Friday, November 9, 2012

IMAN TIDAK BOLEH BERPURA2...KERANA ALLAH MAHA MENGETAHUI...JANGAN MAKSIAT DAH DIANGGAP TAK BERDOSA PULAK

Ana Dahlia tidak mahu fikir pengganti Chef Riz



KERATAN Kosmo! semalam.



KUALA LUMPUR – Pelakon Ana Dahlia, 29, yang sah bercerai dengan chef selebriti, Chef Riz setelah hubungan mereka dikatakan sudah tiada sefahaman lagi, menyatakan dirinya masih belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat ini.
Menurut Ana Dahlia, buat masa ini, dia tidak akan berfikir untuk berkahwin lain dan tidak mahu memikirkan apa-apa berhubung perkara itu.
“Penceraian itu berlaku atas ketentuan Tuhan, maaf saya tidak mahu komen apa-apa lagi,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Chef Riz, 30, atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Datuk Redzuawan mengesahkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya, Ana Dahlia, 29 yang dinikahinya pada 1 Disember 2011.
Chef Riz dalam laporan tersebut mengakui perceraian tersebut adalah disebabkan hubungannya dengan Ana Dahlia sudah tiada sefahaman selain mengambil keputusan untuk berkahwin dalam masa singkat perkenalan mereka.
Bapa kepada Chef Riz iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menyatakan dirinya sedih atas perceraian itu kerana dia sudah menganggap Ana Dahlia seperti anaknya sendiri dan berharap pasangan itu boleh rujuk semula dalam tempoh edah yang berakhir Disember depan.
Dalam pada itu, Ana Dahlia yang merupakan pelakon filem Mantra memberitahu, fokusnya kini hanya dalam bidang lakonan kerana kerjaya itu adalah sumber pendapatan kepada dirinya.
“Saya enggan komen benda lain, bilakah saya bercerai biarlah kami sahaja yang tahu,” ujarnya ringkas.

22,054 saman lampu isyarat

KUALA LUMPUR - Warga kota di Lembah Klang sanggup membazirkan wang mereka berjumlah RM6.6 juta hanya kerana sikap tidak sabar menunggu di lampu isyarat.
Sikap mereka itu menyebabkan polis Kuala Lumpur mengeluarkan 22,054 saman untuk tempoh Januari hingga September tahun ini kerana kesalahan melanggar lampu isyarat.
Bagi setiap kesalahan lampu isyarat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pesalah trafik dikenakan denda RM300.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, untuk tempoh sama tahun lepas, sebanyak 35,185 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat menjadikan jumlah saman RM10.55 juta.
"Ramai pemandu menganggap remeh terhadap menghormati lampu isyarat namun hakikatnya ia menjamin keselamatan pemandu dan melancarkan laluan trafik di ibu negara agar jalan raya tidak sesak sepanjang masa," katanya kepada Bernama.
Rusly berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan saja mengundang bahaya kepada pemandu yang melanggar lampu isyarat tetapi juga kepada pemandu lain.
"Ramai orang tak faham, lampu isyarat kuning bukan bermaksud anda perlu meningkatkan kelajuan, tetapi ia bermaksud anda perlu bersedia untuk berhenti, perlahankan kenderaan atau lebih elok, terus berhenti," katanya.
Beliau berkata, saman-saman yang dikeluarkan itu berdasarkan rakaman kamera yang diletakkan di persimpangan lampu isyarat dan oleh anggota trafik yang ditempatkan mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota.

Institusi pondok benteng pertahan Melayu-Islam



NAJIB (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada majlis pelancaran Yayasan
Pembangunan Pondok 1Malaysia di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, institusi pondok masih relevan pada masa kini kerana ia menjadi benteng dalam mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini.
"Ia berfungsi untuk mempertahankan sistem nilai dan kehidupan umat Melayu-Islam Nusantara yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPPM) di sini semalam.
Najib menarik perhatian bahawa sistem pondok memenuhi maqasid atau matlamat syariah termasuk agama, kemanusiaan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keamanan.
Katanya, ia mesti dipertahankan kerana sebagai ilmu yang disalurkan oleh institusi pondok boleh diguna dan dirujuk untuk menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pascamodenisme yang sedang berlaku.
Najib berkata, dalam menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap.
Menurut beliau, banyak buku karya besar diambil daripada teks pondok dan dibaca oleh orientalis Barat dan musuh-musuh Islam.
Justeru, beliau berkata, para ulama dan intelek Islam perlu berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh.
Pada majlis itu, Najib, yang juga penaung YPPM mengumumkan geran RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat yayasan itu.
Beliau berkata, geran itu harus digunakan untuk mengumpul bahan-bahan ilmiah, manuskrip dan jurnal serta sebarang penerbitan atau catatan berkaitan sejarah pondok, ulama pondok dan karya-karya mereka. - Bernama

Menangis lihat rumah kena roboh



STRUKTUR hadapan rumah Mariam sedang dirobohkan oleh MPPP di Lengkok Sungai Gelugor, George Town semalam.



GEORGE TOWN - Seorang warga emas hanya mampu mengalirkan air mata melihat sebahagian rumah pusaka keluarganya di Lengkok Sungai Gelugor di sini dirobohkan oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pagi semalam.
Bahagian hadapan rumah Mariam Tahir, 72, yang berusia hampir 100 tahun itu diruntuhkan oleh jentolak penguat kuasa MPPP semasa dia keluar ke pasar kira-kira pukul 9.30 pagi atas alasan dibina tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Menurut Mariam, sebaik pulang dari pasar, dia terperanjat apabila melihat pekarangan rumahnya dipenuhi anggota MPPP serta beberapa anggota polis untuk menjalankan tugas meroboh.
"Jika saya salah sekalipun, pihak MPPP sepatutnya hantar notis dahulu tetapi saya terima sekali sahaja notis (berhubung kesalahan itu) kira-kira dua tahun yang lalu dan bukannya surat untuk meroboh.
"Selepas itu saya tidak terima sebarang notis lagi, malah pagi tadi (semalam) pegawai MPPP datang dengan tangan kosong dan terus meroboh," ujarnya dengan nada sedih kepada pemberita.
Rumah papan itu merupakan harta peninggalan keluarga Mariam yang kini menjadi tempat dia dan anaknya, Haslina Hashim yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) berteduh.
Apa yang menghairankan, bahagian hadapan rumah warga emas itu sahaja yang dirobohkan manakala rumah-rumah lain di kawasan sama yang dibina struktur tambahan langsung tidak diusik penguat kuasa MPPP.
Jelas Mariam, dia amat kecewa dengan sikap pegawai MPPP dan pemimpin kerajaan negeri yang tidak prihatin dengan nasibnya.
"Saya dah tua, anak pula OKU. Kehidupan kami bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Fauzar kesal dengan tindakan MPPP yang dikatakan bersikap pilih kasih kerana meroboh rumah penduduk miskin.
"Banyak lagi rumah yang bina struktur baharu di bahagian hadapan atau belakang tetapi mengapa rumah ini sahaja dirobohkan. Kita mahu MPPP baiki semula kerosakan rumah warga emas itu," tegasnya.

Penunda kereta dijel 6 tahun



MOHD. AZRIL (depan) dan Mohd. Haswan diiring keluar daripada Mahkamah Sesyen Ampang Jaya semalam.



AMPANG JAYA – Perbuatan kejam seorang penunda kereta yang menyerang dan menetak Ketua Pemuda UMNO Kepong, Datuk Norizan Ali (gambar kecil) sehingga parah dua bulan lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Manira Mohd. Nor memerintahkan Mohd. Azril Ab. Shukur, 28, menjalani hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mohd. Azril didakwa bersama seorang lagi rakannya, Mohd. Haswan Hashim, 22, cuba membunuh Norizan, 41, dengan menyerang mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah di perut, badan dan tangan di tepi Jalan Cahaya 2, Ampang, Selangor kira-kira pukul 2.30 pagi, 24 September lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Haswan, seorang pengawal kelab malam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd. Haswan.
Dakwaan ke atas mereka dibaca mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya ke atas Mohd. Azril, Manira menjelaskan hukuman itu diputuskan demi menjaga kepentingan awam memandangkan ia kesalahan serius.
“Hukuman ini juga diharap dapat memberi pengajaran kepada kamu dan juga masyarakat di luar sana supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas orang lain,” jelas Manira.
Manira menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes ke atas Mohd. Haswan.
Pada 25 September lalu, Kosmo! melaporkan Norizan yang juga seorang kontraktor binaan, cedera parah selepas diserang dengan senjata tajam oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 2/4, Taman Dagang di sini.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika dia baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana England bersama rakan-rakan di sebuah restoran, kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.
Sementara itu, Norizan ketika dihubungi berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut namun berpendapat hukuman itu perlu dipanjangkan memandangkan ia melibatkan nyawanya.
“Kejadian itu telah menyebabkan reputasi serta maruah saya terjejas dan ia mengambil masa untuk dipulihkan. Kecederaan yang saya alami dijangka pulih dalam tempoh tiga bulan lagi dan kini saya tidak boleh melakukan kerja berat,” katanya.

Malang berganda dua penyamun



UMAR ALI menunjukkan kereta dan parang panjang yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Alor Gajah semalam.



ALOR GAJAH – Malang bagi dua penyamun apabila bukan sahaja gagal dalam dua cubaan samun malah mereka diberkas selepas kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki terlibat dalam kemalangan satu jam kemudian di Kelemak di sini kelmarin.
Bersama suspek berusia 19 dan 25 tahun itu, polis menemui sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam cubaan samun tersebut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kejadian pertama berlaku pukul 11.30 malam apabila suspek cuba menyamun seorang pemilik kafe siber di Kelemak di sini yang hendak menutup premisnya.
Katanya, mangsa bagaimanapun terselamat apabila berjaya melarikan diri sebelum suspek cuba pula menyamun sekumpulan lelaki yang berada berdekatan tempat tersebut.
“Cubaan kedua itu pun gagal apabila kesemua mangsa dapat melarikan diri. Salah seorang mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mendapati telefon bimbitnya tercicir ketika hendak melarikan diri.
“Polis yang menjalankan siasatan kemudian menerima maklumat mengatakan terdapat satu kemalangan tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah malam dan apabila disiasat, kami dapati mereka merupakan penjenayah yang terlibat dalam kedua-dua cubaan samun tersebut,” katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mereka terbabas selepas gagal mengawal kenderaan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Pemeriksaan kemudian menemui sebilah parang panjang yang digunakan untuk menyamun.
Menurut Umar Ali, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dengan penangkapan suspek.
Kedua-dua suspek yang cedera ringan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Perompak doktor terima padah


Kiri - Amirudin, kanan, Amjad Khan



KOTA BHARU – Seorang lelaki menerima balasan setimpal apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan dia dipenjara 16 tahun dan lima sebatan atas dua kesalahan merompak yang mana salah satunya melibatkan kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Grandis milik seorang doktor pakar.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Amirudin Deraman, 23, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagi tuduhan merompak Mitsubishi Grandis hingga mencederakan doktor pakar itu, Mohd. Amirudin dari Kampung Pintu Geng dihadapkan secara berseorangan manakala bagi satu lagi kesalahan rompak dia dihadapkan bersama rakannya dari Kampung Tanjung Mas, Mohamed Amjad Khan Kamarulzaman, 28.
Azman menjatuhkan hukuman lapan tahun dan lima sebatan ke atas Mohd. Amirudin bagi kesalahan merompak Mitsubishi Grandis milik Dr. Ida Zarina Zaini, 38, dan hukuman penjara lapan tahun ke atas Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad Khan bagi satu lagi kesalahan lain.
Azman memerintahkan hukuman ke atas Mohd. Amirudin dijalankan secara berasingan.
Mohd. Amirudin didakwa merompak kenderaan milik doktor pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian itu di Kubang Kerian, di sini pada pukul 7 pagi, 18 September lalu hingga mencederakan mangsa.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Kejadian yang menimpa Ida Zarina pernah disiarkan Kosmo! pada 20 September lalu. Laporan itu mengatakan mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki akibat disamun tertuduh sebelum melarikan kenderaan itu.
Mitsubishi Grandis itu kemudian ditemui seminggu selepas kejadian setelah ditinggalkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Padang Enggang, di sini.
Menurut fakta kes pula, kejadian itu disedari Ida Zarina selepas anaknya menjerit mengatakan kenderaan itu hendak dilarikan tertuduh.
Mangsa yang cuba menghalang kemudian terjatuh ke atas jalan tar menyebabkan dia cedera.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Amirudin dan Mohamed Amjad didakwa merompak beg tangan Noraida Zainuddin, 42, yang mengandungi barang kemas bernilai RM1,500, sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Ace dan wang RM300 di Pasir Hor, di sini pada pukul 8 pagi 11 Oktober lalu.
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

20,000 guru mohon bertukar sekolah



MUHYIDDIN mencuba kebolehannya mencanting batik sambil
diperhatikan Norainee (empat dari kanan) dan Mustapa
(belakang, kanan) di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Kementerian Pelajaran menerima kira-kira 20,000 permohonan daripada guru-guru yang mahu berpindah ke sekolah di negeri asal masing-masing dan tempat lain pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian berkenaan sentiasa memberi perhatian terhadap permohonan tersebut namun ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana jumlahnya terlalu banyak.
"Masalah yang kita hadapi adalah pemahaman mengenai pertukaran guru. Tahun ini sahaja kita dapat hampir 20,000 permohonan. Yang mahu balik ke Kelantan sahaja sebanyak 2,898 orang sedangkan yang memohon untuk keluar dari Kelantan hanya 130 orang.
"Tolong nasihat saya macam mana hendak selesaikan masalah ini. Setiap tahun 10,000 sehingga 20,000 permohonan untuk berpindah bukan sahaja hendak balik ke Kelantan, orang Johor juga hendak balik ke Johor, orang Sabah dan Sarawak bertanya kenapa mereka dihantar ke Semenanjung," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini semalam.
Turut hadir isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bashar sanggup mati


REUTERS
BEBERAPA anggota Tentera Pembebasan Syria bergambar dengan sebuah kereta kebal milik tentera Syria yang berjaya dirampas mereka di pangkalan tentera al-Dewala dekat Idlib pada Ahad lalu.



DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad berikrar sanggup mati di Syria dan tidak akan melarikan diri ketika konflik di negaranya memasuki bulan ke-19.
Beliau membuat kenyataan itu pada satu wawancara dengan stesen televisyen Russia Today TV yang disiarkan semalam.
Wawancara itu disiarkan dua hari selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron mencadangkan supaya Bashar diberi laluan selamat untuk keluar dari negara ini jika cara itu boleh menamatkan perang saudara yang sudah meragut hampir 36,000 nyawa.
"Saya bukan boneka, saya bukan diarah oleh Barat untuk ke negara Barat atau mana-mana negara lain," kata Bashar.
Beliau turut memberi amaran terhadap sebarang campur tangan tentera asing.
"Saya tidak fikir Barat sedang menuju ke arah ini, namun, jika ia berlaku tiada siapa boleh meramalkan apakah akibatnya," kata Bashar.
Lokasi wawancara itu masih tidak diketahui.
Pertempuran antara tentera Bashar dengan para penentang di Syria bermula sejak Mac tahun lalu.
Para penentang menuntut supaya Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalannya untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara. - Agensi

Obama kembali ke White House

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kembali ke White House kelmarin selepas beliau memenangi pilihan raya presiden dengan mengalahkan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.
Obama kini berdepan dengan cabaran yang sukar ekoran Dewan Perwakilan dikuasai oleh parti Republikan. Parti Demokrat yang dianggotai Obama pula menguasai Dewan Senat.
Sebelum pulang ke White House, Washington dari Chicago, Obama sempat menghubungi para pemimpin parti Republikan bagi membincangkan isu ekonomi bagi mengelak AS terjebak ke dalam kancah kemelesetan.
Beliau menghubungi Speaker Dewan Perwakilan, John Boehner dan pemimpin parti tersebut di Dewan Senat, Mitch McConnell.
Menurut seorang pegawai White House, Obama mengulangi komitmennya untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan defisit dan cukai untuk keluarga kelas pertengahan.
Pegawai itu menyatakan, kejayaannya menjadi presiden untuk penggal kedua itu merupakan isyarat daripada para pengundi yang mahu kedua-dua parti mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan penyelesaian ekonomi.
Pada pilihan raya yang diadakan pada Selasa lalu, Obama memperoleh 303 undi pemilih berbanding Romney yang mendapat 206 undi.
Sebanyak 270 undi pemilih diperlukan untuk memenangi pilihan raya presiden.
Obama yang berkulit hitam mempertahankan jawatannya buat penggal kedua berturut-turut. - Agensi

Penyelamat cari pelarian Rohingya yang karam di Bangladesh



AP
BEBERAPA anggota pengawal pantai memeriksa mangsa-mangsa sebuah bot
pelarian yang karam di luar pantai Cox's Bazaar kelmarin.



DHAKA - Sekumpulan anggota penyelamat Bangladesh semalam mencari 50 orang yang masih hilang selepas sebuah bot membawa sejumlah pelarian Rohingya dari Myanmar karam, kata beberapa pegawai.
Ketika karam, bot yang dinaiki 110 orang itu menuju ke Malaysia.
Sejumlah nelayan, anggota tentera laut dan pasukan pengawal pantai berjaya menyelamatkan 60 pelarian itu selepas bot berkenaan karam pada pagi kelmarin.
Bot itu karam 15 kilometer di luar pantai Cox's Bazaar.
"Setakat ini, seramai 60 orang telah berjaya diselamatkan," kata Ketua Pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan Kolonel Zahid Hasan.
Menurutnya, pihak pasukan pengawal pantai menahan 25 orang yang terdiri daripada penduduk Bangladesh dan Rohingya untuk disoal-siasat.
Ratusan ribu etnik Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar sejak beberapa dekad lalu ekoran penindasan yang berlaku terhadap mereka. - Agensi

26 maut serangan berani mati di Karachi



REUTERS
BEBERAPA anggota pasukan keselamatan memerika lokasi serangan
berani mati di sebuah pejabat renjer di Karachi semalam.



KARACHI, Pakistan - Seorang pengebom berani mati yang memandu sebuah trak yang dipenuhi 150 kilogram bahan letupan telah merempuh pintu pagar sebuah pejabat renjer di sini semalam.
Kejadian itu menyebabkan satu letupan besar berlaku dan mencederakan sekurang-kurangnya 26 mangsa.
Serangan ke atas sebuah pejabat Renjer di pinggir kota di utara Karachi itu berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penduduk sekitar kawasan tersebut tidur dan kebanyakan pejabat masih belum dibuka.
Setakat ini tiada kematian dilaporkan berlaku.
"Sebuah kenderaan yang penuh dengan bahan letupan itu merempuh pintu masuk kawasan penempatan pejabat tersebut.
"Sejumlah 21 anggota renjer telah cedera dalam serangan itu," kata seorang jurucakap renjer.
Seorang pegawai kanan Polis, Khurram Waris memberitahu, seramai empat orang awam dan seorang pegawai polis turut cedera dalam kejadian tersebut. - AFP

'Sekolah' percuma di bawah jambatan



AP
BEBERAPA kanak-kanak belajar di bawah jejambat di New Delhi kelmarin.



NEW DELHI - Kira-kira 30 kanak-kanak belajar di sebuah 'sekolah' di bawah sebuah jejambat di sini.
Kanak-kanak itu tinggal di sebuah kawasan setinggan berdekatan jejambat tersebut.
'Sekolah' itu wujud sejak tiga tahun lalu.
Ia diasaskan oleh seorang sukarelawan, Rajesh Kumar Sharma.
Seorang lagi rakannya, Laxmi Chandra turut mengajar kanak-kanak itu. - Agensi

Dua pegawai tentera wanita dipaksa hantar gambar bogel

FORT BRAGG, Carolina Utara - Dua pegawai tentera wanita Amerika Syarikat yang memberi keterangan kelmarin menyatakan mereka menghantar beberapa gambar bogel kepada seorang pegawai tinggi tentera, Brigadier Jeneral Jeffrey Sinclair.
Menurut akhbar Fayetteville Observer, salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa Sinclair berulang kali meminta dia menghantar gambar bogelnya.
Bagaimanapun, dia yang berpangkat kapten memuat naik beberapa gambar bogel wanita lain tanpa kepala untuk dihantar kepada pegawai tinggi itu.
Keterangan itu diberikan pada hari ketiga pendengaran tentera yang diadakan di sini bagi menentukan sama ada Sinclair akan dibicarakan berhubung beberapa dakwaan termasuk liwat dan perzinaan serta perlakuan seks yang dilarang.
Semua perbuatan itu tidak dibenarkan dalam perkhidmatan ketenteraan.
Pada Selasa lalu, seorang lagi pegawai tentera wanita berpangkat kapten memberi keterangan dengan menyatakan dia dipaksa melakukan seks oral dengan Sinclair.
Menurutnya, Sinclair yang sudah berkahwin mengancam untuk membunuhnya dan keluarganya jika dia enggan melakukan perbuatan itu.
Seorang lagi pegawai tentera berpangkat mejar memberitahu kelmarin, dia menghantar gambar payudaranya dan video kepada Sinclair.
Sinclair berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah di mahkamah tentera. - AP

Seorang maut di lokasi konsert Linkin Park



AP
SEORANG wanita yang cedera (dua dari kiri) dibantu seorang anggota perubatan (dua dari kanan) di luar Stadium Cape Town, Afrika Selatan kelmarin.



JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Seorang wanita terbunuh apabila sebuah struktur perancah iklan runtuh akibat angin kencang di lokasi konsert band rock Linkin Park di Cape Town pada Rabu lalu.
Menurut seorang jurucakap Dewan Bandar Raya Cape Town, Kylie Hatton semalam, seramai 19 orang lagi cedera dalam kejadian itu.
Dia berkata, 12 daripada 19 orang itu dirawat di hospital.
Menurutnya, ia runtuh di luar Stadium Cape Town manakala polis masih menyiasat tentang punca kejadian tersebut.
Band rock dari Amerika Syarikat itu kemudian menyatakan perasaan sedih ekoran terdapat mangsa yang cedera.
Anggota-anggota band tersebut juga mengucapkan takziah kepada keluarga wanita yang terbunuh itu.
Wanita itu merupakan peminat band berkenaan.
Band itu akan mengadakan konsert di sini esok.
Anggota kumpulan itu terdiri daripada Chester Bennington, Rob Bourdon, Brad Delson, Dave Farrell, Joe Hahn dan Mike Shinoda. - Agensi

Pengundi Los Angeles sokong aktor filem lucah pakai kondom

LOS ANGELES - Para pengundi daerah Los Angeles telah menyokong langkah yang mewajibkan pelakon filem lucah memakai kondom semasa melakukan adegan seks.
Pelakon-pelakon itu akan disaman dan perlu berpindah ke tempat lain jika mereka melanggar langkah tersebut.
Menurut pejabat Pendaftar Daerah Los Angeles, langkah tersebut yang ditaja Yayasan Penjagaan Kesihatan AIDS mendapat kelulusan pada Selasa lalu daripada para pengundi.
Keputusan pengundian ialah 55.85 peratus menyokong manakala 44.15 lagi menolak.
Para penerbit filem lucah juga dikehendaki mendapatkan permit kesihatan untuk menerbitkan filem dan penggunaan kondom di set penggambaran merupakan syarat wajib bagi mendapatkan permit itu. Kebanyakan produksi filem lucah di Amerika Syarikat dibuat di San Fernando Valley di sini.
Bagaimanapun, para penerbit filem lucah kelmarin berikrar mereka akan mencabar langkah itu di mahkamah. - Agensi

No comments:

Post a Comment