Cara keji sambut Hari Merdeka
|
KUANTAN - Sekumpulan 28 individu dari ibu negara menyambut perayaan ambang Merdeka dengan cara keji apabila masing-masing melakukan tarian ghairah sambil berpesta dadah dalam satu parti liar di tepi pantai Teluk Juara di Pulau Tioman, Jumaat lalu.
Perbuatan memalukan ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dengan semangat patriotik itu dapat dihidu pihak berkuasa sebelum mereka melakukan serbuan tepat pukul 12 tengah malam 31 Ogos lalu.
Mereka yang datang secara berpasangan dan berasingan berusia 22 hingga 45 tahun tersebut langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis kerana sedang khayal dadah selain mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan (gambar kecil) berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati, empat lelaki memiliki pil khayal serta serbuk dipercayai dadah.
"Sebaik mendapat maklumat awam, sepasukan polis dikerah ke pulau berkenaan untuk memantau. Selepas memastikan mereka berkelakuan seperti yang didakwa, kita telah membuat serbuan dalam keadaan peserta parti itu tidak menyedarinya kerana khayal dadah.
Anggota polis ditahan khayal dadah
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis seolah-olah tidak serik mengambil dadah walaupun pernah ditahan atas kesalahan sama apabila dia sekali lagi dicekup ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh, Batu 4 1/2, Sentul di sini semalam.
Anggota polis berusia 30 tahun yang pernah digantung tugas selepas didapati positif dadah tersebut ditahan bersama 46 individu lain yang turut berada di premis berkenaan pada pukul 2.30 pagi.
Difahamkan, ketika serbuan, lelaki berkenaan sedang berhibur bersama tiga rakan lelaki dan seorang wanita di dalam sebuah bilik di premis itu.
Sumber memberitahu, anggota polis berkenaan yang telah lapan tahun berkhidmat di Bahagian Narkotik Bukit Aman didapati positif syabu selepas menjalani ujian air kencing.
“Anggota polis tersebut yang masih bujang sebelum ini pernah digantung kerja kerana positif dadah pada hujung 2011,” katanya.
Tambahnya, dalam serbuan itu, polis memeriksa 64 pengunjung dan 47 daripadanya ditahan selepas didapati positif pelbagai jenis dadah.
Tiga pasukan khas siasat tiga insiden memalukan negara
|
KUALA LUMPUR - Polis telah menubuhkan tiga pasukan khas bagi menyiasat tiga insiden yang disifatkan mencemar imej negara sewaktu Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka di sini pada malam ambang merdeka 30 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, insiden pertama melibatkan sekumpulan peserta perhimpunan yang bertindak mempamerkan bendera baharu untuk menggantikan Jalur Gemilang.
"Insiden kedua dan ketiga pula melibatkan mereka (peserta perhimpunan) yang memijak serta menunjukkan punggung ke arah gambar pemimpin-pemimpin negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.
Katanya, insiden memalukan itu mampu menimbulkan rasa benci sekali gus bertentangan dengan semangat kemerdekaan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian pada malam 30 Ogos lalu di mana sekumpulan peserta Perhimpunan Janji Bersih bertindak memijak serta menunjukkan perlakuan lucah terhadap gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
TV3, Nurul Syuhada mohon maaf
KUALA LUMPUR – Stesen televisyen TV3 dan pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, (gambar kecil) memohon maaf berhubung ulasan semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lalu berkenaan pemilihan lokasi sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak yang dikatakan daif.
TV3 membuat permohonan maaf dalam satu kenyataan di sini semalam sementara Nurul Syuhada pula menulisnya dalam laman sosial Facebook beliau setelah menerima kritikan serta gesaan pelbagai pihak supaya berbuat demikian.
“Sebagai seorang anak jati Malaysia, saya tidak pernah dan tidak akan kritik tanah air saya atau mana-mana wilayah negara ini dan kepada orang-orang yang tersinggung, saya minta maaf,” kata Nurul Syuhada dalam laman web sosial itu semalam.
Beliau turut memetik kembali ulasan yang dibuatnya dalam program itu yang menimbulkan rasa kurang senang terutama masyarakat di Bintulu yang berbunyi:
“Kawasan luar bandar yang daif tapi telah melalui pelan-pelan transformasi yang ingin disampaikan...berjaya dan terus mengangkat bandar itu (Bintulu) sendiri.”
Selain memohon maaf, Nurul Syuhada yang dikecam dalam Facebook sempat mengingatkan kepada mana-mana pihak yang menyemai perasaan kebencian terhadapnya bahawa mereka akan diadili oleh Tuhan.
Sementara itu, Unit Perhubungan Awam TV3 dalam kenyataannya mereka semalam menyatakan, isu itu timbul ekoran salah tafsir sesetengah pihak mengenai ulasan pengacara MHI itu.
“Bagi pihak TV3, kami ingin menerangkan bahawa terdapat salah tafsiran terhadap penyampaian oleh pengacara kami, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin ketika merujuk kepada pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia tahun ini semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lepas.
“Kami meminta maaf jika salah tafsir ini menyinggung mana-mana pihak. Nurul Syuhada dan TV3 tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan bandar tersebut,” jelasnya.
Sejurus selepas program tersebut, pelbagai pihak termasuk Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menggesa Nurul meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa lintas langsung itu.
Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili dilaporkan berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga menyebabkan beliau beranggapan bahawa bandar itu sebagai daif walhal ia antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menerusi hasil gas dan minyak.
Bintulu bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.
Fenomena ala Gangnam Style pernah melanda Eropah seawal kurun ke-7
KUALA LUMPUR - Fenomena tarian kuda yang dibawa oleh penyanyi rap Korea Selatan, Park Jae-sang atau Psy menerusi Gangnam Style bukan perkara baharu, malah pernah berlaku pada kurun ke-7 hingga ke-17 di Eropah.
Menurut Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Mohd. Awang Idris, fenomena itu dikenali sebagai dance mania atau wabak menari, choreomania, tarian St. John dan tarian St. Vitus.
"Pada waktu itu, ia melibatkan sehingga ribuan orang yang menari dalam keadaan yang pelik, tidak terkawal sambil menjerit dan menunjukkan tanda-tanda halusinasi.
"Antara peristiwa besar yang pernah direkodkan ialah di Jerman pada tahun 1374 dan selain peristiwa di Strasbourg, Perancis pada tahun 1518 yang melibatkan seorang wanita menari sehingga diikuti lebih 400 orang sebelum ramai mati kerana sakit jantung," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kegilaan puluhan juta terhadap tarian tersebut yang disiarkan menerusi laman YouTube.
Mohd. Awang menjelaskan, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di England, Jerman dan Belanda dipercayai sejenis penyakit yang menyerang sistem saraf.
"Saintis pada ketika itu menggambarkan ia sebagai satu gangguan mental atau histeria secara beramai-ramai," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menganggap fenomena tersebut tidak membimbangkan dan hanya bersifat sementara.
Temui ajal selepas tonton bola
KOTA BHARU – Tanda-tanya keluarga Naib Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Rosyuri Mat Rifin mengenai lelaki itu yang tidak pulang-pulang selepas menonton perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia di dalam keretanya.
Rosyuri, 42, ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan muntah di tempat duduk pemandu dalam kereta jenis Proton Wira merah oleh orang awam pada pukul 7 pagi semalam.
Perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV itu berkesudahan Kelantan menang 4-3. Mangsa pergi bersendirian ke stadium itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bahru, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan sebelum menemui mayat mangsa di dalam kereta di tepi jalan di simpang empat lorong belakang Al-Quds Travel, Wakaf Siku.
“Siasatan mendapati kali terakhir mangsa dilihat ketika menonton perlawanan bola sepak tersebut. Kita turut menemui kesan muntah berdekatan mayat Allahyarham.
“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan mangsa juga mempunyai rekod menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Maziranida Mat Zain, 39, dan enam orang anak. Maziranida memberitahu, kali terakhir dia melihat suaminya adalah pada waktu Maghrib dan lelaki itu mengatakan mahu menonton perlawanan tersebut.
Adi rayu bantuan jalani rawatan
JOHOR BAHRU - Dua tahun lalu, Muhammad Adi Alfam Benny, 14, merupakan kanak-kanak yang paling riang tatkala menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bapanya, Benny Karmilan, 36, berkata, anak ketiga daripada empat beradik yang manja dipanggil Adi itu akan bersama rakan-rakannya beraya dari rumah ke rumah.
Bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 itu juga, ujarnya, merupakan pelajar yang aktif dalam sukan renang dan merupakan ketua pengakap sekolah.
Namun, keletah dan kegirangan itu lenyap sama sekali ketika Adi berusia 12 tahun apabila dia disahkan menghidap penyakit jarang ditemui di Malaysia, Subacute Sclerosing Panencephalitis (SSPE) iaitu sejenis penyakit yang menyerang susunan saraf pada otak.
"Kini dia tidak seperti dulu lagi kerana kesan daripada penyakit itu, doktor memberitahu, Adi kembali menjadi seperti bayi berusia tiga bulan yang perlu diberi makan, dipakaikan lampin dan dimandikan," kata Benny yang ditemui di rumahnya di sini.
Mengimbau kembali bagaimana anaknya yang fasih bertutur bahasa Cina itu mendapat penyakit itu, beliau memberitahu, Adi sebelum itu seringkali terjatuh ketika berjalan.
Malah katanya, ketika di meja makan, muka anaknya itu sering tersembam di atas pinggan.
"Mula-mula saya tidak ambil berat tetapi pada satu hari, Adi seolah-olah terkena sawan sehingga terpaksa dirawat di sebuah hospital kerajaan di sini.
"Dua hari selepas itu, Adi tak boleh berjalan, terlantar atas katil sebelum dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur," katanya sambil memberitahu, doktor yang merawat anaknya mengatakan Adi boleh bertahan hidup selama dua tahun sahaja.
Bagaimanapun, hasil bantuan seorang dermawan di ibu kota yang simpati dengan nasib keluarga itu, Adi kemudian dirujuk kepada seorang pakar di Klinik Hamid Arshad, Kuala Lumpur bagi mengikuti rawatan sel stem.
Nordi simpan hasrat ingin kahwin
JOHOR BAHRU – Nordi Adi, 57, yang tidak sabar untuk bertemu dengan anak kesayangannya, Siti Norzana, 12, tidak menolak kemungkinan untuk berkahwin sekali lagi sekiranya menemui jodoh yang sesuai.
Siti Norzana kini sedang dalam proses terakhir untuk dibawa pulang dari Indonesia oleh Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO.
Nordi ketika dihubungi Kosmo! semalam mengakui agak sukar untuk kaum Adam sepertinya menjaga empat orang anak lebih-lebih lagi kesemua zuriatnya pernah melalui mimpi ngeri sepanjang tinggal bersama dengan ibu tirinya di negara berkenaan.
“Kalau ditakdirkan saya jumpa jodoh, bagus juga sebab boleh bantu saya dan menjadi ibu untuk menjaga anak-anak yang semakin membesar.
“Tapi sebenarnya, saya tak fikirkan hal-hal ini (berkahwin) kerana saya kini nak fokus kepada anak-anak dulu,” katanya yang sudah serik dengan wanita warganegara Indonesia.
Baru-baru ini, keluarga Nordi Adi mendapat perkhabaran gembira daripada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh yang memberitahu, kes Siti Norzana kini di peringkat akhir dan kanak-kanak itu akan dibawa pulang tidak lama lagi selepas urusan Imigresen selesai.
Pada minggu lalu, Nordi mengejutkan banyak pihak apabila nekad ke Indonesia untuk membawa pulang Siti Norzana tetapi dia dinasihat untuk tidak meneruskan hasrat tersebut atas faktor keselamatan.
Nordi sebelum ini mendapatkan bantuan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung sejak dua tahun lalu.
Hentikan kegiatan gondol Bukit Marak
BACHOK - Para penduduk di kaki Bukit Marak di sini mendesak pihak berkuasa di negeri itu mengambil tindakan menghentikan kegiatan menggondol bukit tersebut untuk mengelakkan kemusnahan kesan sejarah peninggalan puteri legenda, Puteri Saadong.
Mereka mendakwa, kegiatan menggondol bukit berkenaan secara tidak terkawal dibimbangi boleh memusnahkan monumen semula jadi daripada batu granit peninggalan puteri legenda itu.
Seorang penduduk, Ismail Awang, 44, berkata, pemilik tanah bukit berkenaan sepatutnya mengambil tanggungjawab mengekalkan kesan sejarah bagi tatapan generasi akan datang dan bukannya mementingkan keuntungan hasil daripada jualan tanah bukit tersebut.
"Saya khuatir kegiatan menggondol Bukit Marak lebih serius dilakukan di bahagian belakang bukit itu kerana ia terselindung daripada pandangan umum.
"Apa pun terserah kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan yang terperinci ke atas kegiatan tersebut," katanya ketika ditemui di sekitar bukit berkenaan di sini semalam.
Ismail berkata, pada satu ketika dahulu, kawasan itu dikunjungi pelancong asing dan tempatan untuk melihat keunikan tapak Awang Selamat, batu berbentuk gajah, gendang batu dan tempat persalinan puteri berkenaan.
"Papan monumen sejarah bukit itu masih lagi terpacak di jalan masuk tetapi sejak kebelakangan ini tiada pengunjung yang bertandang kecuali lori-lori tanah sahaja. Ini merugikan kerana lokasi itu sepatutnya boleh dibangunkan menerusi agro pelancongan," katanya.
Angkara pemandu lori pitam
MELAKA - Puncanya dikatakan pemandu lori yang tiba-tiba pitam menyebabkan sebuah keluarga terpaksa berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki dilanggar kenderaan terbabit ketika menunggu giliran untuk mengambil tiket di Plaza Tol Ayer Keroh di sini kelmarin.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika pemandu kereta, Mohamad Har Md. Ali, 53, dari Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh dalam perjalanan untuk menghantar seorang anak perempuannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Serdang, Selangor.
Ekoran rempuhan itu, kereta yang dinaiki lima beranak tersebut terinjak ke depan sebelum melanggar pula sebuah lori lain yang juga sedang berbaris untuk mengambil tiket di plaza tol berkenaan.
Mohamad Har mendakwa, dia kerugian ratusan ringgit apabila kereta miliknya itu rosak teruk di bahagian belakang dan depan.
Mengimbau semula kejadian itu, pekerja swasta itu mendakwa, sebelum kejadian, dia beratur di belakang sebuah lori satu tan itu untuk mengambil tiket.
Katanya, tanpa disangka, dia dan anak-beranak terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah lori telah melanggar belakang keretanya melalui cermin.
"Kami bertambah panik apabila kereta kami terinjak ke depan dan melanggar pula lori di depan saya ekoran rempuhan tersebut. Dua kenderaan berat itu hanya mengalami kerosakan kecil.
"Saya difahamkan, pemandu lori yang merempuh saya gagal mengawal lori kerana dia tiba-tiba pitam," ceritanya yang mempunyai pengalaman memandu selama 30 tahun ketika ditemui semalam.
Tambahnya, selain dia, isterinya, Hamlah Haron, 49, dan tiga anak berusia sembilan, 11 dan 19 tahun yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sami Buddha tuntut etnik Rohingya dihantar ke negara lain
|
YANGON, Myanmar – Beratus-ratus sami Buddha di Myanmar semalam menyertai perhimpunan bagi menyokong cadangan Presiden Thein Sein untuk menghantar etnik Rohingya yang beragama Islam ke negara lain.
Perhimpunan yang berlangsung itu merupakan petunjuk terkini sentimen anti-Rohingya yang mendalam di negara ini. Ia berlaku selepas satu keganasan melibatkan pergaduhan antara etnik Rakhine yang bergama Buddha dengan Rohingya pada bulan Jun lalu.
Dalam kejadian itu, seramai 80 orang terbunuh dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal. Pada Julai lalu, Sein mencadangkan agar Myanmar menghantar semua etnik Rohingya ke negara yang berminat menerima mereka. Cadangan tersebut ditentang sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Myanmar menyifatkan etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.
Namun, Bangladesh juga didakwa tidak menerima etnik tersebut sekali gus menyebabkan mereka tiada kerakyatan. PBB menganggarkan kira-kira 800,000 masyarakat Rohingya tinggal di Myanmar. Keganasan yang berlaku pada Jun lalu adalah disebabkan dakwaan bahawa seorang wanita etnik Rakhine telah dirogol oleh penduduk Rohingya. – Agensi
Psy dedah kisah tarian kuda
SEOUL - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy yang melonjak popular hanya kerana tarian kuda dalam muzik video Gangnam Style di YouTube mendedahkan kisah tentang tarian tersebut, lapor portal hiburan kpopstarz.com semalam.
Menurutnya, tarian itu dihasilkan selepas parti untuk konsertnya diadakan di Daegu pada tahun lalu.
Dia yang berbadan gempa dan berusia 34 tahun memberitahu, selepas partinya, terdapat satu persembahan bakat dengan wang sebagai ganjaran untuk pemenang.
"Setiap orang menyukainya (tarian kuda itu) dan mereka merakamkan dan memberikan saya wang," katanya.
Ketika ditanya berapa jumlah wang yang diberikan kepadanya, Psy berkata: "Jumlah wang itu? Anda mahu saya menyatakan di tempat awam?"
Dia kemudian ketawa selepas memberikan jawapan tersebut.
Populariti Psy melonjak di Amerika Syarikat selepas muzik videonya itu dimuat naik pada Julai lalu.
Beberapa penyanyi terkenal seperti Katy Perry, Robbie Williams dan Britney Spears mengagumi tarian tersebut.
Pengacara hos bual bicara popular di AS, Jay Leno turut membuat tarian tersebut semasa dia mengendalikan program terbitan stesen NBC itu.
Lebih 88 juta orang telah menonton klip muzik video Psy itu. - Agensi
Kepingan keju berusia 40 tahun dijual di Milwaukee
MILWAUKEE, Amerika Syarikat - Seketul keju cheddar yang berusia 40 tahun dijual sebanyak AS$10 (RM31.13) untuk setiap 28.34 gram (g), lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Keju itu ditemui seorang peniaga keju di sini, Edward Zahn yang berusia 73 tahun.
Dia menemui keju tersebut di dalam sebuah kotak kayu di dalam kedainya.
Zahn kemudian menjual keju tersebut kepada seorang lagi peniaga keju, Ken McNulty di sini.
Dia enggan mendedahkan harga jualan itu.
Bagaimanapun, McNulty kemudian membuat tawaran kepada orang ramai bahawa dia menjual keju tersebut pada harga AS$10 untuk setiap 28.34g. - Agensi
Penulis lirik \Raindrops Keep Fallin\ mati
|
|
LOS ANGELES - Penulis lirik lagu Raindrops Keep Fallin' on my Head, Hal David yang berusia 91 tahun meninggal dunia di Los Angeles kelmarin.
Menurut jurucakap Persatuan Komposer, Penulis dan Penerbit Amerika, Jim Steinblatt, David meninggal dunia di Pusat Perubatan Cedars-Sinai kerana komplikasi strok.
Dia yang berasal dari Brooklyn, New York memulakan kerjayanya sebagai penulis lirik pada lewat tahun 1940-an.
David bekerjasama dengan komposer Burt Bacharach untuk menghasilkan lagu tersebut.
Antara lagu yang dihasilkan mereka ialah Walk on By.
Mereka turut bekerjasama untuk menghasilkan lagu untuk penyanyi Frank Sinatra, Marty Robbins, Tom Jones, Barbra Streisand dan Dionne Warwick.
Lagu Raindrops Keep Fallin' on my Head dihasilkan pada tahun 1969 untuk filem Butch Cassidy and the Sundance Kid.
Kemerduan lagu itu menyebabkan ia memenangi Anugerah Academy untuk Lagu Terbaik.
