Budak maut rumah dirempuh
|
TUMPAT – Gara-gara seorang pemandu terlelap ketika memandu kereta, seorang budak berusia dua tahun terkorban manakala si ibu pula cedera apabila sebuah kereta Mercedes merempuh rumah kedai di Kampung Dalam Rhu di sini kelmarin.
Semasa kejadian pada pukul 6.30 petang, kereta yang dipandu seorang lelaki itu merempuh dinding konkrit rumah kedai setingkat tersebut sebelum kenderaan itu masuk pula ke ruang tamu tempat kanak-kanak itu bermain.
Akibat rempuhan itu, rumah kedai tersebut hampir ranap.
Mangsa yang terkorban ialah Adam Firdaus Syukri. Semasa ditemui mangsa didapati berlumuran darah dengan badannya dalam keadaan tersungkur berhampiran salah sebuah tayar kereta tersebut.
Adam kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat (HT) namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat mengalami kecederaan dalaman yang teruk di kepala.
Sementara itu, ibu mangsa, Nik Salwani Abdullah, 26, yang mengandung anak keempat hanya cedera ringan di beberapa bahagian badan.
Dia yang trauma dengan tragedi itu masih dirawat di HT. Semasa kejadian suami Nik Salwani tiada di rumah.
Bapa terkilan tiada siapa mengaku
JOHOR BAHRU – “Saya terkilan kerana sehingga kini tiada sesiapa tampil mengaku bertanggungjawab menyebabkan kematian anak saya.”
Demikian luahan rasa kecewa Che Samad Che Omar, bapa kepada Muhammad Alias, kanak-kanak berusia empat tahun yang mati kelmarin selepas kepalanya tertusuk batang buluh penyidai pakaian di Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai di sini Ahad lalu.
Menurut Che Samad, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
“Kecuaian ini tidak harus berulang kerana ia melibatkan nyawa orang yang tidak bersalah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengebumian Muhammad Alias di sini semalam.
Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif di sini pukul 2 petang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.
Katanya, lelaki berusia 34 tahun itu yang juga jiran mangsa telah mengaku sebagai pemilik buluh terbabit.
Abang bunuh adik kerana TV
KUALA TERENGGANU – Perebutan siaran televisyen antara dua beradik di Kampung Telaga Papan, Kemaman malam kelmarin membawa padah apabila si adik ditikam mati oleh si abang.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 8 malam itu ialah Abdul Hisham Ahmad, 23.
Sebelum tragedi itu, Hisham dan abangnya yang berusia 37 tahun itu dikatakan sudah berselisih faham kerana berebut sebuah motosikal.
Pergaduhan itu bertambah buruk apabila dua beradik itu kemudian berebut siaran televisyen. Ketika bergaduh kedua-dua beradik itu kemudian bergelut menyebabkan si abang didakwa mencapai satu objek tajam dan menikam bahagian badan mangsa.
Isteri mangsa, Ruhil Amani Shaharuddin, 17, berkata, abang iparnya itu memarahi suaminya yang ketika itu sedang menonton televisyen kerana televisyen tersebut dibeli oleh abang iparnya.
“Ketika itu saya baru selesai sembahyang Maghrib dan saya lihat suami dan abang ipar bergelut. Saya kemudian minta tolong bapa mertua meleraikan pergelutan tersebut,” cerita Ruhil ketika dihubungi.
Berikutan itu, Ruhil memberitahu, bapa mertuanya, Ahmad Din, 59, yang semasa kejadian berada kira-kira dua meter dari tempat kedua-dua beradik itu bergelut memarahi abang iparnya.
Empat pakar penipu Nigeria ditangkap
KUALA LUMPUR – Satu sindiket black money yang didalangi warga Nigeria tumpas ekoran penahanan empat lelaki hasil serbuan di tiga unit kondominium di Jalan Desa Pertama, Brickfields di sini Isnin lalu.
Kesemua suspek berusia 25 hingga 37 tahun yang ditahan pada pukul 12 tengah hari itu merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes penipuan di sekitar Cheras membabitkan kerugian RM500,000.
Katanya, operasi sindiket itu bagaimanapun dapat dilumpuhkan hasil maklumat orang awam dan risikan polis selama dua minggu.
Beliau memberitahu, ahli sindiket itu menggunakan laman sosial Facebook untuk mempengaruhi pelanggan dengan menawarkan penukaran wang dolar Amerika Syarikat yang sebenarnya palsu kepada Ringgit Malaysia dengan kadar yang rendah.
“Mereka cuba memperdayakan mangsa bahawa wang Dolar Amerika itu tulen dengan menunjukkan demonstrasi mencelup kapas dalam sejenis cecair sebelum disapu pada kepingan wang kertas.
“Sebenarnya hanya wang di bahagian atas dan bawah sahaja yang tulen manakala di tengah-tengahnya cuma kepingan kertas kosong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras di sini semalam.
Tambah Izany, serbuan di unit rumah pertama, polis telah menahan seorang lelaki dan hasil soal siasat, suspek menunjukkan unit rumah yang kedua yang telah membawa kepada penahanan tiga lagi suspek dan siasatan lanjut suspek telah menunjukkan sebuah lagi unit rumah yang turut dijadikan pusat operasi sindiket mereka.
Bayar RM200 kerana pukul isteri
KOTA BHARU – Pertelingkahan sepasang suami isteri berakhir di Mahkamah Majistret di sini semalam dengan si lelaki diminta membayar kompaun RM200 kepada isterinya sebagai hukuman atas kesalahan memukul mangsa menggunakan antena televisyen.
Buruh binaan, Mohd. Afzarizal Mohd. Diah, 37, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu membayar wang kompaun tersebut kepada isterinya, Aryati Yaacob, 37, di depan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor ketika kedua-duanya diminta tampil ke depan.
Lebih syahdu, selepas wang kompaun tersebut diserahkan kepada Aryati, mereka berdua secara spontan bersalaman dan wanita itu terus mengucup tangan suaminya.
Mohd. Afzarizal didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Aryati di rumah mereka di Berek 12, Jalan Hospital di sini pada pukul 10 malam, 3 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan setahun atau dengan denda sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sewaktu kejadian, Mohd. Afzarizal dan Aryati bergaduh berpunca daripada mangsa yang menegur suaminya yang merosakkan televisyen.
Mohd. Afzarizal yang begang dengan teguran tersebut memukul Aryati menggunakan antena televisyen.
Perniagaan punca isteri muda dibelasah suami
IPOH – Rakaman litar kamera tertutup (CCTV) yang menunjukkan aksi-aksi pertelingkahan dan pukul-memukul antara sepasang suami isteri yang boleh disaksikan melalui YouTube tercetus kerana masalah perniagaan.
Mengimbas kejadian tersebut, mangsa wanita, Amanda Fong Kim Yen, 19, mendakwa pertikaman lidah dengan suaminya bermula selepas dia tidak setuju dengan keputusan lelaki itu yang mahu mempamerkan koleksi minyak wangi milik seorang rakan suaminya di butik mereka di Taman Ipoh Selatan di sini.
“Saya khuatir koleksi minyak wangi tersebut tidak tulen dan jika perkara tersebut berlaku ia menjejaskan perniagaan butik pakaian dan aksesori wanita yang kami baru buka Julai lalu,” kata Amanda pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur di sini.
Menurut mangsa yang hamil dua bulan, selepas berperang mulut beberapa minit, dia mengambil keputusan untuk keluar dari butik.
Bagaimanapun, dakwa Amanda, suami menyekat dia meninggalkan butik sebelum suaminya bertindak ganas memukul, menggigit dan menekan perutnya seperti yang dipaparkan di dalam YouTube.
Amanda hadir di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur dengan ditemani ibunya, Lily Yeoh, 49.
Dia bersetuju menerima khidmat guaman yang ditawarkan Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur. Peguam yang mewakili ialah Datuk G. Amarjit Singh Gill.
Banjir terburuk sejak 27 tahun lalu
SERDANG – Penduduk mendakwa banjir kilat yang melanda di sini kelmarin merupakan bencana paling buruk pernah berlaku sejak 27 tahun lalu.
Rata-rata mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca kejadian tersebut berlaku selain tidak mampu menampung hujan lebat.
Tinjauan mendapati, penduduk dan peniaga menyalahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan yang dikatakan gagal mengurus sistem perparitan dengan baik.
Seorang peniaga restoran, Haniffa Syed Mohamad, 63, berkata, sebelum ini, banjir kilat yang berlaku tidak seteruk kelmarin.
“Saya telah berniaga di sini sejak 12 tahun lalu dan banjir kilat yang berlaku adalah yang terburuk sekali. Ada kata paling teruk sejak 27 tahun lalu,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi peniaga, Lee Chee Chin, 48, pula memberitahu, akibat kejadian itu dia menanggung kerugian RM30,000 ekoran alat ganti motosikalnya ditenggelami air.
“Saya tidak sempat hendak menyelamatkan barang-barang dalam kedai kerana banjir berlaku sekelip mata,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 20 Serdang, Kamaruzaman Ibrahim pula mengaitkan faktor tadbir urus yang kurang sempurna menjadi punca berlaku banjir kilat.
“Kawasan ini sudah membangun. Disebabkan itu, pihak yang terlibat perlu lebih teliti sebelum meluluskan projek pembangunan baharu agar penduduk sedia ada tidak terjejas seperti apa yang berlaku hari ini,” jelasnya.
Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid
SERDANG – Seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SKSS) di sini sanggup ‘mengorbankan’ kenderaannya demi menyelamatkan nyawa 30 pelajar dalam kejadian banjir kilat di sini kelmarin.
Menceritakan detik-detik cemas itu, Samsor Asrul Saad, 34, berkata, ia bermula apabila hujan lebat selama dua jam yang bermula sejak pukul 4.30 petang.
“Pada mulanya saya berniat hendak bawa kereta saya ke tempat selamat apabila melihat air mulai naik tetapi selepas melihat anak-anak murid saya dalam ketakutan saya membatalkan niat itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Samsor kemudiannya bertindak memindahkan semua murid ke tingkat atas bangunan tiga tingkat itu ekoran bimbang keselamatan mereka.
Bagaimanapun, tindakannya menyebabkan kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora yang dibelinya dua tahun lepas rosak teruk akibat banjir.
Jenazah Hamzah Abu Samah dikebumi di Makam Pahlawan
KUALA LUMPUR - Jenazah Tan Sri Hamzah Abu Samah selamat dikebumikan di pekarangan Masjid Negara di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Jenazah Allahyarham sebelum itu ditempatkan di dewan solat utama Masjid Negara pada pukul 1 petang bagi membolehkan orang ramai menziarah dan memberikan penghormatan terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengetuai solat jenazah sejurus selepas solat Zuhur sebelum jenazah diusung ke kawasan pusara itu yang terletak bersebelahan Makam Pahlawan bagi upacara pengebumian.
Turut hadir pada pengebumian itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib ketika ditemui berkata, Allahyarham Hamzah memberi banyak sumbangan kepada negara melalui pelbagai jawatan yang dipegangnya sama ada dalam bidang politik atau sukan.
"Barangkali, kejayaan bola sepak tanah air dan sukan tanah air ketika Allahyarham memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia amat diingati dan dikenang oleh para peminat sukan dan rakyat," kata Najib.
Hamzah, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan serta Menteri Perdagangan dan Industri.
Allahyarham yang juga adik ipar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, meninggalkan isteri Puan Sri Zainon dan tujuh anak. - Bernama
Jerman mengaku bantu Suaram
KUALA LUMPUR – Kedutaan Jerman di Malaysia semalam mengaku pernah menyalurkan dana kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), sebuah NGO propembangkang, untuk membiayai salah satu projek pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Gunter Georg Gruber berkata, dana terhad yang disalurkan itu adalah untuk projek Suaram yang dilaksanakan pada tahun 2010 dan ia telah selesai dijalankan.
“Saya tidak tahu mengapa isu ini timbul sekarang. Apa yang dilakukan oleh Suaram selaku NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia itu amat baik dan tidak bercanggah dengan polisi kami di pihak kedutaan.
“Namun, perlu ditegaskan pihak kedutaan tidak sekali-kali campur tangan dalam sebarang polisi domestik negara ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan pendedahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa wujud transaksi dana antara Suaram dengan sebuah syarikat, Suara Inisiatif Sdn. Bhd.
Cula buaya ubati masalah tenaga batin
KUCHING - Percaya atau tidak, cula atau zakar buaya dipercayai oleh sesetengah pihak di negeri ini sebagai dapat mengubati pelbagai penyakit termasuk lemah tenaga batin.
Perkara itu diakui oleh pawang buaya terkenal Sarawak, Indet Sanabong, 49, yang mendakwa telah berjaya mengembalikan kekuatan batin lebih 50 lelaki dengan menggunakan cula reptilia berkenaan.
Dia menceritakan, kaedah perubatan tradisional itu juga didakwa terbukti mujarab merawat penyakit seperti asma, darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, lelah dan sengal-sengal tulang.
"Ada orang dapat memulihkan masalah mati pucuk dengan memakan sup cula buaya dengan ginseng," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tinjauan Kosmo! ke Pasar Serikin, kira-kira 70 kilometer dari sini, baru-baru ini mendapati cula buaya dijual secara terbuka pada setiap hujung minggu.
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Pak Pong, berkata, satu cula buaya tembaga dijual pada harga RM80 sehingga RM250.
Bagaimanapun, warga Indonesia itu mengakui ia satu kesalahan kerana buaya merupakan spesies terlindung di bawah Ordinan Hidupan Liar Terlindung Sarawak 1995.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan meninggal dunia
|
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir (gambar) meninggal dunia pada pukul 4.30 petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini semalam.
Menurut anak sulungnya, Muhamad Anas, 35, bapanya dimasukkan ke PPUM setelah diserang strok pada pukul 6 petang kelmarin ketika berehat bersama keluarga di rumahnya di Petaling Jaya.
"Allahyarham kemudian dihantar ke PPUM dalam keadaan tidak sedarkan diri dan doktor mendapati berlaku pendarahan pada otaknya.
"Allahyarham yang tidak menghidap apa-apa penyakit sebelum ini koma dan kemudian disahkan meninggal dunia pada usia 67 tahun," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 10 pagi ini.
Selain Muhamad Anas, Allahyarham yang dilahirkan pada 16 Mei 1945 di Yan, Kedah meninggalkan seorang isteri, Datin Dr. Amla Mohd. Salleh, serta dua lagi anak, Mohd. Syakir, 31, dan Mohamad Salleh, 27.
Bekas pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan kolumnis di beberapa majalah tempatan itu pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama dua penggal iaitu pada 1999 dan 2004.
Allahyarham juga dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan pada 1999 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada Mac 2004.
Berbaris hanya untuk beli telur
BANDAR RAYA MEXICO - Penduduk di Mexico sanggup berbaris di luar trak hanya untuk membeli telur subsidi yang dijual pihak pemerintah kelmarin.
Situasi itu berlaku kerana negara ini mengalami masalah kekurangan bekalan telur ekoran wabak selesema burung.
Kira-kira 11 juta ayam dibunuh kerana wabak penyakit itu pada Jun lalu.
Penduduk di utara negara ini terpaksa pergi ke sempadan untuk membeli telur yang dijual pada harga lebih murah di pasar raya Amerika Syarikat.
Ekoran masalah itu, pihak pemerintah terpaksa menarik balik tarif telur dengan melaksanakan pengimportan telur sebanyak 906 tan dari AS sejak krisis tersebut berlaku pada bulan lalu.
Lebih banyak telur akan diimport dari Costa Rica, Colombia dan Chile.
Sebahagian kedai melaksanakan sistem catuan dengan melarang penduduk membeli lebih dua karton telur bagi setiap pembeli.
Di kebanyakan kedai di negara ini, harga telur meningkat dari AS$1.50 (RM4.67) kepada AS$3 (RM9.34) bagi setiap satu kilogram (kg) karton.
Menurut Kesatuan Penternak Kebangsaan, purata penduduk Mexico makan 22.4kg telur pada setiap tahun.
Setiap karton yang seberat 1kg mengandungi 16 hingga 18 biji telur. - AFP
Wanita lumpuh dari Britain peroleh sut robotik percuma
LONDON - Seorang wanita lumpuh dari paras dada merupakan orang yang pertama membawa pulang sebuah rangka robotik yang dipakainya untuk membantu dia berjalan.
Wanita Britain itu, Claire Lomas lumpuh dalam satu kemalangan semasa menunggang kuda.
Rangka robotik itu telah digunakan di beberapa buah hospital dan pusat pemulihan tetapi Lomas merupakan orang pertama yang membawa pulang sut bionik berkenaan untuk kegunaan harian.
Dikenali sebagai ReWalk, sut tersebut dianggarkan berharga £45,000 (RM140,000).
Sut itu dihasilkan oleh syarikat Argo Medical Technologies.
Lomas pernah menggunakan sut tersebut awal tahun ini untuk menamatkan larian Marathon London dalam masa 17 hari.
Dia menyertai larian tersebut untuk mengumpul dana £200,000 (RM622,400) bagi tujuan penyelidikan kerosakan tulang belakang.
Wanita itu diberi penghormatan untuk menyalakan obor Sukan Paralimpik di sini baru-baru ini.
Lomas yang sudah berkahwin mempunyai seorang anak. - Reuters
Rekod masakan makanan laut
AMHERST, Amerika Syarikat - Sekumpulan tukang masak di Universiti Massachusetts di sini memasak 3,025 kilogram stew makanan laut dengan menggunakan kuali gergasi pada Isnin lalu.
Kumpulan tukang masak itu mencipta rekod Guinness bagi kategori memasak makanan tersebut dalam jumlah yang banyak.
Pelbagai jenis hidupan laut dimasak bagi meraikan kepulangan para pelajar di universiti tersebut untuk meneruskan pengajian. - Agensi
Tiga hakim Perancis akan minta kubur Arafat digali
|
|
PARIS - Tiga hakim Perancis melakukan persiapan untuk pergi ke bandar Ramallah di Tebing Barat bagi meminta kubur Yasser Arafat (gambar) digali semula untuk menentukan sama ada bekas pemimpin Palestin itu mati akibat diracun, kata sumber kehakiman kepada agensi berita Reuters semalam.
Ketiga-tiga hakim berkenaan perlu mendapatkan kelulusan Israel dan Pihak berkuasa Palestin bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah melahirkan kesanggupan untuk menggali kubur Arafat di Ramallah.
Dalam perkembangan berkaitan, balu Arafat, Suha dalam satu kenyataan kepada Reuters berkata, hakim-hakim berkenaan memberitahu peguamnya bahawa mereka telah mula mengambil langkah yang perlu untuk ke Ramallah.
"Saya telah meminta Pihak Berkuasa Palestin dan Liga Arab supaya menggantung semua inisiatif lain sementara sistem kehakiman Perancis menyiasat kes ini," kata Suha.
Beberapa pakar polis akan melakukan ujian keracunan di bawah pemerhatian dan arahan tiga hakim berkenaan.
Mahkamah Perancis berkenaan melancarkan siasatan kes bunuh pada bulan lalu berhubung kematian Arafat di sebuah hospital tentera di Paris pada tahun 2004 selepas balunya menyatakan bekas pemimpin Palestin itu telah diracun.
Tiada bedah siasat dilakukan selepas kematian Arafat pada tahun 2004.
Dakwaan perbuatan khianat tersebar selepas beberapa doktor Perancis memberitahu mereka tidak dapat mengenal pasti punca kematian Arafat.
Sebelum ini Suha menyatakan Arafat diracun ekoran keputusan ujian sebuah makmal di Switzerland yang menemui bahan beracun radioaktif, polonium-210 pada pakaian bekas pemimpin itu. - Agensi
PM Thai lawat selatan Thai
BANGKOK - Ketidakstabilan berterusan di Narathiwat apabila dua kejadian membabitkan kematian pemberontak dan empat anggota tentera cedera berlaku ketika Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra melawat wilayah selatan semalam.
Dalam kejadian pertama, seorang pemberontak ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak selepas rumahnya dikepung oleh pihak berkuasa di Rusok pada pukul 6 pagi.
Jurucakap polis Narathiwat berkata, lima lagi yang disyaki pemberontak ditahan.
Dalam kejadian kedua, empat anggota tentera cedera parah apabila bom 10 kilogram buatan sendiri meletup pada pukul 10.40 pagi ketika mereka memeriksa satu kain rentang di Lampu, Muang, Narathiwat.
Yingluck melawat Narathiwat dalam usaha untuk mendapat maklumat secara terus mengenai keadaan keselamatan dan pembangunan di wilayah itu. - Bernama
Morsi minta Bashar letak jawatan
|
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Morsi menyampaikan ucapan dasar luar pertamanya semalam dengan meminta rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletak jawatan sebelum terlambat.
Beliau turut memberi amaran kepada Iran agar tidak campur tangan dalam hal ehwal rantau Arab selain menyuarakan sokongan kepada usaha Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berucap pada mesyuarat menteri luar negara-negara Arab di sini, Morsi menggariskan beberapa objektif dasar luar pentadbirannya selepas lebih dua bulan mentadbir negara sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih daripada kalangan orang awam.
Kenyataan Morsi itu merupakan petanda bahawa beliau kini berusaha menjadikan Mesir sebagai pemimpin rantau Asia Barat selepas peranan tersebut lenyap di bawah pemerintahan pemimpin negara itu sebelum ini, Hosni Mubarak.
Ketika itu, negara bukan Arab seperti Turki dan Iran mempunyai pengaruh besar di rantau Arab.
"Saya memberitahu rejim Syria bahawa masih terdapat peluang untuk menghentikan pertumpahan darah ini," kata Morsi.
"Jangan menurut suara yang menggoda kamu (rejim Bashar) agar terus berusaha untuk berkuasa kerana kamu tidak akan lama memegang tampuk pemerintahan. Tiada lagi ruang untuk melambat-lambatkan keputusan bagi menamatkan pertumpahan darah ini. Kini sudah terlambat untuk bercakap tentang pembaharuan, sekarang adalah masa untuk perubahan (pertukaran pemerintah)," kata Morsi.
"Rejim Syria perlu belajar daripada sejarah," ujarnya yang merujuk kepada kejatuhan rejim autokratik di Tunisia, Libya, Mesir dan Yemen akibat kebangkitan rakyat.
Sementara itu, tentera Syria yang dibantu unit artileri dan jet pejuang terus memerangi pemberontak di beberapa kawasan di negara berkenaan semalam.
Perkembangan tersebut berlaku ketika Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya 34 orang maut di seluruh Syria semalam.
Menurut kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu, lebih 26,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang Bashar bermula pada Mac 2011.
PBB pula menyatakan, sekitar 20,000 orang terkorban ekoran pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak.
- Agensi
No comments:
Post a Comment