Dua penjenayah London dibebas tanpa alasan
|
LONDON - Mahkamah Rayuan Britain kelmarin menggugurkan sabitan terhadap dua lelaki yang sebelum ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah rendah kerana merompak pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 21, pada 8 Ogos tahun lalu ketika rusuhan di sini, menurut beberapa laporan.
John Kafunda, 23, dari Ilford dan Reece Donovan, 25, dari Romford dibebaskan selepas mereka membuat rayuan berhubung keputusan Hakim James Patrick di Mahkamah Mahkota Wood Green pada Mac lalu.
Ekoran keputusan itu, Kafunda dihukum penjara empat tahun dan tiga bulan manakala Donovan dihukum lima tahun penjara kerana turut merompak pasar raya Tesco.
Mereka dikesan merompak dan melakukan perbuatan ganas terhadap Asyraf menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Imej yang menunjukkan dua lelaki menyerang Asyraf di Barking, timur London telah ditonton berjuta-juta orang di laman YouTube.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan, Adrian Bruce Fulford dan Michael Bean memutuskan untuk membebaskan Kafunda dan Donovan secara terbuka walaupun pendengaran kes itu diadakan secara tertutup.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British, kedua-dua hakim itu akan memberitahu alasan mereka membebaskan penyerang Asyraf itu pada tarikh lain.
Ketika kejadian, Asyraf baru tiba sebulan di Britain untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan.
Dalam imej itu, Kafunda berpura-pura membantu Asyraf yang cedera di muka setelah ditumbuk seorang lagi perusuh, Beau Isagba, 17, sebelum mencuri basikal miliknya.
Isagba dihukum penjara tujuh tahun kerana menumbuk dan mencuri basikal Asyraf.
Semasa kejadian, Asyraf dalam perjalanan ke rumah rakannya untuk berbuka puasa.
Bagaimanapun, ketika Kafunda berpura-pura membantu Asyraf, Donovan mencuri alat Sony Playstation dan 10 permainan bernilai RM1,519 dari dalam beg mangsa.
Rusuhan itu berpunca daripada bantahan penduduk kulit hitam terhadap kematian suspek penjenayah, Mark Duggan, 29, yang ditembak polis.
Sebelum ini, Kafunda dan Donovan menafikan mereka adalah lelaki dalam rakaman CCTV tersebut.
Semasa perbicaraan berlangsung, Kafunda memberitahu, dia sejuta peratus pasti lelaki dalam CCTV bukan dirinya.
Sementara itu, pihak pendakwa raya tidak akan mengemukakan permohonan perbicaraan semula ekoran keputusan itu.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut berkaitan dua saksi pendakwa yang identiti mereka tidak didedahkan semasa perbicaraan berlangsung Mac lalu.
"Permohonan kami untuk kedua-dua saksi tersebut (memberi keterangan) dalam perbicaraan telah dibenarkan oleh hakim. Saksi-saksi berkenaan enggan memberikan bukti jika permohonan untuk melindungi identiti tidak diberikan.
"Mahkamah Rayuan telah menggugurkan sabitan tersebut disebabkan (hakim mahkamah lebih rendah) membenarkan permohonan tersebut (melindungi identiti saksi)," katanya.
Asyraf mengalami kecederaan teruk sehingga mengakibatkan plat dan pin logam rahangnya termasuk dimasukkan di mukanya. - Agensi
Ibu Asyraf terkejut lelaki pukul anaknya dilepas
KUALA LUMPUR - Ibu pelajar yang diserang dan dirompak semasa rusuhan di London, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 21, terkejut apabila mengetahui dua lelaki yang didapati bersalah menyerang anaknya dilepaskan oleh mahkamah.Maznah Abu Mansor, 48, berkata, dia tidak dapat mengulas isu tersebut kerana belum mendapat maklumat lanjut mengenainya.
"Saya tidak mahu buat apa-apa andaian. Tentu mahkamah ada alasan mengapa keputusan membebaskan mereka diambil," katanya ketika dihubungi di Bandar Baru Ampang dekat sini semalam.
Katanya, Asyraf berada dalam keadaan baik dan kini sibuk dengan pengajian tahun tiga bidang perakaunan di Kaplan College, London.
Tambahnya, dia tidak pasti anaknya tahu tentang keputusan mahkamah tersebut.
"Saya akan hubungi dia hujung minggu ini kerana saya tidak mahu ganggu dia sekarang sebab dia sibuk dengan kuliah," tambahnya.
Mahkamah Rayuan Britain kelmarin menggugurkan sabitan terhadap dua lelaki yang sebelum ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah rendah kerana merompak Asyraf pada 8 Ogos tahun lalu ketika rusuhan di kota London.
John Kafunda, 23, dari Ilford dan Reece Donovan, 25, dari Romford dibebaskan selepas mereka membuat rayuan berhubung keputusan Hakim James Patrick di Mahkamah Mahkota Wood Green pada Mac lalu.
Hangus angkara khianat
KAJANG – Malang menimpa 11 pemilik motosikal apabila kenderaan milik mereka itu hangus terbakar disyaki angkara perbuatan khianat pihak tertentu di Pangsapuri Kos Rendah Taman Tasik, Sungai Chua di sini semalam.
Kejadian yang menggemparkan kira-kira 200 penduduk itu disedari pada pukul 3.10 pagi selepas sebahagian mereka ternampak motosikal yang diletakkan di tingkat bawah bangunan sembilan tingkat tersebut terbakar.
Salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Khalil, 46, memberitahu, dia terjaga sebaik terdengar bunyi letupan sebelum disusuli api yang membakar kesemua motosikal yang diletakkan di situ.
Dakwanya, kebanyakan penghuni pangsapuri tersebut merupakan warga asing dan mereka sering berkumpul pada waktu malam untuk tujuan tertentu.
Bagaimanapun, pada malam kejadian, dia tidak melihat warga asing tersebut berkumpul dan membuat kecoh.
“Tidak lama kemudian, rata-rata penghuni turun tetapi hanya mampu melihat motosikal itu hangus dijilat api yang marak dalam sekelip mata.
“Walaupun api tidak merebak ke rumah namun, jelaga dan asap tebal masuk ke kediaman kami menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan modal untuk membersihkannya pula,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi mangsa memberitahu, dia kerugian lebih RM2,000 apabila motosikal jenis Honda miliknya hangus.
“Susahlah saya hendak ke tempat kerja selepas ini kerana saya hanya ada sebuah motosikal sahaja,” katanya yang percaya kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul memberitahu, sebaik api dipadamkan 30 minit kemudian, pihaknya mendapati sebanyak 11 buah motosikal hangus.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut 435 Kanun keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api. Setakat semalam, tiada tangkapan dibuat.
Tiada kesan dera pada amah
PETALING JAYA - Polis semalam memberitahu pihaknya tidak menemui sebarang kesan dera pada badan seorang amah yang mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah kondominium di Kota Damansara di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, laporan bedah siasat hanya mengesahkan kecederaan mangsa sepadan dengan kecederaan orang yang jatuh dari tempat tinggi.
Sehubungan itu katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut selepas tidak menemui sebarang bukti jenayah.
"Siasatan mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana tidak menyukai pekerjaannya. Mangsa baru sebulan bekerja dengan majikannya.
"Keterangan majikan juga sudah diambil dan kita masih menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian itu," katanya pada sidang akhbar di sini.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang amah dikenali sebagai Sukini, 30-an, dari Kalumpang, Sulawesi ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan kondominium berkenaan pada pukul 11 pagi.
Sebelum kejadian, Sukini didakwa telah menulis empat nota kepada seorang pekerja kedai dobi meminta supaya dia diselamatkan selepas tidak tahan dimaki hamun majikannya yang berketurunan Cina.
Disimbah asid selepas merogol
GEORGE TOWN - Seorang remaja lelaki melecur di kedua-dua belah paha berdekatan kemaluannya akibat disimbah sejenis cecair disyaki asid oleh sekumpulan lelaki selepas didakwa memperkosa seorang kenalan Facebook di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini minggu lalu.Sebelum kejadian pada pukul 10 malam kelmarin, pemuda berusia 18 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di pusat bandar ini sebelum dihampiri lebih tiga pemuda dipercayai ahli keluarga mangsa rogol yang dipercayai marah dengan perbuatan mangsa.
Ketika dihampiri kumpulan pemuda berkenaan, mangsa tidak sempat melarikan diri menyebabkan kedua-dua pahanya melecur 20 peratus akibat disimbah cecair dipercayai asid yang belum diketahui jenisnya.
Kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam susulan seorang gadis berusia 16 tahun didakwa diperkosa remaja terbabit dalam sebuah tandas pasar raya di pusat bandar pada Rabu minggu lepas.
Difahamkan lelaki dan gadis berkenaan berkenalan di laman sosial Facebook beberapa bulan lalu sebelum berjumpa di pasar raya berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, ekoran kejadian itu polis sehingga semalam sudah menahan enam suspek termasuk ahli keluarga gadis yang menjadi mangsa rogol di beberapa lokasi di sini.
Menurut beliau, sebelum ini polis menerima laporan daripada gadis terbabit yang mendakwa dirogol di sebuah pusat beli-belah oleh seorang lelaki yang dikenali menerusi laman Facebook.
Mohd. Nasir memberitahu, polis turut menahan mangsa disimbah asid itu bagi membantu siasatan berhubung kes rogol.
Bunuh rakan, tiga dihukum gantung
MELAKA - Tiga sahabat yang didapati bersalah membunuh rakan mereka di Semabok dua tahun lalu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Seorang lagi tertuduh, merupakan remaja bawah umur ketika kejadian diperintahkan menjalani hukuman penjara sehingga satu tempoh yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Ahmadi Asnawi menjatuhi hukuman tersebut terhadap tertuduh-tertuduh iaitu Chua Kim Hock, 21; Lim Chin Aun, 18; Yeo Chee Teong, 23, dan remaja berusia 17 tahun selepas mendapati keempat-empat tertuduh bersalah membunuh rakan mereka, Yap Wai Seng (gambar), 18.
Kesemua tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati melainkan pesalah juvana yang dihukum di bawah Seksyen 29(2) Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama didapati membunuh Wai Seng di Jalan Johor, Semabok pada pukul 11.45 malam, 11 Mac 2010.
Kosmo! pada 13 Mac 2010 melaporkan tembelang empat lelaki yang menyembunyikan mayat di dalam sebuah kereta untuk dilupuskan terbongkar apabila kesemua mereka ditahan ketika cuba mengelak satu sekatan jalan di Jalan Tun Rzak, Ayer Keroh.
Operasi sahkan kerakyatan Rohingya di Myanmar
|
SIN THET MAW, Myanmar - Pemerintah Myanmar telah melancarkan operasi dengan tujuan untuk mengesahkan kerakyatan etnik Rohingya di negeri Rakhine, barat negara ini,
Sekumpulan wartawan agensi berita Associated Press mendapati, beberapa pegawai imigresen membuat bancian dari rumah ke rumah di kampung di Sin Thet Maw.
Jurucakap pentadbiran negeri itu, Win Myaing menyatakan operasi tersebut bermula sejak 8 November lalu di pekan Pauktaw yang turut meliputi kampung tersebut.
Menurutnya, operasi berkenaan akan dilakukan di serata negeri Rakhine.
Sebelum ini hampir 200 orang terbunuh dan 110,000 lagi hilang tempat tinggal ekoran pergaduhan antara etnik Rohingya dan Rakhine yang beragama Buddha. - AP
Ombak berwarna menjadi biru pada waktu malam
SYDNEY - Beberapa pantai popular di sini pernah ditutup kerana fenomena pertumbuhan organisma alga merah.
Kehadiran organisma itu menyebabkan air bertukar menjadi merah.
Bagaimanapun, pada waktu malam, ombak bertukar menjadi biru cerah pada Rabu lalu.
Kehadiran alga itu yang dikenali sebagai Nocturnal Scintillans telah menyebabkan ramai orang tidak boleh berenang di pantai.
Bagaimanapun, pantai-pantai tersebut dibuka semula untuk orang ramai berenang kelmarin. - Agensi
Planet Utarid mengandungi simpanan ais
WASHINGTON - Planet yang hampir dengan matahari, Utarid mengandungi simpanan ais yang banyak, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.
Menurut seorang penyelidik NASA yang mengkaji planet itu, David Lawrence, kawasan simpanan itu sebesar Washington D.C, Amerika Syarikat dan setebal 3.2 kilometer.
Washington D.C merupakan pusat pentadbiran AS yang seluas 68.3 meter persegi.
Maklumat itu diperoleh berdasarkan data yang diperoleh daripada kapal angkasa Messenger yang mendarat di planet tersebut pada tahun lalu. - Agensi
Kereta Batman dilelong tahun depan
LOS ANGELES, Amerika Syarikat - Kereta asal Batman, Batmobile yang muncul dalam siri televisyen adi wira itu pada tahun 1966 dijangka dilelong pada 19 Januari tahun depan, kata Rumah lelongan Barrett-Jackson kelmarin.
Menurut Barrett-Jackson, kenderaan tersebut pernah muncul dalam beberapa siri televisyen Batman serta filem yang dibintangi aktor Adam West.
"Kereta Batmobile 1966 merupakan antara kereta terkenal dalam sejarah Hollywood dan ia menjadi ikon sebenar Batmobile sehingga kini," kata pengerusi Barrett-Jackson, Craig Jackson dalam satu kenyataan.
Menurut rumah lelongan itu, kereta Batmobile yang direka George Barris merupakan ilham daripada sebuah kereta konsep Lincoln Futura pada tahun 1955.
Kereta itu mempunyai beberapa gajet istimewa termasuk Batphone, Bat Eye Switch dan Bat Smoke.
Ia akan dilelong di Scottsdale, Arizona.
Jackson yang juga ketua pegawai eksekutif Barrett-Jackson dilaporkan berkata, lelongan kereta itu mampu mencecah jutaan dolar. - AFP
Israel marah status baharu Palestin
BAITULMUQADDIS - Kejayaan Palestin memperoleh status di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota di PBB telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di Israel.
Perhimpunan Agung PBB kelmarin mengundi dengan 138 negara menyokong, sembilan menentang dan 41 buah lagi berkecuali.
Sebanyak 193 negara menganggotai perhimpunan itu.
Amerika Syarikat dan Israel menentang status terbaharu itu manakala Singapura bertindak berkecuali.
Sebelum ini, Palestin hanya diberikan status sebagai entiti pemerhati menerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin pada 1974.
Bagaimanapun, status negara pemerhati bukan anggota itu membolehkan Palestin menyertai beberapa agensi PBB seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Palestin juga boleh mengemukakan dakwaan kekejaman Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa ekoran status baharu yang diperolehnya.
Duta Israel ke PBB, Ron Prosor mengutuk keputusan pengundian itu dengan menyatakan ia akan menyebabkan terdapat halangan untuk rundingan damai.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman berkata kepada sebuah stesen radio tempatan, langkah Palestin itu menunjuk presidennya, Mahmoud Abbas tidak mempunyai minat untuk berdamai.
Keputusan undian itu juga menghiasi muka depan akhbar-akhbar Israel.
Akhbar harian HaYom menyiarkan tajuk yang menyatakan PBB memberikan hadiah kepada pihak pengganas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan, undian tersebut sebagai satu keputusan yang tidak bermakna.
Menurutnya, keamanan akan dapat dicapai hanya menerusi rundingan secara langsung seperti di Oslo pada tahun 1993.
Bekas Menteri Luar Israel, Tzipi Livi menyalahkan Netanyahu ekoran kejayaan terbaharu Palestin itu.
"Pemerintah mungkin dapat menghentikan inisiatif Palestin di PBB jika ia melakukan rundingan damai," katanya.
"Israel kalah," tambahnya dalam satu lagi kenyataan berasingan.
Sementara itu, Abbas menyatakan, beliau berharap status itu akan membuka laluan ke arah rundingan baharu secara langsung dengan Israel.
Rundingan secara langsung itu dibekukan lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, status baharu itu merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan pergolakan di Asia Barat menerusi penyelesaian kaedah penubuhan dua buah negara.
Kejayaan itu juga disambut oleh penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Seramai 4.3 juta penduduk Palestin tinggal di Tebing Barat, timur Baitulmuqaddis dan Genting Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan untuk membina 3,000 penempatan haram di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat selepas PBB meluluskan status baharu Palestin.
"Ya, betul, (penempatan haram itu) dibina di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat," kata Netanyahu tanpa memberi tahu lokasi tepat pembinaan itu.
Sementara itu, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh menyifatkan kelulusan yang diberikan PBB untuk Palestin menjadi sebuah negara bukan anggota bertaraf pemerhati di badan dunia itu sebagai suatu hari yang bersejarah.
"Ia suatu permulaan bagi merealisasikan hak negara Palestin," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Bernama.
Duta itu menyatakan lebih 65 tahun sudah berlalu, sejak Pelan Pemisahan diwujudkan tetapi malangnya negara Palestin tidak diiktiraf ataupun ditubuhkan.
Pelan Pemisahan memperuntukkan pembentukan sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi. - Agensi
Penentang Bashar serang lapangan terbang
BEIRUT - Kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di Syria semalam bertempur untuk menawan sebuah lapangan terbang di Damsyik, kata para aktivis.Pertempuran sengit yang berlaku di lapangan terbang itu turut menyebabkan kebanyakan kapal terbang terpaksa menunda penerbangan.
Menurut para pemerhati, pertempuran sengit itu juga menunjukkan bahawa pihak penentang di Syria mempunyai senjata yang canggih dan mempunyai pasukan yang lebih tersusun.
Lapangan terbang itu terletak kira-kira 27 kilometer dari Damsyik.
Penentang terhadap Bashar bermula sejak Mac tahun lalu dengan tujuan untuk menggulingkannya selepas beliau gagal melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan hak asasi.
Lebih 40,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan penentang dengan askar Bashar. - Agensi
No comments:
Post a Comment