Wednesday, October 13, 2010

MACAM2 BERLAKU...TAKDIR YANG TELAH DITENTUKAN OLEH ALLAH

Polis sahkan mayat separuh bogel adalah jururawat, seorang lelaki ditahan



2010/10/13

KOTA KINABALU: Polis hari ini mengesahkan mayat seorang wanita separuh bogel yang dijumpai dihumban ke dalam sebuah longkang di Taman Kingfisher dekat sini semalam, adalah jururawat yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan petang semalam bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat itu, dan menolak rompakan sebagai motif pembunuhan.

Dalam perkembangan lain, seorang pemandu lori sebuah kedai menjual perkakasan di jalan pintas Tuaran dekat Inanam di sini, menjumpai selonggok kain yang kelihatan seperti pakaian seragam jururawat di belukar berhampiran longkang kedai itu.

Perkara itu dimaklumkan kepada majikannya yang hanya menghubungi polis kira-kira 2 petang selepas membaca laporan akhbar mengenai penemuan mayat jururawat berkenaan di lokasi yang terletak tidak jauh dari kedainya iaitu kira-kira satu kilometer.

Semalam, mayat Annie John Dismas, 39, dijumpai dalam keadaan mereput dengan kecederaan di kepala.

Dia dilaporkan hilang selepas berbual menerusi telefon dengan tunangnya kira-kira 3 petang.

Mangsa juga dilaporkan memberitahu tunangnya yang dia akan pergi ke Universiti Terbuka Malaysia untuk menghadiri kursus, dan kemudiannya ke Hospital Queen Elizabeth untuk melawat neneknya.

Bagaimanapun, Annie tidak pulang ke rumah malam itu.

Keesokan harinya, kereta Perodua Kancil milik mangsa ditemui kira-kira 2 pagi di Lorong Dewan, berhampiran Hotel Garden di pusat bandar raya.

Bapa mangsa, John Dismas berkata Annie dan tunangnya tiba ke bandar raya ini pada 30 September, dari Kudat, tempat dia bekerja


Pasangan itu menginap di rumah tunang Annie di Kampung Mahandoi, Penampang dekat sini.-Bernama


Mayat wanita tanpa seurat benang

KUANTAN - Mayat seorang wanita ditemui dipercayai mati akibat lemas ditemui terdampar dalam keadaan bogel di tebing pantai berhampiran gelanggang squash dekat Tembeling Resort di sini, petang semalam.

Mayat wanita tanpa identiti berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira jam 5.15 petang oleh sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an yang datang ke kawasan itu untuk mencari cacing umpan memancing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, identiti mangsa masih belum dikenalpasti dan pihaknya meminta sesiapa yang kehilangan anggota keluarga, menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan

Menurutnya, mayat mangsa berbadan agak gempal yang ditemui tanpa sebarang pengenalan diri itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan, mangsa disahkan mati akibat lemas dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah memandangkan tiada kesan kecederaan ditemui pada bahagian tubuh mayat itu.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati mangsa tidak mengalami serangan seksual atau dirogol dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Zulkifli berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh antara lima atau enam jam sebelum mayatnya ditemui terdampar di atas pasir pantai selepas air laut surut.

“Kita juga tidak menemui sebarang pakaian atau barang-barang milik mangsa di kawasan terbabit. Ada kemungkinan mangsa lemas di tempat lain sebelum mayatnya terdampar di situ akibat di bawah arus,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengenal pasti identiti mayat wanita itu masih dijalankan termasuk membuat semakan cap jari.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kes orang hilang sehingga hari ini (semalam),” katanya


AC Mizal hanya sekali beli baju raya anak: Shafnie

KAJANG – Shafnie Zainuddin mendakwa bekas suaminya, AC Mizal hanya sekali membeli pakaian untuk dua orang anaknya, selepas disahkan bercerai pada 17 Oktober 2001.

Shafnie, 34, berkata, pakaian itu diberi pengacara dan pelakon itu untuk dua anaknya iaitu Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, pada 2005.

“Seingat saya hanya sekali. Pada 2006 sehingga sekarang, sayalah yang menanggungnya,” katanya.

Ketika ditanya peguam mewakilinya Mohd Ridhwan Husin, adakah AC Mizal menanggung perbelanjaan persekolahan kedua-dua anaknya, Shafnie dengan nada sedih berkata, AC Mizal tidak pernah berbuat demikian.

“Dia (AC Mizal) tidak pernah sekali-kali melawat anak di sekolah atau berjumpa guru bertanyakan mengenai prestasi anaknya,” katanya.

Sharnie juga bersetuju dia mengetahui mengenai kemampuan pendapatan bekas suaminya AC Mizal melalui media yang menyiarkan kemewahannya.

Menurutnya, perkara itu diketahuinya apabila pelakon dan pengacara itu tersenarai dalam lima orang terkaya di Malaysia.

“Saya diberitahu perkara itu oleh seseorang yang membaca artikel berkenaan daripada akhbar tempatan.

“Saya lihat AC Mizal tidak pernah menyaman mana-mana media berhubung kenyataan itu, malah dia sangat berbangga,” katanya.

AC Mizal diwakili Peguam Syarie, Aishah Din dengan ditemani seorang rakannya.

Dalam permohonan tersebut, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin menuntut agar jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan


Ada konspirasi mereka untuk kenakan saya: Ameng Spring

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret semalam menetapkan 25 Oktober ini bagi mendengar hujahan bertulis perbicaraan penyanyi yang terkenal dengan lagu Boganvilla, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali Ameng atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Hakim Zaki Asyraf Zubir, menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan dikemukakan peguam Ameng, Kamarulzaman Abdul Rahman dan pihak pendakwa secara lisan sebelum membuat keputusan.

Ameng memberitahu wujud konspirasi antara bekas isterinya, pelakon dan pengarah Zaidah Awang atau A Aida dan suami, Asisten Superintendan Sufian berhubung penahanannya disyaki mengambil dadah jenis ganja Mei lalu.

Ameng yang ditemani isteri Sabariah Zakaria dan anaknya hadir ke mahkamah bagi mendengar perbicaraan kes penyalahgunaan dadah jenis ganja ke dalam badannya.

Ketika disoal mengapa tertuduh berpendapat begitu, Ameng berkata bahawa apa yang berlaku kerana bekas isterinya melarang Ameng berjumpa dengan kedua-dua puterinya yang berada di bawah jagaan A.Aida.

“Sebagai bapa yang bertanggungjawab sudah tentu saya ingin meluangkan masa dengan anak-anak bila ada kelapangan, tetapi sikap Aida yang melarang saya berjumpa dengan mereka amat dikesali,” katanya.

Disebabkan tidak puas hati kerana dianggap mengganggu hal rumahtangganya, suami A.Aida iaitu ASP Sufian telah menegah saya untuk berjumpa anak-anak dan sekiranya saya ingkar Sufian akan melakukan sesuatu yang menyebabkan Ameng ditahan pihak polis.

Terdahulu, Ameng, 41, pada 7 September 2010 didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Undang-Undang Dadah Berbahaya, yang dikenakan denda tidak lebih RM5, 000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan

Sultan Kelantan tarik dua anugerah Datuk kepada Ibrahim Ali



2010/10/13

KOTA BAHRU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran Datuk kepada Anggota Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali,59, dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud, 64.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim, 65, dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 45.
Ketika mengumumkan perkara itu pada satu sidang akhbar di sini hari ini, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

"Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara," kata Mohd Aiseri.-Bernama



Polis sahkan penyokong bola sepak mati mengejut bukan akibat pergaduhan



2010/10/13

KUALA SELANGOR: Polis mengesahkan kematian seorang penyokong bola sepak pasukan Kelantan selepas menyaksikan perlawanan menentang Selangor malam tadi di Stadium Shah Alam, sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mangsa, Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok, Kelantan meninggal dunia sebaik tiba di tempat letak kereta selepas menonton perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
"Mangsa sebenarnya mengadu sakit dada kepada rakan-rakannya ketika menonton perlawanan itu, dan telah diberikan rawatan oleh pasukan paramedik, namun sebaik tamat perlawanan, mangsa dikatakan semakin lemah dan terus meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Alam Jaya, di Ijok hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak desas-desus bahawa mangsa mati akibat pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis belum mendapat salinan akuan bersumpah (SD) Muhamad Rahimi Osman, bekas pembantu penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dokumen itu ditandatangani Muhamad Rahimi berhubung kes liwat Anwar dan Mohd Saiful pada 2008.

"Kita merakam lebih dari tujuh percakapan individu yang dikaitkan dengan SD itu, termasuk Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR) semalam dan akan memanggil beberapa lagi individu, termasuk wakil rakyat," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan termasuk meneliti rakaman percakapan yang dibuat.

Sementara itu, Khalid sekali lagi meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati berhubung kes yang berlaku kerana ia akan menganggu siasatan, serta boleh menimbulkan salah faham kepada orang ramai.

Beliau berkata, sejak pembukaan pondok polis di Alam Jaya itu, kadar jenayah di kawasan berkenaan semakin berkurangan.

"Setakat ini, kita tempatkan dua anggota di pondok polis ini dan akan dibantu pasukan peronda serta anggota dari Kuala Selangor. Pertambahan anggota juga akan dibuat secara berperingkat-peringkat," katanya.

Pondok polis seluas dua unit rumah kedai dua tingkat yang bernilai kira-kira RM1.1 juta itu merupakan sumbangan pemaju kawasan perniagaan di Alam Jaya iaitu Barisan Elite Sdn Bhd.-Bernama

Bapa "tension gigit anak" dipenjara 40 bulan



2010/10/13

PUTRAJAYA: "Saya geram, saya tension, saya gigit anak saya", kata seorang bapa ketika merayu di Mahkamah Majistret Kajang hari ini supaya dikenakan hukuman ringan selepas mengaku mendera anak perempuannya yang berumur tiga bulan.
M Zaire Zulkapli, 24, dari Jempol, Negeri Sembilan, memberitahu mahkamah dia bertengkar dengan isterinya selepas wanita itu enggan memenuhi permintaannya supaya mengisi air dalam botol.
Ditanya Majistret A Akhiruddin mengapa dia sendiri tidak mengisi air ke dalam botol, tertuduh yang juga seorang peniaga, hanya berdiam diri.

Ketika merayu hukuman ringan, Zaire memohon maaf atas perbuatannya itu.

Akhiruddin kemudian menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan ke atas tertuduh, yang berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 Oktober lalu.

Zaire didakwa menganiaya dan mendera Noor Hafizah Ezaty sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi di rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, pada 7 malam, 29 September tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun, Noor Hafizah dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad kritikal untuk pemeriksaan selepas bapa saudara bayi itu menyedari anak bongsu pasangan berkenaan menangis berterusan di pangkuan ibunya.

Pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu mengalami pendarahan di bawah mata kanannya, kesan gigitan di bahagian kaki kiri dan kanan serta bengkak di pipi kanan.-Bernama

"Biar polis siasat dulu, jangan buat kenyataan yang seperti menangguk di air keruh," katanya.

Terdahulu, Khalid berkata, hubungan dua hala antara masyarakat dan polis adalah amat penting dalam membendung kadar jenayah seperti yang dilakukan di kawasan perniagaan dan industri Alam Jaya di sini


Ahirudin beri keterangan dakwaan babitkan anak Rais



2010/10/13

CYBERJAYA: Penulis blog Rocky's Bru hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini berhubung laporan dalam blognya yang mengaitkan anak lelaki Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rocky's Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Attan tiba pada jam 11.30 pagi dan selesai memberi keterangan kepada seorang pegawai SKMM satu setengah jam kemudian.
Ketika ditemui pemberita, Ahirudin berkata, beliau diminta hadir bagi memberi keterangan bagi membolehkan siasatan terhadap laporan dalam blognya itu berjalan dengan lancar.

"Soalan yang ditanya berdasarkan kepada perkara-perkara rutin... sama ada blog itu milik saya dan beberapa perkara lain," katanya.

Semalam, Rais membuat laporan polis berhubung dakwaan blog Rocky's Bru itu kononnya anak lelakinya mempunyai kepentingan dalam kementerian berkenaan dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

Ahiruddin berkata, beliau juga bersedia menyerahkan komputer peribadinya kepada SKMM seperti yang diminta bagi membantu siasatan isu itu.

Katanya, setakat ini, beliau belum dihubungi oleh pihak polis untuk memberikan keterangan berhubung laporan itu.

Beliau berkata, Rais sepatutnya tidak membuat laporan polis sebaliknya menafikan bahawa anaknya terbabit dalam pemberian geran RM1 bilion itu.

"Saya kecewa dengan tindakan menteri. Beliau sepatutnya mengambil masa untuk memahami mesej yang cuba disampaikan," katanya.-Bernama


Polis bebas tiga individu disiasat kes Sosilawati



2010/10/13

KUALA LUMPUR: Polis hari ini membebaskan seorang wanita dan dua lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Menurut laman web Polis Diraja Malaysia dalam Facebook petang ini, pembebasan wanita itu dibuat dengan bon mahkamah, manakala dua lelaki berkenaan dengan jaminan polis selepas empat suspek kes itu didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting di Selangor pagi ini.
Peguam N Patmanabhan, 41, bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai CIMB Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat, Banting, Selangor antara 8.30 malam hingga 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan wanita itu, Jesyntha Clarene Isreal, 27, dan adik lelaki Patmanabhan serta seorang lagi lelaki, dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Dua suspek lain masih ditahan reman sehingga Jumaat ini.-- BERNAMA






Malang bersuamikan kaki pukul

PASIR GUDANG – Penderitaan seorang isteri di Taman Cendana di sini tidak pernah berakhir apabila sering menjadi mangsa dipukul suami dan hidup dalam kesempitan apabila terpaksa menyara empat anak.

Norshamsinar Temban, 44, berkata, kesabarannya hilang apabila suami bukan sahaja seorang yang tidak bertanggungjawab apabila tidak mahu bekerja, tetapi kerap memukulnya dan anak-anak.

Menurutnya, suaminya ditahan polis dan dipenjarakan selama setahun setengah selepas dia membuat laporan dengan harapan suaminya akan berubah selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

“Saya ingat dia akan berubah selepas selalu berutus surat sepanjang dipenjara dan berjanji tidak akan bersikap seperti dulu, tetapi janji hanya tinggal janji apabila dia pulang masih memukul saya dan anak-anak.

“Saya sedih kerana dia tidak bekerja, sedangkan saya yang mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga, tetapi masih memukul saya dan anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Norshamsinar berkata, suaminya kini masih dipenjara apabila ditahan polis bulan lepas selepas cuba mengugut untuk menikam anak perempuannya dengan pemutar skru.

Menurutnya, anak lelakinya yang bersekolah tadika baru kembali memulakan sekolah minggu lepas selepas digantung sekolah kerana gagal menjelaskan tunggakan yuran sebanyak lebih RM500.

“Hati saya sayu apabila setiap hari anak saya bertanya bila boleh ke sekolah lagi, sedangkan hendak makan pun susah apatah lagi hendak menjelaskan yuran yang tertunggak.

“Demi anak saya tebalkan muka cuba memohon bantuan dengan pihak yang saya fikir boleh membantu saya, tetapi hampa dan sehingga sekarang wang RM100 yang diberikan masih tidak digunakan,” katanya.

Norshamsinar berkata, hidupnya bertambah susah apabila terpaksa menanggung beban hutang anak sehingga sewa rumah tertunggak lebih RM4,000 dan bekalan air bersih terpaksa dipotong.

Menurutnya, bekalan elektrik juga baru disambung kembali selepas separuh tunggakan dibayar dan kini menggunakan bekalan air secara haram walaupun sudah empat kali ditangkap.

“Saya terpaksa mencuri bekalan air kerana keadaan saya yang terlalu terdesak dan tidak tahu untuk mendapatkan bantuan daripada siapa yang boleh membantu meringankan beban hidup yang kami tanggung.

“Terima kasih kepada ustaz (Ketua Pusat Aduan Rakyat Cawangan Taman Cendana, Kelana Bakri) kerana bersusah payah membantu kami sehingga anak lelaki saya sudah boleh bersekolah kembali dan semua pihak yang sudi membantu,” katanya.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana boleh bertimbang rasa dengan masalah yang dihadapi keluarga itu selepas dimaklumkan.

Menurutnya, pihaknya juga akan berusaha memanjangkan masalah yang dihadapi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

“Kita akan berusaha menguruskan permohonan bantuan keluarga ini kepada pihak JKM terutama selepas melihat kesungguhan anaknya yang berumur enam tahun hendak bersekolah,” katanya

No comments:

Post a Comment