Obama menang presiden AS
|
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi pilihan raya presiden AS dengan menewaskan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney kelmarin.
Obama, 51, yang merupakan penduduk kulit hitam pertama menjadi presiden pada 2008 memenangi dengan mudah 303 undi pemilih berbanding Romney, 65, yang memperoleh 206 undi.
Obama menang di 26 negeri tanpa mengambil kira pengiraan di Florida.
AS mempunyai 50 buah negeri.
Kemenangan Obama pada pilihan raya kali ini adalah di kebanyakan negeri yang pernah dimenanginya pada pilihan raya 2008.
Obama turut mencipta sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama yang memegang jawatan presiden AS bagi tempoh dua penggal.
Sementara itu di negeri Florida memperuntukkan 29 undi pemilih kepada pemenang undi popular.
Pengiraan undi di Florida masih belum diketahui setakat pukul 11 malam semalam waktu Malaysia.
Bagaimanapun, Obama dari parti Demokrat sudah dianggap memenangi pilihan raya presiden kerana beliau hanya memerlukan 270 daripada 538 undi pemilih untuk memegang jawatan tersebut buat penggal kedua.
Pada pilihan raya 2008, Obama memenangi 365 undi pemilih berbanding pencabarnya, Senator McCain dari parti Republikan dengan 173 undi.
Undi pemilih itu diberikan kepada calon presiden yang memenangi undi popular terbanyak di sesebuah negeri kecuali di Maine dan Nebraska.
Negeri Maine menetapkan dua undi pemilih diberikan kepada pemenang undi keseluruhan terbanyak manakala dua lagi diberikan kepada calon presiden yang memperoleh undi paling banyak di dua daerah Kongres AS.
Bagaimanapun, di negeri tersebut, Obama menyapu bersih keempat-empat undi tersebut.
Pada tahun 2008, Obama mendapat empat undi pemilih di negeri itu.
Di negeri Nebraska, tiga undi pemilih diberikan kepada pemenang undi terbanyak di tiga daerah Kongres AS manakala dua lagi diberikan kepada calon presiden yang memenangi paling banyak undi popular.
Romney menyapu bersih kesemua undi pemilih di negeri itu.
Pada tahun 2008, Obama hanya memperoleh satu undi pemilih di negeri berkenaan.
Pada pilihan raya presiden menyaksikan, bilangan undi pemilih yang diperoleh Romney lebih banyak daripada McCain yang menentang Obama pada pilihan raya 2008.
Pada pilihan raya 2008, Obama menang di Carolina Utara dan Indiana.
Namun pada kali ini, Romney menang di kedua-dua negeri itu.
Menurut akhbar Wall Street Journal, Romney menang 60 peratus undi penduduk kulit putih manakala Obama hanya memperoleh 38 peratus kurang lima peratus pada pilihan raya 2008.
Romney merupakan bekas gabenor Massachusetts dan seorang jutawan bertanding buat kali pertama menentang Obama. - Agensi
Obama janji bawa pembaharuan
|
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin berjanji untuk melakukan pembaharuan selepas dia memenangi pilihan raya presiden AS.
Presiden yang ke-44 itu menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan kemenangannya di Chicago selepas keputusan pilihan raya diketahui.
"Pada malam tadi, anda mengundi untuk tindakan bukan dasar seperti kebiasaannya.
"Dalam tempoh beberapa minggu dan bulan, saya memandang ke hadapan untuk bekerja dengan para pemimpin daripada pelbagai pihak untuk menemui cabaran baharu yang akan kita selesaikan bersama, mengurangkan defisit, memperbaharui kod cukai dan memperbaiki sistem imigresen," kata Obama.
Beliau juga meminta penduduk AS untuk terus menyimpan harapan tentang masa depan AS.
"Saya meminta anda untuk meneruskan harapan itu.
"Saya selalu percaya bahawa harapan merupakan suatu perkara yang degil di dalam diri kita yang wujud," tambahnya.
Pencabar Obama, bekas gabenor Massachusetts, Mitt Romney mengaku kalah pada pilihan raya itu.
"Ini merupakan waktu cabaran hebat untuk negara kita. Saya berdoa presiden akan berjaya mengetuai negara kita," katanya.
Sementara itu, pergerakan Taliban semalam meminta Obama menumpukan masalah di dalam negaranya dan menarik semua anggota tenteranya dari Afghanistan dengan segera.
"Obama menyedari bahawa Amerika letih dengan peperangan dan kos perang itu.
"Beliau perlu menarik semua anggota tentera dari negara kita dengan segera bagi mengelak lebih ramai anggota tentera Amerika," kata jurucakap Taliban, Zabiulla Mujahid dalam satu kenyataan.
Terdapat 67,000 anggota tentera AS yang menentang anggota Taliban.
Lebih 2,000 anggota tentera AS terbunuh sejak 2001 di Afghanistan.
- Agensi
Ikan kap panggang jadi menu istimewa di Iraq
BAGHDAD - Rata-rata pengunjung yang tiba di al Khadra, Iraq pasti akan memilih menu istimewa masgouf yang merupakan santapan popular Iraq dengan menggunakan ikan kap yang dipanggang.
Ikan segar itu dibelah dua dan dimasak dengan kombinasi bawang, rempah-ratus dan sos tomato.
Haiwan tersebut kemudian dipanggang di atas rak di dalam sebuah lubang yang dipenuhi bara api.
Pelanggan dikenakan bayaran sekitar 40,000 dinar (RM100) untuk setiap hidangan masgouf.
Harga untuk hidangan ini dipercayai mahal mengikut standard restoran di Iraq.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk di sini memilih untuk membeli ikan di pasar dan memasaknya di rumah.
Seorang penduduk Iraq Umm Ahmed memilih seekor ikan kap di sebuah pasar di Shawka yang terletak di pusat bandar Baghdad untuk dijadikan menu masgouf.
"Saya memasak menu masgouf dan ia menjadi memori untuk anak dan suami saya.
"Mereka terbunuh dalam satu serangan pada tiga tahun lalu, semasa solat Jumaat," katanya sedih.
Seorang peniaga, Harith Faraj, yang mengusahakan sebuah gerai jualan ikan segar bersetuju dengan mendakwa bahawa harga ikan lebih murah berbanding daging.
"Sekilo ikan berharga 6,500 dinar (RM15.25).
"Kini, ikan semakin mampu dibeli oleh setiap orang. Beberapa tahun lalu ia terlalu mahal," katanya. - AFP
Rangka gajah purba ditemui
MEAUX, Perancis - Satu rangka seekor gajah purba yang hampir lengkap dipercayai hidup antara 200,000 dan 500,000 tahun dahulu ditemui berhampiran Paris, kata Institut Penyelidikan Arkeologi Penyenggaraan Kebangsaan Perancis kelmarin.
Rangka itu ditemui di Changis-sur-Marne, timur laut Paris.
Penemuan tersebut melibatkan tulang paha, pelvis, rahang dan empat bahagian vertebra.
Gajah itu diberi nama Helmut oleh pasukan yang menemuinya dan dianggarkan berusia antara 20 dan 30 tahun. - AFP
Psy dakwa Gangnam Style bukan kejayaan sebenarnya
PARIS - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy kelmarin mengaku bahawa lagu Gangnam Style bukan kejayaan sebenar kerana kejayaannya akan dilakar menerusi lagu terbaharunya nanti.
Psy, 34, berkata, dia tidak bersetuju kejayaannya telah tercipta kerana lagu Gangnam Style.
"Saya tidak melakukan apa-apa, orang ramai menonton YouTube, mereka menemui muzik video ini dan membawa ia kepada dunia. Bukannya saya (yang menyebabkan lagu itu menjadi popular).
"Kini giliran saya pula. Lagu kedua ini saya akan melakarkan kejayaan," katanya ketika sidang akhbar di sini.
Sehari sebelum itu, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang berjaya menarik kira-kira 20,000 penonton menyaksikan persembahannya di Dataran Trocadero, Paris.
Album terbaharunya yang bakal diterbitkan Mac tahun depan menampilkan sebuah lagu baharu dalam bahasa Korea dan Inggeris serta sejumlah lagu daripada album lamanya.
"Kepada warga Korea Selatan, ia akan menjadi hit terhebat Psy tetapi, kepada dunia, ia adalah sesuatu yang baharu. Ia akan menjadi album sulung antarabangsa saya," katanya.
Di laman YouTube, persembahan tarian kuda Psy telah ditonton lebih 665 juta kali. - AFP
Chef Riz mengaku sudah bercerai
|
KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Chef Riz, mengesahkan kebenaran desas-desus yang tersebar luas ketika ini bahawa dia sudah pun bercerai dengan isterinya, pelakon Ana Dahlia.
“Ya, saya memang sudah bercerai,” kata anak sulung Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci perceraian berkenaan.
Baru-baru ini, pasangan tersebut dikatakan telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di Kajang, Selangor.
Chef Riz mengakui perceraian itu berpunca daripada ketiadaan persefahaman antara mereka sejak melayari bahtera perkahwinan 11 bulan lalu.
Dia juga mengakui perkenalan singkat hanya selama lapan bulan turut menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.
Ana Dahlia, 29, yang merupakan pelakon filem Mantra diperkenalkan kepada Che Riz oleh adiknya sendiri, Serina.
“Saya akui kami kahwin terlalu cepat, hanya selepas lapan bulan berkenalan. Selepas berkahwin tidak sampai setahun, kami berdua nampaknya tidak lagi mempunyai persefahaman dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami,” ujarnya.
Tengku Fakhry kalah kes saman
KUALA LUMPUR - Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra (gambar) yang memfail saman berjumlah RM150 juta terhadap polis kerana mendakwa ditahan secara salah, gagal dalam tuntutannya semalam.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof menolak permohonan Tengku Fakhry dengan kos RM40,000 di dalam kamar.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad memberitahu pemberita bahawa Hakim Zabariah memutuskan demikian dengan alasan bahawa Tengku Fakhry tidak pernah dihalang untuk keluar ataupun memasuki Istana Mahkota, Kubang Kerian di Kelantan pada Julai 2009.
Katanya, Hakim Zabariah juga menyatakan bahawa penahanan yang wujud hanyalah terhadap kereta Bentley yang dilaksanakan atas titah Pemangku Sultan ketika itu iaitu Tengku Muhammad Faris Petra.
Sepanjang prosiding yang bermula 8 Oktober lalu, seramai lima saksi plaintif dan lima saksi defendan, memberi keterangan.
Tengku Fakhry memfail saman itu pada 9 Disember tahun lepas dengan menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Superintendan Noorazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.
Imam surau mati dibunuh
TANAH MERAH - Hasrat seorang warga emas untuk melaungkan azan dan mengimamkan solat Subuh di sebuah surau bertukar tragedi apabila dia ditemui mati dibunuh dalam kejadian di Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh, dekat sini semalam.
Mayat Abdullah Nawang, 77, ditemui pada pukul 6 pagi oleh dua jemaah wanita yang mahu menunaikan solat Subuh di surau tersebut dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah selepas kepala mangsa disyaki dipukul dengan objek keras.
Difahamkan, mangsa disyaki diserang oleh seorang lelaki yang mempunyai masalah mental ketika dia sedang menunaikan solat sunat sementara menunggu jemaah lain tiba. Suspek berusia 57 tahun itu pernah menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang cedera parah di kepala dan leher.
"Suspek yang pernah mengganggu penduduk sebelum ini diberkas di sebuah kedai kopi kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada pukul 7.30 pagi.
Pelacur salun hias kuku diserbu
KUALA LUMPUR – Taktik licik satu sindiket pelacuran yang menjalankan aktiviti persundalan dengan berselindung di sebalik salun menghias kuku terbongkar apabila diserbu sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman kelmarin.
Serbuan pukul 10.45 malam di Jalan Mega Mendung, Jalan Klang Lama di sini itu berjaya menahan lapan wanita Vietnam dan dua warga China berusia antara 18 hingga 31 tahun yang disyaki pelacur. Turut ditahan seorang penjaga premis berusia 48 tahun.
Ketua operasi, Inspektor Muhammad Md. Jais berkata, ketika serbuan, seorang pelacur didapati sedang ghairah melayan seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun. Lelaki itu dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Kena belasah sebab Facebook
KUALA LUMPUR - Gara-gara memberi komen yang kurang menyenangkan ke atas gambar seorang gadis di laman sosial Facebook, seorang pekerja salun cedera selepas dibelasah sekumpulan sembilan individu dalam kejadian di sebuah perhentian bas di Jalan Kepong di sini Isnin lalu.
Kejadian pukul 12.35 tengah malam itu berlaku ketika wanita berusia 18 tahun bersama suami, adik lelaki dan dua rakan lelakinya pergi ke tempat tersebut dengan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi untuk bertemu gadis berkenaan yang ditemani seorang lelaki dan empat wanita.
Gadis itu dan rakannya datang dengan menaiki tiga buah kereta jenis Proton Persona, Nissan Sunny dan Toyota Vios.
Difahamkan, suspek berang selepas mangsa dikatakan telah mengutuk gambar yang dimuat naik di laman popular tersebut sedangkan rakan-rakan lain memujinya.
Sumber memberitahu, perbincangan itu bagaimanapun gagal mencapai kata persetujuan sebelum gadis yang mendakwa dihina mangsa telah menghubungi empat lagi supaya datang ke tempat pertemuan.
800 penduduk terpaksa kongsi sebuah lif
KUALA LUMPUR - Kira-kira 800 penghuni di Pangsapuri Megah Kepong, Sri Segambut di sini hidup dalam kesulitan apabila terpaksa berkongsi hanya sebuah lif di kediaman tersebut sejak enam tahun lalu.
Lebih mengecewakan apabila lif tersebut kerap rosak sekali gus memaksa mereka menggunakan tangga untuk turun naik di pangsapuri 15 tingkat itu.
Seorang penduduk, S. Kala, 32, mendakwa, pangsapuri itu mempunyai dua buah lif namun salah satu daripadanya hanya sempat beroperasi selama sebulan sebelum mengalami kerosakan.
"Paling mengecewakan apabila lif yang masih berfungsi kerap dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
"Ini menyebabkan penduduk berdepan kesukaran untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah kerana menunggu lama atau terpaksa menggunakan tangga," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Raja Nazrin zahirkan 6 unjuran
PETALING JAYA – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan enam unjuran yang perlu dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka, aman dan berdaulat.
Baginda bertitah, untuk itu, piagam awal yang telah dipersetujui bersama yang menjadi asas utama penubuhan Persekutuan Tanah Melayu perlu kekal dihormati dengan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif khususnya agama.
Menurut baginda, agama adalah perkara paling sensitif dan perbuatan melanggar sempadan agama secara keterlaluan dan terbuka dikhuatiri mencetuskan konflik yang memungkinkan persengketaan.
“Agama Islam jangan sama sekali dijadikan alat untuk memancing laba politik baik dalam kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi dalam kalangan bukan Islam,” titah baginda pada majlis Syarahan Perdana Budaya berjudul ‘Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa’ di Hotel The Royale Bintang Damansara di sini semalam.
Program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu turut dihadiri menterinya, Datuk Seri Rais Yatim serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.
Raja Nazrin bertitah, unjuran kedua ialah memberi erti kepada prinsip kedua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan negara dengan menghormati lambang negara termasuklah bendera negara, Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan, Negaraku.
“Unjuran ketiga ialah mempertahankan ketelusan serta integriti pentadbiran kerajaan meliputi tiga cabang utamanya iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman yang di bawahnya terletak pelbagai instrumen pelaksana kerajaan.
“Ketenteraman awam dan kestabilan politik di negara ini juga perlu sentiasa dipelihara menerusi unjuran keempat iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” titah baginda.
Baginda juga bertitah, konsep federalisme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan merupakan unjuran kelima perlu difahami agar tidak ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan institusi Yang Dipertua di negeri-negeri.
Dalam unjuran terakhir, baginda mengingatkan pemimpin politik supaya berperanan memastikan suhu politik tidak terlalu panas selain tidak menjadikan pilihan raya sebagai satu peperangan sivil.
Jururawat rakam imej hantu
MELAKA – Seorang jururawat terkejut setelah dia merakam imej lembaga wanita di hadapan lif sebuah hospital swasta di sini 25 Oktober lalu.
Jururawat berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hailie, 26, berkata, imej misteri itu dirakam pada pukul 7.20 malam Jumaat lalu menggunakan telefon bimbitnya ketika sedang menunggu lif untuk menghantar pesakit yang baru lepas menjalani pembedahan.
Menurutnya, sementara menunggu ketibaan lif, dia mengambil gambar kerja-kerja penyelenggaraan lif yang sedang dilakukan di situ.
“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki sesuatu yang luar biasa pada gambar ini kerana ia sedikit kabur sehingga menyebabkan saya terpaksa mengambil tiga keping gambar.
Pesawat Twin Otter terbabas
MARUDI – Seramai 17 penumpang termasuk seorang juruterbang nyaris maut apabila sebuah pesawat ringan jenis Twin Otter milik MASWings terbabas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Marudi di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.33 petang, pesawat MH3562 yang dalam penerbangan dari Miri ke Marudi tersasar sejauh 10 meter dari hujung landasan dan tergelincir ke dalam parit sedalam satu meter.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokthar berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2.38 petang, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika cuaca dalam keadaan baik dan pesawat terbabit dipercayai terbabas semasa juruterbang melakukan pendaratan.
“Semua penumpang dan anak kapal disahkan selamat. Namun, ada seorang penumpang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan terus dikejarkan ke Hospital Marudi,” katanya di sini semalam.
Web pembekal gadis peneman
KUALA LUMPUR – Populariti laman web sosial pada masa kini menjadikannya medium yang digunakan oleh banyak pihak bagi mempromosi perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun, ada juga sesetengah laman web sosial dijadikan alat untuk memasarkan barangan termasuk perkhidmatan membekalkan pelacur atau gadis peneman.
Salah satu daripadanya ialah laman web sosial mencari jodoh dari luar negara, www.tw**o.com yang disalahgunakan oleh pihak pembekal gadis peneman dari Malaysia untuk mencari pelanggan.
i-Great Teras selesai masalah kewangan
KUALA LUMPUR – Orang ramai kini berpeluang untuk menjalani kehidupan bebas daripada masalah kewangan melalui pelan takaful keluarga baharu, i-Great Teras, yang diperkenalkan oleh Great Eastern Takaful Sdn. Bhd. (GETSB).
Menurut Ketua Kewangannya, Zafri Ab. Halim, pelan tersebut membolehkan hutang persendirian atau perniagaan pemegang polisi dapat dilangsaikan walaupun mereka sudah meninggal dunia.
“Ramai rakyat Malaysia dibebani hutang untuk memenuhi kehidupan mereka seperti penggunaan kad kredit, pembiayaan rumah, kos perubatan, pinjaman pendidikan dan sebagainya.
“Melalui i-Great Teras, mereka kini tidak perlu risau untuk menyelesaikan hutang-hutang tertunggak kerana semuanya akan diuruskan melalui wang yang dilaburkan dalam pelan ini,” katanya pada majlis pelancaran pelan i-Great Teras GETSB di sini semalam.
No comments:
Post a Comment