Saturday, October 16, 2010

DUNIA LAH NI...MANUSIA TIDAK SEDAR..KITA MENUJU KE AKHIRAT YANG LEBIH KEKAL ABADI

DUNIA


Burger McDonald's tidak busuk selama enam bulan


BURGER dan kentang goreng di atas pinggan di apartmen Sally Davies di New York pada 14 Oktober lalu.


NEW YORK - Burger daging dan kentang goreng McDonald's didapati tidak busuk selama enam bulan selepas ia dibiarkan berada di atas pinggan di dalam apartmen seorang wanita, Sally Davies di New York.
Wanita itu membeli set Happy Meal McDonald's enam bulan lalu dan dia tidak memakannya.
Apa yang dibuat dengan burger itu ialah dia merakamkan gambar makanan tersebut dengan kamera bagi melihat sama ada ia mengalami perubahan selama enam bulan. Dia membeli burger dan kentang goreng itu pada 10 April lalu.
Burger dan kentang goreng yang tidak busuk itu pernah disiarkan dalam beberapa program televisyen dan menjadi perdebatan semasa orang ramai memikirkan bagaimana makanan segera boleh menunjukkan perubahan bentuk selepas enam bulan berada di atas pinggan.
"Ia (merakamkan burger itu selama enam bulan) bermula dengan satu pertaruhan dengan seorang rakan saya," katanya.
"Oleh itu, pada 10 April lalu, saya membeli sebiji burger dan saya mula merakamkan gambarnya tetapi tidak ada apa yang berlaku. Burger itu berbau selama satu hari dan ia kemudian terhenti (tidak ada bau lagi)," kata wanita tersebut.
Roti burger itu mengecut sedikit tetapi ia masih mengekalkan keadaan asal dan kelihatan sama seperti baru dibeli. Seperti yang dikatakan wanita itu, burger itu juga tidak ada bau.
Dua ekor anjingnya, Shih Tzu dan Charlie tidak menunjukkan minat untuk memakan buger itu kerana ia tidak mengeluarkan bau.
Ketahanan buger tersebut selama enam bulan mencetuskan kebingungan dan kebimbangan ramai pihak sama ada makanan segera yang bertahan lama itu sihat untuk kesihatan.
Pihak McDonald's enggan memenuhi permintaan ditemu ramah.
Bagaimanapun, menurut satu kenyataan rangkaian restoran itu, bahan makanan segar disediakan di restoran McDonald's.
"Adalah tidak munasabah untuk menyediakan satu maklumat terperinci berhubung dakwaan (wanita itu) tanpa mengetahui keadaan makanan itu disimpan. Kami meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan," kata kenyataan daripada rangkaian restoran McDonald's.
Menurut kenyataan itu, bakteria dan kulat membiak berdasarkan keadaan tertentu. Jika makanan kering secukupnya, ia tidak akan membesarkan bakteria atau kulat.
Wanita yang merakamkan gambar itu benci dengan dakwaan yang diterimanya menerusi e-mel bahawa dia menipu berhubung burger tersebut.
"Saya tidak tahu kenapa saya mahu menipu. Saya berharap orang ramai akan membeli burger itu dan melakukan beberapa eksperimen," katanya. - AFP "



DUNIA


Rumah RM3.2 bilion untuk empat beranak


GAMBAR menunjukkan bangunan 27 tingkat yang menempatkan rumah Mukesh Ambani di Mumbai, India masih dalam pembinaan.


MUMBAI - Sebuah bangunan setinggi 27 tingkat milik lelaki paling kaya di India, Mukesh Ambani, 53, sedang dibina manakala tingkat paling atas akan menjadi tempat tinggal untuk keluarganya seramai empat orang di Mumbai yang berharga AS$1 bilion (RM3.2 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.
Bangunan yang diberi nama Antilia itu setinggi 173.73 meter dan seluas 3,437 meter persegi.
Ia bakal dilengkapi dengan satu kelab kesihatan, gimnasium, studio tarian, sekurang-kurangnya satu kolam renang dan panggung wayang berkapasiti 50 tempat duduk.
Bangunan itu turut mempunyai tiga tempat pendaratan helikopter, 160 ruang tempat meletak kenderaan, sembilan lif dan empat taman tergantung.
Ia dijangka siap pada hujung bulan ini.
Ambani akan menggaji 600 orang kakitangan untuk bekerja di bangunan tersebut.
Keluarganya akan tinggal di bahagian atas hartanah itu yang membolehkan mereka melihat pemandangan ke arah Laut Arab.
Bahagian dalamannya direka oleh satu firma Amerika Syarikat (AS) yang mengambil konsep Asia kontemporari.
Ambani merupakan pemilik syarikat konglomerat Reliance Industries yang terlibat dalam perniagan minyak, peruncitan dan bioteknologi.
Dia dikatakan memiliki kekayaan sebanyak AS$28.8 bilion (RM88.8 bilion).
Beliau turut dinamakan sebagai orang keempat paling kaya di dunia oleh majalah Forbes. - Agensi


DUNIA


Guru bergambar separuh bogel di Facebook

BIRMINGHAM - Seorang guru di sebuah sekolah, Kirsty Cook-Bell, 33, kini disiasat selepas dia bergambar dalam keadaan separuh bogel di laman Facebook, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelajar-pelajar sekolah itu dikatakan telah menyaksikan imej guru tersebut yang memakai bikini.
Guru sains itu kini disiasat oleh pihak pengurusan sekolah tersebut.
Pihak pengurusan sekolah yang ditaja oleh sebuah yayasan Kristian itu enggan mengesahkan sama ada perkhidmatan guru berkenaan sudah digantung.
Namun, guru itu kini bercuti manakala siasatan tersebut dilakukan oleh kerajaan.
Pada malam kelmarin, Facebook guru itu tidak lagi boleh diakses. - Agensi



DUNIA


Wanita mati selepas berdiet

CHELLASTON - Seorang ibu di Britain pengsan dan mati mengejut di tempat kerja selepas dia melakukan diet untuk kelihatan langsing sebelum pergi bercuti bersama keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.
Ibu itu, Lucy Prince, 36, kehilangan berat badan lebih sembilan kilogram dalam tempoh sebulan dengan cuma mengambil minuman pelangsing dan melakukan senaman ketat.
Namun, jantungnya gagal berfungsi di tempat kerja dan dia rebah di hadapan pengurusnya di sebuah kilang kereta di sini England pada Jun lepas sebelum disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian.
Seorang ahli patologi, Dr. David Green memberitahu satu inkues pada Rabu lalu bahawa selepas diet, Prince mengalami tekanan darah rendah manakala kadar kalium dalam badannya pula sangat rendah dan berisiko menyebabkan kematian. - Agensi


Kenal seks usia 11 tahun

KUALA TERENGGANU - Trend ibu bapa yang membekalkan kemudahan telefon bimbit kepada anak-anak walaupun masih di bangku sekolah rendah dikenal pasti menjadi penyumbang utama masalah keruntuhan sosial remaja hari ini.

Pegawai Psikologi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu, Saidah Alawiyah Abdul Rahim berkata, ramai ibu bapa tidak sedar tindakan mereka menjadi pendorong besar anak-anak untuk terus tenggelam dalam dunia teknologi canggih ini.

“Mungkin ibu bapa menganggap tindakan mereka tidak salah kerana dapat memudahkan menghubungi dan mengesan di mana anak berada, tetapi realitinya, anak-anak hari ini lebih panjang akal jika dibandingkan generasi sebelumnya.

“Mereka boleh belajar pelbagai perkara melalui telefon bimbit dan apa yang membimbangkan, pada peringkat usia kanak-kanak, mereka lebih gemar belajar sesuatu yang dirasakan asing bagi mereka, seterusnya menimbulkan keseronokan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Saidah Alawiyah berkata, majoriti kanak-kanak dikesan mengenali dunia seks melalui kemudahan telefon bimbit sama ada dengan melihat gambar atau video lucah yang diperoleh daripada rakan.

“Jadi tidak mengejutkan jika saya katakan hampir 50 peratus kanak-kanak seawal usia 11 tahun sudah mengetahui apa itu seks dan ada dalam kalangan mereka menganggap seks adalah perkara biasa selagi tidak memudaratkan.

“Ini terbukti hasil ceramah yang saya adakan di sekolah, majoriti mereka menyatakan, bersentuhan dan berpegang tangan antara bukan muhrim adalah satu budaya dan tidak salah, malah paling menyedihkan, ada juga yang menyatakan membuat hubungan seks juga perkara biasa selagi tidak meninggalkan kesan seperti me­ngandung dan sebagainya,” katanya.

Saidah Alawiyah mengingatkan kepada ibu bapa hari ini lebih cakna dan prihatin dengan setiap gerak geri anak remaja mereka dan jangan sesekali mudah percaya dengan alasan yang diberikan walaupun menya­takan untuk ke kelas tambahan sekali pun.

“Biasanya, remaja hari ini suka menggunakan belajar sebagai alasan selamat untuk mereka berfoya-foya bersama rakan. Jadi, ibu bapa harus memantau dan jangan menerima bulat-bulat apa yang dinyatakan.

“Tidak salah jika kita tidak percaya kepada anak sendiri demi kebaikan mereka. Sewajarnya, ibu bapa membuat pemantauan dari masa ke masa terutama apabila mengetahui anak-anak berada di luar rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment