Aziz Satar rujuk isteri kembali
|
KUALA LUMPUR – Selepas sembilan bulan bercerai, seniman veteran dan pelawak tidak asing lagi, Datuk Aziz Satar mengesahkan beliau akan rujuk kembali dengan bekas isterinya, Hashimah Delan dalam masa terdekat.
Seniman kelahiran Surabaya, Indonesia yang berusia 87 tahun itu menegaskan, beliau dan bekas isteri bersetuju berbuat demikian setelah masing-masing memperoleh kembali persefahaman.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak tidak membesar-besarkan isu tersebut kerana perselisihan antara suami dan isteri merupakan asam garam rumah tangga.
“Perkara ini tidak perlu lagi diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai. Perselisihan kecil yang berlaku itu adalah lumrah dalam kehidupan rumah tangga dan semua orang melaluinya.
“Semuanya telah selesai dengan baik, kami bersepakat untuk merujuk semula perkara ini secara sah di mahkamah dalam masa satu atau dua hari lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Boleh kahwin muda jika bersedia
KUALA LUMPUR – Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak menjadi masalah sekiranya sesebuah pasangan itu sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh alam perkahwinan.Perunding motivasi, Datuk Zawawi Yusof berkata, Islam menghalalkan perkahwinan asalkan ia memenuhi syarat walaupun pada usia yang muda.
“Jika pasangan pengantin sudah cukup umur untuk berkahwin dan faham mengenai tanggungjawab yang mereka perlu galas, maka ia dibenarkan.
“Kita juga perlu memahami keadaan sekarang sudah berubah dengan remaja zaman ini lebih cepat matang selepas mendapat banyak pendedahan yang membantu mereka berfikir,” katanya ketika dihubungi semalam.
Zawawi diminta mengulas langkah satu pasangan muda, Nur Fazira Saad, 12, dan Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dari Kulim, Kedah bernikah pada 17 November lalu dan mengadakan kenduri perkahwinannya mereka kelmarin.
Bagi seorang lagi pakar motivasi, Prof. Madya Md. Izzudin Ali, perkahwinan pada usia muda mungkin jalan penyelesaian terakhir dan terbaik untuk mencegah remaja daripada terjerumus dengan masalah sosial seperti seks bebas dan bersekedudukan.
“Sekiranya tidak ada jalan lain yang mampu dilakukan, maka tidak ada masalah untuk berkahwin pada usia muda,” katanya.
Nabil terkejut isteri bersalin awal tiga minggu
KUALA LUMPUR – Pelawak, pengacara dan pelakon popular, Ahmad Nabil Ahmad yang lebih dikenali sebagai Nabil kini bergelar bapa selepas isterinya, Nazirah Ayub, 24, selamat melahirkan anak sulung mereka semalam.
Bayi perempuan yang masih belum diberi nama itu dilahirkan dengan berat 2.67 kilogram pada pukul 8.40 pagi di Klinik Umra, Shah Alam, Selangor.
Menurut Nabil, 29, isterinya yang dikejarkan ke klinik tersebut pada pukul 3 pagi melahirkan anak sulung mereka tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan doktor.
“Saya sangat terkejut sebab bayi saya lahir awal tiga minggu. Apa pun saya tidak siapkan lagi kerana sepatutnya saya mula bercuti awal Disember.
“Macam mana pun, sekarang saya sangat gembira dengan kelahiran anak sulung saya. Isteri dan anak saya sihat dan mereka dibenarkan pulang ke rumah pada petang esok (hari ini),” ujar Nabil yang dihubungi Kosmo!.
Nabil yang juga pengacara program Meletop terbitan Astro berkata, beliau masih mencari nama yang sesuai untuk anaknya.
“Nama anak belum ada lagi, saya baru sahaja beli buku tentang nama indah dalam Islam belum habis baca lagi.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan serta peminat yang mendoakan kesihatan isteri dan anak saya,” katanya yang turut berkongsi berita gembira itu di akaun Twitter miliknya.
Nabil dan isterinya melangsungkan perkahwinan pada 30 September 2011 di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya.
Maut dihempap dahan reput
PASIR PUTEH – Hajat seorang warga emas untuk menikmati makan tengah hari berlaukkan kulat sisir kegemarannya tidak kesampaian apabila dia ditemui meninggal dunia selepas dihempap batang kayu reput ketika mengutip spesies cendawan itu di Kampung Chengal Pulas dekat sini semalam.
Mayat Sa’audah Abdullah, 96, ditemui oleh anggota keluarganya kira-kira lapan meter dari belakang rumahnya dalam keadaan pinggangnya dihempap batang kayu tersebut.
Ahli keluarga terdekat mangsa, Azhari Abdullah, 56, berkata, arwah dikatakan pergi bersendirian untuk mencari kulat tersebut yang tumbuh pada batang pokok berdekatan kawasan rumahnya.
Katanya, Sa’audah gemar mengutip kulat sisir di pinggir hutan untuk dijadikan juadah bersendirian.
“Arwah masih kuat dan tidak perlu dipimpin ketika berjalan. Dia tinggal seorang diri di rumahnya kerana kesemua anak-anaknya bekerja dan menetap di Pahang dan Kuala Lumpur,” ceritanya ketika ditemui di sini.
Rumah hangus sekelip mata
BINTULU – Sebanyak 14 keluarga membabitkan 41 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila enam buah rumah teres setingkat yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Lorong B11 Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sibiew di sini kelmarin.
Kebakaran pukul 9.11 malam itu mengambil masa selama lebih satu jam untuk dipadamkan berikutan bomba menghadapi masalah tekanan air rendah.
Difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah sebuah rumah yang tidak berpenghuni sebelum merebak ke rumah lain.
Pegawai operasi bomba, Gregory @ Kurong anak Suwen berkata, pihaknya mendapati kediaman tersebut sudah 65 peratus terbakar sebaik tiba di tempat kejadian dengan kekuatan 21 anggota.
Penduduk mengeluh tiada tempat letak kereta
KUALA LUMPUR – Penduduk di Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong di sini meminta pihak berkuasa mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan dan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan tersebut.
Mereka mendakwa masalah itu berlaku ekoran orang ramai yang menggunakan Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kepong di sini turut meletak kenderaan di kediaman mereka.
Menurut seorang penduduk, Yap Lee Yun (gambar kecil), 38, mereka terpaksa meletakkan baldi dan tong sampah bagi menghalang orang luar meletak kereta di hadapan rumah mereka.
“Masalah itu bermula sejak pembinaan laluan pintasan baharu untuk memudahkan pengguna keluar dari stesen komuter ke Jalan Burung Garuda.
“Bagaimanapun, pembinaan laluan itu hanya memudahkan pengguna komuter dan telah menyusahkan penduduk,” katanya di sini baru-baru ini.
Jurujual licik kikis emas
PASIR PUTEH – Seorang petani mendakwa kerugian RM3,000 selepas diperdaya empat jurujual apabila suspek bertindak mengikis gelang emas ketika mengadakan demonstrasi mencuci barang kemas tersebut menggunakan asid dan api penyepuh Jumaat lalu.
Kejadian pukul 3 petang di Kampung Gong Manak, dekat sini itu menimpa Mohd. Noor Idris, 71, apabila barang kemas isterinya, Limah Hassan, 66, yang berharga RM12,600 telah dikikis secara licik oleh suspek yang datang ke rumahnya dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohd. Noor mendakwa, suspek-suspek yang merupakan seorang lelaki dan wanita serta dua remaja perempuan datang kononnya hendak mempromosikan barang kemas tiruan yang mereka jual.
Hezbollah beri amaran kepada Israel
|
BEIRUT - Pemimpin Hezbollah di Lebanon, Sayyed Hassan Nasrallah semalam memberi amaran kepada rejim Zionis bahawa ribuan buah roket akan menghujani Tel Aviv dan beberapa bandar Israel jika tentera Yahudi menyerang Lebanon.
Beliau membuat kenyataan itu pada ucapan sempena Hari Asyura yang disambut pengikut fahaman Syiah di sini.
Hari itu disambut bagi memperingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Hussein dan anggota keluarga baginda sekali gus menyebabkan perpecahan antara Sunni dan Syiah.
Kenyataan tersebut dibuat selepas pergerakan Hamas dan Israel menghentikan serangan pada Rabu lalu selepas rejim Zionis melancarkan serangan di Gaza selama lapan hari.
"Israel telah digegarkan dengan lima serangan roket sepanjang lapan hari konflik itu sebelum ini.
"Bagaimana pula rejim Yahudi itu hendak menghalang ribuan serangan roket yang akan jatuh ke Tel Aviv dan bandar-bandarnya jika ia menyerang Lebanon? soalnya.
Menurutnya, dalam konflik terbaharu di Gaza, seramai 166 penduduk Palestin terbunuh dan enam warga Israel maut sekali gus menunjukkan kejayaan hebat terhadap penentangan terhadap Israel.
Hezbollah telah menghantar sebuah pesawat pengintip ke ruang udara Israel pada bulan lepas.
Penghantaran itu mewujudkan ketegangan di wilayah tersebut selepas Israel mengancam untuk mengebom lokasi nuklear milik Iran. - Agensi
121 maut kebakaran kilang di Bangladesh
DHAKA – Sekurang-kurangnya 121 orang maut apabila sebuah kilang pakaian hangus dijilat api di Savar, pinggir ibu kota ini, kata Jabatan Bomba Bangladesh semalam.
Kebakaran kilang sembilan tingkat itu dipercayai bermula dari tingkat bawah bangunan tersebut pada malam kelmarin dan menyebabkan ratusan pekerja terperangkap.
Seorang penduduk berkata, ramai pekerja melompat dari tingkap dan mati di tempat kejadian.
Menurut seorang pegawai bomba, Mizanur Rahman, kebanyakan mayat ditemui di tingkat dua bangunan tersebut manakala punca kebakaran masih lagi disiasat.
Kejadian tersebut merupakan kebakaran kilang yang terburuk pernah berlaku di negara itu.
Pada tahun 2006, sebuah kilang di Chittagong terbakar mengorbankan 84 orang selepas mereka terperangkap akibat pintu kecemasan terhalang.
Bangladesh mempunyai 4,500 kilang pakaian dan merupakan pengeksport pakaian terbesar di dunia selepas China. – Reuters
Ferrari pernah dimiliki Ronaldo dilelong
LONDON - Sebuah kereta sport Ferrari 599 GTB Fiorano yang pernah dimiliki bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo ditawarkan untuk dijual pada harga £40,000 (RM196,155), lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Ronaldo, 27, membeli kereta itu dengan harga £200,000 (RM980,775) pada tahun 2008.
Nilainya jatuh merudum kerana bahagian hadapan kereta itu remuk selepas ia merempuh dinding sebuah terowong pada 9 Januari 2009 dekat Lapangan Terbang Manchester di Manchester.
Ronaldo hilang kawalan semasa dia memandu kereta itu semasa dalam perjalanan untuk berlatih dengan rakan-rakan pasukan kelab Manchester United.
Keretanya merempuh penghadang jalan sebelum melanggar dinding terowong itu.
Kereta sport berwarna merah itu kini disimpan di pekarangan sebuah syarikat pengedar kereta di Duppigheim, Perancis.
Kereta itu menggunakan enjin V12 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 330 kilometer sejam. - Agensi
Ratusan ribu penduduk berebut 20,000 jawatan sektor awam
BEIJING - Ratusan ribu penduduk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam di sejumlah sekolah dan universiti bagi mengisi kekosongan jawatan pentadbiran pemerintah China semalam.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1.5 juta rakyat China yang memohon untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Bilangan itu menunjukkan peningkatan 30 kali ganda berbanding sedekad yang lalu bagi mengisi hanya 20,000 kekosongan jawatan di sektor awam.
Peningkatan yang mendadak itu didorong oleh persepsi bahawa bekerja di sektor awam menawarkan jaminan pekerjaan.
Kebanyakan calon yang menduduki peperiksaan tersebut terdiri daripada pelajar universiti yang merupakan sebahagian daripada tujuh juta lulusan baharu yang akan memasuki pasaran kerja China pada tahun ini.
Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Liu, 31, memberitahu bahawa beliau berharap dapat bekerja di dalam sektor awam kerana faedah yang lebih baik dan tidak perlu risau mengenai pencen dan insurans kesihatan.
Calon-calon yang lulus peperiksaan tersebut perlu menjalani proses temu duga sebelum dilantik bekerja dalam sektor awam. - AFP
No comments:
Post a Comment