ibu sukar terima kematian Kamaruddin
KUANTAN 12 Sept. – Keluarga Kamaruddin Shamsudin sukar untuk menerima berita tentang kematian pemandu peribadi kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya itu yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.Ibunya, Zainab Ahmad, 73, yang begitu sedih dengan kejadian itu berharap bukan anaknya yang ditemui di ladang ternakan berhampiran Tanjung Sepat, Morib kelmarin.
“Saya harap itu bukan Kamaruddin, tetapi kalau dia saya reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini hari ini.
Sementara itu, anak saudara mangsa memberitahu, dia ada menghubungi Kamaruddin pada 30 Ogos lalu untuk menumpang tidur di rumahnya di Kuala Lumpur.
Menurut Khairul Izwan Ismail, 29, bagaimanapun Kamaruddin memaklumkan dia tidak berada di Kuala Lumpur sebaliknya berada di Banting bersama majikannya ketika itu.
“Ekoran itu saya mengambil keputusan bermalam di rumah rakan di Kuala Lumpur dan menunggu panggilan balas daripada bapa saudara saya tetapi tiada jawapan,” katanya.
Turut berada di rumah tersebut ialah kakak mangsa, Ramlah, 49, dan abang iparnya, Ismail Ibrahim, 59.
Kamaruddin merupakan duda anak tiga dengan dua anaknya, Balqis Dayana, 12, dan Izwan Ikmal, 9, dijaga oleh bekas isterinya manakala anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, dijaga oleh kakaknya, Ramlah.
Pemandu peribadi jutawan kosmetik itu merupakan anak kelima daripada enam adik beradik.
Ismail pula memberitahu, dia menerima panggilan daripada Polis Bukit Aman kira-kira pukul 2 petang tadi bagi memaklumkan penemuan mayat itu.
Menurutnya, adik iparnya itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan ketika pulang ke Kuantan malah sikapnya seperti biasa.
“Dia kerap pulang ke Kuantan untuk melihat perniagaan studio muziknya,” katanya.
Ismail berkata, Kamaruddin sebelum ini pernah bertugas sebagai jurutera bunyi di sebuah syarikat rakaman di Kuala Lumpur sebelum bekerja dengan Sosilawati sejak empat tahun lalu
Ayah janji bawa kami pulang beraya - Balqis Dayana
REMBAU 12 Sept. - Anak sulung kepada pembantu peribadi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Kamaruddin Shamsudin berjanji kepada anak sulungnya, Balqis Dayana 12 untuk menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Pahang.
Balqis Dayana berkata, bapanya sempat menghubungi adiknya, Izran Akmal, 9, sebelum bapanya dilaporkan hilang untuk bertanyakan mengenai persiapan menyambut hari raya kali ini.
"Ketika itu, suara ayah sangat gembira. Ayah juga berjanji untuk membawa kami pulang berhari raya di kampung ayah di Kuantan, Pahang.
"Dalam perbualan itu, kami juga merancang untuk memakai baju raya berwarna biru tetapi saya sedih kerana itu semua tidak menjadi kenyataan. Saya sangat rindukan ayah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pilin dekat sini hari ini.
Sementara itu, bekas isteri Kamarudin, Noor Fazilah Ab. Sani, 33, memberitahu, sejak berita kehilangan bekas suaminya dan tiga yang lain tersebar, Balqis Dayana sering menangis.
"Saya hanya mendapat tahu mengenai perkara itu oleh seorang rakan dan perasaan pada masa itu cukup bimbang sekiranya berlaku kepadanya
"Pada masa yang sama, saya cukup bimbang untuk memberitahu Balqis kerana dia cukup rapat dengan ayahnya memandangkan dialah satu-satunya anak perempuan perkahwinan hasil saya dengan Kamaruddin.
"Izran juga sering menangis dan perasaannya cukup hiba apabila mengetahui kematian ayahnya," ujar beliau.
Noor Fazilah berkata, dia mendirikan rumahtangga dengan Kamaruddin pada tahun 1997 sebelum mengambil keputusan untuk berpisah pada 2006.
Bagaimanapun, kata Noor Fazilah, Kamarudin tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan sering menghubungi anak-anaknya sungguhpun mereka bukan lagi pasangan suami isteri.
Kata Noor Fazilah, hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak tetapi seorang anak bongsu mereka, Irfan Aiman, 8, dijaga oleh kakak Kamaruddin yang menetap di Kuantan.
"Kali terakhir Kamaruddin menghubungi saya adalah pada 30 Ogos lalu untuk memberitahu bahawa dia sudah memasukkan sejumlah wang untuk membeli persiapan hari raya untuk Balqis dan Izran.
"Kamarudin ketika itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia lebih banyak berbual dengan anak-anaknya," kata Noor Fazilah.
Menurutnya, kali terakhir Kamaruddin bertemu dengan dua anaknya itu ialah pada Mei lalu ketika dia berkunjung ke utara tanah air atas urusan kerja.
Pada masa yang sama beliau menjelaskan, dia bersedia untuk membantu siasatan polis dengan memberikan sampel pengesahan ujian deoksiribonukleik (DNA) anaknya untuk tujuan pengecaman mayat bekas suaminya itu.
"Kami reda dengan ketentuan takdir. Walaupun saya adalah bekas isterinya, namun saya tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan oleh penjenayah berkenaan. Ia cukup ganas dan tidak dapat dimaafkan," katanya.
Sementara itu, di Seremban, usaha untuk menemu bual keluarga peguam peribadi Sosilawati, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, di kediaman ibu bapanya di Kampung Jiboi Baru tidak berhasil apabila ahli keluarganya enggan memberi sebarang komen
Keluarga Norhisham masih menaruh harapan
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Keluarga Norhisham Mohammad yang hilang bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya tetap menaruh harapan pegawai bank tersebut masih hidup.
Oleh itu mereka akan menunggu pengesahan polis ekoran penemuan empat mayat di Tanjung Sepat dekat Banting kelmarin.
Bapa mertua Norhisham, Radin Pangat Ishak, 66, yang ditemui di rumah Norhisham memaklumkan, anaknya yang juga isteri mangsa, Suzana Raden , 38, masih bersedih selepas mendengar berita tersebut dan belum bersedia bercakap dengan wakil media.
"Semua maklumat disalurkan terus kepada Suzana tetapi dia masih bersedih dan belum bersedia membuat sebarang kenyataan. Kami juga masih menunggu pengesahan hitam putih daripada pihak polis.
"Semua ahli keluarga kami yang sepatutnya menyambut hari raya di Muar, Johor tahun ini turut membuat keputusan menemankan Suzana dan anak-anaknya di Ampang buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah Norhisham sejak awal pagi mendapati ramai saudara dan sahabat keluarga datang menziarahi Suzana serta anak-anaknya.
Suzana yang enggan menemui media juga dilihat hanya turun dari biliknya bagi menyambut kehadiran saudara dan rakan yang datang bertanya khabar.
Sebelum ini, Suzana dilaporkan menyatakan rasa sedih kehilangan suaminya yang merupakan pegawai CIMB terutama menjelang ulang tahun kelahiran Norhisham ke-38, esok.
Sosilawati sering bantu orang susah
BATU PAHAT 12 Sept. – Penduduk Kampung Seri Menanti, Sri Medan dekat sini iaitu tempat kelahiran Datuk Sosilawati Lawiya, 47, menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang murah hati dan dermawan.Menurut mereka, jutawan kosmetik itu gemar membantu orang susah terutamanya penduduk yang tidak berkemampuan sama ada yang miskin atau mereka yang ditimpa musibah.
Ketua kampung tersebut, Omar Salleh, 63, berkata, kejadian yang menimpa Sosilawati itu amat menyedihkan mereka dan jelas sekali semua penduduk kampung terkejut dengan pembunuhan kejam membabitkan Sosilawati.
“Bagi kami, kematian Sosilawati satu kehilangan besar. Allahyarham akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan contohnya mangsa banjir atau sekolah-sekolah yang meminta bantuan.
“Kami sebelum ini ada buat solat hajat meminta kesejahteraan atas dirinya dan berharap beliau pulang dengan selamat. Bagaimanapun apa yang berlaku ke atas Sosilawati adalah ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Sosilawati bersama tiga lelaki yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu dibunuh dengan kejam.
Mayat keempat-empat mereka dikatakan dibakar sebelum abu dibuang ke dalam sungai berhampiran Tanjung Sepat di Banting, Selangor.
Berikutan itu, polis menahan lapan individu termasuk seorang peguam bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut Omar, Allahyarham juga tidak sombong dan disenangi penduduk walaupun sudah berjaya serta menjadi ahli perniagaan terkenal.
Kata beliau, penduduk kampung merancang melakukan solat ghaib untuk Allahyarham dalam minggu ini sekiranya jasadnya masih tidak ditemui.
Seorang penduduk, Bazli Ibrahim, 35, berkata, Allahyarham biasanya akan melakukan rumah terbuka pada Hari Raya Aidilfitri yang kedua untuk meraikan penduduk di situ.
Dia mengakui tersentak dengan berita pemergiannya yang penuh tragis dan mendoakan ahli keluarganya tabah menghadapi ujian tersebut.
Siti Aminah Md. Mukri, 27, pula berkata, kegigihan Allahyarham membina empayar perniagaan melalui produk kecantikan Nouvelles Visage menjadi kebanggaan penduduk kampung kelahirannya.
Tambahnya, wanita berkenaan amat disanjungi kerana budi pekertinya yang mulia dan tidak pernah meninggi diri dengan kejayaannya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di rumah ibunya di kampung itu, mendapati kediamannya berkunci dan ibunya, Yatimi Abdul Rahman, 80 dan ahli keluarganya sudah bertolak ke rumah Allahyarham di Kuala Lumpur.
Operasi cari bahan bukti pembunuhan Sosilawati diteruskan
13/09/2010 8:45pm
BANTING 13 Sept. – Pasukan penyelam Polis Marin hari ini meneruskan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut di sini.
Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong, Tanjung Sepat di mana Sosilawati dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar di ladang ternakan ayam di situ.
Operasi mencari bahan bukti itu bermula kira-kira 4.30 petang tadi dan berakhir pada pukul 7 malam ini.
Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyertai operasi itu.
Seorang suspek lelaki dilihat dibawa ke atas jambatan sungai itu bagi menunjukkan di mana dia mencampakkan sesuatu dari atas jambatan berkenaan.
Apabila operasi itu dihentikan pada 7 malam ini, kelihatan beberapa anggota Unit Forensik sedang membelek satu bungkusan plastik yang berisi seutas jam tangan.
Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Semalam, polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. – Bernama
Kejadian tragis menimpa Sosilawati sukar untuk diterima
13/09/2010 8:44pm
KUALA LUMPUR 13 Sept. – Kenalan rapat Datuk Sosilawati Lawiya menganggap peristiwa tragis dan kejam yang menimpa jutawan kosmetik itu sebagai sesuatu yang sukar diterima.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang merupakan rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata, selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang.
"Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia telah menjadi arwah,” katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk di sekitar Taman Harmonis yang prihatin atas apa yang menimpa Sosilawati telah membuat solat hajat sejak beliau dilapor hilang dan ia akan berterusan sehingga mendapat pengesahan.
Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Semalam, polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.
Sementara itu adik Sosilawati, Masturi Lawiya berkata, malam ini solat hajat dan kenduri tahlil akan diteruskan di kediaman Sosilawati, manakala solat hajat dan tahlil turut diadakan di rumah ibu bapanya di Batu Pahat semalam. – Bernama
Isteri mangsa bunuh, bakar tidak mampu baca surat khabar
SUZANA Radim Pangat, isteri kepada Noorhisham Mohammad, pegawai CIMB Bank yang turut menjadi mangsa bunuh dan bakar bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan dua yang lain tidak dapat menahan kesedihan mengenang kematian suaminya yang begitu tragik ketika ditemui di rumahnya di Taman Seraya, Ampang, 13 Sept. - Utusan/AIZZUL A.MAJID
AHLI keluarga dan sahabat handai mula menziarahi keluarga Datuk Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis, Gombak, Kuala Lumpur, 13 Sept. Antara yang menziarahi keluarga jutawan kosmetik itu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah dan timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Abdullah. - Utusan/SHAIFUDDIN MOHD NOR
SALAH seorang suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibawa ke sebuah jambatan di Sungai Kachong untuk mencari bukti yang dibuang ke sungai tersebut, di Tanjung Sepat, Banting, 13 Sept. Gerakan mencari bahan bukti tersebut melibatkan pasukan penyelam polis marin. - Utusan/SAHARUDDIN ABDULLAH
13/09/2010 5:37pm
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Isteri kepada salah seorang mangsa yang dipukul, dibunuh dan dibakar di Banting, Selangor, Suzana Radim Pangat, tidak mampu lagi membaca surat khabar atau melihat berita televisyen untuk mengetahui perkembangan kes tersebut.
Isteri kepada Noorhisham Mohammad, 38, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini yang dipercayai mati dipukul, dibunuh dan dibakar dengan kejam itu berkata, kesedihan dan tekanan yang dialami menyebabkan Suzana hanya mampu mendengar perkembangan terkini melalui anggota keluarga terdekat.
"Selepas kejadian, minta maaf saya tak boleh tengok tv atau surat khabar. Segala perkembangan terkini hanya ahli keluarga saya yang akan maklumkan. Saya tak boleh nak tempuh keadaan ini,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di rumah beliau di Taman Seraya, Ampang, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Suzana, 38 masih melahirkan harapan tinggi untuk melihat Noorhisham masih hidup selagi masih belum ada pengesahan dari Unit Forensik.
"Sehingga kini tiada sebarang pengesahan dari Forensik, mayat suami saya, jadi sehingga itu, saya percaya suami saya masih hidup,” katanya.
Noorhisham dikatakan sepatutnya membawa Suzana dan keluarga pulang berhari raya di Muar, Johor serta menyambut hari jadinya pada hari ini, tetapi segalanya menjadi hambar apabila beliau hilang bersama jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pada 30 Ogos lepas.
Bagaimanapun polis semalam mengesahkan kes tersebut semakin hampir kepada penyelesaian berikutan penemuan lokasi tempat mangsa-mangsa dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam orang termasuk pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di Banting bagi membantu siasatan.
Suzana menegaskan pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara ini sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Saya boleh terima kalau mereka setakat bunuh suami saya, jika ada mayatnya saya masih boleh lihat saya terima, tetapi cara pembunuhan ini menyebabkan mayatnya tidak sempurna, dan tidak ada kubur untuk saya ziarah.
Ibu kepada tiga orang anak, Mohamad Azri Shahzan,14, Mohamad Faiz Ridzmi, 5, dan Nur Aneesa Salbiah, 11, itu berkata, jika benar suaminya dibunuh begitu kejam, beliau berharap polis dapat membawa kesemua yang terlibat ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment