Tuesday, September 4, 2012

BILA KES ROGOL...BUNUH...ROMPAK ..MINUM ARAK DAH JADI BIASA......ALLAH SURUH KAEDAH HUDUD TAPI KITA DEGIL

Buru hingga ke hospital

Oleh Amir Abdul Hamid dan Azimah Md Yasin
am@hmetro.com.my

JEMPOL: Lima lelaki bertindak nekad mengekori seorang lelaki yang cedera dalam pergaduhan hingga ke Jabatan Kecemasan Hospital Jempol (HJ), di sini, sebelum menetak mangsa, dalam kejadian malam kelmarin.
Kejadian jam 8 malam itu turut disaksikan kakitangan hospital termasuk doktor serta jururawat yang terkejut melihat tindakan ala mafia suspek yang menyerang mangsa.
Sebelum itu, pada jam 6 petang hari sama, mangsa, lelaki berusia 35 tahun terbabit dalam pergaduhan dengan seorang daripada suspek berusia 21 tahun kerana tidak puas hati apabila lelaki itu mengganggu adiknya di Taman Satelit, Bahau, di sini.

Menurut sumber, dalam pergaduhan itu, suspek cedera di kaki, manakala mangsa cedera di kepala sebelum dibawa adiknya ke Hospital Jempol tanpa menyedari suspek masih tidak puas hati dan membawa empat rakan mengekorinya ke hospital.

“Lima lelaki berusia 20-an itu memasuki kawasan hospital berkenaan dengan membawa parang dan menyerang mangsa yang mendapatkan rawatan dengan ditemani keluarganya,” katanya.

Bilik kebal berlubang

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

pix_middle
SIASAT...pegawai polis menyoal seorang pekerja kedai emas.
SIASAT...pegawai polis menyoal seorang pekerja kedai emas.
SUNGAI SIPUT: Seorang pekerja kedai emas tergamam melihat dinding dan bilik kebal premis itu di Jalan Besar Sungai Siput, di sini, berlubang dipercayai ditebuk sekumpulan perompak awal pagi semalam.
Sumber polis berkata, kejadian berkenaan dipercayai dilakukan kumpulan penjenayah yang melakukan rompakan licik itu antara jam 12 tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam dan melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.
Menurutnya, pekerja berkenaan hanya menyedari rompakan yang berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam ketika hendak memulakan perniagaan apabila mendapati dinding batu di sebelah kiri premis itu yang bersambung dengan sebuah lagi premis kosong dipecahkan perompak.

“Penjenayah dipercayai merancang rapi rompakan itu dan turut berupaya menebuk bahagian atas peti besi di premis berkenaan sebelum menyapu bersih semua barang kemas disimpan di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes rompakan itu.

Terima SMS adik maut kemalangan di Russia



SEDIH...Adzlin bersama ibu saudaranya, Datuk Rabe'ahtul A Abbas.
SEDIH...Adzlin bersama ibu saudaranya, Datuk Rabe'ahtul A Abbas.
PUTRAJAYA: “Kami pun pelik apabila dia tak jawab SMS. Biasanya dia akan menghubungi keluarga sebaik tiba di sana, tetapi kali ini dia langsung tak memberitahu kami sekeluarga,” kata Adzlin Dimyati, 27, kakak kepada pelajar Malaysia, Adzreen, 22, yang terbunuh dalam kemalangan di Nizhny, Russia.
Menurutnya, dia mengirimkan SMS kepada adiknya itu jam 12 tengah malam kelmarin untuk mengetahui sama ada sudah tiba di Russia atau tidak.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) saya dapat SMS daripada abang yang memberitahu adik saya meninggal dunia akibat kemalangan. “Abang saya dapat tahu selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghubunginya jam 9 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Presint 9, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin waktu tempatan (3 pagi semalam waktu Malaysia) itu, Adzreen bersama enam rakan lain, semuanya pelajar Malaysia dalam perjalanan dari lapangan terbang ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod dengan sebuah bas.

Bagaimanapun, bas dinaiki terbabit kemalangan di wilayah Vladimirskaya, kira-kira 120 kilometer dari wilayah Nizhny, berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan kerana dikatakan terlelap.

Kejadian itu menyebabkan Adzreen, seorang pelajar ditaja JPA, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala rakannya, Hanisah Muhd Shah, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari Dungun, Terengganu terbunuh di tempat kejadian. Lima yang cedera dalam kemalangan itu ialah pelajar tajaan Mara iaitu Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza. Mereka pelajar kursus perubatan yang akan meneruskan tahun kelima pengajian di akademi berkenaan.
Adzlin berkata, adiknya yang lebih mesra dipanggil ‘An’ pulang ke Russia selepas bercuti semester selama tiga bulan di tanah air.

“Sepanjang tiga bulan bercuti kami tidak nampak sebarang perubahan terhadap dirinya. Malah, kami sekeluarga gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri bersama.
“Kami empat beradik sangat rapat dan dia baik dengan kembarnya, Adzwin. Malah, sebelum ini mereka tidak pernah berpisah kerana bersekolah sama iaitu di Kolej Tengku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, belajar dalam kelas sama dan menyambung pelajaran ke peringkat A Level di tempat sama.

“Pertama kali mereka berpisah ketika menyambung pengajian di peringkat universiti apabila Adzwin menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Poland,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Zainol Abidin Omar berkata, pihak kedutaan berusaha untuk membawa pulang jenazah dengan segera.

Menurutnya, kakitangan kedutaan juga segera ke Hospital Viyazniky di Vladimirskaya untuk melawat pelajar yang cedera.

Dalang dadah miliki hotel

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

RAMPAS...Noor Rashid menunjukkan bagasi dan dadah yang dirampas daripada sindiket.
RAMPAS...Noor Rashid menunjukkan bagasi dan dadah yang dirampas daripada sindiket.
KUALA LUMPUR: Hasil menjadi perancang utama sindiket penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah terdiri daripada wanita tempatan dan warga asing, seorang lelaki rakyat Nigeria dikesan mampu memiliki hotel sendiri di negara asalnya selain menginap di banglo dan menggunakan beberapa kereta mewah di Malaysia.
Lelaki berusia 31 tahun yang diburu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak lebih enam bulan lalu itu diberkas di Lukut, Negeri Sembilan, Sabtu lalu selepas polis mendapat maklumat hasil beberapa serbuan dan tangkapan dilakukan sejak 27 Ogos lalu membabitkan nilai rampasan dadah berjumlah RM7 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam beberapa serbuan dilakukan di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan minggu lalu, seramai sembilan suspek ditahan termasuk ketua sindiket dadah antarabangsa terbabit.
“Jumlah tangkapan seramai sembilan suspek berusia 25 hingga 38 tahun termasuk ketua sindiket terbabit iaitu lima lelaki dan seorang wanita warga Nigeria, seorang lelaki warga Iran serta masing-masing seorang wanita warga Zambia dan seorang lagi wanita tempatan.

“Dadah dirampas pula sebanyak 32.4 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketua sindiket dadah itu diberkas bersama seorang wanita tempatan yang mendakwa isteri suspek dan polis menyita dua kenderaan BMW dan Toyota Camry, namun tiada rampasan dadah di banglo mewah didiami pasangan terbabit.
“Sindiket dadah antarabangsa itu sudah beroperasi lebih daripada enam bulan dengan melakukan kegiatan menyeludup dan menjadikan Malaysia sebagai transit terutama dadah jenis syabu sebelum diedar untuk pasaran tempatan dan beberapa negara lain di Eropah, Asia dan Amerika Selatan.

“Antara modus operandi sindiket didalangi warga Nigeria itu adalah menggunakan beg pakaian yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah sebelum diseludup masuk keldai dadah melalui lapangan terbang dan kami akan berhubung dengan Interpol untuk menyiasat rangkaian sindiket itu serta memburu ahlinya yang masih bebas” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, Noor Rashid berkata, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan anak perempuannya berusia 18 tahun serta warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merampas syabu seberat 2.4 kilogram.

“Pada hari sama, kami menahan dua beradik perempuan berusia 54 dan 57 tahun dari Iran di KLIA selepas hasil pemeriksaan menemui 4.2 kilogram syabu dalam bagasi mereka.

“Ini menjadikan keseluruhan dadah dirampas sepanjang minggu lalu dianggarkan bernilai RM8.3 juta membabitkan 39 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin,” katanya.

Lima dibelasah angkara cemburu



GEORGETOWN: Angkara cemburu kerana menari dengan seorang daripada teman wanita suspek, lima lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk cedera dibelasah dalam satu pergaduhan di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Batu Ferringhi, di sini, Sabtu lalu.
Kejadian dipercayai berlaku jam 11.30 malam apabila sekumpulan lelaki berusia 20 hingga 30-an ke pusat hiburan berkenaan bersama teman wanita masing-masing untuk berhibur di malam minggu.

Ketika mereka asyik berseronok, datang sekumpulan lelaki lain dan menghampiri sambil mengajak seorang daripada teman wanita mereka menari bersama .
Keadaan itu menyebabkan seorang lelaki daripada kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila teman wanitanya cuba dirampas lelaki lain.

Situasi secara tiba-tiba menjadi tegang dan berlaku pertengkaran sebelum berlanjutan kepada pergaduhan di hadapan pusat hiburan itu.

Akibat pergaduhan itu, lima daripada mereka berusia antara 20 hingga 27 tahun cedera.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat.

Menurut sumber, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif dan identiti sebenar suspek dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan.

Tidur di sisi ayah, ibu sepanjang cuti



DUNGUN: “Sepanjang pulang bercuti arwah setiap masa tidur di sisi kami berdua dan kami tidak menyangka perbuatan peliknya itu adalah yang terakhirnya buat kami,” kata Rokayah Mohd, 61, selepas anak bongsunya Hanisah Muhd Shah, 22, terbunuh dalam kemalangan di Moscow, Russia, semalam.
Rokayah berkata, anaknya itu pulang bercuti selama dua bulan dan menyambut hari raya bersama keluarga. Dia berkata, suaminya, Muhd Shah Salleh, 62, serta tiga lagi anaknya Nurhazirah, 31, Fakrulrazi, 29, dan Khairul Izudin, 26, baru saja sampai ke Dungun selepas menghantar arwah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

“Sebaik saja arwah terbang dari KLIA jam 3 pagi, kelmarin, saya dan suami serta anak-anak bertolak pulang ke Dungun dan pagi ini kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang mengorbankan arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, di sini, semalam.
Menurutnya, dia ada menerima SMS daripada arwah memaklumkan sudah sampai di Lapangan Terbang di Nizhy, Russia jam 6.30 petang waktu tempatan.

“Arwah menaiki van bersama enam lagi rakan dan dia memberitahu perjalanan ke universitinya di Moscow mengambil masa tujuh jam dan ketika dalam perjalanan itu dia terbabit kemalangan,” katanya.

Rokayah berkata, ketika berada di dapur jam 10 pagi, dia menerima kunjungan pegawai dari Pejabat Mara Dungun dan sebaik pegawai itu memperkenalkan diri hati terdetik memberitahu anaknya kemalangan.
“Belum sempat dia memberitahu saya terdetik di hati dia mendapat kemalangan dan ketika itu saya rasa sangat sedih sebelum berpegang kepada suami di sebelah kerana berasa bagaikan pitam,” katanya.

Impian bercuti berkubur



KUANTAN: Impian seorang pekerja am Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) makan angin ke Indonesia, tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, dekat Sungai Karang Darat, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Rohaini Wan Ishak, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Balok.

“Sebelum arwah keluar bekerja, saya sempat mendengar suaranya ketika bercakap dengan suami mengenai perancangannya melancong ke Indonesia bersama rakan sekerja. Saya sedih impiannya itu tidak kesampaian,” kata Norizan Mamat, 43, adik tiri Wan Rohaini yang ditemui di rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam.
Norizan berkata, Wan Rohaini dijadualkan berangkat ke Indonesia pada 9 September ini selepas dipilih mengikuti kunjungan bersama kakitangan MPK melalui inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan difahamkan tiket penerbangan ke negara itu sudah dibeli.

“Sebelum arwah keluar ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya ada mendengar dia bercakap dengan suami di luar rumah meminta kami mengeluarkan wangnya dari dalam akaun sebanyak RM1,000 untuk dibawa ke Indonesia namun saya tidak sempat menemuinya ketika itu,” katanya.

Katanya, dia hanya menyedari kakak tirinya terbabit dalam kemalangan selepas dimaklumkan rakan sekerja Wan Rohaini yang datang ke rumah.
“Saya terkejut diberitahu arwah meninggal dunia sejurus tiba di HTAA. Walaupun terkilan dengan kejadian yang menimpanya namun kami tetap reda,” katanya.

“Arwah seorang yang sangat ramah dan periang menyebabkan dia disenangi di kalangan ahli keluarga dan rakan malah arwah mempunyai ramai kawan kerja memandangkan dia sudah banyak kali bertukar lokasi kerja sepanjang hampir 20 tahun berkhidmat dalam MPK,” katanya.
Norizan berkata, jenazah Wan Rohaini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Jauh, Temerloh yang berdekatan dengan rumah orang tua serta ahli keluarga mereka yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rempuh kereta perompak



SHAH ALAM: Akibat marah dan bengang apabila cuba dirompak, dua lelaki nekad mengejar perompak terbabit sebelum merempuh kereta penjenayah terbabit dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Subang Jaya, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama majikannya pergi stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol terkejut dengan kehadiran dua lelaki tempatan menaiki Perodua Myvi yang kemudian mengacukan objek dipercayai pistol terhadap mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa yang bersendirian didatangi suspek ketika majikannya membuat bayaran di kaunter.
Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 43 tahun itu mengarahkan mangsa menyerahkan dompet dan wang, namun membatalkan hasratnya apabila majikan mangsa melihat ke jadian itu.

“Suspek melarikan diri dengan seorang lagi rakan yang sedia menunggu dalam kereta, namun dikejar mangsa dan majikannya.

“Mangsa mengejar suspek hingga ke sebuah kawasan perumahan di Seksyen 14, Subang Jaya,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa merempuh bahagian belakang kereta suspek sehingga hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan sebelum kedua-dua mereka keluar dari kereta dan melarikan diri.

Menurutnya, mangsa menghubungi polis dan sepasukan anggota dari balai berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian dan menahan suspek yang bersembunyi di kawasan perumahan itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu objek dipercayai sepucuk pistol mainan, lampu suluh, telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta suspek.

“Hasil ujian air kencing dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berasal dari Petaling Jaya didapati positif dadah jenis syabu, namun tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Pekerja sialan

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Bangladesh diburu polis selepas disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga anak majikannya di Klang, 25 Ogos lalu.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, suspek yang berusia 30-an mulanya diminta datang ke rumah mangsa oleh bapanya yang juga majikan suspek untuk membersihkan kanopi dan menjaga mangsa serta kakaknya berusia lapan tahun berikutan dia serta isteri mempunyai urusan di Pelabuhan Klang.

Namun, suspek yang diharapkan menjaga dua beradik itu bertindak di luar dugaan apabila merogol mangsa di ruang tamu rumah majikannya yang disaksikan kakak mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Adnan Abdullah berkata, suspek datang ke rumah majikannya untuk membersihkan kanopi sebelum masuk ke rumah dan merogol mangsa.

“Suspek yang dipanggil untuk membersihkan kanopi oleh majikannya itu kemudian memasuki rumah dan mengarahkan “Mangsa diarahkan baring di ruang tamu sebelum merogolnya sambil disaksikan kakak mangsa,” katanya.

Kerani nafi cabul rakan setugas



MELAKA: Seorang lelaki yang juga kerani hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerjanya, Jun lalu.
Tertuduh, Hanafiah Idris, 29, dari Taman Bukit Beruang Utama, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Hanafiah didakwa secara sengaja menggunakan kekerasan jenayah dengan mencengkam buah dada kiri seorang wanita berusia 24 tahun dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah di Jalan MJ 45, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, jam 12.39 tengah hari pada 28 Jun 2012.

Bagi kesalahan itu, Hanafiah didakwa mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Rosli Rasi mencadangkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi pertuduhan berkenaan.
Namun, Hanafiah yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jumlah jaminan diringankan dengan alasan menyara ibu uzur dan perlu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Syajaratudur kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Tukang kayu bunuh mekanik menangis dipenjara sedekad



KOTA BHARU: Seorang tukang kayu hanya mampu mengalirkan air mata apabila dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang mekanik dengan memukul kepala mangsa dengan tukul, lima tahun lalu.
Hakim Zainal L Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Roszuhaiza Hassan, 32, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata dan keterangan saksi pendakwaan dalam perbicaraan mengaitkan pembabitan tertuduh dalam kejadian itu.
“Sebagai abang, kamu sepatutnya berwaspada dengan setiap tindakan yang ada hadnya dengan memikirkan kesannya.

“Saya harap kamu insaf sepanjang menjalani hukuman penjara,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan empat adik Muhammad Roszuhaiza dan tiga rakannya yang turut menghadapi pertuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan mereka dalam kejadian itu.
Beliau memerintahkan hukuman berjalan bermula semalam, namun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat jaminan asal RM8,000 ditambah kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Roszuhaiza didakwa dengan niat menyebabkan kematian Mohamad Ramzi Ibrahim, 29, di Jalan Kebun Sultan di sini jam 2.30 petang, pada 16 Mei 2007.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Harian Metro pada 18 Mei 2007 melaporkan, seorang mekanik sanggup menggadaikan nyawa kerana tidak sanggup melihat bapa dan dua adiknya dibelasah sekumpulan lelaki dengan menggunakan tukul dan kayu hoki.

Difahamkan, kumpulan lelaki itu menyerang keluarga mangsa selepas berlaku perselisihan faham antara adik mangsa dengan adik tertuduh di sekolah.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas koma 11 jam akibat pecah tempurung kepala dan patah leher.

Bakal tunang dipenjara sehari

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang jurujual wanita yang akan melangsungkan pertunangan bulan depan dipenjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan mencuri pakaian di sebuah pasar raya.
Majistret Syajaratudur Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas V Rajesvari, 20, dari Taman Seri Duyung, di sini, selepas tertuduh mengaku salah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mencuri dua baju jenama Polo Kids dan sehelai seluar jenama Power Puffgirl bernilai RM327.

Perbuatan itu dilakukan di Pasaraya AEON, Ayer Keroh, antara jam 10 pagi hingga 1.50 tengah hari pada 21 Ogos 2012.

Bagi kesalahan itu, Rajesvari didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Balasan tumbuk adik enggan pulang hadiah kahwin



KUALA TERENGGANU: Seorang tukang besi tergamak mencederakan adiknya dengan menumbuk dahi, badan dan dada selepas mangsa enggan memulangkan semula periuk yang pernah dihadiahkan ketika perkahwinan mangsa 15 tahun lalu.
Bagaimanapun, perbuatan Mustafa Said, 40, dari Kampung Sungai Ikan,Tepoh, di sini, terbalas apabila dia yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM500 atau seminggu penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan. Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Mustafa mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap adiknya, Fadilah, 35. Terdahulu, Mustafa dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung ahli keluarganya termasuk dua anak dan seorang ibu selain mendakwa sudah insaf atas perbuatannya.

Mengikut pertuduhan, Mustafa didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Fadilah di halaman rumah di Kampung Sungai Ikan, Tepoh, di sini, jam 7 malam pada 29 Ogos lalu.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mustafa tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Mustafa mencederakan adiknya dengan menumbuk dahi, badan dan dada adiknya selepas mangsa tidak mengendahkan permintaannya yang meminta adiknya itu memulangkan semula periuk yang dihadiahkannya kepada mangsa ketika perkahwinan mangsa kira-kira 15 tahun lalu.

Selepas mencederakan adiknya, tertuduh meninggalkan rumah berkenaan dan mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit.

Ceroboh hotel untuk rogol

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang penjenayah remaja dibelasah selepas dipercayai cuba merogol dan melarikan beg tangan seorang jurujual di sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi, penjenayah berusia 15 tahun itu ditangkap orang ramai yang terdengar jeritan mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian sejurus kemudian.

Menurut mangsa dikenali sebagai Wong, 38, dia yang baru pulang bersarapan di sebuah kedai berhampiran terkejut selepas mendapati penjenayah itu berada dalam bilik yang disewanya.

“Sebaik masuk ke dalam bilik, saya terus ditarik dan badan dihempas di atas katil hotel sebelum penjenayah itu dipercayai cuba merogol saya menyebabkan berlaku pergelutan.

“Dalam pergelutan itu, lelaki terbabit cuba membuka baju saya namun dapat dihalang,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu ketika ditemui, di sini, semalam.

Kerat alat sulit teman lelaki



HUAMAN JULIA dengan tangan bergari keluar dari kereta polis, semalam.
HUAMAN JULIA dengan tangan bergari keluar dari kereta polis, semalam.
PERU: Seorang wanita berang yang cemburu mengerat kemaluan pasangannya sebelum membuang alat sulit itu dalam mangkuk tandas.
Dia bertindak demikian selepas mendapat tahu lelaki itu bermain kayu tiga.

Huaman Julia Mu�oz, 41, memutuskan untuk membalas dendam terhadap pasangannya, Ramon Arias Apayco, 46, ketika mangsa sedang tidur. Huaman didakwa mengerat kemaluan teman lelakinya dengan pisau ketika lelaki terbabit tidur di sebuah asrama di Brena, lapor laman web The New Age.
Wanita berkenaan cuba melarikan diri selepas melakukan perbuatan itu, tetapi ditangkap kakitangan asrama sebelum mereka menghubungi polis.

Ketika disoal polis mengenai serangan itu, Huaman, mengaku mendapat tahu pasangannya tidak setia dan bertindak sedemikan kerana berang. Apayco dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Ini bukan kali pertama wanita membalas dendam ekoran kejadian seumpamanya. Seorang wanita di selatan Bangladesh sebelum ini mengerat kemaluan seorang lelaki ketika percubaan untuk merogolnya. Dia membawa alat sulit itu ke balai polis sebagai bukti, lapor BBC.
Insiden itu berlaku di kampung Mirzapur, Jhalakathi, kira-kira 200 kilometer ke selatan Dhaka pada Mei tahun lalu.

Monju Begum, 40, yang sudah berkahwin memberitahu polis, jirannya, Mozammel Haq Mazi menceroboh masuk ke rumahnya dan mula menyerangnya. Mozammel yang menafikan tuduhan itu dimasukkan ke hospital berdekatan.
Dalam kejadian lain Julai tahun lalu, Catherine Kieu Becker dari California ditahan selepas memberi dadah kepada bekas suaminya. Catherine mengikat mangsa di katil, memotong kemaluan lelaki itu sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah. - Agensi

Kekasih gesa Blair bantu Saif



LONDON: Teman wanita terakhir anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam menggesa bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair supaya menyelamatkan nyawa rakan lamanya itu.
Saif berdepan hukuman mati di Libya, tempat dia dibicarakan kerana peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika pemberontakan menentang bapanya tahun lalu. Kumpulan hak asasi kemanusiaan bimbang dia tidak tidak akan dibicarakan dengan adil dan usaha untuk mengekstradisinya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di the Hague gagal. Orly Weinerman, 41, bekas aktres dan model Israel yang berpacaran dengan Saif selama enam tahun selepas berkenalan dengannya di London pada 2005, menggesa Blair membantu meyakinkan pendakwa raya supaya meneliti alasan diberikan.

Orly berkata: “Saif bekerjasama rapat dengan Blair sebelum dia ditangkap.
“Kedua-duanya adalah teman lama - sudah tiba masanya kini Blair menunjukkan kesetiannya.

“Blair adalah lelaki yang beragama dan sebagai penganut Kristian dia mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu teman yang memerlukan.” Hubungan rapat Saif dengan Blair dipaparkan dalam dokumen yang ditemui ketika pemberontakan.

Dalam surat yang ditulis Blair pada 2007, dia memberi cadangan untuk membantu Saif mendapatkan PhD ketika belajar di Sekolah Ekonomi London. - Agensi

Gara-gara durian



SINGAPURA: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki Singapura, dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas ditikam gara-gara durian berharga Sg$2 (RM5), semalam.
Lianhe Wanboe, 46, bertegang urat dengan penjual durian itu ketika meminta untuk merasa sedikit buah berkenaan di gerai di Jalan Bukit Merah. Sebab pertengkaran itu tidak dijelaskan.

Menurut akhbar tempatan, mangsa berkata, ketika dia berdiri di gerai itu, tiba-tiba dia merasa ada orang menikamnya dari belakang.

Pada mulanya, Lianhe merasakan dia menjadi mangsa rompakan. Dia menjerit meminta tolong tetapi tidak ada siapa yang mengendahkan.

Dalam keadaan berdarah, Lianhe berjalan sejauh 500 meter untuk menahan teksi dan ke hospital.

Mangsa mengalami dua luka tikaman di belakang tubuh.

Serangan itu turut menyebabkan satu tulang rusuknya patah. Doktor terpaksa melakukan pembedahan dan Lianhe kini diletakkan di bawah pengawasan di unit rawatan rapi di Hospital Besar Singapura.

Penyerangnya, penjual durian berusia 61 tahun ditahan polis. Saksi berkata, penjual durian itu kelihatan tenang ketika dibawa polis. - SM

No comments:

Post a Comment