Monday, November 26, 2012

ASAL USUL KITA DARI NABI ADAM A.S....KITA SEMUA MAKHLUK CIPTAAN ALLAH SWT...FIKIR DAN TANYA ULAMAK ADAKAH KERJAYA KITA MENEPATI TUNTUTAN SYARAK ATAU MELANGGAR SYARAK

Rosyam tak lupa asal usul





UMUM mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa.
Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini.
Setelah 26 tahun, Rosyam Nor, 45, kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya.
Dia bukan hanya muncul sebagai seorang aktor Malaysia tetapi jauh daripada itu. Dia tampil sebagai seorang pelakon yang menjadikan namanya satu jenama dalam industri hiburan tanah air.
Lelaki berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu hanya mampu mengangguk tanda setuju bahawa selebriti perlu ada sebuah penjenamaan.
Rayu ruang, peluang
“Jujurnya seawal tahun 1997 saya sudah meletakkan satu visi iaitu diri dan nama sendiri perlu ada penjenamaan. Bagi saya seseorang itu selepas tumbuh sebagai artis, dia perlu dikilatkan dan sinarnya perlu sampai. Kelibatnya perlu dirasai masyarakat penonton,” luah Rosyam Nor yang juga merupakan penaung Suhan Movies yang sudah bergerak selama 15 tahun.
Dia membuka cerita bahawa satu waktu dahulu, dia tidak malu untuk merayu serta menghadap sutradara popular untuk dibekalkan ruang dan peluang. Itu juga langkah dan strategi seorang Rosyam.
ROSYAM kini memberi tumpuan kepada Anugerah P. Ramlee yang akan diadakan pada 22 hingga 24 Februari mendatang.


“Saya pernah mohon berlakon kepada Datuk Yusof Haslam. Saya mendekati dan bergaul dengan individu yang dapat memberi impak. Awie, Erra Fazira, Ziana Zain saya mohon sewaktu diberi peluang muncul dalam filem Maria Mariana 2. Saya tumpang populariti mereka dan saya pastikan penonton tidak lupakan Rosyam Nor waktu keluar menonton filem tersebut,” sungguh-sungguh Rosyam bercerita strategi penjenamaannya.
“Kemudian saya bertemu Bada dan Rashid Sibir yang memberi peluang kepada saya. Saya muncul dalam drama-drama Rashid Sibir dan filem perdananya, Laila Isabella. Saya tanpa segan memohon mereka untuk peluang itu,” jujur Rosyam bersuara.
Tahun ini dia berlakon pula bawah arahan anak Yusof. Pengarah muda Syamsul Yusof memberinya peluang muncul dalam filem KL Gangster 2. Membawakan watak Tailong, Rosyam mengharapkan magis dalam kemunculannya kali ini setelah melihat impak kepada filem terdahulu.
“Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi peluang saya muncul dalam filem yang besar. Saya berikan komitmen sepenuh hati dan harap Syamsul puas hati. Ini peluang saya untuk mengumpulkan para peminat baharu,” ungkap Rosyam yang merasakan Tailong ialah gangster yang kemas dan berperwatakan menarik.
“Jujurnya saya mengharapkan magis pada tahun 2013. Saya menanti sebuah fenomena pada diri dan kerjaya saya. Tahun depan saya ada tiga buah filem bakal ditayangkan iaitu KL Gangster 2, Balistik dan Laga,” ujarnya.
Tidak lupa juga dia muncul kali kedua membawakan watak Razif dalam drama popular Trilogi Cinta 2. Drama yang kini menemui para peminat semula selepas dua minggu tidak bersiaran.
Selang hari dan tahun bergelar selebriti, pelakon yang benar-benar merangkak mencipta jaya dari bawah ini tidak kalah diusik kontroversi. Terbaharu, kisah dia membezakan dua stesen televisyen sewaktu Anugerah Skrin 2012 berlangsung.
Dangkalnya jiwa yang menerima lalu menjatuhkan hukum kononnya Rosyam cetek ilmu agama. Hanya kerana dia menyebut “Nasib baik kita dekat TV3 boleh cuit-cuit, kalau TV Al-Hijrah cuit pun tak boleh.”
Elak watak tua
Rosyam enggan melanjutkan cerita. Cuma katanya dia mengungkapkan hal nyata yang berlaku di dua buah stesen televisyen. Banyak yang menangkap dalam konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan.
Lalu penulis bertanyakan soal latah orang kita dalam sesebuah situasi. Baik latah seorang yang berstatus artis atau pemerhati tegar yang bergelar peminat. Dia menarik nafas sebelum menjawab.
“Kalau masyarakat, itu hak mereka kerana artis adalah hak mereka juga. Suka atau tidak, itu perlu diterima. Cuma saya perlu tekankan bahawa personaliti seseorang itu akan terserlah bila mereka melatah atau bersuara. Tahap mana akademik dan pemikiran mereka dapat dikesan dengan reaksi atau jawapan mereka,” senyumnya sinis.
“Berbalik kepada selebriti pula, jujurnya saya lihat media suka apabila artis itu melatah. Baru ada cerita. Ini salah satu cara artis itu buat nama, orang lebih kenal dan impak jadi lebih besar. Ada yang cari kesempatan atas situasi ini,” senyumnya lagi.
Dia tidak kesal atas situasi yang berlaku. Apa yang membuat dirinya kesal apabila diberi gelaran hero tua. Konflik di ASK bukan satu hal yang meninggalkan buah hitam dalam hatinya.
“Saya lebih kesal bila digelar hero tua kerana tiada istilah tersebut. Juga apabila orang mencari pengganti saya sedangkan saya masih hidup. Kalau diperhatikan, saya tidak pernah bawakan watak orang tua. Bukan menidakkan usia tetapi saya mengelak. Saya tidak mahu mulakan,” luahnya yang melihat fenomena aktor luar negara yang diberikan watak matang pada usia lebih 40-an dan bukan ditadahkan karakter orang tua.





