Iran pamer kapal selam
|
TEHERAN - Tentera Laut Iran mempamerkan kapal selam dan hovercraft buatannya di pelabuhan Bandar Abbas di selatan negara ini kelmarin.
Sebuah stesen televisyen tempatan menunjukkan dua buah kapal selam dan dua buah hovercraft itu.
Kapal selam yang bernama Qadir itu boleh melancarkan serangan peluru berpandu dan torpedo secara serentak.
Stesen televisyen itu menyiarkan ucapan Ketua Tentera Laut Iran, Laksamana Muda Habibollah Sayyari yang menyatakan pihaknya perlu memiliki teknologi ketenteraan terbaharu untuk tujuan melindungi sempadan negara ini.
Kapal selam itu juga boleh beroperasi di kawasan perairan yang cetek.
Iran kini berdepan dengan tekanan negara-negara Barat supaya menghentikan program nuklearnya yang dibimbangi akan digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Bagaimanapun, pemerintah negara ini menyatakan pro-gram tersebut bertujuan un-tuk menjana tenaga elektrik. - Agensi
Program TV uji ketakutan pengguna lif
RIO DE JANEIRO - Satu program televisyen cuba meninjau reaksi para pengguna lif apabila mereka melihat hantu, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Kamera dipasang dalam lif itu tanpa disedari oleh para pengguna semasa rakaman tersebut dibuat.
Dalam program itu, hanya seorang atau dua pengguna sahaja berada di dalam lif tersebut.
Selepas pintu lif itu ditutup, pengguna tersebut tidak menyedari ia sebenarnya tidak bergerak.
Cahaya lampu di dalam lif tersebut kemudian terpadam seolah-olah menunjukkan bekalan elektrik terputus.
Semasa bekalan elektrik itu terputus, seorang budak perempuan yang menyamar sebagai hantu dengan membawa anak patung merangkak keluar dari sebuah pintu rahsia.
Apabila cahaya lampu dihidupkan semula, pengguna lif itu terkejut apabila mendapati kanak-kanak perempuan tersebut muncul dengan tiba-tiba.
Wajah kanak-kanak itu yang kelihatan seperti hantu menyebabkan pengguna lif tersebut ada yang menutup mata dengan tangan.
Terdapat juga pengguna lif lelaki yang terus berlari sejurus pintu dibuka.
Salah seorang pengguna wanita pernah menjerit apabila melihat 'hantu' itu. - Agensi
Pemuda tarik trak dengan telinga
RUSTAVI, Georgia - Seorang pemuda berusia 32 tahun, Lasha Pataraia menarik sebuah trak dengan menggunakan tali yang diikat di telinganya di sini semalam.
Dia berjaya menarik trak seberat 8,250 kilogram itu sejauh 21.50 meter.
Pemuda tersebut berjaya mencipta rekod Guinness World Records ekoran usahanya itu. - Reuters
Raja Arab Saudi muncul di TV
JEDDAH - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, 88, muncul di kaca televisyen negara itu kelmarin sejak pembedahan untuk memperkuatkan ligamen bahagian belakang badan baginda dibuat pada 17 November lalu.
Rakaman televisyen tersebut menunjukkan Raja Abdullah dikunjungi beberapa anggota kerabat diraja dan pegawai kerajaan di kompleks Bandar Perubatan Pengawal Kebangsaan Raja Abdullah di Riyadh.
Kestabilan Arab Saudi amat penting kerana ia merupakan negara sekutu Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai simpanan lebih daripada satu perlima minyak dunia.
Terdapat khabar angin di beberapa buah laman sosial yang menyatakan kesihatan baginda merosot sehingga menyebabkan indeks pasaran saham di negara ini jatuh pada Selasa lalu.
Raja Abdullah yang menaiki takhta pada 2005 telah melantik adindanya, Putera Salman, 76, sebagai Putera Mahkota selepas kemangkatan Putera Nayef. - Agensi
Gambar otak Einstein didedahkan muzium AS
|
WASHINGTON - Gambar otak saintis terkenal dunia, mendiang Albert Einstein (gambar kecil) disiarkan oleh pihak Muzium Kebangsaan Kesihatan dan Perubatan di Silver Spring, Maryland dekat sini.
Pihak muzium itu menyiarkan gambar tersebut kelmarin.
Ia merupakan gambar otak Einstein yang dirakamkan selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1955.
Beliau meninggal dunia di Princeton, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) semasa berumur 76 tahun.
Selepas kematiannya, waris saintis itu membenarkan otaknya dikeluarkan untuk tujuan kajian.
Einstein merupakan seorang pakar fizik terkenal di dunia menerusi teori relativiti Einstein.
Menurut artikel dalam jurnal Brain, permukaan visual korteks otak Einstein mempunyai lipatan tebal.
Beliau dilahirkan di Jerman tetapi kemudian menetap di AS. - Agensi
'Universiti ketawa' akan dibina di India
|
NEW DELHI - Seorang guru yoga, Madan Kataria akan membina sebuah 'universiti ketawa' di bandar Bangalore, selatan India.
Universiti tersebut akan didirikan di sebuah kawasan yang didermakan oleh seorang kontraktor bangunan.
Seorang taikun turut mendermakan sebanyak AS$250,000 (RM761,366) untuk tujuan pembinaan universiti itu.
"Dalam tempoh tiga bulan, kami akan memulakan kerja-kerja pembinaan dan menjelang tahun 2013, kami akan mengendalikan universiti itu.
"Kami mahu membina sebuah ibu pejabat untuk komuniti yoga ketawa di seluruh dunia," katanya.
Beberapa kajian mendapati ketawa boleh mengeluarkan endorfin iaitu bahan kimia dalam otak yang baik untuk kesihatan.
"Ketawa merupakan perkara paling sihat yang boleh anda lakukan. Ia merupakan ubat yang terbaik," katanya.
Kataria berusia 58 tahun dan dia menjadi inspirasi penubuhan ribuan 'kelab ketawa' di India dan seluruh dunia termasuk di Beirut dan Berlin.
Dia juga mengendalikan sesi ketawa di sekolah, penjara, hospital dan rumah untuk orang tua.
Beberapa tahun lalu, Kataria yang juga seorang doktor perubatan pernah memberitahu di hadapan sebuah jawatankuasa Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) bahawa senaman yoga ketawa boleh membantu negara itu mengurangkan kos penjagaan kesihatan.
Dia mengendalikan Institut Yoga Ketawa yang bukan berasaskan keuntungan di Mumbai.
Menurutnya, seseorang itu perlu ketawa dengan kuat selama 15 hingga 20 minit sehari untuk memperoleh faedah kesihatan.
Seorang doktor di Klinik Mayo di AS, Amit Sood berkata, ketawa boleh mengurangkan tekanan dan memperbaiki proses penghadaman. - AFP
Israel dakwa pelan negara Palestin akan tertangguh
BAITULMUQADDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan penubuhan negara Palestin akan tertangguh walaupun Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf ia sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu."Ia (pengiktirafan itu) tidak akan menuju ke arah penubuhan sebuah negara Palestin. Sebaliknya, ia akan melengahkan penubuhan negara itu," kata Netanyahu semalam.
Israel sebelum ini memujuk supaya negara-negara Eropah tidak menyokong usaha Palestin untuk menjadi negara pemerhati bukan anggota di PBB. - Reuters
'Tolong selamatkan saya'
|
PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai dobi terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera secara mental oleh majikannya apabila wanita tersebut ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen semalam.
Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada pukul 11 pagi di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini itu menyebabkan Sukini, 30-an, maut apabila cubaannya untuk melarikan diri dengan memanjat balkoni rumah majikannya yang berketurunan Cina gagal sebelum dia terjatuh.
Difahamkan, ketika hendak memanjat, wanita dari Kalumpang, Sulawesi itu telah tergelincir dan sempat berpaut beberapa minit pada tembok balkoni itu sebelum terjatuh.
Turut ditemui di sisi mangsa ialah satu bungkusan kain batik mengandungi beberapa helai baju, seluar dan sabun.
Pekerja dobi berkenaan yang ingin dikenali sebagai Yanti, 40, berkata, dia begitu kesal dengan kematian Sukini kerana dia memang bercadang untuk menyelamatkan wanita itu sebaik mendapat nota terakhir mangsa yang ditulis di atas tisu pada pukul 9 pagi kelmarin.
Nota itu berbunyi: “Kakak, tolong selamatkan saya. Kalau kakak tak boleh tolong saya nekad lari ikut balkoni.”
Mangsa baru bekerja sejak dua minggu lalu dengan majikannya itu.
|
|
“Sejak dua minggu lalu, saya mendapat tiga nota ditulis di atas tisu yang dicampak mangsa setiap kali dia lalu di depan kedai bersama majikannya untuk membeli nasi lemak pada waktu pagi.
“Ia berkisar mengenai kesulitan dan kesengsaraannya sejak bekerja dua minggu lalu. Mangsa turut mengadu dia tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa termasuklah keluarganya yang berada di Kalumpang, Sulawesi,” dakwanya ketika ditemui.
Ceritanya, nota keempat diterimanya pagi kelmarin. Nota itu memintanya supaya menyelamatkan amah tersebut atau dia akan nekad lari melalui balkoni kerana tidak tahan apabila sering dimaki hamun oleh majikannya.
“Sejurus membaca nota itu, saya telah melaporkannya kepada seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, belum sempat dia diselamatkan, kami mendapat berita dia telah mati akibat terjatuh,” dakwanya lagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.
Penasihat Menteri Penerangan, Sosial dan Budaya bagi Kedutaan Indonesia di Malaysia, Suryana Sastradiredja pula ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang pembantu rumah dari Jakarta, Indonesia yang dikenali sebagai Suryani, 24, cedera teruk akibat dipukul dengan batang mop oleh anak majikannya yang berketurunan Cina di Taman Patani Indah, Sungai Petani, Kedah.
Gadis didakwa dera amah
SUNGAI PETANI - Kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cedera akibat didera majikannya memasuki episod baharu apabila seorang pengusaha salun didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Bagaimanapun, Khor Chia Lin, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abdidin. Chia Lin merupakan anak perempuan majikan kepada amah yang dikenali sebagai Suryani, 24.
Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Suryani dengan menggunakan batang mop di rumahnya di No. 22, Taman Patani Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 23 November lalu.
Dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Intan Nurul Farena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd. Nasir dan peguam bela, Loo Yook Khin. Beliau turut menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar wang itu.
Yook Khin memberitahu, ibu tertuduh yang ditahan bersama anak guamnya sebelum ini telah dibebaskan selepas didapati tidak terlibat.
Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang turut menyaksikan prosiding itu berpuas hati dengan siasatan dan proses pendakwaan.
Katanya, dia berterima kasih kepada media kerana memaparkan berita berhubung kes penderaan pembantu rumah Indonesia.
Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Suryani dari Jakarta, melarikan diri dari rumah majikannya Ahad lepas selepas tidak tahan didera hingga cedera teruk di muka dan badan.
Sikap pemandu kenderaan berat punca kemalangan
|
PETALING JAYA - Kajian PLUS Expressways Berhad (PLUS) mendapati 87 peratus kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti bas dan lori berpunca daripada pemandu.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid (gambar) berkata, memandu melebihi had laju, mengantuk, keletihan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik demi mengejar perjalanan adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan berlaku.
"Lori menyumbang 18.1 peratus dan bas menyumbang 2.3 peratus daripada 54,380 kemalangan di lebuh raya PLUS sejak 2007 hingga Oktober lepas," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan Hormati Had Anda di sini semalam.
Seminar itu menekankan kepentingan menghormati had fizikal, kemampuan pemandu dan kemampuan kenderaan dipandu seseorang pemandu.
Ia disertai oleh pemandu kenderaan berat serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pekerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor, Ahmad Awang berkata, seminar itu dapat meningkatkan kesedaran selain platform terbaik kepada operator kenderaan untuk memberikan latihan kepada pekerjanya.
Bincang rumah Taman Manggis
GEORGE TOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan berbincang dengan pemaju berhubung keputusan sama ada akan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau perumahan mampu milik di tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.
Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Oh Tong Keong (gambar) berkata, keputusan perbincangan itu akan diumumkan dalam masa terdekat berikutan terdapat dakwaan Pengarah Taman Manggis Fasa 2 Development Sdn. Bhd., Khoo Boo Soon telah menyiapkan kertas cadangan pembinaan rumah mampu milik di atas tanah seluas 0.45 hektar itu.
"Kita akan bincang tengok keadaan macam mana. Tetapi sekarang tanah pun tak ada. Jika kita dah dapat tanah itu kita akan bincang sama ada bina PPR atau perumahan mampu milik).
"Ini (kertas cadangan) idea dia (Boo Soon). Kita tak bincang...kita akan buat satu mesyuarat, kita bincang tengok apa yang sesuai. Kita putuskan minggu depan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam kertas cadangan itu, Tong Keong menyatakan pihaknya akan membina rumah mampu milik dengan harga jualan RM400 sekaki persegi.
Beliau berkata, pihaknya bercadang membina bangunan 22 tingkat yang terdiri daripada dua jenis kediaman iaitu masing-masing seluas 1,000 kaki persegi dan 860 kaki persegi, 11 unit kedai mampu milik yang akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang secara percuma, taman rekreasi dan 250 tempat letak kereta.
Bagaimanapun, Tong Keong berkata, kertas cadangan itu belum diserahkan kepada mana-mana pihak untuk diperhalusi dan ia hanya cadangan daripada pihak Taman Manggis Fasa 2 Development Sdn. Bhd. - Bernama
Ayam kampung baka MARDI dua kali ganda lebih kualiti
SERDANG - Kualiti ayam kampung ternakan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dilihat dua kali ganda lebih baik daripada harga ayam kampung kacukan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr. Azizan Ab. Rashid berkata, daging baka ayam kampung pihaknya sudah teruji rendah lemak dan lebih pejal daripada ayam kampung kacukan yang biasa dijual di pasaran.
"Ayam kampung MARDI ini juga lebih seragam dari segi fizikal seperti warna bulu, bentuk badan dan berat badan serta bercirikan ayam kampung asli iaitu mengais dan mengeram telur sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran baka ayam kampung MARDI di laman Pameran Pertanian Malaysia sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di sini semalam.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom.
Menurut Azizan, baka ayam MARDI itu ialah hasil daripada pemilihan baka ayam yang terbaik serata negeri di dalam Malaysia.
"Jumlah ayam permulaan untuk penternakan ialah sebanyak 150 ekor dengan setiap seekor berharga RM1.80," katanya.
Tiga beranak ditemui rentung berpelukan
BELURAN, Sabah - Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di bandar ini kelmarin.Mayat Siti Jainah Ajak, 39, bersama dua anak perempuannya, Siti Aznizah Hussin, 9, dan Siti Azikah, tiga tahun, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi tingkat atas kedai itu, tempat mereka tinggal, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin.
Mereka terperangkap di rumah kedai itu yang dipasang dengan jeriji besi dan api yang bermula dari tingkat bawah merebak dengan cepat dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.
Suami mangsa yang juga pemilik kedai itu, Hussin Ismail bersama seorang lagi anak mangsa, Mohd. Aznizam, 11, tidak berada di rumah semasa kebakaran.
Jemishin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.01 malam dan menghantar sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.
Katanya, mereka tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.59 malam tetapi api sudah merebak di tingkat bawah dan atas kedai tersebut.
Menurutnya, dua kenderaan pelbagai guna bersama enam lagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut dihantar ke tempat kejadian.
Beliau berkata, api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.58 pagi dan pemeriksaan di tingkat atas kedai tersebut menemui tiga mayat yang rentung terbakar di bilik mandi.
Jemishin berkata, mayat ibu bersama dua anak perempuannya itu kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.
Katanya, dua lagi premis terletak bersebelahan membabitkan sebuah restoran dan Pejabat Parlimen Beluran hanya mengalami sedikit kerosakan. Menurutnya punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. - Bernama
No comments:
Post a Comment