PRA rayu sambung kontrak
ALOR SETAR – Kira-kira 13,000 kakitangan kontrak pekerja rendah awam (PRA) jabatan pelajaran di seluruh negara dikatakan semakin tertekan akibat dibelenggu hutang selepas perkhidmatan mereka tidak disambung pada tahun ini.
PRA kontrak yang diberhentikan sejak 1 Januari lalu itu mendakwa hilang sumber pendapatan sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka menanggung hutang bank dan bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Pengerusi PRA kontrak, Aziz Isa, 54, berkata, beberapa rayuan telah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran tetapi tiada maklum balas positif diterima.
Katanya, dalam surat bertarikh 25 Julai lalu, pihak kementerian memaklumkan bahawa perkhidmatan PRA kontrak ditamatkan kerana kerja-kerja pembersihan sekolah telah diswastakan secara berperingkat sejak 1993 yang kini telah mencapai 90 peratus.
“Walaupun harapan kami nampak pudar tetapi kami tetap mahu merayu kepada pihak kerajaan kerana kami terdesak untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini semalam.
Aziz sebelum itu menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal menjelaskan hutang bank yang tertunggak sejak Januari lalu.
Kata Aziz, dia amat tertekan kerana tidak mempunyai wang untuk menjelaskan hutang bank dan perkara sama juga bakal berlaku kepada kira-kira 13,000 PRA lain yang turut membuat pelbagai pinjaman bank.
“Ramai yang mengadu malah ada yang menangis ketika bercakap dengan saya kerana bakal dikenakan tindakan undang-undang ekoran gagal membayar hutang bank sejak hilang mata pencarian lapan bulan lalu,” ujarnya yang telah bekerja sebagai PRA di Jitra dekat sini sejak 17 tahun lalu.
Penari bogel ditangkap kerana merompak
PUEBLO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang penari bogel, Lee Grace E. Dougherty dipindahkan ke penjara dari sebuah hospital di sini selepas dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dalam satu rompakan kelmarin.
Penari seksi berusia 29 tahun itu ialah anggota geng penjenayah Dougherty yang amat dikehendaki oleh polis AS kerana melakukan beberapa rompakan bersenjata api.
Selain Lee, geng Dougherty dianggotai oleh dua adik lelakinya iaitu Dylan, 26, dan Ryan, 21.
Lee ditangkap setelah dia cedera ditembak polis di salah satu kakinya selepas keretanya terbabas kerana dia mengacukan senjata api ke arah anggota polis.
Dua adiknya turut cedera apabila kereta Subaru Impreza yang mereka naiki bersama Lee naiki terbabas di sebuah lebuh raya dekat sini, negeri Colorado semasa dikejar polis sejauh 32 kilometer.
Kereta mereka terbabas selepas polis menembak salah satu tayar kenderaan mereka dalam adegan mengejar.
Sebelum itu, trio berkenaan merompak sebuah bank di negeri Georgia pada 2 Ogos lalu dengan melarikan sejumlah wang.
Dalam rompakan itu, kumpulan berkenaan menggunakan senjata api.
Polis telah menemui dua raifal AK-47 dan sepucuk pistol MAC-11 di lokasi kejadian.
Seorang anggota polis pada mulanya mengesan kereta yang dinaiki penjenayah tersebut di sebuah stesen minyak menyebabkan adegan mengejar itu berlaku dekat Walsenburg - Agensi
Lelaki mati ditetak saudara sendiri
12/08/2011 11:53am
ALOR SETAR – Seorang lelaki berumur 60 tahun mati ditetak dengan parang oleh ahli keluarga terdekatnya manakala isteri cedera dalam satu kejadian sejurus sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian sekitar 7 malam tadi, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan di kepala, putus pergelangan kaki kanan selain cedera di kedua-dua belah tangannya manakala isterinya, Hasmah Abdul Majid, 58, cedera di belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun memarahi anak-anak saudaranya yang membuat bising ketika mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa. - Bernama
Lelaki miliki mercun bernilai RM9,000 ditahan
12/08/2011 5:41pm
KUANTAN — Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM9,000 di sebuah stesen minyak, Semambu di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin Polis Wilayah Tiga Kuantan, Supt. Sapian Salihin berkata bertindak berdasarkan maklumat awam sepasukan gerakan Marin telah membuat intipan di kawasan berkenaan.
"Dalam intipan 3.50 pagi tersebut, suspek, 38, yang memandu kereta berseorangan telah ditahan berhampiran stesen minyak berkenaan.
"Hasil pemeriksaan polis telah menemui 17 jenis mercun yang disimpan di dalam kenderaan berkenaan dan dianggarkan bernilai RM9,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mercun berkenaan dipercayai untuk diedarkan di kawasan bazar Ramadan di sekitar Kuantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957. — Bernama
Tiga sekeluarga maut nahas
12/08/2011 11:58am
KEPALA BATAS – Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Permatang Binjai di sini ketika dalam perjalanan pulang dari membeli juadah berbuka puasa petang semalam.
Dalam nahas pada 6.45 petang itu, dua beradik Nurmadiah Hashim,38, dan Nurhashima Hashim, 44, serta menantu Nurhashima, Shamsul Kamal Razali, 38, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara ASP Suhaimi Md Nor berkata, isteri Shamsul Kamal, Siti Suraya Mansor, 23, dan saudara mereka Mohd Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.
"Mereka pergi ke bazar Ramadan Maklom dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Kapur, Penaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Suhaimi berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu Siti Suraya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika di simpang empat Jalan Permatang Binjai.
"Kereta pacuan empat roda dari arah Butterworth itu dipandu laju dan melanggar bahagian kiri kenderaan dinaiki lima sekeluarga terbabit sehingga menyebabkannya terseret ke bahu jalan, manakala kereta pacuan empat roda itu pula terbalik,” katanya.
Suhaimi berkata empat orang yang menaiki kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan. - Bernama
Ibu, kakak Stefanie beri sampel untuk ujian DNA
12/08/2011 5:19pm
KUANTAN — Ibu dan kakak Stefanie Foray, warga Perancis yang dipercayai dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah gua di Pulau Tioman, tiba di sini hari ini bagi menyerahkan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mereka tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan kira-kira 12 tengah hari tadi dengan ditemani pegawai dari Kedutaan Perancis serta anggota polis.
Sumber polis memberitahu Bernama pihak hospital telah mengambil sampel darah daripada kedua-duanya bagi dipadankan dengan DNA rangka manusia yang ditemui di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas.
Foray, 30, yang berasal dari Bour En Bresse, Perancis dilapor hilang sejak 8 Mei lepas.
Susulan laporan polis yang dilakukan keluarga wanita itu menerusi wakil Perancis di Singapura, siasatan mendapati Foray ke Pulau Tioman pada 10 Mei dan tidak pernah mendaftar keluar.
Siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan rangka manusia yang dipercayai Foray, ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di kampung itu pada 8 Ogos lepas. — Bernama
Keganasan terburuk sejak 25 tahun
|
SEORANG lelaki pertengahan usia hanya mampu merenung sisa runtuhan sebuah bangunan usang yang berada di hadapannya. Matanya kelihatan sayu dan manik-manik jernih mulai mengalir di pipinya yang dipenuhinya kedutan.
Dia tidak pernah langsung menyangka segala hasil titik peluhnya dalam mengusahakan perniagaan perabot milik keluarganya yang diwarisi turun-temurun akhirnya musnah dibakar begitu sahaja.
Gara-gara tindakan perusuh yang bertindak sesuka hati membakar blok-blok bangunan yang ada di pekan Croydon, menyebabkan perniagaan perabot House of Reeves yang telah mencecah usia 144 tahun itu hilang sekelip mata ditelan api yang marak.
“Saya merupakan generasi kelima yang menjalankan perniagaan di bangunan bersejarah ini. Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang bakal meneruskan kesinambungan empayar perniagaan kami bagi generasi keenam.
“Sejak 30 tahun lalu, saya bersama isteri telah menjalankan perniagaan ini. Namun, kini kehidupan saya telah musnah,” tutur Graham Reeves, 52, dalam nada sebak yang bersarang di dada.
Gedung perabot terbabit mula dibuka di Croydon, yang ketika itu sebuah bandar berasingan dan terletak kira-kira 15 kilometer dari selatan London pada tahun 1867. Ia satu perniagaan yang maju dan berjaya. Meskipun pernah mengharungi Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi teruk sekitar tahun 1929 hingga 1930, tetapi House of Reeves kekal utuh.
Situasi tegang
Croydon merupakan salah satu daripada lokasi yang terlibat dalam rusuhan paling teruk pernah berlaku di kota London dalam tempoh lebih 25 tahun.
Keganasan dikatakan bermula Sabtu lalu di kawasan petempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya itu selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, Mark Duggan ditembak mati oleh polis dua hari sebelum itu.
Selain London, rusuhan turut merebak ke bandar raya lain seperti Liverpool, Birmingham, Manchester, West Bromwich, Wolverhampton, Bristol, Salford dan hampir ke seluruh United Kingdom.
Menurut Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, situasi yang berlaku kini sangat tegang dan pihak berkuasa sedang berusaha mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih buruk.
“Kami perlu menamatkan rusuhan ini dengan segera. Seboleh-bolehnya pihak polis tidak mahu menggunakan meriam air untuk meleraikan rusuhan, melainkan menerusi persetujuan masyarakat,” katanya kepada stesen televisyen Sky News.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, David Cameron berikrar akan mengakhiri kegasanan tersebut dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Dalam situasi sekarang, kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) kelmarin.
Batal perlawanan
Jika ia dilakukan, penggunaan meriam air untuk meleraikan rusuhan itu buat julung kalinya dilakukan di Britain sekali gus mencatat sejarah tersendiri di kalangan polis negara tersebut.
Sementara itu, rentetan rusuhan dan keganasan yang berlaku di jalanan juga menyebabkan perlawanan persahabatan antara England menentang Belanda di Stadium Wembley, London yang dijadualkan berlangsung semalam (11 Ogos) terpaksa dibatalkan demi keselamatan orang ramai.
Kapten England, Rio Ferdinand turut melahirkan rasa kesalnya di atas apa yang berlaku. Menerusi laman sosial Twitter peribadi, Ferdinand berkata: “Situasi yang berlaku ketika ini cukup mengejutkan. Apakah sebenarnya yang menyebabkan ia berlaku? Orang yang tidak bersalah mendapat susah. Kenapa?”
Bukan hanya Ferdinand, tetapi ramai pemain yang menyuarakan rasa hati masing-masing dan berharap agar ia dapat dihentikan segera termasuklah Wayne Rooney selaku penyerang berbisa skuad kebangsaan England.
“Kenapa orang yang terlibat dengan rusuhan ini melakukannya di negara mereka sendiri? Ini bandar mereka sendiri. Ia memalukan negara. Sila hentikan,” kata Rooney dalam akaun Twitter miliknya.
Apa yang pasti, mereka yang terlibat dalam rusuhan ini turut menjadikan tindakan kerajaan yang mahu memotong 80 bilion pound (RM389 bilion) daripada perbelanjaan awam menjelang tahun 2015 bagi mengurangkan rekod defisit negara sebagai alasan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati rakyat terhadap perkara itu.
Zon peperangan
Golongan muda pula menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk mesej segera melalui telefon pintar BlackBerry dan platform media sosial seperti Twitter untuk membentuk kordinat serangan dan mengelak berdepan dengan pihak polis.
“Sudah beberapa hari sejak rusuhan berlaku kanak-kanak langsung tidak gembira. Malah, mereka benci pada anggota polis.
“Ia kelihatan seperti zon peperangan dan pihak polis tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya. Mereka (perusuh) sangat ramai dan pihak polis tidak mencukupi,” kata Matthew Yeoland, 43, seorang guru di Peckham, selatan London.
Dalam pada itu, penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, keganasan dan rusuhan yang berlaku di London, kota yang aman dan terkenal di seluruh dunia dengan tarikan pelancongan dan sebagainya boleh dijadikan iktibar buat semua pihak.
Ini menunjukkan tidak semestinya setiap negara yang bertamadun, mempunyai kestabilan ekonomi dan maju akan terus aman dan kesejahteraan buat selama-lamanya jika ia tidak dipelihara.
“Rakyat Malaysia keseluruhannya harus membuka mata luas-luas terutama bagi pihak yang gemar mencetuskan hura-hara seperti mahu mengadakan perhimpunan dan demonstrasi bagi menunjukkan protes terhadap pihak berkuasa.
“Demonstrasi ini kalaupun dilakukan dalam keadaan aman, tetapi pasti ada golongan tertentu akan cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus menyebabkan rusuhan teruk.
“Jika ini terjadi, sudah tentu banyak harta benda yang rosak, kehilangan nyawa, wujudnya anasir-anasir luar yang cuba menghancurkan negara dan menjejaskan imej tanah air sendiri,” ujar beliau yang mengaitkan situasi itu dengan cubaan pihak-pihak tertentu menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Terperangkap
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut memuji tindakan tegas dan pantas pihak polis dalam menangani demonstrasi jalanan tersebut.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di United Kingdom, Siti Suriani Othman, 32, bersyukur kerana terselamat daripada rusuhan sewaktu berkunjung ke London Ahad lalu.
Menurut Suriani, dia hairan apabila melihat semua kedai di Oxford Street ditutup pada pukul 6 petang berbanding pukul 8.30 malam sebelum ini.
“Rupanya-rupanya semua perusuh berkumpul di sana dan mula membuat onar. Nasib baik kami cepat pulang, kalau tidak mungkin saya pun akan terperangkap dalam rusuhan tersebut,” kata pelajar jurusan Doktor Falsafah (PhD) di Nottingham Trent University, Nottingham, United Kingdom itu.
Tambahnya, di London kuasa polis sangat terhad sehingga mereka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kepada perusuh kerana terpaksa mengikut peraturan sekali gus menjaga periuk nasi mereka ketika keadaan ekonomi yang teruk.
Menurut Suriani selama hampir empat tahun tinggal di United Kingdom, dia melihat terdapat banyak kepincangan walaupun ia sebuah negara yang maju.
“Perkara ini (kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan) hanya dapat kita ketahui jika menetap di sini untuk sesuatu tempoh tertentu dan ia tidak dapat dikesan hanya daripada penyiaran berita mereka atau laporan-laporan dalam bentuk buku ilmiah dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment