Thursday, September 6, 2012

AKHIR ZAMAN BERDAKWAH PERLUKAN WANG...DENGAN KATA LAIN 'WANG PENTING UNTUK BERDAKWAH DIAKHIR2 ZAMAN'

Dibunuh sebaik dilahir

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz, Mohd Rafi Mamat dan Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

pix_middle
KUANTAN: “Hampir menitis air mata saya melihat mayat bayi tidak berdosa itu terperosok dalam lubang tandas, tapi demi tanggungjawab, saya dan tujuh rakan yang lain kuatkan juga semangat untuk menjalankan tugas.”
Demikian, kata seorang daripada anggota bomba ditugaskan mengeluarkan mayat bayi baru lahir yang tersumbat dalam lubang tandas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 40-an, berkata, dia dan rakan-rakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas bagi mengeluarkan mayat bayi itu, bermula jam 8 pagi.

“Sebaik saja melihat separuh kepala bayi itu terperosok dalam lubang tandas, kami sedar tiada cara lain untuk mengeluarkannya kecuali memecahkan mangkuk tandas itu dengan berhati-hati kerana bimbang ia mencacatkan tubuh bayi berkenaan.

“Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas itu perlahan-lahan. Kami bergilir-gilir melakukannya. Ketika itu juga hati saya bercampur baur antara sedih dan geram dengan manusia yang membuang bayi itu,” katanya.

Buat layar pada bot

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my

SELAMAT...bot yang diikat layar kanvas. Gambar kecil, Ramli.
SELAMAT...bot yang diikat layar kanvas. Gambar kecil, Ramli.
MELAKA: Dua nelayan yang disangka lemas selepas hilang sembilan jam di tengah laut, tiba-tiba muncul di Pantai Puteri, Tanjung Minyak di sini, tengah malam semalam.
Tekong bot, Ramli Mahadi, 48, dari Pantai Rombang dan awak-awaknya, Supian Kadir, 32, dari Pantai Kundor, pulang ke pantai jam 12.10 tengah malam menggunakan layar diperbuat daripada kanvas.

Ramli berkata, dia terpaksa menggunakan alternatif itu selepas botnya kehabisan minyak dan terkandas pada jam 3 petang ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan, 25 batu nautika dari pantai.
“Ketika bot kehabisan minyak, saya cuba mengambil minyak simpanan dalam tong yang biasanya diletakkan di bahagian bawah, namun tiada kerana tertinggal di tepi pantai.

“Dengan keadaan ribut sederhana di laut dan tiupan angin yang agak kuat, saya menggunakan kanvas untuk membuat layar untuk membolehkan bot ini bergerak ke pantai,” katanya.

Menurutnya, dia keluar ke laut bersama Supian pada jam 6.30 pagi dan kebiasaannya pulang pada jam 4 petang.
Katanya, layar itu dibuat berdasarkan pengalamannya lebih 30 tahun sebagai nelayan dan sudah beberapa kali tersangkut di tengah laut kerana mengalami masalah kerosakan enjin.

“Kami tidak panik dan takut kerana sebagai nelayan perlu berani serta menggunakan akal mengatasi sebarang masalah. “Ini kali ketiga saya tersangkut di tengah laut dan dua daripadanya kerana kerosakan enjin,” katanya.
Kehilangan mereka disedari peraih, Baharudin Masaah, 45, yang setiap hari menunggu hasil tangkapan mereka.

Baharudian berkata, kebiasaannya Ramli dan Supian pulang ke pantai membawa hasil tangkapan kira-kira jam 4 petang.

“Petang tadi (kelmarin) saya tunggu mereka tidak pulang dan kira-kira jam 4 petang saya menghubungi telefon bimbit Ramli, namun isterinya yang menjawab kerana telefon itu ditinggalkan di rumah,” katanya.

Menurutnya, kebimbangannya mengenai keselamatan tekong dan awak-awak itu bertambah selepas melihat tong minyak diletakkan di tepi pantai.

Katanya, dia meminta bantuan nelayan lain mencari mangsa di tengah laut.

“Bagaimanapun pada jam 8 malam nelayan yang mencari pulang kerana tidak menjumpai mereka.

“Saya membuat laporan polis dan sekali lagi nelayan menggunakan bot besar mencari mereka pada jam 9 malam namun hampa, katanya. Keluarga mangsa dan nelayan memenuhi kawasan berkenaan manakala kepulangan mangsa dengan selamat disambut dengan rasa syukur.

Penyamun maut jatuh kondo

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

DI SINI...lokasi penjenayah mati jatuh kondo ketika melarikan diri dicekup tuan rumah di Taman Cempaka, semalam.
DI SINI...lokasi penjenayah mati jatuh kondo ketika melarikan diri dicekup tuan rumah di Taman Cempaka, semalam.
MAUT...mayat penjenayah ditutup sebelum dihantar ke hospital.
MAUT...mayat penjenayah ditutup sebelum dihantar ke hospital.
AMPANG: Malang bagi seorang penjenayah apabila dia menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat 14 sebuah kondominium ketika cuba melarikan diri selepas penghuni rumah yang dicerobohinya menyedari tindakannya dalam kejadian di Taman Cempaka, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit dipercayai terlebih dulu memperdayakan pengawal keselamatan di kondominium berkenaan selepas kehadirannya tidak disedari mereka dan naik ke tingkat 14 serta memecah masuk sebuah rumah di situ.
Menurut sumber, dia menggeledah rumah terbabit sebelum menemui dompet mengandungi wang tunai dan dokumen pengenalan diri.

“Lelaki itu yang masih tidak berpuas hati dengan hasil rompakan terus menggeledah barangan dalam rumah itu.

“Malah, ketika leka mencari barangan berharga, perompak terbabit terkejut apabila tiba-tiba pintu rumah dibuka sebelum pemiliknya masuk menyebabkan dia yang panik melarikan diri ke dapur,” katanya.

Bakar musuh perniagaan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

ROSAK...keadaan dalam kabin mangsa yang dibaling botol kaca bersumbu.
ROSAK...keadaan dalam kabin mangsa yang dibaling botol kaca bersumbu.
DIBALING...kabin milik mangsa di tempat kejadian.
DIBALING...kabin milik mangsa di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR: Angkara berebut kawasan letak kereta, seorang lelaki bertindak kejam dengan menyimbah petrol dan membakar musuh perniagaannya hidup-hidup di sebuah tempat letak kereta berhampiran sebuah hotel di Cheras, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun terbabit terbakar seluruh badan dan dia yang masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu berada dalam keadaan kritikal. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek dan mangsa berselisih faham mengenai kawasan tempat letak kereta yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada dalam kabin di tempat letak kereta itu seorang diri sebelum didatangi suspek untuk berunding mengenai hal sama dan akibat tidak mendapat persetujuan daripada mangsa untuk melepaskan tempat letak kereta yang dijaganya itu, suspek naik angin dengannya.
“Suspek bertindak agresif dengan menyimbah petrol ke atas mangsa dan membakarnya hidup-hidup. Lelaki terbabit turut membaling dua botol kaca bersumbu ke dalam kabin di tempat letak kereta itu,” katanya.

Susulan itu, katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang nampak mangsa dalam keadaan terbakar sebelum pasukan peronda polis dari Balai Polis Cheras bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, selepas tiba di lokasi, pihaknya menemui mangsa terbaring dengan kesan melecur seluruh badan dan dikejarkan ke PPUKM untuk rawatan kecemasan.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dibakar dalam kabin berkenaan di tempat letak kereta itu.

“Mangsa mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dilaporkan berada di tahap kritikal.
“Kami memburu suspek yang dipercayai musuh perniagaan mangsa dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

Kongsi minat curi motor



KUALA LUMPUR: Dua beradik bukan saja berkongsi pekerjaan sama sebagai pengawal keselamatan, malah mereka turut berkongsi minat sama iaitu mencuri motosikal di sekitar Setapak dan Hulu Klang sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, tabiat mencuri kenderaan pasangan adik-beradik itu terbantut kelmarin selepas mereka dicekup di Medan Aneka, Jalan Genting Klang bersama sebuah motosikal yang baru dicuri pada 29 Ogos lalu di Wangsa Maju.

Sumber polis berkata, anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) mengesan motosikal Yamaha Lagenda berwarna hitam yang digunakan dua beradik itu di Jalan Genting Klang namun mereka melarikan diri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, intipan berterusan ke atas kedua-dua suspek itu berjaya menemui mereka semula jam 8.35 malam dan ketika hendak menahan mereka, adik-beradik itu menyedari kehadiran polis sebelum menaiki motosikal untuk beredar.

“Anggota U3K bersama dua anggota tentera dari Cawangan Siasatan Jenayah yang cuba menahan mereka dirempuh sebelum seorang daripada mereka diheret lebih 500 meter.

“Namun hasil kekuatan pihak berkuasa, kedua-dua suspek itu ditahan selepas bergelut dan soal siasat mendapati pasangan terbabit mengaku mencuri motosikal berkenaan di Jalan AU 1A/1B, Wangsa Maju milik seorang pelajar pada 29 Ogos lalu,” katanya semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 26 tahun yang dipercayai adik-beradik itu berasal dari Batu 8, Hulu Klang.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut,” katanya.

‘Hati kami tidak cacat’

REMBAU: “Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu, saya nekad mendirikan rumah tangga walau sedar keadaan diri tidak sempurna,” kata Azman Misnur,32, yang terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun.
Menurutnya, dia mula berkenalan dengan isteri, Azrina Zafarin, 28, juga cacat anggota kaki empat tahun lalu ketika belajar dan bekerja di bengkel Seri Sembilan, Mambau.

“Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Mempelai dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya Bersama Bengkel Terlindung Negeri Sembilan bertempat di Dewan Sri Rembau.

2 beranak pencuri

Oleh Suraya Roslan
urayaroslan@hmetro.com.my

KUALA PILAH: Seorang ayah dan anak lelakinya ‘berganding bahu’ melakukan jenayah terancang apabila sanggup menyewa lori mengangkut jengkaut yang mereka curi sebelum meleraikan komponennya untuk dijual.
Kegiatan licik suspek berusia 59 tahun bersama anaknya yang berusia 23 tahun dari Simpang Pertang, Jelebu, dekat sini, terbongkar selepas dua beranak itu dicekup polis pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 6 petang, 25 Ogos lalu, dua beranak itu mencuri satu jengkaut dari sebuah ladang Risda di Parit Tinggi, di sini.

“Suspek dipercayai menggunakan gunting menghidupkan enjin jengkaut terbabit sebelum melarikannya. Ketika kejadian semua pekerja di ladang itu pulang.

“Siasatan mendapati, suspek menyembunyikan jengkaut itu di kawasan rumahnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Bomoh, tangkal gugat tauhid

Oleh Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji

ANTARA pesan dan wasiat Nabi yang paling banyak disebut dan diulang-ulang pada cuping telinga kaum Muslimin ialah bertakwa kepada Allah. Ia disebut paling kurang setiap minggu setiap kali khutbah Jumaat. Ketika itu Nabi selalu melazimi dengan memulakan ucapan dengan wasiat bertakwa kepada Allah.
Persoalannya, tahukah kita apakah itu maksud kalimah takwa? Takwa bukan sekadar takut kepada Allah SWT tetapi maksud sebenar takwa adalah kita melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan segala dilarang-Nya.

Imam An-Nawawi (wafat 676 H) mendefinisikan takwa dengan ‘mentaati perintah dan larangan-Nya’. Maksudnya menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah Subhanahu wa Ta’ala (Tahriru Al-Fazhil Tanbih, hal 322).
Perintah yang paling besar adalah mentauhidkan-Nya yakni mengesakan-Nya. Mengesakan Allah daripada segala perkara yang membawa kepada syirik. Adakah kita sudah mengetahui apakah itu tauhid yang sebenarnya? Beriman dengan tauhid yang benar Ini adalah perkara penting dalam kehidupan kita. Bahkan kebanyakan kitab yang ditulis oleh ulama Ahli Sunah Wal Jamaah, mereka membahaskan tauhid terbahagi kepada tiga komponen. Kita perlu menguasainya iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma Wa Sifat. Beriman sepenuhnya kepada ketiga-tiga jenis tauhid ini.

Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabit (wafat 150 H) menyebutkan: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada Tauhid Asma Wa Sifat), kerana bawah bukan daripada Rububiyah dan Uluhiyah sesuatupun.” (Kitab al-Fiqh al-Absat, hal 51) Tauhid Rububiyah iaitu kita beriman kepada kekuasaan Allah yang memberikan rezeki, yang menciptakan kita. Tauhid Uluhiyah iaitu kita beribadah kepada Allah, menyembah diri kepada Allah tanpa syirik kepadanya dengan cara yang unnah bukan bid’ah, dan Tauhid Asma Wa Sifat iaitu kita beriman kepada nama dan sifat Allah yang diwahyukan di dalam al-Quran.

Apa yang dijelaskan oleh Nabi tanpa takwil (mengubah maksud), tamsil (menyerupakan), ta’thil (menidakkan makna), dan takyif (bertanya bagaimana). (lihat: Syarah Tslalatsatul Ushul karya Syaikh Utsaimin dan Syarah Al-Aqidah Washithiyah karya Dr Shaleh Al-Fauzan) Perkara terbesar yang dilarang oleh Allah di dalam perkara takwa adalah syirik kepada Allah, lawan kepada tauhid. Sekecil-kecil syirik lebih besar mudaratnya daripada sebesar-besar dosa maksiat selain syirik. Perkara syirik adalah perkara yang paling pokok yang perlu dijauhi. Amalan syirik membatalkan tauhid Pertama: Bomoh. Di dalam hadis sahih daripada Nabi yang bermaksud: “Barang siapa datang berjumpa tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia sudah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad.” (riwayat Imam al-Bazzar dan Abu Dawud) Bahkan di dalam hadis lain pula Nabi menyebutkan bahawa barang siapa yang datang saja kepada bomoh, tidak diterima solatnya 40 hari. Ini tidak bermakna mereka tidak perlu menunaikan solat, sebaliknya kewajipan solat tidak terangkat, tetapi solat itu tidak diterima oleh Allah. Pada hari ini, bomoh, dukun mahupun pawang, mereka tidak lagi memakai ‘name tag’ itu lagi. Mereka menggunakan nama lain untuk mengelirukan masyarakat yang tidak mengetahui ciri-ciri bomoh.
Mereka menggunakan nama baik, sedap didengar seperti pakar motivasi, konsultan, ustaz dan sebagainya. Tetapi jika kita mempelajari, kita akan mengerti bahawa bomoh itu dikenal bukan pada namanya tetapi pada ciri-cirinya.

Di antara satu cirinya ialah mereka sentiasa mengetahui perkara ghaib, sedangkan Allah sajalah yang mengetahui perkara ghaib. Nabi sendiri tidak mengetahui perkara ghaib melainkan apa yang diwahyukan kepadanya.
Apabila kita datang kepadanya, bomoh kebiasaannya akan mengatakan ayat seperti: “Anda ini ada penyakit, penyakit anda sebab ada orang lain yang buat.” Bagaimana dia mengetahui? Ini antara bahayanya, kerana datang berjumpa bomoh itu, termasuk di dalam perkara syirik kepada Allah.

Kedua: Tangkal. Di antara perkara yang kita lihat kebanyakan masyarakat melakukannya adalah mereka tidak dapat terlepas daripada menyingkirkan segala musibah ataupun bala kecuali dengan memakai tangkal. Tangkal adalah sesuatu digantungkan dan dipercayai dapat menghindarkan pemakainya daripada mudarat. Segala penyakit yang kita takuti terkena ke atas kita boleh terhindar. Maka itulah dinamakan tangkal. Hadis Nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang menggantung tamimah (tangkal), maka sungguh dia syirik.” (sahih, riwayat Imam Ahmad, 4/156) Sebagai contoh, ketika mana anaknya menangis tidak berhenti, mereka pergi ke hujung kampung kepada orang yang boleh menghentikan tangisan anaknya. Diletakkannya benang hitam supaya boleh menghilangkan tangisannya. Jika berhenti tangisan anak itu disebabkan benang tersebut, ia adalah talbis iblis (perangkap iblis) kepada pelakunya. Kadangkala kita melihat juga bilamana ada insan hendak melakukan sesuatu perniagaan, membuka kedai, mahu untung dalam perniagaan, maka mereka meletakkan tangkal, azimat dan pelaris. Kadang-kadang tangkal itu nampak seperti bercirikan Islam seperti tulisan jawi, tetapi jika diteliti ia adalah syirik terhadap Allah. Kalau kita baca fadilat tangkal (yang dicipta pembuatnya), dikatakan benda ini sekiranya ditampal di rumah nescaya rumah tidak akan terbakar. Pencuri tidak akan masuk. Perkara seperti rumah dimasuki pencuri, rumah terbakar, semuanya adalah mudarat. Mudarat ini hanya Allah yang boleh hindarkan. Maka kita diajar agar memohon kepada Allah agar menghindarkan perkara buruk, bukan kita bergantung kepada tangkal.

Ada yang terus mengambil ayat al-Quran untuk melariskan perniagaannya. Diletakkan ayat seribu dinar, sedangkan ayat seribu dinar ini Nabi tidak pernah memberi nama seribu dinar. Tetapi mereka beriman dan percaya sekiranya ayat tersebut diletakkan maka pelanggan akan datang dan perniagaan akan laris.

Jika ditanggalkan atau diturunkan ayat itu kemudian ditakdirkan tidak ramai pelanggan yang datang, nescaya dia percaya premisnya tidak dikunjungi kerana ayat itu sudah ditanggalkan. Inilah yang dikatakan syirik kepada Allah. Pergantungannya 100 peratus kepada Allah sudah dihapuskan dengan tangkal yang mereka ciptakan. Bentuk tangkal ini boleh wujud dalam beberapa bentuk seperti keris, batu-batu, barang antik dan bermacam lagi yang siap dibungkus. Benda yang dianggap keramat ini dijadikan tempat meminta sesuatu dan pergantungan, walhal seharusnya kalau diinginkan sesuatu hendaklah minta terus kepada Allah secara langsung, kerana sesungguhnya Allah pasti akan menerima doa orang yang tidak melakukan syirik.

Satu kisah terjadi pada zaman Nabi berkaitan tangkal, iaitu cerita Imran bin Hushain. Nabi melihat di tangan sahabatnya ini gelang kuning. Maka Rasulullah bertanya: “Apakah ini?” Dia menjawab, “Penangkal sakit.” Nabi berkata, “Lepaskannya. Kerana ia hanya akan menambah kelemahan pada dirimu kerana jika kamu mati sedang gelang itu masih ada pada tubuhmu, maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (sahih, riwayat Imam Ahmad) Penulis lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM) adalah Ketua Biro Sekretariat ILMU

9 berhimpit bilik sempit

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Kami sembilan beranak terpaksa tidur berhimpit di bilik sempit ini pada waktu malam setiap kali air hujan menitis menerusi siling yang bocor di ruang tamu.
“Kami bukan enggan berpindah dari kediaman usang yang hanya mempunyai sebuah bilik ini namun dengan pendapatan RM600 sebulan, ia tidak cukup bagi membayar sewa rumah,” kata Ruziah Marzuki, 40, ketika ditemui di kediamannya di Jalan Labu, Kampung Bendahara di sini, semalam.

Ruziah berkata, kesempitan wang dihadapi sejak bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu mengakibatkan dia tidak mampu membaik pulih rumah papan yang dihuni lebih 20 tahun itu.
Menurutnya, dia yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun terpaksa bekerja sambilan supaya dapat memberi perhatian lebih kepada mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Selain mengambil upah menjahit, saya juga membantu kenalan yang memiliki perniagaan katering selain mempromosikan mesin layan diri minuman keluaran sebuah syarikat bagi menambah pendapatan.

“Walaupun melakukan tiga kerja sambilan bermula petang hingga malam, pendapatan diperoleh hanya kira-kira RM600 sebulan.
“Menyedari beban dipikul, anak kedua, Nur Farah Amirah Hamdi yang berumur 16 tahun bekerja sambilan di sebuah gerai makan berhampiran kediaman dengan pendapatan RM200 sebulan, ia digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan adiknya.

“Begitu juga dengan anak sulung berumur 18 tahun, Mohd Fariezth, dia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat lapan kredit dalam peperiksaan itu. Bagaimanapun, Fariezth menangguhkan hasrat melanjutkan pelajaran kerana bekerja sambilan sebagai jurujual di pusat beli-belah bagi membantu keluarga,” katanya.
Selain Fariezth dan Nur Farah, enam anak Ruziah yang lain ialah Firdaus, 15; Nurfatihah Natasya,12; Mohd Faiz, 10; Nurfarisha, 17; Nurfardiena Najwa, tiga tahun dan Nurfarina, setahun.

Ruziah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini dan berharap ia diluluskan.

Menurut Ruziah, bagi memastikan pendapatan keluarganya mencukupi, dia juga berjimat dalam soal pemakanan di mana dia hanya memasak makanan sederhana bagi mengisi perut ahli keluarga.

“Ia juga bagi mengelakkan keluarga kami terputus bekalan makanan. Saya biasanya menyediakan lauk telur masak kicap bersama nasi selain mi segera untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

“Melihat kesusahan kami, ibu saya yang dimamah usia dan tinggal berjiran selain adik-beradik ada kalanya menyumbang bekalan makanan.

“Hingga kini, saya tidak pernah mendesak bekas suami menghulurkan bantuan memandangkan dia juga bukan hidup senang, namun saya berdoa mampu menaik taraf keadaan keluarga bagi membolehkan anak menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Atuk Zali diberkas lepas cabul budak tiga tahun



SEGAMAT: Aduan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mengalami kesakitan di bahagian kemaluan ketika membuang air besar mendedahkan rahsia dia dicabul oleh seorang lelaki pada Ogos lalu.
Mangsa sebelum itu dihantar ibunya yang berusia 31 tahun untuk dijaga lelaki terbabit selama seminggu kerana wanita berkenaan mahu menguruskan beberapa perkara.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud berkata, pada jam 10 malam, 31 Ogos lalu, mangsa mengadu sakit di bahagian terbabit kepada ibunya.
“Mangsa yang petah bercakap kemudiannya memaklumkan kepada ibunya bahawa seorang lelaki dikenali Atuk Zali memasukkan jari ke dalam kemaluannya menggunakan bedak ibunya itu.

“Wanita berkenaan membawa anaknya itu ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan sebelum dimaklumkan mangsa berkemungkinan dicabul selain terkena jangkitan kuman di bahagian terbabit,” katanya.

Menurut Hanafi, ibu mangsa menganggap Atuk Zali sebagai bapa angkat dan lelaki terbabit bekerja sebagai pencuci kereta serta berasal dari pantai timur.
Hanafi berkata, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan berkaitan kejadian kelmarin sebelum suspek ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi dalam bangunan di Jalan Tun Razak serta Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 1993 serta 1997.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul dan suspek masih direman,” katanya.

‘Saya sesal pukul dia’

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: “Saya pelik apabila dia mampu membeli pakaian mahal dan tiba-tiba mempunyai banyak wang. Saya syak dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk,” kata seorang pengurus pemasaran, Calven Chik Foo Keong, 26, yang terbabit dalam kes memukul isterinya, Amanda Fong, 19, sebelum kejadian itu menjadi topik hangat di laman sesawang YouTube.
Dia yang menjadi cemuhan puluhan ribu pengguna Internet sejak tiga hari lalu menyedari kesilapan dilakukan dan tidak mahu mencari sebarang alasan bagi menutupi kesalahannya itu.

Menurutnya, dia menyesal kerana memukul isterinya hingga cedera selepas berlaku pertengkaran mulut dengan wanita berkenaan.

“Saya tidak mahu bercerita panjang atau menyalahkan sesiapa, namun perkara ini berpunca daripada pelbagai faktor termasuk campur tangan ibu mertua saya,” katanya yang dipetik dari sebuah portal berita.

Calven berkata, dia juga mengesahkan isterinya itu pernah menghadapi tekanan perasaan sehingga dikatakan pernah menggugut untuk membunuh diri.

Dua peragut lembik dipukul

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Dua peragut dibelasah hingga lembik oleh sekumpulan individu sejurus ditahan dalam cubaan meloloskan diri selepas meragut rantai emas milik seorang wanita menyebabkan seorang daripadanya dirawat di hospital manakala rakannya ditahan polis bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian berhampiran jejantas di Pasar Borong Pandan di sini, jam 4.40 petang, Selasa lalu, mangsa dikatakan ditolak seorang daripada suspek sebelum rantai emasnya diragut.

Mangsa menjerit meminta tolong dan orang ramai segera membantu.
Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan sebelum dibelasah hingga lembik oleh beberapa individu yang berang dengan tindakan suspek sebelum diserahkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

“Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dihubungi orang awam yang berjaya memberkas kedua-dua suspek.
“Ketika tiba di situ, kedua-dua suspek dalam keadaan tidak bermaya manakala tangan mereka diikat oleh orang awam,” katanya, semalam.

Menurut Samad, kedua-dua suspek dihantar ke hospital dan seorang daripada mereka masih menerima rawatan di wad manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar.
Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berjaya menemui semula rantai emas didakwa diragut daripada mangsa.

Samad berkata, pihaknya memuji tindakan orang ramai bekerjasama untuk memberkas kedua-dua suspek, sekali gus menunjukkan sikap prihatin masyarakat dalam membantu pihaknya membanteras jenayah jalanan.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak bertindak melulu dengan memukul suspek sesuka hati kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang kami akan jalankan.

“Terima kasih kepada individu yang membantu menahan suspek, tetapi saya harap, pada masa depan, jangan belasah suspek sebaliknya tahan mereka dan tunggu hingga kami tiba,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Kuasai Internet

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Pendakwah di negara ini perlu menguasai serta meningkatkan kemahiran penggunaan media sosial yang ada pada masa kini bagi menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penggunaan media sosial dilihat relevan kerana berkemampuan menyampaikan maklumat dengan pantas.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang mengadakan kursus khas membabitkan penguasaan media sosial kepada pendakwah di negara ini.
“Dengan perubahan teknologi pada masa kini, pendakwah juga perlu seiring menguasai media sosial seperti facebook, twitter dan pelbagai lagi untuk memudahkan penyampaian maklumat dan berdakwah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2012, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada semua negeri supaya jawatan mufti dinaikkan setaraf dengan Exco kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, kerajaan juga akan menaikkan gred jawatan mufti daripada Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) C kepada gred Jusa B.
“Perak dan Wilayah Persekutuan sudah melaksanakan cadangan itu dan terpulang kepada kerajaan negeri lain melaksanakannyaKeperluan menjemput mufti menyertai mesyuarat Exco negeri juga terpulang kepada kerajaan negeri,” katanya.

Catatan sebelum ditikam



KEMAMAN: “Aku amat sayang isteri, anak dan seluruh ahli keluarga serta waris-waris aku,” itu catatan terakhir Abdul Hisham Ahmad, 23, dua hari sebelum meninggal dunia selepas cedera di perut dipercayai akibat tikaman satu objek tajam ketika bergelut dengan abangnya di rumah ibu bapa mereka di Kampung Telaga Papan, Kerteh, di sini, dalam kejadian jam 8 malam, Selasa lalu.
Isteri mangsa, Ruhil Amani Kamarudin, 17, berkata, pada malam Ahad lalu, dia mendapati arwah suaminya itu menulis sesuatu dalam buku catatan manakala anaknya, Abdul Hadi Dhiyauddin Abdul Hisham, 2, tidur di sebelah arwah dalam bilik.

“Saya menghampiri arwah dan bertanyakan apa yang ditulisnya, namun arwah memarahi saya supaya tidak mencampuri urusannya sebelum mengoyak helaian kertas berkenaan,” katanya. Semalam, Harian Metro melaporkan Abdul Hisham terbunuh dipercayai ditikam dengan objek tajam selepas bergaduh dengan abangnya di rumah ibu bapa mereka.

Daniel tidak lagi takut untuk makan, minum



SEBELUM ini, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambung ke perutnya.
SEBELUM ini, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambung ke perutnya.
LONDON: Seorang budak yang tidak pernah makan sepanjang hidupnya, mencipta keajaiban apabila mengambil makanan untuk kali pertama baru-baru ini, lapor media semalam.
Daniel Harrison, 5, mengalami alahan serius ketika menyusu semasa masih bayi, menyebabkan dia takut kepada makanan atau minuman.

Untuk meneruskan hidup, Daniel terpaksa diberi makan melalui tiub ke perutnya. Namun, hasil rawatan pakar di Austria, Daniel kini boleh menikmati makanan seperti orang lain. Bapanya, Kevin Harrison, 43, berkata tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaannya melihat Daniel mengambil makanan seperti budak normal.
“Ia seperti memenangi Piala Perdana, Piala Eropah dan Piala Dunia sekali gus,” katanya. Menurut Kevin, sesetengah makanan utama perlu dilenyekkan terlebih dulu kerana Daniel masih sukar mengunyah akibat otot di mulutnya tidak berkembang dengan baik.

“Daniel boleh makan apa yang kami makan, dan dia sukakan coklat serta biskut,” katanya. Menurut Kevin, dia amat bangga dengan perubahan berlaku pada Daniel.

“Saya berasa seperti akhirnya berjaya melakukan tanggungjawab sebagai bapa,” katanya. Sebelum ini, Kevin dan isterinya, Catherine, membawa Daniel ke Hospital Universiti di Graz, Austria, untuk membolehkan pakar di situ memberi rawatan sewajarnya.
Kaedah disediakan di hospital itu tidak diamalkan di Britain. Melalui kaedah itu, Daniel berjaya disedarkan bahawa dia memang perlu dan mahukan makanan. Pakar perubatan menggunakan pelbagai kaedah khusus bagi memujuk Daniel supaya lebih terdedah kepada makan dan mengurangkan ketakutan memasukkan makanan ke mulut. Kaedah itu turut dipraktikkan ke atas 12 pesakit dari seluruh dunia dan semuanya berjaya. - DM

Wartawan diserang ketika rakam gambar menteri



LAGOS: Seorang wartawan akhbar harian Nigeria diserang polis dan dikasari anggota keselamatan negara itu selepas dia mengambil gambar rombongan seorang menteri Kabinet tersangkut dalam lumpur, semalam.
Bertugas di akhbar harian The Guardian, Terhemba Daka berkata, dia mengikuti lawatan Menteri Negara Kenya, Olajumoke Akinjide, bersama wartawan lain di pinggir Abuja.

Katanya, menteri terbabit dibawa melawat ladang jagung di Kuchibunyi.
“Apabila konvoi menteri itu tersangkut, saya menggunakan telefon bimbit BlackBerry untuk merakamkan gambar berkenaan,” katanya.

Sejurus kemudian, kata Daka, dia diserang polis dan anggota Perkhidmatan Keselamatan Negara. “Polis kemudian memadamkan gambar berkenaan dari telefon bimbit saya,” katanya. Menurut laporan pertubuhan Committee to Protect Journalists, selain mendapat gaji murah, wartawan di Nigeria serang dikasari dan diserang anggota keselamatan, manakala sesetengah mereka juga dibunuh. - AP

Barang kemas Imelda dipamer



MANILA: Filipina bercadang untuk mempamerkan barang kemas bekas isteri Presiden Ferdinand Marcos, Imelda, yang dirampas 26 tahun lalu dan berharap ia dapat menjadi daya tarikan pelancong.
Koleksi bernilai kira-kira AS$8 juta (RM25 juta) itu disimpan di peti besi di bank sejak berpuluh tahun selepas dirampas sebagai sebahagian aset yang disyaki dicuri oleh keluarga Marcos sebelum melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 1986, selepas 20 tahun memerintah negara itu.

Pegawai Kanan Suruhanjaya Presiden Kerajaan Baik, Maita Gonzaga berkata, kerajaan bercadang untuk melelong barang kemas itu selepas mempamerkannya di sebuah muzium.

“Ia dapat menarik pelancong dan menjadi pengajaran yang tidak boleh dilupakan. Ini adalah bukti kukuh mereka mencuri,” katanya.

Sebahagian daripada koleksi barang kemas itu ditemui oleh kerajaan AS ketika keluarga itu tiba di Honolulu, sementara yang lain dirampas daripada rakan Greek Marcos ketika cuba menyeludupnya keluar. - MT

Lelaki simpan bahan letupan di rumah diburu polis



JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi memburu seorang lelaki setelah menemui bahan letupan di sebuah rumah di luar Jakarta, kata polis, semalam.
Jurucakap Polis Jakarta, Rikwanto berkata, jiran menelefon polis apabila melihat asap keluar dari rumah kepunyaan lelaki bernama Muhammad Toriq, yang kemudian melarikan diri, meninggalkan ibu, isteri dan anak-anaknya.

“Petang kelmarin, penduduk menelefon polis untuk melaporkan asap keluar dari rumah Muhammad Toriq. Anggota polis tiba dan satu jam kemudian, menemui bahan letupan,” katanya.

Katanya, mereka bekerjasama dengan agensi antipengganas dan Polis Nasional untuk mencari dan menyoal siasat sama ada suspek terlibat dengan kumpulan pengganas.

Antara bahan yang ditemui adalah alat peledak, serbuk aluminium, sulfur dan beberapa kotak paku.

Kejadian itu berlaku selepas satu kes tembakan minggu lalu di Solo, Jawa Tengah, yang menyebabkan dua suspek pengganas dan pegawai antipengganas terbunuh.

Polis menahan seorang lagi suspek kelmarin di luar Jakarta kerana menyerang polis Solo. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment