Rangka wanita Perancis di gua
KUANTAN - Wanita Perancis yang hilang tiga bulan lalu selepas melancong ke Pulau Tioman dekat sini ditemui dibunuh kejam dengan mayat mangsa ditanam dalam sebuah gua di Kampung Tekek di pulau peranginan itu semalam.
Mayat Stephanie Foray, 30, yang belum berkahwin ditemui pada pukul 1 petang oleh polis ekoran penahanan dua lelaki warga tempatan di Kampung Tekek pada 24 Julai lalu.
Mayat mangsa ditimbus dalam lubang di gua itu sedalam tiga meter dan polis mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan rangka dipercayai milik Stephanie.
Seorang daripada suspek itu merupakan seorang ahli perniagaan berumur 44 tahun yang memiliki sebuah pondok ala inap desa dan sebuah kafe manakala seorang lagi suspek merupakan sepupu kepada ahli perniagaan itu.
Mengikut laporan sebuah akhbar sebelum ini, mangsa tiba di pulau itu dengan feri pada 10 Mei lalu melalui jeti Mersing di Johor dan didakwa tinggal di pondok milik ahli perniagaan itu.
Sejak masuk ke pulau itu, tiada rekod menunjukkan mangsa meninggalkan pusat peranginan tersebut sama ada melalui jalan air atau udara.
Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mencari mangsa selepas menerima laporan daripada atase Perancis di Singapura mengenai kehilangannya pada 27 Jun lalu.
Mengikut satu sumber, Stephanie sebelum ini kerap berhubungan dengan keluarganya di Perancis melalui e-mel.
"Namun selepas keluarga mangsa tidak menerima kiriman e-mel mangsa dalam tempoh yang lama, mereka membuat laporan kepada atase Perancis di Singapura," kata sumber itu.
Polis kemudian menghebahkan kehilangan mangsa yang bekerja sebagai pegawai komunikasi di Perancis melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan suspek pertama, seorang ahli perniagaan. Lelaki itu ditahan selepas polis berjaya mengesan penggunaan telefon bimbit milik mangsa oleh suspek terbabit.
Beberapa hari selepas penahanan ahli perniagaan itu, polis kemudian menahan sepupu kepada suspek pertama itu yang memiliki sebuah kebun.
Suspek pertama didakwa penduduk kampung pernah menaiki motosikal bersama Stephanie.
Sumber itu memberitahu, soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan satu rangka manusia ditimbus dengan batu-batan di dalam sebuah gua di kampung tersebut. Jarak gua dengan pondok didiami mangsa ialah 100 meter.
Turut ditemui bersama rangka dipercayai milik Stephanie adalah sebuah bantal dan tilam serta cebisan pakaian.
Mangsa dipercayai dibunuh tiga bulan lalu ketika dia tinggal di pondok milik suspek pertama.
Mayat mangsa kemudian ditimbus dalam gua di belakang tempat pondok tersebut.
Motif pembunuhan masih disiasat. Polis juga menyiasat kemungkinan mangsa dirogol oleh kedua-dua suspek itu.
Mangsa dikatakan tiba di ibu negara pada 5 Mei lalu dengan sebuah penerbangan dari Colombo, Sri Lanka ke Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur.
Selepas itu, mangsa pergi ke Melaka dan pernah menginap di Sayang Sayang Guest House, Kampung Hulu, Melaka.
Sementara itu, sumber Kedutaan Perancis di Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai Stephanie.
Tujuh korban tanah runtuh
CAMERON HIGHLANDS - Enam sekeluarga disahkan antara tujuh mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini kelmarin.
Enam sekeluarga itu ialah Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd. Ikbal, 15; menantu, Yusniza Yusof, 22; adik ipar, Sara a/p Gunung, 37; dan ibu mentua, Normadiah Lasik, 69.
Turut terkorban dalam tragedi pukul 5.45 petang di perkampungan yang telah diduduki lebih 40 tahun lalu ialah jiran mereka, Mat Ali a/l Ah San, 50.
Dua lagi penduduk lain, Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, dan Serry Priary a/p Saari, 15, pula cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini.
Seorang penduduk Aida Uda, 29, memberitahu, kejadian tersebut begitu menakutkan kerana dalam sekelip mata, tiga buah rumah jirannya ranap dihempap tanah yang turut membawa pusaran air dan pokok.
Katanya, dia melihat Bah Anjang Besar terpelanting keluar dari rumahnya sebelum diselamatkan manakala yang lain hilang 'ditelan' tanah.
"Ketika kejadian saya dan dua anak sedang tidur sebelum hujan turun disusuli bunyi guruh seperti letupan hingga menggegarkan rumah saya di lereng atas.
"Tanpa berlengah saya membawa dua anak untuk lari dan sebaik membuka tingkap, saya lihat air deras bergulung-gulung yang turut membawa pokok dan tanah menghempap rumah yang berada di bawah," ceritanya.
Ibu Jaafar, Munjut a/p Kelet, 70, berkata, dia terpaksa menggunakan tangannya untuk menggali tanah bagi menyelamatkan ahli keluarganya tetapi gagal.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah lain berdekatan rumah Jaafar.
"Ketika lari, saya sempat tinjau rumah Jaafar dan terperanjat kerana ia telah lenyap. Saya kemudian menggali tanah dengan tangan untuk menyelamatkan mereka yang tertimbus namun gagal," ceritanya.
Tambahnya, dua cucunya, Sukarnain, 18 dan Norfifah, 20, terselamat kerana berada di rumah ketika kejadian.
Menurut Munjut, semasa kejadian, Jaafar, Normah dan Mohd. Ikbal yang baru setahun memeluk Islam sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, seramai 100 anggota keselamatan dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat. Mayat pertama yang ditemui ialah Normadiah pada pukul 6.15 petang.
"Seterusnya kita menemui mayat Mat Ali pada pukul 10.32 malam dan mayat Jaafar dua jam kemudian. Tidak lama kemudian, kita menemui mayat Mohd. Ikbal, Sara, Normah dan Yusniza," katanya yang memberitahu dua mangsa yang terselamat ditemui oleh penduduk pada awal kejadian.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata dan didiami 1,300 penduduk.
Bonus setengah bulan untuk kakitangan awam, pesara
KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas itu dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," kata Najib.
Katanya, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion. - Bernama
Bekas tunang saman RM1.1 juta
KOTA BHARU - Seorang penjawat awam memfailkan saman sebanyak RM1.1 juta ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana membatalkan perkahwinan kira-kira enam jam sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan pada 3 Jun lalu.
Plaintif, Mohd. Masran Ab. Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan writ saman tersebut menerusi dua peguam, Latifah Ariffin dan Mohd. Murtadza Mohd. Mokhtar, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Plaintif tidak hadir di mahkamah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
Selain bekas tunangnya, Norzulyana Mat Hasan @ Mat Hussin, 28, yang dinamakan sebagai defendan pertama, Mohd. Masran turut menamakan bapa wanita itu, Mat Hasan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, dari Taman Maka, Tanah Merah di sini sebagai defendan kedua.
Lelaki itu menuntut daripada defendan-defendan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk sebanyak RM500,000, ganti rugi malu sebanyak RM500,000 dan ganti rugi khas yang akan ditentukan kemudian.
Mohd. Masran yang bekerja di Kuala Lumpur kecewa dengan tindakan bekas tunangnya yang membatalkan perkahwinan pada hari mereka sepatutnya bernikah iaitu pada 3 Jun lalu setelah mengikat tali pertunangan sejak tahun lalu.
Norzulyana yang merupakan seorang juruteknik makmal di sebuah hospital di Kuala Lumpur didakwa membatalkan perkahwinan mereka pada pukul 11 pagi, kira-kira enam jam sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan selepas Asar tanpa memberitahu apa puncanya.
Wanita ketuk ketampi bogel bebas
PETALING JAYA – Wanita yang sebelum ini dirakam melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel sewaktu dalam tahanan polis enam tahun lalu, Hemy Hamisa Abu Hassan Shaari boleh menarik nafas lega selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam daripada tuduhan memiliki dadah.Majistret Nor Afidah Idris memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tertuduh.
Menurut beliau, pihak pendakwaan gagal membuktikan siapa sebenarnya pemilik, kawalan, jagaan dan pengetahuan tertuduh berhubung dadah berkenaan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah turut membebaskan suaminya, Kamarul Hamri dan tiga yang lain daripada tuduhan serupa
Khir diarah bela diri
|
|
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo membela diri terhadap tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan terdapat kes prima facie.
Mohamad Khir, 46, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Muka budak cedera kena mercun
ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di muka akibat terkena mercun bola di Taman Teja, Changlun dekat sini Sabtu lepas.
Fakhrul Danish Fadzil, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun dikatakan sedang melihat abang dan rakannya bermain mercun sebelum ia meletup secara tiba-tiba dan terkena mukanya.
Ibu mangsa, Manisah Mohd., 41, memberitahu, ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah pada pukul 6.30 petang.
“Fakhrul ada beritahu hendak pergi ke taman permainan untuk bermain bersama kawan-kawannya tetapi pada pukul 7 petang iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan muka merah dan abangnya beritahu Fakhrul terkena mercun,” katanya ketika ditemui di wad Hospital
Rentung gara-gara sebatang lilin
PASIR MAS - Gara-gara sebatang lilin, seorang warga emas mati rentung selepas rumah yang didiaminya bersama anak, menantu dan empat cucu musnah terbakar malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa Zaharah @ Che Yam Ismail, 72, yang menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu tinggal sendirian di rumahnya di Kampung Kubang Pak Amin dekat sini selepas ahli keluarganya yang lain keluar menunaikan solat tarawih.
Menantu mangsa, Mohd. Zulkifli Ibrahim (gambar kecil), 48, berkata, selepas berbuka puasa, beliau dan isteri serta anak-anaknya keluar menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah tersebut.
Katanya, kira-kira pukul 8 malam, bekalan elektrik di kampung tersebut terputus menyebabkan beliau pulang ke rumah untuk memasang lilin kerana bimbang ibu mertuanya tinggal dalam kegelapan.
"Selepas memasang lilin, saya kemudian kembali ke surau untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih berjemaah yang selesai kira-kira pukul 9.50 malam. Ketika itu bekalan elektrik kembali pulih," kata Mohd. Zulkifli.
Ceritanya, apabila selesai menunaikan solat tarawih, beliau sekeluarga tidak terus pulang ke rumah sebaliknya ke kedai berhampiran untuk makan dan membeli barangan keperluan.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 10.30 malam, seorang penduduk kampung telah datang memberitahu Mohd. Zulkifli mengenai kejadian tersebut dan beliau serta keluarga terus bergegas pulang. Mereka mendapati api telah marak membakar rumah.
"Ketika itu saya sempat melihat ibu mertua saya masih bergerak dan menyusur ke arah pintu untuk menyelamatkan diri tetapi gagal kerana api terlalu cepat merebak dan saya juga tidak mampu untuk menyelamatkannya," ujarnya.
Baru sedar 30 ekor ternakan dicuri
PEKAN – Misteri kehilangan lebih 30 haiwan milik seorang penternak sejak dua tahun lalu terjawab apabila dia menemui seekor lembu terbaring bersama kesan tembakan ubat pelali dalam kejadian di Kampung Semangat di sini kelmarin.
Penternak tersebut, Mustafa Awang, 53, sehingga kini mengalami kerugian lebih RM112,000 apabila kira-kira 30 ekor kerbau dan tiga ekor lembu miliknya menjadi sasaran sekumpulan pencuri bersenjata senapang pelali sejak hampir tiga tahun lalu.
Dalam kejadian terbaru pada pukul 1 petang di Jalan Kuantan-Pekan kelmarin, Mustafa sempat melihat tiga lelaki melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva selepas mereka menembak pelali ke badan seekor lembu miliknya.
“Saya sempat lihat tiga lelaki lari dengan menaiki kereta selepas mereka nampak saya. Apabila diperiksa lembu yang terbaring itu ditembak ubat pelali.
“Baru saya tahu, kehilangan lembu dan kerbau selama ini adalah selepas haiwan itu ditembak dengan pelali dan disembelih serta dilapah di hutan sekitar kampung ini,” katanya semasa ditemui pemberita semalam.
Cuping telinga Syafiq tertanggal
|
|
KUANTAN - Mangsa simbahan asid, Syafiq Haikal Mat Safar Zaidi (gambar), 13, mungkin kehilangan cuping telinga kiri sekiranya doktor tidak berjaya menyambung semula organ itu melalui pembedahan hari ini.
Datuk kanak-kanak itu, Che Sam Abu, 67, ketika menghubungi Kosmo! semalam berkata, ia berlaku selepas cuping telinga cucunya itu tertanggal sebelum ini.
"Cuping telinga abang (Syafiq Haikal) tertanggal dan hanya disedari berada di atas katil semalam (kelmarin). Kalau tak dapat disambung, dia mungkin tidak mempunyai cuping telinga," katanya.
Dalam kejadian di Felda Jengka 9 dekat Maran pukul 8.30 malam 19 Julai lalu, Syafiq Haikal dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10, cedera parah selepas disimbah asid oleh buruh ladang, Muhammad Hafiz Ismail, 33, yang telah dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh baru-baru ini.
Kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur sejak hari kejadian.
Tambah Che Sam, kedatangan Syawal kali ini semakin sayu dan tidak bermakna selepas keluarganya dimaklumkan mengenai keadaan telinga cucunya itu.
"Luka di hati seluruh keluarga akibat kejadian itu pun masih belum dapat dilupakan. Saya makin sayu setiap kali memandang kedua-dua mereka (cucu)," katanya.
Sindiket tipu ternak burung walit
ALOR SETAR - Polis meminta orang ramai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan perniagaan burung walit dan penjualan tanah pada harga murah yang menjadikan pesara dan warga emas sebagai mangsa.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Nasbah Jusoh (gambar) berkata, polis sehingga kini menerima dua laporan mengenai kes itu.
Katanya, sindiket itu dianggotai empat orang terdiri daripada tiga lelaki Cina dan seorang lelaki Melayu berusia antara 30 hingga 40-an.
"Mereka dipercayai bergerak di seluruh negara bagi mengelak dikesan dengan menyasarkan pesara dan warga emas yang menjalankan perniagaan sendiri," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, dalam kes terbaharu Sabtu lalu, seorang pesara kerajaan berusia 58 tahun yang menamatkan perkhidmatan April lepas kerugian RM60,000.
Katanya, anggota sindiket terbabit menghubungi mangsa pada 15 Julai lalu dan mengadakan perbincangan mengenai perniagaan burung walit dan penjualan tanah pada 5 Ogos lepas.
"Mangsa diperdaya dengan kata-kata manis selain menawarkan penjualan tanah di Johor pada harga murah bagi tujuan projek burung walit itu," katanya.
Beliau berkata, esoknya mangsa menghubungi anggota sindiket terbabit, namun gagal menyebabkan dia membuat laporan polis.
Katanya, kes pertama pula melibatkan seorang warga emas berusia 70 tahun yang menjalankan perniagaan sendiri dan dia kerugian RM35,000.
No comments:
Post a Comment