Monday, November 5, 2012

JENAYAH KIAN MENINGKAT....HUDUD UBAT JENAYAH SERTA ZINA JUGA ANAK LUAR NIKAH

30 juta Samsung Samsung Galaxy S III dijual



KUALA LUMPUR: Model Galaxy S III telah melepasi jualan global sebanyak 30 juta sejak diperkenalkan pada Mei dan terus menjadi kegemaran di kalangan pengguna, kata Samsung Electronics Co. Ltd.
Presiden dan Ketua Bahgaian IT dan Komunikasi Mudah Alihnya, JK Shin berkata, mencapai sejarah jualan ini dalam tempoh lima bulan mencatatkan satu lagi rekod untuk syarikat. "Kami amat gembira dan akan meneruskan usaha ini dengan menyediakan pelanggan produk yang mereka gemari," kata beliau. Model Galaxy S III menawarkan pemproses yang lebih berkuasa yang membolehkan pengguna menonton video dan menulis e-mel secara serentak, serta skrin luas HD Super AMOLED berukuran 4.8 inci. Samsung telah menjual 56.3 juta telefon pintar, termasuk Galaxy S III pada Julai-September, mewakili 31.3 peratus daripada pasaran global.

‘Kau nyanyi Anak Kampung’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan.
MALU...rakaman video yang menunjukkan mangsa diherdik pegawai atasan.
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan mendakwa dibuli ala budak sekolah oleh dua pegawai atasannya apabila diarah berdiri di atas kerusi, sebelum diminta menyanyikan lagu Negaraku dan Anak Kampung, kerana kesalahan tidur ketika bertugas.
Kejadian dikatakan berlaku di sebuah hospital awam, di sini pada 23 Oktober lalu dan aksi buli itu dirakam menerusi telefon bimbit seorang daripada dua pegawai terbabit. Rakaman itu disebarkan menerusi Khidmat Pesanan Multimedia (MMS) kepada pengawal keselamatan syarikat yang sama kononnya sebagai pengajaran supaya mereka lebih berdisiplin.

“Apa yang mereka lakukan mengaibkan saya. Saya boleh terima teguran, tetapi mengapa mereka bertindak melampau dan merakam perbuatan itu sebelum berkongsi video berkenaan dengan orang lain.
“Saya malu. Maruah saya tercalar kerana apa yang dilakukan seolah-olah saya pelajar sekolah,” kata pengawal keselamatan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 29.

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila seorang daripada rakan sekerjanya melihat dia merenyuk surat tunjuk sebab yang diberikan ketua mereka, pada pagi hari kejadian.

“Kira-kira jam 4.30 petang saya diarahkan masuk ke pejabat dan berjumpa dua pegawai itu. Saya ingatkan hanya diberi amaran dan tidak menjangka dibuli mereka yang turut memaki saya.
“Malah, mereka turut merakam aksi menerusi telefon bimbit sebelum menyebarkannya,” katanya.

Menurutnya, pada awal pertemuan itu, kedua-dua lelaki itu memaki dan mengherdik sebelum mengajaknya bergaduh kerana tak berpuas hati tindakan dia merenyuk surat yang menyatakan dia mengingkari arahan. “Saya hanya mendiamkan diri kerana takut dan pada masa sama, mereka menyatakan saya dihukum kerana terlena ketika bertugas.
“Sebelum ini, saya pernah bertugas lebih empat tahun di sebuah jabatan kerajaan di Pahang, sebelum dipindahkan ke sini, tidak pernah mempunyai masalah disiplin atau dihukum sedemikian di tempat kerja lama,” katanya.

Jalil berkata, selain diarah berdiri di atas kerusi selama 10 minit dia juga disuruh menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat.

Katanya, walaupun ada pihak beranggapan hukuman luar biasa dijatuhkan kepadanya itu bertujuan mendisiplinkannya, dia kesal apabila apabila kejadian itu dirakam dan video disebarkan.

Berikutan itu, Jalil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam.

Rakannya, yang hanya mahu dikenali sebagai Malek, 34, berkata, dia sedih dan terkilan apabila melihat rakaman video selama 16 minit itu.

Menurutnya, Jalil yang masih bujang baru bertukar ke sini dari Kuantan, Pahang dan orangnya agak ‘lurus’.

“Saya difahamkan perbuatan itu bukan kali pertama. Sebelum ini, ada antara kami dihukum tekan tubi 20 kali disebabkan tertidur ketika bekerja atau berpakaian tidak kemas.

“Jika tak berpuas hati dengan prestasi kerjanya, pegawai berkenaan sepatutnya memberikan surat amaran atau memberi nasihat kepadanya,” katanya.

Tangki ‘muntah’ api

Oleh Muhamaad Razis Ismail, Rosliza Mohamed dan Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

BERTUNGKUS-LUMUS...anggota bomba menggunakan buih sabun memadamkan kebakaran tangki minyak pelincir yang bocor.
BERTUNGKUS-LUMUS...anggota bomba menggunakan buih sabun memadamkan kebakaran tangki minyak pelincir yang bocor.
KOTA BHARU: Laungan Allahuakbar berulang-kali mengiringi suasana cemas di sebuah kilang tayar yang tidak lagi beroperasi di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, selepas sebuah tangki minyak pelincir terpakai berkapasiti antara 16,000 hingga 25,000 liter meletup sehingga ‘memuntahkan’ minyak bersama api dan membakar anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran di kilang berkenaan.
Kilang itu yang ditawarkan untuk dijual pada harga RM5 juta pada mulanya terbakar pada jam 8 pagi sebelum anggota bomba tiba pada jam 8.11 pagi, namun ketika menyudahkan tugas memastikan api di tangki berkenaan padam sepenuhnya setengah jam kemudian, minyak dari tangki itu memancut meletuskan api setinggi lebih 30 meter dan membakar beberapa anggota bomba yang berada berhampiran tangki berkenaan.

Akibatnya, tercetus suasana kelam-kabut apabila ada anggota bomba terbakar bersama pakaian dan ada pula yang berlari, berguling sebelum terbaring.
Seramai 10 pegawai dan anggota bomba cedera termasuk seorang anggota bomba wanita dengan lima daripadanya parah selepas melecur di muka dan badan. Sekumpulan wartawan dan jurugambar turut bertakbir apabila berdepan detik cemas kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.

Malah, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman yang turun padang turut memberi pertolongan kepada anggotanya yang cedera.

Antara yang parah ialah tiga pegawai bomba, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK1), Abdullah Din Mohd, 55, dan Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Nazah Nafi, 43 yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala seorang lagi, PBKII, Wan Asri Wan Yaacob, 53, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Mangsa melecur di muka, tangan serta badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang anggota bomba, Mahusin Hassan, 45, bersyukur kerana api hanya membakar baju khas memadam kebakaran yang dipakai, namun sayu melihat rakan setugas yang melecur akibat terbakar.
Katanya, mereka tidak menyangka tangki minyak berkenaan meletup sehingga api menyambar anggota bomba.

“Ketika kejadian saya berehat dan berada 50 meter dari tangki berkenaan selepas memadamkan kebakaran di beberapa bahagian lain. Tiba-tiba saya terdengar letupan dan apabila menoleh ke belakang, saya lihat api seperti menyambar dan mengejar dari belakang.

“Saya bingkas bangun untuk melarikan diri sebelum menyedari api menyambar belakang baju khas memadam kebakaran. “Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melihat beberapa anggota yang berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api di pakaian mereka dan ada yang melecur di muka, badan, dan tangan sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.

Dalam pada itu, saksi kebakaran, Nadzri Noor, 37, yang juga pemilik kedai makan berhampiran kilang tayar itu berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap tebal bersama api menjulang tinggi sebelum terdengar letupan.

“Saya melayan pelanggan sebelum terlihat kepulan asap dan terkejut apabila terdengar beberapa letupan. “Walaupun jarak kedai dan kilang kira-kira 100 meter, saya dapat rasa bahang apinya,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak lima jentera dan 39 pegawai serta anggota bomba dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan Katanya, pihaknya berdepan masalah tekanan air, sekali gus menyukarkan operasi memadamkan kebakaran selain perlu menggunakan buih untuk memadamkan api yang berpunca daripada minyak.

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Kota Darulnaim dan Tunjung dikejarkan ke tempat kejadian, malah kami juga meminta bantuan tambahan selepas letupan yang mencederakan 10 anggota bomba berlaku.

