Monday, November 26, 2012

HIDUP HANYA SEKALI DIDUNIA NI...KEJAHATAN KITA AKAN ALLAH BALAS...ELOK JADI MANUSIA YANG MULIA DAN BAIK HATI BUKAN JAHAT SERTA ZALIM

Pendatang Yahudi Menyerang, Memusnahkan Tanah Pertanian Rakyat Palestin.

Posted on the November 26th, 2012 under Luar Negara by admin
NABLUS – pendatang Yahudi menyerang perkampungan Qasra, di selatan bandar Nablus dan memusnahkan kawasan tanah pertanian yang luas, kata sumber tempatan.
Ghassan Daghlas, orang yang bertanggungjawab memantau aktiviti penyelesaian di utara Tebing Barat, berkata pada hari Ahad bahawa pendatang-pendatang dari pelbagai kawasan penempatan yang ditubuhkan di atas tanah kampung, telah menyerang kampung tersebut pada hari Sabtu.
Beliau berkata bahawa mereka merobohkan tembok-tembok yang dibina oleh petani yang melindungi kawasan tanah mereka di kampung tersebut, sambil menambah bahawa para petani telah berusaha membina tembok tersebut lima bulan yang lalu.

Daghlas menambah lagi bahawa tentera Israel telah menahan seorang lelaki tua di kampung tersebut yang cuba untuk menentang peneroka.
Sumber: Palestine News Network | Terjemahan: Ummu Najla (Sukarelawan AP)

Israel Membina Lokasi Pelancongan Yahudi Di Selatan Masjidil Aqsa

Posted on the November 26th, 2012 under Luar Negara by admin
Kawasan penduduk JERUSALEM, (PIC) – parti gabungan “Guided by Jerusalem” berkata, Pihak Berkuasa Tempatan Israel (IOA) memutuskan untuk memulakan pembinaan tapak pelancongan Yahudi bersebelahan dengan tembok selatan Masjid Al-Aqsa (kejiranan Al-Maghariba) di atas 22 dunum bidang tanah.
Mereka menjelaskan lagi bahawa pelan pembinaan projek ini telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Israel pada Disember 2011.
Ketua pakatan tersebut, Abdulrazek Walid berkata pelan itu termasuk pembinaan sebuah pusat untuk pengunjung, tempat mandian awam, pejabat pentadbiran, tempat letak kereta, laluan taman, restoran, sebuah muzium dan banyak kemudahan riadah yang lain serta perkhidmatan pelancongan.

Abdulrazek juga menyatakan bahawa IOA akan merampas mana-mana tanah milik rakyat Palestin bagi projek berkenaan.
Bagi pihaknya, kesatuan dalam bidang penyelidikan, gabungan “Guided of Jerusalem”, berkata pelan ini sebenarnya bertujuan untuk memperluaskan kawasan tembok Al-Buraq (Tembok Ratapan).
Ahmed Sablaban, seorang pakar penyelidik berkata, sebelum 1967, kawasan tembok Al-Buraq adalah sebuah kawasan kejiranan penduduk Palestin yang dipanggil Al-Maghariba, tetapi entiti Israel telah memusnahkan sepenuhnya ketika aktiviti pendudukan mereka di Kota Suci dan menukarnya menjadi tapak milik Yahudi yang dikenali sebagai Tembok Ratapan.
Beliau juga berkata bahawa IOA akan meluaskan kawasan Davidson Center berhampiran Masjid Al-Aqsa dan akan mempergiatkan lagi aktiviti penggalian di dalam kawasan tinggalan Kerajaan Umayyah dan Istana Kerajaan Bani Abbasiyah.
Sumber: The Palestinian Information Center | Terjemahan: Ummu Najla (Sukarelawan AP)

Sumpah Ariel Sharon: “Saya Akan Bakar Setiap Bayi Dilahirkan Di Palestin!”

Posted on the November 26th, 2012 under Luar Negara by admin
“Saya bersumpah, saya akan bakar setiap bayi dilahirkan di Palestin. Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan…”
Inilah sumpah janji Ariel Sharon pada 1956. Daripada ucapannya ini, tahulah kita kenapa Israel sehingga hari ini sengaja sasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin.
Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Ariel Sharon. Menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Bagi Israel, ancaman kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding pemuda dewasa. Betapa tidak, di usia masih muda, kanak-kanak Palestin sudah ramai mampu menghafal al-Quran. Perkara ini menjadi momok luar biasa menakutkan Israel. Mereka menilai kanak-kanak generasi penerus perjuangan Palestin yang akan menentang berdirinya negara Zionis Israel.
“Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (H.R Bukhari dan Muslim).
Ariel Sharon kini masih koma dan tidak sedarkan diri sejak diserang angin ahmar pada 4 Januari 2006. Dia adalah bekas Perdana Menteri Israel
Bagi umat Islam, antara sesama Muslim ibarat satu tubuh. Jika satu disakiti, maka yang lain juga menderita. Dan bagi sesama manusia pula, tidak kira bangsa dan agama, jika ada nilai kemanusiaan yang tulen, derita orang lain, setidaknya ada rasa kasihan terdetik di jiwa.
Jadi, sudah tentu menjadi kewajiban kita semua membantu segenap warga Palestin yang ditimpa musibah dan bencana akibat sumpah kerakusan Zionis Israel yang mahu melenyapkan anak-anak Palestin di negara kiblat pertama itu.
Bantuan boleh kita berikan dengan doa yang khusyuk kepada ALLAH, meminta kepada-NYA agar saudara kita diberi kekuatan hati dan sentiasa dalam lindungan-NYA; memberi sumbangan berupa wang dan sokongan moral serta sumbangan lain yang mereka perlukan.
Mari kita kikis sifat acuh kita agar peduli kepada saudara-saudara kita di Palestin. Ketika ini, kita mungkin asyik duduk di ruang berhawa dingin, menonton rancangan TV kegemaran dan bergurau senda dengan keluarga.
Sementara di Gaza, mereka berteduh di rumah bocor atap dan dindingnya; meratap di katil hospital menanggung sakit, berjaga-jaga menunggu serangan Israel yang entah bila benar-benar berakhir.
Menyumbanglah. Hulurkanlah derma menerusi Tabung Kemanusiaan Gaza-Sinar Harian, ke akaun Maybank, Sinar Karangkraf, 506164-019988. Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Sinar Harian, Wan Norhasfiza Megat Hussain 03-51013820.
Sebelum ini, sumbangan pertama daripada Yayasan Nur Karangkraf RM50,000 diserahkan kepada Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut bagi membeli ubat-ubatan untuk dihantar ke Gaza.
MyNEWSHUB

Israel Sekat Kebebasan Beribadah

Posted on the November 26th, 2012 under Luar Negara by admin
JAJAHAN BAITULMAQDIS, (PIC)– Polis Israel menghalang jemaah berusia bawah daripada 40 tahun untuk memasuki masjid suci Aqsa pada hari Jumaat dan mengepung kota suci tersebut.
Polis Israil menempatkan beribu-ribu anggotanya di laluan masuk ke kota tersebut dan Masjid Aqsa sebagai tambahan kepada anggota-anggota yang ditempatkan di lorong dan kawasan pinggiran yang secara virtualnya menukar kota suci tersebut kepada penempatan askar tertutup.
Anggota polis memeriksa pengenalan diri kesemua penduduk Palestin yang ingin masuk ke kota tersebut untuk berjemaah pada hari Jumaat, mereka menghalang penduduk berumur bawah 40 tahun daripada masuk buat minggu kedua berturut-turut.

Sheikh Ekrerma Sabri, khatib Jumaat (pengkhutbah) di Masjid Aqsa, mengencam tindakan Israil, mendakwanya sebagai pencabulan terhadap kebebasan beribadah dan hak asasi manusia.
Beliau berkata tiada negara di dalam dunia ini yang menetapkan usia bagi mereka yang ingin beribadah di tempat-tempat ibadah.
Sumber: The Palestinian Information Center   |   Terjemahan: Seri Wani (Sukarelawan AP)

Sheikh Salah: Keganasan Ke Atas Gaza Adalah Permulaan Kehancuran Penjajah

Posted on the November 26th, 2012 under Luar Negara by admin
JAJAHAN BAITULMAQDIS, (PIC)– Ketua pergerakan Islam di Jajahan Palestin 1948, Sheikh Raed Salah berkata bahawa perang terbaru yang dilancarkan oleh Israil ke atas Semenanjung Gaza adalah permulaan kehancuran penjajah tersebut.
Sheikh Salah berkata sewaktu siding akhbar pada petang Khamis di Baitulmaqdis bahawa perjanjian genjatan senjata yang telah dicapai secara jelas memperkatakan tentang penamatan sekatan ke atas Semenanjung Gaza. Ini bermakan semua ancaman penjajah untuk mendera Gaza tinggal ilusi sebaik sekatan tersebut mulai hapus sebagai persediaan untuk mengasaskan Negara Palestin yang bebas dan merdeka, kata ketua pergerakan Islam tersebut.
Beliau berkata ”Semenanjung Gaza telah bertukar menjadi tempat pertemuan semua ketua-ketua rasmi Islam dan Arab. Senarai mereka yang telah dan akan melawat Gaza amat panjang, membuktikan bahawa Gaza telah mencapai kuasa memilih dalaman dan luarannya, pengakhiran penjajahan menjadi hampir”.

Ketua Palestin tersebut mengingatkan bahawa kemenangan Gaza dalam perang 2008-2009, keteguhan orang-orang Palestin dan kebangkitannya telah membawa kepada Kebangkitan Arab, menegaskan kemenangan terbaru turut akan membawa kepada tercapainya penyatuan posisi Arab dan Islam, yang mana akan bermula dengan perdamaian Palestin menuju kepada pembebasan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.
Sumber: The Palestinian Information Center | Terjemahan: Seri Wani (Sukarelawan AP)

Bekas lesbian takut dilaknat

Posted on the November 26th, 2012 under Agama,Tempatan by admin
SAYA bekas siswazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Ketika melanjutkan pengajian saya berkenalan dengan B yang belajar di institusi sama, tapi berlainan kursus. B rakan serumah saya dan kami menetap di asrama yang sama. Malah, kami menjadi kawan karib.
Kami berpisah apabila saya tamat belajar. Ketika persahabatan kami terjalin, boleh dikatakan semua aktiviti kami buat bersama seperti pergi ke kelas, belajar, memasak, keluar bersiar selain berkongsi masalah. Saya begitu mengambil berat perihal B begitu juga sebaliknya.
Dalam tempoh persahabatan itu, kami menyalahgunakan erti persahabatan. Kami melakukan aktiviti yang dilaknat Tuhan. Pada awalnya kami hanya melakukan aktiviti ringan saja seperti bercumbu, namun lama kelamaan semakin selesa dengannya selain tidak menganggap ia sebagai satu dosa. Akhirnya kami terlanjur dan menjadi pasangan lesbian.

Ada ketika saya rasa menyesal dan berdosa, tapi apabila bersama B di asrama, perasaan itu hilang entah ke mana. Disebabkan itu kami berterusan dan selesa melakukan perbuatan terkutuk itu.
Saya pernah beritahu B, perbuatan kami lakukan ini adalah berdosa, tapi B hanya menjawab dia sayangkan saya sebab itu dia merelakan perbuatan terkutuk itu.
Apabila saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat, saya mengambil peluang yang ada untuk menjauhkan diri. Saya juga tidak lagi menetap di asrama dan duduk menyewa. Saya menghilangkan diri daripada B dan juga dari rakan serumah yang lain. Saya berasa sedikit lega apabila tidak lagi berhubung dan berjumpa dengannya.
Hingga hari ini, saya masih dibelenggu dosa yang pernah dilakukan. Saya selalu bermimpi yang menakutkan dan dalam sebulan boleh dikatakan tiga atau empat kali bermimpi melakukan maksiat dengan B. Saya sering diserang rasa berdosa, menyesal dan takut Allah tidak dapat mengampunkan dosa saya, takut nabi tidak mengaku saya umatnya di akhirat, malah takut tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa saya di akhirat kelak.
Awal tahun lepas, saya berusaha untuk mencari B. Tujuan saya mencarinya hanya untuk memohon kemaafan atas perkara yang kami lakukan. Saya berjaya menemui akaun Facebook B. Saya hantarkan pesanan dan memberitahu segala permasalahan yang sering membelenggu diri saya selain rasa bersalah dan menyesal.
Tapi malangnya, B hanya menjawab dia hanya memaafkan saya bila tiba waktunya.
Fikiran saya terganggu akibat daripada maklum balas yang diberikan padahal ketika sama-sama menetap di asrama dulu, B juga merelakan segalanya.
Saya runsing dengan keadaan diri saya sekarang. Saya betul-betul menyesal dengan apa yang terjadi dulu, menyesal dengan dosa yang saya lakukan.
Dr bantulah saya untuk menguatkan kembali keyakinan diri bagi menempuh hidup ini. Saya ingin menjadi anak yang solehah untuk ibu bapa saya. Saya ingin menjadi umat terbaik dan hamba Allah yang diredai. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
Insan kebingungan,
Perak
DR sesungguhnya amat gembira mendengar adik ingin berubah ke arah yang positif.
Keinginan adik untuk bertaubat amat disukai dan diredai Allah seperti mana firman-Nya “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.” (QS. Al Baqarah: 222)
Secara psikologinya, apabila hubungan persahabatan bertukar menjadi terlalu intim, ia boleh mewujudkan satu bentuk perhubungan yang membabitkan keinginan dan naluri seksual. Ini berlaku apabila desakan ingin disayangi, dihargai dan cinta diterjemahkan dalam manifestasi perlakuan yang boleh mendatangkan unsur keseronokan. Unsur keseronokan ini boleh berlaku dalam bentuk melakukan hubungan maksiat.
Malah, unsur keseronokan adik dan B boleh berterusan sekiranya tiada pihak yang mahu ambil inisiatif untuk berubah. Dalam konteks adik, Dr ingin mengucapkan tahniah kerana adik sudah berusaha untuk tidak terus berada dalam kesesatan.
Kebiasaannya, pihak yang ingin memberhentikan sesuatu tingkah laku bersalah pasti merasa menyesal. Seperti mana adik, rasa sesalan ini terbawa-bawa dalam aktiviti harian termasuk dalam mimpi dan tidur.
Apabila adik tidak lagi melakukan maksiat dengan B secara realitinya, keinginan seksual itu ada kalanya terjelma dalam mimpi adik. Perkara ini lama kelamaan pasti hilang.
Dr juga harap adik tidak menggunakan alasan B yang sukar memaafkan adik ketika ini sebagai helah bela diri untuk adik terus merasa bersalah. Adik sudah berusaha untuk memohon maaf darinya. Jika B masih tidak dapat memaafkan segala apa yang berlaku antara kalian berdua, itu masalah dirinya. Apa yang lebih penting adalah adik tidak lagi melakukan perkara terkutuk itu dan memohon keampunan Allah.
Adik juga memerlukan kekuatan untuk mengembalikan keyakinan diri dalam menempuh kehidupan berliku ini. Dr gembira dan melihat adik mempunyai potensi diri untuk menjadi anak solehah buat kedua ibu bapa. Dr juga yakin adik mempunyai kekuatan menjadi umat terbaik Rasulullah dan menjadi hamba Allah yang diredai.
Allah itu Maha Pengampun. Allah berfirman: “Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)
Ayat di atas pastinya membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakukan kesalahan. Meskipun dosa mereka sudah mencapai hujung langit sekali pun. Adik belum terlambat untuk bertaubat.
Banyak keutamaan bagi orang yang bertaubat. Di antara keutamaan orang-orang yang bertaubat adalah: Allah menugaskan malaikat muqarrabin untuk beristighfar bagi mereka dan berdoa kepada Allah supaya Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Selain memasukkan mereka ke dalam syurga. Menyelamatkan mereka dari keburukan. Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, padahal malaikat sibuk dengan mereka di langit.
Allah berfirman: “(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta meminta ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): … dan itulah kemenangan yang besar.” (QS.Ghaafir: 7-9).
(http://triatmojo.wordpress.com/2007/03/26/ayat-ayat-al-quran-tentang-taubat).
Semoga yang terbaik menjadi milik adik. Dr doakan adik menjadi wanita dan anak yang solehah serta umat terbaik untuk Rasulullah selain hamba yang sentiasa diredhai-Nya.
Harian Metro

 

Dr Asri: Doa kehancuran dibolehkan jika dizalimi

Posted on the November 26th, 2012 under Tempatan by admin
Mohd Asri (berdiri, dua kiri) berbincang sesuatu dengan peserta kembara sebelum meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, semalam.
KOTA BHARU – Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta.
“Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno.
“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?
“Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu doa kehancuran yang dibacakan adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat sempena muktamar tahunan parti itu minggu lalu.
Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).
Bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan pendekatan doa tersebut yang dilihat keluar dari kesantunan, Asri berkata, ia sepatutnya mengikut adab- adab berdoa dan mengetepikan rasa amarah.
“Kadang-kadang tak nampak macam doa, dari segi adab-adab yang lain seperti terlalu menjerit, nampak macam terkeluar dari kesantunannya, kita boleh berdoa kepada orang yang menzalimi, bukan doa kerana marah perbezaan parti, tetapi doa kerana kezaliman,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ulama Umno, Asri berkata, parti itu memerlukan suatu panduan untuk memandu pergerakan dan perjuangannya, dan satu majlis yang terdiri daripada golongan ulama perlu diwujudkan.
“Pas sebenarnya antara benda yang meletakkan kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah Majlis Syura Ulama yang memandunya dalam banyak perkara,” katanya.
“Ulama tidak semestinya menjadi pemimpin atau presiden, jadi ahli dewan yang memandu, itu perlu diambil kira supaya Umno juga ada pemandu dari satu majlis yang bukan untuk mempolitikkan agama tetapi membimbingnya supaya semua parti dikawal oleh elemen agama,” katanya.
Sinar

No comments:

Post a Comment