Saturday, November 10, 2012

KUTIP ZAKAT KEMPEN...BAGAIMANA PENERIMA ZAKAT...TU WANG PEMBAYAR ZAKAT JANGAN TAK SAMPAI IKUT KAEDAH ALLAH DAH TENTUKAN

Pelukan terakhir suami
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Normah Abdul Latif
Normah (dua, kiri) kelihatan sugul semasa menatap jenazah suaminya buat kali terakhir, semalam.
BANDAR TUN RAZAK - Seorang isteri tidak menyangka, pelukan beberapa kali oleh suami adalah pelukan terakhir buatnya sebelum terbabit dalam kemalangan di Simpang Charuk Puting Batu 5, Temerloh, tengah hari kelmarin.
Normah Abdul Latif, 48, berkata, seperti bermimpi, dia tidak menyangka itu kali terakhir dia bertemu suaminya, Ramly Osman, 53, yang juga Pengurus Felda Kampung
Awah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, tengah malam kelmarin di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Pagi semalam (kelmarin) ketika saya hendak bertolak untuk mengambil anak di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, arwah peluk saya sambil minta maaf.
Malah, apabila enjin kereta dihidupkan, lagi sekali dia datang dan peluk saya.
“Arwah turut memeluk adik (anak bongsu) dan berkata itu kali terakhir dia akan peluk adik sambil memohon maaf,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman ibu bapa Allahyarham Ramly di Rantau Perintis, di sini, semalam.
Normah berkata, arwah menunjukkan perubahan sejak sebulan yang lalu apabila dia kerap memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
“Selama sebulan ini, setiap kali arwah berjumpa dengan penduduk tanah rancangan, dia akan memohon maaf, selain perwatakannya menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Saya juga dapat tahu daripada orang kampung, arwah sering kata dia risau dengan anak dan isterinya apabila dia sudah tiada nanti,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan kereta dipandu suaminya terlanggar sebuah lori pembancuh simen di bahu jalan ketika dalam perjalanan pulang selepas melakukan urusan bank di bandar Temerloh.
“Saya dapat panggilan telefon memberitahu suami saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ketika itu saya baru sahaja hendak pulang dari mengambil anak di UIAM.
“Saya terus bergegas ke Hoshas untuk melihat keadaan arwah yang sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Normah berkata, dia dimaklumkan doktor, suaminya mengalami pendarahan yang teruk di dalam perut dan perlu menjalani pembedahan.
“Namun disebabkan terdapat komplikasi, arwah meninggal tengah malam tadi (kelmarin) namun kami sekeluarga sempat bersama arwah di saat akhirnya.
“Kami reda dengan pemergian arwah dan menganggap ini sebagai satu ketentuan daripada ALLAH SWT,” katanya.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, kereta Proton Exora yang dipandu Ramly dari bandar Temerloh ke Felda Kampung Awah dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah lori pembancuh simen di Simpang Charuk Puting Batu 5, Jalan Maran, Temerloh.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dibawa ke Hoshas Temerloh untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia pada jam 12 tengah malam kelmarin.
Jenazah dikebumikan di Rantau Perintis pagi semalam dan mangsa meninggalkan seorang isteri serta tiga anak.
Bertemu jodoh selepas berhijrah
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Arman Jamah
Arman ketika dinikahkan Kadi Daerah Temerloh, Badaruddin Bustami di surau Kampung Lubok Wong.
KUALA KRAU - Seorang pekerja kilang tidak menyangka penghijrahannya dari Sabah ke Mentakab untuk bekerja, menemukannya dengan gadis pilihan yang kini sudah pun sah bergelar isterinya.
Arman Jamah, 39, berkata, dia mula berkenalan dengan Junaidah Abdullah, 36, yang merupakan rakan sekerjanya dan seorang saudara baru masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, pertemuan setiap hari di tempat kerja membuatkan hatinya tertarik dengan kelembutan Junaidah dan akhirnya melamar gadis itu untuk dijadikan permaisuri hidupnya.
“Saya akan bimbing isteri saya menjadi seorang Muslimah sejati dan mengajarnya cara hidup Islam sebenar. Ini adalah jodoh saya dan gembira akhirnya bertemu dengan isteri yang dapat menemani saya sepanjang hidup.
“Saya berdoa supaya hubungan kami ini bahagia hingga ke akhir hayat. Saya pun tidak menyangka bertemu jodoh dengan orang di Semenanjung,” katanya semasa Majlis Perkahwinan Perdana yang meraikan 16 pasangan pengantin saudara baru masyarakat Orang Asli di Kampung Lubok Wong.
Bagi Asri Abdullah, 16, dia sangat bahagia bertemu jodoh di usia muda kerana dapat samasama mendalami Islam bersama isterinya.
Menurutnya, isterinya, Fitri Yana Hidayu Junaidi, 17, dilahirkan dalam keluarga yang sudah memeluk Islam.
“Isteri saya membesar dengan ajaran Islam, jadi dia sudah banyak belajar berbanding saya.
Saya akan minta tunjuk ajar isteri kalau ada perkara yang tidak difahami semasa mendalami Islam nanti,” katanya.
Pil kuda dalam lokar asrama
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
PERAMU - Seorang pelajar sebuah institut kemahiran, di sini, ditahan kerana memiliki 50 biji pil kuda, dipercayai untuk dijual kepada rakan pelajar yang lain.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin, dan kesemua pil kuda yang dirampas ditemui di dalam lokar asrama.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pelajar terbabit turut mendapati dia positif dadah jenis yang sama.
“Hasil penahanan pelajar berusia 18 tahun itu, polis berjaya memberkas empat lagi pelajar yang juga rakannya sebelum mendapati keempatempat mereka positif dadah jenis sama dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Kelima-lima pelajar yang berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu kini ditahan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) kerana memasukkan dadah ke dalam badan tanpa kebenaran," katanya kepada Sinar Harian.
Yahaya berkata, seorang pelajar turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Mengikut siasatan, pelajar terlibat mendapatkan bekalan melalui penjual di sebuah negeri di Pantai Timur dengan harga RM1,500 bagi 100 biji pil kuda.
“Pil tersebut dijual kepada pelanggan di kawasan Pekan yang terdiri daripada pelajar dan pembeli setempat dengan harga RM20 sebiji,” katanya.
300 kawasan terdedah bencana alam di Pahang
Nik Amirulmu’min Nik Min
9 November 2012
KUANTAN- Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang mengenal pasti 256 kawasan yang berisiko tinggi mengalami masalah banjir, tanah runtuh dan terputus hubungan di seluruh negeri berdasarkan kajian awal risiko yang dijalankan agensi itu.
Berdasarkan jumlah itu, 116 kawasan berkemungkinan mengalami banjir, 104 kawasan  berdepan masalah terputus hubungan dan 36 kawasan berbukit berisiko berlaku tanah runtuh.
Timbalan Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, Peramu, Pekan mencatatkan jumlah tertinggi kawasan yang berkemungkinan berlaku banjir iaitu 20 diikuti Triang, 14 dan Kuala Rompin, 10.
Menurutnya, kawasan lain yang terlibat termasuk 7 di Indera Mahkota, 6 di Taman Tas dan 7 di Gebeng dalam Daerah Kuantan manakala 4 kawasan di Muadzam Shah, 8 di Lipis, 2 di Bentong, 6 di Nenasi, 5 di Jerantut, 7 di Raub, 4 di Cameron Highlands dan 8 kawasan dalam daerah Temerloh.
“Kita mengenal pasti 10 kawasan di Cameron Highlands yang terdedah kepada risiko tanah runtuh manakala masing-masing 4 kawasan dalam Bentong, Jerantut dan Kuala Lipis, 3 kawasan di Raub dan 2 kawasan di Karak, Mentakab dan Genting Highlands.
“Kawasan yang berkemungkinan menghadapi masalah terputus hubungan termasuk 15 di daerah Bera, Maran (14), Kuantan (11), Rompin (11), Cameron Highlands (9) Temerloh (9), Jerantut (8), Raub (8), Pekan (7), Bentong (7) dan Lipis (5),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Teknik Pengendalian Bot Penyelamat Enjin Sangkut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang 2012 di Balai Indera Mahkota di sini, hari ini.
Nazili berkata,Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang yang diberi tanggungjawab mengetuai Jawatan Kuasa Kecil Risiko Analisa Banjir, sudah bersedia lebih awal menghadapi kemungkinan yang berlaku sepanjang musim tengkujuh kali ini.
“Cuti 781 anggota bomba seluruh Pahang akan dibekukan sekiranya banjir besar berlaku manakala bagi anggota yang bercuti dan berkursus, mereka berkemungkinan akan dipanggil bertugas jika keadaan mendesak.
“Bagi berdepan kemungkinan banjir tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang akan menggunakan segala jentera dan kelengkapan yang ada termasuk 72 bot pelbagai jenis, 106 kenderaan darat dan akan menghantar bantuan udara ke kawasan yang mengalami masalah terputus hubungan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, keanggotaan dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang mencukupi untuk digerakkan sekiranya banjir berlaku.
“Bagaimanapun jika keadaan mendesak, kita mungkin akan meminta bantuan dari negeri atau daerah yang tidak terlibat dengan bencana alam ini,” katanya.
Dua lelaki samun treler ditahan
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Muhd Taib Ahmad
Dua lelaki yang ditahan kerana membawa lari treler bermuatan penuh besi ceracah bernilai RM20,000.
KUALA SELANGOR - Polis berjaya menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan samun treler yang membawa muatan penuh besi ceracah bernilai RM200,000 di Jalan Banting-Klang, kawasan Pandamaran, Pelabuhan Klang, awal pagi kelmarin.
Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang dikatakan dalam perjalanan dari Kapar menuju ke Pulau Pinang untuk menghantar besi ceracah berkenaan berhenti berehat di kawasan pekan Tanjong Karang.
Mangsa kemudian disamun tigalelaki berusia dalam lingkungan 30-an dengan menggunakan parang sebelum ditinggalkan di satu kawasan tidak diketahui tidak jauh dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad berkata, kira-kira jam 4.30 pagi hari sama, sepasukan anggota peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan Jalan Banting- Klang menemui satu kepala treler dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, selepas diarahkan berhenti bagi melakukan pemeriksaan, pemandu bertindak memecut laju sebelum terbabas dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan terhadap kepala treler berkenaan membawa kita ke sebuah premis barang lusuh di kawasan berhampiran sebelum menemui stor yang dikunci dari luar.
“Polis terpaksa memecah masuk ke dalam premis dipercayai dijadikan stor simpanan sebelum menemui badan treler penuh dengan muatan besi selain turut menahan dua lelaki berusia 26 dan 42 tahun terbabit dalam kegiatan itu,” katanya.
Muhd Taib berkata, bagaimanapun pemilik premis seorang lelaki berusia 29 tahun gagal dikesan kerana dipercayai sudah melarikan diri dan suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut serta permohonan reman dibuat pagi semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kempen Zakat Di Hati dekati pembayar
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
SHAH ALAM - Dalam usaha mendekati pembayar zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan kempen ‘Zakat Di Hati’ bertemakan Ibadah Dihayati dengan memperkenalkan skim potongan gaji.
 
Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman berkata, inisiatif LZS bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat dengan memperkenalkan skim potongan gaji yang dikenali sebagai Skim Berkat yang amat relevan dengan keperluan terkini.

“Atas dasar itulah, Kerajaan Negeri telah menyokong usaha ini dengan melaksanakan arahan wajib pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri beragama Islam dan berkhidmat di Selangor seperti ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Disember 2003,” katanya ketika menyampaikan ucapan, semalam.

Menurutnya, kesemua jabatan di bawah Perbendaharaan Negeri juga telah menyertai zakat melalui potongan gaji.

“Bagaimanapun, difahamkan bahawa bilangan kakitangan yang mencarum hanyalah seramai 3,783 orang sahaja berbanding lebih 14,260 orang yang layak berdasarkan taksiran semula oleh LZS.

“Ini menunjukkan masih ramai lagi kakitangan yang layak masih belum menyertai skim ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, kempen yang bermula 1 November sehingga 30 November ini bermatlamat mendekatkan ibadah zakat kepada masyarakat agar setiap individu Muslim memahami kewajipan zakat sebagai rukun Islam ketiga dan membudayakan zakat dalam kehidupan.
Pelajar dakwa dipukul guru
NUR FARHANA ABDUL MANAN
9 November 2012
Kumar
Pelajar sekolah yang mendakwa dipukul dan diherdik guru di sekolahnya, semalam menunjukkan laporan polis yang dibuat.
SHAH ALAM – Bukan sahaja dikeji dengan kata-kata kesat yang menyakitkan hati, seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa turut dipukul dan ditumbuk beberapa kali oleh guru yang mengajar di sekolahnya, semalam.
Pelajar berkenaan mendakwa insiden bermula pagi kelmarin dan berlanjutan hingga semalam selepas dia bersama rakannya menduduki kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan, salah faham antara guru terbabit bermula apabila mangsa dan rakannya dikatakan duduk bersembang di kantin sekolah kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.
Ketika itu mangsa berkata, guru berkenaan kebetulan melalui lokasi dia dan rakannya bersembang dan berkemungkinan merasakan mangsa mengumpatnya sebelum membawa geng untuk ‘mengajar’ pelajar berkenaan.
Mangsa yang enggan identitinya disiarkan berkata, sebaik tamat peperiksaan kira-kira jam 12.40 tengah hari, dia terkejut apabila didatangi seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang bertanya siapa yang mencari pasal dengan guru terbabit.
Menurutnya, balasan jawapan tidak tahu menyebabkan lelaki tidak dikenali itu ke rumah seorang rakannya dan membuat kecoh di depan rumah itu.
Melihat tindak tanduk lelaki terbabit, mangsa berkata, rakannya memberitahu akan membuat laporan polis sebelum dia diugut akan dicederakan.
Pelajar itu mendakwa, kira-kira jam 8 pagi semalam, ketika dia dan rakannya hendak ke bilik disiplin memaklumkan mengenai hal itu kepada pihak sekolah, guru itu bertindak menghalangnya.
Katanya, guru lelaki berusia lingkungan 40-an itu terus menamparnya di bahagian leher dan meminta mangsa tidak ke bilik disiplin dan menamparnya sekali lagi di bahagian muka.
“Kejadian dileraikan beberapa guru lain selepas guru lelaki terbabit bertindak membaling sebuah kerusi ke arah saya.
“Guru terbabit turut membawa lapan lagi rakannya masuk ke dalam sekolah dipercayai untuk memukul saya, namun saya terselamat kerana pekerja kantin memaklumkan perkara itu terlebih dahulu sebelum saya tiba di kantin,” katanya.
Pelajar berkenaan berkata, untuk tujuan keselamatan diri, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam, semalam.
Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar berkata, pihaknya kesal atas tindakan guru itu membawa masuk orang luar untuk ‘menyelesaikan’ kes anaknya di sekolah.
“Masalah yang berlaku adalah antara anak saya dengan guru itu kenapa babitkan orang luar?.
“Saya minta pihak sekolah dan agensi berwajib ambil tindakan dan memantau perkara ini,” katanya.
Menyorok bawah katil papan elak ditangkap Imigresen
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Mohammad Azlan Jawawi
Salah seorang wanita warga asing yang ditangkap ketika sedang menyorok bawah katil papan buatan sendiri.
AYER KEROH - Bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa, dua wanita warga asing sanggup menyorok bawah lantai dan katil papan buatan sendiri di dalam sebuah rumah kongsi di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua wanita yang berusia 20 dan 25 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap selepas penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri tergerak hati untuk menyelak papan lantai dan katil lalu terlihat rambut mdan kaki milik seseorang ketika serbuan dilakukan kirakira jam 1.30 pagi.\
Menurut Timbalan Pengarah JIM negeri, Mohammad Azlan Jawawi, seramai 13 pegawainya yang mahu beredar selepas selesai memeriksa 15 lelaki warga Indonesia mempunyai dokumen perjalanan yang sah sempat menyelak dan mengangkat papan berkenaan sebelum menemui dua wanita itu di dua tempat berasingan,
“Hasil pemeriksaan terhadap mereka yang mendakwa sebagai isteri kepada dua lelaki yang tinggal di rumah kongsi berkenaan mendapati mereka tiada sebarang dokumen perjalanan,” katanya.\
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.
Mohammad Azlan berkata, dua wanita terbabit antara 15 yang ditahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 60 warga asing dalam operasi di sekitar negeri ini.
Menurutnya, operasi selama lebih lima jam berakhir jam 3.30 pagi semalam itu dijalankan di Batu Berendam, Sungai Udang dan Masjid Tanah, Alor Gajah membabitkan pemeriksaan di premis, rumah dan pusat hiburan.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana miliki dokumen yang dipalsukan.
Tercampak atas rumah orang
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Lim Wee Meng
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membantu mengangkat mangsa yang mati serta-merta di tempat kejadian.
ALOR GAJAH – Kemalangan di Jalan Gangsa, Durian,Tunggal, dekat sini semalam menyebabkan tempat duduk sebuah motosikal tercampak atas bumbung sebuah rumah.
Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggangi Lim Wee Meng, 21, dari arah pekan Durian Tunggal ke bandar Melaka bertembung dengan pacuan empat roda dipandu Mah Ah Lek, 62, dari arah bertentangan.
Bukan itu saja, pacuan empat roda terbabit turut dirempuh sebuah lori dari belakang.
Mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum hilang kawalan, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan menyebabkan dia mati serta merta di tempat kejadian.
Sementara itu, saksi kemalangan, Ali Ahmad, 43, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai makan berdekatan sebelum terdengar bunyi dentuman dan berlari untuk melihat.
"Saya lihat mangsa sudah tercampak di tepi jalan, kirakira dua meter dari motosikalnya.
Manakala, tempat duduk motosikal tercampak ke atas bumbung sebuah rumah\ penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.
Menurut Ali, dia bersama orang ramai mendekati mangsa hendak membantu, bagaimanapun mangsa cedera parah di kepala dan tidak memberi sebarang tindak balas ketika dipegang.
Katanya, pacuan empat roda dipandu seorang warga emas berhenti di tengah jalan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Melihat keadaan mangsa tidak sedarkan diri dan mengesyaki sudah meninggal dunia, anak saya mengambil selimut dan menutupi mayat yang dalam keadaan pakaian sudah koyak,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Lim Lai Heng, 52, menyedari kemalangan itu ketika dalam perjalanan menghantar anak sulungnya ke klinik berhampiran.
"Semasa dalam perjalanan, saya terserempak dengan kemalangan dan mula berasa tidak sedap hati apabila melihat motosikal seakan-akan milik anak saya atas jalan.
“Bila saya selak selimut yang menutupi tubuh mangsa kemalangan, sangkaan saya benar anak saya meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan.
Misteri lelaki hilang terjawab
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
10 November 2012
Abd Ghani Abdullah
Asiah mencium pipi suaminya, Abd Ghani sambil dikelilingi anak-anaknya. Abd Ghani hilang selama dua hari setelah dikatakan 'diganggu' lembaga hitam.
ALOR GAJAH - Misteri kehilangan seorang lelaki yang meninggalkan keretanya dalam keadaan mencurigakan di tebing tali air Sungai Malim, Selasa lalu terungkai apabila dia selamat pulang ke rumahnya, di Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak, petang kelmarin.
Menurut Abd Ghani Abdullah, 52, dia dihantar pulang setelah dipulihkan oleh seorang kenalan yang menemuinya dalam keadaan separuh sedar akibat terjatuh di tepi sungai, Isnin lalu.
Menceritakan semula detik- detik cemas yang dilaluinya, Abd Ghani berkata, segalanya bermula ketika dia sedang duduk di atas kerusi batu di situ sambil menunggu rakannya yang berjanji untuk memancing bersama.
“Sambil menunggu kawan saya sampai, saya dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apabila bulu roma berdiri. Ketika itu hari sudah senja kerana saya keluar rumah pun sudah melewati jam 6.45 petang.
“Tiba-tiba satu lembaga hitam bertubuh besar datang dari arah belakang dan cuba menolak saya, namun nasib baik saya sempat elak dan terjatuh ke tepi,” katanya.
Abd Ghani yang merupakan seorang pekerja kontrak berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar sebaik sahaja terjatuh.
“Apa yang saya tahu, dalam keadaan mamai itu, saya dihampiri seorang kenalan yang kemudian membawa saya menaiki motosikal pulang ke rumahnya,” katanya yang mendakwa dirinya pengsan selepas itu sehinggalah jam 10 keesokan paginya.
Apabila terjaga, katanya, dia terus bertanya kepada rakannya itu apa yang telah berlaku.
“Kenalan saya itu beritahu saya berada di rumahnya di Taman Merdeka. Katanya, dia dah keluarkan 'benda kotor' dalam badan saya.
“Kira-kira jam 1.20 petang, saya yang sudah pulih sepenuhnya dihantar pulang ke rumah.
Saya memang tak dapat nak menghubungi keluarga kerana telefon bimbit saya kehabisan bateri,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, selama ini dia memang tidak minat memancing namun pada hari tersebut dia pergi ke tebing tali air Sungai Malim bagi memenuhi permintaan rakannya.
Sementara itu, isterinya, Asiah Abdullah, 48, berkata, dia yang berada di dalam rumah petang kelmarin terkejut dengan jeritan anak-anak yang memberitahu ayah sudah pulang.
“Saya bersyukur dan ternyata Allah memakbulkan doa kami sekeluarga yang tidak henti-henti solat Hajat.
“Apa yang penting, suami saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan P R Gunarajan berkata, kes yang diklasifikasikan sebagai orang hilang itu kini telah selesai.
“Kes lelaki yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditutup selepas dia pulang ke rumahnya, tengah hari semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan kehilangan Abd Ghani selepas seorang pekerja pasar borong, Wan Sulaiman Wan Zaid, 29, menemui keretanya di tebing sungai dengan kedua-dua pintu depan terbuka dan kunci masih berada dalam kenderaan itu.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, Wan Sulaiman cuba mencari maklumat dengan menghubungi pemilik kenderaan sebelum bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada seorang penjaga kawasan berdekatan, lalu menghubungi polis.
Wanita cedera, kereta dinaiki dirempuh
Wartawan Sinar Harian
9 November 2012
Norliana Suparman
Mangsa diusung ke ambulan JPAM selepas selamat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
ALOR GAJAH - Seorang wanita cedera apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu dirempuh sebuah Proton Satria GTI ketika membuat pusingan 'U' di jalan Rantau Panjang, Masjid Tanah, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Norliana Suparman, 29, bersama saudaranya keluar dari sebuah lorong membelok ke kanan memasuki laluan menuju ke Ayer Paabas.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa secara tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrihan Alias, 24, dari Masjid Tanah tidak sempat mengelak dan terpaksa merempuh kereta dinaiki mangsa.
Shahrihan berkata, dia gagal mengelak dan terpaksa merempuh kereta mangsa.
"Saya bersama orang awam cuba membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut.
"Mujur tidak lama kemudian anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat tiba bersama ambulans dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah membantu mengeluarkan serta merawat mangsa," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, PBK 2 Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.38 petang memaklumkan mangsa masih tersepit dalam kereta.
“Setiba di lokasi kejadian bersama lima anggota dengan sebuah jentera mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan bomba mengambil masa kurang lima minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Bomba merenggangkan bahagian pintu kereta berkenaan sebelum membawa mangsa keluar dan menyerahkan kepada anggota JPAM untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang kelmarin.
Rakan melambung di simpang
NORIZZAH BAHARUDDIN
9 November 2012
Mohd Izuan Johari
Polis memeriksa keadaan mangsa yang tertangkup atas jalan raya.
ALOR GAJAH - “Saya nampak objek melambung berdekatan persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari rakan terbabit dalam kemalangan,” kata Islami Hisham, 18, menceritakan insiden kemalangan maut melibatkan rakannya, seorang pekerja restoran makanan segera di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Lebuh Ayer Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Mohd Izuan Johari, 24, dari bandar Melaka ke Melaka Pindah sebelum motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang hilang kawalan melanggar pembahagi jalan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya melambung sebelum kepala Mohd Izuan terhentak pada lampu isyarat dan tercampak ke laluan bertentangan.
Islami yang merupakan saksi terawal kejadian berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paya Datuk sebelum menyedari terdapat objek melambung di hadapan.
"Saya duduk di sebelah pemandu meminta rakan memperlahankan kereta untuk mengamati objek berkenaan sebelum terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tertangkup atas jalan.
"Sebaik keluar kereta saya terkejut lihat mangsa adalah rakan saya sendiri," katanya.
Menurutnya, dia yang panik melihat mangsa tidak sedarkan diri mengalihkan motosikal yang tercampak beberapa meteri.
"Saya kemudiannya cuba menghubungi keluarga mangsa namun gagal sebelum segera ke rumahnya di Melaka Pindah bagi memaklumkan kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Mohamad, 51, berkata, mangsa keluar dari rumah untuk ke bandar Melaka kira-kira 12 tengah malam semalam sebelum terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang.
“Ketika rakannya datang ke rumah memaklumkan kejadian, saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan menyangka rakan datang untuk menjemput saya ke tempat kerja seperti biasa setiap pagi,” katanya.
Zaiton berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah terkejut apabila dimaklumkan anak keduanya dari tiga beradik itu terbabit dalam kemalangan tanpa menyangka anaknya itu terkorban.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
APMM tumpas cubaan seludup
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Abdul Razak Johan
Daging beku yang cuba diseludupkan ke negara jiran melalui perairan negara.
LUMUT- Hasil rondaan dan penguatkuasaan rutin secara berterusan oleh Bot Kilat yang berpangkalan di Lumut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar daging beku seberat 12 tan, awal pagi kelmarin.
Ketua Penguat kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan memaklumkan, tangkapan dibuat di kawasan dua batu nautika arah barat laut dari Tanjung Lumba-Lumba, perairan
Hutan Melintang.
Menurutnya, semasa rondaan dibuat, Bot Kilat telah mengesan sebuah bot kargo 'barter trade' dalam keadaan mencurigakan.
"Berlaku kejar mengejar antara Bot Kilat dengan bot kargo 'barter trade' terbabit sehingga ia berjaya dipintas dan ditahan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati bot kargo 'barter trade' berkenaan membawa muatan penuh daging beku yang disimpan di bahagian kargo tanpa mempunyai dokumen yang sah bagi membawa muatan berkenaan keluar dari kawasan pendalaman Hutan Melintang," katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.
Abdul Razak berkata, lima awak-awak rakyat Indonesia turut ditahan dalam operasi yang dilaksanakan pada jam 2 pagi itu untuk siasatan lanjut.
Beliau turut memaklumkan, tangkapan berkenaan merupakan kejayaan terbesar APMM dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan setakat ini.
"Daging beku yang dirampas dianggarkan bernilai RM150,000 dan dipercayai dibawa masuk dari India ke dalam negara ini secara sah sebelum dibungkus untuk diseludupkan ke negara jiran.
"Kita percaya Malaysia dijadikan sebagai transit sementara daging beku berkenaan untuk diseludup keluar," katanya.
Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Dua pasangan diberkas Jaij
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
Mohd Khalil Md Noor
Mohd Khalil Md Noor
KLUANG – Dua pasangan dicekup Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) daerah Kluang dalam satu operasi yang diadakan di sebuah hotel di sini, petang kelmarin.
Serbuan tersebut dijalankan kira-kira jam 6 petang berikutan terdapat aduan daripada orang ramai wujudnya kegiatan pelacuran di hotel bajet berkenaan. Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, berdasarkan aduan diterima seramai 10 anggota Jaij dan pegawai Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan serbuan.
“Hasil serbuan itu, dua pasangan berjaya diberkas di dua bilik berasingan. Serbuan di bilik pertama, Jaij berjaya tahan lelaki warga Indonesia berusia 58 tahun yang beragama Islam bersama pasangannya bukan Islam berusia 42 tahun.
“Lelaki Indonesia itu sudah berkahwin dan telah melanggan pelacur wanita dengan bayaran sebanyak RM30.
“Manakala, di bilik kedua, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama seorang pelacur bukan Islam berusia 44 tahun turut ditahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian,
semalam.
Mohd Khalil berkata, lelaki Melayu yang ditahan itu merupakan kakitangan kerajaan yang berasal dari Mersing datang ke Kluang untuk melanggan pelacur.
"Aktiviti pelacuran di hotel berkenaan akan menjadi rancak setiap kali tiba waktu gaji apabila ramai pelanggan akan datang ke hotel tersebut.
“Ini kerana hotel itu menawarkan harga murah bagi sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan pelacur.
“Bagaimanapun, pihak Jaij akan mengadakan operasi seumpama ini sepanjang masa bagi menangani masalah pelacuran di daerah ini.
“Hasil soal siasat dijalankan, kedua-dua lelaki itu akan di dakwa di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Manakala kedua-dua wanita yang ditahan itu dibebaskan selepas keterangan diambil kerana mereka bukan Islam,” katanya lagi.
Pengarah CIA letak jawatan, jalin hubungan sulit
Wartawan Sinar Harian
10 November 2012
David Petraeus
David Petraeus, orang kanan yang mengetuai agensi risikan terbesar Amerika Syarikat, meletakkan jawatan sebagai Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA)
WASHINGTON - David Petraeus, orang kanan yang mengetuai agensi risikan terbesar Amerika Syarikat, meletakkan jawatan sebagai Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) semalam atas alasan menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita, yang didakwa sebelum ini menulis buku tentang dirinya.
Laporan media menyebut Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ada maklumat menunjukkan Petraeus ada hubungan dengan Paula Broadwell.
 
Siasatan kini bertumpu sama ada hubungan itu mendatangkan risiko ke atas keselamatan negara.
 
Petraeus, 60, pernah dipuji oleh semua parti politik tidak kira ideologi. Beliau mengetuai CIA sejak September 2011.
 
Bagaimanapun FBI tidak menyiasat salah laku pengarah itu.
 
Sebaliknya memberi tumpuan sama ada Petraeus kemungkinan diugut atau diletakkan dalam keadaan "terdesak" sehingga boleh memudaratkan keselamatan negara.
 
Petraeus memaklumkan kepada Presiden Barack Obama keputusan mahu meletakkan jawatan kelmarin.
 
"Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya telah memperlihatkan satu penilaian yang buruk dengan mengadakan hubungan luar nikah.
 
"Hubungan sedemikian tidak boleh diterima, kedua-dua selaku seorang suami dan sebagai seorang pemimpin organisasi seperti kita," kata Petraeus dalam surat terbukanya kepada rakan sekerjanya.
 
Ia menggariskan keputusan beliau meletakkan jawatan.
 
 
Broadwell dikatakan telah menghabiskan masa selama setahun menemu bual Petraeus di Afghanistan untuk menulis bersama buku bertajuk All In: The Education of General David Petraeus.
 
Laporan CNN menyebut tidak pasti sama ada Broadwell adalah wanita yang dikatakan mengadakan hubungan.
 
Sumber-sumber berkata wanita yang dimaksudkan bukan seorang anggota wanita ataupun kakitangan CIA.
 
 
Berikut kandungan surat terbuka berkenaan dengan keputusan letak jawatan
 
9 November 2012

Yesterday afternoon, I went to the White House and asked the President to be allowed, for personal reasons, to resign from my position as D/CIA. After being married for over 37 years, I showed extremely poor judgment by engaging in an extramarital affair. Such behavior is unacceptable, both as a husband and as the leader of an organization such as ours. This afternoon, the President graciously accepted my resignation.

As I depart Langley, I want you to know that it has been the greatest of privileges to have served with you, the officers of our Nation’s Silent Service, a work force that is truly exceptional in every regard. Indeed, you did extraordinary work on a host of critical missions during my time as director, and I am deeply grateful to you for that.

Teddy Roosevelt once observed that life’s greatest gift is the opportunity to work hard at work worth doing. I will always treasure my opportunity to have done that with you and I will always regret the circumstances that brought that work with you to an end.

Thank you for your extraordinary service to our country, and best wishes for continued success in the important endeavors that lie ahead for our country and our Agency.


With admiration and appreciation,

David H. Petraeus
 
* Dipetik dari CNN

No comments:

Post a Comment