“Kami masih menyiasat punca kejadian dan anggota yang cedera dihantar ke HUSM dan HRPZ II,” katanya.

Bunuh guna bantal

Oleh Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my

USUNG...anggota polis mengangkat jenazah Sadariah yang maut ditekup penyamun.
USUNG...anggota polis mengangkat jenazah Sadariah yang maut ditekup penyamun.
SUNGAI BESAR: Seorang remaja mengalami detik amat menyedihkan apabila melihat sendiri neneknya ditekup dengan bantal hingga mati oleh dua perompak yang menceroboh rumah mereka di Kedai Luar Bandar, Jalan Parit 6 Timur, di sini, awal pagi semalam.
Mohammad Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang turut ditumbuk dan diacukan parang oleh dua penjenayah terbabit berkata, sebelum itu neneknya, Sadariah Tubasar @ Ahmad, 65, diikat dengan tali rafia manakala mulutnya ditekup dengan tuala. “Walaupun diikat, nenek tetap melawan dan menjerit menyebabkan suspek panik lalu seorang daripada mereka mengambil bantal dan menekup muka nenek. Beberapa minit kemudian, nenek lemah dan tidak lagi bersuara,” katanya.

Mohammad Hafizul berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika dia dan neneknya nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Menurutnya, seorang daripada lelaki itu menghempap tubuhnya sebelum tangan dan kakinya diikat menggunakan tali rafia.

“Saya juga ditumbuk beberapa kali dan diacukan parang supaya tidak melawan. Mereka mengarahkan saya membantu mereka menggeledah bilik nenek.

“Selepas berjaya mendapatkan wang tunai dan barang kemas milik arwah nenek, mereka tergesa-gesa meninggalkan rumah melalui pintu belakang,” katanya sewaktu ditemui, semalam. Mohammad Hafizul berkata, kejadian menimpa arwah neneknya menyebabkan dia lebih tertekan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohammad berkata, polis menerima panggilan kira-kira 5.30 pagi dan sejurus tiba di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di ruang tamu rumah.

Noor Mushar berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan lain di badan mangsa kecuali sedikit pendarahan di mulut dipercayai akibat diikat dengan kuat menggunakan tuala dan sewaktu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek melarikan wang tunai RM500, barang kemas dan sebuah beg tangan mangsa didapati hilang. Nilai keseluruhan kira-kira RM2,000,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

‘Ulat Arab’ terus rakus

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my

KHIDMAT HARAM...antara pelancong menggunakan khidmat ulat teksi Arab.
KHIDMAT HARAM...antara pelancong menggunakan khidmat ulat teksi Arab.
KUALA LUMPUR: Kerakusan ulat teksi Arab di Bukit Bintang, di sini, mendapatkan mangsanya berterusan biarpun pelbagai usaha dijalankan pemandu tempatan membasmi masalah berkenaan.
Malah, kebanyakan mereka mengorbankan cuti hujung minggu semata-mata mahu mencekup ulat teksi kerana bimbang sekiranya ia dibiarkan, perkara itu menjejaskan periuk nasi mereka selain menjejaskan ekonomi Malaysia.

Harian Metro 12 Oktober lalu melaporkan terdapat 300 ulat teksi Arab di kawasan itu yang menawarkan pakej perjalanan ‘eksklusif’ kepada pelancong Timur Tengah dengan caj RM5,000 bagi percutian ke pusat peranginan.
Tinjauan Harian Metro baru-baru ini di beberapa kawasan seperti Jalan Kampung, Jalan Kamunting dan Jalan Bukit Bintang mendapati ulat teksi terbabit masih wujud dan aktif menawarkan pelbagai pakej kepada pelancong. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Bestari, Mohammed Asharaf Abdullah berkata, beliau semakin tertekan mengenangkan masalah berlarutan sejak 10 tahun yang tiada penyelesaian biarpun banyak laporan diajukan kepada agensi bertanggungjawab.

“Apa lagi boleh kami buat melainkan turun padang dan menghalau ulat teksi Arab. Kami (pemandu) mengharapkan bantuan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun tiada penyelesaian,” katanya.

Menurut Mohammed Asharaf, punca lambakan ulat teksi itu disebabkan wujud banyak perniagaan milik warga Arab di Bukit Bintang dan di situ tempat kebanyakan pelancong Timur Tengah berkumpul.
“Ketika kunjungan pelancong ke restoran, ulat teksi terbabit hadir mengedarkan kad niaga selain memburuk-buruk pemandu tempatan. Antara faktor lain ialah isu komunikasi dan bahasa,” katanya.

Menurutnya, setiap hujung minggu beliau mengarahkan beberapa ahli untuk mencekup ulat teksi terbabit sebelum diserahkan kepada polis.
“Kami tidak menipu kerana setiap tangkapan diserahkan kepada polis. Ketika tangkapan dibuat, kami turut menghubungi SPAD, namun mereka hanya menerima laporan dan tidak mengambil tindakan,” katanya.

Cuba bakar lepas bunuh

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi bukan saja dikelar di leher dan ditikam bertubi-tubi hingga mati, malah mayatnya juga cuba dibakar di dalam kenderaan dipandunya, tengah malam kelmarin.
Mayat mangsa dikenali sebagai S Nallan, 24 ditemui dua tukang sapu yang pada mulanya menyangka mangsa tidur dalam kenderaannya yang diletakkan di Jalan Tun H S Lee, di sini, jam 12.44 tengah malam. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa ditemui dua pekerja syarikat pemungut sampah terbabit selepas curiga melihat kenderaan itu berasap.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ada tiga kesan kelar di leher mangsa serta 13 kesan tikaman di bahagian depan dan belakang badan mangsa.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk pemandu dan tangan kirinya turut terbakar. Mangsa dipercayai bekerja sebagai pemandu teksi secara sambilan. “Kami percaya suspek cuba membakar mangsa yang sudah mati berikutan terdapat kesan terbakar pada tangan kiri mangsa,” katanya.

Zainuddin berkata, siasatan juga mendapati dompet serta telefon bimbit hilang tiada senjata ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kereta meletup

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tindakan nekad seorang remaja 20 tahun cuba menyelamatkan kereta Hyundai Atos bapanya daripada hangus, nyaris membawa maut apabila kenderaan itu meletup selepas beberapa saat cuba menghidupkan enjin kereta di Kampung Pasir Panjang, Bukit Besar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Zul Hafiz Nor Aidam, 20, yang panik melihat kenderaan bapanya berasap bergegas masuk ke dalam kereta bagi mengalihkannya daripada terkena api yang muncul dari bawah kenderaan yang diletakkan di bawah rumah kosong 50 meter dari kediamannya.

Zul Hafiz berkata, dia meluru masuk ke dalam kereta dan cuba menghidupkan enjin bagi mengelakkan kenderaan itu hangus terbakar, usahanya bukan saja gagal apabila enjin kereta tidak dapat dihidupkan, malah hampir meragut nyawanya selepas api menyambar di bahagian enjin kereta berkenaan.
“Saya bernasib baik apabila selepas beberapa saat keluar dari kereta itu, ia terus meletup. Jika saya masih berusaha menyelamatkan kereta itu, mungkin nyawa saya pula melayang,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini semalam.

Bapanya, Nor Aidam Amran, 49, berkata, dia membeli kereta itu sejak empat tahun lalu dan terpaksa meletakkan di bawah rumah kosong itu memandangkan kawasan rumahnya tidak mempunyai jalan masuk.

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Hiliran itu berkata, sebelum kejadian dia keluar menghantar barang di bandar raya ini dan pulang semula dengan meletakkan kenderaannya di bawah rumah itu jam 10.30 pagi.
“Rumah kosong ini dijadikan ‘port’ pelajar ponteng sekolah. Ketika saya meletakkan kereta terdapat beberapa pelajar berada di rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Rozali Hussin dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada jam 12.16 tengah hari.

10 desa banjir

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Haidhar Hilmi
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Cuaca buruk sepanjang hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di Batu Pahat meningkat daripada 210 kepada 754 mangsa dan ditempatkan di 10 pusat perlindungan sementara selepas rumah mereka dinaiki air, semalam.
Hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan 10 kampung dinaiki air membabitkan Kampung Parit Gantung; Kampung Parit Lapis Laman; Kampung Sentang Batu; Kampung Parit Pulai; Kampung Parit Yusof; Kampung Parit Betong; Kampung Othman; Kampung Parit Abdul Rahman; Kampung Sengkuang dan Kampung Linau Besar.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Johor berkata, setakat jam 7 malam tadi, seramai 754 mangsa membabitkan 204 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
“Tujuh pusat pemindahan sementara terpaksa dibuka berikutan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat berbanding 210 yang ditempatkan di tiga pusat perlindungan bermula kelmarin.

“Seramai 90 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan Balairaya Parit Lapis Laman; 28 mangsa (lapan keluarga) di Balairaya Parit Yusof, Parit Jalil; tujuh mangsa (dua keluarga) di Balairaya Linau Kecil; serta 240 (71 keluarga) di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Tiga Serangkai, Parit Sulong.

“Selain itu, 34 mangsa membabitkan enam keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Parit Betong, Parit Sulong; 67 mangsa (16 keluarga) di Balairaya Parit Othman, Parit Sulong; 32 mangsa (sembilan keluarga) di Balai Masjid Kampung Sengkuang, Sri Gading.
“Seramai 120 mangsa (35 keluarga) di Dewan Orang Ramai Parit Sentang Batu, Parit Sulong; 111 mangsa (32 keluarga) di SK Tiga Serangkai, Parit Sulong dan 25 mangsa (lima keluarga) di SK Sri Chomel, Parit Sulong,” katanya.

Menurutnya, tiada kematian dilaporkan dan tiada jalan ditutup, namun orang ramai dinasihatkan sentiasa peka serta mematuhi peringatan dan amaran banjir daripada pihak berkuasa dari masa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Penolong Setiausaha (Tentera) Majlis Keselamatan Negara Johor, Mejar Ronzi Mohd Khairan, berkata pihaknya menjangkakan banjir akan bertambah buruk berikutan hujan lebat masih berterusan sehingga petang semalam.

“Cuaca tidak menentu menyebabkan jumlah mangsa semakin bertambah dan kami bersedia membuka lebih banyak pusat pemindahan sekiranya keadaan memerlukan. “Sehingga kini, tiada laluan terputus dan proses pemindahan dibantu pengangkutan berat daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Khatijah Abdullah, berkata pihaknya sudah mengagihkan bantuan asas berbentuk makanan, minuman, bantal dan selimut kepada mangsa banjir.

‘Air naik begitu cepat’

DENGKIL: “Air naik dengan cepat sehingga saya dan ahli keluarga tidak sempat berbuat apa-apa, malah kelengkapan rumah dan motosikal tenggelam,” kata Salina Saharudin, 25, seorang daripada mangsa banjir dari Kampung Revolusi Hijau yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil di sini, semalam.
Menurutnya, dia menyedari rumahnya dimasuki air sebaik terjaga dari tidur pada jam 5 pagi semalam.

“Tersedar daripada tidur saya dapati air sudah memasuki rumah dan dalam tempoh singkat air mencecah paras pinggang. Segala perkakas termasuk peti ais tidak dapat diselamatkan, sehinggalah jam 9 pagi anggota bomba datang ke rumah meminta kami berpindah ke dewan,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan mangsa banjir berkenaan.
Salina yang masih berpantang selepas melahirkan anak kedua berkata, suaminya, Muhammad Amin Osman, 23, tidak mengikutnya berpindah ke pusat penempatan itu kerana mahu menjaga rumah dan keselamatan harta benda.

“Cuma saya bersama dua anak, Muhamad Aqid berusia dua tahun dan Muhammad Adil Putra yang baru genap sebulan berpindah ke pusat penempatan ini, manakala suami terpaksa menunggu di rumah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. Difahamkan, kejadian banjir itu berlaku berikutan limpahan air dari Sungai Langat, ditambah masalah sistem perparitan dan saliran yang tersumbat serta tidak diselenggara dengan baik, selain kesan aktiviti perlombongan pasir haram sebelum ini. Selain Kampung Revolusi Hijau, kawasan lain terjejas teruk ialah Kampung Semarang, Kampung Cemarai, Kampung Kerinsing, Taman Amentis, Taman Emas, Taman Kristal, Taman Permata dan Taman Baiduri.

Remaja diperkosa lima rakan lama



KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan lima rakan untuk makan malam membawa padah kepada seorang remaja berusia 17 tahun apabila dia dikurung di sebuah hotel di Chow Kit dan dirogol bergilir-gilir selama tiga hari sebelum diselamatkan pekerja hotel berkenaan, kelmarin.
Mangsa yang berasal dari Datuk Keramat terjumpa lima rakan lamanya yang berasal dari Sabah di ibu kota pada jam 8 malam Khamis lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti itu berkata, selepas berbual lima rakannya itu mengajak dia mengikuti mereka dengan menaiki kereta ke kawasan Chow Kit.
Menurutnya, selepas makan mereka menariknya ke sebuah bilik hotel bajet sebelum ditumbuk beberapa kali oleh tiga rakannya hingga pengsan.

“Tidak cukup dengan itu, saya dirogol bergilir-gilir oleh mereka dan dikurung selama tiga hari di dalam bilik itu.

“Sepanjang tempoh itu, saya dirogol mereka beberapa kali dan tidak diberikan makanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Fabregas kebas isteri jutawan



ELIE dan Daniella.
ELIE dan Daniella.
FABREGAS.
FABREGAS.
LONDON: Seorang jutawan semalam menceritakan bagaimana dia dan isterinya berusaha untuk mendapatkan anak ketiga apabila mendapati wanita itu bermain kayu tiga dengan bintang bola sepak, Cesc Fabregas.
Jutawan hartanah, Elie Taktouk mengetahui kecurangan isterinya apabila melihat gambar bekas kapten Arsenal itu bercuti dengan ‘wanita misteri berambut perang’ yang menurutnya ialah isterinya, Daniella Semaan, 38, dalam akhbar. Elie yang juga 38, kini sudah bercerai dan terpaksa melihat Fabregas, bintang bola sepak Sepanyol berusia 25 tahun menjadi bapa tiri kepada anak lelakinya berumur lapan tahun dan anak perempuan, 11.

“Saya berada dalam keadaan terkejut selama beberapa bulan tetapi saya tidak mahu isteri saya lagi. Saya rasa begitu meluat sebaik melihat gambar itu. Saya terus membuang segala perasaan terhadapnya. “Kami berusaha mendapatkan anak ketiga apabila dia berlaku curang. “Saya tidak terkejut dengan sikap Fabregas. Dia baru berusia 25 tahun dan bodoh. Isteri saya mengejarnya dan akan meninggalkannya sebaik saja duit dan popularitinya berakhir. Dia bukan David Beckham,” kata Elie.
Ahli perniagaan itu yang menetap di Knightsbridge, London Barat, menceritakan bagaimana dia mengahwini Daniella pada 1998 di negara asal mereka, Lubnan.

Dia menemui gambar isterinya berbikini, memeluk Fabregas di tepi kolam renang dan berfoya-foya di atas jet ski di Nice, selatan Perancis.

Fabregas yang meninggalkan Arsenal untuk bermain dengan Barcelona baru saja berpisah dengan teman wanitanya, Carla Garcia, ketika itu.
Elie yang mendapat hak bersama untuk menjaga anaknya berkata: “Fabregas mengadakan hubungan sulit dengan ibu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. Perbuatan paling memalukan yang saya akan lakukan ialah mengucup pipi isteri saya di depan anak kami.” Fabregas dan Daniella dirakam bercium ketika bercuti di Itali.

Dalam perbicaraan penceraian mereka, Daniella diberikan elaun �2,500 (RM7,500) sebulan, kurang daripada jumlah �10,000 (RM50,000) yang dituntutnya.
Fabregas meninggalkan Gunners selepas khabar angin sejak beberapa tahun lalu mengaitkannya dengan Barcelona.

Pasukannya mengalahkan Celta Vigo 3-1 kelmarin sementara rakan lamanya di Arsenal tumpas 1-2 kepada Manchester United. - TS

Kanak-kanak 11 tahun mengaku bunuh murid



BANDAR RAYA QUEZON: Polis terpaksa menangani kes jenayah membabitkan dua suspek juvana dalam insiden berasingan di Taguig dan bandar raya ini sepanjang minggu lalu.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disyaki menyebabkan kematian seorang murid berusia sembilan tahun di mana mayatnya ditemui di tapak lombong di Taguig. Kanak-kanak yang diletakkan di bawah kawalan pekerja sosial itu mengaku kepada ibunya mengenai insiden buli yang mengakibatkan kematian mangsa di Fort Bonifacio.

Mayat mangsa ditemui di tapak lombong di kawasan pembinaan selepas pihak berkuasa Barangay dimaklumkan mangsa ditolak ke dalam lombong itu oleh suspek tiga hari sebelumnya. Dalam kes berasingan, seorang remaja pula ditahan dan didakwa membunuh pemberi maklumat polis dan mencederakan seorang pegawai polis di bandar raya Quezon.
Monaim Dodig, 18, menjalani sidang inkuiri malam semalam atas tuduhan membunuh, kegagalan membunuh dan memiliki senjata api secara haram selepas terbabit dengan insiden tembakan yang membunuh Denis Vann Pineda dan mencederakan Frederick Gracilla. - MT

Gadis 14 tahun urus sindiket pelacuran ditangkap



BANGKOK: Polis semalam menahan seorang gadis berusia 14 tahun yang menguruskan satu sindiket pelacuran di sebuah motel di wilayah Samut Perakan.
Pihak berkuasa yang menerima aduan daripada orang ramai, melancarkan operasi di daerah Bang Phli, kata Ketua Bahagian Antipemerdagangan manusia, Chavalit Sawaengphuet Menurutnya, pegawai yang menyamar sebagai pelanggan, cuba mendapatkan khidmat seks daripada gadis itu.

Gadis berkenaan mengenakan bayaran 2,000 baht (RM200) untuk dua pelacur muda berusia 14 dan 16 tahun.
Ketiga-tiga gadis itu kemudian ditahan di luar motel itu.

Gadis berkenaan memberitahu polis, dia biasanya memperoleh upah 500 baht (RM50) daripada setiap gadis yang dikenalkannya kepada pelanggan. - BP



38 tahun angkat tangan



MANHANT dengan tangan kanan yang tidak pernah diturunkan.
MANHANT dengan tangan kanan yang tidak pernah diturunkan.
NEW DELHI: Seorang lelaki tidak pernah menurunkan tangan kanannya sejak 1973.
Bekas kerani, Manhant Amar Bharti Ji dikatakan mengangkat tangannya pada tahun berkenaan sebagai menghormati Tuhan Hindu, Shiva.

Manhant meninggalkan keluarganya pada 1970 selepas berhenti kerja untuk mengabdikan diri pada Shiva.
Tiga tahun kemudian, kerana merasakan masih terikat dengan gaya hidup lamanya, Manhant mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda taat kepada Tuhannya.

Dan hari ini, selepas 38 tahun, dia masih tidak menurunkannya, Pengikutnya berkata, dia enggan menggunakan tangannya itu bagi memisahkan dirinya dengan keseronokan hidup.

Ramai mengikut jejak Manhant dengan mengangkat tangan dan tidak menurunkannya selama beberapa tahun. - Agensi

Lionel Messi gembira kekasih lahir anak pertama



BARCELONA: Teman wanita Lionel Messi semalam melahirkan bayi lelaki, anak pertama bintang bola sepak Barcelona dan Argentina itu.
Messi dan kekasihnya, Antonella Rocuzzo, menamakan bayi itu, Thiago.

“Saya adalah lelaki paling bahagia di dunia. Anak saya dilahirkan dan ia hadiah daripada Tuhan.

“Terima kasih kepada anggota keluarga saya yang memberikan sokongan kepada kami,” kata Messi dalam Facebooknya.

Barcelona mengumumkan kelahiran itu menerusi laman webnya selepas ia dilaporkan oleh media Sepanyol dan Argentina dan disahkan oleh Messi.

Dalam wawangcara dengan akhbar Sepanyol, El Pais, sebelum ini, Messi berkata dia tidak sabar menunggu masa untuk menjadi bapa.

“Saya sudah bersedia dengan kehadiran Thiago. Ia amat menyeronokkan dan membuat anda berfikir secara lain. Anda tidak lagi hanya memikirkan diri anda,” katanya. - DM

No comments:

Post a Comment