Monday, November 26, 2012

BERANI BUAT....BERANI TANGGUNG

Kenduri saji lauk basi

NAZURAH dan Nazli terpaksa bergaya di pelamin dalam keadaan perasaan mereka remuk selepas majlis kenduri perkahwinan tercemar dengan sajian basi.


BALIK PULAU – Kemeriahan majlis persandingan satu pasangan pengantin di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Teluk Bahang di sini kelmarin bertukar kecoh apabila lauk-pauk yang disajikan didakwa telah basi dan berbau busuk manakala nasinya pula mentah.
Kejadian itu menyebabkan lebih 1,000 jemputan majlis perkahwinan Nazurah Romai, 21 dan suaminya, Nazli Che Amat, 22, kakitangan sebuah syarikat swasta, terpaksa pulang dengan perut kosong.
Hidangan itu ditempah menerusi pakej sebuah syarikat perancang perkahwinan yang mengenakan bayaran RM17,000 untuk sajian, sepasang persalinan untuk majlis akad nikah, pelamin, fotografi dan cenderamata.
Difahamkan, pasangan itu telah menjelaskan bayaran sebanyak RM14,000 kepada syarikat berkenaan.
Nazurah yang merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta di sini berkata, peristiwa yang memalukan itu disedari sewaktu mereka mahu menjamu beberapa orang tetamu pada majlis tahlil kira-kira pukul 10 pagi.

Pelajar cedera selepas kaki dibaham buaya Pasir Panjang


KESAN gigitan buaya pada kaki Muhd. Azlan.


KUCHING – Buaya di Pantai Pasir Panjang, Santubong dekat sini kembali mengganas dengan membaham kaki kanan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhd. Azlan Marzuki dalam kejadian pukul 6 petang kelmarin.
Ia merupakan serangan kedua tahun ini selepas kaki seorang remaja, Ashley Austin, 14, dibaham buaya di pantai itu pada Ogos lalu.
Muhd. Azlan, 20, menceritakan, dia sedang mandi kira-kira 10 meter dari pantai sebelum seekor buaya yang dipercayai sepanjang tiga meter membaham kaki kanannya dari belakang dan cuba mengheretnya ke dalam air.
Dalam keadaan panik, pelajar Sains Sukan UiTM Samarahan itu sempat mengerah kudrat selama 15 minit dengan meronta-ronta sambil menendang kepala reptilia itu beberapa kali dengan kaki kirinya sebelum dia akhirnya dilepaskan.

Didera kerana bangun lambat


BEGINILAH keadaan muka Suryani selepas mendakwa didera majikannya di Taman Sejahtera, Sungai Petani kelmarin.


SUNGAI PETANI – Seorang gadis Indonesia tidak menduga kedatangannya ke sini untuk mencari rezeki halal sebagai pembantu rumah berakhir dengan dia mendakwa menjadi mangsa kekejaman majikan berketurunan Cina yang rakus menderanya sejak enam bulan lalu.
Tidak tahan apabila sering dipukul dan dimaki hamun, Suryani Abdullah, 21, dari Jakarta, Indonesia akhirnya mengambil keputusan melarikan diri dari rumah majikannya di Taman Sejahtera di sini pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, Suryani mendakwa, sejak bekerja di rumah majikannya itu, dia terpaksa menanggung azab apabila dikerah untuk bangun seawal pukul 5 pagi untuk melakukan pelbagai kerja rumah sehingga lewat malam.
Dakwanya, selain itu, dia sering diugut untuk dihantar pulang jika enggan menurut perintah.
“Majikan saya selalu arahkan saya bangun awal pagi untuk membuat kerja rumah. Pada malam Jumaat lalu, saya diarah bangun pada pukul 5 pagi untuk melakukan pelbagai kerja sehingga lewat malam.
“Ekoran itu, saya telah terlajak tidur sehingga pukul 7 pagi keesokan harinya akibat terlalu penat. Majikan yang tidak berpuas hati dengan alasan saya bertindak memukul tangan, badan dan muka dengan benda tumpul hingga bengkak dan sakit,” dakwanya yang masuk ke negara ini melalui agensi pekerja asing.

KP Kesihatan digantung kerja

PUTRAJAYA – Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) semalam memutuskan untuk menggantung kerja Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman (gambar) berkuat kuasa 14 November lepas, kata Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam.
“SPA dalam mesyuaratnya telah menimbangkan kertas cadangan untuk menggantung kerja mengikut Peraturan 28 (6) dan Peraturan 45, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap Hasan yang merupakan Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mahmood berkata, Hasan digantung kerja sehingga keputusan tatatertib diputuskan oleh Suruhanjaya terhadapnya dalam mesyuarat seterusnya pada 3 Disember depan.

Pro-Canselor UTM cipta sejarah


SALLEH ((kiri) dan Sabri bergambar selepas berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor (gambar kecil) mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai rakyat Malaysia tertua berjaya sampai di kaki Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,365 meter dari aras laut.
Salleh, 72, yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), berjaya mencipta sejarah tersebut pada pukul 10.50 pagi waktu Nepal 12 November lalu selepas mengharungi perjalanan selama lapan hari.
Kejayaan tersebut turut disahkan oleh Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Kathmandu, Nepal melalui sepucuk surat yang dikeluarkan baru-baru ini.
Menurut Salleh, dia bersama dua kakitangan UTM serta lima mahasiswa universiti berkenaan berlepas ke Nepal pada 2 November lalu untuk mendaki Lobuche Peak setinggi 6,135 meter dan Island Peak (6,189 meter).

Mayat wanita dijumpai sudah seminggu mati


ANGGOTA polis mengusung mayat Norliza yang ditemui mati di sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Misteri bau busuk yang dihidu penduduk sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat seorang wanita bujang yang telah mati sejak seminggu lalu ditemui di tingkat 3, Blok A, Apartmen Saujana, Damansara Damai di sini semalam.
Mayat Norliza Arshad, 40, ditemui pada pukul 10.30 pagi dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai akibat terjatuh di dalam rumahnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, jiran mangsa yang tidak tahan dengan bau busuk tersebut telah memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum memecahkan pintu rumah mangsa yang dikunci.
“Sebaik masuk, mereka terkejut apabila menemui mayat Norliza yang lengkap berpakaian terbaring di pintu utama rumah.
“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di situ dan polis turut menemui dokumen peribadi dan dompet bersamanya. Kejadian itu tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Mati selepas pergi kenduri

PENAMPANG – Hajat tujuh sekeluarga untuk pulang ke rumah selepas menghadiri kenduri kahwin bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut, empat parah dan dua cedera ringan setelah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter semalam.
Kejadian pukul 1 pagi di Jalan Sepulut Donggongon dekat sini itu mengakibatkan Simsom Marusan, 26, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa yang menaiki 4WD jenis Toyota Prado itu dalam perjalanan ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara di Keningau. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 131 kilometer

ATM rampas pil kuda RM8 juta


BUNGKUSAN pil kuda yang dirampas oleh anggota ATM dalam serbuan di pangkalan haram Ibrahim Pencen, Rantau Panjang malam kelmarin.


PASIR MAS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengambil alih tugas mengawal sempadan sejak empat hari lalu, berjaya merampas 398,000 biji pil kuda dalam serbuan di pangkalan haram Ibrahim Pencen, Rantau Panjang dekat sini malam kelmarin.
Rampasan yang dianggarkan bernilai RM8 juta itu hasil Ops Wawasan sejak ATM mengambil alih tugas daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula 22 November lalu untuk mengawal pintu sempadan.
Panglima Lapan Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaki Hamzah berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar tahun ini sejak pihaknya mengambil alih mengawal sempadan negara.
Menurutnya, dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, seorang lelaki yang berusia lingkungan 20-an bertindak terjun ke dalam Sungai Golok sebaik menyedari kehadiran pegawai dan anggota tentera yang menjalankan tugas rondaan.

Remaja jadi mangsa pertama maut di Mesir

PARA penunjuk perasaan anti-Morsi mendirikan khemah di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Tunjuk perasaan membantah dekri Presiden Mesir, Mohamed Morsi telah meragut nyawa yang pertama, lapor agensi berita dpa semalam.
Mangsa pertama yang berusia 15 tahun itu merupakan anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi.
Dia mati dalam serangan yang berlaku lewat kelmarin di bandar Damanhour di sebuah pejabat pergerakan tersebut.
Seramai 60 orang lagi cedera dalam serangan itu.
Kejadian itu berlaku sebelum Morsi dilaporkan akan berbincang dengan para hakim kanan berhubung perasaan tidak puas hati mereka terhadap dekri tersebut.
Dekri itu dikeluarkan Morsi pada Khamis lalu yang mengumumkan sebarang keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah sehingga parlimen baharu dibentuk.
Morsi dipilih sebagai presiden dalam pilihan raya yang diadakan pada Jun lalu.
Pengumuman dekri itu menyebabkan lebih 500 orang cedera di serata Mesir.
Kira-kira 5,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini malam kelmarin. - Agensi

Liang lahad Arafat digali hari ini


KUBUR Arafat sebelum digali.- Agensi


RAMALLAH – Salah satu misteri politik Asia Barat mungkin dapat diketahui pada hari ini apabila para saintis menggali liang lahad kubur pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) di sini untuk mengetahui sama ada dia diracun.
“Ia amat menyakitkan, mengejutkan dan tidak mudah bagi saya dan anak-anak, tetapi ia mesti dilakukan untuk mengetahui perkara yang sebenar, jika terdapat jenayah, ia mesti diselesaikan,” kata balu Arafat, Suha ketika dihubungi di rumahnya di Malta.
Ketua Penyiasat Palestin berkata, Tawfik Tirawi berkata, liang lahad tersebut akan digali pada hari ini untuk mengambil sampel dari tulang Arafat dan pengebumian semula akan dilakukan pada hari yang sama.
Khabar angin dan spekulasi tersebar mengenai punca kematian Arafat.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika berusia 75 tahun.
Doktor-doktor di Perancis tidak dapat mengenal pasti punca kematian presiden Palestin itu.
Penduduk Palestin percaya Arafat diracun Israel.
Pada Julai lalu, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan penemuan daripada sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat bahan radioaktif, polonium pada barang peribadinya.
Polonium merupakan racun yang membunuh bekas perisik Rusia yang lantang, Alexander Litvinenko di London pada 2006.
Liang lahad itu digali selepas kes siasatan kematian Arafat dibuka di Perancis baru-baru ini.
Panel hakim yang mengendalikan siasatan itu tiba di Ramallah, Tebing Barat kelmarin. – AFP

Chaturvedi amal cara hidup Gandhi


CHATURVEDI keluar dari rumahnya di pinggir New Delhi pada 23 Oktober lalu. - REUTERS


NEW DELHI – Seorang lelaki, Mahesh Chaturvedi mengamalkan cara hidup tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan dan perpaduan penduduk India, Mahatma Gandhi di sini.
Chaturvedi yang berusia 63 tahun memakai pakaian berwarna putih seperti yang dipakai Gandhi.
Beliau juga memasak makanan dan berjalan dengan menggunakan tongkat.
Lelaki tersebut turut mencukur rambutnya dan memakai cermin mata supaya mukanya kelihatan mirip Gandhi.
Menurutnya, jiwa Gandhi tersemat di dalam dirinya.
Chaturvedi menyatakan, beliau akan meneruskan kerja-kerja yang telah dilakukan oleh tokoh yang dihormati oleh penduduk India itu.
Beliau melakukan transformasi dalam kehidupannya dengan mengamalkan cara hidup Gandhi sejak tahun 2002.
Lelaki itu turut muncul dalam tunjuk perasaan yang diadakan di ibu kota India ini.
Gandhi meninggal dunia pada 28 Januari 1948 semasa berusia 78 tahun selepas ditembak oleh seorang nasionalis Hindu, Nathuram Godse. – Agensi

Satu petak tempat letak kereta dijual RM509,190

BEBERAPA buah kereta berada di petak parkir di sebuah bangunan kediaman di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Satu petak tempat letak kereta individu dijual pada harga AS$166,666 (RM509,190) di Hong Kong, menurut beberapa laporan semalam.
Petak itu kini menjadi salah satu cara untuk para pelabur memperoleh keuntungan dengan menjualnya pada harga yang tinggi.
Pada minggu lalu, seorang hartawan Hong Kong, Li Ka-shing menjual 514 petak tempat meletak kereta dan memperoleh sebanyak AS$77 juta (RM235.24 juta), menurut akhbar South China Morning Post dan The Standard.
Petak tempat meletak kereta di Hong Kong boleh disewa pada harga AS$490.30 (RM1,497) hingga AS$606.43 (RM1,852) sebulan. - AFP

No comments:

Post a Comment