Wednesday, October 13, 2010

SAMPAI HATI..BILA FIKIRAN TIDAK WARAS KETIKA ITU

'Aida mahu lihat saya menderita'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

2010/10/13
KUALA LUMPUR: “Saya anggap ini konspirasi membabitkan bekas isteri saya dan suaminya untuk menjatuhkan saya,” kata vokalis kumpulan Spring, Ameng ketika membela diri bagi tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
BELA DIRI...Ameng ditemani isterinya, Sabariah dan anak.
BELA DIRI...Ameng ditemani isterinya, Sabariah dan anak.
Ameng atau nama penuhnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, memberitahu mahkamah bekas isterinya, pelakon, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang dan suaminya, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman membuat pakatan secara sengaja untuk melihat dia menderita serta merosakkan kerjaya dengan memburukkan nama baiknya.

Menurutnya, kejadian bermula pada 3 April lalu selepas dia meminta izin bekas isterinya melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) mengambil dua anaknya pulang bercuti di kampung di Besut, Terengganu.

“Bagaimanapun, dia tidak benarkan dan tidak mengizinkan saya berjumpa anak di masa hadapan.

“Sehari selepas itu, saya mendapat panggilan telefon daripada Suffian meminta saya tidak mengganggu keluarganya lagi termasuk tidak mengambil tahu hal dua anak saya atau saya dimasukkan ke penjara,” katanya.

Ameng berkata, selang tiga hari kemudian iaitu pada 6 April lalu, dia mendapat panggilan telefon daripada Inspektor Nor Zahirah dari Balai Polis Setapak untuk memberi keterangan berhubung laporan polis dibuat bekas isterinya di balai itu atas tuduhan mengugut

Katanya, selepas tiga jam memberi keterangan di Balai Polis Setapak, secara tiba-tiba dia diarahkan Nor Zahirah ke Balai Polis Sentul untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Saya dimaklumkan Nor Zahirah arahan itu diterimanya daripada pihak atasannya iaitu Asisten Superintendan Suffian,” katanya apabila disoal peguam belanya, Kamarulzaman Abdul Rahman berhubung aduan dibuat A Aida yang mendakwa dia diugut bekas suaminya itu

Apabila disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias bagaimana hubungannya dengan Suffian, Ameng mengakui pernah bertemu suami bekas isterinya itu ketika mengambil dua anaknya di rumah mereka sebelum ini.

Ameng turut menafikan kenyataan ujian saringan air kencingnya dilakukan Lans Koperal Mohd Zaidi Azhari, Inspektor Mohamad Nizan Mohamad Nor dan Detektif Koperal Norazman Mohamed, sebaliknya mendakwa ia dilakukan empat anggota polis yang membawanya dari Balai Polis Setapak.

“Saya yakin masih waras ketika itu dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika ujian dijalankan. Kalau tidak bagaimana saya boleh memandu ke Balai Polis Setapak sebelum itu,” katanya apabila dicadangkan Siti Hajar bahawa dia tidak sedar ketika ujian itu dijalankan.

Penyanyi kumpulan Spring yang popular dengan lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati itu berkata demikian ketika membela diri pada prosiding perbicaraan bagi tuduhan memasukkan ganja pada 2 April lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 3.45 petang, 2 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, isteri Ameng, Sabariah Zakaria, 40, yang dipanggil menjadi saksi pembelaan turut mengesahkan ada menemani suaminya ke balai polis untuk memberi keterangan mengenai aduan bekas isterinya yang diugut.

“Selepas tiga jam dia disoal siasat, saya diminta pulang kerana dimaklumkan Ameng akan dibawa ke Balai Polis Sentul,” kata Sabariah.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 25 Oktober ini bagi kedua-dua belah pihak mengemukakan hujahan bertulis.




Ajal keadaan bersujud

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

2010/10/13

HULU SELANGOR: “Saya tergamam sebaik mendapat berita bapa saudara mati ditembak dalam rumahnya. Sungguh kejam penjenayah yang sanggup mengambil nyawanya selepas gagal menyamun mangsa,” kata Zainuddin Mohd Shuhaimi, 40, anak saudara kepada bekas tentera, Saad Johari Yamin, 73, yang mati ditembak di rumahnya, di Kampung Keliang, Kalumpang, dekat sini, malam kelmarin.
PILU...jenazah mangsa diusung penduduk Kampung Keliang untuk dikebumikan, semalam. Gambar kecil, Saad.
PILU...jenazah mangsa diusung penduduk Kampung Keliang untuk dikebumikan, semalam. Gambar kecil, Saad.
SEBAK...Enson (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
SEBAK...Enson (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
Kejadian berlaku pada jam 11.58 malam apabila mangsa cuba menjerit meminta pertolongan setelah rumahnya dimasuki penjenayah ketika dia dan isteri, Enson Rashid, 65, sedang tidur.

Menurut Zainuddin, bapa saudaranya ditembak daripada jarak hanya satu meter di ruang tamu rumah apabila seorang penjenayah menyedari kehadirannya di situ.

Katanya, isteri mangsa yang tidur dalam bilik tersedar selepas tembakan itu, namun mendapati suaminya jatuh dan mati di hadapannya.

“Ketika itu, saya berada di rumah di Shah Alam, dan menerima panggilan telefon daripada isteri mangsa memaklumkan khabar buruk itu.

“Apabila tiba di sini, saya mendapat maklumat lanjut kejadian menyayat hati itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam

Menurut Zainuddin, dua anak mangsa iaitu Salmah, 48, dan Abd Aziz, 47, yang tinggal di Keramat dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur dimaklumkan kejadian itu turut bergegas ke kampung mereka, jam 2 pagi semalam.

Katanya, lebih memilukan apabila mangsa rebah dengan keadaan bersujud di tempat kejadian itu

Isteri mangsa yang sukar menerima berita itu masih trauma dan pengsan beberapa kali ketika menatap jenazah suaminya sebelum dikebumikan semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata suspek mengumpil pintu belakang rumah mangsa.

Katanya, seorang penjenayah menggunakan pistol menembak tepat bahagian dada kiri mangsa sebelum dia rebah dan mati di tempat kejadian.

“Penjenayah bagaimanapun, gagal melarikan harta benda dan wang setelah melepaskan satu das tembakan kepada mangsa,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), jam 12 tengah malam semalam untuk dibedah siasat.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keliang, jam 2.30 petang semalam.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Selangor, S Yogendran dan Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Anwar Ridhawi Abd Rahim yang melawat keluarga mangsa petang semalam turut menyampaikan sumbangan.



Anak tunggal kebas duit KWSP

Oleh Amir Abd Hamid

2010/10/13

KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang ibu tunggal apabila mendapati wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah ratusan ribu ringgit yang baru diperoleh apabila bersara selepas puluhan tahun bekerja lesap dari akaun banknya.
Lebih menyedihkan apabila pesara kilang elektronik berusia lewat 50-an itu mendapat tahu orang yang melesapkan wang RM117,000 itu ialah anak lelaki tunggal kesayangannya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bank, di sini.

Mangsa yang hanya menyedari kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya hilang baru-baru ini, membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Balai Polis Jinjang, dekat sini.

Menurut sumber, sebaik melihat wajah anak lelaki dan menantunya bergembira mengeluarkan wang menggunakan kad ATM miliknya, wanita terbabit menangis teresak-esak, menggeletar seluruh tubuhnya dan hampir pengsan.

“Wanita itu beristighfar panjang dan menjadi tidak keruan apabila rakaman terbabit menunjukkan anak dan menantunya berulang kali mengeluarkan wang simpanannya menerusi ATM daripada RM117,000 hingga tinggal RM15.44 sen,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa sedih dan kecewa dengan perbuatan anak serta menantunya dan hasratnya untuk membeli rumah menggunakan wang KWSP itu tidak kesampaian
“Ketika mangsa membuat laporan, polis sudah mengesyaki kemungkinan keluarga terdekat melakukan perbuatan itu.

“Ini disebabkan dia kehilangan kad ATM yang disimpan di dalam tas tangannya. Bagaimanapun, wanita terbabit enggan menerima kemungkinan itu kerana menganggap anak tunggal kesayangannya itu tidak akan mengkhianatinya ,” katanya

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa meminta bantuan pihak bank untuk melihat rakaman CCTV pada tarikh pengeluaran wang berkenaan dilakukan.

Sumber itu berkata, berdasarkan rekod dan rakaman CCTV bank berkenaan, anak lelaki dan menantu mangsa membuat pengeluaran melalui ATM sebanyak 52 kali dan 16 kali transaksi pindahan bank dalam tempoh sebulan dengan jumlah transaksi maksimum RM5,000 sehari.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an terbabit kini menyembunyikan diri dengan membawa isteri dan tiga anak selepas menyedari rahsia kemungkaran dan tindakan derhaka itu diketahui ibunya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan

No comments:

Post a Comment