Monday, November 5, 2012

BANJIR OH BANJIR...UJIAN2 OH UJIAN...MUHASABAH LAH

Penentang lancar serangan besar-besaran

KLIP video YouTube menunjukkan pejuang-pejuang penentang memerhatikan mayat beberapa askar Syria yang ditembak mati selepas mereka ditawan di bandar Saraqeb, Khamis lalu.


DAMSYIK - Pihak penentang di Syria menyatakan semalam bahawa mereka melancarkan serangan besar-besaran ke atas sebuah pangkalan udara utama di utara negara berkenaan.
Serangan itu dilancarkan menjelang satu rundingan penting berhubung masa depan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria.
Kepungan ke atas pangkalan udara Taftanaz itu berlaku selepas tentera Bashar melancarkan serangan udara bertubi-tubi minggu ini bagi melemahkan kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Pangkalan udara itu menempatkan sejumlah helikopter tempur yang digunakan tentera Syria untuk menyerang kawasan-kawasan yang dikuasai FSA.
Satu klip video di internet menyatakan, sebanyak lapan batalion FSA mengambil bahagian dalam serangan itu termasuk kumpulan Islam radikal, Barisan Al-Nusra.
Rakaman turut menunjukkan FSA menggunakan pelancar roket untuk menyerang kedudukan tentera Syria di pangkalan udara tersebut.
Semalam, pemberontak menawan kedudukan pertahanan udara di Duwila, dalam wilayah Idlib dalam pertempuran yang meragut nyawa seorang pegawai tentera dan mencederakan lapan pejuang FSA.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, FSA turut menawan beberapa kedudukan tentera Bashar di bandar Douma, dekat sini dan merampas sebuah balai polis, sebuah bangunan majlis perbandaran dan selepas membunuh 21 askar Syria.
Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika pihak penentang Syria bersiap sedia menyertai rundingan di Qatar hari ini dengan Amerika Syarikat dijangka mendesak satu organisasi baharu diwujudkan bagi menyatukan kesemua kumpulan serpihan penentang rejim Bashar.
Sementara itu, FSA dikecam berikutan tersiarnya satu klip video di laman web YouTube yang mendakwa pejuang-pejuangnya membelasah dan menembak mati kira-kira 10 askar selepas menyerang beberapa pos kawalan tentera di bandar Saraqeb, barat daya Syria pada Khamis lalu.
Setakat ini, lebih 36,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac tahun lalu kerana menuntut hak demokrasi. - AFP

Katak berjari tiga spesies baharu


KATAK kecil berjari tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan Brazil.


BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli biologi, Michel Garey.
"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari tiga," kata Garey.
"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.
Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.
Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.
Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.
Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.
Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di seluruh dunia. - Agensi

Korban pemandu budak 14 tahun

PERODUA Myvi yang terlibat dalam kemalangan meragut
empat nyawa di Jasin kelmarin.


JASIN - Tindakan berani seorang pelajar tingkatan dua memandu kereta bapanya mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkan dia dan tiga lagi maut dalam nahas di Kilometer 38.5, Jalan Air Panas-Kesang dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan berlaku pada pukul 11.15 malam.
Mereka yang maut ialah Mohd. Hafiz Helmi, 14; pemandu Perodua Myvi, Mohd. Shahir Mat Sahat, 27, dan dua rakannya, Hairul Nizam Alias, 34, serta Mohammad Izzuddin Usop, 21.
Beliau berkata, kereta Toyota Corolla yang dipandu Mohd. Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Myvi.
Mohd. Hafiz yang merupakan pelajar tingkatan dua SMK Iskandar Shah, Jasin, dikatakan baru memandu sejauh 700 meter dari rumah mereka di Rumah Awam, Kesang sebelum kemalangan berlaku.

Bapa tidak sedar anak pandu kereta

Helmi


JASIN - "Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma satu yang saya pelik, siapa yang memandu kereta sedangkan Mohd. Hafiz sebelum ini tidak pernah menghidupkan enjin kereta, inikan pula memandu."
Demikian kata Helmi Othman, 42, bapa kepada Mohd. Hafiz yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38.5, Jalan Air Panas-Kesang malam kelmarin.
Menurut Helmi, kali terakhir dia berbual dengan anaknya pada pukul 8.30 malam di rumah mereka di Rumah Awam Kesang dan ketika itu anaknya memberitahu teringin makan mi segera.
Helmi juga mendakwa, dia tidak sedar bila anak kedua daripada tiga beradik itu keluar rumah kerana tertidur.
"Saya hanya tahu Hafiz tiada di rumah pada pukul 11.30 malam apabila ada orang telefon beritahu kereta saya terlibat dalam kemalangan.
"Apabila diperiksa, kereta saya tiada di luar dan Hafiz pula tiada di bilik," katanya.
Dakwanya, sejurus tiba di tempat kejadian, dia terkedu melihat mayat anaknya terbaring tidak bernyawa di dalam kereta tersebut.

Murid melambung lori langgar bas rombongan


BEGINILAH keadaan bas rombongan murid sekolah yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Batang Benar-Nilai semalam.


NILAI - Kegembiraan 33 murid sebuah sekolah rendah di Jelebu dekat sini mengikuti rombongan ke Perak bertukar duka apabila bas yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Benar-Nilai berhampiran Stesen Komuter Batang Benar di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, dua murid cedera parah manakala 21 yang lain termasuk tiga guru pengiring cedera ringan.
Mangsa yang cedera parah ialah Mohd. Zarid Farhan, 11, dan Mohd. Najmi Jumaat Ali, 11.
Difahamkan semua murid tahun tiga hingga tahun enam yang belajar di Sekolah Kebangsaan Petaseh itu dalam perjalanan dari sekolah menuju ke Perak untuk lawatan sambil belajar selama sehari.
Dalam kejadian itu, terdapat dua buah bas berasingan lagi yang dinaiki 80 murid dari sekolah yang sama namun tidak terlibat dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Yusoff Awang berkata, ketika kejadian, semua bas berkenaan menghala ke Nilai sebelum sebuah bas yang berada di hadapan berlanggar dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba keluar dari satu simpang.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan lori berkenaan yang membawa muatan batu kerikil terbalik manakala bas terbabit pula terbabas ke sebelah kanan jalan.
"Semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya.
Menurutnya, pemandu lori berusia 25 tahun itu cedera ringan dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, seorang mangsa, Mohd. Zamzulkarnain Kudus, 11, berkata, mereka bertolak dari sekolah pada pukul 6 pagi dan semua murid kelihatan sangat teruja menyertai rombongan tersebut.

Maut dihempap pokok ketika berbasikal


SEORANG penduduk kampung, Mohd. Hasbullah Mohd. Zain menunjukkan basikal yang digunakan Abd. Ghani yang maut ditimpa pokok tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kota Sarang Semut, Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR - Rutin harian seorang warga emas sejak 25 tahun lalu mengayuh basikal sejauh satu kilometer ke tempat kerja berakhir kelmarin apabila dia maut dihempap pokok tumbang ketika hujan di Batu 10, Kota Sarang Semut di sini kelmarin.
Abd. Ghani Hashim (gambar kecil), 58, yang merupakan juruwang sebuah stesen minyak maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di tengkuk dan kepala dalam kejadian pada pukul 6 petang.
Kejadian berlaku kira-kira 50 meter dari tempat kerja mangsa yang tinggal di Batu 11, Jalan Pendang dekat sini.
Menurut isteri mangsa, Pawan Awang, 44, ketika suaminya keluar dari rumah pada pukul 5.45 petang, dia bersama dua anak, Siti Nur Puspayanti, 24, dan Mohd. Irman, 10, tiada di rumah kerana ke Pendang membeli barang.
Katanya, dia mengetahui kejadian itu daripada abangnya, Ramli, 47, yang bergegas ke tempat kejadian sejurus diberitahu penduduk kampung.
"Tiada perubahan luar biasa pada arwah sebelum keluar bekerja," kata Pawan yang bekerja sebagai pembantu di kedai makan.

Setinggan Jakarta mini diserbu


SEBAHAGIAN daripada pekerja warga asing menunjukkan dokumen untuk diperiksa ketika serbuan pihak berkuasa di penempatan setinggan yang digelar Jakarta mini di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Sebuah penempatan setinggan yang digelar Jakarta mini kerana menempatkan kira-kira 500 warga asing yang kebanyakan dari Indonesia diserbu pasukan penguat kuasa di Jalan Klang Lama di sini kelmarin.
Operasi bersepadu itu diketuai Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut terlibat Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam dan Pertubuhan Ikatan Relawan.
Sewaktu operasi pada pukul 11 malam itu, seramai 232 orang diperiksa oleh kira-kira 100 anggota penguat kuasa.
Mereka yang ditahan ialah 70 warga Indonesia, tiga India dan dua dari Myanmar serta Bangladesh kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen diri dan perjalanan yang sah. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, James Musa Singa berkata, serbuan itu merupakan kali pertama dilakukan ke atas kawasan tersebut yang sudah menjadi perkampungan kecil warga asing.

Tebing blok polis runtuh, 150 pindah


SEBAHAGIAN daripada kereta yang terkena runtuhan batu ekoran tebing runtuh di kuarters polis daerah Gombak malam tadi.


GOMBAK – Sebanyak 150 orang yang mendiami Blok F1, Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini diarah berpindah malam tadi selepas tebing berhampiran blok tersebut runtuh selain berlaku pergerakan tanah yang berisiko mengancam nyawa penduduk.
Kejadian pada pukul 6.30 petang itu turut mengakibatkan tiga kereta rosak dihempap batu runtuhan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, siasatan awal bomba mendapati runtuhan berlaku pada jarak kira-kira 1.2 meter daripada bangunan tersebut dan berada pada tahap kritikal.
“Semua penghuni diarah berpindah ke dewan blok bersebelahan, Blok F2 disebabkan terdapat pergerakan bawah tanah dan tidak selamat untuk didiami.
“Penduduk yang diarah berpindah adalah sebanyak 150 orang daripada 32 keluarga,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Isteri tauke balak Sibu maut ditembak ketika sarapan


DUA anggota polis menjalankan siasatan di meja tempat Leh Kuong mati ditembak ketika bersarapan di Jalan Pahlawan, Sibu semalam.


SIBU - Seorang suri rumah yang juga isteri kepada seorang tauke balak mati ditembak sewaktu dia menikmati sarapan bersama suami dan dua rakan di sebuah kafe di Jalan Pahlawan di sini pagi semalam.
Law Leh Kuong, 44, disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu pada pukul 3.15 petang selepas terkena tembakan di kepala.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, suami mangsa, Lau Ngik Yin, 43, cedera di belakang badan akibat terkena serpihan peluru.
Sebelum ditembak, mangsa bersama suami dan dua orang rakan sedang duduk di meja kaki lima kafe berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati sebuah kereta Proton Wira berwarna merah berhenti tidak jauh dari situ sebelum dua daripada empat orang yang berada di dalamnya keluar dan seorang melepaskan tembakan.

Bapa sebak terima ijazah arwah anak


MD. NOR dan Ramidah menatap ijazah milik Allahyarham Mohamad Fahmi di Bangi semalam.


BANGI - Seorang bapa, Md. Nor Akil tidak dapat menahan hiba ketika menerima ijazah milik anaknya, Mohamad Fahmi, 24, yang maut dalam kemalangan jalan raya Mei lalu pada Majlis Konvokesyen Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Ke-14 di sini semalam.
Allahyarham memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Menurut Md. Nor, 54, biarpun anaknya itu sudah tiada, penganugerahan yang diberikan oleh pihak universiti kepada anak lelakinya itu amat bermakna buat mereka sekeluarga.
"Arwah telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan memenuhi impian saya dan isteri untuk melihatnya berjaya sehingga ke menara gading.
"Walaupun sebak ketika menerima ijazah miliknya sebentar tadi, saya reda dengan dengan takdir Ilahi," ujarnya ketika ditemui di sini.
Md. Nor menerima ijazah anaknya daripada Canselor Uniten, Tun Abdul Rahman Abbas.
Sementara itu, ibu arwah, Ramidah Tarmidi, 53, berkata, Mohamad Fahmi yang merupakan anak kedua daripada dua beradik terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari Uniten Kampus Muadzam Shah, Pahang ke Kuala Lumpur.

210 mangsa banjir dipindah di Johor


AHLI Dewan Undangan Negeri Parit Raja, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (tiga dari kiri) meninjau keadaan banjir di Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat semalam.


JOHOR BAHRU - Seramai 210 orang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di Batu Pahat apabila kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat semalam.
Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara berkata, 117 mangsa banjir daripada 38 keluarga di Kampung Parit Gantung ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiga Serangkai manakala 61 orang daripada 12 keluarga di Parit Lapis Laman ditempatkan di Balai Raya Parit Lapis Laman.
Seramai 32 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di Parit Sentang Batu pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Parit Sentang Batu.
Jurucakap Ibu Pejabat Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, Khatijah Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengagihkan bantuan asas kepada mangsa banjir iaitu makanan, minuman, bantal dan selimut.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai status terkini banjir di kawasan mereka melalui http://portalbanjir.mkn.gov.my atau PublicInfoBanjir pada laman Facebook. - Bernama

No comments:

Post a Comment