Friday, September 17, 2010

RENUNG DAN FIKIR DALAM2...PASTU BUAT PENAFSIRAN SENDIRI...BAGAIMANA ALAM SEKELILING KITA SEKARANG

NEGARA


Khidmat seks guna
iklan akhbar



ANTARA iklan penjagaan kesihatan di akhbar yang sebilangannya turut menawarkan perkhidmatan seks.



KUALA LUMPUR - Hanya dengan satu panggilan sahaja, anda boleh membuat tempahan untuk mendapatkan khidmat seks!
Itu antara taktik terbaru yang digunakan oleh segelintir pengusaha rumah urut di sekitar Lembah Klang terutama yang beroperasi secara haram.
Jika sebelum ini lelaki hidung belang yang ingin mendapatkan khidmat seks perlu mengunjungi rumah-rumah pelacuran, kini semakin banyak rumah urut yang turut menawarkan perkhidmatan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, dengan berselindung di sebalik nama pusat urut, rawatan kecantikan atau penjagaan kesihatan, pengusaha terbabit kini berani mengiklankan premis mereka di dalam media cetak.
Dengan memaparkan jenis perkhidmatan yang disediakan serta nombor telefon untuk dihubungi tanpa meletakkan nama lokasi yang lengkap, pasti ramai yang menyangka iklan itu hanya menawarkan perkhidmatan urutan sahaja.
Wartawan Kosmo! yang cuba membuat siasatan dengan menghubungi tiga buah rumah urut di sekitar Lembah Klang yang mengiklankan perniagaan mereka di dalam akhbar mendapati kesemuanya menawarkan perkhidmatan seks.
Seorang pekerja rumah urut yang dikenali sebagai Farah ketika dihubungi berkata, premis tempatnya bekerja yang terletak di Jalan Ipoh kerap dikunjungi sejak diiklankan di dalam akhbar.



NEGARA


Tipu jual barang melalui Internet

KUALA LUMPUR - Kegiatan penipuan yang didalangi oleh warga Afrika tidak pernah berkurangan malah dari hari ke hari ia makin menjadi-jadi.
Kumpulan Awang Hitam itu dikategorikan sebagai licik apabila mereka kerap menukar modus operandi iaitu sama ada melalui Internet, panggilan telefon atau bersemuka dengan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran.
Terbaru Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dapat membongkar satu lagi bentuk penipuan yang didalangi oleh warga Afrika.
Sindiket tersebut mengiklankan perniagaan mereka yang kononnya menawarkan perkhidmatan menjual pelbagai jenis barangan di dalam sebuah laman iklan terkemuka yang boleh diakses secara global.
Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK, Asisten Komisioner Kamaruddin Md. Din (gambar) berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang menawarkan pelbagai jenis barang untuk dijual di Internet itu menggunakan dua kaedah.
"Yang pertama, sindiket itu memilih mana-mana syarikat berdaftar di negara ini dan meniru logo syarikat tersebut bagi mempromosi apa-apa barang yang kononnya untuk dijual
"Kedua, sindiket itu mewujudkan satu syarikat palsu yang didakwa beroperasi di Malaysia sebelum mereka mengiklankan pelbagai barangan untuk dijual dalam lama iklan," kata beliau kepada Kosmo! baru-baru ini.




NEGARA


Sekolah Harapan mula beroperasi



SEKOLAH HARAPAN masih belum ada penghuni.



JASIN - Walaupun masih belum mempunyai pelajar, sekolah untuk remaja hamil di luar nikah dikenali sebagai Sekolah Harapan di sini secara rasmi telah memulakan operasinya semalam.
Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pada masa kini, sekolah berkenaan masih belum mempunyai pelajar namun pihaknya telah menerima beberapa panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada keluarga remaja mengandung dari beberapa buah negeri.
"Keluarga remaja mengandung ini mengatakan minat mereka menghantar anak mereka ke Sekolah Harapan dan bertanya sama ada sekolah ini sudah siap dibina.
"Mereka juga bertanya bagaimana cara memohon untuk masuk ke sekolah ini," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Harapan di sini semalam.
Ab. Rahaman berkata, keutamaan menjadi pelajar Sekolah Harapan diberi kepada penduduk dari negeri Melaka namun permohonan dari penduduk luar akan dipertimbangkan.
"Selain mereka yang beragama Islam, remaja mengandung daripada agama dan kaum lain juga boleh menjadi pelajar Sekolah Harapan," katanya


Sekolah Harapan: Lima keluarga minat letak anak


2010/09/18

AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas   Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
AB RAHAMAN meninjau keadaan kelas Sekolah Harapan di Jasin, semalam.
Sekolah Harapan mula terima panggilan telefon, SMS daripada ibu bapa

JASIN: Lima keluarga dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor berminat menempatkan anak mereka di Sekolah Harapan yang dibangunkan khas kerajaan negeri di sini untuk menempatkan pelajar hamil luar nikah
 
Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, berkata walaupun sekolah khas kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu belum mempunyai pelajar setakat ini, pihaknya menerima panggilan telefon dan SMS bertanyakan mengenai sekolah terbabit termasuk satu keluarga Cina dari Johor.
“Sekolah Harapan ini belum mempunyai pelajar walaupun beroperasi hari ini (semalam), tetapi saya sudah menerima panggilan telefon dan SMS dari ibu bapa pelajar yang mahu maklumat lanjut bagaimana memohon.

“Pada masa ini, dasar kerajaan negeri mengutamakan pelajar negeri ini dulu, permohonan dari luar akan dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan sekolah berkenaan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Sekolah Harapan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000, mempunyai empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.
Setakat ini, sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu mampu menempatkan 40 pelajar, mempunyai lima kakitangan termasuk seorang penyelia, manakala tujuh tenaga pengajarnya pula di kalangan kakitangan terlatih JAIM.

“Penghuni sekolah ini tidak perlu bimbang kerana modul pembelajarannya sama dan mengikut sukatan pelajaran kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat memasuki sekolah itu menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau JAIM, 06-2881534.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina, berkata Sekolah Harapan bukan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah pelajar hamil, malah dikhuatiri mencetuskan epidemik hamil luar nikah dalam kalangan pelajar.

“Banyak kaedah lain boleh dilaksanakan untuk menangani masalah kehamilan luar nikah, termasuk melalui kerjasama ibu bapa dan masyarakat. STU tidak bersetuju dibuka Sekolah Harapan di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Wisma STU di Jalan Song, di sini semalam.

Katanya lagi, ibu bapa dan masyarakat perlu bersama menyelesaikan masalah itu dan bukannya menempatkan pelajar hamil di tempat tertentu kerana ia lebih kepada usaha untuk menutup malu, sebaliknya langkah terbaik ialah mencari pasangan yang menghamilkan pelajar itu


NEGARA


Taksub bos punca mangsa dibunuh






KUALA LUMPUR - Taksub kepada majikan dipercayai menjadi punca enam pekerja Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Banting sanggup melakukan pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, terdapat di kalangan pekerja itu telah 15 tahun bekerja dengan majikan itu.
Menurut beliau, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.


BAKRI (kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam.



Perbuatan kejam itu ada kaitan dengan majikan mereka yang dipercayai turut berada di lokasi kejadian. Berikutan kejadian itu, kata Bakri, polis yakin telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kes pembunuhan itu dan menghentikan operasi mencari bahan bukti di sekitar Ladang Gadong.
"Polis percaya kes pembunuhan empat mangsa itu telah dapat diselesaikan berdasarkan urutan peristiwa, tindakan-tindakan dan juga bukti yang telah diperoleh.
"Kita akan mengemukakan hasil siasatan kepada pejabat Peguam Negara, berkemungkinan minggu hadapan," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini semalam



NEGARA


Patmanaban guna gelaran Datuk palsu



K. PATMANABAN



KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan peguam K. Patmanaban tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada semakan, Patmanaban didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.
"Dia tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Difahamkan, Patmanaban sebelum ini pernah cuba membeli gelaran itu dari sebuah negeri, namun dia menjadi mangsa penipuan walaupun selepas menyerahkan sejumlah wang yang dianggarkan beratus ribu ringgit untuk tujuan mendapatkan anugerah itu.
Malah dia ketika itu dikatakan menerima surat penganugerahan daripada pihak istana, namun pada saat-saat akhir namanya tidak tersenarai.
Dalam pada itu, Bakri berkata, aset Patmanaban yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati telah dibekukan, namun buat masa ini berapa jumlah aset peguam itu yang dibekukan belum dapat diumumkan.


NEGARA


Polis buru samseng jalan raya

KUALA TERENGGANU – Polis memandang serius gejala samseng jalan raya di negeri ini yang dikesan semakin berani termasuk sanggup mendatangkan kecederaan kepada anggota polis yang bertugas.
Justeru, kata Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Md. Jamil, operasi besar-besaran akan dilakukan dalam misi membanteras gejala tersebut selain memburu kesemua samseng jalan raya di negeri ini.
Katanya, operasi bersepadu itu turut melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Kita akan menambah anggota polis untuk tugas penguatkuasaan terutama di lokasi-lokasi yang sudah dikenal pasti di seluruh negeri ini,” katanya ketika melawat seorang anggota polis, Konstabel Arizan Mohamad yang cedera teruk dilanggar seorang pelajar sekolah dalam kejadian kelmarin di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Sebagai permulaan, katanya, operasi membanteras gejala samseng jalan raya itu akan tertumpu di daerah Kuala Terengganu dan Dungun sebelum diperluaskan ke daerah lain di negeri ini.



RENCANA UTAMA


Anak masih bebas bergerak






HAMPIR setiap kali keluar membeli-belah, pasangan Mohd. Azmi Mamat, 33, dan Salman Azztha Sulaiman, 32, akan menjadi perhatian. Sekali-sekala, ibu bapa kepada dua orang anak kecil itu turut didatangi orang yang tidak dikenali. Mereka ini sebenarnya tampil untuk memberi kata-kata sokongan.
Semuanya kerana tindakan kedua-dua ibu bapa moden itu mengikat anak-anak mereka dengan menggunakan abah-abah keselamatan (harness) setiap kali berada di luar rumah. Idea penggunaan kaedah itu ke atas kedua-dua orang anak mereka, Muhammad Adam, 4 dan Muhammad Daniel, 3, sebenarnya bersebab.
Di negara-negara Barat seperti Britain dan Switzerland yang pernah dikunjungi, senario ibu bapa ‘mengikat’ anak ketika keluar bersiar-siar merupakan satu perkara biasa. Tindakan itu juga tidak dilabelkan sebagai satu kesalahan besar.
“Kebetulan pula pada waktu itu, Adam sudah pun berusia setahun dan pandai berjalan. Jadi, apabila sekembali ke Malaysia, kami cuba mencari produk itu untuk anak-anak,” cerita Azmi yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan tempatan kepada Kosmo! baru-baru ini.
Keputusan pasangan itu bagaimanapun gagal apabila mereka mendapati di Malaysia belum ada produk abah-abah keselamatan yang dipakaikan pada bahagian dada si kecil. Tanpa berputus asa, Azmi mencuba nasib dalam enjin pencarian, Google. Dari situlah, dia mengenali satu jenama tempatan, Bumble Bee yang mengeluarkan abah-abah keselamatan untuk kanak-kanak.
Enam bulan selepas Adam dan Daniel memakai abah-abah, pasangan itu mengakui kelebihan dan keberkesanan produk itu bukan hanya untuk kanak-kanak tetapi juga bagi orang dewasa.
“Panjang tali untuk kawal jarak anak adalah sekitar 1.5 meter. Jadi, anak masih bebas berjalan, tetapi dalam lingkungan terkawal,” tambah Salman yang merupakan suri rumah sepenuh masa.
Dilempar persepsi negatif


MOHD. AZMI dan isterinya, Salman kadangkala diingatkan sendiri oleh anak-anak mereka untuk memakaikan abah-abah sewaktu keluar membeli-belah.



Pada awal penggunaan produk itu, Azmi dan Salman terpaksa bersabar dengan pelbagai pandangan negatif orang lain terhadap tindakan mereka. Kritikan biasa seperti, ‘Menarik anak seakan-akan binatang’, cukup menghiris perasaan.
Tidak mempedulikan pandangan sesetengah pihak yang menganggap tindakan mengikat anak sebagai kejam, mereka tetap dengan pendirian peribadi.
Pasangan itu percaya bahawa penggunaan abah-abah adalah kaedah terbaik demi keselamatan si kecil. Malah, selain mampu mengurangkan risiko kehilangan anak, ibu bapa tidak perlu bimbang anak kesayangan akan merayau jauh ke kawasan yang berbahaya atau diculik.
Sama ada berada di pusat beli-belah mahupun ketika melintas di jalan raya, ibu bapa tidak perlu lagi bermandikan peluh mengejar anak mereka.
“Sekarang bila keluar rumah, anak sendiri yang minta untuk dipakaikan abah-abah. Mak mentua sendiri pun dah belikan satu untuk cucunya yang seorang lagi di Johor Bahru,” tambah Azmi sambil memberitahu kedua-dua orang anaknya dibenarkan memilih corak abah-abah keselamatan mereka.
Hakikatnya, penggunaan abah-abah dalam kalangan kanak-kanak bukan satu fenomena moden. Di negara-negara Barat, abah-abah dipercayai telah wujud seawal abad ke-17 sehingga ke-19. Imej kanak-kanak menggunakan sejenis tali pengikat ketika baru belajar berjalan banyak direkodkan dalam lukisan pada era itu.
Tetapi, populariti penggunaan abah-abah melonjak sekitar abad ke-20 seiring dengan kepesatan pembangunan bandar-bandar besar. Perasaan bimbang terhadap bahaya anak berjalan di jalan raya mendesak majoriti ibu bapa mengambil langkah menggunakan abah-abah. Keadaan ini memberi peluang kepada golongan pengeluar untuk mempelbagaikan rekaan model abah-abah itu.
Beri anak masa








PEMAKAIAN abah-abah pada tubuh anak turut dilengkapi dengan aspek keselamatan yang kukuh.






Ibu kepada dua orang anak remaja, Alicia Voon, 40, pula mula memperkenalkan penggunaan abah-abah keselamatan kepada anaknya seawal usia dua tahun. Seperti dijangka, produk baru berupa satu tali pengikat itu tidak diterima terus oleh anaknya.
Terlalu muda untuk mengetahui signifikan abah-abah, anak lelaki Alicia itu secara spontan terus menarik tali yang diikat pada pergelangan tangannya. Cubaan untuk melepaskan diri itu nyata bersebab. Ini kerana tiada seorang pun kanak-kanak normal yang aktif suka jika pergerakannya dihadkan.
“Anak perempuan saya lagilah lasak macam lelaki. Dia langsung tidak mahu dipakaikan dengan abah-abah,” ceritanya tentang pengalaman lebih sedekad lalu.
Pada tahun 1990-an, penggunaan abah-abah keselamatan untuk kanak-kanak kecil seperti tidak pernah diketahui di Malaysia. Jadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FD International Sdn. Bhd., itu hanya berjaya mendapatkan produk itu dari negara jiran terdekat, Singapura untuk dieksperimentasi buat anak-anaknya.
Pelbagai usaha diambil untuk meyakinkan anak-anaknya agar menerima abah-abah keselamatan itu. Namun, segalanya hanya berjalan lancar selepas Alicia menunjukkan kegunaan abah-abah menerusi klip-klip video kepada anak-anaknya.
Revolusi abah-abah keselamatan
Abah-abah pertama yang dibelinya pada ketika itu hadir dengan rekaan paling asas dan ringkas. Tiada beg bermotifkan haiwan-haiwan comel tiga dimensi (3D), produk itu hadir dengan seutas tali bagi mengikat bahagian pergelangan tangan si kecil.


ALICIA antara peneraju dalam jualan produk abah-abah keselamatan si kecil.



“Material yang digunakan untuk menghasilkannya juga agak kasar dan keras,” tambah Alicia.
Menurutnya, masyarakat hanya sedar tentang keperluan untuk mengawal anak menerusi kaedah baru selepas berlaku kejadian kehilangan anak berprofil tinggi seperti ke Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin kira-kira tiga tahun lalu. Yin yang berusia lima tahun pada ketika itu telah terlepas daripada pandangan bapanya di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Berikutan kejadian itu, wanita dari Bumi Kenyalang itu mula memperkenalkan abah-abah keselamatan dua-dalam-satu di bawah jenama tempatan, Bumble Bee sekitar dua tahun lalu. Abah-abah keselamatan keluaran jenama itu adalah lebih moden dan hadir dengan rekaan binatang yang lebih comel.
Tambah Alicia, watak-watak lembu, monyet dan singa merupakan antara pilihan produk yang dikilangkan di China itu. Diperbuat daripada material tahan lama dan tidak mudah memerangkap habuk, penerimaan masyarakat terhadap penggunaan abah dikatakan agak memberangsangkan pada hari ini. Buktinya, abah-abah Bumble Bee akan diulang keluar pada purata 9,000 buah setiap tahun berbanding pada awal ia diperkenalkan.
“Imej rama-rama merah jambu ini sangat popular. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak perempuan,” katanya sambil memberitahu rekaan watak abah-abah Bumble Bee akan ditentukan oleh sekumpulan pereka syarikatnya.
Dia berkali-kali menekankan bahawa berjalan dengan abah-abah sebenarnya tidak menyusahkan anak. Sebaliknya, ibu bapa hanya perlu menggenggam erat penghujung tali ketika keluar bersiar-siar bersama si kecil. Ciri-ciri abah-abah keselamatan yang boleh dilaraskan itu menjadikannya sesuai digunakan oleh kanak-kanak berusia 18 bulan ke atas.
Kesan psikologi


ABAH-ABAH keselamatan dua dalam satu berjenama Bumble Bee ini hadir dalam enam rekaan berbeza.



Pengasas Tommi Guard Child Safety Harness, Maureen Dempsey Baker dalam laman web yang dikendalikan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) adalah bukti betapa senangnya mengawal anak dengan abah-abah. Malah, penggunaan abah-abah dengan reka bentuk tertentu dipercayai mampu mencegah kecederaan pada tubuh anak.
Jelasnya, pakar pediatrik pernah menyatakan bahawa kebanyakan kecederaan umum biasanya terjadi pada bahagian bahu dan lengan apabila ibu bapa menarik anak yang jatuh ketika memegang tangan mereka.
“Tetapi penggunaan abah-abah dapat membantu memberi petunjuk kepada anak sambil membenarkan sokongan pada bahagian paling kuat mereka iaitu dada,” tambahnya.
Seorang pakar pediatrik, Dr. Ling Shiang Yih yang dihubungi Kosmo! bagaimanapun berpendapat, kanak-kanak tidak sepatutnya ‘diikat’ untuk mengehadkan kebebasan mereka. Sebaliknya, menerusi pendidikan dan disiplin yang betul, anak hiperaktif juga boleh ‘dijinakkan’. Bilangan anak yang kecil dalam kebanyakan keluarga hari ini juga bermakna tidak timbul masalah untuk ibu bapa memberi didikan berkualiti kepada anak.
“Saya rasa penggunaan abah-abah keselamatan pada anak adalah satu tindakan melampau. Adalah normal jika seseorang kanak-kanak itu aktif,” katanya sambil memberitahu, setiap kanak-kanak berhak menikmati sedikit kebebasan yang berpatutan.
Sementara itu, Pakar Psikologi Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Samsilah Roslan berkata, buat masa ini belum terdapat kajian konklusif mengenai kesan negatif penggunaan abah-abah oleh kanak-kanak.
Baginya, hubungan akrab atau perapatan (bonding) antara ibu bapa dan anak yang terpupuk sejak zaman kanak-kanak lagi adalah perkara paling mustahak. Perapatan yang baik terbentuk ketika anak berusia sekitar setahun hingga tiga tahun. Tindakan tersebut boleh memberi kesan positif terhadap tumbesaran anak apabila dewasa nanti.
“Kalau ibu bapa boleh pegang, sentuh atau dukung anak termasuk ketika berada di luar rumah, itu lebih baik.
“Jadi, abah-abah keselamatan boleh menjadi pilihan terakhir ataupun hanya sebagai sokongan,” katanya kepada Kosmo! sambil menekankan kepentingan mendidik anak menerusi perbualan.



RENCANA UTAMA


Jerat agensi perkahwinan haram



TIDAK ramai gadis Vietnam mengecapi gerbang perkahwinan yang bahagia seperti dijanjikan selepas berkahwin lelaki asing.



SELEPAS 30 minit perbincangan itu selesai, Le bakal bergelar isteri kepada seorang lelaki asing. Le dan tiga wanita muda Vietnam yang lain telah diserahkan kepada dua lelaki dari Korea Selatan oleh sebuah agensi perkahwinan haram di bandar raya Ho Chi Minh.
Kedua-dua lelaki itu telah membuat pilihan mereka dan tiga hari kemudian, Le, 25, berkahwin selepas menyiapkan segala urusan dokumentasi, dia meninggalkan kemiskinan yang dilalui sebagai petani di sebuah ladang di selatan Vietnam dan menetap di Korea Selatan.
Lebih 10,000 wanita dari negara itu juga melalui perjalanan yang sama.
"Saya meninggalkan negara ini kerana kesempitan hidup," kata Le.
Pendapatan bulanan keluarganya hanya dua juta dong (RM336) dan suaminya memberi keluarganya lima kali ganda daripada jumlah itu semasa mereka berkahwin.
Bagaimanapun pengaliran wang itu terhenti, kerana impian Le di negara barunya itu telah diragut.
"Saya tidak dipukul tetapi saya dikurung sepanjang hari," kata Le, yang hanya memberikan nama pertamanya.
Dia bercakap di pusat Kesatuan Wanita di Vietnam yang memberi nasihat kepada wanita yang berkahwin dengan warga asing untuk membantu mereka kembali selepas hidup normal.
Wanita itu berkata, suaminya sentiasa menjerit sepanjang masa. Dia melarikan diri, ditangkap dan dihantar pulang ke Vietnam sebelum kembali semula ke kampung halamannya di wilayah Delta Mekong di Vinh Long.
Le merupakan antara 40,000 wanita Vietnam yang telah berkahwin dengan warga Korea Selatan di antara tahun 2004 dan 2009, menurut penyelidik.
Peningkatan jumlah lelaki Asia terutamanya dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan berkahwin dengan warga asing berlaku kerana hanya segelintir wanita tempatan yang bersedia untuk berkahwin dan mengikut tradisi. Demikian menurut kajian Daniele Belanger dari Universiti of Western Ontario, Kanada, pada akhir Julai.
Jumlah rasmi di Korea Selatan menunjukkan terdapat 7,249 perkahwinan yang membabitkan lelaki di negara itu dengan wanita Vietnam pada tahun lalu.
Janji manis
Kebanyakan mereka adalah golongan miskin dan tidak berpelajaran tinggi yang menetap di sekitar Delta Mekong. Mereka sentiasa dicari oleh agensi perkahwinan haram yang berpusat berhampiran bandar raya Ho Chi Minh.
Tran Giang Linh, penyelidik dari Vietnam yang membuat kajian kekeluargaan di wilayah Delta, Can Tho, menemui sebahagian pengantin mampu menghantar lebih RM9,348 setahun, tiga kali ganda lebih besar daripada pendapatan perkapita rakyat di negara itu.
Bagaimanapun, beberapa aktivis berkata kebanyakan wanita yang berkahwin dengan warga asing, terpedaya dengan janji-janji manis dan iklan yang disiarkan, akhirnya menetap dengan pasangan yang hanya mempunyai sedikit harta, sakit, pemabuk dan sebagainya.
Seoul bagaimanapun berkata, sebuah pasukan khas akan diwujudkan untuk mengubah perniagaan mencari jodoh antarabangsa selepas kematian seorang wanita Vietnam yang berkahwin dengan lelaki negara itu, Thi Hoang Ngoc, 20, pada Julai lalu. Dia dipercayai dipukul dan ditikam sampai mati oleh suaminya yang berusia 47 tahun, lapan hari selepas dia tiba di bandar pelabuhan selatan di Busan.
Suaminya memberitahu polis, dia mendengar suara halus yang menyuruhnya membunuh isterinya semasa mereka bertengkar. Polis Korea Selatan berkata, lelaki itu pernah menjalani rawatan penyakit skizofrenia sebanyak 57 kali sejak Julai 2005.
Ngoc dan suaminya bertemu melalui sebuah agensi perkahwinan, lapor media Vietnam.
Seorang jurucakap kerajaan Vietnam berkata sukar menumpaskan kegiatan broker perkahwinan haram kerana tidak mudah untuk mengenalpasti perkahwinan mana yang diatur secara haram.
Peningkatan jumlah perkahwinan itu juga dikatakan kerana wujudnya rangkaian sosial di Internet, walaupun Belanger berkata, ahli keluarga kebiasaannya mempunyai kaitan dengan broker-broker.
Agensi pencari jodoh di negara penerima dan penghantar masih memainkan peranan besar tetapi, rangkaian keluarga lebih penting, katanya.
Sebelum ini Taiwan sering menjadi destinasi dalam kalangan wanita Vietnam yang mahu mencari suami warga asing. Kira-kira 100,000 wanita berkahwin dari negara itu berdaftar di Taiwan sejak awal tahun 1990-an, mengikut data yang dikumpulkan.
Trend itu kemudiannya berubah ke Korea Selatan beberapa tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan peraturan ketat berhubung proses dokumentasi oleh pihak berkuasa Taiwan, kata Hong-zen Wang, Pengarah Institut Sosiologi Siswazah di Universiti Kebangsaan Sun Yat-sen, Taiwan.
"Hari ini, Korea Selatan telah menjadi destinasi utama," katanya.
Tahun lalu, Taiwan turut mengharamkan pengkomersialan perkhidmatan pencari jodoh antarabangsa selepas berlakunya beberapa siri kejadian jenayah berprofil tinggi, termasuk kes seorang lelaki dipenjara kerana memperhamba dan menyeksa isterinya seorang warga Vietnam.
Bagaimanapun Le sendiri yang mengalami trauma teruk enggan lagi terjerat dengan janji manis lelaki asing dan pencari jodoh haram. Biarpun tanpa janji harta mewah, wanita itu kini telah pun menamatkan zaman jandanya dengan berkahwin dengan lelaki senegaranya. - AFP



Murugiah Buat Laporan Polis Kaitkannya Dengan Suspek Utama Kes Sosilawati
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah pada Jumaat membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang beliau terima mengaitkannya dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Beliau berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh berikutan SMS yang dihantar melalui telefon bimbit yang berbaur fitnah.
"SMS tersebut merupakan fitnah terhadap saya yang sengaja mengaitkan saya dengan suspek utama pembunuhan kejam Sosilawati di mana SMS berkenaan tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata antara kandungan SMS itu berbunyi :"peguam yang kena tuduh dalam kes Sosilawati bercadang sertai MIC kata Murugiah yang merupakan kawan baik beliau.
Peguam ini juga adalah salah seorang penasihat Timbalan Menteri tersebut dalam kes ROS (Pendaftar Pertubuhan). Murugiah adalah rakan kongsi peguam dalam perniagaan di mana Murugiah dapat RM3 juta dalam urusan itu".
Murugiah berkata suspek tersebut bukan peguam yang mengendalikan kes ROS seperti yang dinyatakan dan SMS itu sengaja dihantar bagi menjejaskan imej dan kedudukannya dalam politik dan sebagai Timbalan Menteri.
"Saya yakin SMS berkenaan kemungkinan dihantar oleh orang yang mempunyai kepentingan politik dan mendapat manfaat sekiranya karier politik saya dibunuh.
"Perkara ini amat serius bukan sahaja ia SMS fitnah terhadap saya tetapi juga penyebarannya boleh menjejaskan penyiasatan kes Sosilawati yang merupakan kes berprofil tinggi," katanya.
Sebelum ini Murugiah ketika menziarahi keluarga Sosilawati mendedahkan pernah bertemu dengan suspek utama pembunuhan tersebut, iaitu peguam bergelar Datuk itu dalam satu majlis penyampaian sumbangan hari raya di Banting, Selangor pada 8 Sept lepas.
Pada majlis itu suspek turut menyatakan hasratnya kepada Murugiah untuk menyertai MIC.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan berkenaan daripada Murugiah.
Beliau berkata setiausaha Timbalan Menteri berkenaan membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru pada pukul 10 pagi tadi.
"SMS berkenaan diterima ketika Timbalan Menteri itu menghadiri satu program di Teluk Intan (Perak) semalam," katanya.
Selain itu, menurutnya satu laporan polis berkaitan perkara itu turut dibuat oleh setiausaha beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan semalam. - BERNAMA


Lelaki Tempatan Ditahan Bantu Kes Orang Hilang Di Banting
KUALA 
LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditahan di Taman Wilayah, Selayang dekat sini pada Jumaat bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang ahli perniagaan rakyat India di Banting tahun ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata suspek berumur 34 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di taman terbabit petang ini sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kira-kira pukul 8.20 malam.
"Kami percaya dia boleh membantu kami dalam siasatan kes itu," katanya menerusi laman web sosial di sini malam ini.
Beliau, ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu.
Khalid dilaporkan berkata terdapat dua kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment