Friday, September 17, 2010

LAGI CERITA PEMBUNUHAN DIBANTING

Siasatan kes selesai minggu depan

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Selangor kini di peringkat terakhir dan dijangka selesai minggu depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya telah memperoleh bukti yang cukup berdasarkan pengakuan suspek-suspek serta bahan bukti yang ditemui di lokasi kejadian.
“Kertas siasatan mengenai kes pembunuhan Datuk Sosilawati, 47, dan tiga yang lain ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dinilai sebaik sahaja ia selesai pada minggu hadapan.
“Polis juga menyerahkan urusan selanjutnya sama ada kelapan-lapan suspek akan didakwa atau tidak kepada Pejabat Peguam Negara untuk ditentukan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Sidang akhbar khas itu diadakan bagi memaklumkan kepada media perkembangan siasatan polis ke atas kes kehilangan jutawan kosmetik itu bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, sejak 30 Ogos lalu.
Kehilangan Sosila dan tiga individu itu bagaimanapun terlerai apabila polis menahan lapan orang suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang dipercayai dalang utama pembunuhan kejam keempat-empat mereka.
Susulan pengakuan empat daripada suspek, polis menjalankan operasi mencari bahan-bahan bukti di sekitar beberapa sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai lokasi abu mayat kesemua mangsa dibuang.
Hasil pencarian itu, polis menemui pelbagai bahan bukti termasuk serpihan tulang, tiga jam tangan yang dipakai mangsa, telefon bimbit model ‘BlackBerry’ yang dipercayai milik Sosilawati serta beberapa barangan lain.
Sementara itu Mohd. Bakri memberitahu, tempoh reman lima daripada lapan suspek yang berakhir semalam telah dilanjutkan selama tujuh hari sehingga 23 September depan.
Katanya, tempoh reman tiga lagi suspek yang berakhir hari ini juga akan turut dilanjutkan.
“Kita terpaksa melanjutkan tempoh reman kelapan-lapan suspek bagi meneruskan siasatan yang mungkin dapat menghasilkan petunjuk baru.
“Namun, siasatan itu dijangka berakhir minggu depan dan kita akan serahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara,” kata beliau.


LOKASI PEMBUNUHAN





BEBERAPA petugas media meninjau lokasi kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH




KAWASAN yang dikelilingi tembok batu ini dipercayai menjadi tempat pembunuhan kejam dan pembakaran mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain selepas dilaporkan hilang 30 Ogos lalu.
Sosilawati didakwa turut dibunuh bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad selepas mengadakan pertemuan dengan suspek, seorang peguam di Banting.



Taksub kepada majikan punca pembunuhan

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Ketaksuban enam pekerja Ladang Gadong, Tanjung Sepat terhadap majikan dikatakan mendorong mereka untuk memukul sehingga mati jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Mereka kemudiannya membakar mayat mangsa sebelum abunya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kes itu melibatkan lapan suspek, bukan 17 orang seperti dilaporkan akhbar sebelum ini.
"Kita percaya enam suspek yang merupakan pekerja dua peguam itu begitu taksub dengan majikannya kerana rata-rata mereka sudah bekerja selama 15 tahun dengan mereka.
"Hasil pengakuan suspek, Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.
"Mereka bukan ahli kumpulan samseng tetapi suspek pekerja terbabit terlalu taksub dengan arahan yang diberikan," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Mohd. Bakri ditanya mengenai perkembangan siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Banting.
Sementara itu, mengenai aset suspek utama yang dikatakan mencecah ratusan juta ringgit, Mohd. Bakri memberitahu, kesemua harta suspek sama ada di dalam atau luar negara telah dibekukan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai aset yang telah disita oleh pihak polis.
Mohd. Bakri berkata, suspek turut disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam tujuh kes penipuan di Selangor sejak dua tahun lalu.
Beliau memberitahu, suspek juga dikaitkan dengan empat lagi kes jenayah iaitu satu pembunuhan dan tiga kes culik.
Kes pembunuhan itu membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang dibunuh di hadapan rumahnya di Banting, manakala tiga kes culik membabitkan tiga lelaki iaitu seorang ahli perniagaan dari India dan dua rakyat tempatan.
"Mereka juga berkemungkinan telah dibunuh," katanya.



Keputusan DNA tulang diketahui Isnin depan

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Misteri penemuan serpihan tulang manusia dalam kuantiti yang banyak di Sungai Panchau di Tanjung Sepat, Selangor yang dipercayai milik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dijangka diketahui Isnin depan selepas polis mendapat keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, serpihan tulang yang ditemui itu telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
"Kesemua tulang yang ditemui di beberapa sungai di tempat kejadian termasuk bukti-bukti yang berkaitan telah dihantar ke HKL untuk dikenal pasti pemiliknya semalam.
"Keputusan ujian DNA itu dijangka akan diperolehi selepas empat hari iaitu Isnin depan. Namun, tempoh itu mungkin akan dilanjutkan sekiranya pihak patologi memerlukan ujian rapi," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Sidang akhbar khas itu diadakan bagi memaklumkan kepada media perkembangan siasatan polis ke atas kes kehilangan jutawan kosmetik itu bersama tiga yang lain.
Mohd. Bakri menambah, hasil ujian DNA itu juga bakal mendedahkan identiti pemilik tulang itu yang sebelum ini dikaitkan dengan Sosilawati dan tiga yang lain.
"Polis berharap orang ramai akan bersabar dan menunggu sehingga keputusan ujian itu diumumkan dan tidak membuat sebarang andaian sendiri," jelas beliau.


Kes bunuh Sosilawati: Suspek utama tak pernah dikurnia gelaran Datuk



2010/09/18
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain diikat, dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.
Katanya, kejadian itu berdasarkan pengakuan suspek selepas soal siasat sebaik semua lapan suspek yang terbabit kes berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau juga mengesahkan, setakat ini hanya lapan suspek ditahan dan polis meneliti sekiranya masih ada mereka yang terbabit kes itu.

“Berdasarkan siasatan, enam suspek yang ditahan selain suspek utama iaitu peguam dan adiknya adalah pekerja suspek utama dan mereka disifatkan sebagai taksub dengan ketuanya, malah ada yang bekerja selama 15 tahun dengan suspek terbabit.

“Siasatan juga mendapati suspek utama tidak pernah dikurnia gelaran Datuk dari mana-mana negeri, malah asetnya juga sudah dibekukan. Bagaimanapun, jumlahnya akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi, di sini, semalam.

Beliau turut memberi amaran sekali lagi kepada media terutama media arus perdana supaya tidak melaporkan apa yang melampaui batas dengan melaporkan berita yang tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggugat keadilan.


Kes bunuh Sosilawati: Kayu kriket, pisau diguna dalam pembunuhan ditemui



2010/09/18

KUALA LUMPUR: Kayu kriket dan pisau yang disyaki digunakan dalam kes pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain ditemui di Ladang Gadong dan Sungai Panchau.
Polis percaya kayu itu digunakan untuk memukul mangsa sehingga parah sebaik mereka tiba ke ladang milik suspek utama pada 30 Ogos lalu sebelum mereka diikat, ditikam, dibunuh, dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata pihaknya menemui kayu kriket berkenaan ketika operasi mencari bahan bukti di kawasan pembunuhan serta sungai berhampiran, baru-baru ini.

Katanya, polis juga menemui barangan lain seperti pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam keempat-empat mangsa sebelum mereka dibakar.

“Semua bahan bukti yang perlu dan ada kaitan dengan pembunuhan kejam berkenaan sudah pun ditemui,” katanya


Kes bunuh Sosilawati: Keputusan DNA empat hari lagi



2010/09/18
KUALA LUMPUR: Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang dipercayai milik Datuk Sosilawati dan tiga individu lain akan diketahui dalam tempoh empat hari lagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, keputusan berkenaan diperoleh dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel DNA itu baru dihantar kelmarin.
“Sampel berkenaan baru dihantar ke Unit Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pakar memberitahu keputusan hanya diperoleh dalam tempoh empat hari lagi.

“Saya tidak boleh memastikan bila keputusan itu boleh diperoleh, namun ia mengambil masa selama empat hari,” katanya.

Katanya, semua sampel DNA itu sudah diperoleh dan kini diuji pihak hospital bagi menentukan sama ada ia milik mangsa atau sebaliknya.

Sebelum ini, Harian Metro difahamkan sekiranya tulang yang ditemui tidak terbakar prosesnya mungkin mengambil masa singkat, namun jika sebaliknya ia mengambil masa lama.

Persampelan tulang juga agak sukar dilakukan berbanding sampel lain seperti darah dan rambut kerana ia perlu dihancurkan terlebih dulu bagi mendapatkan debu.

Polis juga sudah mengambil contoh darah dan rambut semua ahli keluarga mangsa bagi dipadankan dengan sampel DNA yang diambil daripada tulang yang ditemui di tempat kejadian di Ladang Gadong dan sungai berhampiran bagi memastikan sama ada tulang yang ditemui itu tulang mangsa.


Kes bunuh Sosilawati: Reman lima suspek dilanjut



2010/09/18
KUALA LUMPUR: Tahanan reman lima suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain akan disambung sehingga 23 September ini dan polis juga dalam proses memohon untuk menyambung reman tiga lagi suspek lain.
Sebelum ini, tempoh reman mereka berakhir esok (hari ini) dan disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata siasatan kes ini akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Katanya, masyarakat perlu faham proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis



Kes bunuh Sosilawati: Liputan media negara jiran



2010/09/18

KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati dan tiga individu lain bukan saja menggemparkan tanah air, tetapi turut mendapat liputan akhbar dari beberapa negara lain terutamanya negara jiran.
Liputan kebanyakannya dilaporkan melalui media baru atau ‘online’ yang memaparkan berita mengenai pembunuhan itu serta maklumat terbaru perkembangan kes.
Antara media asing yang membuat paparan mengenai kes pembunuhan itu selepas polis membuat pengesahan pada 12 September lalu adalah The Brunei Times, The Straits Times (Singapura), brisbanetimes.com.au (Australia), Asian Tribune (Bangkok) dan Telegraph.co.uk (England).

Kes itu mendapat liputan meluas media kerana ia membabitkan seorang usahawan berjaya serta berpangkat Datuk bersama tiga individu lain dan dibunuh dengan cara kejam iaitu diculik, diikat, dipukul, ditikam, dibunuh dan dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai.

Sosilawati, 47, bersama pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang selepas berurusan dengan seorang peguam mengenai jual beli tanah



'Kes bunuh Sosilawati: 'Terus lapor pada saya'



2010/09/18
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan anggota polis di negeri itu, tetapi tidak berani membuat laporan supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke laman Facebook beliau.
Khalid berkata, orang ramai mungkin takut diancam atau diugut jika laporan yang dibuat diketahui oleh anggota yang menyeleweng, tetapi ini tidak akan berlaku jika ianya disalurkan terus kepada beliau. “Orang ramai tidak perlu takut melaporkan sebarang penyelewengan anggota polis kepada pihak berkuasa...kalau tak berani, terus berhubung dengan saya.

“Bagaimana sesuatu penyelewengan itu hendak disiasat jika tiada sebarang laporan yang dibuat dan jika benar ada penyelewengan berlaku kenapa takut untuk membuat laporan?” katanya ketika dihubungi semalam. Khalid diminta mengulas dakwaan terdapat anggota polis ‘dibeli’ (dirasuah) oleh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi menutup kegiatan jahatnya. Kelmarin, Khalid meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu supaya melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman, atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mengulas lanjut beliau tidak menafikan terdapat anggota polis yang bergaji kecil, tetapi hidup mewah dan berkata unit tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkara terbabit. - Bernama

No comments:

Post a Comment