Israel cabul gencatan senjata
|
BANDAR GAZA - Seorang penduduk Palestin ditembak mati oleh anggota tentera Israel di sempadan Gaza semalam, kata beberapa pegawai kesihatan.
Menurut mereka, 15 orang lagi cedera dalam kejadian tersebut yang berlaku selepas gencatan senjata antara pergerakan Hamas dan Israel dipersetujui pada Rabu lalu.
Gencatan senjata itu dipersetujui selepas Israel melancarkan serangan udara dan laut di Gaza selama lapan hari bagi membalas serangan roket para pejuang Hamas.
Seorang jurucakap Hamas menuduh Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Mesir itu.
Beberapa pegawai kesihatan menyatakan, penduduk Palestin yang terbunuh itu, Anwar Odeih, 23, terkena tembakan di kepala selepas dia mendekati pagar keselamatan di sempadan Gaza.
"Anwar hanya cuba untuk meletakkan bendera Hamas di pagar itu," kata seorang saudara lelaki tersebut. - Agensi
Lanun Indonesia rampas kapal Malaysia
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa Vietnam menangkap 11 orang disyaki lanun Indonesia kerana merampas sebuah kapal tangki yang membawa bahan kimia milik Malaysia ke Borneo, kata Biro Maritim Antarabangsa semalam.
Menurut ketua biro itu, Noel Choong, kapal tersebut terputus hubungan pada minggu lalu selepas meninggalkan negeri Johor.
Kapal tersebut dipercayai diserang di Laut China Selatan.
Pihak berkuasa Vietnam berjaya memintas kapal tangki itu kelmarin dan menangkap 11 suspek.
Lanun itu turut menukar nama kapal berkenaan dan mengibarkan bendera Honduras.
Anak kapal itu terdiri daripada lima warga Myanmar dan empat rakyat Indonesia.
Akhbar Tuoi Tre News melaporkan semua suspek lanun itu warga Indonesia dan mereka memakai topeng muka semasa merampas kapal tersebut. - AFP
Lebih 140 buah kenderaan berlanggar di Texas
BEAUMONT, Texas - Dua orang mati dan lebih 80 cedera apabila dianggarkan 140 hingga 150 buah kenderaan termasuk trak berlanggar di sebuah lebuh raya di Texas kerana kabus tebal kelmarin.
"Ia merupakan malapetaka. Saya mendapati kereta berada di atas kereta," kata seorang timbalan syerif di daerah Jefferson, Rod Carroll.
Kemalangan itu berlaku di Lebuh Raya Antara Negeri 10, 128 kilometer ke timur Houston. - Agensi
Misteri Pulau Sandy yang tidak ditemui
SYDNEY - Beberapa saintis Australia gagal menemui Pulau Sandy yang didakwa kewujudannya dalam beberapa peta dunia dan menerusi enjin carian peta Google.
Pulau tersebut terletak di Laut Coral, barat Pulau Australia tetapi kumpulan saintis yang dianggotai Dr. Maria Seton dari Universiti Sydney gagal menemuinya selepas melakukan misi untuk mencarinya dengan menggunakan sebuah kapal.
Menurut Seton, atlas The Times Atlas of the World menamakan pulau tersebut sebagai Pulau Sable.
Peta cuaca yang digunakan sebuah kapal penyelidikan maritim Australia, Southern Surveyor turut menyatakan kewujudannya.
"Kami mahu memeriksa kewujudannya kerana carta pelayaran di atas kapal menyatakan air di kawasan pulau tersebut sedalam 1,400 meter yang dianggap 'amat dalam'.
"Pulau tersebut juga terdapat dalam peta Google dan lain-lain peta menyebabkan kami mahu memeriksa (kewujudannya) namun, tiada pulau di kawasan itu.
"Kami amat bingung," kata Seton selepas misi pelayaran selama 25 hari itu. - Agensi
Tangan putus dikisar mesin
|
KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki kini terpaksa membesar dalam keadaan sukar apabila tangan kirinya putus dan hancur akibat dikisar mesin pemerah santan di Kok Lanas di sini semalam.
Kejadian pukul 4 petang itu mengakibatkan Aisy Mirza Mahadi, 3, kehilangan tangan kirinya hingga ke paras bahu.
Ketika kejadian, terdapat beberapa pekerja lain dan pelanggan yang sedang menunggu giliran untuk membeli santan.
Difahamkan, tangan anak tunggal pasangan Mahadi Mustapa, 29, dan Nik Nur Aiza Rozali, 26, itu gagal diselamatkan dan doktor hanya dapat membalut tulang bahu yang tersembul sahaja untuk mengelakkan daripada dijangkiti kuman.
Mengimbau semula kejadian itu, Nik Nur Aiza berkata, ketika kejadian dia berada di belakang kedai untuk mencuci beberapa peralatan dan pada masa sama meninggalkan anaknya di dalam premis bersama mesin yang tidak dimatikan suisnya.
Katanya, beberapa minit kemudian, dia terdengar bunyi kecoh selain suara Aisy Mirza menjerit memanggilnya.
“Saya yang tidak menyangka apa-apa kemudian terkejut apabila mendapati tangan kiri anak saya berlumuran darah, putus dan hancur dikisar mesin tersebut. Saya hanya mampu kata ‘hilang dah tangan anak aku.. hilang dah tangan anak aku’.
“Dalam keadaan lemah, saya kuatkan juga semangat untuk memangku Aisy Mirza dan membalut tempat luka dengan kain sebelum membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan menaiki motosikal bersama seorang teman. Bagaimanapun, anak saya tidak meraung atau menangis sebaliknya dia hanya merengek dan memanggil nama saya,” ceritanya ketika ditemui semalam.
Kereta remuk, pemandu cedera
LEDANG - Seorang wanita hanya cedera di bahu walaupun kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya remuk dan terbalik dengan kesemua tayarnya ke atas dalam kemalangan di Batu 5, Tanjung Gading, Jalan Lebuh Raya Ayer Keroh Melaka Jasin dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku apabila kereta dipandu Ainul Ashikin Ismail, 26, terbabas lalu merempuh tembok jalan dan tiang elektrik ketika dalam perjalanan dari Melaka ke rumahnya di Muar.
Saksi kejadian, Daud Yusof, 53, berkata, selepas mangsa memotong motosikal yang ditunggangnya sejauh 20 meter, dia melihat kereta itu hilang kawalan lalu merempuh tembok jalan dan tiang lampu.
"Sebaik dihampiri, saya lihat pemandu kereta itu tersepit. Saya dan penduduk kampung cuba membantu mengeluarkannya tetapi gagal sebelum kami menghubungi bomba," katanya.
Dahulu juara pop kini nasyid
KOTA BHARU – Kumpulan Voices of Prison yang diketuai oleh Ameng Spring dan masih menjalani hukuman penjara, muncul johan Pertandingan Nasyid Ke-6 Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 di Penjara Pengkalan Chepa di sini semalam.
Ameng atau nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail bersama empat lagi rakan banduan berjaya menewaskan 11 kumpulan lain menerusi lagu Insafi Diri.
Kejayaan tersebut menyaksikan kumpulan berkenaan mengharumkan nama Penjara Kluang di Johor yang sebelum ini meraih tempat ketiga pada pertandingan tahun lalu.
Mereka menerima hadiah piala pusingan dan senaskhah Al-Quran.
Ameng Spring yang dahulunya terkenal dengan lagu Sampai Hati sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan di Penjara Kluang sejak April 2011 akibat kesalahan dadah.
Ketika ditemui pemberita, banduan yang berusia 44 tahun itu berkata, penat jerih dia dan ahli kumpulan menjalani latihan selama tiga bulan berbalas dengan kejayaan tersebut yang disifatkan cukup manis.
“Tahun lalu, Penjara Kluang hanya meraih tempat ketiga, sasaran kami untuk kali ini ialah naib juara. Namun nasib menyebelahi kami apabila dinobatkan selaku juara dan ini merupakan kali pertama Penjara Kluang mengungguli pertandingan nasyid,” katanya.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh kumpulan nasyid dari Penjara Kajang di Selangor manakala tempat ketiga jatuh kepada Sekolah Henry Gurney, Melaka.
Suami isteri ditahan larikan kereta, 3 beradik
SEREMBAN - Cubaan seorang bekas banduan melarikan kereta Proton Wira bersama seorang budak lelaki berusia tiga tahun tidak berhasil apabila lelaki itu ditangkap dalam sekatan polis di Jalan Labu di sini kelmarin.Terdahulu, pada pukul 12.30 tengah hari, suspek yang baru dibebaskan daripada penjara kira-kira lima bulan lalu melarikan sebuah kereta yang ditinggalkan seorang wanita dalam keadaan enjin dihidupkan di depan sebuah pasar mini di Taman Desa Dahlia, Senawang di sini.
Di dalam kereta tersebut terdapat tiga beradik lelaki berusia 11 bulan, tiga tahun dan 12 tahun yang sedang menunggu ibu mereka membeli barangan di pasar mini itu.
Ibu kepada tiga beradik itu kemudian ternampak keretanya bersama anak-anaknya dilarikan seorang lelaki. Wanita itu yang panik terus menghubungi polis meminta bantuan.
Ketua Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, siasatan polis kemudian menemui dua beradik yang berusia 11 bulan dan 12 tahun ditinggalkan berhampiran pasar raya Giant tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 12.50 tengah hari.
Wanita telan kokain dari Brazil
|
GEORGE TOWN - Tindakan licik seorang wanita Thailand yang menelan sebanyak 40 kapsul kokain bernilai RM160,000 terbongkar apabila dia ditahan di sebuah hotel di sini pada pukul 11.45 pagi Rabu lalu.
Wanita berusia 27 tahun tersebut ditahan selepas mendaftar masuk di hotel tersebut sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Singapura.
Polis yang memeriksa badannya menemui sebiji kapsul bersaiz 16 sentimeter yang disumbat di dalam kemaluan. Dia kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang sebelum 40 lagi kapsul kokain seberat 535 gram dapat dikeluarkan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Deputi Superintendan Lee King Chuan berkata, semakan mendapati suspek telah menaiki kapal terbang dari Brazil sebelum transit di Barcelona, Singapura dan Pulau Pinang.
"Sindiket kini telah menggunakan pelbagai modus operandi untuk menyeludup dadah.
"Ini merupakan rampasan kokain terbesar di Pulau Pinang pada tahun ini," katanya yang memberitahu suspek kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pasangan kekasih mati dibunuh
GOMBAK – Sepasang kekasih warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh oleh suami mangsa wanita terbabit di sebuah rumah di Jalan Changkat, Kampung Changkat dekat Taman Greenwood di sini semalam.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Madura, Indonesia itu berusia 30-an ditemui dalam keadaan terlentang di dalam rumah tersebut oleh seorang saudara wanita yang mengunjung ke rumah tersebut pada pukul 10 pagi.
Ketika ditemui, mayat pasangan yang tiada pengenalan diri itu dalam keadaan lengkap berpakaian tetapi mereka tiada dokumen pengenalan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, mayat mangsa lelaki ditemui di dapur rumah manakala mayat wanita pula ditemui di depan salah sebuah bilik di dalam rumah itu.
Pasangan itu ditemui dalam keadaan cedera teruk di muka dan kepala.
Menurut beliau, pasangan itu dipercayai dibunuh menggunakan objek tumpul dipercayai kayu berdasarkan penemuan beberapa batang kayu dengan kesan darah di lokasi kejadian.
“Pasangan itu dikatakan menyewa bilik berlainan di rumah kayu itu sejak setahun lalu,” kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ibu rindu kemesraan anak
JOHOR BAHRU – Seorang ibu tidak menyangka pelukan dan ciuman anak sulung lelakinya sebelum beredar menghantar makanan kepada ayahnya di sebuah tapak pembinaan di sini Ogos tahun lalu merupakan kemesraan terakhir antara mereka berdua.
Rini Mohd. Rashid, 38, berkata, dia kini merindui untuk mendengar suara anak kesayangan, Mohd. Oca Santosa Fauzan, 16, dan pergi ke sekolah, bermain bola setiap petang serta beriadah bersama rakan-rakan yang lain.
Menurut Rini, harapan itu barangkali tidak kesampaian kerana Mohd. Oca mungkin akan kekal selamanya terlantar di katil setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah dan dikeluarkan akibat kemalangan ngeri dihempap kepingan blok yang dialaminya tahun lalu.
Mengimbas semula insiden yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu, suri rumah itu memberitahu, kejadian itu berlaku ketika anaknya menghantar nasi dengan lauk gulai daging untuk bapanya yang juga seorang buruh kasar, Fauzan Rahmad, 50, di tapak pembinaan di Setia Indah.
No comments:
Post a Comment