SUSPEK dibawa ke lokasi senjata yang dibuang dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain di Sungai Kanchong Laut, semalam. - Foto Abdullah Yusof
Sep 14, 2010 5:57 am
NEGARA
Peguam disiasat kes wang haram
KUALA LUMPUR - Polis menyiasat kemungkinan aset mencecah jutaan ringgit dimiliki peguam Datuk K. Patmanaban, 41, yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain adalah hasil pengubahan wang haram.Satu sumber berkata, daripada semakan kedudukan kewangan peguam itu, latar belakang Patmanaban mencurigakan.
"Jika terbukti ada penglibatan, dia seorang bijak kerana mampu menyembunyikan kegiatan itu di sebalik pengaruhnya.
"Malah penglibatannya itu juga terselindung kerana dia mempunyai perniagaan termasuk mengusahakan ladang ternakan ayam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat," kata sumber itu yang ditanya mengenai perkembangan awal siasatan aset Patmanaban
NEGARA
Sosilawati dikebumi di kampung
BATU PAHAT - Keluarga arwah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, berhasrat untuk mengebumikan jutawan kosmetik di kampungnya, di Kampung Seri Menanti, Sri Medan di sini.
Adik iparnya, Misjan Jamikan, 48, berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak arwah di Kuala Lumpur malam kelmarin.
"Saya mahu arwah disemadikan dengan sempurna dan kematian itu perlu ada tanda (kubur) agar kami boleh menziarahinya.
"Anak-anak Sosilawati perlu ke hospital untuk mendapatkan tulang-tulang atau apa saja untuk dibawa balik dan saya akan uruskan yang lain di kampung ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Menanti semalam
NEGARA
Saudagar batu permata hilang
KUALA LUMPUR - Polis menyiasat kemungkinan kehilangan empat ahli perniagaan termasuk seorang saudagar batu permata warga India turut mempunyai kaitan dengan lapan lelaki yang ditahan berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.Tiga rakyat tempatan yang hilang itu membabitkan seorang lelaki Melayu manakala dua lagi lelaki berketurunan India.
Polis menyiasat sama ada kehilangan tiga warga tempatan itu berlaku ketika mereka melakukan urusan perniagaan dengan peguam Datuk K. Patmanaban yang ditahan reman kelmarin.
Sumber itu berkata, saudagar batu permata bernama Alla Kantan Muthu Raja, 34, dari Chennai, India dipercayai hilang semasa dia melakukan urusniaga di Banting.
Kehilangan empat mangsa itu dilaporkan secara berasingan antara April dan Mei lalu.
Sejak itu tidak ada apa-apa petunjuk mengenai kedudukan keempat-empat mangsa itu.
Desak kembalikan wang
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Desakan meminta supaya suspek utama iaitu peguam bergelar Datuk mengembalikan wang miliknya dipercayai menjadi punca jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersamanya dibunuh dengan kejam.Akibat dihantui rasa tamak, suspek yang berusia 41 tahun itu dikatakan enggan memulangkan wang tersebut dan hilang sifat kemanusiaan sehingga tergamak membunuh keempat-empat mangsa.
Utusan Malaysia difahamkan, Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek dipulangkan.
Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.
Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, untuk menemaninya berjumpa dengan suspek.
Difahamkan, suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.
Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan oleh polis.
Setakat ini, Utusan Malaysia diberitahu, polis sudah pergi ke rumah dan pejabat suspek untuk melakukan siasatan terhadap dokumen yang dimilikinya termasuk beberapa buku cek yang ditemui di pejabat guamannya.
Pembunuh profesional mungkin terlibat
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pembunuh profesional atau kumpulan samseng dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.Pembunuh profesional atau kumpulan samseng itu dikatakan bekerjasama dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan sebagai suspek utama termasuk salah seorangnya bergelar Datuk bagi melakukan pembunuhan kejam itu sebelum membakar mayat mereka.
Menurut sumber, siasatan juga mendapati Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.
Selain itu, kata sumber tersebut, setakat ini pihak polis telah mendapat maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperolehi secara tidak sah, selain kes-kes membabitkan penipuan terancang.
Semalam, polis mengesahkan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin ,44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu dibunuh.
Mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, di Morib.
Selain Datuk itu dan adiknya, polis turut menahan enam individu lain termasuk dua wanita.
Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, kejayaan polis membongkar kes pembunuhan itu dalam tempoh singkat berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pesanan yang ditinggalkan Sosilawati.
"Polis bernasib baik kerana mangsa sempat meninggalkan pesanan kepada ahli keluarganya memaklumkan lokasi dan individu yang mahu ditemui pada hari dia dilaporkan hilang.
"Maklumat penting ini membolehkan polis menjejaki suspek dua beradik terbabit sebelum berjaya diberkas Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, siasatan polis juga mendapati suspek bergelar Datuk tersebut kerap menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk menawarkan khidmat guaman secara percuma.
Malah, dia juga dikatakan bijak menarik perhatian masyarakat menyebabkan firma guamannya menjadi popular dan ramai pelanggan berminat mendapatkan khidmat termasuk golongan kenamaan.
Difahamkan, peguam terbabit pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya oleh majikan dan kes-kes membabitkan gangguan seksual.
Selain itu, menurut sumber polis, dua beradik berkenaan pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Peguam Malaysia, tiga tahun lalu iaitu mulai 9 Mac 2007 sehingga 30 Mac 2008.
"Kedua-dua mereka bersama seorang lagi proksi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.
"Tindakan ini menyebabkan Datuk berkenaan dan adiknya tidak layak untuk menjalankan amalan guaman dan menawarkan khidmat guaman kepada orang ramai," katanya.
Menurut sumber itu lagi, adik Datuk itu pula pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah yang dimiliki seorang wanita bernilai RM200,000 pada akhir tahun lalu.
Beliau berkata, kes tersebut menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah pada awal Ogos lalu.
"Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
"Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September ini," katanya
Cari bukti mangsa dibunuh
KUALA LANGAT 13 Sept. - Suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan kerana dipercayai terlibat membunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain baru-baru ini dibawa sekali lagi ke lokasi kejadian di Ladang Gadong dekat sini hari ini bagi membantu siasatan.Difahamkan, ini merupakan kali kedua polis membawa suspek itu ke ladang tersebut yang dikatakan menjadi tempat keempat-empat mangsa dibunuh, dibakar dan abunya dibuang di Sungai Kanchong Laut, tidak jauh dari situ.
Sumber polis memberitahu, suspek dibawa kira-kira pukul 3 pagi ke ladang itu selama hampir sejam oleh sepasukan polis ketika pasukan forensik polis dan sekumpulan pegawai Jabatan Kimia melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci untuk mencari bukti dalam kes tersebut.
Sosilawati, jutawan kosmetik berusia 47 tahun itu bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Usahawan wanita terkenal itu dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek sebelum berita kehilangannya dilaporkan.
Semalam, polis mengesahkan empat suspek yang ditahan mengaku mereka memukul kesemua mangsa hingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke sungai.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin semalam memberitahu, pihaknya tidak dapat mengesahkan kematian keempat-empat mangsa sehingga mendapat pengesahan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, tinjauan di pejabat peguam tersebut yang terletak bertentangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, terdapat pita kuning Polis Diraja Malaysia diletakkan pada pintu premis itu.
Pasukan polis juga masih mengawal ketat jalan masuk ke ladang tersebut dan petugas-petugas media yang menunggu di situ tidak dibenarkan masuk ke dalam seperti semalam.
Namun, keadaan itu tidak begitu sesak berbanding semalam berikutan orang ramai yang singgah untuk mengetahui lebih dekat tentang kes pembunuhannya di luar jangkauan minda itu
Polis cari senjata suspek
KUALA LANGAT 13 Sept. - Batang besi sepanjang 30.5 sentimeter dan mempunyai cangkuk di depannya merupakan salah satu senjata yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.Berikutan itu polis hari ini giat menjalankan usaha mengesan batang besi tersebut yang dipercayai dibuang ke dalam Sungai Kanchong Laut, di sini.
Perkembangan siasatan itu berdasarkan maklumat daripada seorang suspek yang dibawa ke sungai tersebut pada petang ini dan menunjukkan tempat senjata berkenaan dibuang di situ, berdekatan jeti Kampung Endah.
Berdasarkan maklumat itu, lima penyelam Pasukan Gerakan Marin (PGM) telah menyelam di dasar sungai untuk mencari senjata tersebut bermula pukul 4.30 petang sebelum menamatkan operasi pada pukul 7 malam.
Pasukan tersebut dilihat melakukan kerja-kerja mencari termasuk di kawasan di bawah jambatan serta menebas rimbunan keladi bunting di tebing sungai berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan pasukan penyelam itu masih gagal menemui senjata tersebut.
Dalam perkembangan lain, seorang pegawai polis yang turut berada berhampiran kawasan sungai itu dilihat memegang bungkusan plastik yang di dalamnya terdapat seutas jam tangan, dipercayai barangan milik salah seorang mangsa, tetapi tidak diketahui lokasi ia ditemui.
Operasi mencari di Sungai Kanchong Laut telah menarik perhatian penduduk setempat apabila lebih daripada 50 orang berhimpun untuk melihat gerakan mengesan senjata tersebut dilakukan.
Sosilawati yang berusia 47 tahun bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan sejak 30 Ogos lalu.
Semalam, polis mengesahkan berdasarkan pengakuan empat suspek, keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, di sini.
Semalam ketika melakukan siasatan dengan menyelam di Sungai Panchau polis menemui sejumlah tulang dan barang-barang dipercayai milik mangsa.
Pasukan forensik Jabatan Polis dan pegawai Jabatan Kimia difahamkan masih berada di Ladang Gadong untuk mencari dan mengumpul bukti berkaitan kes itu
Sosilawati berkeras ajak anak sulung ke Banting
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan dibunuh dengan kejam, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 25, berkeras tidak mahu menemani ibunya ke Banting pada hari kejadian.
Biarpun dipujuk berkali-kali oleh pengasas produk kosmetik Nouvelles Visages itu, namun kerana tugasnya sebagai penganjur kepada satu majlis berbuka puasa bersama rakan-rakan lama kolejnya, beliau menolak ajakan ibunya itu.
Ibu jalani ujian DNA hari ini
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Yatimi Abdul Rahman, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya akan menjalani ujian Asid Deosiribonukleik (DNA) di Hospital Kuala Lumpur, esok.Utusan Malaysia diberitahu, anak sulung jutawan berkenaan, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi telah dihubungi oleh pihak polis hari ini bagi membantu membawa neneknya menjalani ujian tersebut.
Walaupun Yatimi, 80, sepatutnya berbuat demikian hari ini tetapi ia tidak dapat dilakukan memandangkan wanita berkenaan sudah pulang ke rumahnya di Batu Pahat.
Difahamkan ujian tersebut dilakukan bagi membolehkan polis memadankan sampel cebisan tulang yang ditemui di Banting semalam dengan sample DNA ahli keluarga mangsa.
Semalam, polis mengesahkan Sosilawati, 47 dan tiga yang lain iaitu peguam, Ahmad Kamil Abd.Karim, 32, pemandu peribadi Kamaruddin Shamsudin, 44 dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dibunuh dan dibakar sebelum abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Morib
Keluarga sambut ulang tahun tanpa Noorhisham
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Walaupun pihak polis mengesahkan Noorhisham Mohammad merupakan salah seorang yang dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, ahli keluarga pegawai bank itu tetap meneruskan majlis doa selamat dan tahlil sempena hari kelahirannya hari ini.Isteri mangsa, Suzana Raden Pangat berkata, nalurinya sebagai isteri kuat mengatakan suaminya masih hidup dan akan pulang kerana anak-anak mereka merinduinya.
"Keluarga kami akan mengadakan majlis doa selamat malam ini di sini dan kebetulan hari ini adalah hari ulang tahun kelahirannya.
"Sepatutnya kami akan meraikan bersama seperti yang dijanjikan tetapi kehilangannya telah memusnahkan semua impian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Seraya, Ampang dekat sini hari ini.
Namun Suzana juga berkata, dia akan menerima dengan penuh keredaan jika ujian forensik mengesahkan suaminya turut terlibat dalam kes pembunuhan kejam tersebut.
"Jika ujian forensik mengesahkan dia benar-benar mati dibunuh, saya perlu kuat kerana masih mempunyai tiga anak yang harus dibesarkan," katanya.
Hasil perkahwinannya dengan Noorhisham, 38, yang bekerja dengan cawangan CIMB kampung Baru itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamad Azri Shadan, 14, Nur Aneesa Salbiah, 11, dan Mohamad Faiz Rizmi, 5.
Selain Noorhisham, turut dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu ialah peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pemandu peribadi ahli perniagaan itu, Kamaruddin Shamsudin, 44.
Suzana dalam keadaan sebak kemudiannya berkata, jika benar suaminya telah dibunuh dan dibakar mayatnya, ia merupakan satu tindakan yang amat kejam.
Suzana berkata, suaminya juga merancang untuk pulang berhari raya ke kampungnya di Muar sempena Aidilfitri Jumaat lalu namun tidak kesampaian ekoran kejadian itu
Senjata cangkuk diguna bunuh Sosilawati
2010/09/14
ANGGOTA forensik bersama jam tangan (dalam bulatan) yang ditemui ketika mencari bukti kes bunuh Sosilawati di Sungai Kanchong Laut.
Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.
Dalam operasi bermula jam 4.30 petang yang turut mendapat bantuan Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin, polis bagaimanapun hanya menjumpai seutas jam tangan dipercayai milik seorang mangsa, manakala cangkuk berkenaan gagal ditemui.
“Pasukan penyelam yang mencari semua bahan bukti itu, termasuk senjata terbabit, menghadapi kesukaran kerana air sungai terlalu keruh dan cetek,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari bahan bukti itu terpaksa dihentikan, kira-kira 7 malam berikutan keadaan gelap.
Kelmarin, polis menemui beberapa spesimen, termasuk tulang dipercayai milik mangsa yang dibuang dalam Sungai Mesuk dan Panchau. Beberapa barang peribadi mangsa turut ditemui daripada beberapa suspek dan di tempat kejadian, termasuk jam tangan Sosilawati.
Pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, terbongkar selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa sejak 30 Ogos lalu.
Sementara itu, tinjauan di firma peguam terbabit di Jalan Sultan Alam Shah di sini, mendapati premis itu ditutup dan diletakkan garisan polis, petang semalam.
Difahamkan, premis itu adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek.
Sumber memberitahu firma guaman itu dipercayai lokasi urus niaga di antara suspek dan mangsa dilakukan sebelum ini, manakala tinjauan di rumah suspek utama di Taman Cempaka di sini mendapati ia tidak berpenghuni dan berkunci.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa dua beradik peguam itu dipercayai tiba di tanah air malam kelmarin selepas sebulan bercuti di India sebaik dimaklumkan mengenai penahanan kedua-dua anak mereka
Tulang, abu mangsa wajib disembahyang
2010/09/14
Penyempurnaan pengebumian boleh diurus seperti jenazah biasa
KUALA LUMPUR: Walaupun yang tinggal hanya cebisan tulang dan abu mayat, jenazah keempat-empat mangsa pembunuhan iaitu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, masih boleh diurus dan disempurnakan pengebumiannya seperti jenazah biasa
Bagaimanapun, ada keringanan dalam memandi dan mengkafankan jenazah kerana dikhuatiri proses itu akan mengakibatkan kerosakan teruk dan menjejaskan keseluruhan bahagian yang masih tinggal kerana ia tidak lagi sempurna dan sukar dikenal pasti.
Tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata walaupun keadaan mayat langsung tidak dikenali dan hanya tinggal tulang, semua tulang dan abu milik mangsa perlu dikumpul dan dibungkus dengan kain putih secara tertib dan disembahyang serta dikebumikan seperti biasa.
“Apabila semua tulang dan sisa mayat itu dikumpul dan ia disahkan memang mayat mangsa beragama Islam, cukup sekadar berniat ia dimandikan atau ditayammumkan dan ketika ia dibungkus, cukup sekadar berniat mayat dikafankan kerana keadaan fizikal mayat yang tidak mengizinkan, lalu disembahyangkan dan dikebumikan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cara terbaik menguruskan jenazah yang tidak menyerupai fizikal asal termasuk jika jenazah hanya tinggal debu dan tulang akibat terbakar.
Akhbar semalam melaporkan, Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah, dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Abu Hassan yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, berkata setiap mayat umat Islam yang mati wajib disempurnakan dan diurus mereka yang masih hidup iaitu dimandi, dikafan, disembahyangkan dan dikebumikan dengan sempurna.
Bagaimanapun, katanya, keadaan fizikal mayat tidak normal atas beberapa sebab seperti syahid di medan perang, yang tenggelam, sudah menjadi debu dan sebagainya, hanya sebahagian daripada empat perkara itu yang menjadi fardu kifayah.
“Jenazah gagal ditemui, terlalu sukar dikeluarkan atau berada jauh, mengikut hukum fekah sebaik diketahui dan diyakini meninggal dunia, ahli keluarga boleh melaksanakan sembahyang mayat ghaib bagi mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya
Wanita India bongkar ladang maut
2010/09/14
USHARANI bersama Muthuraja dan anak mereka yang berusia tiga tahun.
KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, bimbang suaminya yang hilang sejak 18 Januari lalu turut menerima nasib sama seperti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya
Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.
“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suami menelefon dan memberitahu beliau dijemput dua beradik itu. Mereka saling mengenali sejak 10 tahun.
“Dalam perbualan itu, selain bertanyakan khabar anak perempuan kami berusia tiga tahun, beliau juga memberitahu dua peguam terbabit akan membawanya ke ladang milik mereka di Banting.
“Keesokan harinya (19 Januari), saya cuba menghubungi telefon bimbit suami beberapa kali tetapi gagal.
“Saya bimbang keselamatan suami lalu menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang,” katanya.
Muthuraja antara empat individu yang hilang sejak setahun lalu selepas berurus niaga dengan peguam bergelar Datuk di Banting.
Usharani berkata, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah.
“Dia meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu, bagaimanapun saya tidak mempedulikannya. Pada 20 Februari, saya menerima satu lagi panggilan daripada seorang yang turut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan meminta RM1 juta untuk tujuan sama. Dia meminta RM500,000 sebagai pendahuluan.
“Saya keliru dengan kedua-dua panggilan itu dan sekali lagi hubungi pejabat pesuruhjaya di Kuala Lumpur untuk mendapat kepastian sama ada suami ditahan polis seperti didakwa, namun tiada jawapan,” katanya.
Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia.
“Saya tiba di KLIA pada 8 September lalu dan membuat laporan di Balai Polis Banting. Saya turut memaklumkan suami menyebut beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam di Banting,” katanya.
Difahamkan, berdasarkan maklumat Usharani itulah polis menyerbu Ladang Gadong sebelum menemui lokasi Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh dan dibakar.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan Usharani, tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, sumber polis memberitahu nasib empat mangsa yang hilang belum dapat dipastikan, namun tidak menolak kemungkinan mereka menerima nasib seperti Sosilawati dan rakan.
“Pasukan forensik dan Jabatan Kimia masih meneruskan siasatan termasuk mencari spesimen dan bukti berkaitan empat mangsa itu.
“Suspek dipercayai menjadikan ladang mereka yang lengkap dengan chalet, blok pejabat dan rumah kelab sebagai lokasi bertemu dan memperdayakan mangsa mereka.
“Ia bukan sekadar ladang sawit dan kandang ternakan, tetapi lengkap dengan semua kemudahan. Lokasinya yang terpencil dan dikelilingi tembok setinggi dua meter menyukarkan kegiatan mereka dikesan,” katanya
Suspek utama tawar diri jadi ahli MIC
2010/09/14
GOMBAK: Suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bergelar ‘Datuk’ ada menawarkan diri untuk menyertai MIC tiga hari sebelum dia ditahan pihak polis. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata suspek menyatakan hasrat untuk menyertai parti politik kaum India terbesar di negara ini ketika bersama-sama menghadiri program sumbangan kepada Orang Asli di Bukit Cheding, Banting 8 September lalu
“Sebenarnya saya tidak bercakap lama dengan suspek. Cuma saya minta suspek melengkapkan borang keahlian sebelum hasratnya akan dimaklumkan kepada Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
“Walaupun suspek terlepas daripada hukuman sekali pun, MIC tidak akan mempertimbangkan hasratnya untuk menyertai parti. Ia hanya akan merosakkan parti. Kita hanya mahu ahli yang bersih,” katanya yang ditemui di pekarangan kediaman pengasas Nouvelles Visages di sini, semalam.
Beliau berkata, pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain dianggap kejam dan di luar batas kemanusiaan, selain berharap penjenayah terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Jika benar suspek disabitkan kesalahan, saya sifatkan apa yang dilakukannya sebagai tidak mempunyai otak dan tidak waras. Saya tidak mahu penjenayah kes ini terlepas daripada hukuman, ” katanya.
Sosilawati rancang jual tanah di Bukit Jambul
2010/09/14
KAWASAN lapang dipercayai tanah yang ingin dijual Sosilawati di Bukit Jambul, Pulau Pinang.
GOMBAK: Datuk Sosilawati Lawiya sebenarnya bercadang menjual tanah seluas 4 hektar miliknya di Bukit Jambul, Pulau Pinang sebelum beliau hilang dan bukan mahu membeli tanah di negeri berkenaan seperti dilaporkan sebelum ini.
Pendedahan itu dibuat sahabat karib jutawan kosmetik terbabit, Datuk Suhaimi Ibrahim yang kali terakhir berbual dengan Sosilawati melalui telefon pada 29 Ogos lalu, iaitu sehari sebelum dia dilaporkan hilang.
“Sebelum puasa, Sosilawati berjumpa saya untuk berbincang mengenai penjualan tanahnya di Bukit Jambul, selain mendapatkan nasihat mengenai cadangan mahu menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia.
“Pada perjumpaan itu di Hotel Sheraton dan Hotel Park Royal di Kuala Lumpur, Sosilawati menceritakan cadangan penyenaraian itu dan juga mengenai penjualan tanahnya bernilai RM12 juta di Bukit Jambul dan meminta nasihat saya.
“Malah, dalam perbualan pada 29 Ogos itu, Sosilawati turut mengajak saya ke Banting untuk urusan penjualan hartanah berkenaan, tetapi saya tidak dapat ikut berikutan ada urusan lain. Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan siapa yang akan ditemuinya di Banting,” katanya.
Beliau berkata, tanah terbabit dibeli Sosilawati kira-kira enam tahun lalu dengan harga RM2 juta, dan memutuskan untuk menjualnya pada harga RM12 juta bagi mengumpul aset untuk membolehkan penyenaraian syarikatnya.
Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pertemuan lanjut dirancang pada 31 Ogos, tetapi usaha untuk menghubungi Sosilawati gagal.
“Berikutan itu, saya membuat laporan polis dan memaklumkan kepada media atas nasihat Shahrizat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini, semalam.
Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, tanah milik Sosilawati terletak di kawasan bukit di belakang Universiti Sains Malaysia (USM).
Sumber itu berkata, pada mulanya seorang pemaju dari Negeri Sembilan berminat membelinya, bagaimanapun urusan jual beli gagal kerana tanah berkenaan dikategorikan sebagai kawasan hijau dan mempunyai syarat terhad iaitu pokok di sekitarnya tidak boleh ditebang.
“Apabila tanah terbabit gagal dijual, Sosilawati meminta peguamnya membantu mencari pembeli baru, tetapi saya dimaklumkan peguamnya tidak dapat mencari pembeli sesuai,” kata sumber ketika dihubungi, semalam.
Ladang maut lengkap kemudahan mewah
2010/09/14
BANTING: Ladang persendirian milik suspek utama kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain di Teluk Gadong, Tanjung Sepat di sini, dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan mewah. Ia bukan sekadar dijadikan pusat penternakan ayam dan kambing, selain kebun buah-buahan, malah mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih, termasuk bilik karaoke
Difahamkan, suspek utama bergelar Datuk yang memiliki kekayaan luar biasa termasuk aset hartanah dan kereta mewah itu, dipercayai menjadikan ladang berkenaan sebagai tempat percutian hujung minggunya.
Sumber memberitahu Berita Harian, suspek terbabit turut menjadikan kemudahan di ladang miliknya itu untuk menghiburkan pelanggannya sebelum memperdayakan mereka.
“Keseluruhan kawasan ini berkeluasan 3.6 hektar, tetapi baru 1.6 hektar dibangunkan sejak suspek membeli hartanah ini setahun lalu.
“Selain kandang ternakan dan dusun buah-buahan termasuk kebun sirih, turut dibina rumah pekerja, pejabat, chalet dan sebuah tempat hiburan khusus untuk suspek, kenalan rapat dan pelanggannya,” katanya.
Katanya, dengan kedudukan yang terpencil dan jauh dari jalan utama, ladang persendirian itu memang sukar dikesan.
“Ini ditambah lagi dengan tindakan suspek membina tembok setinggi dua meter di keliling ladangnya, menyebabkan sebarang aktiviti yang berlaku di dalamnya tidak dapat dilihat orang luar.
“Beberapa pekerja estet berhampiran, tidak menyedari berlaku kes pembunuhan di situ sehingga dilaporkan media,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sumber berkata, pekerja terbabit juga mendakwa tidak mendengar sebarang jeritan atau sebarang pergerakan mencurigakan sepanjang laluan masuk ke ladang persendirian itu sebelum kejadian menggemparkan itu
Penjenayah tiada profil spesifik
2010/09/14
KUALA LUMPUR: Penganalisis jenayah menyifatkan penahanan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang juga peguam bergelar Datuk membuktikan penjenayah tidak mempunyai profil yang spesifik. Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata penahanan suspek utama yang dikenali penduduk setempat dan mempunyai kedudukan itu juga membuktikan pemilihan untuk menjadi penjenayah adalah pilihan individu
“Ia pilihan individu dan bukan diwarisi secara genetik atau dibentuk persekitaran,” katanya di sini, semalam selepas program pencegahan jenayah Black Maria yang diterbitkan stesen Radio24.
Beliau mengulas penahanan suspek utama kes pembunuhan kejam Sosilawati, 47, dan tiga individu lain yang dilaporkan secara meluas oleh media tempatan sejak kehilangan mereka 30 Ogos lalu.
Beliau menyifatkan pembunuhan itu sebagai jenayah melampau dan dilakukan secara execution style apabila suspek dipercayai merancang hapus bukti dengan membakar mangsa sebelum membuang abu mangsa ke dalam sungai. – BERNAMA
Hanya 2 kes Datuk tipu dilapor
2010/09/14
SEORANG penduduk kampung tidak dapat menahan kesedihan ketika meninjau lokasi pembunuhan Sosilawati, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi, berkata dua lagi kes membabitkan kehilangan dua individu tidak dilaporkan di negeri itu
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan empat kes kehilangan berkenaan, Khalid meminta pemberita menghubunginya esok (hari ini) berikutan beliau perlu meneliti laporan yang disediakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Setakat ini ada dua saja. Dua lagi mungkin dilaporkan di tempat lain,” katanya.
Difahamkan, selain satu kes membabitkan seorang jutawan warga India dari Chennai yang hilang sejak tiba di negara ini pada 18 Januari lalu, satu lagi kes membabitkan pembunuhan seorang wanita di Taman Cempaka di Banting, tahun lalu dikatakan mempunyai kaitan dengan peguam itu.
Minggu lalu, peguam berkenaan, adiknya serta enam pekerja mereka termasuk dua wanita ditahan reman sehingga 18 September ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka dipercayai ke Banting untuk berurusan dengan suspek.
Pasukan penyelam teruskan operasi cari bukti
2010/09/14
BANTING: Pasukan penyelam Polis Marin semalam meneruskan operasi mencari bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Sungai Kanchong Laut, di sini. Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong Tanjung Sepat di mana Sosilawati dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar di ladang ternakan ayam di situ
Operasi mencari bahan bukti itu yang bermula kira-kira 4.30 petang semalam dan berakhir jam 7 malam, turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seorang suspek lelaki dilihat dibawa ke atas jambatan sungai itu bagi menunjukkan di mana dia mencampakkan sesuatu dari atas jambatan berkenaan.
Semasa operasi itu dihentikan pada 7 malam semalam, kelihatan beberapa anggota Unit Forensik membelek bungkusan plastik yang berisi seutas jam tangan.
Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Pejabat Kamil masih ditutup
2010/09/14
PUTRAJAYA: Kamarudin & Partner, pejabat peguam sivil, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, di Presint 15 di sini, masih ditutup sempena cuti perayaan Aidilfitri. Tinjauan mendapati pintu pejabat itu bermangga
Beliau bersama Sosilawati dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 serta pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah. Misteri kehilangan mereka terjawab selepas polis menahan lapan suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam mereka yang ditahan, dipukul sehingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai di Kampung Kanchong Laut, Banting.
Anak sulung Sosilawati urus perniagaan kosmetik
2010/09/14
ERNI meninggalkan pejabat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru selepas mengambil beberapa dokumen, semalam.
KUALA LUMPUR: Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, akan menguruskan perniagaan produk kosmetik jenama Nouvell Visages susulan kematian ibunya
Erni yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Sdn Bhd sejak Februari lalu oleh ibunya, berkata meskipun seluruh keluarganya masih menunggu keputusan DNA berhubung penemuan mayat kelmarin, buat sementara waktu beliau akan menguruskan empayar perniagaan itu.
Katanya, perniagaan masih berjalan seperti biasa dan stabil tanpa peningkatan atau kemerosotan permintaan daripada stokis di seluruh negara, walaupun kes itu sedang hangat diperkatakan.
“Urusan perniagaan dan kes ini dua hal berbeza untuk dibincang kerana setakat ini perniagaan tidak terjejas.
“Bagaimanapun, operasi perniagaan ditutup bermula 10 September lalu dan akan dibuka seperti biasa Rabu ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd, di sini semalam.
Tinjauan ke Pejabat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini mendapati ia ditutup sempena Aidilfitri berdasarkan notis makluman di pintu masuk premis.
Erni menjelaskan, kehadirannya ke premis terbabit bagi mengambil dokumen penting berkaitan urusan perniagaan bagi menyelesaikan kes mahkamah, namun enggan mengulas lanjut sama ada berkaitan kehilangan ibunya.
Sementara itu, suasana di CIMB Bank cawangan Kampung Baru di sini, iaitu tempat Noorhisham Mohammad, antara rakan Sosilawati yang turut dibunuh bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka jam 8.30 pagi, semalam.
Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas.
Katanya, pemergian Noorhisham adalah kehilangan besar kepada bank itu kerana beliau pekerja dedikasi dan komited terhadap pekerjaannya.
“Saya percaya jika rakan setugas anda ‘pergi’ pun, mungkin perasaan sama akan dirasai,” katanya.
KRONOLOGI
Kes pembunuhan kejam di Malaysia
23 Julai 1993
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris hilang hampir tiga minggu sebelum ditemui mati dibunuh di Raub. Mayat tokoh politik dan ahli perniagaan itu ditemui dikerat 18 bahagian dan ditanam dalam stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong.
18 Jun 2003
Penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003.
25 Disember 2003
Mayat eksekutif muda dan model sambilan, Noritta Samsudin, 22, ditemui mati dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat dan kakinya juga diikat. Beliau disyaki dirogol sebelum dibunuh di rumah sewanya yang terletak di kediaman mewah di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas.
27 November 2006
Wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibu, 28, dibunuh menggunakan bahan letupan di Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
17 September 2007
Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya. Hasil bedah siasat mendapati dia mati akibat didera secara seksual yang melampau.
5 Januari 2010
Empat sekeluarga ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas dibunuh oleh cucu sendiri, Rasidi Ismail, 32, di dalam dua rumah di Kampung Batang Rokan di Gemencheh, Tampin. Mayat Atan Daud, 90, ditemui dalam keadaan putus tangan kiri di sebelah mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80, yang putus tangan kanannya, selain menantu, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah, 22
Ramai berasa kehilangan tokoh usahawan
2010/09/14
KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk pemimpin negara dan selebriti menyifatkan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, sebagai satu kehilangan besar dalam sektor keusahawanan negara, khususnya dalam perniagaan kosmetik. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, berkata Sosilawati adalah seorang usahawan yang berjaya dalam kerjaya dan kehilangannya adalah satu kerugian kepada sektor keusahawanan
Beliau yang memuji kecekapan pihak polis dalam siasatan kes itu, turut mengecam kekejaman yang dilakukan suspek pembunuhan berkenaan dan mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah.
“Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan ini semestinya dikutuk dan dibawa ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman setimpal dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang juga rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang.
“Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia sudah menjadi arwah,” katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini, semalam.
Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM), Datuk Suhaimi Yacob berkata, Sosilawati adalah seorang usahawan terkenal dan sudah melahirkan ramai usahawan lain di seluruh negara melalui rangkaian produk kosmetiknya.
“MUM berharap ahli keluarganya dapat meneruskan usaha Allahyarhamah dan kami berdoa supaya Rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.
Rakan artis, Erra Fazira berkata, walaupun tidak mengenali rapat Sosilawati, beliau pernah menghubungi jutawan kosmetik itu mengenai perniagaan.
“Sosilawati adalah seorang yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan sedia membantu orang lain, terutama anak bangsanya untuk mengecapi kejayaan dalam perniagaan,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment