Monday, November 26, 2012

BUATLAH KERJA2 BERFAEDAH BUKAN KERJA2 YANG MENYEBABKAN KITA SUSAH DIAKHIRAT KELAK.SEDANGKAN MATI TAK KIRIA UMUR...BUKAN DAH BERTAUBAT BARU MATI

Buruan polis fanatik Apek

Oleh Faizal Ghazali
am@hmetro.com.my

EDAR...Saiful mengedarkan risalah pencegahan jenayah yang ditandatanganinya kepada pengguna jalan raya ketika Ops Bayan, Khamis lalu.
EDAR...Saiful mengedarkan risalah pencegahan jenayah yang ditandatanganinya kepada pengguna jalan raya ketika Ops Bayan, Khamis lalu.
BUKIT MERTAJAM: Teruja dengan kehadiran pelakon dan pelawak Saiful Apek dalam operasi sekatan jalan raya, seorang lelaki yang diburu polis rela menyerah diri selepas hasratnya merakamkan gambar dengan artis idolanya itu tertunai.
Lelaki itu menunggang motosikal dan lalu di kawasan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Mertajam, dekat sini, jam 12.30 tengah malam, Khamis lalu.
Ketika itu polis melakukan Operasi Bayan (Ops Bayan) dan program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 43, berkata, ketika lelaki itu memberhentikan motosikal dia menyerahkan kepadanya risalah pencegahan jenayah yang tertera tandatangannya sempena program terbabit.

Menurutnya, lelaki itu kemudian turun dari motosikalnya dan meminta izin untuk bergambar bersama-sama sebelum membuat pengakuan dia suspek kes jenayah yang dikehendaki polis.

Ibu beruk naik angin

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

PARAH...Tarmizi menunjukkan luka Mahana yang menerima empat jahitan di bibir dan bengkak seluruh muka.
PARAH...Tarmizi menunjukkan luka Mahana yang menerima empat jahitan di bibir dan bengkak seluruh muka.
KUALA TERENGGANU: Angkara seekor ibu beruk yang berang kerana menyangka seorang wanita cuba merempuhnya dengan motosikal, haiwan berkenaan naik angin dengan menyerang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu cedera di muka selepas motosikalnya terbabas ketika cuba mengelak terkaman beruk berkenaan.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, Mahana Latif, 27, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sungai Ikan, di sini, ke Kampung Gemuroh, untuk membeli kad tambah nilai telefon bimbitnya.
Namun lima minit selepas keluar dari rumahnya, muncul beruk sambil menggendong anaknya melintas jalan secara tiba-tiba sebelum menerkamnya menyebabkan motosikal ditunggang mangsa terbabas sebelum terjunam ke longkang sedalam dua meter.

Ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, Mahana berkata, dia menerima empat jahitan di bibir dan lebam di muka akibat tersembam di dalam longkang berkenaan.

Suri rumah itu berkata, dia tidak mengingati sepenuhnya kejadian itu kerana pengsan ketika terjatuh ke dalam longkang sebelum dibantu penduduk yang kebetulan melalui di jalan berkenaan.

Isteri 1Malaysia

Oleh Ahmad Ismail
metrojb@yahoo.com

RAMAI...keluarga besar arwah Ismail berkumpul di Tongkang Pechah setiap tahun.
RAMAI...keluarga besar arwah Ismail berkumpul di Tongkang Pechah setiap tahun.
BATU PAHAT: Biarpun suami mereka sudah meninggal dunia tiga tahun lalu, empat balunya yang berbangsa Melayu, Cina dan India wajar wajar dijadikan contoh kerana mampu mengekalkan ikatan silaturahim dengan mengadakan perhimpunan keluarga yang disertai kira-kira 60 orang.
Keluarga unik yang layak digelar keluarga 1Malaysia itu adalah waris Allahyarham Ismail Abdul Hamid yang berkumpul di rumah isteri keempat Allahyarham Ismail di Tongkang Pechah di sini, semalam.
Isteri pertama dan keempat Allahyarham Ismail berbangsa Melayu, manakala isteri kedua dan ketiga masing-masing berbangsa Cina dan India.

Isteri pertamanya, dikenali sebagai arwah Tuminah dikahwininya pada 1956; isteri kedua, Jamaliah Abdullah, 64, (Cina) bernikah pada 1958; isteri ketiga, Sabariah Md Som@Abdullah, 62, (India) bernikah pada 1959 dan keempat, Shamsiah Arsee, 73, bernikah pada 1961.

Anak sulung isteri keduanya, Siti Jamaliah, 49, berkata arwah bapanya meninggal dunia sejak tiga tahun lalu dan meninggalkan empat isteri, 16 anak serta 44 cucu.

‘Kami dah beri kelonggaran’



KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap dengan pendirian tidak membenarkan peniaga di Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota Setapak berniaga pada setiap Isnin dan Selasa, meskipun pada cuti sekolah.
Timbalan Pengarah (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, keputusan itu dibuat berikutan rungutan penduduk yang mahu bazar terbabit dipindahkan ke tempat lain.

“Kami sudah beri kelonggaran sebelum ini iaitu peniaga boleh meneruskan perniagaan kecuali pada Isnin dan Selasa, sedangkan permintaan penduduk mahukan bazar itu dipindahkan terus dari lokasi berkenaan.
“Namun mereka (peniaga) memohon melanjutkan tempoh perniagaan setiap hari sempena cuti sekolah, namun kami tidak luluskan kerana mengambil kira kepentingan penduduk,” katanya selepas majlis penutup Pertandingan Akhir Kejohanan Futsal Piala Pusingan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kejohanan Bola Jaring Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur di PPR Kerinchi, semalam. Mohd Amin Nordin juga berkata, DBKL mengenal pasti lokasi sesuai bagi memindahkan peniaga ini supaya mereka boleh meneruskan perniagaan setiap hari tanpa mengganggu kawasan penduduk.

“Tapak baru itu akan memberi kepuasan kepada peniaga dan menyelesaikan masalah penduduk di Danau Kota yang mendakwa bazar terbabit mengganggu keselesaan mereka sejak beroperasi tujuh tahun lalu,” katanya. — Bernama

6 berparang heret amah



KUALA LUMPUR: Satu keluarga kerugian RM150,000 selepas rumah mereka di Petaling, di sini, disamun enam lelaki bersenjatakan parang yang memanjat pagar rumah ketika amah menjemur pakaian jam 7 pagi, sebelum menyamun mangsa, Jumaat lalu.
Menurut sumber, belum sempat amah itu berbuat apa-apa, semua suspek sudah berada dalam rumah dan mengarahkannya mendiamkan diri.

“Ketika itu majikannya yang berada di bilik tidur dan tidak menyedari rumahnya dipecah masuk. Suspek mengheret amah itu ke tingkat atas dan mengurungnya bersama anak majikannya dalam bilik.
“Suspek masuk dalam bilik tidur utama dan mengarahkan pemilik menyerahkan wang tunai dan barangan berharga,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan menyerahkan jam tangan berharga serta membuka peti besi mengandungi wang tunai bernilai hampir RM40,000, barang kemas bernilai RM100,000, pelbagai jam tangan berjenama dan telefon bimbit.

Suspek melarikan diri tanpa mencederakan mangsa manakala mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az-Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Hari jadi berdarah



GEORGETOWN: Hari jadi berdarah. Itu yang dilalui seorang lelaki apabila ditikam dan ditetak sekumpulan 10 lelaki yang menyerangnya ketika mangsa menyambut hari lahir ke-24 di rumahnya, di sebuah flat, di Farlim, malam kelmarin.
Lebih menyedihkan, mangsa yang dikenali sebagai Vikinesraj ditetak dan ditikam di depan teman wanitanya sebelum kumpulan lelaki terbabit melarikan diri, jam 9.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa ditikam di perut serta tangannya ditetak kumpulan lelaki terbabit dan dia kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan teruk.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika mangsa turun ke tingkat bawah rumah untuk menjemput teman wanitanya yang datang kerana mahu bersama-sama menyambut majlis hari lahir lelaki itu.

“Bagaimanapun, ketika itu kumpulan lelaki terbabit sudah menunggu mangsa dan sejurus melihat kelibatnya, mereka menyerang dan mengamuk dengan menetak mangsa.

“Mangsa tidak berdaya melawan dan rebah. Kejadian itu dilihat teman wanitanya sebelum dia serta beberapa rakan menghubungi ambulans,” katanya.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit yang melihat mangsa rebah beredar menaiki lima motosikal dan mangsa kini masih dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan angkara dendam antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, setakat ini, polis sudah menahan seorang lelaki berusia 20-an dan merampas beberapa senjata tajam yang ditemui bersamanya.

Tak sempat joli

KANGAR: Seorang penjenayah yang memecah masuk rumah seorang pemilik kedai jahit bersama dua rakannya hanya mampu berjoli sakan seketika sebelum ditahan dalam tempoh 12 jam di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Ketil-Baling, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.
Pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 42 tahun itu berjaya menemui semula RM7,000 dalam sebuah beg, barang kemas, tiga telefon bimbit termasuk sebuah milik mangsa, wang tunai RM1,543 dalam poket seluar serta sepucuk pistol Colt .22 bersarung bersama tujuh butir peluru.

Sebelum itu, lelaki dari Padang Besar terbabit dikatakan memecah masuk rumah mangsa bersama dua rakannannya dengan bersenjatakan pistol dan pisau rambo dalam kejadian di Taman Utara Jejawi, Arau, dekat sini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya berkata, penjenayah memasuki rumah melalui tingkap sebelum mengejut dan mengugut mangsa dan isterinya. “Anak lelaki mangsa berusia 22 tahun yang menyedari kejadian itu cuba melawan menggunakan besi sebelum diugut akan ditembak jika membuat bising,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, di sini, semalam.
Nashir berkata, berdasarkan maklumat sepasukan anggota berjaya mengesan suspek sebelum menahannya ketika membuat transaksi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak, kira-kira jam 3.40 petang hari sama.

Toni lari ikut janda

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, kerap berlaku anak gadis tempatan dilarikan atau berkahwin tanpa kebenaran dengan lelaki Indonesia namun bagi Normarina Senin, 40, situasi agak berbeza apabila anak lelakinya gagal dikesan selepas berkahwin dengan seorang janda dari negara itu.
Normarina Senin, 40, berkata dalam usaha menjejak anaknya, Mohd Toni Muhammad, 22, dia mendapat tahu pemuda itu berkahwin dengan seorang janda dari Indonesia berusia 30-an menggunakan khidmat sindiket pernikahan haram dengan bayaran RM250.

Menurutnya, dia mengetahui anaknya berkahwin melalui sindiket berkenaan selepas dimaklumkan majikan wanita Indonesia itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
“Saya diberitahu anak saya berkahwin dengan wanita Indonesia itu pada 27 Oktober lalu di sebuah flat di Kepong. Dengan hanya membayar RM250 sindiket itu menguruskan perkahwinan anak saya dan saya sebagai ibunya langsung tidak tahu apa-apa.

“Saya diberitahu, sindiket itu menggunakan seorang jurunikah warga Indonesia manakala saksinya pula adalah lelaki tempatan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, sebaik mengetahui perkara itu dia terus membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 28 Oktober lalu.
Normarina berkata, susulan laporan yang dibuat, dia difahamkan Jawi cuba menahan anaknya serta wanita Indonesia itu untuk disoal siasat, namun kedua-duanya melarikan diri dan gagal dikesan hingga kini.

“Sudah puas saya menghubungi telefon bimbit anak saya, namun gagal. Berikutan itu, saya turut membuat laporan polis di Balai Polis Kepong pada 4 Ogos lalu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenan namun enggan mengulas lanjut.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul untuk berkahwin bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan sindiket pernikahan tidak bertauliah.

Sementara itu, Penasihat media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, perkahwinan pasangan itu tidak sah kerana mereka menggunakan jurunikah dan wali yang tidak sah.

Penjaga pub maut ditetak 10 lelaki



BATU PAHAT: Rutin harian seorang penjaga pub yang berehat sambil menikmati minuman bersama rakan di depan pub tempat dia bekerja berakhir tragedi, apabila maut ditetak 10 lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di pekan Yong Peng dekat sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, warga tempatan dikenali sebagai Pabu, 24, maut selepas ditetak dua kali di kepala, manakala pergelangan tangan kanannya putus dan tangan kirinya hancur ketika duduk berbual bersama tiga rakannya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian tiba-tiba mangsa didatangi dua kereta Perodua Myvi dan Proton Persona dinaiki lapan hingga 10 lelaki bersenjatakan parang.
Menurutnya, mangsa menyedari kehadiran dua kereta itu cuba melarikan diri, namun dikejar dan dikepung suspek sebelum menyerangnya menggunakan parang.

“Tiga lagi rakan mangsa yang cemas dengan kejadian terus melarikan diri dan tidak dikejar suspek.

“Mangsa yang mengalami pendarahan teruk selain tangan kanannya terputus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya, semalam.
Din berkata, semua suspek berusia 20-an hingga 30-an terus melarikan diri sejurus kejadian dan gerakan mengesan mereka giat dijalankan.

“Hasil siasatan awal kami percayai motif kejadian disebabkan dendam, namun siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan semua suspek dikenal pasti dan ditahan secepat mungkin.
“Kami percaya serangan ini sudah dirancang kerana suspek mengetahui mangsa bekerja di pub itu serta tahu waktu pub berkenaan tamat,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berasal dari Yong Peng dan sudah berkahwin, namun belum mempunyai anak.

“Kami memohon kerjasama orang awam dan saksi kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kejutan seminggu kahwin

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Suami memberitahu akan memberi kejutan selepas kami berumah tangga dan tinggal di rumah ibu mentua di Skudai namun saya terkejut apabila mendapati kejutan itu sebenarnya berita tahniah atas kelahiran anak sulungnya,” kata Aminah Abu, 21, semalam.
Menurutnya, lebih mendukacitakan berita itu diketahuinya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar seorang wanita kepada suaminya berusia 21 tahun ketika baru seminggu berumah tangga.

Aminah berkata, SMS itu membongkar rahsia suaminya, seorang jurukimpal bahawa dia sebenarnya berpoligami dan memalsukan statusnya yang mengaku bujang sebelum mereka bernikah.

Katanya, suaminya itu turut tergamak melangsungkan perkahwinan ketika isteri pertama sarat mengandung.

“Sejak mengetahui rahsianya itu, kehidupan kami berubah apabila suami sering menjadikan saya sebagai alat melepaskan geram.

4 sawa jadi ‘pengapit’

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

AMPANG: Empat ular sawa mengiringi perarakan sepasang pengantin baru pada majlis persandingan mereka di Kondominium Tiara Ampang, Jalan Ampang, di sini, semalam.
Kehadiran binatang itu memberi kelainan pada majlis perkahwinan Mohd Azrif Mohd Tarmizi, 25, dan pasangannya, Azzilah Samat, 25.

Selain ular sawa, turut dibawa pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu itu ialah seekor burung kakak tua.
Semua binatang itu dibawa dari ladang pembiakan haiwan eksotik milik keluarga berkenaan di Pangsun, Hulu Langat.

Azzilah ketika ditemui berkata, dia sengaja memilih tema itu untuk diabadikan sebagai kenangan terindah sepanjang hayat malah suaminya diberitahu pada saat-saat akhir.

“Suami mulanya agak kekok dan geli dengan ular, tetapi selepas dipaksa, dia akhirnya akur dan mula memberanikan diri memegang ular.
“Saya bersyukur kerana semua yang dirancang berjalan lancar sekali gus akan dikenang sepanjang hayat kami,” katanya yang merancang berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu.

Sebelum itu, pasangan mempelai yang memilih konsep Inggeris dan perkahwinan dalam taman diarak sanak saudara serta teman diiringi paluan kompang kira-kira 500 meter memasuki dewan utama.
Mohd Azrif ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan takut dan gugup bila memegang ular buat pertama kali.

“Saya sebenarnya tak takut ular, tapi geli. Bagaimanapun lepas dipaksa isteri dan sanak saudara, saya beranikan diri untuk memegang serta lilit di leher.

“Ini pengalaman pertama dan ia sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar Azzilah, Suzana Ghazali berkata, binatang eksotik itu dibawa bagi memenuhi impian persandingan pasangan berkenaan.

“Sebenarnya kami memilih perkahwinan berkonsepkan dalam taman dan Inggeris, malah perancangan ini dibuat setahun lalu.

“Bagaimanapun, saat akhir dia (Azzilah) nak lain daripada lain dan kami sekeluarga cuba memenuhi impiannya dengan binatang eksotik yang ternyata diterima mereka,” katanya.

Suzana berkata, ular yang dibawa itu jenis Ular Sawa Afrika dan Ular Sawa Burma.

Sementara itu, majlis turut diserikan dengan tarian dan acara memotong kek.

Pasangan rai hari bahagia dalam bas

PETALING JAYA: Tidak pernah dibuat orang, tetapi itu yang dilakukan seorang kakitangan RapidKL apabila meraikan perkahwinannya semalam dengan berarak dan disandingkan di dalam bas milik syarikatnya bekerja.
Norsahida Saharuddin, 25, kakitangan bahagian produk tiket memberitahu dia dan pasangannya, Johari Rosli, 25, teringin diarak menaiki bas RapidKL, malah menyifatkannya sebagai suatu yang paling diingati.

“Saya mahu kenangan manis pada majlis perkahwinan dan suatu yang diingati selalu, justeru memilih bas RapidKL kerana ia paling dekat dengan diri saya. “Saya berkhidmat dengan syarikat menguruskan bas awam ini jadi ambil keputusan diarak dan bersanding dalam bas ini. Keluarga tidak membantah dan suami anggota tentera juga bersetuju.
“Kalau diikutkan kami mahu bersanding dalam LRT (transit aliran ringan) tapi tiada di Kota Damansara. Jadi saya gantikan dengan bas, asalkan ia ada kena-mengena dengan syarikat tempat saya bekerja,” katanya.

Norsahida berkata, dia memilih konsep ala cerita dongeng sebagai tema majlisnya dan gembira apabila syarikatnya turut sama menyokong dengan menghias bas berkenaan sewajarnya.

Kira-kira 2,000 tetamu undangan hadir meraikan majlis raja sehari terbabit, tidak terkecuali perarakan motosikal antik.

Tak ubah dasar

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Kita melihat isu ini daripada sudut moral dan bagaimana ia boleh meruntuhkan rumah tangga seseorang tidak kira orang Islam atau tidak.
“Kita ada banyak kes yang dimaklumkan, apabila lelaki sanggup tinggalkan rumah untuk mendapatkan khidmat wanita di salun,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau mengulas mengenai isu membabitkan seorang pengurus sebuah salun rambut di bandar ini, yang mendakwa disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.
Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik salun menghadapi perkara sama.

Takiyuddin menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang pihak berkuasa di Kelantan ini adalah mengikut jantina dan bukannya terpakai bagi agama tertentu sama ada Islam atau sebaliknya.

Katanya, dasar pengasingan jantina sudah lama dilakukan dengan mengguna pakai Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut Pendandan Rambut Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986.
“Kita tidak akan mengubah dasar kita dan harap pihak terbabit faham. Sehingga kini kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen bagi kedai gunting rambut uniseks. Masalah sama ada wujud atau tidak, itu masalah lain.

“Jika ada, maknanya dia sudah melanggar syarat kerana hanya kedai gunting rambut wanita untuk wanita manakala lelaki untuk lelaki saja,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Takiyuddin menafikan tindakan yang diambil terhadap pengurus salun itu bersifat penganiayaan kepada orang bukan Islam.

“Kita bimbang mengenai kegiatan lain dilakukan di kedai gunting rambut yang membabitkan isu moral seperti GRO (pelayan pelanggan), tempat urut dan pelacuran.

“Kita tidak mahu perkara itu berlaku walaupun hanya menjalankan kedai gunting. Kita bimbang ia akan melakukan lebih daripada itu,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh, berhubung isu itu yang mahu perkara sebenar dijelaskan semalam, Takiyuddin berkata, sebagai peguam, Karpal sepatutnya meneliti undang-undang berkenaan.

‘Kenapa kau tinggal aku’

Oleh Aininulniza Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
KANGAR: Seorang pembantu kedai makan lebam di mata kiri, selain bengkak pada rusuk kiri akibat ditumbuk dan ditendanng.
Kepalanya turut dipukul dengan topi keledar oleh seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak puas hati terhadap mangsa dalam kejadian di Kampung Tok Kaya.

Kejadian berlaku jam 9 malam Khamis lalu apabila mangsa, Nor Shazwani Mat Isa, 22, dari Kuala Perlis, terserempak dengan remaja lelaki berusia 21 tahun terbabit lalu bertanya punca dia ditinggalkan di kawasan sunyi, kira-kira dua bulan lalu.

Tindakan mangsa menyebabkan suspek naik angin dan membelasah gadis itu.

Nor Shazwani berkata, sebelum kejadian, dia bersama seorang rakan lelaki ke Kampung Tok Kaya untuk menemui rakan mereka sebelum terserempak dengan remaja itu yang kebetulan turut berada di kawasan itu bersama lima rakan lain.

Belasah isteri lewat sedia sarapan



KUALA LUMPUR: Hanya lewat disediakan sarapan disebabkan tepung habis, seorang isteri dibelasah suaminya di rumah mereka di Cheras, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, suami yang berusia 30-an ingin bersarapan sebelum ke tempat kerja, namun hampa selepas mendapati tiada makanan dihidangkan.

Menurut sumber, dia memanggil isteri berusia 29 tahun yang berada di dalam bilik, namun tidak disahut wanita terbabit menyebabkan dia naik angin dan terus masuk ke dalam bilik tidur mereka.
“Dia memarahi isterinya kerana tidak menyediakan sarapan, namun apabila diberitahu tepung habis menyebabkan isterinya tidak dapat membuat kuih lelaki itu enggan menerima alasan itu,” katanya.

Sumber berkata, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek gagal mengawal kemarahan menumbuk muka mangsa beberapa kali.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pudu.

Kereta curi depan hotel

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Selepas hampir dua bulan diburu polis, seorang lelaki yang juga rakan kepada ketua penjenayah, Zawa Abdul Halim, 34, yang ditembak mati pada 31 Oktober lalu selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Kilometer 45, Kampung Kemuning, Machang, diberkas, kelmarin.
Lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Kangkung, Pasir Mas itu ditahan bersama seorang wanita berusia 20-an dipercayai isterinya dan seorang bayi lima bulan ketika keluar dari sebuah hotel bajet di bandar ini pada jam 8 pagi.

Suspek dikesan terbabit dengan lima kes tembakan di beberapa daerah di negeri ini hampir dua bulan lalu termasuk kes menembak anggota polis, Lans Koperal Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, sehingga parah di Kampung Paloh, Gua Musang pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, semua kes dikaitkan dengan suspek membabitkan kegiatan samun bersenjata di Pengkalan Chepa, Gua Musang, Bachok, Pasir Mas dan di sebuah pasar raya di Kota Bharu.

Katanya, ketika melakukan tugas Ops Api pada jam 4.30 pagi kelmarin, anggota polis menemui sebuah Proton Wira menggunakan nombor pendaftaran palsu diletakkan di hadapan hotel bajet itu.

Empat suspek ditahan



KLANG: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui di tepi gelongsor padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, semua suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Klang, malam kelmarin.

“Suspek ditahan di sekitar kawasan Taman Sentosa dan Bukit Tinggi iaitu dua daripada suspek ditahan di rumah masing-masing, manakala dua lagi ditahan ketika sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.
“Semua lelaki terbabit ditahan sekitar jam 10 malam kelmarin hingga jam 1 pagi dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, sebahagian daripada suspek ialah rakan mangsa dan direman bermula semalam sehingga 1 Disember bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Metro Ahad semalam melaporkan mangsa, T Sivanesan, 32, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian punggung selain kesan cedera di belakang kepala akibat dipukul dengan objek tumpul.
Menurut isteri mangsa, Logeswari, 20-an, suaminya keluar untuk minum bersama empat rakannya kira-kira jam 2 pagi di sebuah restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu.

Sebelum kejadian jam 3 pagi itu, mangsa dipercayai bergaduh di restoran dan melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak sebelum dipukul serta dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelongsor sehingga mati.

‘Lima orang minyak’ perkosa remaja



KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menempuh detik hitam apabila dirogol bergilir-gilir sekumpulan lima lelaki digelar sebagai Geng Orang Minyak di rumahnya di Sungai Kapar, di Klang, dekat sini, kelmarin.
Kumpulan lelaki berusia 30-an itu yang bersenjatakan pisau dikesan aktif melakukan pecah rumah dan samun, selain merogol mangsa jika tidak berpuas hati dengan hasil samun.

Dalam kejadian terbaru jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan dirogol selepas penjenayah terbabit gagal menemui barangan berharga biarpun menggeledah rumah berkenaan lebih 20 minit.
Sumber itu berkata, sebelum kejadian, mangsa tidur di bilik di rumahnya dan terjaga apabila dikejutkan lima lelaki tidak dikenalinya.

“Seorang daripada penjenayah meletakkan pisau di leher mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan barang berharga,” katanya.

Tak usah pilih lokasi

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Budaya masyarakat Islam di negara ini yang terlalu ‘memilih’ lokasi untuk bersolat menyebabkan mereka lebih gemar menjadikan surau dan masjid sebagai tempat ‘wajib’ untuk beribadah sedangkan rukun Islam kedua itu boleh dilaksanakan di mana saja.
Ketua Fasilitator Kem Ibadah Masjid Negara, M K Fuad Che Ab Razak berkata, tidak biasa dengan budaya solat di mana saja menyebabkan ada di kalangan mereka yang sanggup beratur panjang untuk menunggu giliran di surau yang kecil.

“Cuma yang menjadi masalahnya, budaya kita bila nak solat, kita perlu mencari tempat khusus seperti surau serta masjid dan bila sudah mendapat kedua-duanya, kita cari pula sejadah untuk melakukan ibadat sedangkan kita boleh solat di mana saja.
“Di kebanyakan tempat seperti pusat beli-belah dan pusat rehat dan rawat (R&R), orang kita sanggup beratur panjang untuk solat di tempat kecil, walhal mereka boleh solat di mana-mana dengan beralaskan kain atau surat khabar dan mengetahui arah kiblat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program Kem Ibadah Remaja Siri 2/2012 sempena cuti persekolahan anjuran Masjid Negara di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara, Jalan Perdana di sini, semalam.

Kem yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam itu bermatlamat menyuntik pendekatan berbeza ke dalam program berbentuk kerohanian, pembinaan sahsiah dan kecemerlangan akademik supaya menjadi lebih mesra remaja dan menarik golongan sasar.
Pada majlis berkenaan, seramai 145 peserta menerima sijil penyertaan daripada Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni sebagai simbolik graduasi mereka dalam program kendalian AsasInsan Resouse & Training (AsasInsan).

Fuad berkata, tidak menjadi masalah kepada umat Islam di negara ini untuk menyegerakan kewajipan bersolat dengan melaksanakannya di mana-mana, apatah lagi bumi Allah begitu luas dan suci untuk menunaikan solat.

90 kali bedah untuk tampan



BENTUK tubuh yang penuh dengan implan. Gambar kecil, anak patung Ken yang menjadi tiruan Jedlica.
BENTUK tubuh yang penuh dengan implan. Gambar kecil, anak patung Ken yang menjadi tiruan Jedlica.
NEW YORK: Justin Jedlica sudah menjalani 90 pembedahan plastik untuk mendapatkan susuk tubuh yang sempurna.
Lelaki berusia 32 tahun ini sudah membelanjakan lebih RM300,000 sepanjang 10 tahun lalu dalam usaha untuk kelihatan seperti anak patung hidup.

Dengan mukanya yang cantik, dia memiliki bentuk tubuh seperti GI Joe, lengkap dengan perut berulas dan lengan berotot, semuanya diperoleh tanpa mengangkat berat atau bersenam di gym.
Seperti anak patung plastik, semua ototnya adalah palsu. Hampir setiap inci bahagian atas tubuhnya diltiupi dengan implan, lapor ABC News.

Selain itu, Justin juga menjalani pelbagai pembedahan hidung, pipi, tulang kening serta bibir untuk mendapatkan muka yang sempurna.

Malah, pinggulnya yang tegang juga palsu, hasil kerja pakar bedah yang memberinya implan pinggul.
Jedlica mengaku dia boleh melakukan senaman untuk mendapatkan bentuk tubuh seperti itu tetapi enggan melakukan aktiviti itu yang disifatkannya sebagai tidak menarik dan tidak glamor.

Ketaksubannya dengan penampilan itu bermula ketika berusia belasan tahun apabila dia tidak sukakan saiz hidungnya yang dianggap terlalu besar.
Dia melakukan lima pembedahan untuk mendapatkan hidung yang ideal.

Bagaimanapun, menurut Jedlica, dia masih belum 100 peratus berpuas hati dengannya, sambil menunjukkan kepada wartawan keadaan hidung yang diingininya.

Dari hidung, dia melakukan pembedahan untuk mencantikkan pinggul, dada dan kemudian lengan.

Jedlica berkata, dia tidak melihat sebarang alasan untuk menghentikan ketaksubannya terhadap pembedahan plastik.

Katanya, pembedahan pertama hidungnya adalah satu keperluan sementara yang lain hanya kemahuannya saja. - DM

Gangnam Style catat rekod tontonan di Youtube



SEOUL: Video ‘Gangnam Style’ oleh sensasi pop Korea Selatan, Psy, semalam menjadi video paling banyak ditonton di YouTube.
Video berkenaan mencatatkan lebih 805 juta tontonan. mengalahkan ‘Baby’ oleh penyanyi remaja dari Kanada, Justin Bieber.

Penyanyi berusia 34 tahun itu menjadi terkenal sejak ‘Gangnam Style,’ yang menyaksikan dia melakukan tarian kuda, mendapat sambutan hangat sejak diterbitkan pada Julai lalu.

Sehingga petang kelmarin, video muzik itu mengumpulkan catatan 805 juta tontonan, berbanding ‘Baby’ yang mencatatkan 803 juta.

YouTube berkata, video itu ‘mendapat sambutan di peringkat global yang tidak pernah kami saksikan sebelum ini.

“Setiap hari, ‘Gangnam Style’ ditonton antara tujuh hingga 10 juta kali berbanding 350,000 hingga 500,000 untuk Baby,” kata Kevin Allocca, Pengurus Trend Youtube, dalam blognya.

‘Gangnam Style’ mencatatkan rekod itu hanya dalam masa empat bulan.

Lagu Psy yang menceritakan mengenai kawasan kediaman elit di Seoul, menduduki carta muzik teratas di Britain ke Australia dan menjadi sebutan orang kenamaan, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Sementara itu, populariti Psy yang nama sebenarnya Park Jae-Sang terus meningkat dengan mendapat penghormatan dalam industri muzik awal bulan ini apabila membuat persembahan bersama ikon pop, Madonna di konsertnya di Madison Square Garden, New York.

Dalam wawancara dengan CNN baru-baru ini, Psy mendedahkan rancangan untuk menerbitkan lagu terbaru dengan lirik berbahasa Inggeris dan Korea. - AFP

Polis serbu klinik gugur janin, 3 ditahan



PATTAYA: Polis semalam menahan tiga orang dalam serbuan di klinik pengguguran janin di Pattaya. Mayat janin perempuan berusia kira-kira lima bulan yang baru digugurkan oleh seorang wanita berusia 20 tahun turut ditemui di klinik itu.
Polis menahan Arkhom Sarnmano, 31, seorang pemandu teksi motosikal yang membawa wanita itu ke klinik, di mana dia dikatakan diupah untuk membawa ramai wanita mengandung untuk menjalani pengguguran.

Turut ditahan, Jitra Masiyapak, 21, penyambut tetamu klinik itu dan Somjai Buasaen, 45, yang disyaki melakukan pengguguran janin untuk wanita itu. Janin itu ditemui dalam plastik hitam berdekatan.

Somjai dilaporkan mengaku telah membuka klinik itu bertahun-tahun lamanya dan telah ditangkap empat kali. Dia dilepaskan dengan ikat jamin dan membuka semula klinik itu kerana dia memperoleh pendapatan tinggi daripada kerjanya itu.

Setiap pengguguran janin dikenakan bayaran sekurang-kurangnya 10,000 baht (RM996).

Polis berkata, pemilik sebenar klinik itu adalah Charnwit Sattayaprasert, seorang doktor yang melarikan diri dari waran tangkap. - BP

Pengarang letak jawatan kerana siar gambar Kate



DUBLIN: Pengarang akhbar Irish Daily Star meletak jawatan berikutan penerbitan kontroversi gambar separuh bogel Duchess of Cambridge, Kate Middleton.
Michael O’Kane digantung tugas pada September sementara siasatan dalaman dilakukan berhubung keputusan tabloid itu untuk menyiarkan gambar Kate dan Putera William berjemur ketika bercuti di Perancis.

Dalam satu kenyataan semalam, akhbar itu berkata: “Penerbitan gambar itu pada 15 September mencetuskan isu dengan pemegang saham Independent Star Limited.

“Setelah menimbang isu itu, O’Kane mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengarang serta-merta.”

Taikun media, Richard Desmond, pemilik kumpulan Northern and Shell yang memiliki akhbar itu bersama-sama Independent News and Media dari Ireland, sebelum ini mengancam untuk menutup operasi di Dublin.

Bagaimanapun, sumber semalam berkata, pemilik saham bekerjasama untuk meningkatkan masa depan akhbar berkenaan yang mempunyai 120 pekerja.

Setakat ini, tidak ada perubahan mengenai usahasama yang dijalinkan sejak 25 tahun lalu selepas perletakan jawatan O'Kane.

Satu sumber lain berkata, perubahan akan dilakukan pada masa depan tetapi persetujuan mengenainya masih belum dicapai.

Sumber lain pula berkata, tidak ada perkembangan mengenai gesaan supaya menutup akhbar itu.

September lalu, Desmond berkata, dia begitu marah terhadap keputusan untuk menyiarkan gambar berkenaan dan mengambil langkah serta-merta bagi mengakhiri usahasama itu.

Independent News dan Media berkata, O'Kane sentiasa bertindak profesional dan bersesuaian untuk kepentingan akhbar itu. - DM

No comments:

Post a Comment