Saturday, November 10, 2012

BILA KEUNTUNGAN DIUTAMAKAN...

Pusat jagaan wanita disita

PENGHUNI Kewaja diberi penerangan selepas tempat mereka berlindung diserbu dan disita pihak berkuasa di Setapak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu dan menyita sebuah rumah yang dijadikan pusat perlindungan wanita dan remaja di Kampung Sungai Mulia, Setapak di sini yang beroperasi tanpa lesen sejak lebih 24 tahun lalu.
Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, pusat tersebut didapati menempatkan 69 wanita berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat yang ditetapkan Akta Pusat Jagaan 1993.
Pusat yang diberi nama Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja) itu didapati gagal mematuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah akta tersebut.
“Dengan keluasan rumah tersebut, maksimum penghuni yang dibenarkan hanya seramai 28 orang tetapi penjaga pusat itu meletakkan seramai 69 orang di ruang yang sempit. Mana selesa?
“Sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang bagi menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung,” katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu di sini semalam.
Menurut beliau, antara piawaian yang perlu dipatuhi oleh penjaga pusat tersebut ialah had bilangan penghuni tidak melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan bagi memastikan keselesaan penghuninya.
Piawaian lain yang perlu dipatuhi ialah nisbah penjaga dengan penghuni perlulah mencukupi, menyediakan modul latihan dan jadual aktiviti harian yang sesuai.
“Hasil siasatan JKM mendapati Kewaja gagal mematuhi piawaian yang telah ditetapkan walaupun telah diberi nasihat dan panduan sejak tahun 2003,” jelas beliau.
Ketika serbuan itu dibuat, pihak berkuasa mendapati 69 penghuni pusat jagaan tersebut terdiri daripada 42 wanita yang sedang mengandung, 19 orang berada dalam pantang selepas baru melahirkan anak manakala tujuh lagi menghadapi pelbagai masalah sosial yang lain.

NOORMAH bersama beberapa pegawai JKM menyita pejabat Kewaja ekoran beroperasi tanpa lesen sejak 24 tahun lalu.


Mereka kemudiannya, termasuk seorang bayi yang berusia lima bulan, ditempatkan untuk sementara waktu di Asrama Bahagia, Kampung Pandan di sini untuk tujuan saringan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Menurut Noormah, pihak pengurusan Kewaja perlu mengemukakan perakuan pendaftaran bagi pusat jagaan tersebut kepada JKM untuk mengoperasikan semula tempat tersebut dalam tempoh 21 hari dari tarikh notis ia dikeluarkan.
“Sekiranya Kewaja gagal berbuat demikian, suatu perintah mahkamah akan diperoleh bagi menghalang premis tersebut daripada dijadikan pusat jagaan,” katanya.
Tambah Noormah, sekiranya didapati bersalah, Kewaja boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di pusat tersebut mendapati semua penghuninya terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa di rumah itu yang menyediakan sebuah ruang tamu dan dua bilik untuk mereka.
Selain itu, mereka juga terpaksa tidur beramai-ramai di ruang tamu yang sempit selain persekitaran yang kurang bersih dan tidak selamat kepada penghuni.
Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 16, berkata, kehidupan yang beliau impikan untuk berubah apabila memasuki pusat jagaan tersebut selepas terjebak dengan masalah sosial disifatkan ‘tidak seindah yang disangka’.
“Pada mulanya saya ingat saya ingin mendalami ilmu agama tetapi tempat ini tidak menyediakan guru yang mampu untuk mengajar agama, sebaliknya kami hanya belajar sesama sendiri sahaja,” katanya.
Bagi Effa, 19, pula, tindakannya yang pernah melarikan diri akibat tidak tahan dengan kehidupan di pusat itu yang disifatkannya sebagai tempat yang teruk menjadi mimpi ngeri apabila dia ditangkap dan dipukul warden pusat berkenaan.
“Saya memang tidak sangka kehidupan di sini amat teruk, mereka mengenakan yuran tetapi tidak menyediakan keselesaan kepada kami. Bayangkan ibu mengandung, ibu yang baru bersalin disuruh membuat kerja-kerja berat, jadi perkara inilah membuatkan kami ingin memberontak,” katanya.

Sekolah Cina akan dikekalkan


MUHYIDDIN (tengah) bertanyakan sesuatu ketika melawat pameran Pesta Buku Cina Sedunia di Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur semalam.


SERI KEMBANGAN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengulangi jaminannya bahawa sekolah-sekolah Cina akan kekal dan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membantu pembangunan sekolah itu.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan BN akan terus membantu sekolah jenis kebangsaan Cina berdasarkan kepada keperluan sebenar masyarakat itu.
"Ia merupakan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu dan sekarang bahawa bukan sahaja pendidikan Cina dipelihara tetapi ia juga menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan," katanya ketika merasmikan Pesta Buku Cina Sedunia ke-14 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew.
Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited bagi meningkatkan kualiti pendidikan di semua sekolah tanpa mengira jenis sekolah.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Cina tidak akan mudah terpedaya dengan agenda sesetengah pihak yang suka mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan politik mereka yang sempit.
"Jangan kita biarkan masa depan anak-anak kita dan masa depan negara kita yang hebat terjejas hanya semata-mata kerana kepentingan politik mereka yang sempit.
"Pada masa sama, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai satu cara untuk menyatupadukan semua kaum. Marilah kita jadikan semua sekolah di negara ini sebagai sekolah-sekolah perpaduan, di mana kanak-kanak daripada semua kaum bergaul mesra, belajar untuk menerima perbezaan dan menghormati antara satu sama lain," katanya. - Bernama

Produk Ayamas bebas antibiotik

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan ujian pada 41 sampel produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas) sehingga semalam mendapati tiada residu antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejaskan kesihatan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman memberitahu, 10 sampel produk yang dikilangkan pada 10 Jun lalu itu diuji untuk memastikan tahap keselamatan produk keluaran syarikat yang terdapat di pasaran termasuk di Sarawak dan mendapati tiada residu antibiotik berkenaan.
"Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan terhadap produk ini dan produk-produk lain dengan menjalankan pensampelan berterusan di kilang dan di pasaran.
"Keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 1 November lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengeluarkan larangan import produk ayam Ayamas berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.
Lokman berkata, Kementerian Kesihatan juga menjalankan siasatan di kilang Ayamas Corporation Sdn. Bhd. di Pelabuhan Klang, Selangor yang mengedar semua produk Ayamas di seluruh negara dan juga pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, kilang itu juga mendapat pengiktirafan sistem jaminan keselamatan makanan Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan bagi beberapa produk.
"Sehingga hari ini (semalam), Kementerian Kesihatan telah mengambil sebanyak 18 sampel yang merangkumi pelbagai jenis produk berasaskan daging ayam dari kilang pemprosesan bagi tujuan analisis residu antibiotik Chloramphenicol," katanya.
Chloramphenicol bersifat genotoksis dan boleh menyebabkan kanser. Pendedahan kepada residu Cchloramphenicol melalui makanan yang tercemar juga berpotensi menyebabkan rintangan kepada mikro organisma (antimicrobial resistence). - Bernama

Garis panduan hak tebus rugi pengguna diterbitkan

ISMAIL SABRI menunjukkan buku Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Pengguna berhak untuk mendapatkan tebus rugi terhadap barangan atau perkhidmatan termasuk di premis perniagaan yang mempamerkan notis 'Pertukaran Tidak Dibenarkan' atau 'Tiada Pemulangan' jika barang yang diperoleh tidak memenuhi jaminan sepatutnya.
Antara jaminan yang perlu ada ialah mematuhi aspek kualiti, menepati ciri-ciri yang digambarkan dan mampu berfungsi dengan baik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna peniaga yang meletakkan notis adalah tidak terkecuali daripada tanggungjawab kepada pelanggan yang tidak berpuas hati terhadap barangan atau perkhidmatan diberikan.
"Peniaga yang meletakkan notis itu juga adalah tidak beretika kerana ia seolah-olah menafikan hak tebus rugi pengguna dan peniaga tidak sepatutnya meletakkan notis sedemikian," katanya pada sidang akhbar mengenai buku Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna di sini semalam.
Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memperuntukkan kepada pengguna mengenai hak tebus rugi.
Katanya, kementerian mengeluarkan garis panduan itu bagi memperjelas hak dan tanggungjawab pembekal, pengilang dan pengguna dalam pelaksanaan tebus rugi.
"Hak mendapat tebus rugi bermaksud hak mendapatkan penyelesaian tuntutan atau menerima pampasan bagi barang atau perkhidmatan yang tidak memenuhi jaminan yang dinamakan Gerenti Tersirat dan Gerenti Nyata," katanya.
Bagaimanapun, hak untuk mendapatkan tebus rugi tertakluk kepada syarat seperti melaporkan kerosakan barang atau kegagalan perkhidmatan kepada pembekal atau pengilang dalam tempoh masa munasabah.
Pengguna juga perlu menyimpan resit atau bukti pembelian, surat atau kad jaminan dan berhenti menggunakan barang yang rosak itu sehingga ia dapat dikembalikan kepada pembekal atau pengilang.
Sekiranya peniaga atau penjual masih enggan mematuhi permintaan pengguna yang mempunyai alasan munasabah, pengguna boleh mengambil tindakan menerusi Tribunal Pengguna, katanya. - Bernama

Bekas atlet pecut kalah saman PPUM

Zainab Hashim menunjukkan kaki anaknya Nor Azleen yang masih sakit dan tidak kuat untuk berjalan di rumahnya di Paya
Terubong, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Bekas atlet pecut, Nor Azleen Mohammad Mustafa gagal dalam permohonan saman terhadap Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Omar Md. Isa dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang didakwa cuai ketika melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada 3 September 2005.
Hakim Mahkamah Tinggi Nurmala Salim menolak tuntutan saman berjumlah RM3 juta itu dengan kos RM5,000.
Dalam penghakimannya, Nurmala berkata, plaintif gagal membuktikan Omar sebagai defendan pertama telah melakukan kecuaian ketika menjalankan pembedahan itu.
"Walaupun dalam surat keizinan yang ditandatangani oleh waris plaintif tidak dinyatakan risiko akibat pembedahan, tetapi secara munasabah perbincangan telah dilakukan sebelum waris menandatangani surat keizinan," kata beliau.
Nor Azleen, 21, yang diwakili peguam bela N. Ahilan menghadapi komplikasi saraf tunjang akibat luka terkena alat yang digunakan untuk pembedahan itu, menyebabkan atlet itu lumpuh dari pinggang ke bawah dan terpaksa menjalani fisioterapi dalam tempoh yang lama.
Nor Azleen sehingga kini masih belum dapat berjalan dengan baik kerana kedua-dua kakinya tidak kuat.
Dia juga menghadapi masalah untuk mengawal sistem pembuangan air kecil dan besar akibat daripada luka yang dialami pada saraf tunjangnya.
Berikutan insiden itu, Nor Azleen juga terpaksa memakai alat menyokong sehingga tulang belakangnya menjadi keras dan tidak boleh terlibat dengan sebarang acara sukan.
Nor Azleen dalam tuntutan samannya memohon defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM3 juta, faedah, kos dan relif-relif selanjutnya yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, di luar mahkamah, Ahilan memberitahu bahawa pihaknya akan memfail rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.
Omar dan PPUM sebagai defendan kedua diwakili oleh peguam bela Sharmini Navaratnam daripada tetuan Siva Dharma & Associates.
Nor Azleen merupakan bekas atlet pecut Pulau Pinang dan pernah menyertai acara 100m, 200m dan 4x100m dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2004 dan 2006.
Dia juga merupakan atlet pelapis remaja kebangsaan dan menyertai banyak kejohanan olahraga terbuka sebelum menjalani pembedahan.
Bapanya, Mohammad Mustafa Nagoor Gani, 53, merupakan bekas jurulatih bola sepak Pulau Pinang.
Dua lagi anak lelakinya juga aktif dalam sukan dan merupakan bekas pemain hoki dan bola sepak Pulau Pinang.

Pegawai bank diculik kekasih

KAJANG - Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak melarikan dan menjerut leher kekasihnya sehingga wanita itu mengalami keretakan pada tulang lehernya manakala kedua-dua belah pergelangan tangannya pula cedera.
Episod malang wanita yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu bermula pada pukul 5.30 petang Rabu lalu apabila mangsa dibawa kekasihnya tidak jauh dari rumahnya di Taman Cheras Awana, Batu 9 di sini.
Ketika berada di dalam kereta suspek, mangsa yang berusia 27 tahun mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh teman lelakinya yang dikatakan cemburu buta.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila dia dapat melarikan diri ketika cuba dibawa ke sebuah hotel di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 7 malam.
Jarak antara lokasi mangsa diculik dengan hotel tersebut kira-kira 40 kilometer.
Menurut beliau, selepas terlepas daripada kekasihnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam semalam.
Ab. Rashid memberitahu, akibat dipukul mangsa mengalami keretakan tulang leher manakala kedua-dua pergelangan tangannya pula mempunyai kesan dijerut dengan tali.
Mangsa dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan dan dibenarkan keluar dari wad semalam.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, polis menemui kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa ditinggalkan di kawasan Shah Alam sehari selepas mangsa dilarikan.
Menurut beliau, lelaki yang berusia 28 tahun itu kemudian ditangkap di sini pada pukul 7 malam tadi.
Bagaimanapun, polis belum mendapat maklumat penuh mengenai suspek itu.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Lapan sungai catat paras bahaya


HUJAN lebat selama dua jam mengakibatkan banjir di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur tidak lama dahulu. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR – Paras air di lapan sungai di negara ini dikesan melebihi paras bahaya dan berkemungkinan mengakibatkan banjir sekiranya hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Sungai tersebut adalah Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara di Selangor, Sungai Linggi dan Sungai Muar di Negeri Sembilan, Sungai Simpang Kiri di Johor dan Sungai Selangau di Sarawak.
Pengarah Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata, kuantiti hujan yang turun antara 30 hingga 50 milimeter (mm) di kawasan berkenaan menjadi punca kejadian itu.
“Sekiranya hujan melebihi 100mm hari ini (semalam), limpahan air sungai pasti akan berlaku dan seterusnya mengakibatkan banjir di kawasan tersebut.
“Tidak mustahil banjir akan berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam daripada waktu paras air dikesan iaitu sekitar pukul 6 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, impak lebih buruk daripada banjir kilat dijangka akan berlaku sekiranya limpahan air sungai berlaku.
Ini kerana, menurut Hanapi, kuantiti air yang banyak akan mengakibatkan tempoh banjir berlarutan sehingga lebih daripada sehari malah impaknya akan dirasai lebih ramai penduduk.
“Situasi ini berbeza dengan banjir kilat yang hanya berlaku untuk tempoh beberapa jam.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan nyawa dalam apa juga situasi,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku banjir besar jika hujan turun melebihi 200 hingga 300mm sehari sebagaimana yang berlaku di Kota Tinggi, Johor tahun lalu.
“Kita dapati negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Sarawak menerima kuantiti hujan yang agak tinggi dalam sehari.
“Bagi menangani berlakunya bencana banjir, pihak kami sentiasa menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain agar dapat memberikan bantuan pada bila-bila masa yang diperlukan,” katanya.
Keadaan pergerakan angin di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang dan Sarawak mencacat kelajuan di sekitar 20 hingga 50 kilometer sejam di beberapa kawasan perairan.
Antaranya kawasan perairan Reef North, Reef South, Tioman dan Kuching.
Sementara itu, purata taburan hujan bagi kesemua negeri yang terbabit pula menunjukkan sekitar 0 hingga 35 milimeter sehari dan meliputi beberapa kawasan misalnya Ipoh, Petaling Jaya, Subang, Kluang, Temerloh dan Mulu.

SPAD lancar saluran aduan baharu


SYED HAMID (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal menampal pelekat yang memaparkan nombor talian aduan baharu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semalam melancarkan saluran aduan pengguna serta pelekat kenderaan pengangkutan awam baharu sebagai proses menambah baik mutu pengangkutan tersebut.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, saluran aduan baharu yang berkuat kuasa 1 November lepas divariasikan penggunaannya mengikut trend terkini bagi memudahkan orang awam membuat aduan terhadap mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam.
"Selain talian hotline, orang ramai boleh membuat aduan menerusi e-mel, laman Twitter atau laman web SPAD dan pengadu boleh menyemak status aduan mereka selepas berjaya menghantar secara online," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Talian Baharu dan Pelekat Kenderaan Awam SPAD di sini.
Sebarang maklumat berhubung pengangkutan awam darat boleh disalurkan menerusi talian hotline 1-800-88-SPAD (7723), secara e-mel (aduan@spad.gov.my), laman Twitter (@aduanTwitter) atau laman web (www.spad.gov.my).
Beliau berkata, nombor talian aduan baharu yang menggantikan nombor talian aduan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) itu akan terpamer pada setiap pelekat baharu kenderaan pengangkutan awam tersebut yang wajib dipamer sebelum mula dikuat kuasa 1 Jun tahun depan.
Mengulas mengenai laporan yang meletakkan pemandu teksi di ibu kota sebagai antara yang biadab di dunia, Syed Hamid berkata, hal itu telah mencalarkan imej negara, namun ia seharusnya dijadikan satu perangsang kepada semua pemandu teksi. - Bernama

Pemuda mengaku bakar kapal selam nuklear AS

AP
API marak dan asap tebal pada kapal selam nuklear HMS Miami yang terbakar di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine pada 23 Mei lalu.


PORTLAND, Maine - Seorang bekas pekerja sebuah pelabuhan, Casey James Fury kelmarin mengaku bersalah membakar sebuah kapal selam nuklear milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan kerugian sebanyak AS$450 juta (RM1.3 bilion).
Fury, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Daerah AS kerana melakukan kebakaran dengan sengaja sebanyak dua kali.
Dia mengaku melakukan perbuatan itu di dalam kapal selam nuklear HMS Miami pada 23 Mei lalu di Limbungan Tentera Laut Portsmouth di Maine.
Fury sekali lagi melakukan perbuatan yang sama tetapi di luar kapal selam berkenaan pada 16 Jun lepas.
Pemuda itu melakukan perbuatan tersebut dengan alasan untuk segera pulang ke rumahnya.
Fury memberitahu para penyiasat bahawa dia mengambil pelbagai jenis ubat bagi menangani kemurungan, alahan dan masalah sukar untuk tidur semasa kali pertama membakar kapal selam tersebut.
Dia juga menjelaskan mahu pulang ke rumah selepas berasa bimbang apabila membaca mesej daripada bekas kekasihnya menyebabkannya melakukan perbuatan itu buat kali kedua.
Bagaimanapun, kebakaran itu tidak merebak ke bahagian belakang kapal yang menempatkan pelbagai komponen nuklear.
Ekoran pengakuan itu, dia mungkin akan dipenjarakan hampir 20 tahun.
Kapal selam itu dibaiki sebelum ia kembali beroperasi pada 2015.
Kos membina kapal selam itu pada 1990 dianggarkan AS$900 juta (RM2.7 bilion).
Jika kapal selam itu dibina pada tahun ini, kosnya dianggarkan AS$1.5 bilion (RM4.6 bilion). - Agensi

Obama menangis di depan penyokong


AP
OBAMA menangis semasa beliau berucap di depan sejumlah petugas sukarelawannya di Chicago pada Rabu lalu.


WASHINGTON - Satu rakaman video menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengesat air matanya di depan para pekerja sukarelawan kempen pilihan rayanya di Chicago.
Video yang menunjukkan Obama mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan muda ekoran kemenangannya sebagai presiden AS itu didedahkan oleh pasukan petugas kempennya kelmarin.
Obama memenangi pilihan raya presiden AS pada Selasa lalu dengan menewaskan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.
"Saya benar-benar yakin bahawa kamu akan melakukan perkara-perkara hebat dalam kehidupan masing-masing," kata Obama di ibu pejabatnya di Chicago pada Rabu lalu.
Dengan nada yang penuh beremosi, Obama berkata, beliau kini kembali menduduki jawatan presiden.
"Disebabkan apa yang anda semua telah lakukan, ia bermakna bahawa kerja yang saya lakukan kini menjadi penting.
"Saya berasa amat berbangga dengan anda semua," kata Obama yang mewakili parti Demokrat sambil mengesat air matanya.
Semua petugas kempennya kemudian bertepuk tangan.
Sementara itu, parti Demokrat mengumumkan bahawa Obama memenangi 29 undi pemilih di Florida.
"Bagi pihak Demokrat Florida, saya mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pemilihannya semula dan memenangi 29 undi pemilih di Florida," kata pengerusi parti itu di Florida, Rod Smith menerusi satu kenyataan kelmarin.
Beliau membuat kenyataan itu sebelum keputusan rasmi undi yang dimenangi Obama di negeri tersebut diumumkan.
Jika undi itu diambil kira, Obama memenangi sebanyak 332 undi pemilih berbanding Romney sebanyak 206 undi.
Sebanyak 270 undi pemilih diperlukan untuk memenangi pilihan raya presiden AS. - Agensi

13 orang terbunuh akibat banjir kilat


AP
BEBERAPA orang mencari mangsa-mangsa runtuhan sebuah rumah akibat banjir kilat di Batanguru, Sulawesi Barat semalam.


JAKARTA - Bilangan mangsa yang terkorban akibat hujan lebat selama beberapa hari yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat meningkat kepada 13 orang, kata beberapa pegawai polis semalam.
Ketua sebuah agensi pengurusan bencana Sulawesi Barat, Kain Lotong Sembe, berkata, bilangan mangsa yang masih hilang berkurangan menjadi empat orang.
Menurutnya, bilangan itu berkurangan selepas 20 orang yang dilaporkan hilang didapati masih hidup.
Seorang ketua polis tempatan, Kapten Yuslim Yunus berkata, anggota-anggota penyelamat dan penduduk di Batanguru di daerah Mamasa turut menggali lumpur dengan menggunakan tangan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Menurutnya, tanah runtuh yang berlaku kelmarin telah menyebabkan arus sungai mengalir dengan laju sehingga memusnahkan tujuh buah rumah.
Musim tengkujuh sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh berlaku di Indonesia. - AP

Bas lama dijadikan restoran di China


REUTERS
SEORANG pelayan menghantar makanan kepada beberapa pelanggan di dalam sebuah bas di Shenyang kelmarin.


SHENYANG, China - Sebuah bas lama diubah suai untuk dijadikan restoran yang menyediakan beraneka hidangan makanan panggang di sini sejak sebulan lalu.
Satu pasangan sanggup membeli sebuah bas lama itu pada harga AS$3,206 (RM9,816) untuk dijadikan sebuah restoran.
Beberapa meja kecil untuk meletakkan makanan disediakan di dalam bas tersebut.
Hidangan makanan akan dihantar oleh pelayan untuk para pelanggan restoran unik itu.
Restoran bas itu terletak di sebuah pekarangan kediaman lama. - Agensi

No comments:

Post a Comment