Tuesday, September 14, 2010

usahawan berjaya dan disegani

Sosilawati usahawan berjaya dan disegani, kata Khalid



2010/09/14

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, merupakan usahawan berjaya dan disegani, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Sosilawati, yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor, mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam bidang perniagaan. Abdul Khalid berharap agar penyiasatan terhadap kes itu dapat dilakukan segera untuk mententeramkan kembali keadaan.
"Saya yakin pihak polis telah menjalankan kerja dengan sebaiknya dan setakat ini pun mereka sudah menunjukkan kecekapan dalam mencari maklumat berikutan kes ini," katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga Sosilawati di Gombak dekat sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata beliau sempat menemui mangsa ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dua hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada Ahad, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat.-Bernama


No comments:

Post a Comment