Ingat pesan ibu
Satu hal yang dikongsi oleh aktor terkenal ini, dia tidak pernah merasakan dirinya popular apalagi glamor. Tidak pernah disematkan dalam sanubarinya bahawa dia adalah seorang selebriti dengan nama yang cukup besar dalam ladang seni.
“Saya sentiasa letakkan diri saya di bawah. Saya cari naskhah yang baik dan harap magis berlaku dengan perjalanan rezeki Allah. Saya tidak pernah letak Rosyam Nor itu besar. Ya, orang sekeliling yang mungkin membuatkan nama itu jadi besar. Saya tidak pernah lupa diri kerana nikmat itu adalah milik Allah.
“Mak juga pernah pesan supaya jangan pernah lupa asal usul. Dalam bergelar pelakon, saya belajar mendalami kehidupan manusia. Itu pelajaran buat saya. Dalam menjadi selebriti, saya belajar menjadi kuat dan perlu banyak bersyarat. Tidak semua orang sukakan kita,” senyumnya di akhir-akhir perbualan
Sebagai selebriti yang sudah menembus industri, Rosyam sedang menikmati karier. Frekuensi kemunculannya di televisyen dan filem tidak pernah berhenti sejak tahun 1995 hingga kini. Cuma untuk ruang kini, dia mengaku memerlukan istirehat. Penat katanya.
“Selama 26 tahun sibuk berlakon. Ada rasa penat sedikit. Kini masa bersama keluarga. Saya isi semula masa yang ada kini untuk bersama keluarga setelah satu masa lalu ia dicuri kerjaya lakonan. Penat tidak bermaksud berhenti. Cuma saya berehat untuk mengatur hidup. Mungkin orang jadi terlalu muak melihat wajah saya di televisyen atau filem. Biarkanlah mereka bertanya,” senyum bapa kepada lima orang anak ini.
Satu pernyataan lagi diberikan sebelum usai perbualan. Satu pernyataan tentang kehidupan Rosyam.
“Saya sudah berusia 45 tahun. Mati sudah semakin dekat,” ujarnya dalam tenang.

Sepah 'hidup' dalam Sepah The Movie


BERPECAH kumpulan bukan alasan menjadikan Mamat, Shuib serta Jep (tiada dalam gambar) tidak mampu memberikan persembahan kelakar dalam filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan 29 November ini.


RIBUT pergeseran dan perpecahan kumpulan pelawak Sepah yang dianggotai Jep, Mamat dan Shuib sudah lama reda. Sepah meraih populariti apabila muncul sebagai juara pertandingan Raja Lawak musim ketiga sebelum menjulang pula trofi Maharaja Lawak musim pertama.
Seperti terbakar oleh glamor dan perhatian umum, perpecahan Sepah banyak memberikan impak. Selain penubuhan Sepahtu oleh Shuib dan Jep, Mamat yang terpinggir dan membawa haluan sendiri pula terheret dengan pelbagai kontroversi sehingga mendedahkan kepincangan grup komedi yang dikatakan pengganti kepada kumpulan lawak terkenal, Senario.
Konflik Mamat, Jep dan Sepah dikatakan belum berakhir walaupun mereka kembali bersepakat untuk menjayakan filem sulung Sepah The Movie pada hujung tahun lalu. Tanpa perlu berselindung, Shuib mendakwa itulah filem pertama dan terakhir membabitkan mereka bertiga.
Selain Mamat, Jep dan Shuib, filem terbitan PTV Film Productions itu turut dibintangi oleh Jehan Miskin, Yus (Jambu) dan Asrul dari Raja Lawak, Anzalna Nasir dan Ramona Qadri.
Hadir ke sesi fotografi tanpa Jep yang ada komitmen penggambaran sebuah drama di utara tanah air, Mamat dan Shuib menegaskan antara mereka bertiga, ikrar persahabatan Sepah tidak akan mati walaupun mereka sedang menggerakkan haluan secara berasingan.
Bagaimana hubungan kamu bertiga kini?
MAMAT (M): Provokasi dan berita yang digembar-gemburkan sebenarnya lebih besar daripada kisah sebenar perpecahan kami bertiga. Saya cuma bukan Sepahtu dan tidak boleh bergabung dengan Jep dan Shuib sebagai Sepahtu, tapi apabila projek itu dinamakan Sepah, kami masih berbaik. Saya boleh jamin, penonton tidak akan dapat mengesan sebarang kejanggalan kami dalam filem itu nanti.
SHUIB (S): Tapi dalam pada orang lihat kami bergaduh, kami sebenarnya boleh bekerja secara profesional. Kalau mahu tahu kami bergaduh atau tidak, tengoklah filem Sepah The Movie nanti.
Selain bahan komedi, apa tarikan yang dijanjikan oleh kalian terhadap filem itu?
M: Bagi saya filem ini satu keajaiban dunia. Kami menang Raja Lawak dan Maharaja Lawak, buat filem pula selepas berpecah. Filem ini sebuah nostalgia, hadiah untuk peminat yang undi kami selama ini walaupun banyak kontroversi tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara terhormat.
S: Aksi-aksi sukan motorcrosss semua kami lakonkan sendiri. Kalau dalam drama Bujang Sepah, kami digambarkan sebagai adik beradik, jadi ada hukum yang tak boleh dilanggar tapi dalam filem ini kami kawan dan kami guna nama sebenar. Sepah lebih 'hidup' dalam versi filem ini.
Secara peribadinya, bagaimana kalian melihat naik-turun kehidupan masing-masing?
M: Banyak cerita buruk tentang saya, lepas satu, kemudian satu lagi. Saya tahu dan itu semua menjejaskan mata pencarian saya. Sudah lama saya tiada tawaran berlakon, maruah saya jatuh dan keluarga di kampung juga terkena tempias. Tapi, saya tetap kena teruskan hidup. Nasib baik saya selalu dapat tawaran dari Singapura. Orang Singapura tidak ambil peduli tentang kontroversi saya.
S: Saya percaya hidup tak semuanya indah. Kami pernah berjanji untuk tidak berpecah, tapi akhirnya berpecah juga. Saya sebenarnya terkilan apabila ramai pihak di luar sana yang tidak puas-puas mahu mencari silap Mamat. Saya tidak tahu kenapa dia ditimpa nasib yang sebegitu, saya mendoakan yang terbaik untuk Mamat. Dalam keadaan tertentu, saya kena menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri, saya ada keluarga dan kena ada sasaran dalam karier.
Perkembangan terbaharu masing-masing?
M: Saya ada mulakan perniagaan kecil-kecilan berhampiran dengan Taman Tema Legoland yang baru dibuka di Johor. Alhamdulillah bisnes saya bagus.
S: Disember nanti saya akan mulakan penggambaran sebuah filem bersama Zul Yahya. Jadual saya sentiasa padat dan terbaharu, saya dilantik sebagai Duta Dobi Aqua Nano. Ia sebuah jenama kedai dobi yang diusahakan secara francais. Itu semua rezeki anak, Siti Sarah (isteri) kini sedang hamil anak kedua.

Kak Mon kritikal barah tahap tiga


LAKONAN Maimon Mutalib tidak pernah mengecewakan sama ada di skrin TV mahupun di latar perak.


KHABAR tentang penderitaan akibat penyakit barah payudara yang sedang dialami pelakon senior, Maimon Mutalib, 54, mula hinggap di telinga ramai. Di sebalik keceriaan, senyuman serta lakonan yang membangkitkan emosi benci atau marah yang tersiar di kaca televisyen, Maimon yang lebih mudah dibahasakan Kak Mon itu rupa-rupanya sudah lebih setahun berjuang untuk melawan penyakit yang sangat digeruni kaum Hawa.
"Saya memang takut jarum, sebut perkataan hospital pun saya sudah seriau. Selama ini saya tidak pernah masuk hospital kecuali sewaktu hendak bersalin dahulu.
"Sudah setahun setengah saya tahu menghidap barah payudara, itu benda yang paling ditakuti. Saya sembunyikan daripada pengetahuan umum sebab gerun dan fikir macam-macam.
"Selama ini saya cuma elak ke hospital tapi berbagai-bagai usaha sudah dilakukan, daripada berubat kampung sehinggalah bertemu pengamal perubatan homeopati, apa yang orang kata bagus, semua saya buat," katanya saat dihubungi Sensasi Bintang untuk bertanyakan khabar yang sedang diperkatakan.
Dalam nada sedikit lemah, Maimon bercerita bahawa dia dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu berpunca daripada kekejangan yang dialami pada paha kiri. Pelik dengan situasi yang tidak pernah dialaminya itu sementelah badannya mulai lemah dan tidak mampu bergerak sendiri, dia dinasihatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Sebenarnya saya terjatuh dari tangga, selepas itu terus rasa kejang. Bila datang hospital, terus saya ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Bengkak di bahagian kiri payudara saya semakin menyakitkan apabila doktor buat macam-macam ujian. Rasa sebak pun ada, sampai mengalir air mata bila badan kita diuji-uji begitu, tapi nak buat macam mana.
"Sekarang ini ibaratnya 'serah diri' sahaja, saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya juga tak tahu sampai bila lagi saya akan duduk dalam wad hospital ini. Selepas ujian imbasan CT nanti kena tunggu keputusan untuk prosedur kemoterapi pula," katanya.
Ditanya tentang tahap kritikal barah yang dihidapi, cerita Maimon: "Ikut kata doktor, barah saya sekarang sudah masuk tahap ketiga. Doktor juga periksa kepala sebab syak barah sudah merebak ke anggota badan yang lain, tapi semuanya okey. Saya cuma berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan dan segera sembuh. Kalau diizinkan Allah, saya masih perlu bekerja untuk anak-anak yang masih bersekolah," luah Maimon yang berstatus balu sejak kematian suami, 15 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, Maimon hanya bergantung hidup kepada lakonan sebagai mata pencarian untuk membesarkan lima orang anak. Sepasang anak kembar, Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, yang juga anak bongsunya kini masih di Tingkatan Empat.
Anak keduanya, Surayatul Nadia, 32, pula tidak boleh bekerja kerana menghidap sakit buah pinggang. Maimon juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Surayatul Natasha yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan anak sulung, Kamarul Syahid, 34.
"Sudah dua-tiga bulan juga saya terpaksa tolak banyak tawaran sebab tak larat. Saya juga selalu dimarahi kawan-kawan dan anak-anak kerana berdegil tak mahu ke hospital. Saya tak suka, nanti bila masuk hospital akan jadi begini, semua orang tahu dan fikir yang bukan-bukan," katanya.
Baru muncul dengan filem Budak Pailang, Maimon juga pernah berlakon dalam filem Sumpahan Kum-Kum, Semerah Cinta Stilleto, Pensil, Hijab, Hantu Dalam Botol Kicap dan banyak lagi. Di kaca televisyen, mungkin sudah ratusan judul yang menampilkan wajah Maimon dengan variasi watak.
Sepanjang berada di hospital, Maimon turut dilawati rakan-rakan artis serta wakil daripada Persatuan Seniman.

Ramai artis bunting pelamin




SETIAP kali musim kahwin tiba, sindrom bunting pelamin sudah menjadi lumrah. Sepintas lalu, menyebutnya sahaja, mungkin ada yang tidak mampu membendung senyum.
Bunting pelamin membawa maksud wanita hamil kurang sebulan menempuh gerbang perkahwinan. Ia bukan perkara luar biasa tetapi masih menjadi topik hangat apatah lagi jika berlaku dalam kalangan artis.
Lebih hangat lagi jika berita kehamilan itu disertakan dengan pengakuan, petua-petua serta sisipan objek ujian kehamilan yang kini semakin menjadi ikutan.
Berita gembira perlu dikongsikan dengan seluruh dunia, namun, mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tetap ternganga. Pengakuan kehamilan segera juga boleh mengundang tekanan apabila ada nada sinis yang cuba menjadikan ia bahan gurauan berbaur lucah.

Paris buka kedai di Mekah


PARIS HILTON


TINDAKAN selebriti Paris Hilton membuka butik mewah di kota paling suci umat Islam mengundang pelbagai rasa tidak senang malah ada yang menganggap ia satu cubaan untuk mengganggu umat Islam beribadat.
Menurut Huffington Post, kedai beg dan aksesori wanita tersebut mula beroperasi baru-baru ini. Rasa tidak senang umat Islam itu berikutan Paris yang sinonim dengan imej liar dan video lucah.
Pembukaan kedai tersebut atas nama Paris Hilton Handbags & Accecories di sebuah pusat beli-belah itu disahkan oleh Paris sendiri menerusi laman sosial Twitter.
"Gembiranya kerana kedai baharu saya yang cantik baru sahaja dibuka di Mecca Mall, Arab Saudi," ujar Paris menerusi akaun Twitter miliknya.
Sejurus beliau membuat pengumuman tersebut, ramai pengikut laman tersebut yang mengecam tindakan tersebut.

Elyzia, si manis 17


ELYZIA MULACHELA menolak adegan seks dan menyatakan ciuman dirinya dan Adipati dalam Perahu Kertas hanya sekadar teknik penggambaran.


PERAHU Kertas pernah menjadi antara novel terlaris. Nukilan Dewi Lestari yang dihasilkan dalam masa 55 hari itu kini diangkat menjadi sebuah filem. Sutradara Hanung Bramantyo menggalas tugasan sebagai pengemudi filem yang dinantikan pembaca novel Dewi.
Mula ditayangkan di Indonesia pada lebaran lalu, filem ini berlabuh di TGV, KLCC bermula 29 November ini. Sebuah filem yang sarat falsafah hidup, alurnya membawa penonton mengalir dan membuai perasaan dalam perhubungan hero dan heroin yang dinamakan Keenan dan Kugy.
Bertemu salah seorang pembawa karakter penting filem ini, Elyzia Mulachela datang bertemu mata dengan media Malaysia. Si pengemudi watak Luhde ini rupa-rupanya baru berumur 17 tahun dan masih bersekolah. Pembawaan dirinya dalam Luhde yang agak meyakinkan membuatkan dirinya tampak matang.
"Saya berasal dari Lombok dan kini tinggal di Jakarta. Awalnya saya merupakan seorang penyanyi dan mempunyai sebuah single bertajuk Cinta Yang Tak Mungkin. Lagu ini masuk ke dalam album runut bunyi filem Perahu Kertas," ujar si manis itu.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah Elyzia yang mesra disapa Cipy ini muncul pada lagunya. Bukan setakat lagunya diambil masuk ke dalam filem yang membariskan Reza Rahadian, Adipati Dolken dan Maudy Ayunda itu, Elyzia sendiri ditawarkan watak Luhde oleh Hanung.
"Tiada masalah besar dalam melakonkan watak Luhde. Cuma Luhde itu orang Bali. Saya harus belajar bahasa Bali, loghat Bali, terus kedewasaannya juga saya harus pelajari. Terus yang harus belajar adalah cara sembahyang orang Hindu. Padahal, saya Islam keturunan Arab," tutur Elyzia.
Melihatkan lakonannya yang masih banyak perlu diperbaiki, Elyzia mengaku tertekan melihat lakonannya sendiri. Dia selaku pembaca novel Dewi Lestari maklum bahawa segolongan besar penonton datang ke panggung dengan jangkaan tersendiri.
"Setelah melihatkan respons penonton Indonesia, saya lega," tambahnya yang meletakkan nyanyian sebagai karier utama.
Diusik tentang adegan cium Luhde dan Keenan dalam filem itu, Elyzia ketawa manis sebelum menjawab.
"Kalau ada adegan seks, memang saya akan tolak. Itu hanya teknik penggambaran yang menampakkan saya dan Adipati yang membawakan watak Keenan berciuman pada malam tahun baru. Sebetulnya babak itu bukan adegan melakukan hubungan seks tetapi simbolik antara Luhde dan Keenan rasmi berpacaran," terangnya tentang keintiman Luhde dan Keenan di pertengahan cerita.
Tambah Elyzia, karakter Luhde dan dirinya hanya ada beberapa persamaan.
"Misalnya Luhde seorang yang nampak saja macam seorang pendiam tetapi hakikatnya dia seorang yang cerewet. Samalah seperti saya", kata gadis ini.
Perahu Kertas mengisahkan pasang surut hubungan dua remaja, iaitu Kugy (Maudy Ayunda) dan Keenan (Adipati Dolken). Dua remaja ini bersahabat baik sehingga masing-masing sebenarnya memendam perasaan antara satu sama lain. Namun dalam masa sama mereka mencari haluan hidup dan obses mengejar cita-cita.

Hamil anak lelaki, Irma Hasmie kuat makan

IRMA tampil bersama suaminya, Redza buat pertama kali di hadapan media selepas disahkan hamil lima bulan.


KIRA-KIRA empat bulan lagi pelakon berwajah manis, Irma Hasmie bakal melahirkan zuriat sulung hasil perkahwinannya dengan Redza Syah Azmeer Datuk Redzuan.
Tidak lagi mengalami alahan yang teruk seperti tiga bulan pertama kandungannya, kini pelakon filem Cinta Fotokopi itu mengakui selera makannya semakin bertambah sehingga menyebabkan berat badannya naik dengan banyak.
Atas sebab itu, ungkap Irma, 30, dia terpaksa bersedia untuk menurunkan berat badannya selepas melahirkan anak kelak.
“Insya-Allah doktor beritahu jantina bayi saya kemungkinannya adalah lelaki. Saya dan suami tidak kisah jantina apa, yang penting ia terbaik daripada Allah untuk kami sekeluarga. Jangkaan lahir adalah pada bulan Mac tahun depan.
“Berat badan saya agak mendadak naik iaitu dari 57 kilogram, sekarang sudah 68 kilogram. Tembam sangat saya sekarang ini, justeru kena kuatkan diri untuk kawal pemakanan,” ujarnya yang masih lagi mengacarakan program Assalamualaikum.
Belum lagi menyediakan kelengkapan bayi sepenuhnya, ujar Irma, dia dan suami masih membeli-belah barangan keperluan bayi dan berharap apabila kandungan mencecah tujuh bulan, sudah banyak kelengkapan bayi yang sudah tersedia.
Menurut Irma lagi, suaminya sangat prihatin dengan keadaan dirinya yang berbadan dua, malah akan sentiasa menemaninya ke majlis-majlis tertentu.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah yang beri kami banyak kasih sayang. Dia juga sentiasa buat saya rasa dekat pada agama,” ujarnya.
IRMA yang bakal menimang cahaya mata lelaki mengalami kenaikan berat badan sebanyak 11 kilogram.


Tidak takut
Ditebak dengan soalan sama ada dia takut melihat gambar dan visual bayi-bayi rakyat Palestin dibunuh Zionis yang banyak dimuat naik di internet dan kaca TV, Irma tenang memberikan jawapan.
“Lebih baik tengok daripada melakukan perkara-perkara yang tidak membawa manfaat apa-apa.
“Insya-Allah, daripada sudut positif kesannya, anak kita akan cintakan keamanan dan bencikan kezaliman,” jelasnya yang kini berehat daripada sebarang aktiviti lakonan sementara menunggu kelahiran anak sulungnya itu.
Dia bagaimanapun tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti pengacaraan, duta dan tugasnya sebagai naib pengerusi Usrah Fitrah iaitu gabungan beberapa penggiat seni tanah air termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik demi mendalami ajaran Islam.
Usrah Fitrah yang turut disertai rakan-rakan artis seperti Heliza, Yatt Hamzah dan Diana Amir itu juga sekali gus mengadakan acara-acara amal dan berbentuk kemasyarakatan untuk menjalin ukhuwah dan mendekatkan diri dengan orang ramai serta golongan kurang bernasib baik atas nama ibadah.

No comments:

Post a Comment