David meninggalkan isteri, dua anak lelaki, tiga cucu dan dua anak tiri. - Reuters
Dua kereta paparazi kejar Bieber berlanggar
LOS ANGELES - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber tidak terlibat dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kereta paparazi pada Jumaat lalu, lapor akhbar Toronto Sun kelmarin.Ketika kejadian, Bieber, 18, memandu kereta sport Fisker Karma hibrid miliknya di Ventura Boulevard di sini.
Dia pada mulanya ditahan seorang anggota peronda lebuh raya California selepas terdapat sebuah kereta mengekori kenderaannya dari jarak dekat.
Bieber kemudian memberitahu anggota peronda tersebut bahawa kereta yang mengekorinya itu membawa pengawal keselamatannya.
Portal hiburan TMZ.com melaporkan, dua paparazi kemudian bergegas ke tempat Bieber ditahan bagi merakamkan gambarnya.
Bagaimanapun, kereta yang dinaiki kedua-dua paparazi tersebut hilang kawalan menyebabkan berlaku perlanggaran.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut. - Agensi
Kahwin ketika perang Syria
ALEPPO - Satu pasangan muda menjalin hubungan cinta semasa peperangan berlaku di negara mereka, Syria di sini.
Pasangan itu, seorang penembak tepat, Abu Khaled dan Hanan yang merupakan seorang jururawat kemudian mendirikan rumah tangga.
Majlis perkahwinan mereka diadakan di sini pada 31 Ogos lalu.
Hanan pernah merawat kecederaan luka Abu Khaled.
Abu Khaled yang berusia 20 tahun mendedahkan dia menyintai Hanan selepas melihatnya pada pandangan pertama.
"Saya melihatnya di tempat bantuan kecemasan di sekolah Coneta. Daripada pandangan pertama, saya menyintainya.
"Kemudian saya ditembak di kaki dan dia membersihkan luka saya pada setiap hari," katanya.
Hanan yang berusia 23 tahun turut mendedahkan cintanya terhadap Abu Khaled semakin kuat selepas abangnya terbunuh dalam peperangan di Syria.
Dalam majlis perkahwinan mereka, seorang komander Tentera Pembebasan Syria yang mewakili kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memberikan ucapan.
Pasangan tersebut saling bertukar-tukar cincin.
Pergolakan di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila penduduk bangkit menentang kepimpinan Bashar.
Pertempuran kemudian berlaku antara sebahagian besar penduduk dengan askar-askar Bashar.
Kumpulan penduduk yang bangkit memberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran dan hak asasi manusia.
Lebih 20,000 orang telah terbunuh sejak pertempuran berlaku di bandar-bandar Syria. - Agensi
Bekas pelumba cipta kereta sport
PTUJ, Slovenia - Seorang bekas pelumba kereta, Aljoas Tusek berjaya menghasilkan beberapa buah kereta sport, Renovatio T500.
Hanya dalam tempoh enam bulan selepas mempamerkan prototaip Renovatio pertamanya di majlis Monaco Top Marques, Tusek, 46, telah dijemput secara eksklusif menghadiri pamerkan kereta Salon Prive London yang berlangsung dari hari Rabu sehingga Jumaat ini.
Selain itu juga beberapa pelanggan dari serata dunia kerap menelefonnya untuk membuat tempahan.
Kereta Renovatio T500 itu telah dihasilkan di sebuah garaj milik rakannya di sini.
Ia dihasilkan dengan bantuan 10 orang rakannya sejak beberapa tahun lalu.
Kereta itu menggunakan enjin V8 FSI dengan keupayaan enjin 450 kuasa kuda.
Harga kereta tersebut ialah AS$375,000 (RM1.16 juta).
Setakat ini, dia telah menjual dua buah kereta tersebut.
Dia menjual kereta itu pada harga yang murah dengan tujuan untuk memperkenalkan namanya dan bagi membolehkannya menembusi pasaran. - AFP
Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan
ALLAR - Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin.
Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk.
Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun.
Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek.
Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin.
"Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran.
"Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya.
Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran.
Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer.
Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza.
Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya.
Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar.
Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92).
Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment