Tuesday, November 27, 2012

ISLAM JADI SASARAN...SEDANGKAN BANYAK AGAMA2 LAIN...MEREKA TAKUT ISLAM AKAN BERKEMBANG...KERANA ISLAM AGAMA YANG BENAR...ISLAM DIJAMIN DIJAGA OLEH ALLAH SWT

Sanggup bayar ganti rugi


SEBAHAGIAN daripada kumpulan pertama tetamu kenduri di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Ahad menceduk lauk sebelum menyedari sajian yang dihidangkan sudah basi.


GEORGE TOWN - Pemilik sebuah syarikat perancang perkahwinan di sini memohon maaf sambil sedia membayar ganti rugi berikutan peristiwa memalukan pada majlis kenduri sepasang pengantin di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Teluk Bahang dekat sini Ahad lalu yang berakhir dengan lauk-pauk menjadi basi manakala nasi yang ditanak pula mentah.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 25, berkata, kejadian itu memang mengejutkan kerana ia kejadian pertama selepas 20 tahun keluarganya menerima tempahan memasak sajian kenduri di negeri ini.
Menurutnya, lauk dalca, daging masak hitam serta ayam masak merah itu mula dimasak pada pukul 6 pagi di rumah keluarganya di Batu Feringghi.
Kata Nor, semua bahan mentah dibeli sehari sebelum kenduri bagi memastikan kesegaran manakala susu cair pula digunakan untuk menggantikan santan agar masakan seperti ayam dan daging lebih tahan lama.
"Saya tidak sangka semua ini boleh berlaku. Lauk-pauk yang siap dimasak juga terlebih dulu dicuba sendiri oleh tukang masak sebelum dihantar ke tempat kenduri yang hanya 10 minit dari rumah.
"Kami minta maaf sebab benda sudah nak terjadi dan sekiranya mereka mahu tuntut ganti rugi kami akan bayar semula semua lauk yang basi," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kemeriahan majlis persandingan Nazurah Romai, 21 dan suaminya, Nazli Che Amat, 22, bertukar kecoh apabila lauk-pauk yang disajikan basi.
Akibatnya, lebih 1,000 tetamu jemputan terpaksa pulang dengan perut kosong.

Pukul amah guna batang mop

SURYANI kini di bawah pengawasan polis selepas mendakwa menjadi mangsa dera majikannya di Sungai Petani sejak dua minggu lalu.


SUNGAI PETANI - Sehari selepas akhbar melaporkan mengenai seorang pembantu rumah Indonesia mendakwa didera majikan berketurunan Cina, polis berjaya menyelesaikan kes itu berikutan tertangkapnya dua beranak di Taman Patani Indah di sini kelmarin.
Susulan tangkapan itu, dua beranak berusia 61 dan 29 tahun yang merupakan majikan mangsa direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau sebat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat pada pukul 11.30 pagi kelmarin.
Katanya, dua beranak itu diberkas di rumahnya pada pukul 7.30 malam.
"Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dengan batang mop di badan dan muka. Mangsa telah bekerja dengan suspek sejak April lalu dan kerap dipukul sejak dua minggu kebelakangan ini.
"Ekoran itu, dia mengalami kecederaan dan lebam pada muka dan mata kiri selain sakit dada serta punggung," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, amah yang dikenali sebagai Suryani, 24, dari Jakarta, Indonesia cedera teruk di muka dan badan selepas mendakwa didera oleh majikannya sejak beberapa minggu lalu.
Selain itu, dia juga mendakwa dikerah untuk bekerja seawal pukul 5 pagi hingga lewat malam setiap hari dan sering dimaki hamun.
Suryani kemudian melarikan diri pada pukul 12 tengah hari Ahad lalu sebelum diselamatkan seorang wanita di Taman Sejahtera yang terletak berhampiran rumah majikan mangsa.

Lima korban kemalangan ngeri


BEGINILAH keadaan MPV jenis Hyundai Starex yang remuk hingga mengorbankan lima nyawa di Slim River semalam.


SLIM RIVER - Hasrat 11 rakan untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan di Muar, Johor berkecai apabila lima daripadanya maut, empat parah dan dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah Selatan dekat sini semalam.
Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; budak, Juvien Chin Yu Xuan, 12, serta Poh Hock Huat, 60, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini dan Hong Choon Tee, 33, mati di tempat kejadian.
Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.
Tiga penumpang, Bu Wei Hong, 50; Heng Ah Lee, 60, dan Lim Tau Hong, 3, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi HSR.
Sementara itu, Chong Soon Choy, 61, patah tangan manakala dua lagi, Ho Seok Yi, 18, dan Goey Wen Ni, 16, cedera ringan. Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Hyundai Starex yang dipandu Soon Choy.
Kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa putus kepala selain hancur anggota badan.
Ia berlaku tujuh hari selepas kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad yang maut dirempuh treler semasa bertugas di lorong kecemasan, lebuh raya sama yang terletak kira-kira 78 kilometer dari sini.
Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Muar bagi memenuhi satu jemputan melakukan persembahan kebudayaan Cina.

Mohon permit untuk buru Bujang Pasir


KEJADIAN serangan buaya tidak menghalang orang ramai untuk terus berkunjung dan mandi-mandi di Pantai Pasir Panjang, Santubong semalam.


KUCHING - Jabatan Hutan Sarawak bersedia mengeluarkan permit memburu dan menangkap buaya yang digelar Bujang Pasir selepas ia kembali mengganas dengan menyerang mangsa keduanya dalam tempoh tiga bulan di Pantai Pasir Panjang, Santubong dekat sini pada petang Ahad lalu.
Pegawai Hutan Sarawak, Asan Odou berkata, permit itu hanya diluluskan jika terdapat permohonan daripada penduduk setempat menerusi Pejabat Daerah Kuching untuk memburu dan menangkap reptilia tersebut.
Menurutnya, permit itu akan diluluskan dalam tempoh 24 jam sekiranya ada keperluan mendesak atas kepentingan keselamatan awam.
"Mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak, jabatan hanya mengeluarkan permit untuk tempoh dua minggu sahaja bagi menangkap serta membunuh buaya.
"Namun, jika ada keperluan kami boleh melanjutkan tempoh permit itu," ujarnya ketika dihubungi semalam.
Asan menambah, operasi tersebut mesti dilaksanakan oleh polis dengan kerjasama mana-mana pihak berkaitan di samping perlu diawasi wakil Jabatan Hutan dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Golongan putus cinta, kaki ekor mudah ditipu

KANGAR - Golongan putus cinta, kaki ekor, warga emas dan pesakit adalah antara yang paling mudah terperangkap dalam jenayah komersial termasuk penipuan oleh bomoh dan tukang tilik palsu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) semalam.
Katanya, kebanyakan mangsa yang terpedaya sanggup menyerahkan wang mereka sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengubah nasib, mengubati penyakit atau menghindari nasib malang mereka.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kesedaran Jenayah Peringkat Negeri Perlis di sini semalam, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang meragukan kerana penjenayah sentiasa mencari mangsa yang terdesak atau ditimpa malang sebagai modus operandi mereka.
Syed Ismail berkata, penggunaan Internet secara meluas juga mendorong penjenayah mengambil kesempatan di atas kelalaian pengguna untuk menipu termasuk menganjurkan pembelian menerusi Internet.

Ditawan penyamun kalah judi


ORANG ramai berkumpul untuk mengetahui perkembangan kes pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai semalam.


KUALA KRAI - Suasana tenang di Dataran Guchil di sini semalam bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.
Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan.
Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.
Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.
Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.
Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.
"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.
"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.
Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.
"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya.

Sampel tulang Arafat diambil

KUBUR Arafat sebelum digali.


RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat dikebumikan semula semalam di kuburnya di sini selepas sampel daripada tulangnya diambil untuk diuji sama ada terdapat tanda-tanda beliau diracun.
"Pada pukul 5 pagi waktu tempatan, liang lahad itu mula digali dengan cermat," kata sumber Palestin.
"Operasi tersebut telah tamat dan kuburnya telah dikambus semula manakala sampel yang diambil telah diberikan kepada pakar dari Perancis, Switzerland dan Rusia," kata sumber berkenaan.
Proses pengambilan sampel tulang Arafat itu dilakukan oleh seorang doktor Palestin yang diperhatikan oleh pakar dari tiga negara tersebut.
"Sampel tulang Arafat diambil dari dalam liang lahadnya dan kemudian dipindahkan ke sebuah masjid," kata sumber berkenaan.
Keputusan daripada sampel yang diambil itu akan diketahui dalam masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Proses pengambilan itu dibuat secara tertutup.
Sampel yang diambil itu bertujuan untuk menguji kewujudan bahan radioaktif, polonium yang merupakan sebahagian daripada siasatan baharu sama ada bekas presiden Palestin itu diracun.
Siasatan tersebut dibuat ekoran laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai penemuan sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat polonium pada barang peribadi milik Arafat.
Perancis membuka siasatan terhadap kematian Arafat yang dikemukakan pada Ogos lalu atas permintaan balu beliau, Suha.
Arafat meninggal dunia selepas kesihatannya merosot dengan mendadak di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika beliau berusia 75 tahun.
Pada sidang akhbar, Dr. Abdullah al-Bashir yang mengetuai pasukan perubatan bagi menyiasat kematian Arafat memberitahu, sampel tersebut amat kecil.
"Ia hanya seberat beberapa miligram dan 20 sampel diberikan kepada setiap pihak (yang terlibat dalam siasatan itu)," katanya.
Sementara itu, Suha berkata, misteri paling penting di Asia Barat semakin hampir menemui penyelesaian.
"Kita perlu tahu kenapa beliau meninggal dunia," katanya kepada akhbar Times of Malta di rumahnya di Malta.
Beliau juga menafikan pernah menentang bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Arafat.
Dalam perkembangan berkaitan, kepimpinan Palestin akan mengemukakan petisyen di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda jika terdapat bukti bahawa Arafat telah diracun.
"Jika terbukti beliau diracun, kami akan mengemukakan dakwaan di mahkamah antarabangsa," kata Ketua Suruhanjaya Siasatan Kematian Arafat, Tawfiq Tirawi. - Agensi

Pembikin filem anti-Islam tidak menyesal hina nabi

NEW YORK - Seorang penganut Kristian Koptik kelahiran Mesir yang menghasilkan filem anti-Islam dan mencetuskan protes di seluruh dunia Islam menyatakan dia tidak menyesal menghina Nabi Muhammad SAW, menurut satu temu ramahnya dengan akhbar New York Times.
Dalam komen umum pertama sejak filem berdurasi selama 14 minit bertajuk Innocence of Muslims mencetuskan kemarahan pada September lalu, penganut Kristian tersebut, Mark Basseley Youssef memberitahu New York Times, dia mahu mendedahkan apa yang digelarnya 'kebenaran sebenar' dan meningkatkan kesedaran mengenai keganasan yang dilakukan atas nama Tuhan.
Filem itu turut menyentuh tentang sentimen anti-Amerika di negara Arab dan dunia Islam.
Youssef menjelaskan punca di sebalik pembikinan filem tersebut adalah kerana kekejaman penganut Islam itu sendiri.
Ia dihasilkan selepas insiden seorang lelaki Islam membunuh 13 orang di Fort Hood, Texas pada 2009.
Kejadian itu menyebabkan dia berasa semakin marah.
Temu ramah itu dijalankan secara bertulis menerusi peguamnya.
"Saya fikir, sebelum skrip filem itu ditulis, saya patut membakar diri sendiri di tengah-tengah orang ramai supaya rakyat Amerika dan dunia tahu mesej yang ingin saya sampaikan," kata Youssef.
Youssef yang turut dikenali sebagai Nakoula Basseley Nakoula dikenakan hukuman penjara selama setahun kerana melanggar peraturan pembebasannya dari penjara atas kesalahan menipu bank. - Reuters

Ular sawa gergasi muntah semula lembu yang dibahamnya


GAMBAR yang dirakamkan daripada YouTube semalam menunjukkan seekor ular sawa gergasi memuntahkan seekor lembu (dalam bulatan) yang dibahamnya di sebatang sungai di Brazil.


RIO DE JANEIRO - Seekor ular sawa gergasi memuntahkan semula seekor lembu yang dibaham haiwan tersebut di sebuah hutan di Brazil, menurut beberapa laporan kelmarin.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline, hampir 66,000 orang telah menyaksikan rakaman video ular tersebut di laman YouTube dalam tempoh dua hari.
Kejadian itu berlaku di sebatang sungai di dalam hutan tersebut.
Ular itu kemudian meninggalkan bangkai lembu tersebut selepas ia memuntahkannya. - Agensi

Taman tema tandas pertama di dunia di Korea Selatan


BEBERAPA kanak-kanak melihat patung-patung manusia yang mencangkung di sebuah taman tema tandas di Suwon pada 22 November lalu.


SUWON - Taman tema tandas pertama di dunia terdapat di bandar ini yang terletak sejam perjalanan dari Seoul, Korea Selatan.
Tandas tradisional cangkung Korea Selatan dan mangkuk tandas seperti yang digunakan pesakit di hospital merupakan antara bahan pameran di taman tema itu.
Patung-patung manusia dan kanak-kanak yang sedang membuang air besar juga terdapat di taman berkenaan.
Sebuah muzium tandas juga terdapat di bandar ini.
Muzium itu mempunyai rekabentuk seperti tandas dan ia pernah menjadi kediaman pengasas Persatuan Tandas Dunia, Sim Jaek-duck.
Jaek-duck meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 70 tahun.
Beliau merupakan bekas datuk bandar ini dan pernah mendermakan tandas untuk kegunaan para peminat sukan semasa Korea Selatan menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak Piala Dunia 2002. - Agensi

Wajah bekas kekasih Berry kena belasah


BERRY dan Martinez menghadiri tayangan perdana filem Cloud Atlas di Hollywood pada 24 Oktober lalu.


LOS ANGELES - Bekas teman lelaki aktres terkenal, Halle Berry mendakwa tunang pelakon wanita itu mengancam untuk membunuhnya sebelum mereka saling bergaduh.
Dalam pergaduhan itu, tulang rusuk bekas teman lelaki Berry, Gabriel Aubry retak, mukanya lebam dan kemudian ditangkap polis.
Dakwaan bekas kekasih Berry itu terdapat dalam fail mahkamah.
Ia menyebabkan seorang hakim pada Isnin lalu mengeluarkan satu perintah bagi menghalang tunang Berry, Olivier Martinez menghampiri Aubry.
Aubry, 37, yang merupakan seorang model ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan kecil iaitu memukul selepas terlibat dalam pergaduhan bersama Martinez pada Khamis lalu di rumah Berry di Beverly Hills.
Bagaimanapun, Aubry dalam kenyataan di mahkamah memberitahu bahawa bukan dia yang memulakan serangan.
Sebaliknya, dia telah diugut dan diserang tanpa provokasi.
Laporan mahkamah menyatakan, Martinez yang juga seorang pelakon telah memberitahu pihak polis bahawa Aubry telah menyerangnya terlebih dulu.
Seorang peguam bela Martinez tidak dapat dihubungi ketika ini untuk mendapatkan kenyataan.
Aubry dalam kenyataannya kepada mahkamah mendakwa Martinez telah mengugutnya sehari sebelum pergaduhan berlaku pada sebuah majlis di sekolah anak perempuan Berry yang dihadirinya dan pelakon lelaki tersebut.
Anak perempuannya berusia empat tahun itu adalah hasil hubungannya dengan Berry.
Berry dan Aubry sebelum ini terlibat dalam kes hak penjagaan anak mereka.
Bagaimanapun, Aubry kemudian berkongsi hak penjagaan anaknya itu dengan aktres tersebut.
Aubry telah pergi ke rumah Berry supaya anaknya boleh menyambut Hari Kesyukuran bersama ibunya pada hari kejadian.
Menurut Aubry, Martinez mengugut mahu membunuhnya jika dia tidak berpindah ke Paris. - Agensi

No comments:

Post a Comment