Monday, October 11, 2010

INI SEMUA TAKDIR DALAM KETENTUAN ALLAH...AGAR KITA SEDAR BERTAPA MAHA KUASANYA ALLAH...DAN KITA KENA SEDAR BAHAWA KITA LEMAH UNTUK MELAWAN KETENTUAN ALLAH..JADI BERTAQWALAH

Aaron Aziz Dijangkiti Virus "Kencing Tikus"

Aaron risau jika dia terkena virus kencing tikus seperti arwah Din Beramboi.
PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana, Damansara dekat sini selama tiga hari bermula Khamis lalu selepas dipercayai terkena virus kencing tikus (Leptospirosis).
Menurut Aaron, dia telah mengalami demam panas yang teruk selepas pulang daripada penggambaran filem, Endless Day, di hutan Changi, Singapura baru-baru ini.
"Sejak 30 September lalu, saya sibuk dengan penggambaran filem daripada produksi Akanga Films Asia yang memerlukan saya menjadi seorang lelaki yang memiliki semangat harimau.
"Kebanyakan babak memerlukan saya berguling serta merangkak di hutan sampai muka pun kotor-kotor. Saya perlu melalui cabaran itu selama seminggu pada setiap malam.
"Jadi bila pulang ke Kuala Lumpur, saya mengalami demam panas sehingga suhu badan saya mencecah 40 darjah Celsius. Isteri saya terus mengajak saya ke hospital dan terkejut bila mendapat tau saya dikatakan dijangkiti penyakit kencing tikus," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Tambah Aaron, ketika doktor memberitahu tentang penyakitnya itu, dia mula risau sekiranya keadaan kesihatan dia menjadi semakin serius.
"Alhamdulillah, akhirnya selepas mendapatkan rawatan, saya dibenarkan keluar wad pada Sabtu lalu selepas diberi beberapa suntikan antibiotik. Doktor kata, jika saya melengah-lengahkan untuk mendapatkan rawatan, berkemungkinan besar penyakit saya boleh jadi lebih teruk.
"Bayangkan ketika penggambaran di Singapura, saya terloncat sana sini di dalam hutan walaupun hujan. Mungkin penyakit saya alami itu berpunca dari sana. Doktor menasihatkan saya untuk rehat selama beberapa hari dan saya diminta untuk mengurangkan apa-apa aktiviti di hutan kerana takut jika penyakit itu datang semula.
"Apa-apa pun, mujurlah pihak produksi tersebut memberi insurans kepada setiap pelakonnya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya yang gembira kerana sempat menyambut ulang tahun hari lahir anak sulungnya, Danish yang ke enam pada Ahad lalu.
Sementara itu, Aaron juga berterima kasih kepada pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam yang melawatnya di hospital baru-baru ini.


Penerima Jantung Mekanikal, Winnie Chen Mati Otak 
KUALA LUMPUR: Winnie Chen yang menggunakan jantung mekanikal lebih dua tahun lalu dilaporkan mati otak selepas mengalami strok Khamis lalu.
Menurut Institut Jantung Negara (IJN), beliau menjalani rawatan strok di Unit Rawatan Rapi institut berkenaan.
Pusat Sumber Transplan Nasional yang diketuai Datin Dr Lela Yasmin telah melakukan ujian kematian otak terhadapnya hari ini.
Winnie, 25, sebelum ini telah berpesan supaya mendermakan organnya kepada orang lain dan ini telah dipersetujui oleh ahli keluarganya untuk menderma paru-paru, mata, hati dan buah pinggangnya.
Kenyataan IJN menyebut, organ Winnie boleh diperolehi pada 7 malam hari ini.
IJN menyanjung tinggi ketabahannya mengharungi hidup menerusi jantung mekanikalnya dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang sanggup menderma organ Winnie kepada orang lain. - BERNAMA



Polis Periksa Kotak Hitam Bas Ekspres Bagi Tentukan Punca Kemalangan Maut
KUALA LUMPUR: Polis pada Isnin sedang meneliti peralatan kotak hitam yang dipasang di dalam bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Rembau, petang semalam.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata siasatan dari semua sudut termasuk pemeriksaan kotak hitam sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar berlakunya kemalangan maut terburuk untuk tahun ini.
"Kita akan melaksanakan segala proses siasatan termasuk dari semua sudut bagi memastikan bagaimana tragedi itu boleh berlaku.. setakat ini kita sendiri belum dapat pastikan bagaimana sebenarnya kejadian itu berlaku.
"Buat masa ini yang kita tahu, bas itu terbabas di jalan bersebelahan sebelum melanggar beberapa kenderaan.. justeru saya minta semua pihak agar jangan membuat sebarang andaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Derma Kurnia Motosikal dan Motokar oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar kepada PDRM di Bukit Aman di sini.
Beliau berkata hasil semakan dan siasatan awal mendapati bas, syarikat bas serta pemandu bas tersebut yang turut maut dalam kemalangan itu, memiliki rekod bersih dan tiada rekod saman tertunggak.
Katanya, berdasarkan rekod, syarikat bas tersebut juga tidak pernah terlibat dalam kemalangan serius sebelum ini dan usia pemandu lori tersebut iaitu 52 tahun disifatkan sebagai cukup berpengalaman.
"Buat masa ini kita jangan tuding jari pada sesiapa.. kita tengok pada hasil siasatan nanti, siapa dan apa punca kejadian itu," katanya.
Abdul Aziz berkata menurut rekod juga, pernah beberapa kali kenderaan mengalami kemalangan di lokasi yang sama memandangkan kawasan tersebut agak gelap.
"Kalau kita tengok rekod, kemalangan itu tidaklah dikatakan kerap atau lokasi kemalangan maut walaupun kawasan itu agak gelap.. tetapi kemalangan ini berlaku pada waktu petang iaitu kira-kira 6.47 petang dan keadaan pada masa itu masih terang," katanya.
Beliau berkata bas ekpres tersebut bertolak pada pukul 6 petang dengan 40 penumpang dari Melaka sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira 45 minit kemudian.
Katanya, sehingga ini seramai 12 individu disahkan terbunuh manakala 38 yang lain cedera termasuk 10 parah dalam kemalangan yang membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta itu.
Dalam kejadian semalam, bas ekspres Delima tersebut dikatakan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas serta melanggar pembahagi lebuh raya lalu melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas serta menghempap dua buah kereta. - BERNAMA



Enam Laporan Suspek Pembunuhan Banting Libatkan Penipuan

KUALA LUMPUR: Kesemua enam laporan polis terhadap peguam dan adiknya yang disyaki suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya adalah berkaitan kes penipuan dan bukannya pembunuhan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, laporan polis yang dibuat antara 19 Ogos 2005 dan 14 September tahun ini merupakan kes jual beli tanah dan penipuan.
"Bolehkah anda bayangkan berapa banyak kes penipuan dilaporkan setiap hari, untuk kaitkan semua kes-kes berkenaan dengan kes pembunuhan adalah tidak munasabah," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Terdahulu pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Hishammuddin memberitahu bahawa kesemua laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Banting, masing-masing bertarikh 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 dan 14 September 2010.
Beliau berkata, daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes telah selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah.
Selain itu Hishammuddin turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa polis tidak menyiasat laporan yang dibuat terhadap suspek kes Solilawati berkenaan.
"Tak ada laporan berkenaan orang hilang dikaitkan dengan suspek sebelum ini. Hanya satu laporan dibuat oleh abang seorang ahli perniagaan India, A. Muthuraja pada 29 Mac.
"Ia berkaitan surat berkaitan kehilangan, namun kes ini lebih terarah kepada kes kesalahan penipuan," katanya.
Tambah Hishammuddin, suspek berkaitan kes Muthuraja tiada kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah sebelum keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.



Zac Efron Rasa Janggal Berdiri Sebelah Vanessa
Zac dan Vanessa mula bercinta sejak tahun 2005 lagi, ketika kedua mereka membintangi High School Musical.
SEJAK bercinta dengan pelakon jelita Vanessa Hudgens pada 2005, Zac Efron membuat kenyataan bahawa dia berasa janggal setiap kali berdiri bersebelahan dengan kekasihnya itu.
Katanya, Vanessa terlalu cantik dan tidak sesuai dengan dirinya yang dianggap selekeh.
"Dia terlalu bergaya untuk saya. Kadang kala terasa saya tidak sesuai berdiri bersebelahan dengannya lebih-lebih lagi pada majlis-majlis berprestij berlangsung," tuturnya seperti dipetik laman portal Malefirst.
Tambah Zac, dia gembira mempunyai kekasih seperti Vanessa kerana gadis itu sukar untuk membuatnya marah.
"Bercinta dengan Vanessa membuatkan segala perkara berjalan dengan mudah. Kami memahami antara satu sama lain tanpa perlu menerangkan sesuatu terlalu banyak.
"Kalau nak tahu saya seorang lelaki cerewet, mengalahkan perempuan. Malah saya membuatkan orang menyampah dengan diri saya kecuali Vanessa yang terlalu memahami saya," ujarnya.
Pelakon berusia 22 tahun itu juga mengakui yang Vanessa hanya untuk dirinya. Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.
Beritahu Zac yang membintangi filem Charlie St. Cloud, dia mungkin akan berkahwin pada usia 40 tahun


Penumpang: Bas Cuba Potong Kenderaan Tapi Gagal
SEREMBAN: Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama itu berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.
"Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.
Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.
"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.
Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, di Rembau.
Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.
"Bila saya sedar seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas sudah tercabut," katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.
Katanya doktor terpaksa menyedut serpihan kaca yang masuk ke dalam telinganya.
Seorang lagi mangsa yang selamat, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang kehilangan sebahagian kulit dan daging di pergelangan tangan kirinya berkata dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.
"Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah," katanya.
Beliau berkata ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.
"Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan dan dimaklumkan ia terkoyak semasa kemalangan itu berlaku," kata pelajar Universiti Malaya itu.
Sementara itu, beberapa lagi mangsa yang cedera tidak dapat ditemubual kerana masih berada dalam keadaan lemah dan trauma berikutan kejadian itu.
Turut kelihatan beberapa ahli keluarga mangsa yang terselamat di bilik wad berkenaan dan perkarangan menunggu di luar wad terbabit.
Sehingga kini, HTJ telah menerima 24 mangsa yang cedera di tiga wad iaitu wad pembedahan, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad 'High Dispency' (HDW) dan kesemua mangsa dilaporkan stabil serta diberi perhatian sebaik mungkin oleh doktor yang bertugas.
Dalam kemalangan itu, 12 orang terbunuh, manakala lebih 40 dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan dua kereta dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.40 petang.
Kejadian itu berlaku, semasa bas ekspres Delima yang dipandu laju, gagal mengawal kenderaan apabila
terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van, bas sebelum menghempap dua kereta. - BERNAMA


Bapa terkilan anak tidak sempat terima ijazah



2010/10/11

MELAKA: Seorang bapa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggengam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) apabila anaknya itu terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, semalam.
Abdul Karim Jamaludin, 60, berkata anaknya Norazmi, 24, dijadual menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Jumaat ini.
"Anak saya pergi ke Kuala Lumpur petang semalam menaiki bas ekspres untuk berjumpa kawan-kawannya bagi membuat persiapan menghadiri konvokesyen itu dan kemudian pergi bersama kawan-kawanya ke UPSI," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, 12 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah van dan tiga kereta.

Abdul Karim yang reda dengan pemergiaan anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kempas, Selandar hari ini.

Sementara itu, Maria Johan, 54, ibu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, Azizi Ajis, 19, berkata anaknya yang baru bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur, menyatakan dia rasa malas untuk pulang ke ibu negara mungkin kerana dia sayang untuk berpisah dengan adik- beradiknya.

"Beliau (Azizi) sempat minta maaf dengan Pak Longnya yang akan menunaikan fardu haji dan minta (Pak Long) doakan dia berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur," katanya yang tinggal di Kampung Gapis, Nyalas di Jasin.

Maria berkata Allahyarham, anak ketiga daripada lima adik-beradik, tidak menunjukkan perubahan yang luar biasa sebelum kemalangan itu berlaku.

Isteri kepada R Ramachandra, 52, pemandu bas ekspres itu, M Gayarati, 47, berkata dia kali terakhir melihat suaminya ketika Ramachandra keluar untuk pergi bekerja pada jam 11 pagi semalam.

"Jam 9 malam tadi kakak saya beritahu ada kemalangan bas ekspres di lebuhraya (Utara-Selatan) saya terus pergi Melaka Sentral (stesen bas) dan dapat tahu kemalangan yang melibatkan suami saya," katanya yang tinggal di Kampung Tengah, Klebang Besar di sini.

Katanya, suaminya adalah seorang pemandu yang berhemah dan berpengalaman yang telah bekerja dengan syarikat bas ekspres itu selama tiga tahun selepas bekerja dengan sebuah syarikat bas bandaran di Melaka selama 15 tahun

Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, penumpang bas ekspres yang maut dalam kemalangan itu berkata, ini adalah tragedi malang untuk anaknya yang pertama kali menaiki bas ekspres.

"Anak saya sebelum ini tidak pernah berjalan jauh berseorangan, kalau nak jalan jauh pun kami pergi sekeluarga menaiki kereta," katanya.

Katanya, anaknya ke Kuala Lumpur kerana ingin berjumpa dengan seorang rakan dan sepatutnya pulang ke Melaka pada esok (Selasa).-Bernama



No comments:

Post a Comment