Monday, November 5, 2012

AGAK2LAH JANGAN SAMPAI APA YANG KITA BUAT...MEMALUKAN DIRI SENDIRI...PATUT KITA MAKIN BERAKAL

Bakal suami 'ghaib' dakwa dirompak

NURUL menunjukkan cincin dan persiapan perkahwinannya di Kampung Bagan Darat, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Seorang wanita terpaksa menanggung malu dan mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas majlis perkahwinannya terpaksa dibatalkan gara-gara lelaki yang bakal menjadi suaminya tidak muncul pada hari pernikahan mereka.
Ekoran tindakan lelaki itu, majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan pada Jumaat lalu di rumah pengantin perempuan terpaksa ditukar menjadi kenduri kesyukuran.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 23, dari Kampung Bagan Darat di sini memberitahu, dia mula menyedari dirinya ditipu setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bakal suaminya itu yang menyatakan lelaki itu dirompak di Sungai Dulang dekat sini pada Isnin lalu.
"Sepatutnya dia menyerahkan wang hantaran sebanyak RM12,000 pada Isnin lalu tetapi saya menerima SMS daripadanya mengatakan wang yang dikeluarkan dari sebuah bank sebanyak RM18,000 telah dirompak.
"Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Rengit. Bagaimanapun, ketika membuat laporan polis, dia beritahu hanya dirompak RM8,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Darat di sini semalam.

Ayamas nafi guna antibiotik Chloramphenicol dalam produk

KUALA LUMPUR - Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas) semalam menafikan dakwaan yang menyatakan syarikat itu menggunakan antibiotik yang diharamkan pihak berkuasa dalam produk ayam keluaran syarikat tersebut.
Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Ayamas, Rosniza Baharum berkata, pihaknya sangat terkejut mendengar larangan import produk ayam keluaran Ayamas ke Sarawak oleh pihak veterinar negeri tersebut kerana didakwa mengandungi antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa melaksanakan langkah kawalan kualiti yang ketat untuk memastikan semua produk keluaran Ayamas sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum dipasarkan kepada pelanggan kerana keselamatan dan kesihatan pengguna adalah keutamaan syarikat itu.

Ibu tuntut masjid serah bantuan


SARIFFAH (dua dari kiri) bersama empat daripada lima orang anaknya menunjukkan salinan laporan polis di Bandar Sunway, Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Seorang peniaga pusat kesihatan menuntut pihak pengurusan sebuah masjid di sini menyerahkan bantuan hari raya terkumpul berjumlah RM3,000 yang didakwa diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk lima orang anaknya sejak enam tahun lalu.
Sariffah Mat Nor Rashid, 45, mendakwa, pengurusan masjid berkenaan gagal menyerahkan bantuan hari raya untuk golongan anak yatim itu kepada anaknya sejak suaminya meninggal dunia akibat penyakit kronik pada tahun 2005.
"Lima anak saya yang kini berusia antara tujuh hingga 13 tahun sepatutnya menerima bantuan hari raya tersebut daripada MAIS sebanyak RM100 seorang selepas mereka menjadi anak yatim.
"Malangnya, pihak masjid tidak menyerahkan wang itu dengan alasan MAIS tidak menyalurkan bantuan hari raya untuk kelima-lima anak saya," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Berguling dalam lopak untuk padam api


MOHD. ZAKEE menunjukkan kecederaan yang dialaminya kepada rakan setugas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Anggota bomba yang disambar api, Pegawai Bomba Mohd. Zakee Daud, 39, memberitahu, dia berjaya memadamkan api pada tubuhnya setelah berguling di satu lopak air yang terletak kira-kira 25 meter dari tempat kejadian.
Menceritakan pengalaman ngeri yang menyebabkan beliau melecur di tengkuk, telinga kiri dan kanan serta pipi kanannya, Mohd. Zakee berkata, ia berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat dijangka.
“Saya ketika itu berada di bahagian bawah tangki, manakala ada tiga anggota yang berada di atas tangki. Tiba-tiba sahaja ada minyak yang terpercik ke atas dan berlaku letupan yang agak kuat.
“Letupan bersama api itu menyambar tubuh saya dan saya terus lari dari situ. Setelah berlari saya cuba berguling di atas simen tapi tidak berjaya memadamkan api tersebut.
“Saya kemudian bangkit dan berlari lagi menuju ke arah tanah yang berlopak air dan berguling di situ sehingga api padam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pelakon Ana Dahlia nafi curang


ANA DAHLIA menolak dakwaan bahawa perkahwinannya dengan Chef Riz bergolak kerana dia curang.


PETALING JAYA – Pelakon sensasi Ana Dahlia, 29, menafikan dakwaan bahawa keretakan rumah tangganya dengan chef selebriti Chef Riz disebabkan dia curang.
Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar menegaskan dia berada di pihak yang benar namun enggan mengulas mengenai status perkahwinannya.
“Memang saya ada masalah peribadi tapi tidak perlu diceritakan buat masa sekarang. Suatu hari nanti semua orang akan tahu dan buat masa ini saya tidak ingin membuka aib sesiapa.
“Saya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan orang lain jauh sekali berlaku curang. Jangan membuat andaian tanpa bukti kukuh,” katanya pada majlis ramah mesra drama bersiri Cinta Itu Milikku di sini semalam.

Penganggur dituduh bunuh bayi 8 bulan


NUR IRISYAFIDA BALKIS


BATU PAHAT – Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan atas dakwaan membunuh seorang bayi perempuan yang merupakan anak kepada teman wanitanya pada 10 Oktober lalu.
Soo Lik Duo, 34, yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalia Marsita Hamdan.
Lik Duo didakwa membunuh Nur Irisyafida Balkis Abdul Lazim, lapan bulan, antara pukul 3 petang hingga 8 malam di sebuah rumah di Taman Bistari, Tongkang Pechah di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan yang dijumpai atas siling ruang dapur di rumah yang sama pada pukul 4.10 pagi. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Amalia menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Lelaki direman


SEORANG lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Sadariah di Sabak Bernam kelmarin.


KUALA SELANGOR - Polis semakin hampir untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang warga emas di Sabak Bernam kelmarin apabila mendapat kebenaran Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman seorang penjaga lembu selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu semalam.
Perintah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Shahwira Abdul Halim bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.
Suspek berusia 24 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna oren itu ditahan di kawasan Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang iaitu selepas 12 jam pembunuhan kejam tersebut berlaku. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 90 kilometer.
Tinjauan Kosmo! mendapati pekerja ladang lembu itu tiba di mahkamah pada pukul 11.30 pagi dan beredar kira-kira 30 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, suspek didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Kebas RM200,000 dalam 5 minit


ARJUNAIDI (kiri) memperkatakan sesuatu kepada anggotanya ketika menyiasat sebuah bank yang dirompak lima lelaki di Damansara semalam.


PETALING JAYA - Lima penjenayah bersenjatakan pistol hanya mengambil masa selama lima minit untuk melarikan wang RM200,000 dari sebuah bank di Jalan Tanjung SD 13/1, Bandar Sri Damansara di sini semalam.
Kejadian pukul 2.40 petang itu turut menyaksikan seorang pensyarah perakaunan sebuah kolej swasta melalui detik cemas apabila dijadikan tebusan oleh perompak yang memakai topi terbabit.
Rompakan berlaku apabila tiga daripada empat penjenayah tersebut masuk melalui pintu depan sebelum 'menawan' dua pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek masuk selepas menyamar sebagai pelanggan.
Katanya, dua suspek kemudian mencekik dan menghentak kepala pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah kaunter untuk menakutkan 10 pelanggan dan 15 pekerja.
"Pada masa sama, seorang lagi suspek meluru ke bahagian belakang lalu melepaskan dua das tembakan amaran untuk menghalang pengawal keselamatan mengambil senjatanya sebelum mengheret mangsa ke tempat simpanan peti besi.

Hujan selama 11 jam punca banjir


SEORANG penduduk, Kharul Zaman menolak motosikal di pekarangan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Kayu Ara, Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN – Hujan selama hampir 11 jam sejak petang kelmarin menyebabkan beberapa perkampungan di sekitar daerah Hilir Perak dinaiki air awal pagi semalam sehingga memaksa 181 penduduk berpindah ke pusat penempatan sementara.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah Sungai Manik, Labu Kubong, Chenderong Balai, Langkap, Kampung Ayer Hitam, Kampung SC, Kampung Kayu Ara dan Kampung Tengah dekat sini.
Sebahagian daripada penduduk dipindahkan lewat malam kelmarin ekoran paras air naik mencecah lebih satu meter manakala selebihnya berpindah pagi semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memberitahu, setakat ini 181 penduduk melibatkan 51 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Ayer Hitam.
Beliau berkata, walaupun cuaca beransur baik pagi semalam, penduduk terlibat dinasihatkan supaya terus tinggal di pusat penempatan banjir bagi menunggu air surut sepenuhnya.

Badrulamin, 15 individu didakwa


MARZUKI menunjukkan kad jemputan bagi mempromosi aktiviti yang didakwa bertujuan menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 16 orang termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron yang ditahan semasa konsert khas yang dipercayai cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang pada malam 1 November lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Gombak Barat di Kuang dekat sini pada 20 Disember hadapan.
Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu melanggar fatwa mufti.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 12 (c) itu, kesemua mereka yang menghadiri dan meraikan majlis sambutan ulang tahun pengasas kumpulan ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya disifatkan sebagai individu yang menyokong dan membantu kumpulan tersebut.

153 orang berbogel untuk seni


SEBAHAGIAN sukarelawan yang memakai kain jarang pada sesi fotografi Tunick di negeri San Miguel de Allende kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Seorang artis seni terkenal, Spencer Tunick merakamkan gambar 153 sukarelawan yang berbogel di negeri San Miguel de Allende, Mexico kelmarin.
Ketika Tunick merakamkan gambar itu, 153 orang termasuk wanita hanya memakai kain jarang.
Gambar itu dirakamkan sempena Festival Rangka Manusia untuk memperingati Hari Kematian.
Tunick, 44, sebelum ini terkenal dengan hasil kerja seninya yang merakamkan gambar bogel melibatkan ramai orang. - Agensi

Rumah sewa Michael Jackson dijual


GAMBAR fail menunjukkan rumah yang pernah disewa Jackson di Los Angeles.


LOS ANGELES - Sebuah rumah agam yang pernah disewa dan menjadi tempat penyanyi terkenal, mendiang Michael Jackson meninggal dunia di sini akhirnya dijual pada harga AS$18.1 juta (RM54.7 juta), lapor akhbar LA Times kelmarin.
Pembeli rumah tersebut ialah seorang pengarah urusan kanan di syarikat Cerberus Capital Management, Steven Mayer.
Pemilik asal rumah itu ialah ketua eksekutif syarikat pereka pakaian jenama Ed Hardy, Hubert Guez.
Kediaman yang direka oleh Richard Landry itu mempunyai keluasan 1,580 meter persegi yang dibina pada 2002.
Ia mempunyai tujuh buah bilik tidur dan dilengkapi sebuah pawagam, lif, gimnasium, kolam renang, bilik wain bawah tanah dan sebuah rumah tetamu.
Pada Mac lalu, penyanyi Britain, Robbie Williams dilaporkan turut berminat untuk membeli rumah berkenaan.
Jackson, 50, meninggal dunia akibat pengambilan berlebihan ubat bius propofol di rumah tersebut pada 25 Jun 2009. - Agensi

Pameran hidupan laut unik di Taipei


BEBERAPA ekor udang biru.


TAIPEI - Sejumlah hidupan laut yang unik dipamerkan pada sidang akhbar semalam sebelum Ekspo Akuarium Antarabangsa berlangsung di Dewan Pameran Nangang di sini.
Lebih 100 buah tangki ikan akan dipamerkan pada ekspo itu yang akan berlangsung dari Jumaat ini hingga 12 November depan.
Antara ikan yang dipamerkan itu ialah Cichlasoma sp, udang biru dan kuda laut.
Turut dipamerkan ialah ikan bermata gelap dari Amerika Selatan yang dikenali sebagai dull eyed royal pleco berusia lebih 60 tahun dan sepanjang 60 sentimeter. - AFP

No comments:

Post a Comment