemari sekeluarga. Bagi memastikan tekstur daging itu lembut dan mudah dicarik, ibu saya menggunakan daging segar dan merebusnya terlebih dahulu. Kalau pakai daging biasa, ia agak liat sedikit.
"Kalau hari-hari biasa pun saya tetap mencari serunding daging. Selalunya kawan ibu akan membelikan bekalan serunding dari Kelantan.

PENGGUNAAN dapur kayu dapat membangkitkan rasa dan aroma serunding daging.


"Pernah juga saya beli serunding di Kuala Lumpur terutama menjelang bulan puasa tetapi harganya mahal dan rasanya tidak sesedap serunding yang dihasilkan di Kelantan.
"Peniaga serunding daging di Kuala Lumpur gemar mengisar daging sehingga hancur sampai rasanya hilang. Serunding Kelantan tidak begitu kerana mereka mencarik daging itu halus-halus," ujarnya yang bekerja sebagai pegawai perhubungan awam.
Serunding dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga lebih manis dan kurang pedas membuatkan Hazlinda menggemarinya. Kata Hazlinda: "Disebabkan kami sekeluarga tidak berapa menggemari makanan pedas, ibu memastikan serunding yang dibuat rasanya manis."
PATI santan dan bawang disatukan dalam kuali sebelum daging dimasukkan.


Makanan yang diperbuat daripada cebisan daging, ayam atau kelapa itu sememangnya terkenal dengan rasa pedas terutamanya yang dijual di sekitar Lembah Klang.
Selain keenakan rasa yang menambat minat Hazlinda, serunding daging yang boleh tahan untuk tempoh yang lama menjadi antara faktor digemari wanita itu.
Kata Hazlinda: "Serunding boleh tahan selama satu hingga tiga bulan jika disimpan di dalam bekas kedap udara."
Selain itu, Hazlinda turut menjadikannya lauk yang ringkas sekiranya beliau tidak memasak. Hidangan serunding daging bersama nasi putih, telur goreng dan kicap adakalanya menjadi pilihan Hazlinda waktu sahur pada bulan Ramadan.
Sambal daging atau serunding begitu sinonim dengan Kampung Laut, Tumpat, Kelantan sehinggakan lebih 60 pengusaha serunding datangnya dari perkampungan tersebut.
Sama ada diusahakan secara kecil-kecilan atau secara komersial, Kampung Laut boleh diberi jolokan perkampungan serunding ekoran populariti yang dikecapi daripada makanan tradisi tersebut.
Serunding yang mengambil masa seharian untuk disediakan, daripada proses merebus daging yang mengambil masa enam hingga tujuh jam, mencarik daging, menumis dan memasak, menjadikan makanan ini cukup istimewa.
SANTAN perlu dikacau selama dua jam bagi mendapatkan rasa lemak pada serunding.


Warisi perniagaan
Bagaimanapun, perubahan zaman seiring pembangunan teknologi telah mempermudahkan cara dengan kehadiran pelbagai mesin memproses serunding daripada kuali elektrik untuk menggoreng dan juga mesin pencarik daging.
Namun, dalam ketaksuban pengusaha lain untuk memaksimumkan pengeluaran dengan mengurangkan masa dan kos, pengusaha Serunding Rahmah, Wan Rashid Wan Muhammad, 48, dan adiknya Wan Asmariah, 33, yang mewarisi perniagaan daripada ibu mereka, Rahmah Yusof, 63, masih mengekalkan elemen tradisional bagi menghasilkan serunding.
Menurut Wan Rashid, peniagaan serunding ibunya merupakan perniagaan turun temurun yang telah diwarisi oleh tiga generasi.
"Ibu saya mewarisi perniagaan serunding ini daripada ibunya iaitu Mak Som Pak Soh yang merupakan pelopor perniagaan serunding di Kampung Laut ini.
"Pada mulanya hanya ada tiga rumah sahaja yang mengusahakan serunding, kini, lebih 60 pengusaha terdapat di kampung ini termasuk beberapa ahli keluarga ibu saya," ujarnya.
Kini ramai pengusaha serunding menggunakan pelbagai alat dan mesin bagi membantu mempercepat dan mempermudahkan proses memasak serunding yang memakan masa satu hari untuk disiapkan. Tetapi, bagi mereka, kuantiti bukanlah perkara utama kerana Serunding Rahmah lebih mementingkan kualiti yang menjadikan mereka lain daripada yang lain.
Serunding Rahmah masih menggunakan kayu api untuk memasak dan menggunakan tenaga kerja seramai 10 orang untuk operasi seharian mereka.
RAHMAH menunjukkan hasil serunding yang dihasilkan oleh syarikatnya.


"Banyak perbezaan antara serunding yang dimasak secara moden (menggunakan dapur elektrik) dengan serunding yang dimasak menggunakan kayu api dan digaul serta dicarik secara manual.
"Serunding yang dimasak menggunakan mesin cenderung hancur berbanding yang dicarik secara manual menggunakan tangan selain aroma serunding juga berbeza jika digunakan kayu api untuk memasaknya," katanya.
Sebelum ini, mereka pernah mencuba untuk menggunakan cara moden dengan menggunakan dapur elektrik tetapi ada perbezaan pada aromanya.
Dengan menggunakan cara tradisional, mereka juga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung kerana satu mesin telah mengambil alih tugas lima orang pekerja.

Rumah sejuk tanpa pendingin hawa



DARI luar, rumah dua tingkat yang mempunyai pagar berwarna hijau di Jalan SS2/53, Petaling Jaya, Selangor kelihatan sama dengan rumah-rumah teres lain. Dengan jarum jam menunjukkan tepat pada pukul 12 tengah hari, cuaca di luar kejiranan Petaling Jaya itu sangat terasa bahangnya kerana terik matahari.
Namun, sebaik kaki menginjak lantai rumah berwarna hijau itu suasana nyaman dapat dirasa, ditambah pula dengan putaran kipas siling menjadikan suasana sungguh menyegarkan.
Walaupun udara itu tidaklah terlalu sejuk seperti menggunakan pendingin hawa, namun ia sudah cukup untuk memberikan keselesaan kepada isi rumah.
Rumah itu sebenarnya ialah ibu pejabat Pusat Untuk Alam Sekitar, Teknologi Dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) yang juga sebuah rumah contoh demonstrasi penyejukan.

TUMBUH-TUMBUHAN hijau di laman hadapan rumah turut memberi impak suhu udara di dalam rumah.


Pengubahsuaiannya mula dilakukan pada bulan Mac 2004 selama empat tahun dan siap sepenuhnya pada Februari 2007.
Ia dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Pembangunan Antarabangsa Danish menggunakan dana sebanyak RM1 juta dengan kos pengubahsuaian sahaja menelan RM40,200.
Kata Pengarah Eksekutif Cetdem, Anthony Tan Kee Huat, ketika itu kosnya sangat mahal terutama untuk bahan penebat.
Bagaimanapun, teknologi semakin berkembang seiring dengan perjalanan masa menjadikan bahan-bahan berteknologi yang lama menjadi semakin murah.
Bumbung perangkap haba
Pengubahsuaian terbesar dilakukan pada bahagian bumbung yang diletakkan bahan penebat. Menurut Anthony, bumbung atap genting memerangkap haba dan mampu menyimpannya dalam masa yang lama.
Di antara atap genting dan penebat, terdapat sela yang menjadi laluan udara panas rumah seterusnya keluar tanpa terperangkap dalam kediaman.
Secara saintifik, udara panas mempunyai ketumpatan yang kurang berbanding udara sekeliling dan membolehkan ia naik ke atas.
Penebat yang dipasang pula membolehkan udara sejuk terperangkap dalam rumah sekali gus dapat mengekalkan suhu pada nilai yang tetap.

ANTHONY menunjukkan perbezaan suhu di dalam dan luar rumah yang mempunyai sistem penyejukkan.


Penebat berjenama Rockwool itu berwarna kekuningan dan diperbuat daripada batu-batuan gunung berapi. Ia amat sesuai menjadi penebat suhu pada atap genting yang mampu mencecah suhu 40 darjah celsius.
Rekaan rumah biasa yang digunakan sekarang menyebabkan udara panas terperangkap di dalam dan masalah semakin ketara terutama kediaman jenis kondominium. Ia berlaku kerana tiada laluan udara panas untuk keluar.
Secara purata, suhu rumah akan turun dalam lingkungan tiga darjah celsius dan penurunan menjadi lebih banyak jika dibandingkan dengan suhu luar.
Ketika ditemui, Anthony menunjukkan bacaan suhu dalam rumah yang diukur setiap hari adalah pada 27 darjah celsius ketika jam mula menunjukkan pukul 1 petang.
“Penghuni rumah akan mempunyai kecenderungan memasang alat pendingin hawa apabila suhu dalam rumah melebihi 30 darjah celsius. Jadi apabila suhu berada sekitar 27 darjah celsius, ia sudah memberi keselesaan kepada penghuni rumah,” terang lelaki yang menetap di Subang Jaya itu.
Apabila menggunakan alat penyejukan seperti pendingin hawa, penggunaan tenaga elektrik meningkat kerana ia memakan tenaga elektrik hampir 34 peratus daripada keseluruhan penggunaan dalam sehari.
Selain itu, kedudukan rumah juga memainkan peranan penting sama ada menghadap matahari terbenam atau terbit, kata Anthony.
Suhu udara matahari terbit lebih rendah berbanding matahari terbenam. Jadi, rumah yang terbaik adalah menghadap matahari terbit.
Di hadapan rumah dua tingkat itu terutamanya pada bahagian tingkap terdapat struktur penahan matahari. Ia diperbuat daripada aluminium dan direka secara condong. Kecondongan plat dapat memantul cahaya matahari supaya tidak terus sampai ke dalam rumah.

SELAIN penebat, plat solar yang menjana elektrik daripada cahaya matahari mampu menjimatkan penggunaan bekalan tenaga.


Struktur penahan matahari dipasang pada jarak tertentu supaya cahaya yang sampai hanya pantulan yang terhasil daripada penahan itu. Pantulan itu kurang silau dan cahaya serta suhunya agak rendah berbanding secara terus.
“Bahan-bahan lain yang lebih murah seperti buluh dan kayu juga boleh digunakan untuk dijadikan sebagai penahan matahari,” terang Anthony kepada Kosmo!
Jimatkan tenaga
Jika terdapat ruang tanah di hadapan rumah, pokok-pokok renek sesuai ditanam bagi memastikan udara yang masuk ke rumah lebih dingin kerana ia melakukan proses fotosintesis.
Di halaman rumah bernombor 17 itu, sayur-sayuran yang ditanam secara organik menghiasi laman sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan rumah.
Menambahkan lagi teknologi tinggi pada rumah itu, bahagian bumbung rumah dipasang enam keping plat solar fotovoltan (PV) yang dapat menjana bekalan elektrik 2,000 watt sehari.
Menggunakan inverter (penyongsang), bekalan elektrik yang dijana dihantar ke Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pihak TNB mempunyai skim Fit In Tarif (FIT) yang dapat menjimatkan bekalan elektrik dengan keuntungan RM1 bagi setiap 1,000 watt jam.
Rumah yang dingin, hanya perlu menggunakan kipas tanpa pemasangan ala penyejukan tambahan seperti pendingin hawa. Kipas hanya menggunakan 70 watt jam berbanding pendingin hawa yang memakan tenaga sebanyak 750 watt jam.
Mungkin terdapat individu di luar sana yang mengatakan bahawa sudah cukup pintu dan tingkap ditutup dengan langsir, tetapi Anthony berpendapat sebaliknya.

BAHAN kekuningan ini digunakan sebagai penebat suhu dalam rumah.


Ruang antara kain langsir dan tingkap masih lagi memerangkap suhu panas. Apabila kipas dihidupkan, putarannya menyebabkan kain langsir bergerak sekali gus udara panas memasuki ruang rumah.
Pemindahan haba berlaku dan kipas sahaja tidak mungkin mencukupi dalam menyejukkan rumah. Mengikut data yang diberikan Cetdem, penggunaan elektrik untuk menyejukkan rumah memakan bekalan elektrik tertinggi iaitu sebanyak 34 peratus berbanding peti sejuk yang dihidupkan setiap masa iaitu 23 peratus.
Selain itu, rumah demonstrasi itu turut mengamalkan tuaian air hujan bagi penggunaan mencuci rumah dan menyiram tanaman.
Sebuah tangki mampu menampung air sebanyak 900 liter atau dua meter kubik jadi, air yang disampaikan oleh pihak Syabas boleh digunakan untuk tujuan minuman sahaja.
Lampu kalimantang sudah tidak digunakan lagi di rumah tersebut yang diganti dengan mentol jimat tenaga dengan memberikan kecerahan yang sama, tetapi lebih tahan lama.
Selain itu, Anthony menasihati orang ramai supaya menaikkan sedikit suhu pendingin hawa kerana setiap satu darjah celsius dinaikkan, penggunaan elektrik bagi pemampat akan berkurangan sebanyak 10 peratus.
Semua perubahan yang kelihatan ringkas dan leceh itu menjadikan rumah dua tingkat di Petaling Jaya itu sebuah kediaman yang memiliki kecekapan tenaga.

Jangan buang sampah merata-rata


PERJALANAN kumpulan ini bermula di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang.


WALAUPUN panas matahari petang menyebabkan ramai pengunjung di Jalan Bukit Bintang bercermin mata gelap dan bertopi, tetapi baru-baru ini 20 orang sukarelawan daripada Sekretariat Malaysian Plastics Forum (MPF) dan Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) sanggup berjalan kaki tanpa mempedulikan cuaca yang membahang.
Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur sanggup berjalan kaki dari hadapan pusat beli-belah Lot 10 ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semata-mata mahu menyebarkan mesej kesedaran kepada orang ramai.
Sambil berjalan, mereka membawa sepanduk bertulis Hi-Five Me, Don’t be a litterbug. Setiap orang yang lalu-lalang pasti ditegur dengan memberikan tepukan hi-five tanpa malu sebagai tanda terima kasih kerana tidak membuang sampah merata-rata.
Mereka turut membawa beg plastik hitam besar supaya orang ramai yang berada di kawasan-kawasan tumpuan tetapi kurang tong sampah dapat membuang sampah ke dalam beg plastik itu.
Pada masa yang sama, mereka yang sepakat berpakaian warna hijau kekuningan itu juga membawa plastik kecil untuk diberikan kepada orang ramai sebagai bekas untuk membuang sampah.
Walaupun berpanas dan kadangkala tidak mendapat kerjasama pemilik premis kerana tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti berkumpulan, mereka tetap meneruskan kempen tersebut.
Kempen yang pertama kali diadakan itu bertemakan Hi-5 Mother Earth, Bye-Bye Litterbugs dan merupakan anjuran hasil kerjasama MPF dan MPMA. Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata dalam persekitaran.
Setiap tahun, jumlah sampah yang dikutip di Kuala Lumpur lebih kurang 21,000 tan dan dijangkakan pada tahun 2020 nanti, ia akan meningkat sehingga 30,000 tan.
Orang ramai kerap menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak melakukan kaedah pengurusan yang baik dalam memproses sampah.
Lebih daripada itu, jenis sampah yang kebanyakannya terdiri daripada bahan plastik kerap disalahkan kerana ia sukar mereput secara semula jadi.
Sebenarnya, masalah terbesar longgokan sampah sarap berpunca daripada sikap manusia sendiri iaitu gemar membuang sampah merata-rata dan tidak mengamalkan amalan kitar semula.

KITA boleh mengubah pemandangan yang menjijikkan seperti ini demi kesejahteraan bersama.


Tanggungjawab semua
“Sepatutnya, plastik sampah wajib dihapuskan dengan betul dan selamat. Ia merupakan tanggungjawab semua orang dan membuang merata-rata bukanlah penyelesaian yang tepat,” kata eksekutif alam sekitar MPMA, S. Sri Umeswaran, 30, ketika ditemui di program tersebut bulan Jun lalu,
Amat mudah untuk menyalahkan bahan buangan sebagai punca kepada tempat dan keadaan yang kotor, tidak terurus serta menyakitkan mata. Hakikatnya, perangai manusia paling sukar untuk diubah.
Berita-berita mengenai aliran sungai yang dipenuhi sampah sarap kerap kedengaran. Ia menyebabkan operasi pembersihan hasil daripada tindakan tabiat manusia itu memakan kos yang tinggi.
Oleh yang demikian, tindakan para sukarelawan daripada MPF dan MPMA amatlah dipuji walaupun kelihatan belum memberi impak besar dalam jangka masa terdekat.
Pengerusi bagi pendidikan dan kesedaran MPF, Ahmad Khairuddin Shaban, 54, pula berkata, pendekatan yang dilakukan adalah bersifat holistik.
“Perubahan sikap untuk tidak membuang sampah merata-rata diharap menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Khairuddin menambah, kempen yang dijalankan itu juga sebagai tanda komitmen mereka dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah dipersetujui melalui perjanjian persefahaman Agenda 21 DBKL yang ditandatangani bersama.
Selepas berjalan di persekitaran Jalan Bukit Bintang dan KLCC, kumpulan yang penuh iltizam dan dedikasi itu menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) ke kawasan Masjid India yang ketika itu sedang sibuk dengan gerai jualan untuk berbuka puasa dan sambutan hari raya.
Langkah itu adalah bagi meluaskan ruang kempen dan liputan supaya ahli masyarakat yang disasarkan dapat menerima mesej yang hendak disampaikan.
Jumlah perjalanan yang dilakukan pada hari itu dari pukul 2 petang hingga 6 petang pada hari itu adalah lebih kurang empat kilometer.

Ancaman wabak taun terburuk


IBU BAPA kepada kanak-kanak yang dijangkiti taun tekun mendengar maklumat kesihatan yang disampaikan di Hospital Donka, Conakry.


SIERRA LEONE kini diserang wabak taun terburuk dalam tempoh 15 tahun. Ia membabitkan sejumlah 229 kematian dan dijangka jumlah tersebut meningkat tiga kali ganda dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Di Freetown, kawasan yang padat penduduknya, keadaan rumah setinggan tanpa tandas menyebabkan kawasan persekitaran tersebut kotor dan dipenuhi sampah serta air tercemar.
Hujan lebat, tahap kebersihan dan cara hidup yang rendah mengakibatkan taun merebak dengan pantas sekali gus beribu-ribu orang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. Keadaan itu memaksa kerajaan mengumumkan darurat.
Berdasarkan perangkaan kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 13,300 orang telah dijangkiti taun di negara tersebut dan bulan September kebiasaannya hujan paling lebat dijangka memburukkan lagi keadaan tersebut.
Di Hospital Tentera 34 yang terletak di barat bandar itu, doktor sukarelawan sibuk menguruskan salah sebuah daripada banyak pusat rawatan taun yang didirikan di negara tersebut.
Salah seorang doktor melaporkan 'berduyun-duyun pesakit datang untuk mendapatkan rawatan'.
Saudara-mara pula mengerumuni pusat rawatan bagi mendapatkan perkembangan orang yang disayangi, jururawat-jururawat sibuk menguruskan para pesakit manakala para pekerja lain membersihkan lantai yang berbau busuk.
"Saya dibawa ke sini dalam keadaan ternyahhidrat dan telah putus harapan untuk hidup," keluh Alimatu Turay, yang terbaring lemah di atas pengusung dengan matanya separuh terbuka.
"Semasa sarapan, saya diberi makan dua keping roti bakar dan selepas sejam masalah muntah dan cirit-birit telah berjaya diatasi. Walaupun masih lemah, saya berasa lebih sihat," kata wanita itu.

SEORANG jururawat di Unit Rawatan Taun Wellington di Freetown sedang sibuk memeriksa rekod pesakit yang tidak putus-putus mengisi ruang wad.


Tidak bersih
Antara faktor taun merebak adalah disebabkan peniaga jalanan yang menjual makanan tidak bersih. Inspektor kesihatan telah bertindak dengan mengarahkan peniaga mengutamakan aspek kebersihan.
Orang ramai pula telah berhenti berjabat tangan dan memakai penutup muka bagi mengelakkan jangkitan, tanpa menyedari bahawa taun tidak merebak melalui udara.
"Ketika ini, kami mengajar para pesakit menjaga kebersihan menerusi amalan membasuh tangan sebelum makan, menutup makanan dan memastikan anak-anak mereka minum air yang bersih," kata seorang jururawat, Matron Abibatu Sesay yang bekerja di pusat rawatan Mabela.
Claire Seaward dari Oxfam Sierra Leone memberitahu, peningkatan kes taun bermula sejak Januari lalu berbanding kebiasaannya berlaku pada pertengahan tahun.
"Musim hujan juga berlaku lebih awal, kita baru menerima beberapa kes, namun kemudian ia menjadi satu wabak. Kami jangka keadaan akan lebih buruk sebelum ia kembali pulih," ujarnya bimbang..
Sejak perang saudara berakhir sedekad lalu, Sierra Leone masih berdepan kesukaran dalam menyediakan kemudahan air bersih dan sistem sanitasi di negara tersebut.
Seaward berkata, hanya 40 peratus penduduk mempunyai tandas dan kebiasaannya sehingga tujuh keluarga berkongsi menggunakan satu tandas.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masalah tersebut semakin membimbangkan di negara itu apabila daripada empat orang kanak-kanak, hanya seorang yang hidup sehingga umur lima tahun.
Bekalan ubat
Pada hujung minggu lalu, pasukan Palang Merah dari Finland tiba dengan penerbangan kargo khas yang membawa bekalan ubat dan doktor-doktor.
Jabatan Pembangunan Antarabangsa Britain berikrar memberikan sumbangan sebanyak 2.3 juta euro (RM9 juta) untuk membantu negara berkenaan menangani wabak tersebut selain merancang menghantar pakar kemanusiaan dan ubat antitaun.
Wabak taun menyahhidratkan pesakit dengan cepat dan boleh mengakibatkan kematian dalam tempoh kurang sehari jika tidak mendapatkan rawatan.
Hanya dua daripada 12 daerah di negara tersebut yang tidak dilanda wabak maut itu malah seramai 82 orang turut maut di negara jiran, Guinea.
Menurut WHO, kira-kira 2,500 orang maut dan 85,000 dijangkiti taun di Afrika pada tahun lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment