Pembunuhan kejam Sosilawati: Dibunuh 10 malam 30 Ogos
2010/09/15
KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.
Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.“Tempoh tiga hari yang dinyatakan itu mungkin taktik kumpulan penjenayah itu untuk menghapuskan segala bukti sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.
“Hanya Noorhisyam dibenar menghubungi isterinya, tetapi dengan kawalan dan pengawasan ketat kumpulan penjenayah terbabit menyebabkan panggilan itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa.
“Sebab itu, Noorhisyam dalam perbualan dengan isterinya antara lain meminta maaf dan mengaku tidak dapat memberitahu apa yang berlaku terhadapnya dan berjanji untuk menceritakan segala-galanya selepas tempoh tiga hari,” katanya kepada Berita Harian.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Suzana menerima panggilan daripada suaminya pada jam 8.15 malam, 30 Ogos lalu.
Suzana berkata, beliau hairan kerana suaminya bercakap dalam keadaan tergesa-gesa tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana suaminya akan pulang tiga hari lagi.
Pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga individu itu hanya terbongkar pada 10 September lalu selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.
Sumber berkata, Sosilawati dan tiga individu itu dipercayai dibunuh kerana penjenayah itu menghadapi kesukaran untuk menjaga mangsa serta bimbang dikesan polis.
“Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini serta kaitan lapan suspek yang ditahan itu dengan kes berkenaan dan kehilangan empat individu lain yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu.
“Bahan bukti yang diperoleh sedang dikumpul untuk dilakukan ujian forensik. Siasatan awal pula mendapati motif pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah perniagaan, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
KRONOLOGI
Detik sebelum dibunuh
10 pagi: Sosilawati memasuki pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
4 petang: Membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting.
5 petang: Kamaruddin menghubungi anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail.
5-6 petang: Sosilawati menghantar SMS kepada suami memberitahu dia ke Banting.
8.15 malam: Noorhisham menelefon isterinya, Suzana Radim Pangat.
10 malam: Keempat-empat mangsa dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting
Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek broker tanah RM100j
2010/09/15
SUSPEK dibawa ke pejabatnya di Banting untuk siasatan pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.
KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya sudah menerima cek RM1 juta pada 2 Ogos lalu, kira-kira tiga minggu sebelum mangsa dan tiga individu lain dilaporkan hilang sebagai wang pendahuluan bagi penjualan tanahnya di Pulau Pinang yang bernilai RM100 juta
Difahamkan, cek berkenaan diserahkan ketika Sosilawati dan pemandu peribadinya menemui suspek bergelar Datuk di firma guaman milik suspek dekat Banting, Peguam Syarie, Datuk Zaidi Zain yang mewakili Sosilawati membabitkan kes tuntutan RM1.38 juta terhadap bekas suaminya, Nash mendakwa pada pertemuan terakhir dengan mangsa pada 26 Ogos lalu, jutawan itu menceritakan mengenai tanahnya di Pulau Pinang yang dibeli pada harga RM20 juta dan sudah menemui pembeli hasil bantuan suspek.
“Wati (Sosilawati) memaklumkan sudah terima cek RM1 juta yang berstatus cek tertunda dan hanya boleh ditunaikan pada 2 September bersama draf perjanjian yang membolehkan suspek menerima komisen seperti dipersetujui.
“Beliau begitu gembira menceritakan perkara itu kerana bakal menjual tanahnya RM100 juta dan memperoleh keuntungan RM80 juta. Bagaimanapun, Wati tidak memaklumkan siapa pembeli itu,” katanya, semalam.
Zaidi berkata, pada hari jutawan kosmetik dan tiga individu dilaporkan hilang, beliau dimaklumkan tujuan pemergian mereka ke Banting bertemu suspek untuk memberinya komisen kerana berjaya mencari pembeli.
“Bagaimanapun, Wati tidak membawa wang tunai, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa peguam dan perunding kewangan peribadinya bagi membolehkan transaksi wang dilakukan.
“Wati dijanjikan suspek pada pertemuan itu pembeli akan membayar 10 peratus iaitu RM10 juta daripada harga tanah yang dijual,” katanya
Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis temui 6 keping zink dipercayai alas pembakaran
2010/09/15
SEBILAH pisau ditemui ketika operasi menyelam di tebing sungai Kanchong Laut, Kampung Endah, semalam.
BANTING: Enam keping atap zink yang mempunyai kesan terbakar, dipercayai digunakan suspek sebagai alas ketika membakar mangsa kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditemui penyelam Pasukan Gerakan Marin, di Sungai Gelanggang Buaya, di Kampung Kelanang, dekat sini, petang semalam
Penemuan atap zink itu hasil soal siasat dua suspek yang turut dibawa oleh polis ke kawasan pencarian pada jam 5.20 petang semalam.Polis juga menemui dua jam tangan termasuk jenama mewah Rolex dan Longines serta seutas jam tangan Seiko, dipercayai milik mangsa dalam Sungai Kanchong Laut, di sini.
Jam lelaki berjenama mewah yang mempunyai nombor siri dipercayai milik seorang daripada tiga lelaki yang dibunuh, manakala Rolex dipercayai milik Sosilawati. Turut ditemui ketika operasi mencari ialah sebilah pisau dan sebatang besi, tetapi tiada kaitan dalam kes berkenaan.
Difahamkan, polis sedang mencari besi cangkuk sawit yang dikatakan digunakan untuk membunuh keempat-empat mangsa berkenaan. Penyelam dilihat menggunakan alat pengesan besi bagi mengesan senjata dan barang peribadi yang dipercayai dibuang di kawasan berkenaan.
Ketika operasi, polis turut membawa tiga suspek bagi memudahkan pengecaman barang yang dijumpai dan mereka hanya menggeleng atau menganggukkan kepala apabila ditunjukkan barang yang ditemui.
Selain anggota polis dan petugas media, penduduk kampung dan orang awam turut berkumpul di tepi jalan berhampiran lokasi pencarian untuk melihat lebih dekat operasi, manakala anggota Trafik mengawal lalu lintas dan menghalang orang ramai daripada berkerumun lebih dekat di kawasan operasi.
Sementara itu, tiga kenderaan Pasukan Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat memasuki kawasan Ladang Gadong dekat sini, kira-kira jam 5.50 petang bagi membantu polis menyiasat kes bunuh dan bakar itu.
Dalam pada itu, seorang suspek dibawa ke dalam semak berhampiran Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di Subang Jaya iaitu tempat kereta BMW milik Sosilawati ditemui, bagi mencari barang kes dipercayai kunci kereta mewah berkenaan.
Selepas hampir setengah jam berada di kawasan semak itu, polis menemui barang kes yang mungkin boleh dijadikan bukti
Pembunuhan kejam Sosilawati: Seorang lagi diburu bantu siasatan
2010/09/15
KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lagi lelaki, dipercayai bekas pengawal peribadi dua suspek utama kes bunuh dan bakar jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya bagi membantu siasatan kes itu. Difahamkan, suspek terbabit yang dipercayai mempunyai banyak maklumat berhubung kes berkenaan melarikan diri selepas menyedari diburu sebaik
kes pembunuhan itu terbongkar. Sumber memberitahu Berita Harian, polis sudah menyerbu rumah lelaki terbabit dan beberapa lokasi termasuk pejabatnya di Banting, namun gagal menemuinya.
"Suspek dipercayai melarikan diri selepas dua beradik peguam berkenaan ditahan bersama enam suspek lain, termasuk pekerja ladang mereka sebelum ini.
"Polis percaya suspek masih berada di kawasan berhampiran. Identitinya sudah dikenal pasti dan gerakan memburunya sedang dijalankan," katanya
Mekanik dakwa jadi mangsa suspek utama Sosilawati
KUALA LANGAT 15 Sept. - Seorang pemilik bengkel kereta di pekan Banting dekat sini mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu ada hubung kait dengan suspek utama iaitu seorang peguam yang kini ditahan untuk membantu siasatan kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lagi di Tanjung Sepat, baru-baru ini.
P. Balasandam, 54, berkata, dia yang turut cedera parah dalam insiden dua tahun lalu pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006.
Katanya, dia bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.
Namun, katanya, keadaan bertukar menjadi masalah apabila beberapa peminjam enggan melunaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
"Masalah yang timbul adalah peguam itu mendakwa saya pula mengugut peminjam menyebabkan wang yang saya beri tidak mahu dipulangkan.
"Ekoran itu, saya telah ditahan lokap di Balai Polis Teluk Panglima Garang beberapa hari atas dakwaan mengugut," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Cempaka di sini hari ini.
Balasandram juga mendakwa, pada Disember 2008, peguam itu telah mengupah dua lelaki untuk menyerangnya dengan parang menyebabkan kedua-belah bahunya, kening, kepala dan hidung mengalami cedera parah.
Katanya, kejadian itu berlaku di bengkel keretanya di pekan Banting.
Namun, kemuncaknya, kata Balasandram adalah apabila isterinya, T. Selvi, 46, dibunuh setelah diserang di kawasan rumah mereka. Isterinya ditikam di bahagian dada, perut pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, dia bersetuju menjalinkan kerjasama dengan suspek ketika itu kerana mereka ada pertalian saudara dan para peminjam juga sudah lama dikenali.
"Sehingga kini kes saya diserang dan isteri dibunuh masih belum selesai," ujarnya.
Lagi tulang mangsa ditemui
KUALA LANGAT 15 Sept. - Unit forensik polis hari ini menemui lagi sejumlah serpihan tulang diper.cayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu dalam operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian, pasukan tersebut dilihat membawa keluar beberapa bungkusan dan salah satu daripadanya dipercayai mengandungi tulang-tulang mangsa.
Namun, para petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tersebut kecuali hanya boleh berada 100 meter dari situ.
Malah bagi mengelak kerja-kerja operasi dirakamkan, kawasan yang menjadi tempat bahan bukti dicari turut ditutup dengan kanvas.
Pengarah Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Malek Harun turut dilihat berada di lokasi tersebut bagi memantau sendiri operasi mencari bahan bukti untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, unit forensik mengumpul sejumlah tulang dan barangan mangsa yang juga ditemui di sungai yang sama pada 12 September lalu.
Sosilawati dan tiga yang lain dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan suspek bagi urusan pembelian ladang seluas 1.6 hektar milik suspek seorang peguam bergelar Datuk sebelum berita kehilangannya dilaporkan
Polis Selangor semak rekod orang hilang
KUALA LANGAT 15 Sept. - Polis Selangor sedang menyemak semua kes kehilangan orang di negeri ini bagi mengenal pasti sama ada ia turut melibatkan kumpulan suspek yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini, dua daripada laporan tersebut mempunyai kaitan dengan suspek utama pembunuhan usahawan wanita itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci sebarang maklumat berhubung dua laporan tersebut kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
"Buat masa ini saya hanya boleh sahkan bahawa polis telah membuka semula dua laporan mengenai orang hilang yang dipercayai ada kaitan dengan suspek kes ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop meninjau kawasan yang dikatakan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga lagi mangsa di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Ditanya sama ada polis menemui sebarang bahan bukti atau petunjuk baru, Khalid berkata, polis masih berusaha dan sehingga tengah hari ini, beliau belum lagi menerima sebarang maklumat berhubung penemuan baru.
Bagaimanapun, ketika wartawan mengajukan beberapa soalan, beliau enggan mendedahkan sebarang maklumat dengan alasan kes berprofil tinggi itu kini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur
Nash sifatkan Kamaruddin seperti adik kandung
KUANTAN 15 Sept. - Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nasharudin Elias atau Nash menyifatkan pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shamsudin seperti adik kandungnya kerana mereka berkawan rapat sejak 25 tahun dulu.
Menurutnya, hubungan itu terjalin sebelum Kamarudin mendirikan rumah tangga kerana ketika itu beliau bekerja sebagai jurutera bunyi di King Studio, Kuala Lumpur.
Katanya, Kamaruddin banyak membantunya melakukan kerja-kerja muzik terutama sistem bunyi sama ada di dalam studio mahu pun konsert ketika dia bersama kumpulan Lefthanded dahulu.
"Malah ketika beliau mengadakan majlis perkahwinannya di sini, saya pun turut bersama rakan-rakan lain memasak makanan untuk hidangan majlis itu.
"Hubungan kami terlalu rapat dan keluarganya juga sudah seperti keluarga saya," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad dan ahli keluarga yang lain di Bandar Indera Mahkota 2 di sini hari ini.
Hadir sama melawat keluarga Kamaruddin ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hazmi Yusof; Skuad Sayang Wanita UMNO Indera Mahkota serta bekas penyanyi Kumpulan XPDC, Mohd. Ali Ismail atau Ali.
Menurut Nash, berita tentang penemuan mayat keempat-empat mangsa termasuk bekas isterinya dan Kamaruddin diketahui pada malam raya lalu ketika dia berada di Sabah atas urusan peribadi.
Katanya, sebaik menerima berita itu, dia begitu sedih kerana pemandu yang hilang dan dipercayai dibunuh kejam itu adalah rakan baiknya sendiri.
Jelasnya, bukan itu sahaja, beliau juga pernah menjaga dua anak Kamaruddin semasa mereka tinggal di Shah Alam dan menghantar salah seorang anaknya ke sekolah di situ selama setahun.
"Bayangkan hubungan kami terlalu akrab dan anak-anaknya seperti anak saya sendiri.
"Saya berharap supaya anak-anak Kamaruddin sentiasa menghadiahkan doa kepada bapa mereka supaya rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang-orang yang soleh," katanya.
Ali pula menyifatkan Kamaruddin seorang yang suka bergurau dan disenangi rakan-rakannya.
Katanya, Kamaruddin sentiasa membantu persembahan kumpulannya khususnya penyusunan sistem muzik sekiranya terlibat dalam sebarang konsert di negara ini.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan dia pada tahun lalu dan tidak menyangka itulah pertemuan terakhir kami berdua," katanya
Pejabat Sosilawati lengang
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Ibu pejabat Nouvelles Visages Sdn. Bhd. (NV) milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya beroperasi seperti biasa hari ini selepas ditutup sejak Jumaat lalu sempena cuti hari raya.Bagaimanapun, keadaan pejabatnya yang terletak di Jalan Raja Bot dekat sini itu lengang dan tingkat bawah premis tersebut kosong dan gelap serta tidak dikunjungi pelanggan.
Premis tersebut dibuka oleh salah seorang pekerjanya kira-kira pukul 11.50 pagi dan menguncinya kembali selepas menyedari kehadiran pihak media yang telah menunggu di hadapan pejabat itu seawal 8.30 pagi.
Salah seorang anak Sosilawati, Erinawati Sofia Bukhari tiba di premis berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari bersama seorang lelaki dengan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau yang mengenakan baju kurung hijau dan berselendang, berada di situ kira-kira setengah jam sebelum beredar dan enggan ditemu bual.
Difahamkan kakaknya, Erni Dekriwati Yuliana yang juga merupakan pengarah urusan produk kosmetik yang diasaskan ibunya itu tidak dapat hadir ke pejabat kerana melayani tetamu yang tidak putus-putus datang ke rumahnya untuk mengucapkan takziah.
Biarpun tidak dikunjungi pelanggan namun kebanyakan mereka yang lalu lalang di hadapan pejabat tersebut akan memperlahankan kenderaan atau berhenti seketika sekadar untuk melihat bangunan milik jutawan kosmetik itu.
Sosilawati bersama tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu telah dibunuh sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Selangor.
Tiga lagi yang menerima nasib yang sama ialah pemandunya, Kamaruddin Shamsudin; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad dan peguam peribadi beliau, Ahmad Kamil Abdul Karim
Mahu anak bongsu jadi ustaz
KUANTAN 15 Sept. - Pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shamsudin pernah menyuarakan keinginan melihat anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, menjadi seorang ustaz apabila dewasa kelak.
Kakaknya, Ramlah memberitahu perkara itu dinyatakan adiknya ketika anak saudaranya itu baru sahaja dilahirkan.
"Kamaruddin mengulangi harapan itu setiap kali pulang ke sini seolah-olah satu amanat untuk saya menunaikannya. Insya-Allah saya akan menghantar Irfan ke sekolah agama di sini pada tahun depan," katanya.
Dia ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hazmi Yusof dan Skuad Sayang Wanita UMNO Indera Mahkota.
Maznah dan Hazmi bersama skuad tersebut meluangkan masa hampir satu jam bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada ahli keluarga Kamaruddin di sini.
Mereka juga sempat mengadakan majlis tahlil secara ringkas bagi menghormati pemergian Kamaruddin yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Banting baru-baru ini.
Ramlah berkata, sebelum kejadian itu, adiknya ada pulang ke Kuantan pada 27 Ogos lalu untuk menemui Irfan dan membawa anaknya membeli baju raya pada Sabtu dan Ahad.
"Kamarudin beli dua helai baju untuk Irfan dan pada malam Ahad (29 Ogos) dia meminta anaknya memakai kedua-dua baju itu sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Isnin (30 Ogos)," katanya.
Dalam pada itu, Hazmi berkata, segala urusan pengkebumian akan diuruskan oleh UMNO Indera Mahkota yang dijangka dilakukan di Tanah Perkuburan Bukit Ubi di sini.
Tambahnya, anak-anak dan keluarga Kamarudin juga akan turut dibantu sekiranya mereka menghadapi masalah termasuk dari segi pelajaran
Polis ambil sampel DNA ibu Sosilawati
BATU PAHAT 15 Sept. - Polis hari ini mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik ibu Datuk Sosilawati Lawiya bagi membantu siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik itu bersama tiga individu lain lebih dua minggu lalu.Menurut adik jutawan itu, Rosnani Lawiya, 45, sepasukan tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur bersama seorang doktor mengunjungi ibunya, Yatimi Abdul Rahman, 80, di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengambil sampel DNA termasuk rambut milik warga emas itu di rumahnya.
"Kami tidak berkesempatan untuk bertanya mengapa DNA ibu perlu diambil kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka.
"Bagaimanapun, kami berharap agar sampel DNA yang diambil dapat merungkai kes kehilangan Kak Wati kerana kami tidak mahu terus dibelenggu kesedihan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rosnani berkata, dia hanya dimaklumkan secara mengejut berhubung kehadiran rombongan polis tersebut ke rumahnya.
Polis sebelum ini mengesahkan, hasil siasatan, empat daripada lapan suspek yang ditahan telah mengaku memukul Sosilawati dan tiga individu lain sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong di Tanjung Sepat, Selangor.
Polis turut menemui serpihan tulang dipercayai milik mangsa dan ujian DNA diperlukan untuk mengesahkan siapakah pemilik tulang itu.
Peguam Negara segerakan pendakwaan - Noh Omar
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kes pembunuhan kejam yang membabitkan jutawan kosmestik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain terus mendapat perhatian masyarakat.
Terbaru, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menggesa Peguam Negara menyegerakan proses pendakwaan sebaik sahaja kertas siasatan daripada polis selesai.
"Ia bagi memastikan mereka yang bersalah akan menerima hukuman setimpalnya.
"Kejadian ini sangat merupakan satu perbuatan zalim yang tidak sepatutnya berlaku pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat rumah keluarga salah seorang mangsa yang dilaporkan mati dibunuh, Noorhisham Mohammad, 38, di Taman Seraya Ampang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat.
"Sumbangan ini sebagai meringankan beban dan kesedihan yang ditanggung oleh Suzana. Lagipun, beliau mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan dua daripadanya masih bersekolah," katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji kecekapan polis kerana berjaya menyelesaikan kes ini dengan cepat.
Dalam perkembangan yang sama, bapa mertua Noorhisham, Radim Pangat Ishak juga berharap mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan ini dikenakan tindakan undang-undang yang tegas
No comments:
Post a Comment