Wednesday, September 15, 2010

CERITA TERBARU PADA 16/9/2010


Pembunuhan kejam Sosilawati: Pakar psikiatri yakin suspek utama waras


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/09/16

SUSPEK utama bergelar Datuk dibawa polis untuk memeriksa komputer di pejabatnya di Banting, kelmarin.
SUSPEK utama bergelar Datuk dibawa polis untuk memeriksa komputer di pejabatnya di Banting, kelmarin.
Personaliti psikopatik boleh sorok peribadi sebenar 

KUALA LUMPUR: Suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berkemungkinan mempunyai personaliti psikopatik, namun pakar psikiatri yakin peguam bergelar Datuk itu waras ketika melakukan jenayah berkenaan


Ciri-ciri sama juga ditonjolkan suspek kedua yang juga adik kepada suspek pertama dengan kedua-dua suspek mempunyai perilaku manipulatif yang berjaya menyembunyikan personaliti sebenar mereka daripada mata masyarakat selain memperdayakan mangsa.Personaliti psikopatik tidak sama dengan gila kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan, tetapi ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental. 

Pakar perunding kanan psikiatri dan psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Azhar Zain, yakin kedua-dua suspek utama waras ketika pembunuhan berdasarkan fakta, ia mempunyai motif, dirancang dan perbuatan dilakukan secara berkumpulan. 

“Orang tidak waras melakukan perbuatan (jenayah) secara bersendiri kerana gangguan mental seperti mendengar bisikan suara-suara ghaib mendesak mereka melakukan perbuatan itu untuk tujuan tertentu seperti menyelamatkan diri, masyarakat atau negara. Mereka juga tidak dapat membezakan apa yang benar dan yang tidak benar. Jika jenayah dilakukan dengan motif jelas dan terancang, apatah lagi berkumpulan, ia bermakna mereka siuman,” katanya semalam. 

Prof Azhar juga berkata ada perbezaan jelas antara individu waras dan penjenayah kerana mereka mampu membezakan antara realiti, manakala minda dan tindakan penjenayah cenderung kepada melanggar peraturan tanpa rasa bersalah. 
“Malah, bagi penjenayah, mereka berasakan melanggar undang-undang adalah hak mereka. Seseorang yang mempunyai masalah personaliti selalunya tidak seperti apa yang kelihatan pada luarannya. Mereka berkebolehan memanipulasikan orang lain dengan imej, perilaku yang baik dan naif sehingga mengaburkan sesiapa yang mengenalinya. Jika kita fikir, mana mungkin seorang peguam yang normal akan melakukan perbuatan seperti ini,” katanya. 

Prof Azhar berkata suspek kedua berkemungkinan mempunyai ‘dependent personality’ atau personaliti kebergantungan yang mengikut telunjuk suspek pertama yang lebih berkuasa atau dominan. 

Katanya, psikologi penjenayah juga bergantung kepada beberapa faktor, antaranya faktor genetik yang diwarisi, cara pembesaran dan contoh individu yang membesarkan mereka selain faktor persekitaran dibesarkan, termasuk pengalaman ketika kecil. 

INFO 
Psikopatik
 


  • Tidak sama dengan gila (skizofrenia atau psikosis) kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan. Ia ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental. 



  • Berdasarkan kajian pakar perubatan, satu peratus daripada penduduk dunia menghidap psikopatik dan amat sukar dikesan serta disembuhkan. 



  • Dalam kegiatan jenayah, penghidap dikenali sebagai pembunuh, perogol dan perasuah. Lazimnya mempunyai penampilan sempurna, bijak dalam pertuturan, berkarisma, mempunyai daya tarikan luar biasa dan menyenangkan.








  • Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek ada harta lebih RM100j


    2010/09/16

    SOSILAWATI  dikatakan dilihat kali terakhir   di restoran makanan laut berdekatan tempat   pembunuhannya bersama tiga individu lain di Banting, Selangor.
    SOSILAWATI dikatakan dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhannya bersama tiga individu lain di Banting, Selangor.
    Aset dipercayai diperoleh secara tipu, pemilikan guna nama proksi 

    KUALA LUMPUR: Peguam dan ahli perniagaan yang juga suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya dipercayai memiliki kekayaan luar biasa, termasuk aset bernilai lebih RM100 juta, kebanyakannya menerusi penipuan sehingga membawa kepada pembunuhan


    Ia merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang, rumah mewah, ladang, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.Malah, peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk itu mempunyai beberapa perniagaan di Chennai, termasuk menjadi rakan kongsi jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan. 

    Difahamkan, usaha mengesan mangsa dijalankan sejak lapan bulan lalu, namun gagal dan saudagar batu permata itu dipercayai menerima nasib yang sama seperti Sosilawati dan tiga lagi rakannya. 

    Sumber memberitahu Berita Harian, sebagai pengamal undang-undang, suspek mahir dalam prosedur berkaitan pemilikan harta, selain licik menyembunyikan aset daripada dikesan pihak berkuasa jika kegiatan jenayahnya terbongkar. 

    “Kebanyakan harta bukan atas namanya, sebaliknya menggunakan nama proksi paling dipercayainya termasuk kenalan rapat dan ahli keluarganya. Suspek memang membuat persediaan awal dengan mengambil kira segala kemungkinan, termasuk jika kegiatan jenayahnya terbongkar,” katanya. 
    Sumber yang pernah bekerja dengan suspek, berkata bekas majikannya menggemari kehidupan mewah, termasuk memiliki sekurang-kurangnya 15 kereta mewah terutama jenis Mercedes Benz dan BMW. 

    “Bagaimanapun, hanya sebuah kereta Toyota Camry yang didaftarkan atas namanya, manakala yang lain atas nama beberapa individu dipercayai orang kepercayaannya. Difahamkan, sembilan kenderaan sudah dirampas polis untuk tujuan siasatan, manakala enam yang lain disembunyikan sebaik suspek ditahan,” katanya. 

    Katanya, kaedah sama turut digunakan dalam pemilikan hartanah, termasuk 10 rumah mewah, masing-masing empat di Banting dan sebuah di Puchong, manakala selebihnya sedang dikesan. 

    “Suspek mempunyai empat stesen minyak, termasuk yang terbaru di Kuala Lipis, Pahang yang dibeli menggunakan hasil penipuan. Secara dasarnya, memang beliau memiliki aset itu tetapi atas dokumen memang tiada namanya. Sebagai peguam sivil, suspek cekap dalam jenayah kolar putih, terutama penipuan dokumen jual beli dan kontrak perjanjian, tetapi selalu terlepas daripada tindakan walaupun ada laporan polis dibuat terhadapnya,” katanya. 

    Sumber yang berhenti kerja kerana tidak mahu bersekongkol dalam kegiatan jenayah suspek, berkata bekas majikannya turut terbabit dalam kegiatan kongsi gelap. 

    “Biasanya, suspek akan dibantu satu kumpulan (kongsi gelap) dari Klang dalam kegiatan haram dengan sebahagian besar anggota kumpulan itu baru keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam. Seorang saudara terdekat yang mahir dalam bidang teknologi maklumat akan memberi panduan kepadanya dalam urusan jual beli aset itu,” katanya. 

    Beliau berkata, suspek kemudian akan merujuk kepada lima peguam kepercayaannya, termasuk adik lelakinya yang juga suspek kedua kes Sosilawati supaya setiap perlakuannya tidak disabitkan kesalahan.





    Pembunuhan kejam Sosilawati: Mangsa dilihat kali terakhir di restoran 


    2010/09/16

    BANTING: Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya kali terakhir dilihat berada di sebuah restoran makanan laut, tidak jauh dari lokasi mereka dibunuh di Ladang Gadong dekat sini, lewat petang 30 Ogos lalu. 

    Keempat-empat mangsa dikatakan berada di restoran itu kira-kira setengah jam bersama seorang lagi lelaki sebelum dilihat beredar dengan beberapa kenderaan


    Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki bersama mereka adalah suspek utama kes berkenaan yang juga seorang peguam bergelar Datuk.Seorang pekerja restoran itu yang enggan dikenali berkata, beliau melihat Sosilawati ke restoran berkenaan bersama empat lelaki pada petang pada hari kejadian. 

    “Saya tidak mengenali Sosilawati dan hanya mengecam wajahnya apabila melihat gambarnya di akhbar selepas usahawan produk kecantikan itu dilaporkan hilang. 

    “Sosilawati tak makan atau minum kerana ketika itu bulan puasa,” katanya ketika ditemui di restoran berkenaan, semalam







    Pembunuhan kejam Sosilawati: Peniaga gerai makan kenal suspek utama


    2010/09/16

    KUALA LANGAT: Beberapa peniaga gerai makanan di sekitar Banting mengaku mengenali suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kerana dia pernah mengunjungi gerai mereka sebelum ini. 

    Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Syarifah, 45, mendakwa, mengenali suspek yang berusia 41 tahun itu sejak lebih lapan tahun lalu ketika dia bekerja di sebuah kelab golf di sini dan tidak percaya lelaki berkenaan yang kelihatan baik dan bersikap lemah lembut boleh melakukan jenayah kejam itu


    “Dia (suspek) kerap datang bermain golf bersama beberapa rakan dan selepas itu dia datang ke restoran tempat saya bertugas.“Pada pengamatan saya, dia seperti seorang yang amat baik kerana percakapannya amat tersusun dan satu persatu serta sering tersenyum,” katanya kepada Berita Harian. 

    Wanita itu kini berniaga di Medan Selera Majlis Perbandaran Kuala Langat yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah dan pejabat suspek bergelar Datuk itu




    Pembunuhan kejam Sosilawati: Pemuda kerat mangsa diburu


    2010/09/16

    ANGGOTA polis dari unit forensik mendulang serpihan tulang dan bahan bukti yang dibuang ke dalam Sungai Panchau oleh suspek pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain dekat Tanjung Sepat, semalam.
    ANGGOTA polis dari unit forensik mendulang serpihan tulang dan bahan bukti yang dibuang ke dalam Sungai Panchau oleh suspek pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain dekat Tanjung Sepat, semalam.
    Suspek turut disyaki bunuh isteri pemilik bengkel berhubung pinjaman wang 

    BANTING: Polis kini sedang memburu seorang pemuda berusia 19 tahun yang dikatakan bertanggungjawab mengerat mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebelum mereka dibakar.


    Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu.Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk. 

    Dalam perkembangan berkaitan, polis berjaya menahan seorang lagi suspek, dipercayai bekas pengawal peribadi kepada Datuk berkenaan. 

    Lelaki itu ditahan tidak jauh dari lokasi semua mangsa dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin. 

    Penahanan lelaki itu menjadikan setakat ini sembilan orang ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain, sejak Khamis minggu lalu. 
    Berikutan penahanan terbaru itu, polis kini memburu beberapa lagi suspek termasuk seorang lelaki berusia 45 tahun yang juga pekerja kepada Datuk berkenaan. 

    Setakat ini, selain suspek utama yang juga seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun, polis turut menahan adiknya, juga seorang peguam berusia 38 tahun dan enam individu lain, termasuk dua wanita. 

    Sementara itu, kira-kira jam 5.30 petang semalam, Unit Forensik Polis yang meneruskan operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau di sini, menemui beberapa lagi sisa tulang. 

    Mereka terpaksa menggunakan teknik mendulang berikutan dasar sungai itu yang dikatakan berlumpur.





    Pembunuhan kejam Sosilawati: Sosilawati tiada senjata api, pengawal peribadi


    2010/09/16

    GOMBAK: Datuk Sosilawati Lawiya tidak pernah memiliki senjata api atau pengawal peribadi bersenjata untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga sejak menceburi perniagaan kerana bencikan keganasan. 

    Abangnya, Mashadi Lawiya, 51, berkata adiknya itu tidak suka kepada kekerasan dan sentiasa percaya dengan rundingan untuk menyelesaikan masalah.


    “Sosila memang tak pernah berminat dengan senjata api seperti pistol atau mengupah pengawal peribadi yang mempunyai senjata bagi menjaga keselamatan dirinya dan keluarga. Dia khuatir jika memiliki senjata api atau mengupah pengawal peribadi bersenjata akan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan keluarga... umpama senjata makan tuan.“Beliau sentiasa berpegang kepada prinsip hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan,” katanya semalam. 

    Mashadi juga berkata, pengasas syarikat kosmetik Nouvel les Visages itu tidak berniat bermalam di Banting selama tiga hari bagi menyelesaikan urusan berkaitan hartanah seperti didakwa sebelum ini. 

    “Hanya pada 30 Ogos lalu, dia menghubungi seorang ahli keluarga kami dan memberitahu akan berada di Banting selama tiga hari bagi menyelesaikan urusan berkaitan jual beli tanah,” katanya. 

    Sementara itu, suspek utama kes dikatakan memiliki sekurang-kurangnya 10 pengawal peribadi bagi melindungi keselamatannya dan keluarga. 
    Difahamkan, pengawal terbabit kebanyakannya berpengalaman dan terlatih dalam tugas melindungi keselamatan kenamaan, termasuk empat bekas anggota elit polis. 

    Sumber rapat dengan suspek, berkata peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk itu terpaksa berbuat demikian kerana sentiasa berasakan keselamatannya dan keluarga terancam. 

    "Pengawal peribadi sentiasa mengikutinya, isteri dan anaknya ke mana mereka pergi," katanya. 

    Menurut sumber, penggunaan khidmat pengawal peribadi itu turut didorong pembabitannya dalam kegiatan samseng dan kongsi gelap di Banting.





    Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek utama tidak pernah terima pingat Sultan Kelantan


    2010/09/16

    KOTA BHARU: Peguam yang menjadi suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, tidak pernah menerima sebarang pingat kebesaran membawa gelaran Datuk daripada Istana Kelantan. 

    Sumber berkata, semakan mendapati lelaki berusia 41 tahun (kanan) terbabit tidak pernah tersenarai sebagai penerima pingat kebesaran Sultan Kelantan selama ini.


    Katanya, dakwaan lelaki itu pernah menerima pingat dari Istana Kelantan adalah pembohongan dan tindakannya itu sesuai dengan latar belakangnya yang terbabit pelbagai penipuan."Kita menyedari ada pihak mendakwa wujud surat anugerah pingat kepada lelaki terbabit yang dikaitkan dengan Istana Kelantan, tetapi semakan mendapati dia tidak pernah tersenarai pada mana-mana majlis penganugerahan darjah kebesaran. 

    "Saya percaya surat terbabit adalah palsu dikeluarkan pihak tertentu yang menjalankan penipuan anugerah pingat kebesaran," katanya ketika dihubungi, semalam. 

    Sumber berkata, seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan penipuan anugerah pingat kebesaran itu sudah terbunuh dalam satu kemalangan di Lembah Klang beberapa bulan lalu.




    Pembunuhan kejam Sosilawati: Keluarga beri semangat


    2010/09/16

    BATU PAHAT: Adik-beradik jutawan kosmetik, Datuk Sosilwati Lawiya akan bergilir-gilir ke ibu kota bagi menjaga kebajikan serta memberi sokongan moral dan semangat kepada anak ahli perniagaan berkenaan supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. 

    Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata perkara berkenaan diputuskan hasil muafakat adik-beradik mereka bersama anak ahli perniagaan berkenaan baru-baru ini.


    “Pada saat sukar seperti ini, sudah tentu sokongan dan semangat berterusan daripada ahli keluarga amat diperlukan bagi mereka (anak jutawan berkenaan) menghadapi tragedi yang menimpa."Walaupun mereka nampak tenang pada zahirnya, kita tidak tahu apa yang terpaksa mereka tanggung terutama apabila kes ini terungkai satu demi satu di dada akhbar dan media. 

    “Saya dan adik-beradik Kak Wati sendiri tidak sanggup menatap mahupun mendengar laporan berita mengenai kes ini yang didedahkan kepada umum, bayangkan apa yang terpaksa dilalui anak Kak Wati ketika ini. Hancur luluh hati ini melihat mereka terpaksa menanggung keperitan ini pada usia muda,” katanya.

    No comments:

    Post a Comment