Monday, November 5, 2012

SABARLAH BILA ALLAH BERI UJIAN KEPADA KITA

Penduduk New York masih terjejas


SEBUAH rumah yang musnah masih belum dibaiki di Pantai Union, New Jersey kelmarin.


NEW YORK - Kekurangan bekalan petrol dan diesel semalam menjejaskan usaha-usaha pemulihan di lokasi yang dilanda taufan Sandy pada minggu lalu.
Bagaimanapun, bekalan elektrik kembali pulih di kebanyakan kawasan Manhattan kelmarin selepas banjir melanda kawasan perumahan.
"Manhattan tidak lagi kelihatan seperti bandar hantu," kata seorang jurucakap syarikat elektrik Con Edison, Bob McGee.
Para kakitangan syarikat itu berusaha untuk memulihkan bekalan di sekolah yang dijangka dibuka semula pada hari ini.
Menurut Gabenor New York, Andrew Cuomo, kira-kira 40 peratus penduduk tidak akan mendapat bekalan elektrik selama seminggu lagi.

SEJUMLAH penduduk menunggu untuk memperoleh bekalan petrol percuma di Brooklyn, New York kelmarin.


Ketiadaan bekalan elektrik itu akan menyebabkan penduduk tidak dapat menggunakan alat pemanas ketika cuaca sejuk melanda.
Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS), kira-kira 550,000 penduduk tidak mendapat bekalan elektrik di Pulau Long.
Sementara itu, polis di New Jersey meningkatkan angka kematian kepada 22 orang sekali gus menjadikan jumlah korban taufan tersebut di AS ialah 109 orang.
Para pegawai di sini turut mengumumkan bahawa beberapa buah trak tentera akan membawa 38 liter minyak untuk diberikan kepada para pemandu secara percuma.
Taufan itu melanda kawasan Pantai Timur AS sehingga hampir menenggelamkan bandar raya ini pada Isnin lalu. - Agensi

Pilihan raya AS dijangka sengit


BEKAS presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton (kiri) mengangkat tangan Obama (tengah) pada satu kempen pilihan raya di Bristow, Virginia kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON - Pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung esok dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam sejarah negara ini.
Pada pilihan raya itu, Presiden AS, Barack Obama mempertahankan jawatannya buat kali kedua dengan menentang bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney daripada parti Republikan.
Obama daripada parti Demokrat memenangi pilihan raya presiden AS pada tahun 2008 dengan menewaskan pencabarnya daripada parti Republikan, Senator John McCain.
Satu tinjauan pendapat yang disiarkan Wall Street Journal/NBC News semalam menunjukkan Obama memperoleh sokongan sebanyak 48 peratus manakala Romney mendapat 47 peratus.
Tinjauan pendapat itu dilakukan terhadap 1,475 pengundi di seluruh negara.
Obama dan Romney yang juga seorang jutawan menggunakan hari-hari terakhir untuk berkempen di beberapa buah negeri sebelum pengundian berlangsung.
Presiden AS itu akan berkempen di New Hampshire, Florida, Ohio dan Colorado.
Romney pula akan berkempen di Iowa, Ohio, Pennsylvania dan Virginia.
Presiden AS dipilih bukan melalui undi popular tetapi sebaliknya mereka perlu memenangi 270 undi pemilih untuk menduduki White House.
Dalam satu tinjauan pendapat terbaharu ABC News/Washington Post semalam, Obama dan Romney memperoleh sokongan yang sama banyak iaitu 46 peratus.
Tinjauan pendapat itu mendapati ramai golongan muda dan wanita yang menyokong Obama.
Golongan tua pula lebih berminat memberi sokongan kepada Romney.
Pada hari-hari terakhir kempen, Obama meminta beliau diberikan mandat sekali lagi bagi membolehkannya menyelesaikan semua kerja-kerjanya. - Agensi

12 cedera bom meletup dekat hotel di Damsyik

SEBUAH bangunan kesatuan sekerja turut rosak dalam serangan bom kereta di Damsyik semalam.


DAMSYIK, Syria - Sebuah bom kereta meletup berhampiran hotel Dama Rose yang terletak di pusat bandar Damsyik semalam menyebabkan beberapa orang cedera, lapor sebuah stesen televisyen propemerintah.
Letupan kuat itu menggegarkan hotel itu dan menyebabkan kebanyakan tingkap hotel pecah, lapor stesen televisyen Ikhbariyeh TV.
Hotel itu pernah digunakan oleh pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika melawat Syria.
Menurut laporan televisyen itu, bom berkenaan diletakkan di bawah sebuah kereta dekat bangunan kesatuan sekerja.
Seorang ketua kesatuan sekerja, Mohammad Azouz memberitahu agensi berita The Associated Press, sekurang-kurangnya 12 orang cedera akibat terkena serpihan kaca dan dua daripada mereka parah.
Pertempuran antara kumpulan penentang dengan tentera Syria bermula sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.
Para penentang itu mahu Presiden Syria, Bashar Al-Assad digulingkan kerana gagal untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara. - Agensi

Makam puteri Firaun ditemui


TIGA ukiran patung ditemui di makam Puteri Nebti di selatan Kaherah baru-baru ini.


KAHERAH - Sekumpulan ahli arkeologi Republik Czech menemui makam seorang puteri Firaun yang berusia 4,500 tahun di selatan bandar raya ini.
Makam Puteri Shert Nebti itu dikelilingi kubur empat pegawai tinggi di Kompleks Abu Sir berdekatan piramid Saqqara.
Penemuan itu didedahkan Ketua Jabatan Mesir dan Yunani-Romawi, Kementerian Antikuiti, Mohammed El-Bialy kelmarin selepas ia ditemui baru-baru ini.
Terdapat empat tiang batu di makam puteri tersebut.
Inskripsi pada tiang itu menunjukkan puteri berkenaan merupakan anak perempuan Raja Men Salbo.
Tapak makam itu kini ditutup bagi mengelak kehadiran orang awam.
Bagaimanapun, Mohamed berkata, kerja-kerja penggalian di lokasi tersebut masih lagi di peringkat awal. - AP

10 anggota bomba disambar api


AZMI (kanan) melawat anggotanya yang parah ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.


SEORANG anggota bomba berada dalam keadaan cemas setelah api menyambar pakaiannya di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Operasi memadam kebakaran oleh sepasukan anggota bomba di sebuah kilang tayar yang tidak beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini bertukar malang apabila 10 orang daripada mereka mengalami kecederaan.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi semalam apabila sebuah tangki minyak silinder yang terletak di bahagian belakang kilang tersebut tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan api menyambar anggota terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman memberitahu, ada empat tangki minyak silinder di tempat tersebut dengan dua daripadanya mengalami kebocoran dan terbakar dengan salah satu daripadanya meletup.
"Minyak silinder yang berada di dalam dua buah tangki tersebut bocor dan tumpah sebelum mengenai api yang masih menyala menyebabkan kebakaran menjadi marak sehingga api tersebut menyambar 10 anggota kita yang sedang berusaha memadamkan kebakaran.
"Tujuh daripada anggota yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala, selebihnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, dekat sini. Lima daripada mereka melecur dengan agak serius," katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika operasi memadam kebakaran tersebut hampir selesai.
Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.11 pagi dan seramai 39 pegawai dan anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Darulnaim dan Tunjung telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Azmi, antara kecederaan yang dialami anggotanya ialah melecur pada muka, tangan, leher dan badan.
Pegawai dan anggota bomba yang mengalami kecederaan serius ialah Pegawai Kanan Bomba I (PBK I), Abdullah Din Mohamed; PBK II, Nazah Nafi; Pegawai Bomba (PB), Wan Asri Wan Yaacob, PB Zulkifli Mahmad dan PB Abdul Razak Abdullah.
Sementara itu, lima lagi yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar ialah Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusmar Mat Yusoff, PB Mohd. Zakee Daud, PB Rohanizam Othman, PB Mohd. Fathir Mohd. Jusoh dan PB Mohd. Shaiful Fitri.
Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya kira-kira pukul 8.10 pagi dan terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasi kilang tersebut dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.
"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan," ujarnya.

Cucu saksi nenek dibunuh


ORANG ramai berkumpul di rumah tempat Sadariah ditemui mati akibat dibunuh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila menyaksikan bagaimana neneknya dibunuh oleh dua penyamun yang memecah masuk rumah kedai warga emas itu di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini semalam.
Mohd. Hafizul Azuan Mohd. Aznan, 17, masih tidak dapat melupakan tragedi yang meragut nyawa Sadariah Tohbasar@Ahmad, 65, walaupun perompak hanya memasuki rumah mereka selama 10 minit sebelum melarikan diri bersama bekas berisi barang kemas dan wang RM500.
Mohd. Hafizul tinggal bersama keluarganya di Sungai Besar, dekat sini dan hanya menemani Sadariah pada setiap hujung minggu.
Sadariah merupakan bekas guru Jabatan Kemajuan Masyarakat dan mengusahakan perniagaan menjahit pakaian sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu dan tinggal sendirian.
Mengimbau semula kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Hafizul memberitahu, dia yang sedang tidur di ruang tamu bersama neneknya terjaga selepas merasakan tubuhnya dihempap sesuatu dan mukanya ditumbuk.
Katanya, perompak bertopeng itu kemudian mengacukan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya diam manakala seorang lagi menumbuk muka neneknya kerana menjerit sebelum ditekup dengan bantal.
“Penjenayah kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik untuk mencari barangan berharga sebelum saya yang ketakutan menyerahkan satu bekas berisi barang kemas termasuk cincin dan gelang emas serta wang RM500.
“Selepas itu, saya dibawa keluar dari bilik dan melihat muka nenek masih ditekup. Penjenayah kemudian mengikat tangan dan kaki kami dengan tali manakala mulut nenek diikat dengan tuala good morning selain mukanya ditutup dengan selimut,” cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar itu.
Tambahnya, selepas melepaskan ikatan sebaik penyamun itu melarikan diri, dia telah menghampiri Sadariah sebelum mendapati warga emas itu tidak lagi bernyawa.
Menurut Mohd. Hafizul, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di sebuah restoran.
“Kedua-dua penjenayah itu bertubuh kurus dan tinggi serta bertopeng dan memakai sarung tangan. Perompak hanya mengeluarkan tiga patah perkataan iaitu diam, ambil barang dan bergerak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, berdasarkan kenyataan cucu mangsa, siasatan awal mendapati warga emas itu mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasak kuih dan mengukus roti untuk dijual di kedai berhampiran. Kita percaya Sadariah menjadi mangsa selepas dia menjerit manakala cucunya terselamat kerana dia diam dan tidak melawan,” ujarnya yang masih belum membuat sebarang tangkapan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Masri Md. Hassan di talian 03-322 42613 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

Mati dikelar dalam teksi


ANGGOTA polis memeriksa sebuah teksi selepas menemui mayat pemandunya mati akibat dibunuh di Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pekerja syarikat penyelenggaraan Alam Flora terkejut apabila menemui mayat seorang pemandu teksi dalam keadaan lehernya dikelar dan tangan kirinya mempunyai kesan terbakar di tempat duduk kenderaan tersebut di Jalan Tun H. S. Lee di sini kelmarin.
Mayat S. Nallan, 26, ditemui pada pukul 12.44 tengah malam oleh pekerja tersebut selepas pelik melihat teksi itu berasap sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketika ditemui, polis mendapati mulut mangsa disumbat dengan kain manakala bajunya turut dibakar penjenayah hingga menyebabkan terkena tangan kirinya.
Katanya, siasatan lanjut menemui kesan kelar di leher, tikaman di dada dan belakang badan mangsa.
“Polis tidak menemui senjata dan dokumen pengenalan diri mangsa. Pemeriksaan mendapati dompet dan telefon bimbit miliknya tiada bersamanya.
“Teksi yang dipandu mangsa didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang dan ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu yang direbahkan,” katanya yang memberitahu api dipadamkan oleh bomba beberapa minit kemudian.
Tambahnya, polis akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup dari premis berdekatan dengan tempat kejadian untuk mengesan suspek.
Menurut Zainuddin, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

4 penjenayah tegar dicekup

AHMAD bersama pegawai-pegawainya menunjukkan barang kes yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Polis melumpuhkan kegiatan satu kumpulan penjenayah berbahaya yang sering menggunakan senjata api apabila memberkas empat lelaki dalam operasi di sekitar Sungai Petani dekat sini Khamis lalu.
Suspek-suspek berusia antara 24 hingga 39 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan ah long dan pembunuhan tersebut diberkas selepas polis menjalankan siasatan ke atas satu kes melepaskan tembakan di Lorong 2/28 Bandar Puteri Jaya pada pukul 2.30 pagi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semakan mendapati kesemua suspek terlibat dalam kes jenayah berat sejak 10 tahun lalu dan mempunyai sehingga 14 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan curi.
Katanya, dalam kejadian itu, dua lelaki telah memecahkan pintu dengan menggunakan kayu besbol sebelum pemilik rumah bersama seorang rakannya menjerit.
“Salah seorang suspek kemudian telah melepaskan tiga das tembakan namun tersasar sebelum dua mangsa itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord.
“Mereka kemudian dikejar oleh dua suspek berkenaan yang menaiki dua buah kereta BMW dan Proton Waja sebelum penjenayah melepaskan dua tembakan lagi namun tersasar,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Tambahnya, mangsa kemudian menuju ke Pondok Polis Puteri Jaya manakala suspek melarikan diri. Polis yang menjalankan siasatan kemudian dapat menahan pemandu Proton Waja berusia 39 tahun berkenaan di kawasan berhampiran tujuh jam kemudian.
Menurut Ahmad, pemeriksaan mendapati kereta itu dicuri di Sungai Petani pada 24 September lalu selain menemui sebilah pisau pemotong daging, dua tong petrol, satu botol gas serta jaket hitam.
“Soal siasat mendapati kejadian itu berpunca daripada ah long. Kira-kira satu jam kemudian, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan merampas dua pucuk pistol angin berserta dua magazine,” katanya.
Ujar Ahmad, polis kemudian memberkas pemilik rumah berusia 36 tahun pada pukul 1.30 petang dan merampas sepucuk Revolver .38, enam butir peluru dan pedang samurai di sebuah rumah di SP Heights.
“Lelaki itu dikehendaki bagi satu kes mendatangkan cedera pada 2007. Polis kemudian menahan rakan pemilik rumah berkenaan yang berusia 36 tahun pada pukul 4 petang, Sabtu lalu,” katanya.
Kesemua yang ditahan mengenali antara satu sama lain.
Sehubungan itu, polis kini mencari seorang lelaki, Yeoh Choon Wah, 34, alamat terakhir di No. 21, Lorong Beringin 1, Taman Beringin, Sungai Petani bagi membantu siasatan.

Banjir di Tehel, 19 keluarga pindah


SITI ROHANI Roslan yang sarat mengandung dan suaminya, Ibrahim Md. Top berehat di penempatan sementara banjir di Sekolah Kebangsaan Tehel, Melaka semalam.


MELAKA – Hujan lebat selama tiga hari berturut-turut menyebabkan 91 mangsa daripada 19 keluarga di Tehel di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka dinaiki air hampir satu meter malam kelmarin.
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jafri Mohamed berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dan mereka dibekalkan pelbagai barangan keperluan seperti selimut, kain, makanan ringan, tikar, minuman dan sebagainya.
“Mereka mula dipindahkan pada pukul 8 malam ekoran hujan lebat lebih tiga jam sehingga menyebabkan air Sungai Kesang melimpah ke dalam rumah mangsa.
“Setakat ini, tidak ada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan menimpa mangsa banjir di Tehel dan mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sehingga banjir surut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ujarnya, kesemua mangsa dipantau kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambahnya, sebelum ini, dua pusat pemindahan di Balai Raya Selandar dan SK Selandar di sini ditutup apabila lima keluarga yang ditempatkan di situ dan dua keluarga di Balai Raya Selandar telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 9 pagi semalam.
Katanya lagi, Bilik Gerakan Banjir Negeri di Kota Cemerlang sudah mula beroperasi selama 24 jam bagi memantau kejadian banjir di seluruh negeri.
“Disebabkan cuaca yang tidak menentu apatah lagi pada musim tengkujuh ini, semua agensi penyelamat sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi tugas-tugas menyelamat,” katanya.
Jafri memberitahu, pada masa yang sama, segala persiapan seperti bot, bekalan makanan dan segala keperluan berkaitan telah disediakan dan meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya bersiap sedia jika diarah berpindah.
“Semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung juga sudah diarah memaklumkan segera kepada Bilik Gerakan Banjir Negeri jika berlaku banjir di kawasan mereka,” katanya.



Kawal pekerja asing di JB


NUR JAZLAN (kanan) menaiki jentera skylif untuk memotong dahan pokok ketika menyertai program Jom Cuci JB di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Bandar raya Johor Bahru memerlukan pelan penempatan pekerja asing yang komprehensif bagi menampung kebanjiran mereka berikutan pembangunan pesat yang berlaku akibat projek Iskandar Malaysia.
Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pekerja asing terbabit perlu ditempatkan di hostel khas dan diawasi rapi oleh polis dan Jabatan Imigresen.
"Jikalau kita membiarkan mereka (pekerja asing) menginap di mana-mana sahaja tanpa kawalan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah. Jika kita tidak dapat mengesan di mana mereka berada, kita juga tidak akan tahu apa aktiviti mereka," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian selepas menghadiri program Jom Cuci JB anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru di Taman Sri Bahagia di sini.
Menurut Nur Jazlan, terdapat banyak dakwaan mengatakan warga asing di negara ini terlibat dalam kegiatan jenayah dan pembinaan hostel-hostel itu juga merupakan salah satu usaha untuk membanteras kegiatan terbabit.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil peranan untuk membina hostel-hostel pekerja asing itu dengan bayaran dikenakan terhadap syarikat-syarikat yang menggunakan kemudahannya.
Katanya, diharapkan menerusi kewujudan hostel-hostel ini pihak berkuasa dapat mengawal pergerakan pekerja asing, sekali gus membantu mengenal pasti mereka yang melakukan jenayah.
Beliau memberi contoh mengenai banyak taman perumahan lama di Johor Bahru termasuk di Taman Sri Bahagia yang dilawatinya semalam, kini didiami oleh pekerja asing menyebabkan pertembungan budaya dengan warga tempatan.
"Budaya asing yang dibawa oleh mereka (pekerja asing), mengganggu penduduk tempatan dan menjejaskan tahap kebersihan taman perumahan," katanya.
Sejak dilancarkan pada 2006, Iskandar Malaysia yang berkeluasan lebih 2,200 kilometer persegi atau tiga kali ganda saiznya berbanding Singapura telah berjaya menarik pelaburan kumulatif sebanyak RM95 bilion.
Banyak syarikat dalam dan luar negara dalam pelbagai sektor industri sedang beroperasi di Iskandar Malaysia, menggajikan ribuan pekerja asing bagi menampung kekurangan pekerja tempatan. - Bernama

Bahana jadi setiausaha penduduk


KEADAAN kereta Myvi milik suami Chai Lin yang disimbah asid.


Oleh MAZLINA ABDUL MAJIDJOHOR BAHRU - Kelantangan seorang suri rumah memperjuangkan hak penduduk di Apartmen Bistari Impian, Taman Dato' Onn di sini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kereta Myvi milik suaminya disimbah asid dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduknya.
Menurut mangsa, Yai Chai Lin, 41, kontroversi bermula apabila dia menawarkan diri untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Apartmen Bistari Impian pada Julai lalu.
"Tujuan saya memegang jawatan itu supaya saya dapat menyuarakan beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh badan pengurusan apartmen," katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.
Hadir sama ialah Ketua Pemuda MCA, Kuo Song Tuck.
Bagaimanapun, ujar Chai Lin, dia tidak sangka langkahnya itu dipandang serong oleh sesetengah pihak.
"Keadaan menjadi bertambah panas apabila ada pihak yang berang dengan saya bila mengetahui satu mesyuarat agung tahunan akan diadakan bersama dengan semua penduduk bagi membincangkan pembaharuan yang akan dilakukan terhadap pengurusan apartmen itu.
"Makluman mengenai mesyuarat agung tahunan itu diedarkan melalui risalah dan sehari selepas itu saya dikejutkan dengan kejadian sebahagian badan kenderaan suami saya mengelupas akibat disimbah asid," ceritanya.
Dia percaya perbuatan itu dilakukan oleh orang yang tinggal di apartmen yang sama.
"Apa yang saya tahu, ada pihak kurang senang dengan tindakan saya yang banyak membangkitkan kegagalan pihak pengurusan apartmen untuk mengurus pelbagai hal termasuk isu meter air, pagar, loceng kebakaran dan yuran penyelenggaraan.
"Usaha saya itu semata-mata mahu membela nasib penduduk," ujarnya.
Berikutan kejadian itu, Chai Ling bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Johor Bahru Selatan.

No comments:

Post a Comment