Friday, September 17, 2010

Kes Sosilawati: Identiti mangsa diketahui 4 hari lagi

Kawasan yang dipercayai lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, hari ini. Allahyarham Sosilawati, 47, bersama peguamnya Ahmad Kamil Abd Karim, pemandu peribadi, Kamarudin Shamsuddin dan pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohamad dipercayai dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dicampak ke dalam sungai. Mereka dipercayai diculik pada 30 Ogos lepas. - Foto BERNAMA
 
 
 Jumaat September 17, 2010
Kes Sosilawati: Media Dibenar Dekati Ladang Gadong
KUALA LANGAT: Selepas seminggu dikawal ketat oleh polis, petugas media pada Jumaat, dibenar mendekati kawasan pintu hadapan Ladang Gadong, yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Bagaimanapun, ketika menghampiri kawasan itu kira-kira pukul 3 petang tadi, terdapat dua anggota polis masih berkawal dan tidak membenarkan pihak media melepasi laluan serta kawasan dalam ladang berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan ladang itu dipagari dengan tembok batu setinggi kira-kira dua meter dengan pintu masuk utama menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar 100 meter dari pintu utama ladang.
Pintu masuk utama ladang milik suspek utama kes itu turut tertera dua tanda amaran iaitu "Dilarang Masuk" dan "Awas Anjing Ganas".
Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan yang menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaianditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sireh di sepanjanglaluan pintu masuk hadapan.
Turut kelihatan sebuah sangkar burung merak serta beberapa ekor lembu sedang berkeliran di kawasan berhampiran ladang terbabit.
Sementara itu, dua anggota forensik kelihatan memasuki kawasan ladangkira-kira pukul 5.20 petang. Sebuah kereta forensik memasuki kawasan berkenaanpada pukul 11.45 pagi sebelum keluar semula 35 minit kemudian.
Di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini berkata polis menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna sebagai senjata pembunuhan. Sebuah beg kriket turut ditemui di lokasi kejadian, katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44,pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38,dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abudibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. -BERNAMA


Kes Sosilawati: Pemukul Kriket Mungkin Antara Senjata Yang Digunakan

KUALA LUMPUR: Sebatang pemukul kriket yang ditemui di Sungai Panchau, Banting, dekat sini, mungkin satu daripada senjata yang digunakan dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, pemukul kriket itu merupakan sebahagian daripada objek yang ditemui di sungai dalam gerakan mencari bukti pembunuhan tersebut.
"Antara objek yang dijumpai dari sungai ialah pemukul kriket yang dipercayai satu daripada senjata pembunuhan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, di sini Jumaat.
Sosilawati, 47, peguam Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dipercayai dibakar sebelum abu mereka ditabur di sekitar sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting seminggu kemudian.
Mohd Bakri berkata, polis menjangkakan akan memperoleh laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)daripada cebisan tulang yang dijumpai dalam sungai dan juga ladang tersebut dalam tempoh empat hari lagi.
Beliau menambah, buat masa ini polis telah menghentikan usaha mengumpul bahan bukti daripada sungai dan juga ladang yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan yang menggemparkan negara itu.
Mohd Bakri juga berkata, polis percaya telah membina kes yang kuat terhadap peguam dua beradik tersebut dan enam lagi yang ditahan dalam siasatan.
"Bagaimanapun, kawasan terbabit masih dikawal kerana kita mungkin akan meneruskan siasatan jika diperlukan," katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya kini menyiasat kes pembunuhan lain yang berkaitan dengan peguam tersebut, termasuk seorang wanita yang dibunuh di Banting pada April lalu.
Polis juga telah memperoleh perintah lanjutan reman terhadap lima suspek sehingga 23 September ini.
"Kita juga akan mendapatkan lanjutan reman untuk tiga lagi suspek esok (Sabtu)," katanya.
Semasa ditanya jika siasatan dalaman perlu diadakan berhubung kurangnya tindakan dalam laporan orang hilang sehingga pembunuhan berprofil tinggi Sosilawati, Mohd Bakri berkata: "Biar kami fokus pada pembunuhan ini dahulu."
Beliau menambah, polis juga masih belum menghubungi pihak berkuasa India dan Interpol mengenai kehilangan seorang warga negara berkenaan selepas kali terakhir dilihat berjumpa dengan peguam terbabit.
"Sekiranya dan apabila kami memerlukan bantuan berkaitan kes, kami akan menghubungi mereka," katanya.
Mohd Bakri juga mengingatkan media untuk menghentikan membuat spekulasi dalam kes tersebut dan membiarkan polis menjalankan tugas mereka.
"Tolong beri kami masa dan ruang untuk membuat penyiasatan. Jangan biarkan ia tergelincir dengan maklumat salah," tambah beliau


Laporan siasatan kes bunuh Sosilawati ke Peguam Negara minggu depan



2010/09/17
KUALA LUMPUR: Laporan lengkap siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya yakin bahawa mereka berjaya mengumpulkan bukti-bukti kukuh bagi mengaitkan dan mengheret suspek ke muka pengadilan.
"Polis percaya kes pembunuhan membabitkan Sosilawati dan empat rakannya itu sudah dapat diselesaikan berdasarkan tindakan yang diambil dan bahan-bahan bukti yang berjaya diperoleh.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dinilai, berkemungkinan minggu hadapan...kita yakin siasatan kita punya bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini. Beliau berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam itu yang dijumpai di sekitar tempat kejadian, hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya empat hari lagi.

Tulang-tulang berkenaan baru dihantar ke Jabatan Kimia, Hospital Kuala Lumpur semalam dan difahamkan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat hari untuk proses penganalisaan.

"Selepas ujian patologi itu selesai barulah kita dapat menentukan dan mengenal pasti profil DNA serpihan tulang itu sama ada ia milik Sosilawati dan tiga yang lain atau bukan," kata Mohd Bakri.

Beliau berkata polis juga menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, Selangor bermula hari ini, bagaimanapun anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.

"Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini dan jika selepas ini kita dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda-benda yang perlu dicari atau dilakukan, kita akan sambung lagi operasi," katanya.

Mohd Bakri berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas itu diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.

"Setakat ini kita sudah kenal pasti suspek terbabit dalam empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama di mana kita tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu," katanya.

Beliau turut memberi amaran sekali lagi kepada media terutamanya media arus perdana agar tidak melampaui batas dengan melaporkan berita yang tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggugat keadilan


Mohd Bakri berkata, terlampau banyak artikel dan kenyataan yang memetik sumber, didapati bercanggah, tidak tepat dan diputar belit yang membolehkan pemberita dan editor bertanggungjawab dipanggil untuk memberi penjelasan atau menyatakan kewajaran berita mereka di mahkamah undang-undang nanti. "Dakwaan mangsa disembelih, 17 mangsa dibunuh suspek, mangsa diumpan dengan cek, sungai dipenuhi dengan ratusan tulang, anjing pembunuh dan beberapa lagi dakwaan yang menggunakan sumber adalah spekulasi dan tidak menggambarkan kejadian sebenar, hanya mengganggu siasatan.

"Jangan buat andaian bukan-bukan, sebenarnya hasil pengakuan suspek- Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai," katanya.

Beliau turut mengesahkan, setakat ini hanya lapan suspek ditahan dan polis sedang meneliti sekiranya masih ada lagi mereka yang terbabit dalam kes ini.

Katanya, pekerja kepada peguam yang kononnya bergelar 'Datuk' itu disifatkan sebagai taksub dengan ketuanya, malah ada yang sudah bekerja selama 15 tahun dengan suspek berkenaan

"Suspek utama yang tidak pernah dikurnia gelaran Datuk itu sudah dibekukan asetnya namun jumlahnya akan kita umumkan kelak dan suspek juga tidak meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa sebelum ini," katanya sambil menambah polis sudah mengambil keterangan dan DNA keluarga kepada semua mangsa. Beliau berkata, tempoh reman lima suspek disambung hingga Khamis ini manakala tiga lagi akan tamat esok dan polis akan memohon untuk menyambung reman mereka untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Tambahnya, masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah sebelum keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.-Bernama


NI KES HILANG ATAU TAK BALIK LAGI..


Tiga remaja perempuan masih hilang belum ditemui



2010/09/17

IPOH: Tiga remaja perempuan, dua daripadanya adik beradik kembar dari Kampar dekat sini, yang dilaporkan hilang selepas ke rumah kawan lelaki mereka di Parit, pada Hari Raya Kedua masih belum ditemui.
Ibu mereka, Harlizah Samah, 47, ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini beliau masih belum menerima apa-apa maklumat berhubung kehilangan anaknya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, polis masih menjalankan operasi mencari mereka dan sehingga hari ini belum ada maklumat diterima mengenai penemuan mereka.
Beliau berkata, sebelum ini mereka dikesan berada di Parit dan Teluk Intan kerana berhari raya di rumah rakan-rakan dan polis cuba mengesan mereka di sana tetapi tidak ditemui.

"Saya percaya ketiga-tiga remaja itu selamat dan mengambil kesempatan sempena cuti sekolah tempoh hari untuk keluar bertemu dengan rakan-rakan," katanya. "Polis percaya kesemua mereka itu tidak dikurung atau ditahan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai orang hilang," katanya. Mereka yang hilang itu ialah Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya Nurulain dan rakan mereka Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun. -Bernama


Kes bunuh Sosilawati: Dikebumi sebelah pusara kakak sulung



2010/09/17
BATU PAHAT: Jenazah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, akan dikebumikan bersebelahan pusara kakak sulungnya, Saniah, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti, Sri Medan.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, persediaan dilakukan keluarganya bagi memastikan jenazah dapat dikebumikan bersebelahan pusara Saniah.
Katanya, keputusan membawa pulang jenazah selepas mengambil kira pandangan anak Sosilawati dan adik-beradiknya serta kemudahan semua pihak menziarahit jenazah.

“Setidak-tidaknya adik-beradik Sosilawati ada di sini, selain itu anaknya kerap pulang kampung menziarah ibu mentua, Yatmah Abdul Rahman, 80, jadi ia dilihat lebih memudahkan semua pihak.

“Jenazah dikebumikan di sebelah pusara Saniah yang meninggal dunia akibat kanser, April lalu. Bagaimanapun, semua urusan dilakukan selepas mendapat pengesahan Asid Deoksiribonukleik (DNA),” katanya.

Semalam, sepasukan tujuh anggota dan pegawai termasuk seorang pegawai perubatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, datang ke rumah Misjan bagi mengambil contoh DNA ibu jutawan berkenaan.

Difahamkan, antara contoh DNA diambil termasuklah darah dan rambut bertujuan membuat perbandingan dengan cebisan daging dan abu yang ditemui di Banting, Selangor.

Sementara itu, tinjauan di rumah Misjan mendapati orang ramai berpusu-pusu menziarah keluarga Sosilawati sempena cuti umum sambutan Hari Malaysia.

Mereka yang datang termasuk dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang memberikan sokongan moral kepada keluarga berkenaan.


Kes bunuh Sosilawati: Aset suspek utama RM250j dibeku



2010/09/17
BANTING: Aset suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya bernilai RM250 juta dipercayai sudah dibekukan untuk membolehkan polis menyiasat punca kekayaan melampau yang dimilikinya sama ada secara sah atau sebaliknya.
Rakan suspek yang juga seorang ahli perniagaan berkata, pembekuan aset itu dibuat selepas polis memeriksa akaun peribadi milik suspek selepas dia ditahan pada 9 September lalu.
Katanya, dia tidak mengetahui bagaimana suspek mampu mengumpul harta sebanyak itu walaupun sudah tiga tahun berkenalan dengannya.

Sebelum ini, Harian Metro difahamkan harta atau aset berkenaan merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang , rumah mewah, ladang, kereta mewah, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di beberapa negeri lain.

Menurutnya, sebelum ini, dia tidak pernah mengetahui kekayaan melampau milik suspek, selain mengetahui dia seorang peguam dan memiliki beberapa rumah sewa di sekitar Banting.

Beliau yang pernah menyewa rumah kedai milik bapa suspek juga percaya rumah kedai berkenaan dimiliki suspek namun mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nama bapanya.

Difahamkan, kebanyakan harta suspek tidak didaftarkan atas namanya sebaliknya menggunakan nama rakan dipercayainya serta keluarga bagi mengelak daripada diketahui umum.

“Saya mengenali suspek apabila diperkenalkan seorang rakan yang juga seorang ahli perniagaan tiga tahun lalu dan suspek kadangkala datang ke rumah saya untuk berborak.

“Suspek cepat mesra dan ini mungkin strateginya memerangkap mangsanya sebelum ditipu,” katanya.

Malah, suspek sering membawa klien atau mangsanya ke restoran berhampiran di bandar ini bagi menghibur serta melayan mangsanya, malah dia pernah dibawa ke restoran itu.

Katanya, suspek menggunakan statusnya sebagai peguam bagi menipu ahli perniagaan serta ahli politik



Kes bunuh Sosilawati: Tiga lagi ahli perniagaan turut ditipu



2010/09/17
BANTING: Tiga ahli perniagaan bergelar Datuk dipercayai antara mangsa penipuan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya berdasarkan tujuh laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat (IPPDKL) sejak lima tahun lalu hingga kini.
Tujuh laporan membabitkan penipuan RM7.1 juta itu dipercayai didalangi suspek berkenaan sejak 2005 dan semuanya dilaporkan berlaku di Kuala Langat saja.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis menerima tujuh laporan kes penipuan dan lain berkaitannya terhadap peguam kes bunuh Sosilawati.

“Ia membabitkan wang RM7.1 juta dalam bentuk wang tunai dipercayai untuk pembelian tanah. Tetapi ia masih lagi disiasat.

“Polis menyemak kembali semua laporan berkenaan dan menggiatkan usaha mendapatkan bukti bagi mendakwa peguam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes komersial sebegini amat sukar diselesaikan berdasarkan pengalaman kes komersial sebelum ini apabila ia memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan apabila perlu meneliti segala dokumen daripada suspek dan mendapatkan keterangan daripada ramai saksi.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, polis mengurangkan kadar jenayah 14 peratus di Kuala Langat saja manakala 13 peratus di Selangor.

“Namun dua jenis jenayah masih berada di tahap membimbangkan terutamanya berkaitan curi kereta dan pecah rumah,” “Dakwaan sesetengah pihak kononnya polis menyiasat kes apabila ia membabitkan orang kenamaan tidak betul kerana kes sebegini sentiasa disiasat,” katanya


Kes bunuh Sosilawati: Remaja 19 tahun tikam 4 mangsa



2010/09/17

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 19 tahun yang juga antara lapan suspek yang ditahan bersabit pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dikatakan individu bertanggungjawab menikam semua mangsa hingga mati sebelum empat rakan suspek lain bertindak membakar mayat berkenaan.
Untuk tugas itu, suspek utama yang juga seorang peguam membayarnya antara RM2,000 dan RM5,000 bagi setiap mangsa dibunuh.
Sumber polis berkata, ‘pakej bayaran’ bagi membunuh mangsa terbabit turut membabitkan kerja menculik, membunuh, membakar mayat dan menghapuskan bukti.

“Pembabitan suspek yang dibayar dengan wang tunai itu dipercayai bukan hanya membabitkan enam individu yang diberkas sebelum ini malah polis percaya terdapat sekurang-kurangnya 10 individu yang sanggup menjalankan jenayah terbabit hanya kerana wang. “Setakat ini, polis masih mengumpul maklumat daripada suspek ditahan selain pembabitan beberapa bekas pekerja dan pembantu peribadi peguam terbabit dengan jenayah terancang itu sejak lebih tiga tahun lalu di sekitar Banting dan Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, walaupun setakat ini siasatan menjurus kepada sembilan mangsa yang pernah dibunuh peguam berkenaan namun polis tidak menolak kemungkinan jumlah berkenaan boleh meningkat berdasarkan beberapa kertas siasatan kes kehilangan lama yang dibuka kembali.

“Setakat ini, terlalu banyak serpihan tulang dan objek ‘misteri’ ditemui yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan bersiri terbabit. Bagaimanapun, polis memerlukan masa dan tumpuan lebih terperinci bagi mengenal pasti identiti tulang manusia yang ditemui itu.

“Walaupun ia mungkin mengambil masa namun hasil siasatan boleh dirumuskan bahawa semua pembunuhan bersiri ini bermotifkan wang yang didalangi peguam terbabit,” katanya.

Menurutnya, jika bukan kerana tarikan wang, adalah mustahil konco-konconya peguam itu sanggup melakukan kerja yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Adalah mustahil konco upahan peguam terbabit sanggup melakukan tugas kejam berkenaan jika bukan kerana menerima imbuhan lumayan yang ditawarkan peguam yang mempunyai aset tunai hampir RM100 juta terbabit,” katanya.

Terdahulu, polis turut berjaya memberkas seorang lagi suspek kesembilan kira-kira jam 11 pagi Selasa lalu, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan jenayah bersiri peguam berkenaan.

Suspek berusia 40-an yang juga bekas pengawal peribadi suspek utama dipercayai dapat membongkar lebih banyak lagi kes jenayah dilakukan suspek. Selasa lalu, polis Bukit Aman turut menyerahkan empat daripada lapan suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati kepada polis Gombak kerana mengesyaki mereka turut mempunyai kaitan dalam satu kes pembunuhan di daerah itu pada 8 Mac lalu

Suspek yang dipercayai pembunuh upahan disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang ditembak dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru, di sini, pada 8 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa, K Celladuran, 50, baru keluar dari rumahnya untuk ke pejabat sebelum diserang suspek yang dipercayai menanti mangsa keluar dari rumah


Kes bunuh Sosilawati: Polis tak tutup fail siasatan



2010/09/17
BANTING: Satu kes pembunuhan yang berlaku di Taman Seri Cempaka, di sini tahun lalu dipercayai dilakukan seorang remaja berusia 19 tahun selepas mendapat arahan daripada suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang juga peguam berusia 41 tahun itu dipercayai terbabit secara langsung dengan pembunuhan berkenaan.
Katanya, polis tidak pernah menutup kertas siasatan kes dilaporkan tahun lalu itu namun menghadapi kesukaran apabila tidak menemui sebarang petunjuk kepada siasatan awal kes itu.

“Ketika menerima laporan awal, kami tidak dapat menemui petunjuk namun apabila kes pembunuhan Sosilawati dilaporkan, kami menemui petunjuk baru dan akan meneruskan siasatan kes itu,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kes membabitkan seorang jutawan India juga mempunyai kaitan dengan suspek utama namun laporan mengenainya hanya dibuat pada 8 September baru-baru ini.

Katanya, polis menjalankan siasatan mendapati kes itu ada kaitan dengan suspek.

Menurutnya, walaupun kes kehilangan berkenaan dilaporkan berlaku awal tahun ini, pihaknya tidak mengetahui mengenainya apabila tiada sebarang laporan polis dibuat berkenaan kes itu. Katanya, pihaknya tidak dapat mengetahui orang hilang jika tidak dimaklumkan dan tiada laporan dibuat jadi orang ramai perlulah melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada antara ahli keluarga mereka hilang.

Khalid berkata, beliau juga tidak pernah menerima sebarang aduan mahupun permintaan daripada Kedutaan India bagi menyiasat kes berkenaan dan baru memulakan siasatan kerana laporan mengenai kehilangan jutawan India itu baru dilaporkan.

Jutawan dari Chennai, Allal Kathan Muthuraja, 34, dilaporkan hilang pada 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting, namun laporan polis mengenai kehilangannya hanya dibuat 8 September lalu.


NEGARA


Ladang didakwa ada tempat pembakaran



ANGGOTA polis mengawal jalan masuk ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat semalam.



BANTING - Keadaan ladang milik peguam Datuk K. Patmanaban yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Ladang Gadong di sini dianggap sebagai pelik kerana didakwa mempunyai satu tempat pembakaran.
Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dia pernah memasuki ladang tersebut untuk menghantar haiwan ternakan yang dibeli Patmanaban empat bulan lalu.
Di ladang itu, lelaki yang enggan dikenali itu mendakwa dia melihat beberapa kepingan zink diletakkan bersebelahan tempat pembakaran di ladang itu.
"Dari luar ladang itu tidak nampak apa-apa kerana ia dikelilingi tembok setinggi kira-kira dua meter," katanya yang merupakan penduduk di sini


TERKINI


Media dibenar dekati Ladang Gadong

17/09/2010 6:48pm

KUALA LANGAT - Selepas seminggu dikawal ketat oleh polis, petugas media hari ini dibenar mendekati kawasan pintu hadapan Ladang Gadong, yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Bagaimanapun, ketika menghampiri kawasan itu kira-kira pukul 3 petang tadi, terdapat dua anggota polis masih berkawal dan tidak membenarkan pihak media melepasi laluan serta kawasan dalam ladang berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan ladang itu dipagari dengan tembok batu setinggi kira-kira dua meter dengan pintu masuk utama menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar 100 meter dari pintu utama ladang.
Pintu masuk utama ladang milik suspek utama kes itu turut tertera dua tanda amaran iaitu “Dilarang Masuk” dan “Awas Anjing Ganas”.
Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan yang menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sireh di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.
Turut kelihatan sebuah sangkar burung merak serta beberapa ekor lembu sedang berkeliran di kawasan berhampiran ladang terbabit.
Sementara itu, dua anggota forensik kelihatan memasuki kawasan ladang kira-kira pukul 5.20 petang. Sebuah kereta forensik memasuki kawasan berkenaan pada pukul 11.45 pagi sebelum keluar semula 35 minit kemudian.
Di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini berkata polis menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna sebagai senjata pembunuhan.
Sebuah beg kriket turut ditemui di lokasi kejadian, katanya yang enggan mengulas lanjut. - Bernama

No comments:

Post a Comment