Friday, September 17, 2010

BERITA DUNIA HARUS DIAMBIL IKTIBAR

DUNIA


Ibu buang bayi kerana dirogol majikan


GAMBAR fail menunjukkan seorang jururawat mendukung bayi yang ditemui dalam beg sampah di dalam pesawat Gulf Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila pada Ahad lalu.


MANILA - Seorang wanita Filipina mengaku melahirkan seorang bayi di dalam sebuah pesawat sebelum dia membuang anaknya itu ke dalam beg sampah di dalam tandas pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa Ninoy Aqiono di sini pada Ahad lalu, kata seorang Ahli Dewan Perwakilan Rakyat, Lani Mercado semalam.
Menurutnya, wanita Filipina itu hamil selepas dia dirogol oleh majikannya semasa dia bekerja sebagai pembantu rumah di Qatar.
"Dia berasa sakit untuk melahirkan anak," kata Mercado yang menemui wanita berkenaan di sebuah ibu pejabat siasatan polis di sini.
Menurutnya, wanita itu terpaksa membuang anaknya kerana dia berasa bimbang akan mendapat tanggapan buruk daripada keluarganya sendiri.
Mercado berkata, wanita itu menjelaskan isteri majikannya memaksanya kembali ke Filipina sekali gus menyebabkan dia terpaksa menyembunyikan kehamilannya.
Pada Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan lapangan terbang itu menemui bayi seberat tiga kilogram yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kertas tisu di dalam sebuah beg sampah dari pesawat yang tiba dari Bahrain.
Pihak berkuasa berjaya mengesan wanita itu di Apayao kelmarin sebelum menahannya untuk disoal siasat di sebuah ibu pejabat siasatan polis di Manila.
Identiti wanita itu diketahui selepas para penyiasat mencari nama penumpang yang duduk di sebuah kerusi yang didapati mempunyai kesan darah. - AP


DUNIA


Haiwan aneh ditemui di Kenya


KAMERA yang dipasang di Hutan Boni-Dodori menunjukkan seekor haiwan aneh mencari makanan di Kenya.


NAIROBI - Sejenis mamalia ganjil dipercayai spesies baru tikus kasturi gajah berjaya dirakamkan di hutan Boni-Dodori, pedalaman timur laut Kenya baru-baru, lapor sebuah akhbar semalam.
Saintis-saintis percaya bahawa mamalia sebesar seekor kucing yang mempunyai belalai dan memakan serangga itu merupakan spesies baru tikus kasturi gajah.
Haiwan ganjil itu yang menyerupai kombinasi seekor tenggiling dan kancil pertama kali dirakamkan di Hutan Ndundulu, Tanzania pada 2005.
Namun, beberapa perangkap kamera dipasang di hutan Boni-Dodori selepas seorang ahli Persatuan Zoologi London (ZSL), Grace Wambui terserempak dengan makhluk aneh itu. - Agensi


DUNIA


Lembu terkecil di dunia


GAMBAR yang disiarkan Guinness World Records menunjukkan lembu
terkecil dunia, Swallow (kanan) bersama dengan seekor lembu jantan.


LONDON - Seekor lembu kerdil yang meminati muzik kontemporari dinamakan sebagai lembu terkecil di dunia oleh Guinness World Records, lapor sebuah akhbar semalam.
Pihak pengurusan Guinness menyatakan, lembu sebesar seekor biri-biri itu berasal dari kawasan Yorkshire Barat, utara England dan berukuran 84 sentimeter panjang.
Lembu tersebut berusia 11 tahun dan dinamakan Swallow.
Pemiliknya, Caroline Ryder berkata, Swallow kerap menghabiskan masa dengan memakan rumput atau mendengar radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) di bangsalnya.
Swallow berasal dari baka lembu Dexter yang terkenal kerana saiznya yang kerdil tetapi haiwan tersebut jauh lebih kecil berbanding kebanyakan lembu Dexter lain. - AP


DUNIA


Bersenam bukan cara kuruskan badan

LONDON - Satu kajian menunjukkan bahawa bersenam bukannya cara terbaik untuk menurunkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian itu menyatakan penurunan bilangan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah dan peningkatkan bilangan orang menonton televisyen didapati bukan penyumbang kepada berat badan.
Menurut kajian itu, kanak-kanak yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta akan menghabiskan masa untuk berlari di taman permainan.
Menurut seorang pakar dari Universiti Aberdeen, Profesor John Speakman, pada tahun 1950an, tidak ada seorang pun yang membeli sebuah basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj.
Namun, katanya, ketika ini ramai orang yang menggunakan basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj untuk menguruskan badan.
Justeru, katanya, seseorang manusia kini bukannya tidak aktif jika dibandingkan 20 tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan masalah kegemukan sebenarnya disebabkan seseorang itu makan terlalu banyak dan bukannya kurang melakukan senaman. - Agensi



DUNIA


Saman kerajaan setelah kurus




LONDON - Seorang penasihat kewangan, Tim Daily (gambar) menyaman Perkhidmatan Kesihatan Awam Britain (NHS) milik kerajaan selepas badannya kurus disebabkan pembedahan pintasan perut, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum dibedah, Daily, 47, mengalami masalah kesihatan seperti strok, sakit jantung dan diabetes manakala badannya seberat 152.4 kilogram.
Ketika itu, doktor-doktor menasihatinya dia menjalani pembedahan pintasan perut bagi menurunkan berat badan.
Walaupun pembedahan yang menelan kos £12,000 (RM58,360) itu berjaya membantu Daily menurunkan separuh berat badannya dalam tempoh empat bulan, lelaki itu berkata, hidupnya menderita kerana dia tidak dapat menelan makanan pejal.
Dia kini terpaksa makan menerusi tiub yang disambungkan terus ke dalam perutnya. - Agensi








DUNIA


Baju dihasilkan daripada semburan khas


DR. MANEL menyembur badan seorang model menggunakan semburan khas.


MADRID - Seorang pereka fesyen dari Sepanyol, Dr. Manel Torres mencipta semburan khas yang boleh menghasilkan baju dan dipakai seperti pakaian biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia bekerjasama dengan Paul Lauckham yang merupakan Profesor Teknologi Partikel di Kolej Imperial London untuk menghasilkan semburan baju tersebut yang dinamakan Fabrican selepas melakukan penyelidikan selama 10 tahun.
Pakaian segera itu dihasilkan daripada campuran fiber kapas, polimer dan pelarut untuk membentuk larutan sebelum dimasukkan ke dalam tin aerosol.
Pengguna cuma perlu menyembur baju segera itu yang didatangkan dalam pelbagai warna dan membiarkannya kering dalam tempoh kurang 15 minit.
Baju segera itu boleh ditanggalkan, dibasuh dan dipakai semula oleh penggunanya. - Agensi


DUNIA


Haiwan mirip lembu bertanduk dua ditemui


GAMBAR menunjukkan haiwan mirip lembu tetapi mempunyai dua tanduk di kepala yang ditangkap di wilayah Bolikhamxay, Laos pada Ogos lalu.


VIENTIANE - Seekor haiwan mirip lembu yang mempunyai dua tanduk di bahagian kepala telah dilihat buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad selepas ia ditangkap oleh penduduk kampung di wilayah Bolikhamxay, Laos, lapor sebuah akhbar semalam.
Haiwan itu yang mempunyai bentuk seperti lembu liar tetapi mempunyai dua tanduk dikenali dengan nama Saola.
Apabila berita Saola ditangkap pada lewat Ogos lalu tersebar, anggota-anggota Pertubuhan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar dihantar untuk memeriksa dan melepaskan binatang tersebut yang kali terakhir dilihat pada 1999.
Malangnya, Saola dewasa itu mati dan gambarnya ketika hidup sempat dirakamkan. - Agensi

No comments:

Post a Comment