Pembunuhan kejam Sosilawati: Kes selesai
Oleh M Thillinadan
bhnews@bharian.com.my
2010/09/16
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar
KUALA LUMPUR: Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, selesai dan semua suspek dijangka didakwa minggu depan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan setakat ini.Sambil memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Bakri Zinin dan Timbalan JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah atas kejayaan pasukan itu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang cepat, Ismail bagaimanapun berkata, ini bukan bermakna siasatan sudah dihentikan.
“Pasukan itu masih meneruskan siasatan di lokasi kejadian di Banting dan mencari bukti berhubung kes berkenaan. Pasukan itu juga sedang mengumpul maklumat mengenai beberapa kes kehilangan lain yang dikaitkan dengan suspek sama,” katanya dalam sesi diskusi dengan pengarang kanan media di Bukit Aman, semalam.
Ini adalah pertemuan pertama Ismail dengan pengarang kanan media selepas mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara pada 12 September lalu. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Hussin Ismail dan Mohd Bakri.
Kes pembunuhan Sosilawati, 47; serta pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, terbongkar berikutan penahanan lapan suspek dua hari selepas menerima laporan isteri seorang ahli perniagaan warga India yang sebelum ini turut dilaporkan hilang selepas berurusan dengan peguam bergelar Datuk itu.
Sosilawati dan tiga individu itu yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, Banting sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau. Mereka dipercayai dibunuh kira-kira 10 malam, 30 Ogos, iaitu pada hari sama mereka dilaporkan menemui Datuk itu.
Setakat ini, polis menahan lapan orang bagi membantu siasatan kes itu, termasuk Datuk terbabit dan adiknya, juga seorang peguam. Semua suspek yang ditahan pada 10, 11 dan 12 September lalu direman sehingga Sabtu ini.
Polis dikatakan akan meminta lanjutan tempoh reman untuk membolehkan pendakwaan dibuat akhir minggu depan.
Mohd Bakri berkata, polis menubuhkan dua pasukan petugas khas, iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu yang bersamanya, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang dikaitkan dengan suspek sama.
Ditanya mengapa banyak laporan orang hilang yang dibuat sebelum ini tidak disiasat, Ismail yang mengaku turut menerima banyak pertanyaan mengenainya, berkata beliau akan memastikan semua aduan orang hilang disiasat secara serius.
“Jika pegawai atau anggota saya didapati tidak memandang serius kes orang hilang, saya akan pastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya
Jangan tuliscerita belum disahkan - Polis
KUALA LANGAT 15 Sept. - Polis mengingatkan pengamal media supaya tidak menyiarkan sebarang fakta yang belum disahkan benar kononnya mangsa disembelih sebelum dibunuh secara kejam.Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, maklumat sedemikian bukan saja menyukarkan siasatan polis malah mampu mencetuskan rasa bimbang di kalangan ahli keluarga mangsa yang masih tidak dapat menerima kehilangan mereka yang disayangi.
"Janganlah ada-adakan cerita hanya untuk melariskan jualan 'produk' masing-masing. Ingat perkara ini bukan saja menyakitkan perasaan ahli keluarga, pada masa yang sama ia boleh menimbulkan rasa marah di kalangan pembaca.
"Saya sendiri pun tak tahu yang mangsa disembelih. Dari mana akhbar ini dapat. Siapa cakap dia kena sembelih? Jangan main-main petik sumber," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lokasi kejadian pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi mangsa di sini, hari ini.
Semalam, dua akhbar melaporkan keempat-empat mangsa telah dibunuh dengan kejam iaitu disembelih sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.
Bagaimanapun, polis dalam kenyataannya semalam menafikan laporan dua akhbar tersebut.
Sementara itu, seorang penjual ais kuib yang enggan dikenali berkata, suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik itu pernah beberapa kali memintanya menghantar ketulan ais ke ladang milik suspek di Ladang Gadong, tempat mangsa dikatakan dibunuh.
"Namun disebabkan stok saya hanya cukup kepada pembeli, saya tidak sempat untuk menghantar bekalan ais kiub itu.
"Selalu juga saya tengok peguam itu (suspek utama) makan di restoran ini (Restoran Asam Batu Laut) bersama kawan-kawan dia. Dari luaran dia nampak baik, tapi tak sangka pula dia boleh menjadi suspek dalam kes pembunuhan ini," katanya.
Misteri kehilangan kesemua mangsa sejak 30 Ogos lalu itu terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang dikatakan menjadi dalang utama pembunuhan ini.
Berdasarkan pengakuan empat daripada suspek itu, polis mengesahkan, keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke sungai berhampiran Ladang Gadong
No comments:
Post a Comment