Friday, September 17, 2010

Pelakon veteran M. Rajoli..ALFATIHAH

M.Rajoli Dalam Kenangan
Allahyarham M.Rajoli dalam kenangan
PEMERGIAN Allahyarham M.Rajoli ternyata memberi kesan yang mendalam buat industri hiburan tanah air.
Bakatnya yang pelbagai mampu membuatkan penonton ketawa dan menangis mengikut watak yang diberikan.
Apalagi dengan gurau senda yang sering menjadi usikannya kepada keluarga dan rakan-rakan, ia pastinya menjadi memori yang indah.
Sepanjang detik-detik terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, Allahyarham hanya ditemani isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhammad Arif.
Kedua-dua anak beranak itu tenang menerima ketentuanNya.
Arif berkata, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan mengalirkan air mata sejak pemergian ayahanda tercinta. Apa pun mereka reda dengan pemergian pelakon itu.
"Sebelum itu, sempat juga arwah berpesan, jaga mak dan kalau boleh dia tidak mahu adik-beradik bergaduh.
"Saya bangga dengannya kerana semangatnya yang begitu kuat ketika bertarung nyawa.
"Apapun, saya enggan memikirkan kenangan bersamanya kerana ia akan membuat saya menangis mengenangkannya," katanya.
Hashimah pula berkata, dia sedikit kekok tanpa suaminya di sisi dan terpaksa menerima hakikat bahawa suami tercinta kini telah pergi.
Sani (kanan) sedih kerana tidak dapat melawat M.Rajoli ketika sakit.
Sementara itu, salah seorang ahli kumpulan Kopratasa, Sanisudin sangat sedih dengan pemergian pelakon berusia 64 tahun itu.
Katanya, sepanjang Allahyarham sakit, dia tidak berkesempatan untuk menjenguk pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.
"Kalau saya kata sibuk, memang saya tak perlu beri alasan bukan. Tapi itulah, saya terasa sangat bila Sabri Yunus menghubungi saya tentang pemergian arwah.
"Sekali pun saya tak jenguk dia. Saya harap, dia pergi dengan aman," katanya.
Sabri yang merupakan teman artis yang sering bekerjasama dengannya berkata, dia sempat melawat Allahyarham sebulan lalu dan Allahyarham meminta Sabri untuk mendoakannya sembuh agar dapat aktif semula di bidang lakonan.
"Sepanjang perkenalan saya dengannya, dia seorang lelaki yang suka bergurau dan gemar menghiburkan orang-orang sekelilingnya.
"Tambah pula bila kami bekerjasama dalam sitkom Salam Pantai Timur di sekitar tahun 2001 hingga 2005, banyak kenangan manis yang kami kongsi bersama.
"Setahu saya juga, dia tidak pernah marah orang," ujar Sabri.
Ziela kenal M.Rajoli sebelum kahwin lagi
Bagi penerbit drama serta pelakon, Ziela Jalil pula gembira kerana sempat pergi menunaikan umrah dengan Allahyarham bersama rakan-rakan yang lain.
"Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada hari pengebumian arwah pelakon Syukri Hashim. Cuma dalam tahun ini saja saya tidak sempat menjenguknya.
"Bila mengenangkan arwah, saya kenal dia sebelum saya berkahwin lagi. Waktu itu kami bekerjasama dalam filem Pendekar Mata Satu dimana dia menjadi pembantu Pengarah.
"Saya akui, bekerja dengannya membuatkan kita sentoasa terhibur dengan lawak-lawak spontannya itu," katanya

M. Rajoli ampunkan isteri, anak-anaknya











HASHIMAH Md. Din menyiram air ke pusara M. Rajoli di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.







KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pelakon veteran, M. Rajoli sempat memaafkan dua isteri dan empat anaknya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang di sini, malam tadi.
Menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Ariff, 23, dia sempat berbisik ke telinga M. Rajoli memohon maaf bagi pihaknya dan ahli keluarga yang lain jika pernah melakukan kesalahan dan menyinggung perasaan bapanya itu.
"Arwah bapa saya koma dua jam sebelum meninggal dunia. Saya sempat berbisik ke telinganya memohon maaf semasa dia dalam keadaan itu. Dia mengerdipkan matanya dan menganggukkan sedikit kepala selepas itu.
"Saya faham isyarat arwah bapa saya itu," katanya sewaktu ditemui pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Aqram Jalan Datuk Keramat pada pukul 9.30 pagi dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 10.30 pagi.
Hadir sama isteri pertama Allahyarham, Hashimah Md. Din dan anak-anaknya. Kelibat isteri keduanya yang merupakan bekas pembaca berita RTM, Wan Chik Daud tidak kelihatan.
Ketika ditanya, Muhammad Ariff menjelaskan, dia menjemput ibu tirinya hadir ke upacara itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi Wan Chik membalas dengan mengatakan dia tidak dapat hadir.
"Dia (Wan Chik) kata walaupun tidak dapat hadir tetapi dia yakin akan berjumpa juga dengan arwah bapa di akhirat kelak," jelas Muhammad Arif yang turut membacakan talkin untuk Allahyarham.
Sementara itu, pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sahaja dirasai oleh isteri dan anak-anaknya tetapi juga rakan-rakan seperjuangan Allahyarham dalam bidang lakonan yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Pengarah Yusof Kelana menyifatkan Allahyarham yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan sebagai pelakon versatil dan komited dalam kerjayanya sejak bergelar pelakon pada 1964 melalui filem Ibu Ayam arahan Salleh Ghani.
"Saya pernah mengarahkan filem berjudul Juara pada 1991 yang dilakonkan oleh Allahyarham. Dalam filem itu Allahyarham melakonkan watak komedi. Saya tidak sangka dia juga sebenarnya pelakon komedi.
"Ini kerana, selama ini ramai yang beranggapan Allahyarham hanya sesuai melakonkan watak orang alim sahaja. Beliau mampu melakonkan pelbagai watak dan komited sewaktu di lokasi penggambaran," jelasnya.

NEGARA


Dikebumikan sebelah kubur ibu



HASHIMAH menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham M. Rajoli di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Permintaan terakhir Allahyarham M. Rajoli untuk dikebumikan bersebelahan kubur ibunya, Khatijah Udin di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat ditunaikan oleh keluarganya di sini semalam.
Isterinya, Hashimah Mohd. Din, 56, berkata, hasrat suaminya itu pernah disampaikan oleh arwah semasa dia terlantar di hospital sebelum ini.
"Alhamdulillah, jenazah abang (M. Rajoli) dapat disemadikan berhampiran dengan kubur ibunya hari ini (semalam). Apa-apa pun saya reda dengan pemergiannya. Saya harap semua maafkan dia," katanya ketika ditemui di sini semalam.
M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajoli @ Mohd. Rajab Mohamed Zain, 65, meninggal dunia pada pukul 10.45 malam semalam kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung di Hospital Ampang di sini.


Pelakon M Rajoli meninggal dunia
Sep 18, 10 11:11am
Pelawak dan pelakon terkenal M Rajoli meninggal dunia di Hospital Ampang di Kuala Lumpur, pada pukul 10.55 malam tadi akibat penyakit kelenjar kanser otak.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Harun Salim Bachik berkata Allahyarham dirawat di hospital itu sejak tengah malam semalam setelah mengalami komplikasi penyakit itu.

"Allahyarham meninggal akibat penyakit lamanya itu dan dijangka akan disembahyang dan dikebumi di Keramat petang esok," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata hampir keseluruhan anggota keluarga Allahyarham berada bersamanya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya.

Harun berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada industri perfileman negara kerana Allahyarham adalah 'bintang yang sentiasa menyinar'.

M Rajoli atau nama penuhnya Mohd Rajoli @ Mohd Rajab Mohamed, 64, menghidap penyakit kelenjar kanser otak sejak 2007 dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau dimasukkan ke HKL pada 10 Okt 2007 dan dibedah pada keesokannya apabila doktor mendapati komplikasi penyakit di otaknya.

Selepas tiga minggu berada di Unit Neurologi, HKL, beliau dipindahkan ke Hospital Ampang pada 1 Nov 2007 untuk menjalani rawatan susulan kimoterapi dan fisioterapi sebelum dimasukkan ke HKL semula untuk rawatan radioterapi kerana keadaan jantungnya yang lemah.

Allahyarham terkenal dengan lakonan versatilnya dan pernah membintangi pelbagai drama dan filem antaranya Congkak dan Lembing Awang Pulang ke Dayang.

--Bernama

M Rajoli meninggal dunia

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 17 Sept: Pelakon dan pelawak, M Rajoli, 64, atau nama sebenar Haji Mohd Rajoli Mohamed Zain meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, jam 10.45 malam ini akibat sesak nafas selepas terlantar sakit lebih setahun lalu.

Allahyarham sebelum ini menerima rawatan sejak 2008 selepas disahkan menghidap penyakit lymphoma ataupun barah kelenjar otak.

Akibat penyakit dan rawatan yang dijalani, beliau lumpuh hampir seluruh anggota.

M Rajoli merupakan seorang pelakon veteran dari era lewat 70-an dan cukup dikenali dengan lakonannya yang begitu versatil dan bersahaja.

Selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pelukis.

Selain membawa watak komedi dalam lakonannya, beliau juga pernah membawakan watak seorang yang warak dan kuat pegangan agama dalam banyak filem dan drama.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, sebelum Zohor esok.

Beliau meninggalkan dua orang balu Hajah Wan Chik Daud dan Hashimah Mohd. Din dan lapan orang anak.

M Rajoli meninggal dunia malam tadi



2010/09/18
AMPANG: Pelakon dan pelawak, Mohd Rajoli Mohamed Zin, 65, atau M Rajoli disahkan meninggal dunia akibat penyakit barah pada kelenjar otak atau lymphoma di Hospital Ampang, jam 10.45 malam tadi.
KENANGAN...Allahyarham M Rajoli bersama kedua-dua isterinya.
KENANGAN...Allahyarham M Rajoli bersama kedua-dua isterinya.
Pelakon yang sering membawa watak ustaz dan ahli korporat itu, terlantar di hospital sejak dua hari lalu selepas mengalami masalah pernafasan. Dia kemudiannya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ditempatkan di wad pesakit dua jam kemudian. Keadaannya yang kritikal membuatkan dia bertarung dengan nyawa sejak ditahan di wad berkenaan.
Adik iparnya, Mohlis Mohd Din, M Rajoli yang dihubungi malam tadi mengesahkan kematian pelakon itu sambil memberitahu sebelum itu allahyarham hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. “Sebelum inipun keadaannya amat kritikal. Dia hanya mampu menggerakkan mata dan isyarat jari. Keadaan itu dipercayai kesan penyakit barah otak yang dihidapi sejak tiga tahun lalu. “Pada Hari Raya lalu keadaannya stabil walaupun tidak banyak bercakap dan kurang minum air,” katanya.

M Rajoli meninggalkan dua balu iaitu isteri pertama Hashimah Mohd Din, 56, dan isteri kedua, bekas penyampai radio, Wan Chik Daud, 70. Hasil perkongsian hidup bersama Hashimah selama 36 tahun mereka dikurniakan empat anak iaitu Siti Dzaleha, 34, Nur Mohamad, 33, Siti Nazirah, 28 dan Muhd Ariff, 23. Pelakon berasal daripada Pasir Mas, Kelantan membintangi ratusan drama dan filem antaranya Mekanik, Azura, Anaknya Sazali, Lang Buana, Cinta Fotokopi, Lady Boss dan Histeria. Dia cukup dikagumi menerusi lakonan dengan kebolehannya membawakan watak dengan berkesan

Pelakon veteran M. Rajoli meninggal dunia

17/09/2010 11:44pm























M. Rajoli, 65













KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pelakon veteran, M. Rajoli, 65, meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam ini di Hospital Ampang di sini selepas dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung sejak semalam.
Sewaktu dimasukkan ke hospital tersebut, pelakon itu sudah didapati semakin tenat dan diberi alat bantuan pernafasan kerana masalah yang dihadapinya itu.
Menurut anak bongsu pelakon itu, Mohd. Arif Rajoli, 23, berkata, keadaan bapanya semakin kritikal awal malam ini sehingga diletakkan di bawah pemerhatian rapi doktor.
“Bagaimanapun bapa saya telah meninggal dunia pada pukul 11 malam kerana masalah kesihatan yang dihadapinya itu.
‘‘Sebelum ini bapa saya kurang sihat dan terlantar di rumah sejak menjalani pembedahan di bahagian kepala kerana menghidap penyakit tumor. Dia menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala.
“Dia pernah menjalani rawatan susulan kimoterapi kerana penyakit itu,” katanya kepada Utusan Malaysia malam ini.
- UTUSAN

M. Rajoli kini kritikal di Hospital Ampang

17/09/2010 10:01pm

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pelakon veteran M. Rajoli yang pernah menghidap penyakit tumor di bahagian kepalanya kini sedang tenat dan diberi bantuan kecemasan di Hospital Ampang di sini sejak semalam.
Menurut anak bongsu pelakon itu, Mohd. Arif Rajoli, 23, bapanya dimasukkan ke hospital tersebut semalam selepas anhli-ahli keluarganya mendapati tekanan darah dan jantungnya yang rendah.
"Keadaan bapa saya mula krital sejak dia dimasukkan ke Hospital Ampang sejak semalam. Buat masa ini doktor menggunakan alat bantuan pernafasan bagi membantu mengatasi masalah yang sedang dihadapi bapa saya itu.
"Sebelum ini keadaan kesihatannya stabil. Bapa saya pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala kerana penyakit tumor yang dihadapinya selama empat tahun itu.
"Malah, dia juga pernah menjalani rawatan kimoterapi sebelum ini. Doakanlah semoga keadaan kesihatan bapa saya stabil seperti biasa," katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu dihubungi di sini hari ini.
- UTUSAN



M Rajoli meninggal dunia
Oleh Zaidi Mohamad dan S Anand Kumar
edisimingguan@bharian.com.my
2010/09/18

M Rajoli
M Rajoli
Jenazah dikebumikan di Datuk Keramat sebelum Zuhur

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, M Rajoli, 64, yang terlantar sakit lebih setahun lalu, meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini jam 10.45 malam tadi akibat sesak nafas


Turut berada di sisi ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya ialah isteri, Hashimah Md Din dan anak bongsunya, Muhd Arif.
Adik ipar M Rajoli, Mohlis Md Din, ketika mengesahkan berita itu berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Datuk Keramat, di sini sebelum Zuhur hari ini.

Pelakon yang nama sebenarnya Mohd Rajoli Mohamed Zain itu menderita barah otak sejak tiga tahun lalu dan melarat hingga ke bahagian urat saraf, sekali gus lumpuh seluruh badan dan terpaksa menggunakan sistem bantuan pernafasan.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” kata Mohlis yang turut berada di hospital bersama sanak saudara.

Allahyarham terkenal dengan kebolehannya memegang pelbagai peranan dengan berkesan sama ada dalam drama atau filem me-nyebabkan peminat sentiasa senang dengan kemunculan pelakon kelahiran Kelantan itu.
Rajoli yang berasal dari Pasir Mas mula berlakon sejak 1964 menerusi Ibu Ayam arahan Allahyarham Salleh Ghani. Dalam filem itu, wataknya kecil saja sebagai penggesek biola.

Imejnya sebagai orang alim bermula apabila Allahyarham diberi peranan oleh Tan Sri Dr Jins Shamsuddin sebagai pembaca talkin dalam filem Esok Untuk Siapa (1985).

Perkahwinan M Rajoli dan Hashimah dikurniakan empat anak, Siti Dzaleha, Nur Muhammad, Siti Nazirah dan Muhd Arif dan tujuh cucu. Cucu terbaru pasangan itu dilahirkan 12 tengah hari semalam.

Allahyarham yang terkenal dengan sikap ranggi dan sporting kerana gemar menunggang motosikal berkua-sa tinggi turut meninggalkan seorang lagi isteri, Wan Chik Daud, bekas juruhebah dan pelakon veteran.



Wan Chik syukur hajat suami meninggal Jumaat termakbul
Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian,com.my
2010/09/19

Wan Chik Daud
Wan Chik Daud
Hasrat pelakon dikebumi bersebelahan pusara ibu juga dilaksana

KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk meninggal dunia pada hari Jumaat termakbul. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 10.45 malam kelmarin“Saya diberitahu Allahyarham juga mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2 Ramadan tahun lalu dan hal itu juga dipenuhi keluarganya. Saya bersyukur akhirnya dia dijemput Penciptanya kerana memang itu kehendaknya.
“Dulu dia pernah berkata akan menjadi insan yang paling bahagia jika nyawanya dicabut Tuhan pada usia 63 tahun seperti mana usia wafatnya Nabi Muhamad SAW. Memang sudah lama dia bersedia bertemu dengan Tuhan dan persoalan mengenai akhirat sentiasa meniti dibibirnya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Bekas pembaca berita RTM itu berkata, beliau juga diberitahu saat Allahyarham sedang nazak, mulutnya tidak pernah lekang menyebut kalimah suci.

“Allahyarham sangat ceria orangnya. Dia sangat kasih kepada Allah dan Rasul. Dia berlakon pun atas tiket berdakwah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dia juga tak nak saya berkahwin lagi. Dialah pemimpin, kawan dan tempat mengadu saya selama ini. Dia tiada tolok bandingnya,” katanya.

Menurut Wan Chik lagi, dia tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ di antaranya dan keluarga isteri pertama yang pernah dilaporkan media sebelum ini. Wan Chik juga mengiyakan bahawa dirinya masih lagi isteri kedua kepada Allahyarham.
Katanya, dia hanya dapat tahu mengenai berita nazak Allahyarham daripada pelakon Kartina Aziz dan jiran yang menghubungi.

Mengenai ketiadaannya pada majlis pengebumian itu, Wan Chik berkata tiada guna jika hanya dapat menjenguk mayat suaminya yang sudah terkujur kaku.

“Sudah setahun setengah saya tidak bertemu dengan suami sepanjang hayatnya masih ada. Jadi kalau alang-alang nak tengok, lebih baik saya dapat melihatnya ketika masih bernyawa. Saya rasa tak perlu untuk saya bertemu dalam keadaan begini.

“Sekalipun kami tak dapat bersua di dunia, harapnya kami dapat bertemu kembali di akhirat. Saya hanya mampu pasrah dan reda dengan ketentuan ini. Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu menghadiahkan bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah kepada Allahyarham.

“Saya amat merinduinya dan yakin Allahyarham juga melalui perkara yang sama. Tiada guna ke sana (tanah perkuburan) hanya kerana mahu berdepan dengan orang ramai dan menangis sedangkan Allahyarham sudah tiada di muka bumi,” kata Wan Chik


Jenazah M Rajoli selamat disemadikan


2010/09/19

MAJLIS pengebumian M Rajoli di Tanah Perkuburan Datuk Keramat.
MAJLIS pengebumian M Rajoli di Tanah Perkuburan Datuk Keramat.
KUALA LUMPUR: Pelakon Allahyarham M Rajoli, 64, yang meninggal dunia di Hospital Ampang malam kelmarin selepas sesak nafas, disemadikan di tanah perkuburan Datuk Keramat pada jam 10.04 pagi semalam.

Sebelum itu, Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohamed yang mula menghidap penyakit barah otak dan disusuli dengan gangguan urat saraf sejak tiga tahun lalu, dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Akram Datuk Keramat.

Pada 16 September lalu Allahyarham dikejarkan ke hospital terbabit kerana mengalami kesukaran bernafas. Ketika itu, Allahyarham dibantu sistem bantuan pernafasan dan hanya bertindak balas menggunakan gerakan mata dan isyarat tangan.
Isteri pertama Allahyarham, Hashimah Mohd Din yang ditemui di tanah perkuburan kelihatan begitu tenang tetapi enggan ditemuramah. Sebaliknya, anak bongsu Allahyarham, Muhammad Ariff, 23, memberi kenyataan mewakili keluarganya.

“Kami reda dengan pemergiannya kerana Tuhan lebih menyayanginya. Semangatnya meneruskan perjuangan hidup di saat akhir sangat kuat sekalipun dia sudah nazak dan jantungnya sudah tidak boleh bertahan dalam tempoh lama.

“Saya sebak untuk memandang ayah lama-lama. Kalau teringat kenangan lalu bersamanya, saya akan menangis. Saya pernah ikut ayah menjalani penggambaran dan saya sudah dianggap seperti pembantu peribadinya. Sewaktu di dalam liang lahad, saya nampak ayah masih tersenyum.

“Saya masih pegang pesanan akhir ayah untuk menjaga mak dengan baik. Ayah juga tak mahu kami adik-beradik berpecah-belah. Ayah memang seorang penyokong setia dalam hidup saya. Cuma katanya, jangan sesekali meninggalkan solat,” kata Ariff.
Ditanya mengenai ‘sengketa’ antara keluarganya dengan isteri kedua Allahyarham, Wan Chik Daud, Muhammad Ariff menjelaskan dia berharap akan ada jalan perdamaian selepas ini. Katanya lagi, tiada dendam yang terpalit di hatinya kepada wanita yang dipanggil Umi itu.

“Saya menghantar SMS kepadanya memaklumkan mengenai ketiadaan ayah. Umi membalas dengan menulis, dia harap untuk berjumpa ayah di akhirat. Umi turut menekankan yang dia sangat menyayangi ayah selama-lamanya,” katanya.

Antara rakan seperjuangan yang hadir pada majlis pengebumian ialah Rosyam Nor, Ziela Jalil, Sani Sudin, Sabri Yunus, Harun Salim Bachik, Ezany, Raja Alawiyah Idris dan Arash Mohd.


M.Rajoli Selamat Dikebumikan

Arif (baju coklat), menyiram pusara arwah bapanya. - Foto UTUSAN
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran, M.Rajoli atau nama sebenarnya Mohd Rajoli Mohamed Zin, 65, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, pada pukul 10.30 pagi ini.
Allahyarham telah meninggal dunia di Hospital Ampang, Jumaat, pada pukul 10.45 malam, akibat sesak nafas setelah menderita penyakit barah otak sejak tiga tahun lalu sehingga lumpuh satu badan sehingga terpaksa menggunakan sistem bantuan pernafasan.
Allahyarham meninggalkan dua isteri iaitu, Hashimah Md Din dan Wan Chik Daud serta empat anak; Siti Dzaleha, Nur Muhammad, Siti Nazirah dan Muhd Arif bersama tujuh cucu.
Antara artis-artis yang hadir termasuk Ziela Jalil, Ezani, Sabri Yunus, Arash Mohamad, Sani Sudin (Kopratasa), Datuk Ismail Hudson, Rosham Nor dan Harun Salim Bachik.
Isteri M.Rajoli tabah dengan pemergian pelakon itu. - Foto UTUSAN
Bagaimanapun, Wan Chik tidak hadir pada majlis pengebumian pelakon tersebut.
Mengenang kembali jasa-kasanya dalam industri hiburan, M.Rajoli terkenal dengan kebolehannya melakonkan watak komedi. Kehebatan bakatnya bukan setakat itu sahaja malah mampu membawa peranan lain secara berkesan turut membuatkan dia berjaya menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-15, pada tahun 2001.
Pelakon kelahiran Pasir mas, Kelantan itu telah mula berlakon pada tahun 1964 menerusi filem Ibu Ayam, arahan Allahyarham Salleh Ghani, sebagai penggesek biola.
Allahyarhan juga terkenal dengan imej ranggi bersama motosikal berkuasa tinggi kesayangannya



Dibantu alat pernafasan

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
2010/09/18
KUALA LUMPUR: “Walaupun sebak dan sedih selepas pemergiannya, saya reda, lebih-lebih lagi selepas melihatnya seakan-akan tersenyum ketika dimasukkan ke dalam liang lahad,” kata Muhd Ariff, 23, anak bongsu kepada pelakon dan pelawak terkenal, M Rajoli atau nama penuhnya, Mohd Rajoli Mohamed Zin.
SAYU... hadirin berdoa selepas mengkebumikan M Rajoli di Tanah Perkuburan Datuk Keramat, semalam.
SAYU... hadirin berdoa selepas mengkebumikan M Rajoli di Tanah Perkuburan Datuk Keramat, semalam.
Menurut Ariff, keadaan arwah kritikal ketika dimasukkan ke dalam wad dan terpaksa bertarung nyawa akibat penyakit barah saraf otak atau Lymphoma.

“Dua hari sebelum itu keadaannya stabil, cuma kurang bercakap. Namun tiba-tiba keadaannya berubah dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana sukar bernafas. Bagaimanapun, arwah terpaksa bertarung nyawa selepas hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Saya masih ingat pesanan arwah ayah. Sebelum pemergiannya, dia meminta saya menjaga emak dan mengharapkan adik-beradik tidak bergaduh sesama sendiri.

“Arwah juga pernah berkata jika ajal menjemputnya, dia meminta jasadnya segera dikebumikan tanpa perlu ditangguh,” katanya.
Pelakon berasal daripada Pasir Mas, Kelantan, itu meninggalkan dua balu iaitu isteri pertama Hashimah Mohd Din, 56, dan isteri kedua, bekas pembaca berita RTM, Wan Chik Daud, 70.

Hasil perkongsian hidup bersama Hashimah selama 36 tahun mereka dikurniakan empat anak iaitu Siti Zaleha, 34, Nur Mohamad, 33, Siti Nazirah, 28 dan Muhd Ariff.

Sebelum kematiannya, arwah dikatakan mengalami krisis dengan isteri keduanya. Bagaimanapun, Wan Chik yang dihubungi semalam berkata dia sudah lama memaafkan suaminya.

“Walau apa pun terjadi, saya tetap sayangkan dia. Kini, dia sudah pergi menghadap Ilahi dan saya mendoakan dia ditempatkan di kalangan orang beriman.

“Saya tidak akan melupakan segala kenangan antara kami. Semuanya akan saya ingat sehingga akhir nyawa,” katanya sebak.

Pengebumian arwah turut dihadiri beberapa kenalan artis antaranya Rosyam Nor, Puan Sri Ziela Jalil, Harun Salim Bachik, Sabri Yunus, Ezany dan Arash Mohd.

Rosyam berkata, dunia seni kehilangan bakat besar selepas pemergian arwah kerana bakat dan ilmu dimiliki Allahyarham tidak dapat ditandingi.
“Saya menganggapnya seperti ayah sendiri. Selain mendapatkan tunjuk ajar daripada segi lakonan, arwah menjadi tempat rujukan dalam bidang agama.

“Saya masih ingat pesanan terakhirnya pada saya tidak lama dulu iaitu jangan lupa membayar zakat. Insya-Allah, saya tidak akan melupakannya,” katanya

No comments:

Post a Comment