Demam Gangnam di seluruh dunia
|
SEOUL - Populariti penyanyi rap dari Korea Selatan, Park Jae-sang atau lebih dikenali sebagai Psy mencatat fenomena baharu di seluruh dunia selepas aksinya menari tarian kuda, Gangnam Style, ditonton lebih 84 juta kali setakat ini di YouTube.
Psy kini dilaporkan lebih popular daripada muzik pop Korea Selatan atau K-Pop, malah, satu tinjauan oleh sebuah agensi pelancongan tempatan mendapati Psy sebagai bintang Korea Selatan yang paling ingin ditemui oleh warga asing.
Menurut agensi pelancongan Cosmojin yang melakukan tinjauan itu, Psy menduduki tempat pertama senarai berkenaan diikuti bintang bola sepak Korea Selatan, Park Ji Sung, Presiden Lee Myung Bak dan bintang luncur ais, Kim Yuna.
Mula mewarnai dunia muzik Korea Selatan dengan album pertamanya, PSY... From the Psycho World! pada 2001, penyanyi berkenaan mengaku muziknya menyimpang daripada K-Pop.
Penyanyi berkenaan lebih gemar menampilkan muzik berunsur sinis dan satira.
Dia pernah dikenakan sejumlah denda setelah album sulungnya didapati mengandungi kandungan yang tidak sesuai manakala album keduanya Ssa 2 diharamkan di negara berkenaan pada 2002.
Sejak dari itu, Psy dikenali sebagai penyanyi kontroversi dengan popularitinya juga tenggelam timbul.
Taliban pamer klip video kepala manusia
|
KHAR - Kumpulan Taliban menghantar satu klip video menunjukkan 12 kepala askar kelmarin selepas beberapa pegawai menyatakan, seramai 15 anggota tentera Pakistan hilang dalam pertempuran menentang militan berkenaan.
Rakaman itu yang dihantar kepada agensi berita AFP, menunjukkan beberapa militan Taliban berdiri di belakang 12 kepala manusia, dipercayai askar Pakistan.
Jurucakap kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan(TTP) yang mengaku bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu, Sirajud Din menyatakan, mereka dibunuh bagi membalas dendam kekejaman tentera terhadap militan Taliban.
Perkembangan itu berlaku selepas tentera Pakistan mengadakan satu operasi untuk menghapuskan militan-militan Taliban yang menawan daerah Bajaur pada Selasa lalu.
Kumpulan berkenaan dipercayai memasuki Pakistan dari wilayah Kunar di Afghanistan pada Jumaat lepas. - AFP
Ogos bulan dua kali mengambang penuh
LONDON - Fenomena bulan purnama menyinari langit lebih daripada sekali dalam sebulan dapat dilihat di serata dunia kelmarin.
Menurut akhbar MailOnline, bulan mengambang penuh pada 2 dan 31 haribulan sepanjang Ogos lalu.
Dikenali sebagai bulan biru, fenomena yang berlaku sekali setiap 2.7 tahun itu telah menarik perhatian ahli astronomi dan orang ramai di seluruh dunia.
Kejadian luar biasa itu diramalkan berlaku sekali lagi pada Mei 2015.
Menurut akhbar berkenaan, nama bulan biru tiada kaitan dengan keadaan fizikal bulan dengan maksud istilah tersebut hilang ditelan zaman.
Warna biasa bulan semasa bersinar di langit adalah putih.
Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883.
Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi. - Agensi
Dua suspek pengganas ditembak mati di Solo
SOLO - Skuad antipengganas Indonesia membunuh dua suspek militan berusia 19 tahun dalam satu serbuan yang turut meragut nyawa seorang anggota unit berkenaan, kata pihak berkuasa semalam."Dua suspek pengganas dibunuh malam kelmarin di sini, Jawa Tengah, oleh unit polis Densus 88. Seorang lagi telah ditangkap," kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli.
"Mereka bersenjata dan seorang anggota polis berkenaan turut maut akibat ditembak suspek," tambah jurucakap berkenaan.
Ketua Polis Indonesia, Timur Pradopo pula memberitahu, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa mereka merancang lebih banyak serangan selepas terlibat dalam kejadian menembak mati seorang anggota polis pada Khamis lalu.
Menurutnya, sebutir bom tangan turut dilontar ke arah sebuah pos kawalan polis di sini dua minggu lalu.
"Ketiga-tiga lelaki ini terlibat dalam tiga kejadian tembakan dan mereka merupakan anggota sebuah kumpulan baharu yang mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas lama di kawasan ini," kata Pradopo.
"Kedua-dua lelaki yang mati berusia 19 tahun," katanya kepada sekumpulan pemberita di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaahd Mbai memberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan anggota kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JATI) yang diasaskan oleh ulama Abu Bakar Bashir pada 2008. - AFP
Pemuda hampa pesawat buatan sendiri tidak lulus terbang
BERRECHID - Seorang pemuda di Maghribi hampa kerana sebuah pesawat kecil yang dibinanya di sini tidak mendapat kelulusan terbang oleh pihak berkuasa negara itu.
Pemuda berkenaan, Mahmed Mohamed memberitahu agensi berita AFP melalui telefon bahawa dia mengambil masa tiga bulan untuk membina pesawat ringan itu.
Berusia 22 tahun, Mahmed berkata, pesawat satu enjin berkenaan memiliki panjang empat meter dan berat sekitar 55 kilogram.
Menurutnya, kapal terbang tersebut boleh mencapai kelajuan 200 kilometer/ sejam dan terbang sejauh 120 km pada ketinggian 33 meter.
"Mereka (pihak berkuasa penerbangan) menyatakan, pesawat ini tidak layak untuk terbang dan boleh jatuh menimpa orang," keluh pencipta muda tersebut.
"Saya sepatutnya diberikan peluang untuk menguji rekaan ini. Saya yakin dengan keupayaan pesawat ini," tambahnya. - AFP
Lelaki maut dirempuh seladang
|
IPOH - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh seladang di Hulu Air Pasir, Banding dekat Gerik semalam.
Musa Ismail, 56, maut akibat cedera parah di perut manakala Isa Abdullah, 24, patah kaki dan tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar.
Kedua-duanya bersama seorang lagi rakan mereka, Abdul Mohd. Sharifudin A. Manas, 35, diserang haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk memasuki Hutan Simpan Royal Belum antara pukul 3 dan 6 petang.
26 khemah program Felda musnah akibat ribut
JEMPOL - Sebanyak 26 buah khemah yang dipasang untuk program Lebaran Kasih Yayasan Felda mengalami rosak teruk dalam kejadian ribut di Dataran Seri Jempol, Felda Jaya Selatan di sini kelmarin.
Khemah yang dipasang sejak minggu lalu merupakan persediaan menjayakan program tersebut yang akan berlangsung pada malam ini.
Sebanyak 24 buah khemah yang musnah itu adalah khemah kecil manakala dua lagi adalah khemah pentas utama.
Seorang saksi kejadian, Mohd. Husin Abdullah, 30, berkata, ketika kejadian, dia bersama sembilan rakannya sedang menyiapkan khemah tersebut.
"Pada kira-kira pukul 4 petang, hujan disusuli dengan ribut dalam masa kira-kira 10 minit menyebabkan khemah berkenaan berterbangan.
"Kami semua lari ke kawasan lapang dan bimbang melihat keadaan ribut tersebut," katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Bukit Marak digondolkan
BACHOK – Peninggalan sejarah Puteri Saadong yang terletak di Bukit Marak di sini bakal hilang ditelan zaman ekoran kegagalan kerajaan negeri memantau kegiatan menggondol bukit tersebut sejak dua tahun lalu.
Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan oleh pemilik tanah di kawasan bukit berkenaan bagi tujuan menjual tanah bukit.
Tinjauan Kosmo! Ahad semalam mendapati sebahagian bukit tersebut telah digondolkan dan kira-kira lapan buah lori masuk dan keluar dengan membawa muatan tanah bukit dari kawasan tersebut.
Pengerusi Dewan Kebudayaan, Kesenian, Adat dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, kawasan sekitar bukit tersebut sepatutnya dipulihara kerana merupakan tapak asal usul pemerintah raja di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya mengekal dan menghargai peninggalan sejarah di bukit berkenaan sebagai produk warisan bangsa yang tinggi nilainya.
“Saya difahamkan kerja-kerja mengangkut tanah bukit itu telah menyebabkan beberapa monumen semula jadi sudah tidak ditemui lagi.
“Kesan sejarah itu boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan dan diwartakan sebagai tapak warisan sejarah,” katanya.
Hijab itu indah - Aida Khalida
|
|
BANYAK mengawasi diri dan sentiasa bersyukur, wajah Aida Khalida jelas mempamerkan amalannya itu. Merendah diri dalam berbicara, pembawa watak ibu Razif (Rosyam Nor) dalam siri drama Trilogi Cinta 2 ini banyak menyebut perkataan syukur dalam bait ayatnya. Sebagai informasi, drama Trilogi Cinta 2 akan ditayangkan bermula 6 September ini di saluran TV1 pukul 10 malam.
"Saya sukakan tudung labuh dan berfesyen mengikut syariah. Dahulu, mula-mula berhijrah agak teruja mencuba pelbagai gaya fesyen tetapi kini mahu kelihatan santai dan bertutup," ujarnya yang tampak tenang dan banyak tersenyum cantik.
Tawaran kerja terus menghujani dirinya, sama seperti dahulu. Ujar Aida yang penting dalam kerjaya adalah sentiasa perlu jujur dan tidak mendambakan balasan dalam setiap perbuatan.
"Setiap tawaran adalah rezeki Allah dan kita harus jujur dengan segala perlaksanaan kita," ujarnya yang bari selesai penggambaran drama Julia, lakonan bersama Nabila Huda untuk slot Akasia.
Diminta memberi komentar tentang penghijrahan dan impak tawaran selepas berhijab, Aida senyum dan menjawab:
"Kita perlu kenal Allah, percayakan dia dan rezeki-Nya. Perlu kenal diri juga, jadi baru faham erti rezeki dan semuanya. Yang penting juga perlu faham dengan niat dan makna berhijrah. Semua ini hidayah Allah dan kena buat betul-betul. Hijrah itu perlu suci."
Tidak menolak bahawa berhadapan dengan ujian serta dugaan hidup selepas bertukar gaya, Aida menambah bahawa semua yang dilaluinya adalah kuasa Yang Maha Mencipta. Yakin diberikan ujian kerana disayangi Allah, ulas Aida lagi itu semua ialah ujian kepada ketebalan iman seseorang.
"Kalau saya tahu indahnya memakai hijab ini, dari dahulu saya laksanakan. Tetapi ini semua adalah perjalanan hidup saya dan saya belajar tentang kehidupan. Sekarang saya sangat tenang," tambahnya yang mengaku tidak pernah merancang untuk bertudung dan niat itu muncul pada bulan Rejab tahun 2008.
"Saya tidak rindukan Aida yang dahulu. Saya lebih tenang begini. Bagi saya dengan berhijab, saya cantik di mata Allah," ujarnya.
Ditanya tentang ketenangan yang diperolehinya kini, Aida yang terkenal dengan kepelbagaian dan kepandaian berfesyen ini mengaku mendapat titik itu dua tahun lalu.
"Awal-awal saya banyak diuji, melalui banyak perkara namun dua tahun kebelakangan ini, saya tenang," luahnya yang kini banyak mengikuti kelas dan ceramah agama untuk pengisian dirinya.
Menyentuh tentang jodoh setelah sekian lama menyendiri, Aida senyum lagi dan menjawab bahawa dirinya tidak menolak jika ditakdirkan berkahwin lagi. Namun sambungnya, dia mengaku belum membuka jalan ke arah itu.
Sebelum usai perbualan yang menyenangkan dengan wanita yang dikagumi ramai kerana fesyennya ini, Aida diminta memberi pendapat perihal fesyen dan artis sekarang.
"Perlu ingat kepada yang beragama Islam, boleh berfesyen tetapi jangan terlalu mendedahkan aurat. Harus menjurus kepada agama. Jaga akhlak, itu penting," nasihatnya lembut.
No comments:
Post a Comment